Izureen
Aku sampai di rumah sebaik sahaja azan Maghrib bergema. Pintu kondo ku buka dan tangan
meraba suis lampu. Kemudian aku pandang ke seluruh ruang kondo yang terpampang di
depan mata. Baru tersedar aku rindukan tempat ini. Hampir tiga minggu aku tinggalkan,
lantai terasa berhabuk.
Setelah meletakkan beg, aku ke bilik. Rambut-rambut masih berselerakan di atas
lantai, tidak ubah seperti waktu aku meninggalkan tempat ini. Aku ke dapur dan kembali ke
bilik dengan penyapu dan penyodok sampah. Setelah siap disapu, aku mandi dan bersolat.
Usai solat maghrib, aku kemas pula ruang tamu, sekadar menyapu lantai dan
membersihkan habuk yang sudah bertapa di atas perabot. Kemudian aku ke dapur, membuka
peti sejuk untuk mencari bahan yang boleh dibuat makan malamku. Tiga biji epal yang
sudah kecut aku buang. Susu segar rendah lemak yang sudah luput tarikhnya juga ku
campakkan ke dalam bakul sampah. Aku ambil tiga keping keju untuk dimakan bersama
biskut. Dalam perjalanan pulang tadi, tidak terfikir hendak singgah membeli makanan, jadi
cukuplah sekadar memakan biskut malam ini.
Aku sudah terbiasa bersendirian. Tahun lepas, aku meminta izin Mama untuk
berpindah ke kondo ini, atas alasan ingin berdikari. Namun sebenarnya untuk mengelakkan
dari berbalah dengan Mama. Mama benarkan, dengan syarat setiap petang Jumaat aku balik
dan tidur di rumah Mama, pulang semula ke kondo ini pada petang Ahad. Kebiasaan
bersendiri membuatkan aku tidak merasa sunyi atau takut.
Azan dari masjid di seberang kondo bergema, menandakan waktu Isya’ lantas aku
mengambil wudu’ dan bersolat. Selepas solat isya’, aku panjatkan doa ke hadrat Illahi.
“Ya Allah, aku syukuri rahmat dan kasih sayangMu. Terima kasih di atas segala
kurniaanMu. Terima kasih ya Allah di atas dugaan yang kau berikan. Tanpa dugaan ini, aku
mungkin masih leka, masih jauh dariMu. Aku redha dengan ujian ini Ya Allah dan semoga
ujian ini membawa aku semakin dekat denganMu.
Ya Rabbi, ampunilah dosa hambaMu ini. Yang terlalu lama leka dan lalai hingga
menjauh dariMu. Semoga aku tidak lagi mengabaikan tanggungjawabku terhadapMu.
Ampuni aku Ya Allah, ampuni aku Ya Allah, ampuni aku ya Allah. Bantulah aku untuk
sentiasa mengingatiMu, untuk bersyukur kepadaMu dan untuk memperbaiki ibadahku
kepadaMu. Janganlah Engkau sesatkan hatiku setelah Engkau memberi petunjuk kepadaku.
Ya Allah, berilah rahmat dan kasih sayangMu kepada Mama, kakak dan abang.
Terima kasih kerana memberikan mereka kepadaku. Kasihilah Mama seperti mana dia
mengasihiku. Cucurilah rahmat ke atas arwah Papa, semoga dia damai dalam limpahan
rahmatMu.
Ya Allah, berilah rahmat dan kasih sayangMu kepada Mak Jah sekeluarga. Terima
kasih kerana menemukan aku orang-orang yang baik seperti mereka.
Ya Allah, andai Muaz itu bukan jodohku, jadikan aku redha dengan ketentuan ini.
Lapangkan hatiku dan kuatkan semangatku untuk berdepan dengannya. Berikanlah
kebahagian kepadanya. Dan jadikanlah aku bahagia, walau tak bersama dia.
Ya Allah, hanya Engkau yang mengetahui apa yang terbaik untuk diriku.
Temukanlah aku dengan lelaki yang baik, yang mampu membimbingku ke JannahMu. Andai
aku jatuh cinta lagi, janganlah cintaku kepada seorang lelaki melebihi cintaku kepadaMu.
Ya Rabbi, kurniakanlah kepadaku kebaikan di dunia dan juga di akhirat dan
jauhkanlah aku daripada azab nerakaMu. Amin.”
Esoknya, usai solat Subuh aku bersiap untuk ke pejabat. Niat di hati hendak memberi kejutan
kepada Mama. Semalam aku telah menelefon Kak Ram, pembantu peribadi Mama dan dia
memaklumkan Mama akan berada di pejabat sehingga pukul 11. Selepas itu Mama perlu
menghadiri mesyuarat.
Kak Ram menjerit kegirangan melihat aku. Dipeluknya aku erat-erat. “Ish budak ni,
lama menghilangkan diri” katanya selepas melepaskan pelukan. Aku sengeh saja.
“Mama macam mana Kak Ram?” soalku.
“Kejap lagi sampailah tu. Mesti dia suka tengok kamu. Tau tak, bila kamu tak ada,
susah Mama kamu. P and L Report, bank reconciliation, loan repayment, dan hal-hal
kewangan yang lain dia terpaksa handle sendiri. Nak harapkan Melissa, dia tu fresh
graduate, banyak yang dia tak tau. Dah, jangan nak hilang-hilangkan diri lagi. Berdosa tau
buat Mama kamu susah hati.”
Kan dah kena, dapat tazkirah percuma pagi ni dari Kak Ram. Tapi aku terima. Benar
apa yang dikatakannya. Bila abang datang menziarahiku, aku mula tersedar implikasi
tindakanku terhadap orang lain, sedangkan sebelum ini Mama telahpun menasihatiku ketika
kali pertama aku melarikan diri.
“Ok Kak Ram. Reen nak tunggu Mama dalam bilik” dan aku terus berlari ke dalam
bilik Mama. Aku tutup lampu bilik sebaik sahaja aku masuk ke dalam. Kononnya nanti
Mama akan terkejut melihat aku bila lampu dibuka. Aku kerling jam di tangan. Sudah lapan
sepuluh minit, namun Mama belum tiba. Tak mengapa, mungkin dia lambat sedikit pagi ni.
Maklumlah kesesakan jalan raya di KL susah dijangka. Sepuluh minit berlalu. Akhirnya
terdengar derap kaki menghampiri pintu pejabat Mama.
“Kenapa tak bukak lampu Kak Ram?” kedengaran suara sebaik sahaja pintu dibuka.
Satu kepala dibaluti tudung berwarna hijau epal menjenguk ke dalam sambil tangan
menyentuh suis lampu. Eh, itu bukan suara Mama. Susuk tubuh berbaju kurung Johor
berjalan masuk, melangkah dua tapak kemudian berhenti.
“Allahu akbar!” jeritnya, dan fail yang dipaut terlepas ke lantai. Terkejut melihat aku
yang terpaku di sofa.
“Adik!”
“Kakak!”
“Subhanallah! Terkejut kakak! Apa buat duduk dalam gelap ni?” Kak Rina menerpa
ke arahku. Kami berpelukan di atas sofa. Terlerai sudah rindu kepada Kak Rina.
“Ya Allah, adik! Bila balik? Kenapa tak datang jumpa kakak?”
“Baru sampai malam tadi. Ingat nak surprisekan Mama, tetiba kakak yang muncul.
Apa kakak buat kat sini? Mama mana?”
Kak Rina senyum. Direnungnya aku, lama. Kemudian dia berkata “meeting Mama
ditukar ke pukul sembilan, so Mama pergi terus ke sana.”
“Kakak buat apa kat sini?” Kak Rina senyum lagi. Dia bangun, mengutip fail di atas
lantai, meletakkannya di atas meja Mama dan kemudian datang ke sofa, menarik tanganku.
“Jom” dan aku hanya menurutinya.
Kami pergi ke Restoran Hameed. Keadaan Restoran Hameed di seberang Wisma Reelan
sibuk pagi itu. Ramai yang bersarapan sebelum memulakan tugasan harian. Kami duduk di
meja paling dalam, agak jauh dari orang ramai. Aku memesan sekeping roti telur bawang dan
segelas teh tarik manakala Kak Rina memesan sekeping tosai dan minuman yang sama.
“Kakak dah kerja dengan Mama sekarang.”
“Betul ke ni? Ya Allah, macam tak percaya” ujarku sebaik Kak Rina menghabiskan
ayatnya.
“Kakak pun tak percaya, tapi itulah kebesaran Allah. Sesuatu yang dah lama kakak
tunggu akhirnya terjadi juga. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kakak. Lepas tiga hari
adik tak datang kerja, Mama datang ke rumah.”
“Mula-mula kakak ragu-ragu, tapi Mama bersungguh-sungguh minta tolong. Tengok
air muka Mama, terasa kesian. Kakak tak terus bagi jawapan. Fikir dulu, lepas tu minta
pendapat Abang Aeril. Esoknya kakak terus datang sini.” Kak Rina berhenti bercakap. Air
teh diteguk sedikit. Kemudian menyambung ceritanya.
“Macam tak percaya dik, Mama peluk kakak. Berkali-kali dia ucapkan terima kasih.
Kakak bagitau, kakak setuju kerja di sini, tapi dengan beberapa syarat.”
“Apa syaratnya?”
“Yang pertama, kakak nak kerja tiga kali seminggu saja. Yang kedua, kakak minta
Mama janji jangan marah-marah adik lagi. Yang ketiga….” Ayat kakak tergantung di situ.
Airmatanya mula bergenang. Dengan sebak, dia menyambung “kakak minta Mama terima
kakak sebagai anaknya sendiri dan maafkan arwah umi. Kakak kata, kakak dah tak ada
sesiapa lagi melainkan Mama, adik dan Abang Lan.”
Airmataku turut bergenang.
“Mama setuju dengan syarat kedua dan ketiga. Malahan Mama minta maaf atas apa
yang dah berlaku selama ini. Tapi syarat pertama tu, Mama minta kakak pertimbangkan
untuk bekerja sepenuh masa. Kakak tak sampai hati nak tolak, lagipun ini peluang untuk
kakak berbaik dengan Mama. So, here I am, working here full time” kakak menghabiskan
ceritanya.
Alhamdulillah, bisikku di dalam hati. Terima kasih ya Allah, di atas berita gembira
ini. Satu lagi hikmah kini terserlah. Dengan aku menghilangkan diri, Mama telah menerima
kakak.
“Assalammualaikum Ma” aku tuturkan sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke bilik
Mama. Mama mengangkat mukanya, memandang terus ke arahku. Riak wajahnya tenang
saja. Aku pula masih berdebar-debar. Aku aturkan langkah, berjalan perlahan ke arah
Mama.
“Bila balik?”
“Malam tadi.” Aku semakin hampir kepada Mama. Aku hulurkan tangan, Mama
sambut. Aku cium tangan Mama dan kemudian memaut bahunya. Perasaan sebak
menghambat hati, diiringi perasaan bersalah.
“Maafkan Adik.” Itu saja yang mampu keluar dari bibirku. Airmata mula bergenang.
“Dah puas menyorok?” itu pula yang Mama tanyakan. Aku diam. Ingat, jangan
menjawab, bisik hatiku.
“Ma, Adik minta maaf” aku ulangi permohonan maaf. Please Ma, say you forgive
me, hati berbisik lagi.
“That easy Reen? You have problem, you disappear. Tinggalkan Mama sorangsorang.
Mana nak uruskan hal syarikat, nak cari orang ganti tempat kamu, risaukan kamu
lagi. Is this how a responsible daughter behave? Mula-mula hilang seminggu. Yang kedua
ni dekat tiga minggu. After this when you have problem, how long are you going to
disappear? Sebulan? Setahun? Do you care that we are so worried about you?”
Kalau bebelan Mama dah bercampur Bahasa Melayu dan Inggeris, sahlah Mama
marah. Dan satu lagi tanda dia marah, dia akan panggil aku Reen. Panggilan Adik hilang
entah ke mana. Aku capai tangan Mama dan genggam erat-erat. Airmata bergenang semula.
Perasaan bersalah yang teramat sangat menghambat tangkai hati.
“Sorry Ma, Adik janji tak akan buat lagi. Adik sedar Adik dah banyak susahkan
Mama. Maafkan Adik” aku rayu kemaafan dari Mama. Sesungguhnya aku amat
memerlukan kemaafan itu.
“Don’t promise me anything. Grow up Reen. Falling in and out of love is just a
small part of life. Banyak lagi yang perlu kita hadapi dalam hidup ni. Mama risau, entah di
mana kamu. Sihat ke, makan minum kamu macam mana. Di mana kamu tinggal. Ada duit
ke tidak. If anything happened to you, we don’t even know where to look for you.”.”
Senangnya Mama kata jatuh cinta dan putus cinta itu hanyalah sebahagian kecil
kehidupan. Sedangkan bagiku cinta sangat penting. Cinta memberi aku sinar dalam
kehidupan, sinar yang menceriakan setiap hariku. Tapi tiada apa yang boleh aku lakukan,
melainkan membiarkan saja Mama meluahkan kemarahannya.
“Maafkan Adik Ma” aku ucapkan lagi, setelah lama Mama mendiamkan dirinya.
Ketika itu pintu bilik diketuk dan di sebalik pintu Kak Rina muncul.
“Come here Rina,” Mama memanggil. Kak Rina menyertai kami di sofa.
“You both are my daughters. Mama sayang kamu berdua. Mama minta maaf dengan
Rina atas apa yang Mama dah buat pada kamu sebelum ini. Adik, maafkan Mama juga
kerana terlalu bertegas dan garang dengan kamu.” Air jernih jatuh dari mata Mama. Aku
sebak dan Kak Rina juga berair matanya.
“Mama tak buat apa-apa kesalahan, macam mana Rina nak maafkan.” Ujar Kak Rina.
Rangkulan mama dilepaskannya. Kemudian Kak Rina cium pipi Mama, mula-mula belah
kanan, kemudian belah kiri.
Aku bersyukur melihat Mama dan Kak Rina sudah berbaik. Terserlah satu lagi
hikmah dari takdirMu ya Tuhan.
“Adik, jangan tinggalkan Mama lagi. Apa masalah yang datang.. jangan lari, jangan
sembunyi. Kita hadapi bersama…sebagai sebuah keluarga. Susah senang, kita tanggung
sama-sama. Selama ni, bukan Mama tak berminat dengan masalah Adik. Cuma Mama nak
Adik kuat…cekal. Jangan lembik, sikit-sikit mengadu… sikit-sikit merajuk. Mama tak mau
Adik perangai macam tu lagi.””
Airmataku merembes keluar. Sebelum ini setiap kali ada perbalahan di antara kami,
Mama akan bertegas. Dan ketegasannya sering membuatkan aku merajuk, berhari-hari
bermasam muka dan pernah juga tidak bertegur sapa dengan Mama. Betapa berdosanya aku
terhadap Mama.
“Maafkan Adik Ma. Adik faham sekarang. Adik akan berubah.”
Akhirnya kami bertiga berpelukan, masing-masing masih menangis. Tangisan
keinsafan buat diriku, yang juga diiringi dengan tangisan kesyukuran.
Berselera aku makan. Dua kali tambah nasi. Mana tidaknya, sudah lama tidak merasa air
tangan Mak Kiah. Apatah lagi hampir tiga minggu sekadar menelan biskut, roti dan mi
segera di waktu malam. Gulai kurma daging dengan kentang, sayur petola tumis air dengan
suhun, sambal belacan dan cencaru belah belakang adalah menu makan malam kami.
“Adik, sebenarnya ke mana Adik menghilang dekat tiga minggu?” soal Kak Rina.
Mama yang sedang mencubit ikan cencaru mengangkat mukanya, turut menanti jawapanku
yang masih sibuk mengunyah.
Dengan beria-ia aku menceritakan di mana aku tinggal serta pengalaman hampir tiga
minggu tinggal di homestay. Terbayang-bayang wajah Mak Jah, Fina, Pak Akob, Elida dan
anak-anaknya dan…. Naim. Naim? No way! Tak mahu aku mengingati mamat sengal yang
menuduh dan bersangka buruk terhadapku. Dah lah tu, suka menyakat pula.
“Adik buat apa di sana? Tak bosan ke?” barulah kali ini Mama bersuara.
“Tak Mama, tak rasa bosan. Tapi lama-lama Adik mula rindu kat Mama, arwah Papa,
Kakak, Abang. Bila teringat Muaz, Adik rasa sedih, kecewa, rasa diri ini bodoh pun ada.
Bila teringatkan Mama… Adik rasa bersalah, rasa takut…. Mama mesti marah Adik”
“Habis, sepanjang kat sana Adik bersedih ajelah?” soal Kak Rina.
“Mula-mula sedih tapi perlahan-lahan rasa sedih mula kendur. Mak Jah banyak beri
nasihat. Adik bergaul dengan Mak Jah dan anak-anaknya, terutama anak bongsunya Fina.
Jadi sikit-sikit dapat lupakan kesedihan.”
Muncul wajah Fina di ruangan mata. Terkenang kembali perkara-perkara yang kami
lakukan bersama. Tanpa sedar tersimpul senyuman di bibirku. Eh… kenapa wajah Naim
pun muncul? Kacaulah dia ni. Tapi memang di beberapa peristiwa… bila ada Fina, adalah
Naim. Terus mati senyumanku bila wajah dan gelagat Naim muncul di ruangan mata.
“Mama dengar ada jejaka kacak kat homestay tu,” ujar Mama sambil tersenyum.
Rupa-rupanya Mama sedang memerhatikan gelagatku. Ini mesti Abang yang bercerita. Aku
mencebik. Ya, memang dia kacak tapi apa guna wajah yang kacak kalau perangai
menjengkilkan.
“Huh… kacak lagi Muaz. Mula-mula dia macam baik je, bagi nasihat kat Adik. Tapi
makin lama tinggal kat situ, Adik tak suka kat dia. Dia tuduh adik yang bukan-bukan. Ruparupanya
dia kawan sekolah Abang.”
“Tak semestinya apa yang kita suka itu elok, dan apa yang kita tak suka itu tak elok.
Kadang-kadang apa yang kita nampak tak sama dengan kisah sebenarnya. Entah-entah orang
yang kita sayang tak sayangkan kita, orang yang kita benci boleh jadi orang yang kita sayangi
satu hari nanti.”
Aku diam, tapi dalam hati membenarkan kata Mama. Aku sayangkan Muaz sebagai
kekasih namun dia hanya sayangkan aku sebagai sahabat. Aku redha, ini yang telah tertulis
untukku. Selepas ini aku akan jaga hatiku, agar tidak mudah jatuh cinta kepada mana-mana
lelaki. Terbayang pula wajah Naim. Issh, simpang malaikat 44. Aku cuma tak suka
padanya, bukan benci. Namun tak mungkin dia akan jadi orang yang aku sayangi.
No comments:
Post a Comment