DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 20

Naim Zakaria

Hari Jumaat, dua hari selepas dia pergi, barulah rumah homestay itu dibersihkan. Aku sudah
mengupah Kak Wok, ibu tunggal beranak tiga untuk bekerja membersihkan rumah inap dan
chalet. Hari ni hari pertama dia bekerja dan oleh kerana sudah ada penyewa yang ingin
memasuki chalet pada petang ini, maka Kak Wok aku arahkan untuk membersihkan dan
mengemaskan chalet terlebih dahulu. Selepas Zohor barulah Kak Wok memulakan kerja
membersihkan dan mengemaskan rumah inap.
Dua penyewa chalet telah pun tiba dan baru selesai mengambil kunci. Satu keluarga
akan menyewa sehingga hari Ahad manakala satu keluarga lagi sekadar menyewa untuk satu
malam. Penyewa chalet ketiga akan masuk esok. Alhamdulillah, setiap minggu ketiga-tiga
chalet ku sentiasa disewa orang. Harap-harap rumah inap juga akan disewa orang selepas ini.
Aku mengemas kertas-kertas di atas meja. Cukuplah setakat ini aku melakar hiasan
dalaman sebuah pejabat syarikat guaman yang bakal dibuka di Kuala Lumpur. Esok akan
aku siapkan lakarannya dan emelkan kepada Haziq. Haziq lebih berminat dengan hiasan
dalaman rumah kediaman manakala aku lebih menumpukan hiasan dalam pejabat, kedai dan
restoran. Alhamdulillah, perniagaan kami berjalan dengan baik. Walaupun aku jauh, aku
masih mampu membantu Haziq. Cuma bebannya sedikit bertambah sejak aku pulang ke sini
kerana dia terpaksa menguruskan hal-hal pentadbiran juga, yang sebelum ini di bawah
tanggung jawabku.
“Naim,” Kak Wok memanggil dari luar pintu pejabat yang sentiasa terbuka.
“Kak dah siap kemas semua. Ni ada jumpa tuala. Kot–kot orang yang duduk
sebelum ni tertinggal benda ni.”
Aku bangun lalu menghala ke pintu. Tuala di tangan Kak Wok aku ambil.
“Saya simpan tuala ni. Biasalah Kak Wok, kadang-kadang penyewa tertinggal
barang. Ada kotak t empat bubuh barang-barang yang dia orang tinggalkan.”
“Hah oklah kalau macam tu. Kak Wok balik dulu ya,” pamit Kak Wok.
“Terima kasih Kak Wok,” ujarku.
“Sama-sama” jawabnya sambil berlalu. Aku masuk semula ke dalam pejabat. Tuala
berwarna ungu itu ke bentangkan di atas meja. Tuala kecil itu aku usap. Lembut rasanya. Di
satu bucu tuala ada sulaman “I & M”. Tuala itu kelihatan bersih. Aku bawa ke hidung.
Baunya juga bersih.
“Apa tu?” siapa lagi kalau bukan suara si Fina. Entah bila dia sampai, tau-tau sudah
berada di hadapanku.
“Cantik”, katanya sambil terus mengambil tuala itu. Diusap tuala itu.
“Lembut, mesti mahal tuala ni” katanya lagi.
“Ni mesti Izureen and Muaz” katanya lagi tatkala matanya tertancap pada sulaman di
bucu tuala. Nampaknya Fina juga tahu tentang Muaz. Bolehlah aku korek rahsia daripada
Fina. Apa yang aku tahu terlalu sedikit.
“Tolong simpan dalam kotak Lost and Found” aku arahkan Fina. Lantas dia berjalan
ke arah kotak berwarna merah yang berlabel “Barang-barang Tertinggal”. Fina yang
membeli kotak merah itu dan melabelkannya.
“Setiap kali dia datang, mesti tertinggal barang. Mula-mula dulu cekak, kali ni tuala.
Lepas ni entah apa pulak” si Fina mengomel.
“Eh, Along tak pulangkan cekak ni kepada dia?” soal Fina sebaik terlihat cekak yang
disimpan elok di dalam plastik. Di atas plastik itu terlekat sekeping kertas kecil dan di
atasnya tertulis “Izureen”. Itu juga kerja Fina. Bagusnya adik aku ini, dia sangat teratur
orangnya. Setiap barang yang ditinggalkan oleh penyewa dimasukkan ke dalam plastik dan
setiap plastik dilabel dengan nama penyewa. Masih ada beberapa barang yang tidak dituntut
oleh pemiliknya.
“Along lupa” ringkas jawapanku.
“Elok pun Along lupa. Dan elok sangatlah dia tertinggal tuala ni.”
“Hah?” aku tidak faham maksud Fina.
“Adalah alasan untuk Along telefon dia, bagitau dia... datanglah lagi ke sini, sebab
barang dia tertinggal. Ni tuala ni mesti special, ada sentimental value sebab ada sulaman
nama dia dan Muaz.” Fina menerangkan.
“Siapa Muaz? Boyfriend dia ke?” aku mulakan sesi mengorek rahsia.
“Hmm... kesian Kak Reen tu.” Pendek sahaja ayat Fina, namun tidak menjawab
soalanku. Tak mengapa, tanya lagi.
“Kenapa?”
“Dia syok kat Muaz. Tapi Muaz ni anggap dia sebagai kawan baik saja. Bertahuntahun
dia menyimpan rasa terhadap Muaz, tiba-tiba Muaz tu bertunang. Bertunang pula
dengan bakal adik ipar kakak kak Reen.” Hmm, senang kerja mengorek rahsia kalau dapat
orang macam Fina ni. Sikit disoal, banyak pula dijawabnya.
“So dia frustlah? Sebab tu dia datang sini dan duduk sini lama-lama?”
“Ha ah. Dia sedih, kecewa dan malu dengan Muaz. Dia duduk sini kerana nak
larikan diri daripada Muaz, dengan harapan dia dapat mengubat kesedihannya di sini. Dia
ada kata kat Fina, dia seronok duduk sini. Family kita layan dia dengan baik. Bila dia ada
kat sini, dia terlupa masalah. Tapi tak selamanya dia boleh duduk sini, dia kena balik juga.
Kecualilah kalau.....” ayat Fina tergantung di situ. Kotak yang sudah ditutup dikembalikan ke
tempat asal. Fina menarik kerusi dan duduk di hadapanku.
“Kecuali apa?”
Fina senyum. Keningnya dijongketkan sebelah. Kedua belah tangannya dibawa
menompang dagu.
“Kecualilah kalau dia jadi..... kakak ipar Fina.”
“Ish! Apa kamu merepek ni?” Pen ditangan aku hentak lembut ke kepalanya.
Memang wajib dia ni kena ketuk kepala. Cakap lagi benda yang bukan-bukan.
“Adoi! Sakitlah!” Terus dia meraba kepalanya, di tempat yang aku ketuk. Over
betul si Fina ni, aku cuma ketuk sedikit saja, tak kuat pun. Takkan sakit kot.
“Padan muka. Cakap lagi benda yang bukan-bukan” aku sengeh.
“Apa pulak bukan-bukan? Dia suka kat Along lah! Mak nampak, Kak Ida pun
nampak. Bukan Fina seorang je yang perasan.”
“Perasan apa?”
“Cara dia pandang Along, cakap dengan Along, senyum kat Along. Malahan cara dia
menjeling Along pun lain tau?”
“Lain macam mana pulak?” Aku semakin berminat dengan cerita Fina.
“Jeling-jeling manja gitu. Macam mulut kata marah, hati kata suka” dan Fina pun
menggayakan apa yang dimaksudkannya sebagai jeling-jeling manja. Tergelak besar aku
melihat kelakuan Fina. Lucu, sangat melucukan.
“Apa yang Along gelak ni, orang seriuslah” Fina nampaknya sudah mula bengang.
“Kalau gitulah caranya kamu menjeling lelaki, jangan kata jatuh cinta, jatuh tangga
adalah. Itu bukan jelingan manja, itu jelingan mengada terlebih gedik” Aku gelak lagi. Fina
membulatkan matanya. Tangannya mencapai lenganku dan satu cubitan dilepaskan. Aku
mengadoi kesakitan dalam gelak yang masih bersisa.
“Tak percaya? Cuba kamu jeling Pejal macam tu. Confirm dia jatuh tangga.”
“Along!” Tangannya kini menepuk-nepuk tanganku.
“Ish kamu ni, kot ya pun tengah bengang, tangan tu boleh tak jangan bergerak?” aku
cuba mengelak pukulannya.
“Along ni sengaja nak cover line kan? Along pun suka Kak Reen kan? Mengaku
sajalah.” Fina bangun dan berjalan menuju ke pintu.
“Dia tak suka Alonglah” ayatku mematikan langkah Fina lalu dia berpaling ke arahku.
“Along tau tak, masa Along kirim laksa hari tu, berkali-kali dia ingatkan supaya beli
laksa. Masa Along pergi ke Villa Mahabbah, banyak kali dia tanya bila Along balik, Along
pergi dengan siapa, tak bahaya ke naik motor jauh-jauh, sorang-sorang pulak tu. Masa dia
terlanggar Along kat dalam kedai, berkali-kali dia tanya Along OK ke, tak sakit ke, tak marah
ke? Nampak dia ambik berat tentang Along. Kalau dia tak suka, kenapa dia ambil berat?”
Dah bercekak pinggang adikku ini di depanku.
“Suka dengan cinta tak sama Fina.” Ujarku.
“Tapi Along, dari suka boleh jadi cinta. Dari cinta timbullah sayang.”
Wah, pandai pula si Fina ni bermadah cinta. Entah dari mana dia belajar. Tidak
dinafikan aku juga sukakan Izureen. Tapi cukupkah sekadar perasaan suka? Sedangkan
orang yang aku cintai bertahun-tahun pun boleh melukakan dan mengkhianatiku, mana
mungkin orang yang sekadar wujud rasa suka kepadanya, dijadikan suri hatiku.
“Macam mana? Have you given it a thought?” Soalan Haziq menimbulkan semula rasa
kurang senang yang telah lenyap seketika. Dua minggu sekali aku ke Kuala Lumpur untuk
urusan syarikat hiasan dalaman kami.
“Belum.” Ringkas jawapanku. Dan aku pasti Haziq telah menjangka jawapan itu
yang akan keluar dari mulutku.
“We owe her an answer.” Ujar Haziq.
“Tapi kau tak janji bila kita akan bagi jawapan. Engkau pun tak janji apa-apa
kepadanya, kan? You said we will consider, so we can take as long as we want to consider
her offer.”
Haziq diam. Nampak seperti dia sedang memikirkan sesuatu.
“Aku takut ada udang di sebalik batu” ujarku sambil meneliti wajah Haziq. Sehingga
hari ini dia tidak pernah berterus terang tentang perasaannya terhadap tawaran yang dibuat
oleh Ratna.
“What do you mean?” soal Haziq.
“Kalau dia jadi partner kita, sekali sekala mesti dia dapat jumpa aku. Kau tau kan,
aku nak mengelak daripada berjumpa dengan dia.”
Haziq bangun dan berjalan ke arah tingkap. Berdiri di situ sambil berpeluk tubuh.
Timbul rasa curiga di dalam benakku. Adakah Haziq sebenarnya berminat untuk menerima
tawaran Ratna untuk melabur dalam syarikat kami dan menjadi rakan kongsi perniagaan
hiasan dalaman kami? Aku bangun, berjalan ke arahnya dan berdiri di sebelahnya.
“Ziq, berterus teranglah dengan aku kalau engkau berminat dengan offer tu.”
Haziq menghela nafas panjang dan menghembuskan nafasnya perlahan-lahan.
Kemudian dia berpaling ke arahku. Tangannya dikalih, dimasukkan ke dalam poket.
“Zack, kita dah lama berkawan. Aku hargai persahabatan kita lebih dari wang ringgit.
Duit kita boleh cari tapi kawan baik, zaman sekarang ni, payah nak dapat. Kalau engkau tak
mahu terima offer tu, aku ikut aje. Cuma kita kena maklumkan kepada dia secepat mungkin.
Aku rimas bila dia selalu telefon aku. She calls me almost everyday. Mula-mula dia tanya
pasal offer. Lepas tu tanya pasal engkau. Aku dah malas nak layan so kalau kita bagi tau
jawapannya, hopefully dia tak kacau aku lagi.”
Barulah aku faham kedudukan sebenarnya. Kenapa tidak saja Haziq ceritakan semua
ini dari awal, kan senang. “Sorry Ziq, aku ni banyak menyusahkan engkau. Lepas ni engkau
bagi tahulah dia kita tolak offer dia.”
Kami sama-sama senyum. Lega. Seperti Haziq, aku juga tidak mahu persahabatan
ini terjejas hanya kerana tawaran dari bekas tunangku yang entah ikhlas, entah tidak.
“Our financial standing is so far OK kan?”
“So far so good, Alhamdulillah” jawab Haziq sambil bergerak ke mejanya.
Punggungnya dilabuhkan ke kerusi, nampak dia lebih relaks berbanding tadi. Mungkin lega
kerana kata persetujuan telah dicapai. Itulah Haziq. Sentiasa bertolak ansur dan berbincang
dalam apa juga perkara. Setakat ini belum pernah lagi dia membuat keputusan dengan
membelakangkanku.
“Alhamdulillah, sejak Tengku Asyraf honeymoon di Villa Mahabbah, sentiasa ada
couple yang book resort tu. Untuk kawan-kawan dia, aku buat package special yang tak
termasuk andaman, pengantin dan lain-lain. Just a honeymoon package. Asalnya aku buat
package tu untuk seorang Dato’. Dia ni berminat nak visit Mahabbah dan check-out the
honeymoon package, tapi Dato’ ni sentiasa sibuk. Dah tiga kali postpone appointment.
Sekarang package tu aku gunakan untuk kawan-kawan Tengku Asyraf.”
“I salute you my friend” ujar Haziq lantas menepuk bahuku. Sambil tersenyum dia
menyambung “mana nak uruskan Mahabbah, yang di kampung lagi. Engkau tak penat ke
uruskan dua tempat dalam satu masa? Lepas tu kerja kat sini pun kau tolong. Patutlah
engkau tak ada hati dah nak kahwin.”
Aku tergelak kecil mendengar kata-kata Haziq. Penat, sudah tentulah. Tapi sekarang
dengan pekerja yang boleh dipertanggungjawabkan, mengurus dua tempat percutian tidaklah
terlalu membebankan.
“Mahabbah tu dah stabil. Pekerja kat sana dah boleh dipercayai dan boleh diharap.
Cuma kalau ada VIP, terpaksalah aku tunjuk muka. The homestay and chalet need more of
my attention. Sejak aku buat blog, sentiasa ada enquiry dan Alhamdulillah setiap weekend
ada booking. Sejak Izureen balik, homestay tu tak pernah kosong.”
“How is Izureen?” Soalan Haziq membuatku terkedu. Apa yang harus aku jawab?
“Erm… fine I guess?”
“What do you mean guess? Lepas dia balik, dia tak contact kau ke?”
“Ish kau ni, apasal pulak dia nak contact aku?” soalannya aku balas dengan soalan.
“Manalah tau..... nak menyambung cinta,” jawab Haziq sambil tersenyum lebar.
“Kau ni Ziq, memandai je. Bila pulak aku dengan dia bercinta?”
“Bercinta belum lagi Bro, tapi jatuh cinta sudah” Haziq senyum lagi. Aku pandang
Haziq yang tersenyum nakal. Mati kutu, tidak tahu apa yang patut aku katakan untuk
menjawab usikan Haziq. Tanganku bawa menompang dagu.
“Seriously Bro, don’t you miss her?” Aku biarkan soalan Haziq itu tidak berjawab.
Wajah manis Izureen terpampang di ruangan mata. Senyumannya, tawanya, jelingannya
ketika marah, semua itu tertayang jelas di hadapanku. Tiba-tiba tangan Haziq bergoyanggoyang
di hadapan mataku. Dia gelak bila aku memandangnya.
“Aku nampak Izureen dalam mata kau.” Dia gelak lagi. Kurang asam Haziq ni,
menyakat aku saja. Ish, takkanlah senang sangat aku jatuh cinta.
“Engkau tu bila lagi? Nak membujang sampai mati ke?” Gelak Haziq mati bila
mendengar soalanku. Wajahnya bertukar serius. Dengan perlahan-lahan dia tuturkan “Cinta
itu satu tanggungjawab. Berani melafazkan cinta bererti berani dan bersedia untuk membawa
orang yang dicintai ke arah yang lebih baik; ke jalan Allah. Aku belum mampu memikul
tanggungjawab tu.”
Aku diam. Menghadamkan kata-kata Haziq di dalam benakku. Berat sungguh
falsafah cinta si Haziq. Terkenang diri sendiri. Mampukah aku sebenarnya membimbing
orang yang aku cintai ke jalan Allah? Dulu aku gagal. Ratna tidak pernah aku bimbing,
sebaliknya kami sama-sama hanyut dalam percintaan. Mujurlah tidak sampai terlanjur.
Namun walau tidak dengan aku, dia buat dengan lelaki lain.
Bunyi ketukan di pintu mematikan lamunanku. Syazliana, pekerja yang baru tiga
bulan menyertai syarikat kami muncul di balik pintu, bersama senyuman manis menghiasi
wajahnya.
“Ya Liana?” Haziq senyum. Ada satu kelainan dalam senyuman itu.
“Ni, katalog sofa terbaru . Encik Haziq tengoklah.”
Senyuman Haziq masih melebar. Syazliana berkalih memandangku, sambil
menundukkan sedikit kepalanya, tanda hormat. Aku balas dengan senyuman. Kemudian dia
memandang Haziq semula dan mereka berbalas tenungan dan senyuman. Aku dapat rasakan
ada sesuatu di sebalik renungan dan senyuman mereka. Renungan dan senyuman Haziq
mengekori pergerakan Syazliana, sampai ke pintu.
“Hai, nampaknya ada orang sudah jatuh cinta” ujarku sebaik sahaja Syazliana keluar.
“May be” ujar Haziq dengan senyuman yang masih bersisa. Itu satu pengakuan
berani yang jarang aku dengar darinya. Selama aku mengenali Haziq, dia sangat rajin belajar
dan bekerja. Katanya sementara usia masih muda dan kuderat masih ada, dia mahu bekerja
bersungguh-sungguh dan satu daripada impiannya di masa hadapan ialah bersara awal.
“Zack, cuba kau terus terang dengan aku, apa perasaan engkau terhadap Izureen?”
Soalan Haziq memecahkan kesunyian yang tiba-tiba muncul apabila kami berdua saling larut
dalam fikiran masing-masing. Aku renung Haziq dengan dahi yang berkerut. Kenapa pula
dia menanyakan soalan ini? Di rumah emak dan Fina selalu mengusik dan mengaitkan aku
dengan Izureen. Sekarang Haziq pula melakukan perkara yang hampir sama. Mata aku
alihkan, daripada merenung Haziq ke arah tingkap. Otak pula berfikir, perlukah soalan itu
aku jawab?
“Hoi, jawablah soalan aku!” Gesa Haziq bila aku tidak bersuara. Aku mengangkat
bahu. Aku berpaling semula ke arah Haziq, melihat wajahnya yang bagaikan mengharap
jawapan daripada aku. Tapi kenapa Haziq sibuk nak tahu?
“Aku suka dia.” Cukuplah tiga perkataan itu untuk memuaskan hati Haziq. Haziq
tersenyum.
“Good enough. Dari suka boleh jadi cinta.”
Dahiku berkerut lagi. Rasanya baru beberapa hari yang lepas aku mendengar patahpatah
perkataan yang sama diucapkan oleh Fina.
“Someone will be happy to hear that.”
Dahiku semakin berkerut. Apa maksud Haziq? Tiba-tiba ada debaran dalam dada.
“Siapa?” aku bertanya.
“Izelan.” Haziq menjawab pendek, cepat-cepat mengambil kunci kereta dan keluar
dari bilik pejabat kami. Aku menurut dari belakang. Di ruang lobi Syazliana tersenyum
memandang Haziq yang sedang berjalan ke arahnya. Haziq ni… sibukkan aku, walhal dia
sendiri sedang menyukai seseorang.

No comments:

Post a Comment