DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 13 March 2016

ROMANTIK RAPSODI - BAB 17

NANI memasukkan bekas makanan berisi nasi
goreng ke dalam beg kertas. Sebelum subuh lagi dia sudah
bangun menyiapkan bahan-bahan untuk memasak nasi goreng.
Macam bangun nak bersahur pula rasanya. Dia malas hendak
menyusahkan ibu. Harap-harap samalah rasa nasi gorengnya
dengan air tangan ibu.
Awal dia sampai ke pejabat hari ini, jadi tukang buka
lampu di pejabat. Dia ke pantri memanaskan nasi goreng dan
membancuh nescafe. Usai, dia ke meja kerja semula, menyemak
organiser dan meneliti “to do list”. Komputer dihidupkan.
Minggu ini bermula tugas barunya di Event
Management Department bulan depan ke Marketing
Department dan seterusnya ke Admin Department. Selepas itu,
terpulanglah kepada pihak pengurusan mahu mencampaknya
ke mana pula. Kalau diberi pilihan, dia lebih suka duduk
di Training Department, kerana itulah kemahiran yang
dipelajarinya di universiti. Minatnya tertumpu di situ. Dia
bercita-cita mahu menjadi Training Designer.
Dulu semasa di universiti, subjek Perencanaan
Program, Metodologi Latihan dan Reka Bentuk Latihan
sememangnya antara subjek yang dia score. Baginya, subjek
tersebut memerlukan kreativiti sebagai pereka bentuk latihan.
Bagaimana mahu menarik minat peserta terhadap kursus
yang akan diadakan, bagaimana mahu memastikan objektif
kursus mencapai matlamat dan yang paling penting bagaimana
sesebuah kursus boleh mengubah sikap, pengetahuan dan
kemahiran seseorang individu. Itu semua bukan kerja mudah.
Ianya perlukan penelitian dan kajian. Banyak teori boleh
diaplikasi tetapi pereka bentuk latihan perlu bijak mengadaptasi
teori dengan situasi sebenar.
Seorang demi seorang pekerja mula memenuhi ruang
pejabat. Dia mengerling jam tangannya, sudah lapan empat
puluh lima minit pagi. Dia pandang ke kiri dan ke kanan.
Harap-haraplah dia tidak menjadi buah mulut rakan sepejabat
disebabkan nasi goreng ni. Dia nak menghubungi Fatin
bertanyakan Rayyan, tapi takut banyak pula soal jawabnya nanti
dengan P.A. bosnya itu. Nani serba salah. Jangan kau lupa, dah
la bos... penat aku masak pagi-pagi buta.
Lima belas minit sudah berlalu, Nani kegelisahan. Dia
tidak sabar menanti. Akhirnya dia menghantar SMS kepada
Rayyan.
Morning, bos. Saya ada bawa nasi goreng
yang bos minta.
Lama dia menunggu balasan. Ah, lantaklah... kalau dia
nak, pandai-pandailah dia cari aku. Omel hatinya.
“Nani.”
Terkejut Nani mendengar suara garau dari belakangnya.
Kus semangat. Dia berpaling. Rayyan! Dia tepuk dahi.
“Mana nasi goreng I?” Kuat pulak tu suara Rayyan.
Macamlah dia duduk jauh sebatu dengan Nani. Semua mata
berpaling ke arah pemilik suara itu dengan seribu kerut di dahi.
Curious yang sangat tinggi.
Habis la aku! Jerit hatinya. Dia masak benar dengan
teman-teman pejabatnya yang suka bergosip. Tambahan pula
kalau gosip itu melibatkan Rayyan. Lagilah mereka suka.
Walaupun garang, Rayyan tetap menjadi idaman Malaya.
Bayangkanlah apa yang dipakai Rayyan setiap hari dari atas
sampai bawah pun boleh menjadi bahan perbualan hangat
ketika mereka berkumpul semasa makan tengah hari.
Nani menundukkan pandangannya. Beg kertas
bertukar tangan. Habislah dia dijadikan bahan nanti. Rayyan
pula buat muka selamba badak. Siap tersengih-sengih macam
kerang busuk. Mana pergi kebengisan dia ni. Tunjuklah garang
tu sikit!
“Thanks,” ujar Rayyan separuh berbisik kemudian
berlalu membiarkan teka-teki terus berlegar-legar di kalangan
pekerjanya.
“Waaaa...” Serentak suara mereka kedengaran.
Nani buat-buat tidak tahu. Panas mukanya menahan
malu. Geramnya dia dengan Rayyan. Tak pandai coverina
langsung!
“Psst...bukan main kau sekarang ni eh, patutlah bos
dah tak marah-marah sangat sekarang ni, dah ada penyejuk
rupanya,” Nani tidak pasti siapa yang bersuara. Sok sek sok
sek terus kedengaran. Bingit telinga mendengar usikan demi
usikan.
“Tengok! Dah buat drama depan kita... buat-buat tak
reti pulak,” mereka mengusik lagi.
“Kau jangan risau, kita orang sokong kau.” Gelak
ketawa berselang-seli dengan usikan. Kalau dilayan makin
menjadi-jadi. Malas dia hendak menidakkan, buat perabis
air liur, bukan makan saman pun diaorang ni. Di Event
Management Department, kakitangan tidak ramai yang lekat
di pejabat, kebanyakannya keluar bertemu client. Itu yang riuh
kalau jadi apa-apa. Cepat pula tu berita tersebar. Lagi cepat
daripada internet!
Bersorak macam menang loteri RM1 juta! Kelakarlah
sangat. Jerit hatinya. Telefon di meja berbunyi.
“Helo, Nani bercakap.”
“Nani, Raymond here. Datang ke bilik I, ada task untuk
you.”
“Okey, I datang.”
Nani bangun menuju ke bilik Raymond, Pengurus
Bahagian Pengurusan Acara di Mekar Events.
“Have a seat, Nani.” Raymond melontarkan senyum
kepada Nani. Nani mengangguk dan terus duduk. Bersemangat
untuk mengetahui tugasan yang bakal dia lakukan.
Pintu bilik Raymond diketuk. Adam, salah seorang
Event Executive melangkah masuk. Adam senyum kambing
melihat Nani. Cerita nasi goreng masih panas di luar sana.
“Middle of December kita ada satu event, quite big.
Street Food Festival organised by Ministry Of Tourism di
PWTC. So Nani, I nak you follow Adam. Untuk event ni, kita
banyak juga dapat job for designing special booth. Banyak
Agensi Kerajaan and NGO yang sertainya, which I think kita
kena contract out satu per tiga daripadanya. Designer kita tak
terkejar nak siapkan semuanya. Macam biasa kita akan sub
kepada Phase One. Actually Nani... kerja event ni interesting,
you akan jumpa macam-macam ragam client. Kat situ you akan
gain a lot of experience. I rasa tak perlu explain too detail, nanti
Adam akan berikan tunjuk ajar, okey. Adam... nanti you contact
Phase One. Do you want to say something, Nani?” Panjang
lebar penerangan daripada Raymond.
“Erm, speechless. Banyak benda nak kena belajar, but
I’ll try my best,” Nani begitu bersemangat. Tidak sabar nak
belajar benda baru.
“Jangan risau bos, I akan guide Nani,” Adam bersuara
memberi jaminan.
“Okey, kalau tak ada apa-apa lagi, you guys boleh
keluar.”
Nani berjalan beriringan dengan Adam.
“Phase One, Phase One,” Nani cuba mengingat kembali.
Dia macam biasa dengar nama syarikat yang disebutkan
Raymond tadi.
“Macam pernah dengar.”
“Tu company adik big boss. Nanti esok aku bawak kau
ke sana jumpa designer. Nak serahkan final design daripada
client. Event dah tak lama. Lagi tiga minggu. Kau jangan risau,
kau follow je aku. Pengerasnya nasi goreng je.” Sengaja Adam
mengusik.
“Hampehhh... dah-dah la sakat aku,” Nani sengih tak
ikhlas. “So hari ni kau nak aku buat apa?” Dia cuba menukar
topik.
“Hari ni kita akan ke Putrajaya, jumpa client dari
Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Nak hantar quotation, lepas tu
nak discuss sikit pasal design booth tu. New thing aku belajar.
Kita selalu ingat Jabatan Veterinar ni rawat binatang je. Rupanya
banyak lagi fungsi lain. Mula-mula aku pelik jugak, Jabatan
Veterinar nak sertai Street Food Festival ni, rupa-rupanya baru
aku... diaorang ni juga banyak membantu usahawan kecil dan
sederhana untuk produk tambah nilai dari haiwan macam
sate, kebab, kambing panggang dan macam-macam lagilah...”
Bersungguh-sungguh Adam bercerita.
“Ye ke... Aku pun ingatkan veterinar ni rawat kucing,
anjing je.”
“Cuma kadang-kadang goverment ni, budget diaorang
very tight. So kita kenalah pandai-pandai nak adjust ikut
keperluan diaorang. Kalau kau nak tahu, ni dah dua kali
diaorang pinda design. Tapi kita tak boleh marah, kena ikut
jelah rentak diaorang. Kalau diaorang puas hati, diaorang akan
panggil kita lagi untuk apa-apa event. So, senang sikit kerja,
client yang cari kita.” Adam menyambung penjelasannya.
“Oh... baru aku tahu. Interesting. Nampaknya banyak
benda aku kena berguru dengan kau ni.”
“Interesting dan mencabar. Takpe kita belajar slowslow.
Ilmu handle kerja-kerja event ni kau takkan jumpa dalam
mana-mana buku. It’s priceless. Pengalaman tu yang penting.
Tu belum kena lagi kalau outdoor event. Tu lagi sakit otak. Eh,
pukul sebelas kita gerak ke Putrajaya ya. Sekarang kau buatlah
dulu apa-apa yang patut.”
“Okay, thanks a lot, man!” Nani teruja. Tak sabar nak
ikut Adam. Dia memang sukakan cabaran. Bagus juga buat
kerja luar hari ini. Kalau tidak, mahu satu hari ni telinganya
pedih mendengar sok sek sok sek teman sekerjanya.
Baru saja hendak melabuhkan punggung di kerusi,
Fatin menghubunginya dan meminta dia bertemu dengan big
boss. Apalagi kali ini? Nani melangkah malas. Dia paling tidak
gemar, jika pagi-pagi sudah dipanggil menghadap bosnya itu
kerana dia tahu moodnya akan merudum selepas itu.
Pintu bilik Rayyan diketuk. Tanpa menunggu sebarang
arahan, dia menguak daun pintu.
“Bos nak jumpa saya?” Dilihatnya hidung dan mata
Rayyan berair. Muka dan telinganya memerah.
“Ha’ah,” ujar Rayyan. Sapu tangan disua ke hidung
mengesat hingus yang mengalir. “Berapa kilo cili ibu you letak
dalam nasi ni? Pedasnya Ya Tuhan!”
“Er... er... sebenarnya saya yang masak nasi goreng
ni. Pedas sangat ke bos?” Kasihan dia melihat Rayyan yang
berpeluh-peluh kepedasan.
“Pedaslah, cuba rasa ni.” Rayyan menghulurkan sudu
ke arah Nani.
Nani garu kepala. Takkan nak guna sudu dia. Aduhai,
letih aku nak layan bos macam ni. Dia berbelah bagi, sudu yang
sudah berisi nasi disua juga ke mulut. Dia gigit hujung-hujung
je.
“A’ah la bos... Pedas! Sorry, sorry...”
Air mineral yang sudah tinggal suku botol dihulur
kepada Nani.
“Er, takpe bos saya minum kat luar je nanti.” Aii, tak
kuasa aku nak berkongsi air pulak dengan dia. Cukuplah kongsi
sudu! Semasa memasak pagi tadi memang dia tengah mamaimamai.
Tak terperasan berapa tangkai cili yang diletak semasa
menumis. Kesian kau bos. Ujar Nani dalam hati.
“You nak sabotaj I ke ni?” Rayyan mencerlung.
“Sumpah bos, saya tak ada niat pun nak kenakan bos.
Saya minta maaf banyak-banyak.”
“Esok buatkan yang tak pedas.”
“Hah, esok? Esok bos nak nasi goreng lagi?” Nani
bertanya, meminta kepastian. Berkerut dahinya. Biar betul dia
ni. Jenuh dia nak bangun pukul lima pagi semata-mata nak
masak nasi goreng untuk Rayyan.
“Esok, lusa, tulat sampai hari Jumaat. Kan ibu you
cakap kalau nak makan apa-apa beritahu je. So, I oder jelah.
Ni baru nasi goreng. Belum lagi I oder nasi beriani ke, lamb
chop ke. Esok buatkan nasi goreng biasa, lusa nasi goreng ikan
masin, tulat... erm, tulat nasi goreng cina, Jumaat nasi goreng
kampung.” Hehehe... Rayyan ketawa dalam hati. Seronok dia
tengok gelagat Nani, mencatit satu per satu arahannya di dalam
organiser.
“Kalau macam ni, baik saya kerja jadi tukang masak
bos je.” Nani merungut.
“Berani you cakap macam tu! Kalau nak cepat confirm,
better you ikut saja cakap I,” ugut Rayyan sambil menghentak
meja. Nani segera menundukkan wajahnya. Satu kerja pulak
aku nak bangun pagi-pagi, nak masakkan untuk dia. Kalau laki
aku, lainlah... Hatinya bersungut. Rayyan ni dah melampau!
“Cuba ulang balik apa yang you tulis tu,” Rayyan
memberi arahan. Nani menyebut satu per satu apa yang
dicatatnya sebentar tadi.
“Nasi goreng biasa letak telur mata kerbau satu, nasi
goreng cina tak nak banyak sangat sayur campur, saya tak
suka, nasi goreng ikan masin tu dengan telur dadar sekali, nasi
goreng kampung lebihkan ikan bilis kasi rangup. Oh ya, nanti
letak timun sekali.” Rayyan menokok tambah.
Haru!
“Elaun tambahan buat nasi goreng tak ada ke bos?”
Laju mulutnya memerli.
Bengkek dia tengok Rayyan yang mengada-ngada. Bagi
arahan bukan-bukan. Lepas tu siap ugut pulak suruh dengar
arahan dia kalau nak cepat confirm. Tahulah dia orang baru di
sini, tapi tak payahlah nak ragging dia macam ni.
Eiii, kecik besar... kecik besar... je aku tengok dia ni!
Bentak hatinya. Bengangnya tahap dewa.
“Oh, dah pandai menjawab. Goreng nasi pun tak jadi...
ada hati minta elaun. Ni kalau bagi kucing makan nasi goreng
you ni, mahu gastrik kucing tu. Esok pukul sembilan pagi saya
tunggu di pantri. Panaskan siap-siap ya.” Makin galak Rayyan
mengenakan Nani. Rasa terhibur dan seronok melihat Nani
yang kembang kempis hidungnya menahan geram.
“Yalah. Ada apa-apa lagi bos? Dah dekat pukul sebelas
ni. Saya nak ke Putrajaya jumpa client.”
“You ke sana dengan siapa?”
“Adam,” Nani menjawab sepatah.
Tepat jangkaannya. Moodnya betul-betul merudum hari
ini. Pagi-pagi dah rasa macam nak telan orang. Tak cukup itu,
dia terpaksa hadap teman-teman yang tengah galak menyakat,
nak kena hadap pula bos yang datang angin mengada-ngada.
Macam orang datang bulan Rayyan ni, perangai tak
boleh nak jangka. Lepas ni apalagi dia nak suruh aku buat?
Jangan suruh aku kahwin dengan dia, dahlah! Ops! Mintak
simpang. Hatinya tidak henti-henti membebel.
SELESAI SEGALA tugasnya untuk hari itu, dia ke Alamanda
mencari barang dapur untuk projek nasi gorengnya. Siap kau
Rayyan... nanti aku attach dengan resit sekali. Dia mengomel
dalam hati.
Dia tiba di rumah menjelang isyak. Ketika itu ibunya
sedang khusyuk menonton tv.
“Banyak shopping Long.” Tegur Puan Hanisah.
“Adalah sikit. Bos Along, Encik Rayyan tu buang
tebiat apa entah, suruh Along masakkan dia nasi goreng untuk
seminggu. Ingat along ni orang gaji dia ke apa. Ibu la ni... pandai
sangat promote kat dia,” Nani membebel. Kepala direbahkan di
ribaan ibunya.
“Aik, ibu pulak. Ibu saja je buat modal berborak. Tak
sangka dia betul-betul serius. Takpe nanti ibu tolong Along,”
Puan Hanisah membelai-belai rambut anak gadisnya.
“Erm, okey... cayang ibu.” Nani menguntum senyum.
“Kerja macam mana?” Soal Puan Hanisah. Rambut
Nani dibelai-belainya.
“Banyak kerja bu. Penat sangat. Tapi Along seronok,”
Nani menggeliat meregangkan urat-urat yang terasa tegang.
“Bagus kalau macam tu. Kerja rajin-rajin, kerja dengan
ikhlas. Jangan ada niat kita buat kerja sebab nak menunjuknunjuk
kat orang,” Puan Hanisah menasihati anak sulungnya.
“Ya bu... Along ingat pesan ibu tu. Eh, rindu la kat adik,
bila dia cuti, bu?” Dia teringatkan adik bongsunya Amna yang
kini di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.
“Hujung bulan dua belas dia dah start cuti. Balik terus,
nak tunggu masuk U pulak.”
“Nanti lepas ambik dia, kita ronda-ronda Penang
dulu nak, ibu. Boleh beli jeruk banyak-banyak. Bestnya!” Nani
memasang angan.
“Yalah, beli dengan kedai-kedai tu sekali Long.
Along pergi naik mandi dulu, masam benar bau Along ni.
Mengalahkan bau kambing,” Puan Hanisah mengusik. Hidung
Nani dipicitnya.
“Ibu ni sampai hati cakap Along busuk,” Nani
memuncungkan mulut. Dia bingkas dari riba ibunya, terus
menapak naik ke tingkat atas. Puan Hanisah tersenyum
sendirian.
Puteri sulungnya ini merupakan kekuatannya. Sewaktu
dulu, Nanilah yang menggantikan tempatnya menguruskan
rumah tangga sementara dia sibuk mencari rezeki bagi
menampung keperluan hidup mereka selepas pemergian suami
tercinta.
Dah besar panjang anak ibu ni... Syukur dia dikurniakan
anak-anak yang selalu buat dia tersenyum gembira. Walaupun
sukar membesarkan anak-anak tanpa seorang lelaki bernama
suami, namun semuanya ditempuh penuh redha dan sabar.
Awan hitam sudah lama berlalu. Dia tidak mahukan apa-apa
lagi dalam hidup ini selain mahu melihat anak-anaknya hidup
bahagia dan berjaya.

No comments:

Post a Comment