DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 March 2016

ITALIAN BOY - BAB 6

“KERETA buruk ni?” Benji macam tidak
percaya saja apabila melihat apa yang ada di depan matanya.
Kereta buruk jenis Toyota KE70 yang warna-warni. Pintu
warna kuning, nak berkarat. Bonet warna merah. Bodi warna
biru.
“Buruk bukan sebarang buruk. Ini dah banyak
berjasa.” Ikram menepuk-nepuk kereta kesayangannya yang
sudah buruk itu. Kereta yang memang dikhaskan untuk
aktiviti driftingnya. Kereta itulah ‘awek’ dia selama ini.
“So, you drive kereta ni ke?” soal Benji kepada aku.
“Yes.”
“Kereta ni umpama baby kami.” Ikram berkata
sambil dipersetujui olehku.
Benji menjeling aku. Kerek. Mesti dia tidak percaya
kehebatan kereta ini. Nampak saja buruk, sekali mengaum,
kalah kereta Skyline. Okey, aku tipu!
“Oh, you bawak kereta mana?” soalnya kepada Ikram
pula.
“Ini juga. Tapi aku bawa Oddie dulu, baru Oddie
boleh bawa kau. Kiranya aku test dululah kereta ni.” Ikram
tersenyum.
Hesy Benji ni... habis, dia fikir aku nak bawa kereta
yang mana lagi?
“Kalau I naik dengan you?” soal Benji kepada Ikram.
Muka dah pucat semacam. Yalah, dia kan tak percayakan
perempuan yang bawak three pedals? Meluat aku dengan
lelaki yang selalu anggap perempuan tidak boleh buat aktiviti
lelaki.
Ikram selalu kata, ‘kalau aku boleh buat, kau pun boleh
buat!’. Itulah yang aku nak! Yakin pada kebolehan seorang
perempuan. Bukan macam Benji. Asal nama perempuan aje,
mulalah tayang muka macam nak memperlekehkan aku.
Atau... aku aje yang terlalu sensitif dengan respons Benji?
“Tak boleh.” Ikram menjawab selamba.
“Kenapa?” Benji sudah nampak macam terkilan.
Aku tahan diri daripada tergelak. Kau nak sangat
ikut, kan? Padan dengan muka!
“Pembukaan aku kena bawak drifter kedua iaitu
dia.” Kata Ikram lalu menarik telingaku. Sakitnya ya ampun.
Ikram ni memanglah!
Benji berpeluk tubuh, mukanya mencuka dan dia
pandang ke sisi. Mesti dia bengang apabila dia tiada pilihan
lain selain naik dengan aku. Aku tahu Ikram sengaja kata
macam itu. Sebenarnya takde dalam syarat pun dia kena
bawak aku, aku kena bawak Benji. Boleh aje kalau dia nak
bawak Benji pun. Sajalah tu dia nak tengok muka cuak Benji.
“Alah... kalau awak takut, awak duduk tempat
penonton ajelah.” Aku berkata kepada Benji. Kesian pulak
dekat dia. Nampak tak yakin sangat aje.
“No I’m not. I okey aje. Siapa kata I takut?”
Hek eleh, muka dah pucat lesi aku tengok. Bukannya
drift bawak laju sangat pun, kan dah dibuat litar. Ada kon
bagai. Lagi satu, ini pertunjukan saja-saja. Suka-suka. Soal
keselamatan amat dititikberatkan sebab show ini merupakan
show haram. Haram kali ini bermaksud, kalau sampai ke
pengetahuan pihak polis, kenalah ca alif but! Mula-mula
buat kerja ni memang aku seram gila. Sekarang dah terbiasa.
Ikram pemandu profesional.
“BETUL KE awak okey?” soalku apabila melihat muka dia
yang dah pucat semacam.
Dia angguk. Tali pinggang keledar dipasang. Sesudah
dipasang, dia memegang tali pinggang keledar itu dengan
kejap. Nampak cuak.
“Kalau awak percayakan saya, awak akan lebih tenang
sikit.” Kataku sambil membaiki topi keledar di atas kepala.
Sengaja aku pakai. Ikram tadi tak pakai pun. Walaupun aku
yakin dengan kebolehan diri sendiri, tapi isu keselamatan diri
sendiri tetap perlu diutamakan.
Ikram berdiri di tengah. Setelah ibu jari dinaikkan,
tanda aku dah boleh mula, aku mula bermain dengan pedal
minyak. Enjin kereta menderum. Tangan sedia di handbrake
yang masih belum diturunkan. Gear pun tak masuk-masuk
lagi. Saja nak acah-acah gengster.
“Jangan risau. Saya buat donutdrift dulu. Kalau
awak tak yakin, saya hentikan kereta. Awak tengok dari luar.”
Aku cuba pujuk Benji.
Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Teruskan aje.”
Aku pun apa lagi? Teruskan jugalah. Gear aku
masukkan. Kaki aku menekan throttle sampai maksimum
lantas memusingkan stereng sampai habis. Hilang fokus,
boleh terbabas. Tangan kena bertindak pantas menarik dan
menurunkan handbrake. Kon di tengah, aku fokuskan. Kalau
tumbang, jatuhlah maruah aku sebagai drifter perempuan
terbaik di sini.
“Wooo hooo!” Kedengaran Benji menjerit ghairah.
Mula-mula saja rasa takut. Macam aku dulu. Sekarang semua
okey.
Aku mula bergerak ke kon lain untuk membuat drift
8. Tangan dan kaki memang kena cekap. Kalau tidak…
Asap mula berkepul-kepul. Bau tayar kereta hangit
akibat bergeser. Ramai orang bersorak. Benji ikut bersorak
riang. Sekurang-kurangnya aku dah berjaya buat orang yang
payah nak ketawa sepertinya ketawa kegembiraan.
“OKEY? MACAM mana? Happy?” soalku sambil menanggalkan
helmet dan aku gantikan dengan topi biasa.
Dia tersenyum lebar dan mengangguk berkali-kali.
Memang nampak muka terujanya.
“Rasa tak puas.” Kini dia sudah tersengih nampak
gigi. Pergh, kacak beb. Padu senyuman dia bagi, terus
meresap kat jantung. Aku dah agak, pasti dia akan cakap tak
puas. Macam pengalaman pertama aku dulu. Rasa berdebar,
macam naik roller-coaster.
“Kan dulu saya pernah bawa?” Aku mengangkat
kening.
“Dulu I tak yakin dengan you.” Jawabnya. Oh,
sekarang dah yakinlah.
Tingkap kereta diterjah Ikram.
“Hoi, yang stunt akhir tadi tak patut kau bawak
penumpang. Terbabas nanti, naya!” sergah Ikram sambil
menepuk topi di atas kepalaku sehingga menutup muka.
Aku menyiku lengannya yang ditongkat ke tingkap
kereta.
“Saja, nak bagi Benji pengalaman.” Aku jawab
selamba.
Tiba-tiba Ikram buka pintu. Acah-acah nak duduk
atas riba aku. Dia nak bawa lagilah maknanya tu.
“Beranilah kau duduk!” Aku mencabar geram. Tapi,
akhirnya aku juga yang mengalah. Menyusup ke tempat
duduk belakang. Aku mengambil duduk di tengah-tengah
antara seat penumpang depan dan pemandu.
“Weh, jangan bawa laju. Aku tak pakai seatbelt.
Hantar kita orang ke kereta.” Arahku.
“Pakailah. Last show.” Ikram bersuara. Nak tak nak,
aku pakai jugalah.
Ni kali pertama aku duduk di belakang sewaktu
dia drift. Biasanya aku duduk kat sebelah dia. Sesudah dia
melakukan stunt terakhirnya, dia menghantar kami terus ke
kereta Benji.
“Tak nak minum dulu ke?” soal Ikram.
Biasanya kami melepak dulu ke mana-mana selepas
tamat membuat persembahan. Persembahan ada lagi, tapi
kami yang dah siap ni boleh terus balik. Bukannya ada yang
nak bayar pun. Ni sekadar suka-suka. Kalau ada yang nak
bayar, memang aku tunggu sampai dapat bayaran.
“Boleh aje. Benji nak join? Kalau tak nak, awak
baliklah dulu. Saya balik dengan Ikram.” Aku berkata. Dia
tengok jam tangannya.
“I join sekali.” Putusnya.
“BESOK AKU nak tengok cerita Fast 7. Ramai yang kata cerita
tu gempak weh! Tak sabar aku nak tengok.” Ikram bersuara.
Aku mula rasa nak mogok. Bukanlah aku tak suka cerita yang
dia sebutkan tadi malah aku pernah tengok trailer cerita yang
agak gempak juga.
“Aku rasa Kingsman lagi gempak. Aku nak tengok
Kingsman. Aku tengok trailer dia… pergh!” Aku membantah.
Ikram mencemik.
“Cerita tu mana ada dah dekat panggung. Nanti aku
download ajelah.” Ikram bersuara memujuk.
“La, ya ke? Mati-mati aku ingat ada lagi. Kalau
macam tu, Fast 7 ajelah.” Aku terpaksalah mengikut saja
rancangan Ikram. Cerita tentang kereta pun aku suka juga.
“Korang memang kaki wayang eh?” soal Benji
tiba-tiba setelah dari tadi membisu. Mujur dia tak sebut
perkataan ‘distracting’ dia tu ketika kami seronok berbual.
Aku dan Ikram angguk serentak. Kami berdua boleh
digelar ‘kaki-tak-lekat-kat-rumah’. Kalau dua-dua ada masa
terluang, memang kami akan habiskan untuk buat bermacam
aktiviti sampai balik waktu malam. Lepas tu, tidur sampai ke
petang besoknya sebab penat. Dah biasa.
“Good. So, we’ll watch Fast 7. Tomorrow. My treat.”
Selamba saja dia memberi kata putus. Lagi pelik, siapa ajak
dia? Huh! Tapi sebab dia kata nak belanja, aku rasa tu idea
yang bijak.
“Cantik! Tengok kat mana?” soal Ikram yang
langsung tidak hairan dengan Benji yang tiba-tiba nak
mencelah.
“GSC. I boleh book tiket awal-awal.” Dia dah bersedia
nak menempah tiket melalui online website.
“Err, which GSC?” Aku julingkan mata ke atas. Dia
ingat ada satu aje ke GSC dalam Kuala Lumpur ni? Banyak,
tahu tak?
“Pavi.” Pendek dia jawab.
Aku dan Ikram berpandangan. Serentak kami
julingkan mata ke atas. Tempat itu merupakan tempat yang
paling kami tidak suka dalam banyak-banyak shopping
complex yang ada dekat KL ni.
“Well, tempat orang kaya, jalan melenggak.” Ikram
memberi komen bersama cemikkan.
Aku menjeling Benji. Cubalah pilih MBO Space U8
ke? Memang lenganglah sikit. Tak pun kat Icity Mall ke…
Subang Parade ke... Citta Mall ke…
Dulu mungkin kat Pavilion tu tempat orang kaya,
tapi sekarang tempat tu paling banyak budak-budak sekolah
yang baru nak up. Aku tak berapa suka tempat tu. Sesak dan
padat. Lagi sakit mata tengok budak sekolah bercumbuan
dan sebagainya. Macam tak ada agama! Mentanglah ramai
mat salih kat situ, diaorang ingat diaorang dekat bandar New
York agaknya. Bukan setakat itu, risiko untuk diragut dan
sebagainya memang tinggi. Nak dapat parkir kereta punyalah
payah. Memang tak minatlah aku!
“Saya lagi suka kalau dekat MBO Space U8. Tak padat
sangat.” Aku memberi komen.
Ikram menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tempat tu tak boleh cuci mata. Kurang kedai. Aku
suka Mid Valley.” Dia menyatakan pula tempat yang dia suka.
Sama juga. Mid Valley pun jammed. Baru lagi
aku nak memprotes, Benji mengangkat tapak tangannya,
menyuruh aku senyap.
“Okay. So, we’re going to Pavi.” Selamba dia
memberi kata putus. Memang menyakitkan hati sungguh.
Nak juga dia menang. Tapi takpelah, terlupa pulak yang dia
kata dia nak belanja.
Aku dan Ikram akhirnya terpaksa mengangguk
setuju. Bolehlah. Dah orang nak belanja.
“LAST I tengok wayang, cerita G.I. Joe.”
Aku tergelak mendengarnya. Teruk sungguh!
Lama sangat dah tu. Dia menghantar aku pulang. Dan itu
merupakan dialog pertama yang dia tuturkan sepanjang
berada dalam kereta dengan aku.
“Saya last, Maleficent rasanya.” Aku berkata.
Dia mencemik.
“Cerita budak-budak.” Kutuknya.
Aku tersenyum saja. Walaupun aku ni kaki drift dan
agak lasak, tapi kalau bab-bab movie, cerita Disney memang
wajib aku tonton. Cinderella aje aku tak sempat nak tengok
dulu sebab Ikram busy. Tak ada Ikram, memang tak tengok
wayanglah aku.
“Biarlah. Janji dapat tengok dekat panggung. Dah
lama asyik download aje. Sesekali teringin nak habiskan
masa dengan Ikram macam dulu-dulu. Tengok movie.
Kadang-kadang hari-hari kita orang tengok sampailah habis
cerita dekat panggung. Tengok siapa maksyuk, dia belanja.”
Aku bercerita senang. Kalau dulu memang begitulah cara
kami.
“Kalau macam tu, nanti masukkan nama I sekali.”
Aku agak terkejut. Dia nak join aku dengan Ikram?
Biar betul ni? Sanggup ke dia bertahan dengan kepala
gila-gila aku dengan Ikram, memandangkan dia tu jenis yang
agak pendiam?
“So, you choose to stay Malaysialah ni?” soalku.
“Erm. Buat masa ni I jadi model sambilan dekat satu
agensi ni. So, yes.” Ujarnya.
“Oh, congrats.”
“Thanks! Dah lama sebenarnya. Beberapa hari lepas
I balik sini, I terus cari kerja. Sebab tu I jarang jumpa you.”
Ujarnya.
Eh? Apa kaitan dapat kerja dengan jarang jumpa aku?
Dah sebulan lebih jugalah dia menceburi bidang peragaan
tanpa pengetahuan aku?
“Nanti awak dah famous, payahlah kita nak melepak
sama-sama.” Ujarku, sedangkan dia baru bekerja pun,
memang payah nak jumpa muka dia. Inikan dah famous
nanti.
Dia senyum.
“Tak, kut? I tengok Malaysia punya komersial tak
macam US.” Katanya.
Siapa tahu? Rezeki ni kan kita tak boleh jangka?
Tengok macam Keith Foo tu, model dan pelakon dalam masa
yang sama. Sekarang terkenal sangat dah. Tengok Kamal
Adli, asalnya model. Dapat tawaran berlakon pula. Famous
juga. Mana tahu nasib Benji pun sama? Dapat jadi model
dan kemudian pelakon? Untung-untung aku boleh tumpang
famous. Eh?
KEESOKAN HARINYA, aku bersiap-siap. Mama pun nampak
tersenyum lebar semenjak dua menjak ni. Mentanglah
hubungan aku dengan Benji agak baik semalam. Terus dia
menyakat aku. Tak lama lagi bau nasi minyaklah apalah.
Huh! Jangan harap perkahwinan aku ada nasi
minyak. Aku nak buat nasi ayam atau nasi tomato. Nasi
dagang ke… sedapnya! Apa aku merepek ni?
Sesudah bersiap, aku kerling ke arah jam. Masih
ada sepuluh minit seperti yang aku janjikan dengan Benji.
Dia akan ambil aku di rumah manakala Ikram memandu
sendiri ke sana. Tapi Benji orangnya sangat menepati janji
berdasarkan pengalaman aku berjanji dengan dia kali pertama
dulu.
Seperti jangkaanku, Benji sampai di rumahku lima
minit sebelum yang dijanjikan. Dia melambai ke arah mama
yang menghantarku di muka pintu.
“Pinjam Oddie ya, aunty. Saya janji akan pulangkan
sebelum midnight.” Pintanya sambil kenyitkan mata dekat
mama. Ya Allah, menawan betul!
Mama naikkan ibu jari tangan kanannya. Aku pun
salam tangan dan cium pipi mama sebelum berlari-lari anak
ke kereta Benji.
“Nak pergi tengok wayang pakai macam ni?” soalnya
sebaik sahaja aku masuk ke dalam kereta.
Aku pandang bajuku. Apa yang salah dengan
memakai dress ala-ala Marilyn Monroe ni? Memanglah
nampak klasik tapi aku suka klasik. Sekali-sekala aku teringin
juga nak kelihatan feminin. Takkanlah nak nampak sporty
setiap masa. Duhh!
“Kenapa? Tak sesuai eh?” soalku.
“Takdelah. First time tengok you pakai macam ni.
Berapa lama you buat rambut, ha?” Dia tegur rambut aku
pulak dah!
Aku pegang rambut aku yang bergulung-gulung ini.
Beria aku pakai cantik-cantik sebab nak impress dia. Saja nak
buat dia jatuh hati kepada aku walaupun aku tahu dia takkan
jatuh hati dengan aku. Sekali, ini yang dia tegur?
“Tak sampai sepuluh minit pun.” Kalau ikutkan, ya
tak sampai sepuluh minit pun. Bukannya susah. Blow sampai
kembang macam sarang tebuan, lepas tu ikat dan spray biar
gelembung. Aku tengok tutorial dekat internet.
“Wow, I’m impressed. Biasanya perempuan ambil
masa berjam-jam untuk siapkan rambut tu.” Dia tayang
muka kagum.
Well, aku tak. Aku tak suka habiskan masa yang lama
untuk merapikan diri.
“Berpengalaman nampak.”
“So true.”
Dia menjulingkan matanya ke atas.
Aku tersenyum. Nampak sangat dia tak minat
menunggu. Dan siapalah yang bertuah membuat dia
menunggu tu dulu? Haih, cemburu pulak rasanya.
“Muka tak mekap?” soalnya pula.
Aikkk, tak nampak ke muka aku ni lain sikit serinya
hari ini?
“Ammm, mekap. Kenapa?” Aku berkata dengan nada
pelik.
“Tak nampak pun.” Dia menilik mukaku dengan
lebih dekat, nak pastikan sama ada aku pakai mekap seperti
yang aku katakan. Gayat weh apabila dia tenung begitu.
“Sebab… pakai lipstick nude colour dengan compact
powder aje kut.” Aku berkata perlahan. Mungkin dia tak
nampak bibir aku berwarna lain sikit daripada asal agaknya.
“Tu pun you kata mekap?” Dia ketawa sinis.
Aku berkerut kening.
Dah kenapa dengan dia ni? Mekaplah tu. Kalau tak
mekap, aku kategorikan dalam kumpulan tempek bedak
Johnson Baby saja ke muka, lepas tu pakai lip balm. Dah siap.
Biasanya aku tak mekap. Hari ni sengaja nak mengada-ada
sikit. Mahu taknya, aku bakal diapit oleh dua lelaki handsome.
Hehehe...
“Mekaplah ni. Nak tebal mana lagi?” Aku merungut.
Dia senyum, handbrake diturunkan sejurus saja dia
masukkan gear 1. Kereta mula bergerak.
“Istilah mekap orang perempuan yang I kenal,
pakai eyeshadow, eyeliner, lipstick pekat, blusher, maskara,
eyebrow pencil. Selagi tak nampak macam clown, mereka
takkan berhenti,” bebelnya tanpa memandang ke arahku.
“Tahu aje awak alatan mekap perempuan. Saya tak
pakai semua tu sebab tangan saya tak ada seni. Kalau comot,
saya cepat naik angin.” Akui aku.
Dia ketawa.
“I tahu dari mana? Untuk pengetahuan you ya,
Cik Oddie… I model dan I pun pakai mekap. Hanya bila
photoshoot dan di runaway.”
Sebaik sahaja dia berkata demikian, aku tergelak
lucu. Tak teringat langsung yang dia tu model. Dan lelaki
seserius dia, pakai mekap? Oh Tuhan! Lucunya…
“Hahaa, lupa. Mujur sekarang awak tak pakai.” Aku
kemam bibir.
“Tak ingin I. Kalau you yang perempuan pun tahu
rimas, I ni lagilah.” Dia mencemik. Dia pun tak minat
rupanya.

No comments:

Post a Comment