Malam itu, aku menerima panggilan dari ibuku. Seperti biasa, aku akan terpaksa menadah
telinga mendengar bebelannya yang marahkan aku kerana jarang balik ke
kampung. Aku pun bukan sengaja tidak
mahu balik ke kampung. Apatah lagi,
kampungku itu tidaklah jauh mana pun.
Setakat di Pontian saja, tetapi disebabkan setiap hujung minggu pasti
ada sahaja aktiviti sekolah yang terpaksa aku hadiri. Aku memang tidak akan balik ke kampungku jika
ada aktiviti pada hari sabtu kerana masa rehatku hanya tinggal sehari iaitu
hari ahad sahaja dan satu hari itulah aku gunakan sepenuhnya untuk menyiapkan
kerja-kerjaku yang tertangguh. Pendek
kata memang aku tidak ada masa untuk berehat.
Jadi bagaimana aku boleh kerap balik ke kampung seperti yang diminta
ibuku.
Aku sudah acap kali menjelaskan perkara itu kepada ibuku, tetapi
seperti biasa dia memang sukar untuk menerima alasanku. Satu lagi punca aku malas hendak pulang ke
kampung adalah disebabkan sikap ibuku yang terlebih prihatin ingin mencarikan
jodoh untukku. Pantang aku balik, mesti
adalah anak bujang sesiapa yang hendak direkomenkan kepadaku. Anak mak Anjang Gayahlah….cucu Tok
Penghululah…..adik Ustaz Bidinlah…dan entah sape-sape lagi yang nak
dijodohkannya kepadaku. Aku rasa lagu
‘Cari Jodoh’ nyanyian kumpulan Wali Band memang sesuai untuk ibuku apabila dia
mula bercakap mengenai jodohku. Kalau
dengarkan liriknya, memang aku merasakan diriku ini sungguh desperate sangat nak kahwin!
Kadang-kadang aku terfikir.
Buruk sangat ke rupa aku ni?
Hinggakan aku terpaksa dijodohkan dengan si polan-si polan. Umurku baru sahaja menghampiri 27 tahun,
padaku suatu angka yang masih relevan untuk bergelar anak dara. Tetapi berbeza pula bagi ibuku. Umur seperti itu sudah dianggapnya
andartu! Ibu memang kejam.
“Rilekslah bu….Wani baru je nak masuk 27 tahun….awal lagilah nak
kahwin…”, aku membantah bila ibu sudah mula memulakan bicara cari jodohnya.
“Awal kata kamu Wani? Hei,
umur macam kamu ni, sepatutnya sudah bercucu…”, balas ibu jengkel dengan alasan
samaku.
Bercucu? Biar betul ibu
ni! Kalau ya pun nak menipu,
agak-agaklah sikit ibu oi!
“Sampai bila kamu nak hidup sorang-sorang macam ni? Adik kamu tu dah beranak pinak….dah nak masuk
dua dah anak dia….yang kamu tu, tak habis-habis lagi mengukur jalan?”, macam machine
gun aku dengar leteran ibuku.
Perkara yang sama kerap diungkit-ungkitkannya. Soal langkah bendul, dan perkara inilah yang
menyebabkan suatu ketika dahulu adikku marahkan aku sehingga tidak bercakap denganku
selama berbulan-bulan hanya kerana ibuku melarang adikku untuk berkahwin selagi
aku, kakaknya tidak berkahwin lagi. Dia
tidak mahu adikku langkah bendul.
Kadang-kadang, aku melihat ibuku seorang yang agak berfikiran kolot
sedangkan ia langsung tidak sesuai dengan personalitinya sebagai seorang guru
sepertiku. Akhirnya, ibuku mengalah juga
apabila adikku mengugut ingin bernikah di Thailand jika ibu tetap dengan
pendiriannya melarang adikku berkahwin sebelum aku walaupun aku tahu adikku
tidak akan sanggup melakukannya. Aku
faham, dia tiada jalan lain. Hanya
dengan berkata begitu, ibuku akan mengalah.
Aku bukan sengaja bersikap dingin terhadap lelaki seperti tuduhan
ibuku apabila aku kerap menolak cadangannya.
Tiada siapa yang tahu kenapa aku jadi begini kecuali keluargaku. Aku menyimpan teguh rahsia hatiku ini. Hanya ibu sahaja yang tahu keperitan dan
penderitaan yang kulalui sebelum ini.
Ibu sendiri yang tidak jemu-jemu berusaha memujukku untuk melupakannya
hingga ke peringkat terpaksa membawa aku berubat secara alternatif untuk
membuatkan aku lupa kepadanya.
Oleh kerana itu, ibu berusaha mencarikan aku pengganti tetapi
malangnya hatiku sukar untuk menerima sesiapa sahaja sebagai penggantinya. Pernah aku terima cadangan ibu untuk
mengenali hati anak lelaki teman baiknya, tapi malangnya aku memang tidak mampu
menerimanya walaupun aku sudah sedaya-upaya mencubanya. Sudahnya, aku hanya mengecewakan hati lelaki
itu. Hubungan baik ibu dengan teman
baiknya juga agak terjejas disebabkan sikapku itu dan bermula dari detik itu,
aku akan mengabaikan sahaja setiap kali ibu cuba untuk menjodohkan aku dengan
mana-mana lelaki.
Seboleh-bolehnya, aku memang tidak mahu mengingati lelaki yang
menyebabkan aku jadi begini lagi. Tidak
keterlaluan jika aku katakan, bahawa dialah yang menyebabkan pintu hatiku
tertutup untuk lelaki. Mengenalinya,
hanya mengundang episod duka yang berpanjangan dalam hidupku. Benarlah kata orang, cinta itu buta. Aku jadi buta kerana terlalu memujanya. Terlalu bangga bila berjaya bergelar couple
kepadanya. Sedangkan dalam masa yang sama ramai gadis
yang juga menjadi couplenya. Aku
butakan mata, pekakkan telinga apabila ada cerita-cerita kurang enak mengenai
dirinya yang cuba disampaikan kepadaku dan aku menganggapnya hanya sebagai
fitnah. Fitnah daripada gadis-gadis yang
cemburukan aku.
Aku mengenalinya semasa aku di tahun pertama pengajianku di
universiti. Semenjak minggu orientasi
pelajar-pelajar baru lagi aku telah mula admire kepadanya. Dia adalah pensyarahku sendiri. Pada awalnya, aku tidak tahu dia seorang
pensyarah dan menyangkakan dia adalah pelajar senior disebabkan wajahnya yang
agak keanak-anakan. Kali pertama aku
terpandang wajahnya, hatiku sudah mula berdebar-debar. Aku kerap mencuri-curi pandang
kepadanya. Jika sehari aku tidak nampak
wajahnya, aku mula tidak senang duduk.
Kiranya aku adalah secret admirernya. Meminati secara diam dari jauh. Hanya itu yang mampu aku lakukan.
Jika ditanya kenapa aku sukakan sangat dirinya, aku sendiri tidak
dapat memberikan jawapan yang khusus kerana sebenarnya, aku cukup susah untuk
menyukai seorang lelaki dalam erti kata yang sebenarnya. Biasanya sekadar suka-suka seperti melayan
rakan-rakan lelaki tetapi dengan dia aku tidak tahu kenapa aku berperasaan
begitu. Kali pertama aku terpandang
dirinya, jantungku sudah mula berdegup kencang.
Aku jadi tidak keruan setiap kali berhadapan dengannya sehinggakan suatu
ketika dia pernah terperasan keadaan diriku yang agak gabra ketika berhadapan
dengannya. Memang gila! Tiada siapa pun yang tahu tentang perasaanku
itu kerana aku hanya memendamkan saja perasaan sukaku itu.
Tamat minggu orientasi, aku menyangkakan maka tamatlah juga peluang
aku untuk mencuri-curi pandang kepadanya kerana kawasan kampus yang sangat luas
di dalam kawasan universitiku, tidak mungkin aku boleh bertemu dengannya lagi,
tetapi tiada siapa yang menyangka, dia adalah salah seorang pensyarah yang
mengajarku pada tahun pertama pengajianku.
Aku bertambah bersemangat untuk menghadiri kuliah terutama apabila ada
subjek yang diajarnya pada hari itu. Aku
akan jadi orang yang pertama sampai ke dewan kuliah dan aku akan mengambil
tempat yang strategik untuk terus mencuri pandang kepadanya. Pada ketika itu, angauku boleh tahan dasyat
juga. Walaupun aku tidak pernah
berkomunikasi secara langsung dengannya, tetapi aku rasa sudah memadai dapat
mendengar dia bercakap, melihat senyuman manis dari bibirnya yang dihiasi
dengan tahi lalat di sudut kanan bahagian bawah bibirnya. Semua keistimewaan itu telah membuatkan aku
bertambah angau dengannya.
Sesuatu yang langsung aku tidak sangka, rupa-rupanya selama ini dia
juga menyedari perlakuanku terhadapnya sehinggalah suatu hari dia memanggilku
untuk berjumpanya di dalam bilik di fakultinya.
Aku tidak tahu kenapa dia memanggil aku.
Aku agak berdebar-debar untuk menemuinya. Bimbang jika aku tidak dapat mengawal
perasaanku sehingga ianya nampak ketara di matanya.
Pada mulanya, perjumpaan itu lebih berkisar kepada soal assignmentku
tetapi akhirnya aku terperangkap juga apabila secara direct dia bertanya
kepadaku kenapa aku kerap mencuri pandang kepadanya. Aku rasa mukaku sudah tebal seinci ketika
itu. Malunya, hanya Allah yang tahu. Aku hampir-hampir mahu menangis apabila aku
sudah terperangkap di dalam permainan perasaanku sendiri. Akhirnya aku terpaksa mengaku yang aku memang
meminatinya dari hari pertama aku terpandang wajahnya. Sesuatu yang aku langsung tidak sangka akan
berlaku, apabila dia juga mengakui mempunyai perasaan yang sama sepertiku. Macam tak percaya. Rupa-rupanya aku tidak bertepuk sebelah
tangan dan semenjak dari hari itu kami berkawan rapat sehingga ke peringkat
hampir mengenali hati budi masing-masing.
Sepanjang aku bersamanya, hatiku sudahku pacak untuknya seorang
sahaja. Aku jadi seorang pencinta yang
setia. Sangkaku, dia juga begitu tetapi
seperti desas-desus yang ku dengar mengenai dirinya dari teman-temanku sebelum
ini, memang benar belaka.
Bila aku mula menyedari kecurangannya, aku mula berubah menjadi
seorang yang cukup sensitif dan cemburu.
Pertengkaran demi pertengkaran sentiasa berlaku. Namun, apa yang anehnya, kami terus juga
menjalinkan hubungan cinta. Disebabkan
aku sudah tidak mampu untuk menanggung perasaanku yang menggila ini seorang
diri, akhirnya aku berkongsi juga kisah percintaanku ini dengan teman rapatku,
Zura. Zura sendiri tidak percaya sewaktu
kali pertama aku menceritakan kisah percintaanku itu kepadanya kerana katanya,
pensyarahku itu cukup pandai berlakon.
Semasa kuliah, langsung tidak nampak apa-apa tanda yang kami sedang
menjalin cinta. Oleh kerana itu, Zura
mengatakan aku syok sendiri tetapi akhirnya dia percaya juga bila aku
menunjukkan semua bukti hubungan kami.
Walaupun percintaan kami lebih banyak dihiasi dengan
perkara-perkara yang hanya akan mengguris hatiku, tetapi tanpa kusedari,
percintaan kami terjalin sehingga aku menamatkan pengajianku. Dia cuba membuktikan kesungguhan cintanya
terhadapku, apabila dia berhasrat mengikat tali pertunangan denganku. Tiada apa yang lebih menggembirakanku apabila
orang yang kucinta dengan sepenuh hati telah melamarku untuk menjadi suri
hidupnya.
Setelah aku menamatkan pengajianku, kami terus menjalin hubungan
cinta jarak jauh kerana dia bertugas nun jauh di Sabah dan aku pula telah dipostingkan
semula ke negeri asalku. Kata sepakat
telah dicapai untuk mengadakan majlis tiga dalam satu iaitu merisik, melamar
dan akhirnya bertunang. Jarak kami yang
jauh, telah menyebabkan aku bersetuju sahaja dengan cadangannya itu.
Tiba harinya, segala persiapan telah siap diatur oleh ibu dan
ayahku. Hanya menunggu wakil dari pihak
lelaki tetapi hari itu juga telah menjadi detik hitam dalam hidupku apabila
wakil dari keluarganya langsung tidak muncul-muncul. Suara-suara sumbang sudah mulai kedengaran
apabila orang yang dinanti tidak kunjung jelma.
Ibu dan ayahku sudah mula marah-marahkan aku. Katanya aku langsung tidak tahu menjaga
maruah dan air muka keluargaku tetapi mereka langsung tidak tahu atau pun tidak
sedar, bahawa akulah yang paling merasakan kepedihan akibat insiden itu.
Aku cuba menghubunginya beberapa kali, namun malangnya telefon
bimbitnya dimatikan. Aku sudah mati
akal. Tidak tahu siapa yang patut aku
hubungi ketika itu. Aku cuba untuk
menghubungi keluarganya, tetapi malangnya aku memang langsung tidak tahu di
mana keluarganya tinggal, apatah lagi untuk menghubungi keluarganya. Suatu kesilapan besar yang aku lakukan adalah
terus sahaja bersetuju dengan cadangannya untuk mengikat tali pertunangan
denganku, sedangkan aku langsung tidak pernah diperkenalkan dengan
keluarganya. Memang sesuatu yang agak
pelik tetapi atas dasar jarak kami yang jauh, aku tidak berfikir panjang lagi.
Aku betul-betul terhina.
Tidak tahu untuk menggambarkan bagaimana perasaanku apabila dipermainkan
begini. Aku sungguh tidak menyangka dia
begitu tega melakukan aku sebegini rupa.
Aku kerap menyoal diriku, apa salahku hingga aku menerima ujian sehebat
ini. Akhirnya majlis yang sepatutnya
dibuat untuk meraikan hari pertunanganku, bertukar menjadi majlis tahlil arwah
kerana ramai juga saudara-mara dan jiran-jiran yang sudah dijemput oleh ibu dan
ayahku.
Selepas dari hari yang cukup malang bagiku itu, aku terus cuba
menghubunginya tanpa mengenal erti putus asa, namun aku gagal. Sejak dari hari itu, dia terus mematikan
telefon bimbitnya. Aku cuba untuk
menghubungi rakan-rakan baiknya, tetapi aku langsung tidak mempunyai nombor
telefon mereka. Aku sudah buntu. Tidak tahu apa lagi yang harus aku
lakukan. Apa yang pasti, aku tidak boleh
mendiamkan diri begitu sahaja. Aku mesti mencari apa punca dia perlakukan
aku begitu. Aku mahu dia membersihkan namaku
dan keluargaku yang sudah terpalit dengan malu akibat perbuatannya itu.
Setelah aku menemui jalan buntu, akhirnya aku nekad mencarinya di
tempat belajarku dahulu. Aku sanggup
terbang ke Sabah walaupun cuba dihalang oleh ayah dan ibuku. Aku mahu membuat perhitungan dengannya. Aku pasti dia masih di situ. Ke manalah dia boleh lari. Takkanlah dia sanggup meninggalkan kerjayanya
hanya semata-mata hendak melarikan dirinya dariku.
Memang tindakanku yang ku ambil tepat sekali. Aku berjaya menemuinya di situ. Sememangnya dia amat terkejut melihat aku
muncul di pejabatnya. Dari
penampilannya, langsung tiada perubahan.
Sama seperti dahulu. Malah lebih
ceria tidak sepertiku yang kelihatan sangat cengkung dan tidak terurus. Aku membayangkan wajahnya penuh dengan
kekusutan kerana dia pasti menghadapi masalah sehingga terpaksa memungkiri
janjinya kepadaku.
“Kenapa awak buat saya macam ni?
Kenapa awak mungkir janji? Apa
salah saya pada awak? Kenapa awak
tergamak melakukan saya dan keluarga saya begitu?”, bertubi-tubi soalan yang ku
ajukan kepadanya akibat mengikut gelora hatiku.
Aku sangat kecewa dengan jawapan yang diberikannya. Setelah berkali-kali meminta maaf kepadaku,
akhirnya dia mengaku sebenarnya dia langsung tidak memberitahu keluarganya
mengenai rancangannya mahu mengikat tali pertunangan denganku. Dengan kata lain, ahli keluarganya langsung
tidak tahu mengenai hal pertunangan yang dirancangkannya itu disebabkan dia
merasakan dia belum sedia untuk diikat dengan sesiapa pun. Hatinya belum diberikan kepada mana-mana
perempuan secara pasti termasuk aku disebabkan terlalu ramai pilihan
hatinya. Bodohkan aku? Aku benar-benar rasa dipermainkan dan
diperbodohkannya. Maruah diriku
diletakkan di sudut paling hina malah lebih hina dari anjing kurap! Aku tinggalkannya dengan sumpah dan dendam
yang menggunung tinggi.
Bermula dari detik hitam itu, gaya hidupku sudah berubah. Aku menjadi seorang pendendam walaupun aku
tidak tahu kenapa dan dengan siapa aku harus berdendam. Hati dan jiwaku cukup terseksa tetapi aku
cuba mengawalnya. Di hadapan keluargaku,
aku cuba berlagak aku langsung tidak terkesan dengan tindakan lelaki durjana
itu walaupun pada hakikatnya aku cukup menderita. Sering menangis dalam diam hingga ke
satu peringkat aku merasakan hati dan
perasaanku telah menjadi kosong. Setiap
detik yang kulalui cukup menyeksakan jiwa dan ragaku. Disebabkan perubahan sikapku itu, tiada siapa
dalam kalangan ahli keluargaku yang berani menyebut mengenai peristiwa itu
lagi. Memang aku sudah tidak percayakan
mana-mana lelaki lagi sejak dari peristiwa yang cukup mencalarkan hati dan
perasaanku itu.
No comments:
Post a Comment