DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 5



AZEEZA MENGGOSOK perutnya yang asyik berbunyi. Semenjak semalam dia tidak menjamah apa-apa makanan, rasa lapar mula menyerang diri menyebabkan perutnya terasa sebu. Lalu, telapak kaki dihalakan ke arah kafe. Dia menolak pintu kafe dan menuju ke tempat meletak makanan. Kecur air liurnya melihat makanan yang disediakan di situ.
Perlahan-lahan, Azeeza menyeluk saku baju kurungya. Duit yang tinggal hanya lima ringgit. Mana cukup kalau nak makan nasi. Keluh hatinya.
“Adik nak makan apa?” soal mak cik kafe sambil tersenyum.
“Bagi saya nasi separuh jelah mak cik,” ujar Azeeza dengan senyuman nipis.
Mak cik tersebut menganggukkan kepala sebelum menghulurkan pinggan yang berisi nasi separuh kepada Azeeza. Lauk pauk semuanya dipilih sendiri oleh Azeeza.
Azeeza hanya memilih telur goreng mata kerbau bersama ulam dan sambal belacan. Air pula hanya air kosong yang dipesan. Setelah memilih lauk, Azeeza mencari ruang untuk duduk. Hari ini dia keseorangan kerana Liyana dan Izz masih ada dalam kelas.
Akhirnya, mata Azeeza terhenti di satu sudut. Kelihatan meja kosong di situ. Lalu, langkah diatur ke meja tersebut. Dia duduk sambil menikmati makanannya. Sedang asyik dia menjamu selera, tiba-tiba kedengaran ruang kafe riuh rendah. Semua pelajar yang sedang asyik menikmati makanan mereka, bangun dan keluar dari kafe.
Azeeza pelik lalu dia mendongak. Kelihatan Qaiser dan kumpulannya memasuki ruang kafe. Patutlah semua lari. Mamat mereng ni masuk kafe. Desis hati Azeeza. Dia terus menikmati makanannya tanpa mempedulikan Qaiser dan kumpulannya.
Yasmin yang berada di samping Qaiser tersenyum bangga apabila semua pelajar tunduk hormat kepada mereka berlima. Ruang kafe lengang. Hanya mereka berlima yang berada di dalam kafe tersebut sebelum mata Yasmin terpandang satu susuk tubuh yang sedang duduk dengan tenang di sudut belakang kafe itu. Dia mengetap bibir.
“Qai, cuba you tengok. Ada orang nak cari pasal dengan kita. Dia tak tahu ke sekarang ni waktu makan kita,” ujar Yasmin sambil memuncungkan mulut ke arah Azeeza yang sedang duduk tenang menjamu selera.
Qaiser menoleh. Dia kenal dengan gadis yang berbaju kurung dan bertudung itu. Gadis yang telah berjaya membuatkan hatinya menjadi serba salah. Jelas sekali gadis itu tidak pernah takut akan dirinya. Lihat saja, sewaktu semua pelajar berpusu-pusu keluar dari kafe, gadis itu masih tenang dengan makanannya.
“Eh, itu Zeeza kan?” soal Firman. Ada senyuman terukir di bibirnya. Dia ingin melangkah namun dengan pantas Yasmin, Zafuan dan Rizwan mendahului langkahnya.
Qaiser hanya memerhatikan tingkah laku tiga kawannya itu.
“Hoi perempuan, kenapa kau tak keluar masa kita orang masuk, hah?” soal Zafuan sambil menepuk meja Azeeza dengan kuat.
Azeeza mendongak. Dia memandang wajah Zafuan, Rizwan dan Yasmin dengan selamba sebelum anak matanya terpandang wajah Qaiser dan Firman di belakang mereka bertiga.
“Assalamualaikum…” ucap Azeeza selamba. Dia meneruskan suapan tanpa ada rasa gentar di hatinya.
Mereka bertiga terkulat-kulat. Salam Azeeza hanya dijawab di dalam hati.
Yasmin bengang. Dengan selamba, dia menarik pinggan makanan Azeeza lalu dicampakkan ke atas lantai.  Habis berterabur nasi yang berada dalam pinggan Azeeza di atas lantai. Azeeza terkejut.
“Kau apa hal cari masalah dengan aku?!” soal Azeeza berani.
“Huh, ada suara pun nak melawan. Aku tanya kau tak jawab. Kenapa kau tak keluar bila kita orang masuk? Kita orang nak makan tahu tak?” balas Yasmin menentang pandangan Azeeza.
“Dah tu apa masalahnya dengan aku? Nak makan pergilah makan, yang kau duk menyemak depan aku ni kenapa?” Azeeza terus menyoal. Tajam anak matanya memandang tiga manusia di hadapannya ini.
“Masalah kami kat sini adalah kau. Orang lain keluar, yang kau duduk lagi kat sini tu kenapa? Berat sangat ke punggung tu?” perli Rizwan sambil disambut gelak oleh Yasmin.
“Kafe ni ada cop  nama kau orang ke? Tak ada kan? Jadi suka hati akulah nak keluar ke tak nak keluar ke. Mine your own business!” tempelak Azeeza geram.
“Aik, perempuan ni. Melawan pulak. Sekali aku tampar baru tahu,” balas Zafuan sambil mengangkat tangannya seolah-olah ingin menampar Azeeza.
Azeeza hanya mencebik. Dia mengambil air kosong dan meneguk perlahan. Seperti tiada apa yang berlaku.
Tersenyum Firman melihat gelagat Azeeza. Perlahan-lahan dia menghampiri Azeeza.
“Zeeza, jom ikut saya sekejap. Saya ada benda nak bincang dengan awak,” ucap Firman sambil mencelah di antara tiga sahabatnya itu.
Zafuan, Rizwan dan Yasmin tercengang. Mereka berpandangan sebelum mereka berpaling ke belakang mencari Qaiser yang sudah melabuhkan punggung di kerusi.
“Fir, kau…”
“Aku tak masuk campur dalam urusan kau jadi kau jangan masuk campur dalam urusan aku.” Tegas Firman.
Zafuan terkulat-kulat. Yasmin mendengus. Lalu, langkahnya diatur mencari Qaiser yang kelihatan tenang.
“Qai you tengoklah Fir tu. Berani dia khianat dengan you. Dia buat baik dengan musuh you,” rengek Yasmin sambil memeluk lengan Qaiser.
Qaiser memandang dari kejauhan. Kelihatan Firman memujuk Azeeza yang masih lagi tidak berganjak dari tempat duduknya. Gadis itu kelihatan bersahaja. Wajahnya sedikit pun tidak mempamerkan riak takut apabila diserang Yasmin. Namun, Qaiser dapat mengesan sesuatu di sebalik senyuman Firman pada Azeeza.
“Lantak dialah. I malas nak fikir. I nak makan dulu.” Jawab Qaiser malas.
“Tapi, perempuan tu tak hormat you. Dia makan masa you ada dalam kafe ni sedangkan semua orang lari bila nampak you,” tingkah Yasmin masih belum berpuas hati.
“Biarlah. I tak ada mood nak balas dendam lagi. You buatlah apa you nak buat tapi jangan semakkan kepala otak I,” jawab Qaiser.
Yasmin terdiam. Kata-kata Qaiser seolah-olah memberi lampu hijau padanya. Kalau Qaiser malas balas dendam, serahkan padanya. Tahulah dia nak mengajar perempuan yang berlagak berani macam Azeeza tu.
Azeeza mengalih pandangan pada wajah Firman yang nampak manis dengan senyuman. Dia membalas sekadarnya saja.
“Saya rasa tak ada apa yang perlu dibincangkan. Saya dah selesai makan, jadi saya pergi dulu…” ucap Azeeza dengan sopan.
Firman ingin berkata sesuatu tetapi dengan pantas, Azeeza bingkas bangun. Untuk apa dia tunggu lagi sedangkan makanannya sudah pun dicampakkan ke atas lantai. Rasa pedih di perut ditahan sekuat hati.
Sewaktu dia melewati meja yang diduduki oleh Qaiser, dia memandang ke tempat lain. Sakit hatinya pada Qaiser masih belum sembuh. Lelaki itu yang menyebabkan dia terpaksa mengikat perut selama seminggu gara-gara dia diberhentikan dari kerjanya.
Yasmin tersenyum penuh makna. Saat, kaki Azeeza melangkah melewati tempat duduk mereka berdua, dengan selamba dia menahan kaki Azeeza sehingga gadis itu jatuh terjelepok di atas lantai.
“Aaaa!” Azeeza terjerit kecil.
“Zeeza!” panggil Firman. Lalu dia berlari-lari anak mendapatkan Azeeza yang jatuh terduduk di atas lantai.
Azeeza memegang pinggangnya yang terasa sakit. Kakinya turut berdenyut-denyut. Tak guna punya perempuan! Maki Azeeza dalam hati.
Qaiser juga turut terkejut melihat Azeeza yang jatuh di hadapan matanya. Dia ingin bangun tetapi Firman terlebih dahulu sampai menyelamatkan Azeeza membuatkan Qaiser kembali duduk.
“Jalan sikit pun nak jatuh. Sajalah tu nak tarik perhatian!” cemuh Yasmin sambil tersenyum sinis.
Azeeza berusaha bangun dengan bantuan Firman. Dia menepis tangan Firman yang memegang lengannya. Dia tidak suka disentuh apatah lagi yang menyentuhnya itu adalah lelaki. Dia mendengus. Tajam anak matanya menikam anak mata Yasmin.
“Aku tak cari pasal dengan kau, kau cari masalah dengan aku.” Ujar Azeeza.
“Dah memang kau bermasalah. Takkan nak salahkan aku pula!” balas Yasmin.
Azeeza menahan kesabaran. Anak matanya terpandangkan teh ais milik Qaiser. Sudah lama dia sakit hati dengan Yasmin yang ternyata lebih sudu dari kuah. Lantas, tangannya dengan pantas mencapai gelas berisi teh ais itu lalu dengan selamba dia menjiruskan air tersebut ke kepala Yasmin.
Terjerit kecil Yasmin dibuatnya. Qaiser terlopong. Firman tergamam. Mata Rizwan dan Zafuan terbuntang melihat kelakuan berani mati Azeeza.
“Aku tahu hati kau panas tengok aku, jadi aku dah sejukkan. Tadi kau campak makanan aku, sekarang aku balas balik jadi kita seri.” Jawab Azeeza dengan wajah diceriakan.
Yasmin tidak terkata. Habis baju cantiknya basah dengan air teh ais. Rasa panas mula menggelegak dalam hatinya. Dia menjeling ke sisi. Kelihatan Qaiser menutup mulut. Gayanya seperti ingin ketawa. Yasmin malu. Teramat malu ketika ini.
Opps, sebelum aku keluar. Ini duit untuk teh ais tu!” ujar Azeeza lalu meletakkan dua ringgit di atas meja.
Dia berlalu meninggalkan Yasmin yang tidak berpuas hati.
Firman mengulum senyum dan menggelengkan kepala.
“Memang hati batu betul,” ujarnya perlahan namun sempat didengari oleh Qaiser.
Lama Qaiser memandang wajah Firman. Dari anak mata lelaki itu dia ternampak perasaan yang disembunyikan Firman. Qaiser mengetap bibir. Entah mengapa dia resah sendiri.
LIYANA MEMANDANG wajah Azeeza yang cemberut. Sekejap gadis itu memejamkan mata sekejap terdengar keluhan yang terbit dari bibir Azeeza. Liyana mula diselubungi tanda tanya.
“Kau ni kenapa, Zeeza? Aku tengok macam ada masalah je. Qai and the geng buli kau lagi ke?” soal Liyana prihatin.
Azeeza memandang Liyana yang berada di sebelahnya. Sedaya upaya dia mengukirkan senyuman buat Liyana tetapi matanya tidak mampu untuk turut tersenyum.
“Aku tak kisah langsunglah pasal dia orang tu. Nak buli ke nak apa ke, aku tak ambil kisah,”
“Habis tu apa masalah kau sekarang?”
“Aku dah berhenti kerja…” ucap Azeeza.
What?!” Liyana terkejut. Hampir terlompat dia dari tempat duduk.
Azeeza menundukkan wajah. Jika Liyana boleh terkejut sampai begini rupa, dia apatah lagi.
“Tapi kenapa, Zeeza? Setahu aku kau bukan main payah lagi nak berhenti kerja. Ini mesti ada apa-apa ni?” soal Liyana sambil merenung wajah Azeeza dengan lama.
Azeeza tidak menjawab. Dia yakin tentu Firman tidak menceritakan hal ini pada Liyana. Kalau tidak pasti Liyana sudah tahu tentang kejadian malam itu.
“Anggap jelah aku dah tak ada rezeki kat tempat tu. Sekarang aku tengah cari kerja lain tapi tak ada yang nak pakai part timer macam aku ni,” keluh Azeeza.
Liyana menarik muka tidak berpuas hati dengan jawapan Azeeza. Dia menyandarkan tubuhnya ke belakang. Tetapi sebaik saja dia melihat wajah keruh Azeeza, timbul simpati dalam hatinya buat rakan baiknya itu.
Gadis yang bernama Fahima Azeeza ini sangat baik bagi Liyana. Semenjak semester pertama lagi, Azeeza selalu membantu dirinya dalam segala hal. Tidak kira dalam pelajaran mahu pun kehidupan dan percintaan. Azeeza adalah tempat Liyana meluahkan perasaan, kadang-kadang Azeeza menjadi penasihat dan pakar kaunseling pada Liyana. Walaupun Azeeza kekurangan harta tetapi gadis itu tidak pernah mengambil kesempatan atas kemewahan Liyana. Hal itu membuatkan Liyana terasa bertuah kerana bertemu dengan Azeeza.
“Ana, kau dengar tak apa yang aku cerita ni?” soal Azeeza sambil mengawangkan tangannya di hadapan wajah Liyana.
Liyana tersentak dan terus berpaling. Dia hanya mampu tersengih malu.
“Kau cakap apa?” soalnya kembali.
“Tulah, time aku bercakap kau mengelamun. Kau ingatkan siapa? Kau ingatkan Izz ke?” gurau Azeeza sambil ketawa kecil.
Pap!
Satu tamparan hinggap di peha Azeeza menyebabkan tawanya terhenti. Azeeza menggosok-gosok pehanya yang terasa pedih. Dahinya berkerut seribu.
“Sakitlah!” marah Azeeza.
“Padan muka kau. Habis tu sekarang kau kerja ke tak?” soal Liyana kembali ke topik asal.
Azeeza mengeluh. Dia meraup wajahnya yang terasa lesu.
“Aku kerja tapi aku kerja jual nasi lemak kat flat rumah akulah. Pagi-pagi sebelum aku pergi kelas, aku juallah nasi lemak. Balik kelas dari kelas atau waktu petang aku jual kuih,” terang Azeeza.
“Kau buat semua tu, Zeeza? Bila masa kau nak rehat? Habis tu bila kelas kita sampai petang, macam mana?” soal Liyana bagaikan tidak percaya dengan kesusahan yang dialami oleh Azeeza.
“Kalau kelas aku sampai petang, mak cik aku akan tolong dengan adik aku. Dia orang akan jualkan. Kebanyakan kuih, mak cik aku yang buat. Modal pun aku pinjam dengan dia. Aku tak tahu nak buat apa, Ana. Aku perlukan duit. Adik aku sekolah. Aku tak nak dia susah macam aku. Kau tahu tak, aku rasa macam aku ni kakak yang tak berguna,” ujar Azeeza. Tiba-tiba dadanya dihurung sebak.
“Kau tak boleh salahkan diri kau, Zeeza. Ini bukan yang kau nak kan? Percayalah, jika satu pintu rezeki kau tertutup, kau masih ada 99 pintu yang lain. Buat apa kau terpaku pada pintu yang tertutup sedangkan Allah telah sediakan kau pintu yang lain. Dia tutup pintu itu pasti bersebab. Kau jangan risau, setiap makhluk, Allah telah janjikan rezeki apatah lagi kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran serta iman. Berdoalah, Zeeza. Allah pasti tunjukkan jalan,” nasihat Liyana sambil merangkul lembut bahu Azeeza.
Azeeza terdiam. Dalam hati dia mengiakan kata-kata Liyana.
“Kalau kau tak kisah, apa kata kalau kau kerja part time dekat kedai kakak aku. Dia memang nak pakai pekerja. Kau cubalah, mana tahu kakak aku boleh tolong bagi kau kerja,” sambung Liyana lagi selepas tiada balasan daripada Azeeza.
“Eh, tak mengapalah, Ana. Aku cuma ceritakan masalah aku pada kau je. Aku tak nak menyusahkan kau.” Balas Azeeza menolak tawaran Liyana.
“Apa pulak menyusahkan pula. Bertambah senang kerja aku. Tak payah nak ke hulu ke hilir tampal jawatan kosong. Lagipun kakak aku ni perlukan pekerja dengan kadar segera. Mungkin kau boleh cuba kut. Jangan risau, kadang-kadang aku dan abang aku Firman tu yang jaga kedai. Kakak aku selalu outstation.” Terang Liyana dengan senyuman.
Dia menepuk bahu Azeeza dengan lembut.
“Tapi aku…”
“Tak ada tapi-tapi. Kau kena pergi jumpa kakak aku juga. Kau boleh kerja sebelah malam selepas kau jual kuih tu. Nanti aku akan bagitahu kakak aku, okey?” soal Liyana.
Azeeza mula serba salah. Tapi cadangan Liyana adalah peluang untuk dirinya. Mana cukup duit dari jualan nasi lemak dan kuih untuk menampung kehidupannya dengan Fatma.
“Insya-Allah nanti aku cuba,” balas Azeeza mengalah.
Liyana hanya tersenyum. Spontan dia memeluk tubuh Azeeza. Mereka sama-sama ketawa.
Tanpa mereka berdua sedari, seorang jejaka yang berdiri di sebalik dinding mendengar segala perbualan Azeeza dan Liyana. Dia menyandarkan tubuhnya ke dinding. Matanya dipejam. Dia tidak menyangka sampai sebegitu penderitaan yang terpaksa dihadapi oleh Azeeza. Adakah semuanya berpunca daripada dirinya sendiri?


No comments:

Post a Comment