DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 16 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 8



AKU TAK percaya kau boleh satu kumpulan dengan singa jantan tu. Kau tukar ajelah, Zeeza. Aku tak nak dia buli kau pulak nanti. Kelas pun dia tak pernah datang, inikan pula nak jadi ketua. Jahanam kumpulan kau nanti,” omel Izz sambil menyedut minuman yang terhidang di depan mata.
Suasana bising di kafe langsung tidak membantutkan mereka untuk menjamu selera. Izz memandang wajah Azeeza yang sedikit muram. Namun, keayuan sahabatnya itu tetap tidak pudar walaupun tanpa solekan yang tebal.
“Kau dengar kan apa yang ustaz cakap tadi. Dia tak nak dalam kumpulan nanti ada sleeping partner. Bukan aku tak nak tukar, ustaz yang tak bagi.” Balas Azeeza. Dia melepaskan keluhan.
“Tapi kenapa mesti dengan mamat tu? Kalau dengan abang aku pun okey juga,” sampuk Liyana.
“Yang aku tak boleh terima, kenapa kumpulan kita harus berpecah dan bergabung dengan geng-geng mamat sewel tu.” Bebel Izz lagi.
Liyana dan Azeeza mengeluh lagi. Mana mereka tak bengang, keputusan Ustaz Mustakim memang tak masuk akal. Liyana digandingkan dengan Firman, Izz digandingkan Yasmin dan Azeeza diletakkan dalam satu kumpulan dengan Qaiser. Mana mungkin kucing dan tikus boleh bersahabat baik inikan pula mereka.
“Tapi kan Zeeza, aku tengok….” Izz tidak dapat menghabiskan bicara apabila kedengaran ruang kafe yang sunyi sepi itu bertukar. Serentak, mereka bertiga memanggungkan kepala.
Kelihatan kumpulan Qaiser melangkah masuk ke dalam kafe. Memang sudah menjadi kebiasaan, jika kumpulan Qaiser masuk ke dalam kafe, sesiapa yang berada di dalam kafe harus keluar jika tidak, teruklah mereka dikerjakan. Ada yang ditolak keluar dari kafe, ada yang dibuang makanannya, malah ada yang dimandikan dengan kuah kari akibat tidak mahu keluar dari kafe. Kebanyakkannya adalah pelajar-pelajar baru yang masih belum mengenali kumpulan Qaiser.
“Jomlah kita keluar, aku tak nak cari pasal dengan orang tak betul macam geng Qaiser tu,” ujar Izz sambil bangkit dari tempat duduk.
“Buat apa kita nak keluar? Kafe ni bukan bapak dia orang punya pun.” Tegah Liyana dengan muka selamba.
Azeeza hanya menganggukkan kepala. Dia meneruskan suapan sehinggalah dia terasa seperti ada orang yang berdiri di sebelahnya. Tidak lama kemudian, pinggan nasi Azeeza ditarik. Suapan Azeeza terhenti. Pantas, dia mendongak.
“Kau ni memang degil kan? Berapa kali aku pesan, kalau Qai dengan kita orang datang, kau orang kena keluar dari sini!” suara Yasmin memecah gegendang telinga Azeeza.
Liyana mencebik. Izz menayang muka meluat. Azeeza mendengus marah. Dia cukup pantang kalau waktu makannya diganggu.
“Perut kau boleh pecah ke kalau aku makan dekat sini? Aku tak kacau kau jadi kau jangan kacau aku!” Azeeza bersuara tegas. Sedikit pun dia tidak memandang wajah Yasmin.
Liyana dan Izz tersenyum sinis.
“Kau jangan nak berlagak sangat, Zeeza. Aku tahu sengaja nak tarik perhatian Qai kan? Sebab itu kau suka sangat satu kumpulan dengan Qai untuk kem tu nanti. Tak sangka, nampak alim tapi gedik!” hambur Yasmin lagi. Dia memeluk tubuh.
Mana Yasmin tak bengang, lelaki pujaan hatinya digandingkan dalam kumpulan yang sama sedangkan dia digandingkan dengan mamat sotong. Bantahannya pada Ustaz Mustakim langsung tidak diendahkan malah Qaiser sendiri hanya mendiamkan diri. Sedikit pun tidak melenting ataupun bersuara dengan keputusan ustaz.
Berdesing telinga Azeeza mendengar tohmahan Yasmin. Dia ingat aku hadap sangat si Qaiser tu. Bagi percuma pun belum tentu dia nak. Desis hati Azeeza.
“Kau ingat aku kebulur sangat ke dengan buah hati kau tu? Yang kau nak jealous tak tentu pasal ni kenapa? Dia kekasih kau, tiap-tiap hari kau berkepit dengan dia. Aku dengan dia cuma satu kumpulan itu sebab terpaksa. Kau faham tak, TERPAKSA. Aku tengok dia tak berbunyi pun, kau aje yang lebih-lebih. Entah-entah kau ni yang terhegeh-hegeh!” balas Azeeza selamba. Kata-katanya cukup berbisa.
Sekilas dia mengerling ke arah Qaiser dan kumpulan lelakinya yang lain. Lelaki itu hanya memandang ke arah dia dan Yasmin tanpa bertindak apa-apa.
“Mulut kau ni memang kurang ajar!” Marah Yasmin. Dia mengangkat tangan ingin menampar namun perbuatannya terhenti apabila ada suara yang memanggil.
“Yasmin, you jangan buat kecoh boleh tak? Serabut tahu tak?” Suara Qaiser menghentikan tindakan Yasmin yang hampir menampar pipi Azeeza.
Qaiser menghampiri Yasmin dan Azeeza. Dia memandang Azeeza seketika sebelum pandangannya beralih pada Yasmin yang sudah mencebikkan bibir.
“Qai, kenapa dengan you ni? Patutnya you ajar perempuan tak guna ni. Dia tak ikut arahan kita. Dia ganggu waktu kita makan. Dia memang patut ditampar!” marah Yasmin lagi kali ini seakan merengek pada Qaiser.
Liyana dan Izz menutup mulut. Menahan rasa loya melihat kegedikkan Yasmin dengan Qaiser. Siap berpeluk lengan lagi.
“I nak makan, I lapar. Tak ada masa I nak layan benda-benda sampah macam ni. Kalau you nak ikut I, better you pergi oder dan duduk dekat meja kita. Kalau tak, you makanlah dengan octopus ni,” ujar Qaiser sambil memandang Izz dengan tajam.
Mata Izz membulat. Dia panggil aku octopus? Sungguh menyakitkan hati singa jantan ni! Marah Izz cuma dalam hati. Dia tidak berani untuk meluahkan, bimbang dikerjakan oleh Qaiser seperti tempoh hari. Sudahnya dia hanya mampu merengus.
“You ni kan….” Yasmin berlalu sambil menghentak-hentak kakinya tanda protes terhadap keputusan Qaiser.
Qaiser berpaling pada Azeeza. Wajah gadis manis itu dipandang lama.
“Petang ni jumpa aku dekat court bola keranjang pukul lima. Ada benda yang aku nak bincang pasal kem ibadah tu.” Ujar Qaiser dengan suara yang serius.
Azeeza memberanikan diri membalas pandangan Qaiser.
“Kenapa tak bincang sekarang je? Tak ada masa aku nak jumpa kau karang,” balas Azeeza malas.
“Aku ada kelas selepas ni. Lagipun senarai nama tu masih ada dengan ustaz. Kalau bukan sebab pelajaran mati hidup balik pun aku tak nak menghadap muka kau tu,” balas Qaiser kasar. Dia tersenyum sinis sambil memandang Azeeza yang berbaju kurung dari atas hingga ke bawah.
Azeeza memicingkan matanya. Rasa ingin ditumbuk saja wajah Qaiser saat ini.
“Berlagak!” hambur Azeeza tiba-tiba.
Qaiser tidak membalas sebaliknya dia memusingkan badan membelakangi Azeeza. Segaris senyuman kecil terukir di bibirnya.

MATA AZEEZA melilau-lilau memandang kawasan gelanggang bola keranjang yang sangat luas. Waktu petang merupakan kelaziman pelajar-pelajar kolej beriadah setelah penat memeras otak di dalam kelas. Cuma Azeeza sahaja yang tidak minat bersukan.
“Mana pula mamat ni?” soal Azeeza sambil memanjangkan tengkuknya mencari kelibat Qaiser yang masih belum kelihatan.
Liyana yang berada di sebelah turut sama mencari. Mata Liyana terhenti pada laman wajah Firman yang duduk di tepi gelanggang sambil membaca buku. Liyana tersenyum sendirian. Memang itulah tabiat abangnya. Lelaki itu lebih gemar menghabiskan masa dengan membaca buku daripada turut serta bermain bola keranjang.
“Aku rasa kat sana…” ujar Liyana sambil menuding jari ke arah Firman.
Azeeza mengalih pandangan. Tepat. Kelihatan Qaiser dan kumpulannya sedang bermain. Kedengaran riuh rendah suara mereka menjerit. Tidak kurang juga ada pelajar wanita yang turut berkerumun untuk menyaksikan kumpulan mereka bermain. Azeeza mencebik. Macamlah bagus sangat! Getus hatinya.
“Kita nak kena pergi sana ke? Ramai betul lelaki kat situ. Aku seganlah…” balas Azeeza. Wajahnya sedikit cuak. Dia memang tidak gemarkan keadaan yang dipenuhi dengan lelaki. Cukup merimaskan.
“Kalau kau tak pergi, macam mana singa jantan tu nak nampak kau? Nanti lambat pula kita balik.” Ucap Liyana.
Azeeza mengeluh. Dia tiada pilihan. Lantas, langkah kaki diorak menuju ke arah gelanggang tempat Qaiser bermain. Dia berdiri di satu sudut sambil menunggu lelaki itu menamatkan permainannya.
“Ana, buat apa kat sini?” tegur satu suara mengejutkan mereka berdua.
Liyana dan Azeeza berpaling. Kelihatan Firman sedang berdiri di belakang mereka dengan senyuman manis mekar di bibirnya. Anak mata Firman memandang wajah Liyana dan Azeeza silih berganti.
“Ni hah, Qaiser nak jumpa Zeeza dekat sini. Tapi dia boleh asyik je main bola tu.” Terang Liyana sambil menjuihkan bibir ke arah Qaiser yang sedang melontarkan bola pada kawannya yang lain.
“Oh, sekejap. Abang tolong panggilkan,” ujar Firman lantas berlalu. Azeeza hanya mendiamkan diri. Namun, anak matanya tetap mengekori langkah kaki Firman yang sudah melangkah masuk ke dalam gelanggang bola keranjang.
Kelihatan lelaki itu memanggil nama Qaiser sebelum Qaiser berpaling pada Azeeza dan Liyana yang sedang menunggu di luar gelanggang.
“Patutlah ramai sangat student perempuan tengok Qaiser ni sampai tak berkelip, memang dia hensem pun.” Puji Liyana sambil anak matanya berkelip-kelip memandang Qaiser yang sedang mengelap peluh.
Azeeza mencebikkan bibir. Hensem tang mana pun aku tak tahulah Ana ni. Kekacakan ataupun kecantikan itu akan terserlah jika hati pun cantik. Detik hati Azeeza.
“Kau tu semua lelaki kau cakap hensem. Izz pakai singlet pun kau cakap hensem,” gurau Azeeza sambil ketawa kecil.
Liyana membeliakkan matanya. Serentak, satu tamparan halus hinggap di lengan Azeeza. Dia turut ketawa melihat wajah Azeeza yang berkerut.
“Hoi, bukan main seronok nampak.” Tegur satu suara menyebabkan tawa Azeeza terhenti. Dia mendongak.
“Hoi aje yang kau pandai panggil. Ingat kami ni tak ada nama ke?” marah Liyana sambil berpeluk tubuh.
Qaiser tersenyum sinis. Pandangannya beralih pada Azeeza yang hanya mendiamkan diri. Begitulah keadaan Azeeza jika berhadapan dengannya. Tidak seperti dahulu. Pantang berjumpa pasti gadis itu akan menjeling benci.
“Panggilan hoi je sesuai untuk perempuan macam kau orang ni. Kawan kau ni dah bisu ke?” soal Qaiser pada Liyana.
Liyana berpandangan dengan Azeeza. Azeeza menayang muka benci.
“Aku cakap bila perlu je. Mana senarai nama yang kau nak bagi tu?” soal Azeeza dengan suara mendatar. Wajah Qaiser tidak dipandang sebaliknya dia hanya menghulurkan tangannya.
Qaiser mencebik. Dia membuka beg galas lalu mengeluarkan fail berwarna biru. Sehelai kertas diambil lalu dicampakkan ke Azeeza. Dia tersenyum sinis melihat wajah Azeeza yang terpempan. Baru kau kenal siapa Qaiser. Detik hatinya.
‘Kurang ajar!’ Jerit hati Azeeza namun dia cuba bersabar. Dia sudah penat bergaduh dan bertikam lidah dengan Qaiser. Tidak mendatangkan apa-apa faedah pun.
“Kau ni tak reti sopan sikit ke?” marah Liyana sambil mengetap bibir.
“Tak!” jawab Qaiser spontan.
Azeeza hanya diam dan menundukkan badannya untuk mengutip kertas yang jatuh di atas lantai sebelum dia kembali berdiri tegak. Satu persatu nama yang tertulis di atas kertas tersebut dibaca. Dia hanya membiarkan saja Liyana yang bertikam lidah dengan Qaiser yang jelas tidak mahu mengalah.
“Ini je ke ustaz bagi?” soal Azeeza sambil memanah tepat ke mata Qaiser.
Qaiser terkedu seketika. Mati terus bicaranya apabila bertentangan mata dengan Azeeza. Dia menelan air liur yang terasa lekat di kerongkong. Kenapa pula dengan aku ni? Getus hatinya.
“Qaiser…” panggil Azeeza sambil mengawang-awangkan tangannya.
Qaiser tersentak. Kemudian dia mengangguk. Entah apa yang dianggukkannya pun Qaiser tak pasti.
“Ustaz nak kita belikan barang-barang untuk memasak semasa kem. Modal ustaz hanya beri RM150 aje. Kita kena beli barang-barang kering, barang-barang basah yang lain ustaz akan sediakan. Pastikan setiap ahli kumpulan sampai di kem sebelum pukul tujuh. Kalau ada seorang pun yang lambat, semua ahli kumpulan akan didenda.” Terang Qaiser mengikut apa yang telah diucapkan oleh Ustaz Mustakim.
Azeeza hanya mendengar tanpa sedikit pun mencelah.
“Macam mana kita nak pastikan setiap ahli kumpulan kita sampai tepat pada waktunya?” keluh Azeeza. Dia memandang Liyana. Berharap agar sahabatnya itu membantu.
“Sebelum bertolak, kita kena pastikan kita call semua ahli kumpulan kita. Tak pun sehari sebelum itu kita kena meeting dengan mereka dulu. Yelah, bila dah ramai ni, masing-masing ada perangai masing-masing. Jadi kita kena terangkan pada mereka.” Ujar Liyana. Lupa seketika mereka pada Qaiser yang masih terpacak di hadapan mereka.
“Aku nak call dia orang macam mana? Aku tak ada handphone.” Ujar Azeeza. Satu keluhan dilepaskan. Itulah perkara yang amat dikesali oleh Azeeza. Kesempitan hidup menyebabkan Azeeza tidak berpeluang untuk memiliki telefon bimbit sendiri.
Liyana terdiam seketika. Dia mengalih pandangan pada Qaiser yang asyik memerhatikan Azeeza walaupun sahabatnya itu tidak memandang dirinya.
“Apa gunanya kau ada ketua kan? Biar ajelah Qaiser yang call setiap ahli kumpulan kau. Kem ibadah ini kerja berkumpulan bukannya letak atas bahu kau seorang,” ucap Liyana dengan suara yang meninggi. Bertujuan untuk mengejutkan Qaiser yang kelihatan termenung jauh.
Qaiser tersentak. Sepantas kilat dia melarikan pandangan ke tempat lain.
“Aku tak ada masa untuk buat kerja remeh-temeh macam ni. Kau orang fikir aku banyak masa sangat ke nak telefon setiap nama kat dalam senarai tu. Ini bukan kerja aku, ini kerja perempuan!” sanggah Qaiser. Dia melantun-lantunkan bola yang berada di tangannya di atas lantai.
“Kau memang pentingkan diri, Qai. Cuba kau fikir pasal orang lain juga. Ini kerja berkumpulan bukan Zeeza seorang je yang kena buat. Kau selaku ketua kena ambil berat pasal hal ni,” bebel Liyana. Geram dengan sikap pentingkan diri sendiri yang ditunjukkan oleh Qaiser.
Muka aje hensem tapi perangai kalahkan penyangak. Berlagak, pentingkan diri sendiri dan kejam itulah Qaiser Hafiy. Macam manalah ramai perempuan boleh tergila-gilakan lelaki macam Qaiser ni. Desis hati Liyana.
“Suka hati akulah, aku nak pentingkan diri ke tidak. Kau jangan nak menyibuk. Aku nak pergi kem itu pun dah kira satu rahmat untuk kau, Azeeza. Kalau tidak bersiap-sedialah kau untuk gagal dalam subjek ustaz ni,” ujar Qaiser dengan lagaknya yang tidak pernah hilang.
Liyana melepaskan keluhan. Azeeza hanya mampu mengumpul kesabaran. Kini, semua tugas berkumpulan diletakkan di atas pundaknya.
“Sudahlah, Ana. Bergaduh dengan mamat ni macam bergaduh dengan cermin. Semuanya terlontar pada kita semula. Selagi aku mampu, aku buat. Kalau tidak aku mintak tolong dengan ahli kumpulan yang lain. Dia orang kaya, pelajaran itu tak penting pun tapi aku tak sekaya dia. Aku perlu lulus semua subjek untuk tamatkan pengajian aku. Jadi jomlah kita balik. Banyak assignment kena buat,” ujar Azeeza mengalah.
Liyana hanya menganggukkan kepala. Satu jelingan penuh benci dihadiahkan pada Qaiser yang beriak selamba. Memang hati batu! Maki Liyana dalam hati.
Qaiser hanya mencebik. Dia berpura-pura tidak mendengar kata-kata Azeeza padahal kata-kata itu menusuk jauh ke dalam hatinya. Sejak dia melihat sendiri kehidupan Azeeza, sedikit sebanyak rasa benci pada Azeeza menghilang dengan sendirinya. Tetapi melihat wajah Azeeza yang merona merah menahan kemarahan cukup menghiburkan hati Qaiser.
Lantas, dia memandang bola yang berada di dalam genggamannya sebelum dia melontarkan pandangan pada Azeeza yang sudah mula melangkah pergi. Dia tersenyum sendirian. Kemudian, dengan sengaja dia melemparkan bola tersebut tepat mengenai belakang badan Azeeza.
“Aduhhhh!” jerit Azeeza lantas berpaling.
Qaiser ketawa kuat.
“Kau ni memang tak guna!” jerit Azeeza sambil menghentak kakinya di atas lantai.
Qaiser hanya ketawa melihat gelagat Azeeza yang kelihatan bengang. Namun, sedang asyik dia ketawa tiba-tiba…
Bukkkk!
Qaiser dapat rasakan kepalanya berdengung. Serentak dia memandang sebiji bola bergolek di atas lantai. Kedengaran suara yang sedang mentertawakan dirinya. Qaiser berpaling. Kelihatan Azeeza dan Liyana yang ketawa. Qaiser mendengus.
“Padan muka!” jerit Azeeza. Lalu dia berlari meninggalkan kawasan gelanggang sambil mengheret tangan Liyana yang terbahak-bahak ketawa.


No comments:

Post a Comment