DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 15 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 9

“ADIK, nak masak apa untuk makan malam ni?”
Rozairul bertanya sambil tangan kirinya menggosok mata. Sah
baru bangun tidur!
Suriya panggung kepala. Matanya memandang si
abang yang tampak selekeh sekali di muka pintu biliknya.
“Kan tadi adik dah cakap, barang kat dapur dah habis.
Nak masak apanya lagi along oi.”
“Okey, kita keluarlah nanti cari barang dapur. Selepas
tu kita makan kat luar terus,” putus Rozairul.
“Orait, set!” Girang Suriya menyambut. Siapa tak suka,
tak payahlah dia masak hari ni. Dari pagi sibuk mengadap kerja
aje. Ni baru siap sikit. Banyak lagi yang tak siap. Kadang-kadang
rasa macam nak nangis sorang-sorang. Huhuhu…
“Eh, pagi tadi abang ada jumpa sorang mamat kat
masjid,” Rozairul kembali berkata-kata. Eh, tadi along bukan
dah nak masuk semula ke bilik dia ke? Suriya garu kepala yang
gatal tiba-tiba.
“Eh, cup, cup! Bukan along dah cakap ke perkara ni
pagi tadi?” Apa motif along sebenarnya? Pasal perkara ni, dia dah
cakap pagi tadi. Kenapa ulang balik petang ni? Suriya tertanyatanya
sendiri. Rozairul yang tadi berhajat mahu kembali ke
biliknya sudah menapak masuk ke dalam bilik Suriya. Pintu
bilik adiknya itu dia biarkan ternganga luas-luas. Dia duduk di
atas katil Suriya.
“Eh, along dah cakap ke? Along bukan apa, along
nampak dia alim aje tapi anak orang berada. Kan best kalau dia
jadi ahli keluarga kita,” Suriya pantas pusing kepala memandang
Rozairul.
“Jadi ahli keluarga kita? Maksud along?” Suriya
mencerunkan matanya memandang Rozairul. Terasa sangat
ngeri pula. Dia bukan bodoh sampai tak faham maksud kiasan
alongnya ini.
“Hmm… You know what I mean, right?” Rozairul
membalas pandangan adiknya sambil menjongketkan keduadua
belah kening.
“Huh!”
“What?”
“Su tak terfikir lagi nak kahwin!” Berangin nada Suriya.
“La… Siapa suruh kahwin? Along tak cakap pun
macam tu.”
“Tapi niat along tu ke arah situ, kan?” Suriya tekankan
suaranya. Entah apa yang terancang di dalam kepala yang
sangat bergeliga milik alongnya, dia sendiri tak tahu.
“Mana ada. Along cakap, kan best kalau dia jadi ahli
keluarga kita. Tak ada niat apa-apa pun,” dengan muka tak
bersalah Rozairul membela diri sendiri. Dia bangun, mahu
kembali ke biliknya.
“Tapi…”
“Dah la. Along nak mandi,” pintas Rozairul laju. Malas
dah dia nak dengar adiknya membebel sedangkan dia sendiri
yang mulakan topik itu.
Suriya pandang belakang Rozairul dengan rasa tak
puas hati. Dia berprasangka alongnya mempunyai muslihat
tersembunyi di sebalik ceritanya tentang seorang lelaki yang
langsung Suriya tak kenal. Huh! Curious!
IDDIN MENYANYI kecil sambil menyembur air ke arah kereta
Mitsubishi ASX miliknya. Untuk kegunaan harian, dia memandu
kereta itu. Tapi jika hendak bersiar-siar, dia akan membawa
kereta Porcshe 911 Carera 4S yang tersadai elok di dalam garaj.
Ataupun dia akan guna Mini Cooper S. Kalau terasa bosan, dia
akan pandu Audi R8. Sekali-sekala nak juga dia bertukar angin.
Dalam banyak-banyak kereta, hanya BMW 740i yang dia takkan
usik. Itu adalah kereta rasmi kegunaan Tuan Ikmal.
“Amboi, sukanya dalam hati. Siap menyanyi lagi,” Mak
Yam menegur. Beberapa minit juga dia berdiri tegak di depan
pintu utama, memerhatikan gelagat tuan mudanya itu mencuci
kereta.
“La… Mak Yam rupanya. Hati tengah gembira, takkan
nak menangis pula,” Iddin kenyit mata ke arah Mak Yam.
Mak Yam senang sekali melihat telatah pemilik nama
Iddin Amsyar ini gembira. Dia memang perasan yang sejak
akhir-akhir ini, kegembiraan semakin terpancar di mata Iddin.
Balik dari pejabat, asyik menyanyi-nyanyi saja. Dulu, sangat
susah mahu melihat anak muda ini menyanyi. Jangan kata
menyanyi, nak senyum pun susah. Sebab itu Mak Yam musykil.
Perubahan Iddin seperti didorong oleh seseorang. Siapa orang
itu, tidak pula dia tahu. Mak Yam merapati Iddin.
“Kamu nak sarapan di luar ni atau di dalam?” Mak
Yam menyoal. Di luar tu maksudnya ruangan istirahat di taman
bunga hasil tangan Mak Yam tu. Jika tiada dia, memang tak
akan wujud taman bunga itu.
“Kat dalam ajelah, Mak Yam. Din nak mandi dulu lepas
ni.”
“Okey.” Mak Yam sibuk memerhatikan Iddin yang ligat
membasuh keretanya. Dan mulut itu masih lagi menyanyinyanyi.
“Din, kalau Mak Yam tanya sikit boleh tak?”
“Hmm… Apa dia Mak Yam?” Mulut bertanya tapi
tangan masih ligat membersihkan keretanya.
“Sejak akhir-akhir ni, Mak Yam nampak Din happy
sangat. Gembira, menyanyi-nyanyi. Apa yang buat Din rasa
happy sangat tu? Tak nak kongsi dengan Mak Yam ke?” Mak
Yam meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya.
“Kenapa? Tak boleh ke?” Iddin jongket kening sambil
memandang Mak Yam. Dia saja-saja nak mengusik sebenarnya.
“Err… Mak Yam tanya saja. Tak apalah kalau Din tak
nak jawab,” serba salah pula Mak Yam rasa. Manalah tahu
kalau-kalau pertanyaannya mengundang rasa tak selesa anak
majikannya itu.
“Laa… Mak Yam ni. Din tak cakap pun tak nak jawab.
Baru aje tanya, Mak Yam dah menggelabah.” Iddin ketawa
perlahan. Sambil itu mata Iddin meliar memandang sekeliling
halaman rumah. Manalah tahu kalau-kalau ada mata yang
memerhatikan tingkah mereka berdua.
“Hmm… Manalah tahu kalau kamu tak suka Mak Yam
tanya macam tu,” lembut wanita pertengahan lima puluhan itu
membalas.
Iddin sudah anggap Mak Yam macam emaknya sendiri.
Sejak uminya menyahut panggilan Ilahi, Mak Yamlah yang
membesarkan dia. Banyak jasa wanita itu dalam hidupnya.
Dia punya seorang lelaki bergelar ayah yang dipanggil abi tapi
dia langsung tak pernah merasai nikmat kasih sayang seorang
ayah. Mereka tinggal serumah tapi sebenarnya mereka jauh.
Tersangat jauh.
“Mak Yam nak dengar satu cerita tak?”
“Cerita? Cerita apa?”
“Pasal sorang perempuan ni. Nama dia unik sangat.
Mak Yam nak tahu apa nama dia?” Mak Yam yang sedang fokus
mahu mendengar cerita Iddin pantas menganggukkan kepala.
“Nama dia Suriya Anggerik. Masa mula-mula Din
dengar nama dia, Din pun dah rasa nak gelak. Mana ada lagi
orang guna nama-nama macam tu. Klasik sangat!” Sambung
Iddin. Dia ketawa lepas. Dia yang bercerita dan dia juga yang
tergelak. Mak Yam hanya senyum.
“Siapa dia?” Penuh minat Mak Yam bertanya. Pertama
kali selepas bertahun-tahun, bibir anak muda itu kembali basah
dengan nama makhluk bergelar perempuan.
“Dia pekerja baru di pejabat Din. Tapi kan Mak Yam, di
mata Din, dia comel sangat. Kalau suruh buat kerja sikit, pasti
muka dia tercengang. Ha… Minggu lepas, Din paksa dia ikut
Din pergi jumpa client. Bad cuti hari tu, jadi Din paksa dia ikut
Din dengan alasan jadi peneman Din aje. Sedangkan Din tahu,
itu semua bukan bidang kerja dia.” Iddin berjeda seketika.
Tangan yang tadi laju mengelap kereta juga turut
terhenti. Kain pengelap di tangan dia lipat membentuk lipatan
yang lebih kecil. Dia pandang Mak Yam yang setia mahu
mendengar ceritanya. Iddin senyum.
“Lepas tu apa jadi?”
“Mulanya memang dia protes. Dia berani cakap yang
dia tak kata pun nak ikut Din. Din yang paksa dia. Bila Din ugut
nak buat kecoh kat pejabat barulah dia ikut. Masuk aje dalam
kereta, mulut dia dah tayang muncung panjang. Din memang
tak tegur apa-apalah sebab nanti kalau Din tegur takut jadi
lain pulak.” Riak muka Iddin sangat-sangat menggambarkan
perasaannya tika itu.
“Mak Yam, muka dia comel sangat walaupun sedang
marah.” Bersinar mata Iddin tatkala memuji perempuan yang
masih Mak Yam tak tahu asal usulnya lagi.
“Itu yang buat Din gembira sangat tu?”
Laju Iddin menganggukkan kepala.
“Din sudah jatuh cinta?” Tiba-tiba terpacul soalan itu
dari bibir Mak Yam.
Cinta? Sudah bertahun perkataan yang terdiri daripada
lima perkataan itu tidak muncul di dalam hidupnya. Sejak dia
habis belajar di universiti dulu. Iddin angkat bahu. Sungguh!
Dia memang tak tahu.
“Mak Yam kan tahu Din ni macam mana, dengan
kenangan dulu tu. Ikut hati Din dah tak nak pandang
perempuan lagi. Tapi…” Iddin berjeda. Hilang senyuman yang
tadinya mekar menguntum di bibirnya.
“Din, Mak Yam faham perasaan Din. Mak Yam kenal
Din sejak Din baby lagi. Mak Yam tahu kenangan lama tu. Dan
Mak Yam tahu, Din tak nak ulang lagi kenangan tu. Tapi, siapa
kita nak menidakkan fitrah Allah? Setiap yang bernyawa di bumi
Allah ini inginkan pasangan. Kerana Allah mencipta kita saling
berpasangan. Jangan hanya kerana peristiwa dulu, Din tutup
pintu hati untuk seorang insan yang tak pernah tahu apa-apa
tentang kenangan silam Din.” Mak Yam usap bahu Iddin bagai
seorang ibu sedang memujuk anak kecil yang sedang menangis.
“Din, berilah peluang untuk diri Din sendiri kenal dan
nikmati rasa bahagia. Jangan terus-terusan seksa diri begini.”
Ujar Mak Yam lagi.
“Tapi, patut ke Din beritahu dia pasal kenangan dulu?”
“Din, pertama sekali Din kena faham perasaan Din
tu. Din tanya hati Din. Betul ke Din cintakan dia? Sungguh ke
perasaan tu. Ataupun hanya sekadar rasa suka-suka sahaja. Din
tanya Mak Yam, tapi Mak Yam tak boleh bagi apa-apa jawapan.
Bukan Mak Yam yang rasa semua perasaan tu. Din yang rasa.”
Ujar Mak Yam.
“Selepas Din dah faham hati Din, Din tahu apa yang
hati Din inginkan, barulah Din mulakan satu demi satu
langkah. Ingat, jangan gelojoh. Kaum Hawa tak suka seorang
lelaki yang gelojoh dan pengongkong. Mereka nak juga rasa
bebas.” Sambung Mak Yam.
Iddin diam. Otaknya sedang mencerna setiap bait kata
pembantu rumah yang sudah dianggap lebih daripada saudara
sendiri. Yang berlegar di dalam kepalanya adalah perkataan
CINTA. Mak Yam menyuruh dia tanya hatinya. Dia… Dia tak
tahu.
“Fikirlah ya. Nanti masuk sarapan kat dalam ye,”
Mak Yam tepuk bahu Iddin perlahan sebelum berlalu masuk
ke dalam rumah. Iddin hanya memandang langkah Mak Yam.
Kepalanya masih ligat berputar, memikirkan setiap nasihat Mak
Yam.
SURIYA MENGIKUT langkah Rozairul melewati satu demi satu
kedai makan. Entah kedai yang mana mereka nak berhenti
makan pun dia tak tahu.
“Along, nak makan kat mana ni?” Akhirnya Suriya
menyoal.
Perut lapar, kaki lenguh. Aduh! KFC dah lepas. Pizza
Hut pun dah terlepas ke belakang. Perut Suriya berkeriut sekali
lagi. Pantas tangannya menekup perut.
“Entah.”
“Along! Adik dah lapar ni. Tolonglah!” Suara Suriya
meninggi. Melawan bunyi bingit lagu yang terpasang di pusat
membeli-belah.
Entah lagu apa entah. Makin berserabut kepala aku
yang mendengar ni. Desis hati Suriya.
“Hmm… Along tak tahu nak makan apa,” selamba
Rozairul menjawab. Langsung tak dihiraukan perut Suriya
yang dah bergendang semacam itu.
“Ah!” Berangin Suriya mendengar jawapan Rozairul.
Nampak saja papan tanda Marrybrown, pantas dia menarik
tangan Rozairul. Ah, tak kiralah along nak cakap apa pun. Yang
penting perut aku tersangatlah lapar sekarang ni.
“Along duduk! Jangan suka-suka hati nak pergi manamana.”
Suriya mengeluarkan arahan kepada abangnya. Suriya
terus mengatur langkah beratur di kaunter.
Telefon pintar jenama iPhone 4S yang bergetar di
dalam poket seluar dibawa keluar. MAMA. Itu sebaris nama yang
terpampang di skrin telefon. Lantas dia layangkan ibu jari ke
atas skrin telefon pintar itu.
“Assalamualaikum, ma.” Sapa Rozairul memulakan
bicara.
“Wa’alaikumussalam Wan. Kamu kat mana ni? Kenapa
bising aje mama dengar?” Suara di hujung talian milik Puan
Jamilah pantas menyoal.
“Oh, Wan ada kat shopping complex ni. Adik ajak
makan.”
“Mama apa khabar? Papa mana?”
“Mama dan papa sihat wal afiat. Papa ada kat laman tu.
Entah apa yang dikerjakan pun, mama tak tahu. Kamu sihat?”
“Sihat, alhamdulillah.”
“Adik mana Wan?”
“Adik tengah beratur kat kaunter, ma.” Balas Rozairul
sambil memandang belakang adiknya yang sedang beratur.
“Hmm… Wan, bila nak balik sini?” Soalan Puan
Jamilah buat Rozairul bisu sekejap.
Bukan Wan tak nak balik, ma. Tapi adik… Bisik hati
kecil Rozairul. Hati kecilnya memang rindukan kampung
halaman yang satu itu. Banyak kenangan zaman kecil di
sana. Ada pahit, manis, masam, masin dan payau. Semuanya
bergabung menjadi satu. Mencipta dia pada hari ini.
“Wan,” apabila hujung talian senyap tak berbunyi,
lantas Puan Jamilah memanggil nama anak bujangnya.
“Ya, ma.” Gugup Rozairul membalas. Habis terbang
segala yang dia angankan tadi.
“Bila Wan dan Su nak balik sini?” Puan Jamilah ulang
kembali soalannya yang belum dijawab oleh Rozairul.
“Wan kena tanya adik dulu. Oh ya, adik dah dapat
kerja, ma.” Beritahu Rozairul. Hampir-hampir dia terlupa nak
maklumkan perkara baik tersebut.
“Ye ke? Kat mana?”
“Di Shah Alam. Adik baru lagi mula kerja.”
“Wan, dua minggu lagi kak long nak buat majlis cukur
jambul untuk anak ketiganya. Mama harap Wan dan Su dapat
balik,” beritahu Puan Jamilah.
“Hari apa, ma?”
“Jumaat.”
“Oh.” Kepala Rozairul ligat berfikir tentang jadual
kerjanya. Dia ingat-ingat lupa pasal jadual tu. Entah dia
bertugas atau tidak waktu tu.
“Ma, Wan confirm balik dengan mama lepas ni. Wan
lupa nak tengok jadual bertugas. Manalah tahu kalau-kalau
masa tu Wan kerja.”
“Tak apa. Kalau Su balik sorang pun tak apa. Mama
cuma nak anak mama ada sama,” sayu suara Puan Jamilah.
“Insya-Allah, nanti Wan bagi tahu adik. Kalau tak
terikat dengan jadual, Wan pun nak turut serta.” Rozairul
menyatakan kesungguhannya.
“Hmm… Nanti kirim salam sayang mama kat Su ya,
assalamualaikum.”
“Insya-Allah, wa’alaikumussalam.”
Rozairul tenung skrin telefon yang sudah gelap.
Perasaan serba salah semakin membanjiri hati. Kesian mama.
“Ha… Bergayut dengan awek mana tadi?” Suriya yang
tiba-tiba muncul terus menyergah Rozairul. Tersentak si abang.
“Mama.” Tangan Suriya terhenti menghulurkan kotak
berisi set burger kepada Rozairul. Sempat Rozairul sambut
kotak kecil itu sebelum jatuh ke lantai.
“Mama kirim salam kat adik,” ujar Rozairul lagi. Dan
Suriya kaku tak berganjak.

No comments:

Post a Comment