DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 16

Naim Zakaria

Hari Isnin. Tempat ini menjadi sunyi semula. Semua penyewa ketiga-tiga chalet telah
pulang semalam. Tinggal penghuni tetap rumah inap yang entah bila akan balik ke tempat
asalnya. Penghuni tetap, ya memang sesuai aku gelarkan dia begitu. Sudah dua minggu dia
di sini. Baguslah, terus sajalah tinggal di sini. Tak perlu aku bersusah payah mencari
pelanggan lain. Abangnya yang baik hati itu sudah pun membayarkan separuh daripada sewa
rumah inap selama dua minggu.
Sambil aku mengemas chalet ketiga, terkenang peristiwa semalam. Terbit senyuman
di bibir bila teringat wajah terkedunya ketika aku mengusiknya dengan kata-kataku.
Terngiang-ngiang di telinga dia mengatakan aku ‘annoying’ dan ‘irritating’. Aku tergelak
kecil. Rasa seronok dapat menyakat dia. Memang asalnya aku sekadar mahu memohon maaf
daripadanya. Tetapi bila dia memarahi aku, lain pula jadinya. Asalnya aku marah sedikit
dengan tuduhannya. Apa dia ingat aku ni mat skodeng ke? Tolong sikit, banyak lagi kerja
yang berfaedah yang boleh aku buat. Skodeng orang dapat dosa, nak buat apa? Dosa yang
ada pun entah terampun olehNya entah tidak, masakan aku hendak menambah dosa.
Aneh, rasa marah itu pantas menghilang. Wajah manis Izureen yang bertukar kelat
membuatkan aku lupa amarahku. Tanpa disangka, aku dapat mengawal kemarahan dan
sebaliknya, entah dari mana terbit pula idea untuk menyakatnya. Dan aku rasa seronok
sangat selepas berbuat begitu. Keseronokan yang membuatkan aku terlupa bahawa aku
sebenarnya bukan mendapat kemaafan yang aku inginkan, tetapi membuatkan dia lebih
marah kepadaku.
“Along” jeritan Fina mematikan lamunan. Semalam menjelang Asar dia sampai
daripada KL.
“Hah.. apa lagi… naik lah… tolong Along kemas. Banyak nak kena buat ni.”
“Sorry Along, orang tak boleh tolong. Orang nak temankan Kak Reen pergi bandar.”
Fina membuat muka kesian sambil menapak menaiki tangga chalet.
“Buat apa pergi bandar?”
“Entahlah, dia kata ada urusan kat bank.”
“Lama ke pergi?”
“Manalah orang tau! Eee… Along ni, banyak tanya pulak. Tanyalah Kak Reen
sendiri!” Fina mula merengus.
Nampak gayanya terpaksalah aku sendirian mengemas ketiga-tiga chalet. Sepatutnya
semalam aku sudah mula mengemas, tetapi hujan menyebabkan aku menangguhkan kerjakerja
mengemas ke hari ini.
“Orang pergi dulu!” terus dia keluar.
“Fina, nanti tolong belikan catridge ink printer!” aku pula melaung.
“Ok” jawabnya. Terus saja berlalu pergi.
“Fina!” aku melaung lagi, kali ini sambil menjenguk ke luar pintu.
“Apa lagi?”
“Laksa!”
Fina berpaling dan terus pergi.
“Dah siap semuanya?” tanya emak sambil mencedok nasi ke pinggan Abah. Abah baru saja
pulang dari kebun.
“Dah mak, tinggal nak basuh aje” jawabku, merujuk kepada cadar, sarung bantal,
selimut dan tuala yang telah ku kutip dari ketiga-tiga chalet dan digantikan dengan yang baru.
Lantai juga sudah disapu dan semua tandas sudah dibersihkan. Empat jam aku bekerja
sendirian menyiapkan semuanya. Biasanya emak dan Fina membantu. Badan sudah merasa
letih. Selera makan menghilang dek keletihan.
“Tak makan?” pendek soalan abah bila melihat pinggan di hadapanku masih kosong.
Aku tidak menjawab, sebaliknya mencedok sedikit nasi. Letih pun aku harus makan, apatah
lagi emak sudah bersusah payah menyiapkan hidangan.
“Tak boleh macam ni Naim. Kena cari orang bantu. Larat ke kamu nak buat
semuanya sendiri. Sementara Fina ada, dia tolonglah. Esok bila dia dah kerja, tak terbuat
kamu seorang. Villa Mahabbah tu nak dijenguk juga.”
Betul kata abah. Bukan aku tak terfikir akan hal ini. Aku memang bercadang
mendapatkan pekerja untuk menguruskan hal-hal pembersihan dan pengemasan chalet, tetapi
tidak sangka secepat ini chaletku mendapat sambutan. Alhamdulillah, setiap minggu ada saja
tempahan.
“InsyAllah Abah, Naim akan cari orang. Tak sangka pula secepat ini chalet-chalet tu
mendapat sambutan.”
“Rezeki datangnya daripada Allah, Naim. Bila Dia beri, kita bersyukur dan berdoalah
agar rezeki itu berkekalan dan bertambah. Bila Dia ambil, jangan pula kita mengeluh.
Mungkin itu tanda Dia sayangkan kita dan mahu menduga kita.”
Aku mengangguk, mengiyakan kata-kata Abah. Dalam kepenatan ini tiada mood
hendak berbual panjang.
“Eh, Fina mana? Budak Reen tu tak datang makan ke?” Abah bertanya.
“Pergi ke bandar. Entah apalah dibuatnya budak berdua tu, dah berjam-jam perginya,
tak balik-balik lagi.” Emak menjawab. Aku mengerling jam di dinding. Betul, sudah empat
jam mereka pergi. Pernah sebelum ini mereka keluar bersama ke bandar, setakat dua jam,
mereka sudah pulang. Mungkin ada urusan yang memakan masa yang agak lama, fikirku.
Entah-entah Izureen mengajak Fina menonton wayang, atau membeli-belah. Sudah hendak
masuk minggu ketiga dia di sini, tentu dia rindukan aktiviti-aktiviti sebegitu, yang lazimnya
dilakukan oleh gadis-gadis bandar. Bukannya aku tidak tahu perangai gadis bandar.
Selepas bersolat Zohor, aku melelapkan mata seketika, merehatkan diri yang
kepenatan. Bila terjaga, sudah pukul 5.30 petang. Aku segera bangun, berwuduk dan
menunaikan solat asar. Kemudian aku keluar dari rumah. Aku berjalan ke arah sungai.
Kedengaran riuh rendah suara suara orang berbual-bual, yang paling kuat sekali suara si Fina.
Sesekali terdengar dia ketawa, entah apalah yang melucukan. Rupa-rupanya emak, Fina dan
Izureen sedang berbual-bual. Selepas memberi salam, aku duduk di sebelah emak.
Kebetulan itulah sahaja kerusi yang masih kosong dan kebetulan juga, tempat dudukku betulbetul
bertentangan dengan Izureen.
“Kenapa tiba-tiba diam, tadi dengar rancak berborak?” aku bertanya apabila mereka
semua senyap.
“Lama kamu tidur” kata emak. Soalanku tadi tiada siapa yang menjawab.
“Letih mak. Ada assistant seorang ni, sekali dapat berjalan tak ingat nak balik. Ada
ke patut bos buat semua kerja” aku jawab teguran emak sambil menarik tudung Fina ke
belakang, dengan niat mengusiknya.
“Adoi… apa la Along ni. Orang assistant tak bergaji tau. Suka hati oranglah nak
tolong ke, tak tolong ke” si becok menjawab sambil membetulkan tudungnya.
“Beli tak laksa?”
“Beli. Suruh orang beli macam-macam, duitnya tak bagi.” Fina mencebik.
“Dah kamu tak menyabar nak pergi, tak sempatlah Along bagi. Nanti Along bayar
balik.”
“Bayar double.” Fina tersengih menyeringai. Jarinya membuat isyarat peace.
“Dahlah tolong tak ikhlas, nak untung pula tu. Ni nak ikut perangai Yahudi la ni.”
Aku menjawab. Habis aku bercakap tapak tangan Fina hinggap di lenganku. Aduh sakitnya,
menyeringai aku dibuatnya. Aku angkat tangan hendak melepuk dia tapi Fina sempat bangun
menjauhkan diri.
“Issh korang ni, bila berjumpa ni la gayanya. Kejap baik, kejap bergaduh. Mak nak
masuk buat air. Nanti mak panaskan kuah laksa. Fina, jom tolong mak.”
Maka tinggallah aku, duduk berhadapan dengan Izureen. Dia memalingkan tubuhnya,
tidak lagi menghadap ke arahku, sebaliknya berkalih ke arah sungai. Melihat dia dari sisi,
membuatkan aku teringat peristiwa semalam, lantas terkeluar tawa kecil dari bibirku.
Dia memandang sekilas bila aku ketawa. Kemudian mengetap bibirnya. Comel!
Terasa janggal pula bila berdiam sahaja. Mulalah mulutku terasa gatal hendak bercakap.
Nak harap dia memulakan dahulu, tak usahlah. Sepanjang dia di sini, aku dapati dia agak
pendiam. Biasanya dia lebih banyak mendengar dan akan bercakap apabila ditanya.
“Suka ya tengok sungai tu?”
Tiada jawapan kepada soalan pembuka bicara. Mungkin dia masih marah kepadaku.
“Baik cuaca hari ni kan, selalunya petang hujan.”
Dia tetap senyap.
“Buat apa di bandar tadi?”
Masih tiada respons. Aku lihat matanya kini merenung tanah. Angin yang bertiup
lembut membelai rambutnya. Dari sisi dia memang nampak comel, apa lagi dengan rambut
pendek, sesuai dengan raut wajahnya.
“Izureen, awak masih marahkan saya?” akhirnya aku tanyakan soalan itu. Lebih baik
pergi terus kepada isu yang ingin dibicarakan. Diam juga. Tetap memandang ke tanah.
“Maafkan saya. Saya betul-betul minta maaf. Kita kan kawan, takkan tak boleh
maafkan kawan awak ni?” aku buat muka kasihan dan bercakap dengan nada sayu. Sungguh,
aku mahu minta maaf. Tak mahulah bersengketa dengannnya.
“Seorang kawan tak akan menuduh dan mengesyaki kawannya tanpa usul periksa.”
Akhirnya dia bersuara, tetapi tetap tidak mahu memandang ke arahku.
“Betul. Saya setuju… saya salah. Entah kenapa boleh tercetus fikiran yang salah di
dalam minda saya. Mungkin pengalaman silam menjadikan saya begini. Tolonglah,
maafkan saya.”
Kali ini dia berpaling, memandang wajahku. Pandangan kami bertaut seketika. Tiada
riak marah di wajahnya. Aku sedikit lega.
“Cuba letakkan diri awak di tempat saya. Saya datang ke sini nak cari kedamaian
hati, bukan nak bergaduh dan nak dituduh yang bukan-bukan.”
Riak wajahnya tenang tapi nada suaranya sedikit tegang. Perasaan lega yang sedikit
ada kini menghilang. Memang aku yang bersalah, jadi aku tiada pilihan. Harus terus
meminta maaf kerana aku mahu terus berkawan dengannya. Aku harus pastikan penginap
istimewa ini tidak marah lagi, manalah tau kalau-kalau kemarahannya nanti boleh menggugat
perniagaan rumah inap dan chalet yang baru bermula.
Aku faham kalau dia masih marah kepadaku. Jika aku di tempatnya, aku juga akan
merasa marah. Sebenarnya dalam rasa bersalah ini, ada perasaan seronok yang menghuni
hatiku bila dapat menyakat dia. Aku seronok melihat mukanya bertukar menjadi merah,
keningnya berkerut dan bibirnya mencebik. Mukaku palingkan ke arahnya, wajahnya
nampak tenang, sambil dia merenung kakinya yang sedang menguis-nguis pasir.
“Jadi awak masih marahkan saya?”
Dia diam, tidak mengangguk, tidak juga menggeleng.
“Hati saya tak akan tenang, kalau awak masih marahkan saya.”
Pesanan Izelan sebelum semalam berlegar di benak fikiranku. Terasa bagai ada satu
tanggungjawab yang besar tergalas di bahu. Bagaimana mahu dilunaskan amanah itu jika
tuan punya diri tidak menyenangi aku.
“Semalam sebelum balik, Izelan ada berpesan….” Aku biarkan ayat itu tergantung.
Izureen berpaling, dan matanya pantas menangkap renunganku.
“Dia minta kami jagakan awak. Selama mana awak tinggal di sini, kami diminta
memastikan kesihatan dan keselamatan awak terjaga.”
“Abang saya baik. Dia takkan berkawan dengan awak kalau awak bukan orang yang
baik. Tapi tuduhan awak mengecewakan saya.” Akhirnya Izureen bersuara, menimbulkan
rasa bersalah yang amat mendalam kepadaku dan menghilangkan rasa seronok menyakatnya.
“Apa tanggapan awak terhadap saya? Seorang budak bandar yang bebas laku, yang
tak ada maruah, yang tak ada pegangan agama. Begitu ya?” Terserlah amarahnya dalam
ayat itu. Matanya masih tidak melepaskan wajahku, memberikan renungan tajam yang
menggambarkan kemarahannya.
Aku menelan air liur. Terasa malu hendak mengaku, tetapi sebetulnya itulah
tanggapan aku terhadapnya. Sejak dari hari pertama dia hadir di sini, aku menganggapnya
seperti Bella, Qisya, Ratna dan gadis-gadis lain yang pernah aku kenali. Gadis kota yang
hidup cara moden. Yang menghabiskan malam mereka dengan berpesta, bertemankan pil
ecstasy dan air haram, bebas berpelukan dan bertukar pasangan dari lantai tarian ke ranjang.
Cuma Ratna masih terkawal kelakuannya, tidak seteruk itu. Mungkin kerana aku yang
mengawalnya. Namun, dalam limpahan kasih sayangku, Ratna terbabas juga. Aku yang
bodoh, mempercayainya seratus peratus sedangkan tanpa pengetahuanku dia berpeleseran
dengan lelaki lain. Anehnya, walaupun aku bertanggapan begitu terhadapnya, aku juga
merasakan ada kelainan pada gadis ini.
“Saya bodoh kerana salah mentafsir perasaan seorang lelaki. Tapi saya tidak bodoh
sehingga ke tahap menyerahkan tubuh saya hanya kerana cinta.” Kata-katanya membuatkan
aku terdiam. Terasa bahu semakin berat dan dada semakin ketat dihimpit rasa bersalah.
Bodohlah kau ni Naim, aku mengutuk diriku sendiri.
“Sebetulnya saya tidak tahu kenapa saya sampai ke sini. Kali pertama dulu saya
sekadar memandu tanpa arah, mengikut ke mana hati membawa. Kali kedua pun sama,
ketika keluar rumah tiada arah tujuan tetapi hati bagai dihalakan untuk mengarahkan tangan
memandu ke sini.” Perlahan nada suaranya, aku dapat menangkap ada kesedihan dalam tutur
bicaranya. Izureen bangun, melangkah kakinya untuk beredar.
“Izureen… tunggu.” Aku nampak emak dan Fina berjalan ke arah kami, seorang
membawa teko manakala seorang lagi membawa dulang berisi mangkuk besar dan kecil,
yang ku kira adalah laksa yang ku pesan.
Melihat emak dan Fina datang, Izureen tidak jadi pergi. Dia melemparkan senyuman
ke arah emak dan Fina. Pandai dia berlakon, agar emak dan Fina tidak menyedari
ketegangan yang wujud antara kami.
“Izureen, apa yang boleh saya lakukan untuk menebus kesalahan saya terhadap
awak?”
“Jangan ganggu saya. Stay away from me. Itu saja. Tentu awak boleh buatkan?”
Soalannya terbiar tidak berjawab, lantaran emak dan Fina hanya beberapa langkah
dari kami. Mata kami bertaut. Mata bundar Izureen bagai memberi satu amaran kepadaku.
Akhirnya aku mengangguk, walaupun hatiku tidak bersetuju untuk menjauhkan diri
daripadanya. Mana mungkin Izureen. Pada dirimu bagai ada satu kuasa magnet yang besar
yang menarik aku kepadamu

No comments:

Post a Comment