DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 3



AZEEZA MEMULAKAN harinya dengan penuh ketenangan. Hari ini buat pertama kali dia bangun awal pagi. Sebaik saja siap menyediakan bekal untuk Fatma, dia terus mengemas rumah dan mengulangkaji pelajarannya.
Sesekali dia membetulkan tudungnya yang ditiup angin. Baju kurung berwarna hitam yang tersarung di tubuhnya membuatkan dia kelihatan manis dan ayu. Hari ini dia berjalan berseorangan ke kelas. Namun, dia pelik. Sepanjang perjalanan ke kelas, beberapa orang belajar asyik merenung ke arahnya. Tidak kurang juga ada yang berbisik sesama sendiri.
Azeeza memandang pakaiannya. Tiada yang pelik. Semuanya normal. Apa kena dengan mereka semua ini? Pandang aku macam tak pernah tengok orang. Rungut hati Azeeza. Akhirnya dia hanya menjongketkan bahu. Lantaklah, janji mereka tak kacau aku. Benak hatinya berkata.
Sebaik saja sampai di bilik kuliah, Azeeza terus menolak pintu. Sekali lagi benaknya dihurung tanda tanya apabila melihat bilik kuliah yang kosong. Dia memandang jam di tangan, lagi setengah jam kelas akan bermula. Kebiasaannya pasti bilik kuliah ini sudah dipenuhi oleh pelajar yang sedang menunggu pensyarah tetapi hari ini dalam sejarah apabila bilik kuliah kosong.
“Mana pergi semua orang?” soal hatinya. Namun, Azeeza hanya mampu menjongketkan bahu. Dia menuju ke tempat duduknya. Lalu, tanpa memandang ke kiri dan kanan, Azeeza terus duduk.
Azeeza membetulkan duduknya apabila dia terasa seperti ada sesuatu yang melekat di bawah punggungnya. Dahinya berkerut. Lantas, dia bangun. Tangannya menyentuh di bahagian belakang baju kurungnya. Jari jemarinya dapat merasakan seperti ada yang melekat di bajunya. Lalu, benda yang melekat itu ditarik dan dipandang.
“Gula-gula getah?” soal Azeeza sendirian.
Takkan gula-gula getah ini boleh ada dengan sendirinya atas kerusi ini? Mesti ada sesuatu yang tak kena ni. Getus hatinya. Pantas, anak matanya dapat menangkap kelibat seseorang yang sedang mengintai di pintu belakang. Satu keluhan dilepaskan.
“Aku dah agak dah. Ada orang nak main kasar dengan aku ni!” marah Azeeza. Lalu, dia mencapai beg sandangnya dan berjalan ke pintu belakang dengan hati yang bengang.
Dia merentap pintu belakang itu dengan kuat dan sebaik saja pintu itu direntap tiba-tiba…
Bushhhhh!
Sebaldi air yang berwarna kelabu jatuh tepat di atas kepala Azeeza menyebabkan dia tergamam di tempatnya berdiri. Habis tubuhnya basah lencun dengan air yang berbau busuk itu.
Arghhh!” Azeeza menjerit sambil mengepal kedua-dua belah tangannya.
“Hoi, kalau korang berani tunjuklah muka depan aku! Tak payah nak main belakang macam ni!” jerit Azeeza dengan sepenuh hati.
Kedengaran suara orang ketawa dari arah belakang. Lantas, Azeeza berpaling. Matanya terbeliak melihat figura yang kini berdiri di hadapannya.
“Amacam? Seronok mandi air mop?” soal lelaki itu dengan senyuman sinis tersungging di bibir.
“Kau, Zafuan?? Kenapa kau bangang sangat kenakan aku macam ni?” soal Azeeza kasar. Dia mencekak pinggang. Dadanya mula berombak menahan marah.
Zafuan hanya ketawa. Seronok dia melihat wajah Azeeza yang sudah merah seperti udang kena bakar.
“Kau tanya aku? Kau lupa apa yang kau dah buat pada Qai?” soal Zafuan sambil berpeluk tubuh.
“Qai? Siapa Qai?” soal Azeeza dengan dahi yang berkerut.
Serentak bayang wajah seorang lelaki yang kacak dan tinggi lampai kembali terlayar ke ruang matanya. Lelaki yang suka membuli Izz. Jadi ini semua adalah angkara Qaiser? Tak guna! Marah Azeeza dalam hati.
“Oh, Qai. Kawan kau yang perangai macam lanun tu? Jadi kau ni balaci dialah ye? Huh, kau memang sengaja cari pasal dengan aku kan?” soal Azeeza dengan nada yang sinis.
Dahi Zafuan berkerut melihat riak wajah Azeeza yang kembali tenang. Sepatutnya, jika perempuan lain dikerjakan sampai begini, tentu akan menangis meminta maaf tetapi gadis di hadapannya ini kelihatan tenang malah mampu lagi untuk tersenyum. Dia ni hati batu ke? Soal hati Zafuan.
“Kau yang mulakan dulu jadi kau yang kena tamatkan. Qai nak kau mintak maaf atas apa yang kau dah buat pada dia..” ujar Zafuan selaku wakil daripada Qaiser.
“Apa yang aku dah buat pada dia?” Azeeza menyoal. Dia berpura-pura lupa.
“Kau dah malukan dia depan pelajar lain.” Jawab Zafuan.
Meletus tawa dari bibir Azeeza. Walaupun tubuhnya terasa dingin, tetapi dia teruskan juga untuk mengadap Zafuan yang hanya berada beberapa meter daripadanya.
“Oh, dia ada rasa malu ke? Tak tahu pulak aku. Kalau ada rasa malu, dia tak patut buli orang lain. Apa dia ingat dia kuat sangat ke? Kalau dia betul-betul anak jantan, marilah mengadap aku sendiri!” tempelak Azeeza.
Zafuan tersentak. Betul-betul berani minah ni. Dia yakin tentu Qaiser sudah mendengar perbualan antara dia dan Azeeza melalui telefon bimbitnya yang sengaja dipasangkan agar Qaiser mendengar segala perbualannya dengan Azeeza. Mereka semua yakin Azeeza akan melutut meminta maaf tetapi berlaku pula sebaliknya.
“Tak guna punya perempuan. Zaf, bawak dia jumpa aku sekarang!” suara Qaiser kedengaran dari dalam telefon. Hanya Zafuan saja yang mendengar.
“Baik!” jawab Zafuan berbisik. Kemudian dia kembali berpaling pada Azeeza.
“Baiklah kalau itu yang kau nak, jom aku bawak kau jumpa dia. Kau settle masalah kau dengan dia.” Ujar Zafuan.
Azeeza merengus. Hatinya rasa terbakar dengan perbuatan Qaiser yang memang sudah melampau. Hari ini dia akan tamatkan segala permainan lelaki itu.
“Okey, aku tak takut langsung.” Balas Azeeza dengan selamba.
Dia membuntuti langkah Zafuan dari arah belakang. Sesekali dia memeluk tubuh. Rasa dingin mula membaluti tubuhnya.
Dia sampai di satu tempat yang sunyi. Dia tahu inilah tempat Qaiser dan kawan-kawannya melepak. Tempat ini memang jarang dilalui oleh sesiapa terutama pelajar junior. Silap masuk, buruk padahnya dikenakan oleh Qaiser.
Siapa yang tidak kenal dengan Qaiser, si pembuli nombor satu kolej mereka. Lelaki itu membuli bukan kerana wang ringgit tetapi untuk satu kepuasan. Dia akan puas apabila melihat mangsa bulinya menangis dan merayu-rayu untuk meminta maaf. Tetapi nampaknya kali ini Qaiser sudah tersilap memilih lawan.
“Mana bos kau yang sawan tu?” soal Azeeza selamba. Matanya melilau-lilau memandang kawasan sekitar.
Zafuan ingin membuka mulut. Namun, belum sempat dia bersuara, kelihatan seorang lelaki yang segak memakai kemeja T berwarna hitam berjalan ke arahnya. Rambut lelaki itu yang panjang hingga mencecah kolar baju dan rambut hadapan yang hampir menutupi dahi cukup menyerabutkan mata Azeeza yang memandang. Dia mencebikkan bibir dan mengalihkan pandangan ke tempat lain. Sedikit pun tidak terbit rasa gerun dalam hatinya.
“Geng, ada bau busuk tak? Aku rasa ada orang mandi air longkanglah…” ejek Qaiser sambil memandang Zafuan, Rizwan dan Yasmin yang berdiri berhadapan dengan Azeeza.
Ketiga-tiga pengikutnya hanya ketawa dan menutup hidung.
“Busuk sangat, you. Nak muntah I,” balas Yasmin sambil tayang muka meluat.
“Lebih baik badan busuk dari hati busuk!” tempelak Azeeza tetap dengan wajah selamba tanpa riak.
Qaiser tersentak. Tajam dia memandang wajah Azeeza yang kelihatan basah kuyup.
“Kenapa kau pandang aku macam tu? Kau ingat aku nak hormat kau? Huh, orang mereng macam kau ni memang tak layak nak dapat hormat sesiapa pun. Cuma yang ada balaci-balaci kau yang mereng macam kau ni. Hey, Qai. Kau nak aku mintak maaf dengan kau ke? Sampai aku mati sekalipun, aku takkan mintak maaf dengan orang yang tak berperikemanusiaan macam kau ni!” hambur Azeeza meluahkan rasa geram yang terbuku semenjak tadi.
Kali ini Qaiser terpempan. Begitu juga dengan Zafuan, Rizwan dan Yasmin. Dia tidak menyangka kata-kata itu yang keluar dari mulut Azeeza. Qaiser mengepal penumbuk.
“Kau jangan nak berlagak sangat, perempuan. Kau sangka kau hebat nak tanding dengan aku? Kau belum kenal siapa aku. Aku boleh buat kau merana teruk dari ini. Silap besar kau cuba bermain api dengan aku. Aku takkan mengalah sampai kau berlutut depan aku!” balas Qaiser sambil menentang pandangan Azeeza yang hanya kelihatan biasa.
Azeeza tersenyum sinis. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh.
“Kau nak aku berlutut depan kau? Kau memang bermimpi di siang hari. Kau siapa untuk aku melutut? Kau ingat dengan duit dan pengaruh yang kau ada, buat aku akan tunduk pada kau? Kau yang silap. Aku takkan tunduk pada kejahatan yang kau buat. Kau tak payahlah kenalkan diri kau pada aku sebab aku memang tak berminat dengan berkenalan dengan lelaki macam kau. Kalau perempuan lain mesti dah terhegeh-hegeh macam perempuan yang kat tepi kau tu. Tapi not me. Kau tu loser! Faham tak apa tu loser? Kau hanya tahu buli orang yang lebih lemah dari kau padahal kau ni tak ada apa-apa pun. Kau nothing!” hambur Azeeza lagi.
Berdesing telinga Qaiser mendengarnya. Berombak dadanya menahan rasa marah.
“Kau memang cari pasal!” jerit Qaiser bengang.
Tanpa disangka-sangka, Qaiser meluru ke arah Azeeza dan mencekak baju Azeeza dengan kuat. Tangannya diangkat untuk menumbuk wajah Azeeza namun tangannya terhenti dengan sendiri sebaik saja anak matanya bertentangan dengan mata Azeeza. Hanya nafasnya saja yang turun naik menahan rasa marah.
“Qai!” jerit Rizwan.
Azeeza terkejut. Pantas, dia menolak tubuh Qaiser dengan kuat. Dia cuba mengimbangi badannya yang terumbang-ambing. Dia tidak menyangka Qaiser akan berani mengangkat tangan padanya.
“Kenapa kau berhenti? Kenapa tak tumbuk je muka aku? Sebab aku perempuan? Kau takut orang akan cakap kau dayus sebab pukul perempuan? Huh, hakikatnya kau memang dayus. Kau memang tak guna!” bentak Azeeza dengan suara yang melengking tinggi.
“Kau jangan nak melawan aku!”
“Aku sikit pun tak takut dengan kau!” balas Azeeza.
“Kau akan menyesal!” Qaiser membalas turut dengan suara yang meninggi.
Dia cukup bengang dengan orang suka melawan cakapnya. Inilah kali pertama ada orang yang berani membantah dan melawan dengannya. Jika sebelum ini, sekali digertak semuanya lari tapi kali ini nampak lawannya kali ini sukar ditundukkan.
“Aku malas nak buang masa dengan kau ni. Lebih baik aku blah!” ujar Azeeza lantas berpaling. Kalau ikutkan hatinya dia mahu cepat-cepat berlalu dari tempat yang menyakitkan hati seperti ini. Memandang wajah Qaiser sudah cukup membuatkan hatinya panas.
“Kau ingat ni perempuan. Sekali kau cari pasal dengan aku, seumur hidup aku takkan lepaskan kau!” jerit Qaiser.
Langkah Azeeza terhenti. Dia tersenyum nipis.
“Buang masa je kau simpan dendam kau tu. Tak ke mana juga sebab seumur hidup aku akan cari jalan untuk lepaskan diri!” balas Azeeza dengan suara mendatar.
Qaiser merengus. Dia mula tak senang duduk apabila musuhnya ingin beredar. Lantas, dia berpaling pada tiga orang pengikut setianya itu.
“Kau orang dah sedia?” soal Qaiser dengan suara yang perlahan. Mereka bertiga menganggukkan kepala.
Lantas, Qaiser bersiul. Lalu, beberapa orang pelajar yang telah diupah keluar dari sebalik bangunan dan menyerbu ke arah Azeeza, tiap-tiap pelajar membawa satu plastik tepung lalu disimbahkan kepada Azeeza yang kelihatan tidak bersedia.
Azeeza menjerit apabila dirinya dikerumuni oleh sekumpulan pelajar yang menyimbah tepung ke arahnya. Azeeza tidak dapat mengelak. Dia hanya mampu menutup wajahnya daripada disimbah dengan tepung yang memutih. Hatinya dipagut rasa takut. Hanya kepada Allah dia memanjatkan doa agar dirinya tidak dizalimi.
“Sudah-sudah!” jerit Qaiser daripada belakang.
Lalu, sekumpulan pelajar itu berundur dan membiarkan Qaiser melangkah menghampiri Azeeza yang sudah jatuh terduduk di atas tanah. Mereka ketawa melihat Azeeza yang sudah dipenuhi dengan tepung yang memutih. Bagi mereka itu satu pesta sedangkan pada Azeeza itu satu penganiyaan.
“Macam mana seronok tak permainan aku? Ini baru permulaan. Ingat kata-kata aku, sekali kau cari pasal dengan aku, seumur hidup aku takkan lepaskan kau!” ujar Qaiser lalu dengan selamba dia menunjal kepala Azeeza yang diam membeku sebelum berlalu dengan tawa yang cukup menyakitkan hati Azeeza.
Azeeza tidak membalas. Dia menahan air mata daripada gugur. Tepung yang melekat di wajahnya disapu dengan tapak tangan. Dia takkan mengalah dengan lelaki seperti Qaiser. Takkan sama sekali!

LAIN KALI jangan cari pasal dengan orang macam Qai tu. Awak juga yang susah,” satu suara menyapa membuatkan Azeeza mendongak.
Kelihatan Firman menghulurkan sapu tangan pada Azeeza. Azeeza hanya menjeling. Huluran itu tidak disambut. Dia tahu Firman adalah salah seorang kawan pada Qaiser jadi perangai mereka pun pasti sama.
Azeeza bangun dan menyapu sisa-sisa tepung yang melekat di baju kurung miliknya. Wajahnya yang keputihan turut dikesat menggunakan tangannya sendiri.
“Tak payahlah sombong dengan saya. Walaupun saya berkawan dengan Qai tapi perangai saya bukan macam dia,” ucap Firman apabila melihat Azeeza seperti tidak mengendahkannya.
“Lebih baik awak pergi ikut bos awak yang tak guna tu. Nanti kalau dia nampak awak dekat sini, habis awak dikerjakan.” Azeeza mula membuka mulut.
Firman tersenyum manis. Dia merenung wajah Azeeza sehingga membuatkan gadis itu tertunduk.
“Dia tak boleh apa-apakan saya. Awak jangan risau selain awak, hanya saya yang tak takut pada dia,” balas Firman. Dia kembali menghulurkan sapu tangannya pada Azeeza.
Azeeza hanya menggelengkan kepala. Masih enggan untuk menyambut huluran daripada Firman.
“Terima kasih. Saya pergi dulu…” ucap Azeeza.
Dia mula mengorak langkah untuk meninggalkan Firman. Namun, langkahnya terhenti apabila namanya dipanggil oleh Firman.
“Liyana tu adik saya. Dia banyak cerita pada saya tentang awak…” ujar Firman.
Azeeza terdiam. Firman abang pada Liyana? Kenapa Liyana tak pernah cerita tentang abangnya ini?
“Walau apa pun yang Ana ceritakan pada awak, saya tak nak ambil tahu.” Balas Azeeza lalu berlalu meninggalkan Firman.
Firman mengeluh apabila melihat bayang Azeeza sudah menghilang. Timbul rasa simpati pada dirinya apabila melihat keadaan Azeeza yang bermandi tepung. Namun, tidak lama kemudian, bibirnya melebarkan senyuman.

BULAT MATA Izz memandang wajah Azeeza. Baju gadis itu dipenuhi dengan tepung. Tudung yang dipakai juga turut dipenuhi dengan sisa-sisa tepung. Wajah keruh gadis itu menyentuh hatinya.
“Apa dah jadi dengan kau ni, Zeeza? Kau langgar kilang tepung kat mana ni? Dah tu bau semacam ni, kau tak mandi ke?” tegur Izz dengan gaya lembutnya.
Azeeza mencebikkan bibir. Dia tahu memang baju yang dipakainya berbau busuk malah setiap kali dia berselisih dengan pelajar lain, pasti mereka akan menutup hidung. Malu. Itulah dirasakan saat ini.
“Ini semua kekasih kau punya pasallah!” bentak Azeeza geram. Dia menghempaskan punggungnya di sebelah Liyana yang hanya memandang tanpa berkata apa-apa.
“Kekasih Izz? Siapa?” Liyana membuka mulut.
“Qaiser. Siapa lagi. Dia dan geng dia kerjakan aku pagi tadi. Korang tahu tak?”
“Qaiser kerjakan kau sampai macam ni? Macam mana boleh berlaku?” soal Izz sememangnya terkejut.
Azeeza mengalih pandangan pada Izz yang memakai baju kemeja berwarna pink. Wajah itu kelihatan putih kesan daripada solekan yang tebal. Dia mengeluh. Akhirnya dia menceritakan apa yang terjadi dari mula dia sampai ke kelas sehinggalah dia bertemu muka dengan Qaiser.
Terlopong Izz dan Liyana mendengar. Sesekali kedua sahabatnya itu menganggukkan kepala. Terkadang Izz menutup mulut kerana tidak percaya dengan apa yang diceritakan oleh Azeeza.
“Aku tak sangka mamat tak guna tu sanggup buat kau macam ni, Zeeza. Dia memang tak guna!” ujar Liyana sambil mengetap gigi. Geram dengan sikap Qaiser yang tidak berperikemanusiaan.
“Kalau aku dapat dia, aku tumbuk-tumbuk muka dia!” bebel Izz sambil menayangkan gaya seolah-olah sedang menumbuk Qaiser.
Azeeza hanya mampu ketawa kecil. Dia menggelengkan kepala.
“Tak payahlah kau orang emosi sangat. Ini antara aku dan dia. Aku yang mulakan jadi biar aku yang tamatkan…” balas Azeeza sambil menggenggam tangannya sendiri.
Sakit hatinya hanya Allah yang tahu apabila diperlakukan seperti itu oleh Qaiser. Namun, untuk memaafkan Qaiser takkan sesekali dia lakukan. Peperangan masih belum tamat. Detik hati kecilnya.
“Tapi ini semua sebab aku. Kalau bukan sebab aku, kau takkan kena buli dengan Qai tu. Aku tak tahu apa dalam fikiran dia. Apa yang dia nak sebenarnya sampaikan sanggup buli orang lain. Yang geng dia pulak, asyik ikut je telunjuk dia,” omel Izz lagi.
“Takkan kau tak tahu, mama Qai tu penyumbang dana terbesar untuk kolej ini. Mama dialah yang sponsor apa saja aktiviti kolej ni,” sampuk Liyana lagi.
“Mana kau tahu?” soal Izz. Anak matanya memandang wajah Liyana yang manis.
“Abang aku bagitahu. Abang aku kan rapat dengan dia,” ujar Liyana sambil tersengih.
“Abang? Kau tak pernah cakap pun yang kau ada abang,” sambung Izz terkejut.
“Aku terlupa nak bagitahu lagipun tak penting. Abang aku tu dia suka buat hal dia sendiri. Tapi setahu aku dia tu memang rapat dengan Qai,” terang Liyana.
Azeeza hanya mendiamkan diri. Dia tahu abang Liyana itu adalah Firman. Nampak dari air muka Firman, jelas lelaki itu orang yang baik. Bercakap pun dengan suara yang lembut. Tanpa sedar Azeeza tersenyum nipis.
“Kau ni kenapa Zeeza, senyum sorang-sorang?” soal Izz sambil menyiku lengan Liyana. Dia memuncungkan mulu ke arah Azeeza.
Azeeza tersentak. Kemudian dia mematikan senyuman. Dia menggelengkan kepala dengan pantas.
“Tak ada apalah. Aku rasa, aku kena baliklah. Rimaslah dengan bau aku macam ni. Aku kena tukar baju dengan tudung,” ujar Azeeza sambil mencium bajunya sendiri.
Terasa ingin muntah apabila bau bajunya begitu menyengat hidung.
“Tapi kita ada kelas nanti,” Izz menghalang.
“Aku tahu. Mungkin aku akan datang lambat sikit. Kau tolong bagitahu Madam Wong ya aku lambat sikit,”
“Assalamualaikum…” tegur satu suara membuatkan ketiga-tiga insan itu berpaling. Azeeza termangu seketika memandang orang yang berdiri di hadapannya sekarang ini.
“Waalaikummusalam…” jawab mereka.
“Awak nak apa lagi?” soal Azeeza selamba.
Dia mengerling ke arah Izz yang sudah terpana. Hanya Liyana saja yang mengerutkan dahi. Wajah gadis itu tampak keliru.
“Saya nak bagi ni…” ucap Firman sambil menghulurkan satu beg kertas pada Azeeza.
Azeeza tercengang. Dia berpandangan dengan Liyana yang jelas terkejut.
“Apa ni?” soal Azeeza pendek.
“Ini ada baju dan tudung. Saya tengok baju awak basah tadi. Takkan nak masuk kelas dengan baju yang basah macam ni,” terang Firman.
Sebenarnya dia juga serba salah untuk bertemu dengan Azeeza sekarang ini. Tetapi apabila terkenangkan Azeeza yang sedang dalam kesusahan akhirnya dia gagahkan diri untuk berhadapan dengan Azeeza dan adiknya. Dia sedar Liyana sedang memandang ke arahnya untuk meminta penjelasan.
“Saya tak perlukan simpati awak. Saya boleh selesaikan masalah saya sendiri,” balas Azeeza tegas. Dia memberanikan diri untuk menentang pandangan Firman.
“Saya tahu tapi awak juga perlukan pertolongan…”
“Terima kasih untuk pertolongan awak. Cukuplah Allah yang menjadi penolong saya,” pintas Azeeza pantas mematikan percakapan Firman.
Firman terdiam. Liyana tersenyum nipis sedangkan Izz mula rasa kurang senang dengan kata-kata Azeeza. Baginya, orang kacak seperti Firman tidak patut dilayan seperti itu.
“Sudahlah, abang. Kan Ana dah cerita pada abang siapa kawan baik Ana. Lebih baik abang bagi hadiah tu kat Ana,” sampuk Liyana sambil tangannya dengan pantas merampas beg kertas tersebut dari tangan Firman.
“Abang?” Izz tercengang. Dia memandang wajah Firman dan Liyana silih berganti.
Liyana hanya menganggukkan kepala tanda mengiyakan. Jelas Izz terkejut. Dia bagaikan tidak percaya dengan berita yang baharu didengari.
“Ini abang kau, Ana? Geng mamat tak guna tu?” soal Izz dengan suara yang hampir menjerit.
“Kalau ya pun Izz, tak payahlah menjerit. Abang aku ni berkawan dengan Qai je tapi dia tak ikut pun perangai Qai tu…” jawab Liyana bagi pihak Firman.
Izz memeluk tubuh kemudian menjeling pada Firman.
“Tapi dia tengok je aku kena buli dengan kawan-kawan dia. Mana pergi hati perut dia bila tengok orang kena tindas?” Izz mula emosional.
Azeeza memandang ke arah lain. Apa yang dikatakan oleh Izz ada betulnya juga. Sebagai sahabat, sepatutnya Firman menghalang perbuatan Qaiser daripada membuli orang lain bukannya mengambil sikap tidak kisah atas apa yang dilakukan oleh sahabatnya itu. Bukankah seorang sahabat itu harus membimbing sahabatnya agar tidak melakukan perkara yang tidak baik.
“Saya tak suka masuk campur dalam urusan Qai…” jawab Firman.
“Seorang sahabat tidak akan menyembunyikan kesalahan untuk menghindari perselisihan tetapi sebagai kasih seorang sahabat dia harus memberanikan diri untuk menegur kesalahan sahabatnya.” Ujar Azeeza tiba-tiba.
Firman terdiam. Dia sedikit terasa dengan kata-kata Azeeza. Renungan tajam daripada gadis itu membuatkan dia tertunduk.
“Aku sokong kau, Zeeza. Sebenarnya Ana tak suka abang kawan dengan Qai tu,” sampuk Liyana.
“Ana…” tegur Firman. Dia menjeling membuatkan Liyana terdiam.
“Sudahlah, daripada kita bergaduh lebih baik aku balik dulu. Fir, terima kasih atas bantuan awak tu. Saya hargai…” ujar Azeeza dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
Firman terpana seketika melihat senyuman Azeeza yang jarang dilihat. Cukup manis sehingga membuatkan dia tidak dapat mengalihkan pandangan. Terkebil-kebil dia memandang Azeeza.
Izz memandang Azeeza dan Firman silih berganti. Dia mendengus. Tidak suka melihat Firman merenung wajah Azeeza sebegitu. Akhirnya, dia menghadiahkan cubitan di lengan Firman. Ambik kau!
“Apa kau ni? Sakitlah!” gumam Firman sambil menjengilkan matanya pada Izz.
“Padan muka kau. Siapa suruh mata tu gatal sangat tengok kawan aku!” omel Izz sambil mengancing giginya.
Liyana yang melihat hanya ketawa kecil.
“Ana, Izz aku balik dulu. Fir, terima kasih sekali lagi.” Ujar Azeeza lalu mengambil langkah untuk beredar dari tempat itu.
Izz dan Liyana hanya menganggukkan kepala. Hanya Firman yang menghantar bayang Azeeza sehingga hilang dari pandangan mata. Gadis itu memang suka mengelak. Detik hatinya.
“Sudahlah tu, bang. Zeeza tu tak ke mana pun. Nanti dia datang balik,” ujar Liyana mematikan lamunan Firman.
Dia mengalihkan pandangan pada Izz dan Liyana. Dia mencebik sebelum menghampiri Izz. Reben yang berada di atas kepala Izz ditarik kemudian dicampakkan ke wajah Izz.
“Kalau tak nak kena buli, jadi lelaki sejati. Nak jadi adik ipar aku pun, aku setuju. Ini tidak, pakai reben kalahkan perempuan. Siapa tak sakit hati.” Ujar Firman kemudian meninggalkan Izz dan Liyana yang terkulat-kulat.
Izz terkesima. Dia memandang Liyana dengan perasaan geram yang menggebu.
“Eiii…abang kau ni kan memang sengaja cari pasal. Macam manalah kau dengan dia boleh jadi adik beradik?” soal Izz geram.
Liyana menahan gelak melihat wajah Izz yang sudah merona merah menahan marah. Dia hanya menjongketkan bahu tanda tidak tahu.
“Nak buat macam mana, dah takdir…” jawab Liyana. Izz mendengus.


No comments:

Post a Comment