DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 11




Hujung minggu itu, aku mengambil keputusan untuk pulang ke kampungku.  Sudah lama rasanya aku tidak pulang ke sana.  Kebetulan pula, hujung minggu itu tiada sebarang aktiviti di sekolahku.  Walaupun ibuku itu kuat berleter, tetapi aku tetap rindukannya terutama sekali masakannya.  Tekak aku sudah tidak larat nak menelan makanan dari luar kerana aku dan Izyan lebih kerap membungkus makanan dari kantin sekolahku.  Bukannya kami malas memasak, tetapi kami merasakan sungguh tidak berbaloi untuk masak sedangkan hanya kami berdua yang makan.  Hanya sesekali, kalau datang angin rajinku, maka akan kedengaranlah kelentang kelentung dari dapurku.  Kalau tidak, dapur rumah sewaku itu akan kekal kemas dan cantik.
Selain disebabkan rasa rinduku itu, aku juga ingin melihat apa reaksi keluargaku terutama ibuku.  Aku bimbang jika ada perbincangan secara rahsia di belakangku dan aku bertambah bimbang jika aku menjadi orang yang terakhir tahu tentang perbincangan rahsia itu.  Apatah lagi, sekarang ini aku sedang berkonfrantasi dengan Tuan Megat akibat idea ibu yang keterlaluan itu.  Kadang-kadang aku agak ragu-ragu juga dengan sikap ibuku itu terutama apabila melibatkan soal jodohku.
Seperti biasa, aku akan singgah ke mana-mana pasaraya untuk berbelanja barang-barang keperluan rumahku di kampung.  Aku tidak lupa pada tanggungjawab pada keluargaku kerana aku tahu, selagi aku belum berumahtangga, maka aku bertanggungjawab terhadap kedua orang tuaku memandangkan adikku sendiri sudah berumahtangga.
Sesampainya aku di hadapan rumahku, aku dapati ada sebuah Honda Stream berwarna hitam dipakirkan di halaman rumahku bersebelahan dengan kereta ayahku.  Berkerut dahiku memikirkan siapakah gerangan empunya kereta itu kerana seingat-ingatku, aku tiada saudara-mara yang menggunakan MPV.  Tambahan pula dengan nombor plat negeri Perak.
Hmmm…..nampaknya ibu dan ayahku ada tetamu dari jauh ni…tetapi kenapa aku tidak diberitahu pula tentang perkara ini.  Takkanlah disebabkan aku jarang pulang ke kampung, maka ayah dan ibuku juga sudah memboikot aku dengan tidak mengkhabarkan sebarang berita dari kampungku kepadaku lagi.
“Hishh!!  Wani….cubalah jangan berburuk sangka sangat!”, hati kecilku memarahi diriku sendiri.
Setelah lama berfikir di dalam keretaku, aku pun turun dari keretaku.  Aku memunggah barang-barang yang kubeli tadi.  Nampaknya tiada siapa yang menyedari akan kepulanganku.  Huaaaa…..aku rasa ingin meraung bila memikirkan kedua-dua orang tuaku tidak mempedulikan aku lagi.  Baru padan dengan muka aku!  Itulah, asyik membantah saja kerjanya, inilah yang aku dapat.
Aku mengambil keputusan untuk masuk dari pintu dapur.  Aku tidak mahu mengganggu tetamu-tetamu orang tuaku.  Mungkin mereka sedang berbual-bual di ruang tamu.  Aku perlahan-lahan melangkah masuk melalui pintu dapur rumahku dengan harapan kedua-dua orang tuaku dan juga tetamu-tetamunya tidak menyedari kehadiran aku di rumah itu tetapi nampaknya aku silap jangkaan kerana sebaik sahaja aku melangkah masuk, kelihatan ibu dan ayahku dan juga tetamu mereka sedang duduk menikmati hidangan tengahari. 
Aku menjeling jam tanganku.  Rupa-rupanya sudah lebih pukul 12 tengahari.  Aku sendiri tidak menyangka aku sampai selewat itu, kerana biasanya jika aku pulang ke kampung, seawal jam 10 pagi aku sudah sampai ke kampungku dan aku akan menolong ibuku untuk menyediakan juadah makan tengahari tetapi hari ini aku agak terlewat.  Mungkin disebabkan aku singgah berbelanja barang-barang dapur  ditambah pula kesesakan jalan raya di Bandar Pontian tadi.
“Assalamualaikum….”, aku memberi salam walaupun pada hakikatnya aku agak terkejut dan juga rasa malu apabila keempat-empat pasang mata itu semuanya memandangku dengan pandangan yang agak terkejut, lebih-lebih lagi ibuku.
“Waalaikumsalam….”, jawab mereka serentak.
“Eh, Wani….bila sampai?  Ibu tak dengar pun enjin kereta kamu?  Lagi pun, tak sangka pulak ibu yang kamu nak balik hari ni….”, soal ibuku yang agak terkejut.  Apa yang pasti, aku dapati reaksi ibuku seolah-olah tidak gembira dengan kepulanganku.
“Baru je bu….”, balasku perlahan.  Terasa kekok benar apabila diperhatikan sebegitu rupa oleh tetamu-tetamu yang sememangnya asing bagiku.  Ternyata mereka bukanlah saudara-maraku kerana aku langsung tidak mengenali mereka.
Ibu segera mendapatkan aku dan membawaku masuk ke dapur sambil berbisik.
“Kenapa tak beritahu nak balik hari ni?”, soal ibuku agak marah tetapi masih cuba mengawal suaranya.  Mungkin bimbang didengar tetamu-tetamu ibu.
Aku pelik dengan reaksi ibuku.  Ayahku pula seperti biasa, kelihatan tenang.
“Sejak bila pulak Wani kena beritahu ibu dulu kalau Wani nak balik kampung?  Selalunya kalau Wani nak balik, kan Wani terus balik.  Mana ada Wani beritahu ibu dulu sebelum balik?”, soalku pelik, juga dengan nada suara yang dikawal.  Aku benar-benar pelik dengan reaksi ibu.  Mesti ada sesuatu yang tak kena ni!
Aku meletakkan barang-barang dapur di kabinet dapur ibu.  Naik lenguh tanganku kerana bersoal jawab dengan ibu sambil menjinjing barang-barang dapur yang boleh tahan juga banyaknya.
“Siapa tu bu?  Wani tak pernah jumpa diorang pun!”, soalku sambil menjengah ke arah tetamu-tetamu itu dari dapur.
“Err….takde siapa-siapalah….Cuma ka..kawan ayah…ye..kawan ayah…”, jawab ibuku tergagap-gagap.  Aku dapati ibu agak kelam kabut menjawab soalanku.
“Ibu ni kenapa?  Semacam aje Wani tengok…..ada apa-apa yang tak kena ke?”, soalku lagi masih tidak berpuas hati.
Tiba-tiba kedengaran ayah memanggil aku dan ibuku.  Aku jadi serba salah sama ada ingin turut sama keluar atau tidak.
“Eh…eh….kamu nak ke mana tu Wani?”, soal ibuku pelik bila melihat aku melangkah keluar meninggalkannya.
“Nak ke mana lagi, nak ke depanlah!  Dah kenapa dengan ibu ni?  Kan ayah panggil kita tu….nanti apa kata tetamu-tetamu ibu tu bila kita bersembunyi kat dapur macam ni.  Ibu….ibu ni kenapa?  Wani tengok, ibu macam tak suka Wani balik aje?”, soalku sudah mula ingin berdrama.  Maklumlah akukan berjiwa halus.  Mudah tersentuh!
Akhirnya ibu turut melangkah juga setelah melihatku terus melangkah ke ruang makan keluargaku tanpa menunggu ibuku, walaupun ibuku kelihatan seperti ingin menyatakan sesuatu lagi kepadaku.  Aku memang tidak mengesyaki apa-apa dan kerana itu aku melangkah dengan penuh yakin kerana padaku, tetamu ibu bermakna tetamu ku juga.  Apatah lagi, tidak ada apa yang patut aku malukan kerana tetamu-tetamu ibuku itu hanya sepasang suami isteri yang sudah agak berusia.  Seusia ayah dan ibuku.
Aku terus sahaja bersalam dengan tetamu wanita itu dan hanya menganggukkan kepala dengan tetamu lelaki itu kerana pada waktu itu, mereka kelihatan sudah selesai menikmati hidangan tengahari yang disediakan oleh ibuku.
“Oh, inilah cikgu Puteri Salwani ye?”, soal tetamu wanita yang aku langsung tidak tahu siapa namanya sebaik sahaja aku bersalam dengannya.  Aku agak pelik juga dengan cara wanita separuh abad yang masih kelihatan cantik itu bertanya kepadaku.  Aku merasakan seolah-olah mereka semua sedang berkata sesuatu mengenai aku sebelum aku sampai tadi.
“Ya makcik…..”, aku menjawab sopan sambil menganggukkan kepalaku tanda hormat.
“Hmmm….cantik!  Lebih cantik dari dalam gambar…”, balasnya spontan.  Aku agak tersipu-sipu apabila dipuji begitu, apatah lagi dipuji oleh orang yang tidak dikenali.
Ya!  Saya tahu saya cantik.  Bukan makcik aje yang cakap macam tu….dah ramai yang kata saya cantik…balasku di dalam hati.  Huh!  Perasan!
But…. wait a minute!  Kalau tak silap pendengaran aku, wanita itu menyebut perkataan gambar.  Apa maksudnya mengatakan aku lebih cantik dari gambarku?  Bila pulak dia melihat gambarku?
Jangan-jangan??!!.....
Aku sudah mula tidak sedap hati.  Aku berpaling memandang ibuku.  Ternyata ibuku kelihatan agak serba salah dengan pandanganku.
“Tak sia-sialah kami datang dari jauh….”, sambung suaminya pula.
Aduhai!  Apa hal ni?  Aku semakin tidak keruan.  Aku hanya melemparkan senyuman ala-ala terpaksa dan dipaksa.  Walaupun, aku belum pasti apakah yang sedang berlaku, tetapi aku seolah-olah boleh mengagak siapa mereka.  Cuma, mulutku masih berat ingin bertanya.  Aku sedar, aku harus menghormati tetamu, lebih-lebih lagi tetamu orang tuaku.  Walaupun, ketika itu, dadaku ingin meletup akibat rasa ingin tahu yang tak bertepi.
Seolah-olah boleh membaca fikiranku, ayahku tiba-tiba sahaja memperkenalkan siapakah tetamu itu kepadaku.  Manakala, ibuku ku lihat sudah berubah laku menjadi seorang yang agak pendiam.  Sedangkan sikap yang ditunjukkannya itu, sama sekali berbeza dengan perwatakan sebenarnya.
“Wani….ayah kenalkan….yang ini Encik Megat Tajuddin dan yang ini Puan Maznah.  Puan Maznah ni kawan baik ibu dan ayah masa zaman belajar dulu.  Mereka baru saja tiba dari Ipoh.  Datang melawat anaknya yang bekerja di Johor Bahru.  Dah terlanjur dekat, mereka datang singgah ke sini sebab dah lama sangat tak berjumpa……….”, terang ayah dengan sopan. 
Memang begitulah perangai ayahku.  Seorang yang sentiasa cool, berbeza dengan ibuku yang agak kecoh…dan aku sememangnya mewarisi perangai ayahku yang cool itu….hehe…ye ke?
Mendengar ayah menyebut nama tetamu lelaki itu, aku macam nak pitam, ditambah pula melihat wajah tetamu wanita itu yang seiras dengan seseorang kerana andaian-andaian yang sedang bermain di kepalaku ini nampaknya semakin menjadi kenyataan walaupun aku belum pasti seratus peratus lagi.  Aku sedang ternanti-nanti ibu bersuara.  Kenapa pula ibu membisu seribu bahasa sekarang ini?  Gatal sahaja mulutku ingin bertanya, tetapi aku menahannya kerana aku sedar, aku harus menjaga air muka kedua-dua orang tuaku walaupun aku merasakan wajahku mulai kebas akibat perasaanku yang tidak keruan ketika itu.
Ya Allah…..harap-harap apa yang kufikirkan ini tidak benar sama sekali!








No comments:

Post a Comment