Sesi pengajaran dan pembelajaran pada setiap hari rabu akan tamat
setengah jam lebih awal dari hari-hari yang lain. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada
para pelajar untuk makan dan solat zohor sebelum meneruskan aktiviti
ko-kurikulum sehingga jam 4.30 petang.
Aku cukup sibuk hari ini kerana ceramah mengenai keselamatan jalan raya
akan disampaikan hanya kepada pelajar-pelajar tingkatan enam di dewan sekolahku
sebentar lagi.
Sejak dari semalam aku sudah mula sibuk menyediakan persiapan untuk
ceramah hari ini. Aku perlu mempastikan back
drop siap dipasang. Susun atur
kerusi juga perlu disediakan secukupnya kerana bilangan pelajar tingkatan enam
atas dan bawah melebihi tiga ratus orang.
Semalam juga beberapa kali aku cuba menghubungi lagi Tuan Megat untuk
mempastikan dia tidak lupa mengenai sesi ceramah hari ini. Walaupun aku tidak dapat bercakap terus
dengannya, tetapi keraninya yang mengesahkan akan kehadirannya.
Aku solat zohor lebih awal kerana aku perlu bersiap sebelum jam dua
petang. Ceramah akan bermula jam 2.30
petang. Aku perlu menyambut kehadiran
Tuan Megat di pintu pagar utama dan membawanya berjumpa dengan pengetuaku
seketika sebelum aku membawanya ke dewan pula untuk memulakan sesi ceramah.
Tepat jam 2.00 petang, aku sudah terpacak di hadapan pintu agar
utama sekolahku. Aku menumpang berteduh
di bilik pengawal keselamatan yang terletak bersebelahan dengan pintu pagar
utama. Cuaca agak panas hari itu. Mahu rentung aku dibuatnya jika aku terus
setia terpacak di hadapan pintu pagar. Peluh
sudah mula membasahi baju kurung suteraku.
Make up aku pun dah mula cair dek kepanasan cuaca di luar. Mujurlah ada juga kipas di dalam bilik
pengawal keselamatan. Dapatlah
menyejukkan badanku sedikit. Sebagai
tuan rumah, dan untuk menghormati tetamu, aku haruslah menunggu kedatangan Tuan
Megat. Aku tidak mahu penceramah
undanganku terpinga-pinga mencari tempat ceramah apabila dia sampai nanti.
Jam sudah melewati jam 2.20 petang.
Namun, kelibat Tuan Megat masih tidak kelihatan lagi. Setahu aku, jarak di antara balai polis
trafik Taman Ungku Tun Aminah dan sekolahku tidaklah jauh mana. Aku pernah mengambil masa hanya lapan minit
dari area Taman Ungku Tun Aminah ke sekolahku apabila aku memandu dengan
gaya pemanduan mengikut kepala sengalku.
Maksud aku, jika aku sudah terlambat ke sekolah dan kebetulan jalan agak
tidak sibuk ketika itu. Jadi, aku tidak
nampak sebab mengapa Tuan Megat harus lewat.
Adakah dia tersesat? Beberapa
kali aku cuba menghubungi balai polis trafik itu, dan menurut kata keraninya,
Tuan Megat sudah bergerak lima belas minit yang lalu.
“Ke mana pulak perginya Tuan Megat ni? Silap aku juga….patutnya aku ambil nombor
telefon bimbit dia….kalau apa-apa hal, aku boleh call dia direct….”,
aku mula merungut-rungut akibat resah menanti.
Dengan cuaca yang begitu terik, aku bertambah bengang.
Tiba-tiba, dari jauh aku mendengar deruman motor berkuasa
besar. Aku menjengokkan kepala ku ke
pintu pagar utama. Kelihatan seorang
polis trafik berhelmet full face sampai
lengkap dengan motor trafiknya.
Aikk?? Dia datang sorang-sorang? Naik motor trafik aje? Aku ingatkan Tuan Megat datang siap berescort?
Aku lihat Tuan Megat dengan confident masuk ke dalam kawasan
sekolahku. Dari gayanya macam dia dah
biasa datang ke sekolahku. Aku yang berdiri
di tepi pintu pagar pun tidak dipedulinya.
Dia terus memakirkan motornya di kawasan parkir yang dikhaskan untuk
kereta pelawat tetapi dia dengan selamba memakirkan motor trafiknya di situ. Sebaik sahaja dia mematikan enjin motornya,
dia mula turun dari motor dan membuka sarung tangannya. Helmetnya masih setia di kepala.
Aku berlari-lari anak menuju ke arah Tuan Megat. Hishh!!
Apa dia tak perasankan aku ke?
Silap aku juga. Aku sendiri tidak
kenal siapa itu Tuan Megat apatah lagi dia.
Sudah tentu dia menyangkakan aku adalah di antara guru-guru yang
bertugas di sekolah ini.
Aku menghampirinya. Dia yang
masih lengkap dengan full face helmetnya berpaling ke arahku. Lama dia merenung aku.
Tak aci betul! Dia tengok aku tapi aku tak dapat tengok muka
dia. Name tag pun dia tak
pakai. Terlupa kot? Mungkin dia pun kelam-kabut tadi.
“Assalamualaikum….ini Tuan Megat ke?”, aku mula menyapanya setelah
hampir seminit dia berdiri seperti patung merenungku.
Dia tidak menjawab sebaliknya hanya mengangguk.
“Err…Tuan tak panas ke tak buka helmet tu?”, soalku pelik. Takkanlah dia nak beri ceramah dengan
berhelmet. Nanti pelajar-pelajarku
sangkakan aku menjemput Robocop untuk beri ceramah. Baru betul!
Tuan Megat seperti baru tersedar.
Lambat-lambat dia cuba menanggalkan helmetnya. Dari gayanya, aku lihat dia seolah-olah
keberatan hendak menanggalkan helmetnya.
Dia cacat ke? Sebaik sahaja dia
menanggalkan helmetnya, aku terkesima.
Macam nak pengsan pun ada. Beberapa
kali aku cuba menggeleng-gelengkan kepalaku.
Mataku kukelipkan beberapa kali.
Adakah aku bermimpi lagi?
Dia dengan selamba menyeluk poket seluar belakangnya dan
mengeluarkan sikat. Kemudian, dia
membongkokkan badannya sikit sambil bersikat dengan bercerminkan cermin motor
trafiknya. Kemudian, dia menyeluk pula
poket baju hadapannya. Mengeluarkan name
tag dan memakainya. IRFAN WAFIY.
Sikit lagi aku hampir nak pitam.
Ya Allah…drama apa pulak ni?
Kenapa pulak mamat sengal ni yang berada di hadapanku sekarang ini. Ke mana perginya Tuan Megat?
“Kita nak berdiri di sini aje ke?”, soalnya selamba seolah-olah
tidak terkejut langsung melihat aku di situ.
Berbeza dengan aku yang sudah pucat lesi.
“Err….mana Tuan Megat?”, soalku pula tanpa mempedulikan
sindirannya.
“Berdiri di depan awak sekarang ni…”, jawabnya selamba.
“Eh, tapi nama tuan kan….”, kata-kataku terhenti apabila dia
memotong.
“Saya Megat Irfan Wafiy….kebanyakan anggota-anggota panggil saya
Tuan Megat saja….”, balasnya dengan senyuman yang aku boleh tafsirkan hendak
mentertawakan aku.
“Oh….”, aku mula memicit-micit kepalaku. Tiba-tiba terasa hendak migraine pulak.
“Anyway nice to meet you cikgu Puteri Salwani….”, dia
sengaja menekan suaranya apabila menyebut nama penuhku. Dia memang sudah lama tahu namaku disebabkan
dialah orangnya yang menulis surat saman untukku dua minggu lepas.
Aku hanya mampu tersenyum kelat.
Kalau diikutkan hatiku yang sudah tidak tentu arah ini, mahu saja aku
lari balik ke rumah tetapi apahal pulak dengan sesi ceramah yang telah
kuaturkan untuk pelajar-pelajarku?
“Di mana saya nak bagi ceramah?”, soalannya menyedarkan aku kembali
yang telah hanyut seketika tadi.
“Err…Tu…Tuan boleh ikut saya….”, penyakit gagapku datang kembali
akibat perasaanku yang tidak menentu itu.
Aku jeling jam tanganku. Aku
sudah terlewat sepuluh minit dari waktu yang sepatutnya. Ini semua disebabkan insiden yang tidak ku
sangka-sangkakan tadi. Setelah membawa
Tuan Megat berjumpa dengan pengetuaku, aku bersama-sama dengan pengetuaku mengiringi
Tuan Megat ke dewan sekolahku tempat di mana ceramah akan diberikan.
Dewan yang hanya mengambil masa dua minit berjalan dari pejabat
sekolahku, terasa begitu jauh sekali. Di
sepanjang perjalanan, Tuan Megat kulihat begitu ramah berbual dengan pengetuaku
tanpa mempedulikan aku. Aku merasakan
diriku seolah-olah tidak wujud di situ.
Aku pun tidak kisah. Lagi bagus
kalau dia tidak kacau hidup aku lagi.
Sesampainya kami di dewan, aku terus sahaja memulakan majlis dengan
memperkenalkan penceramah yang dijemput.
Aku membacakan serba sedikit biodata Tuan Megat yang baru sahaja aku
perolehi darinya tadi. Aku sekadar
membacakan latar belakang perkhidmatannya sahaja kerana aku sama sekali tidak
berminat ingin tahu mengenai dirinya.
Teringat akan mesej-mesej yang memualkan darinya yang dihantarkan
kepadaku, membuatkan aku semakin meluat dengannya.
MASA dua jam yang diperuntukkan untuk sesi ceramah itu dirasakan
begitu pantas berlalu. Ini disebabkan
cara penyampaian Tuan Megat yang begitu bersahaja telah dapat menarik perhatian
pelajar-pelajarku yang kulihat begitu bersemangat sekali. Penyampaian ceramah yang dibuat secara dua
hala siap dengan simulasi lagi, benar-benar telah menarik minat
pelajar-pelajarku. Begitu juga dengan
sesi soal jawab, semua pelajar-pelajarku berebut-rebut ingin bertanyakan
soalan. Satu situasi yang agak asing
bagiku. Langsung tidak sama dengan
situasi bagi ceramah-ceramah motivasi yang pernah diadakan di sini.
Jauh di sudut hatiku, aku agak mengagumi cara Tuan Megat mengendalikan
ceramahnya. Dia pandai menarik perhatian
audien. Dengan cuaca yang agak panas,
dan menyampaikan ceramah dalam waktu-waktu begini, biasanya pelajar-pelajarku
lebih rela tidur dari mendengar, tetapi itu tidak berlaku semasa beliau
menyampaikan ceramahnya. Aku dapati,
arahan-arahan tegas disampaikan dalam bentuk santai. Kesalahan-kesalahan trafik yang kerap
dilakukan oleh golongan remaja seperti pelajar-pelajarku, disampaikan dalam
bentuk lawak, namun aku masih boleh merasakan ketegasannya. Cuma, satu perkara yang aku perasan, dia
banyak menyindirku dalam ceramahnya.
Banyak contoh yang diberikan akan menjurus kepada insiden yang berlaku
sehingga aku disamannya dua minggu lepas dan ayatnya yang paling tidak dapat
aku lupa,
“Kalau anda ditahan polis trafik, berhentikan kenderaan anda di
tepi jalan. Pertama, minta maaf terlebih
dahulu kerana polis trafik hanya akan menahan mereka yang melakukan
kesalahan. Belum pernah terjadi dalam
sejarah, polis trafik suka-suka nak tahan pengguna jalan raya. Kalau ya pun nak argue dengan pihak
polis, buatlah secara berhemah.
Janganlah sengaja nak provok pihak polis sedangkan sudah terang-terang
anda melakukan kesalahan. Sebenarnya anda
boleh dicharge menghalang penjawat awam menjalankan tugas jika anda
berkelakuan begitu. Kalau disuruh
tandatangan, tandatangan betul-betul.
Walaupun rasa tak puas hati dan nak protes, tak payahlah nak buat
simbol-simbol love atau apa-apa pun.
Lastly, kalau dah kena saman tu, pergilah bayar saman. Jangan tangguh-tangguh….”, ujarnya dengan
panjang lebar sambil sesekali matanya menjeling kepadaku beserta dengan
senyuman sinisnya.
Aku diam tidak terkata
dengan sindiran pedasnya. Aku bertambah
jengkel dengannya. Namun, aku masih juga
berterima kasih kepadanya. Apa yang
pasti, memang aku tidak silap memilih penceramah. Dari satu sudut yang berbeza dari pandangan
peribadiku mengenainya, aku bersyukur kerana memilih penceramah yang tepat.
No comments:
Post a Comment