DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 10



Samirah mengucapkan syukur kerana temuduga di sebuah kolej universiti di Subang berjalan dengan lancar.  Jika berjaya, dia akan ditempatkan di kampus Pulau Pinang.  Hajatnya untuk bekerja di Pulau Pinang sambil mencari mamanya nanti akan menjadi kenyataan.

Kereta dipandu dengan berhati-hati.  Sudah lama dia tidak memandu di Kuala Lumpur yang sentiasa sesak jalanrayanya.  Terlalu berhati-hati pun masalah juga, asyik kena hon dengan pemandu di belakang.  Rasanya lebih senang memandu di Lousiana, Amerika Syarikat daripada memandu di Kuala Lumpur.  Di sana, jarang sekali mereka bermain hon.  Di sini, sikit-sikit kena hon.

Melalui Jalan Tun Razak, fikirannya singgah di wajah Irsyad Rifqi.  Apa khabar dia?  Sejak kunjungan ke Bukit Melawati sudah seminggu lebih mereka tidak berjumpa.  Hanya sekali CEO muda itu menghubungi Samirah.  Itu pun mereka sekadar berbual di telefon sekejap.  Kata Irsyad dia sibuk dan perlu menghadiri mesyuarat.  Selepas itu tiada khabar daripadanya.

Pasti dia sibuk, bisik hati Samirah.  Sekarang Samirah sudah semakin mengenali Irsyad Rifqi.  Anak bongsu dari pasangan Dato’ Ibrahim dan Datin Nuridah.  Anak bongsu sepatutnya manja, tetapi Irsyad Rifqi tiada masa untuk bermanja.  Setiap hari dia sibuk menguruskan syarikat pengurusan resort yang diasaskan oleh bapanya.  Kata Irsyad, abangnya tidak berminat dengan perniagaan itu jadi kepada Irsyadlah bapanya bergantung harap untuk meneruskan perniagaan.  Kakaknya pula kini tinggal di Alor Setar, mengikuti suaminya yang bertugas dengan kerajaan negeri Kedah.

Samirah faham kesibukan Irsyad Rifqi.  Sebab itu dia tidak berkecil hati apabila Irsyad jarang menghubunginya.  Dia pun selesa dengan perhubungan begini.   Tidak terlalu rapat, tidak terlalu kerap berjumpa dan tidak juga setiap hari berbual di telefon.

Leka melayan fikiran, Samirah tidak perasan dia mengikut kereta di hadapannya dengan rapat.  Entah apa yang menghalang, tiba-tiba kereta itu berhenti mengejut.  Samirah menekan brek sekuat hati, namun sudah terlewat.  Mujurlah hentamannya tidak kuat.

Cepat-cepat Samirah memberi isyarat kecemasan.  Kereta diparkir dan dia segera keluar.  Dari dalam Suzuki Swift merah, seorang gadis berambut panjang keluar.  Gadis yang memaking legging berwarna merah jambu, blaus pendek berwarna hitam dan kasut tinggi bertumit runcing lima inci itu segera meluru ke belakang kereta.  Dia menunduk melihat kerosakan akibat hentaman daripada kereta Samirah.

“Hey, macam mana you drive hah?  You drive sambil tidur ke apa?”  Cermin mata hitamnya ditolak ke atas rambut yang diwarnakan perang.  Samirah terkedu.  Muka cantik tapi mulut macam longkang, bisik hatinya. 

 “Cik, maafkan saya.  Saya tak sengaja.  Cik tekan break last minute, saya tak sempat mengelak.”

“Mana ada I break last minute.  You tu drive tak pakai mata!”

MasyaAllah, garangnya perempuan ni.  Langsung tak ada budi bahasa.  Kot ya pun marah, jagalah sikit mulut tu, bisik Samirah di dalam hati.

“Cik, kan saya dah minta maaf?  Lagi pun calar sikit saja ni. Kereta saya lagi teruk.”

“Hei apa you kata?  Memanglah you ni tak ada mata, cuba tengok betul-betul.  Teruk tu.  Sekarang saya nak awak bayar ganti rugi supaya saya boleh repair kereta ni.”

Samirah menundukkan badannya sekali lagi.  Kesan perlanggaran tadi diamatinya betul-betul.  Memang sah, hanya sekadar calar.  Mata berpaling pula ke arah kereta MyVi Aidid.  Hmm, bukan setakat calar, kemek sedikit di bahagian bawah plet kereta.  Tubuhnya ditegakkan.  Mata segera memandang ke arah gadis biadap yang sedang mencerun matanya memandang Samirah sambil berpeluk tubuh. 

 “Mata saya okey, boleh nampak ada sedikit calar.  Mungkin mata cik yang ada masalah kot?” Samirah menyindir.  Berangnya belum hilang. Ini bukan mulut longkang, ini mulut saluran air tandas.  Tak guna melayan orang macam ni.  Bisik Samirah kepada dirinya sendiri.  Kaki dihayun ke kereta.  Dompet di dalam beg tangan dikeluarkan.  Hanya ada RM150.  Dua keping nota RM50 dikeluarkan dan dihulurkan kepada gadis berambut perang.

What?  RM100.  You must be crazy.  You tau tak, kereta ni mahal?  Kalau kereta local macam kereta you tu bolehlah repair dengan seratus ringgit.”

Berdesing telinga Samirah.  Kot ya pun nak duit lebih, janganlah hina kereta abang aku.  Kalau kita orang nak, kita orang boleh pakai kereta yang lebih mewah tapi kita orang saja tak mau menyusahkan papa, hatinya berbisik.  Setakat kereta Suzuki Swift tak payahlah berlagak.  Bisik hati Samirah lagi.  Matanya sudah memandang tajam, seperti harimau yang menunggu masa untuk menerkam mangsanya.

“Berapa you nak?”

Three hundred.”  Gadis berambut perang itu menjawab dengan garang.   Ingat aku takut ke, tanya Samirah dalam hati sambil bibirnya dicebikkan. 

I don’t have three hundred.”  Samirah berkata dengan tegas.

“Dah tau awak tu miskin, bawalah kereta elok-elok. Kalau you tak nak bayar tiga ratus, kita buat police report.

Kali ini darah Samirah betul-betul menyirap.  Dia ni bukan setakat kurang ajar, kurang IQ sekali agaknya.  Kesian mak bapak kau, dapat anak macam ni.  Kalau kau ada suami, aku kesian juga pada suami kau.  Samirah berkisah dalam hati.  Mata Samirah sudah mengecil.  Kalau diikutkan hati mahu ditampar mulut celupar bergincu tebal itu.  Si gadis pula buat muka selamba, langsung dia tidak kisah kereta dan motorsikal yang lalu di tepi mereka. 

Sebuah kereta SUV BMW X5 berwarna perak berhenti di depan Suzuki Swift merah.  Si gadis memanjangkan leher, melihat siapa yang keluar dari tempat duduk belakang.  Dia terpana melihat jejaka kacak yang melangkah ke arahnya.  Samirah pula, masih mencerun matanya melihat si gadis, hingga tidak sedar sang jejaka sudah berada di sisi.

“Samira.” 

“Irsyad!”  Samirah terpempan.  Irsyad Rifqi, memakai kemeja berwarna krim dengan tali leher coklat muda melekat di lehernya sudah berdiri bercekak pinggang di sebelah Samirah.

“Kenapa?”

“Saya terlanggar kereta dia.”

Irsyad Rifqi berjalan ke belakang kereta, mengintai kerosakan akibat pelanggaran.  Kemudian mengerling pula ke arah kereta MyVi yang sudah dikenalinya.

“Sikit saja ni. Saya rasa cat balik, dalam seratus ke seratus lima puluh saja.” Kata Rafidi yang turut keluar dan mengikuti bosnya meninjau kerosakan pada kereta gadis berambut perang.

Irsyad Rifqi datang semula ke sisi Samirah.  Gadis berambut perang dipandang sekilas.  Si gadis pula membulat matanya memandang jejaka kacak itu sambil menguntum senyuman.  Meluat Samirah melihat gelagat gadis itu.  Tadi bukan main sombong, depan lelaki terus menggedik, desis hati Samirah.

Irsyad Rifqi menyeluk saku.  Domplet dikeluarkan.  Empat keping nota RM50 diserahkan kepada gadis berambut perang.  Sambil tersengeh-sengeh, si gadis menyambut duit yang diberikan oleh Irsyad Rifqi.  Makin menyampah Samirah melihat si gadis. 

Thank you.  Saya Luna.  Encik siapa ya?”  Si gadis semakin menggedik.  Tanpa segan silu tangannya dihulurkan.  Irsyad Rifqi memandang kosong ke arah tangan si gadis.

“Saya boyfriend dia.”  Dengan selamba dituturkan.  Kemudian matanya pantas berkalih kepada Samirah.  Tangan si gedik tidak disambut.  Si gedik buntang matanya, sekejap memandang Irsyad, sekejap memandang Samirah. 

Samirah termangu.  Boyfriend?  Sejak bila?  Kan kawan saja?  Tapi elok juga Irsyad cakap macam tu, biar minah gedik ni terkejut.  Ingat orang macam aku, yang kau kata miskin tadi, tak boleh dapat boyfriend sehebat Irsyad?

“Awak nak ke mana?” Irsyad bertanya.  Wajah Samirah yang tadi dia nampak sedang marah kini sudah pun kembali tenang.

“Saya nak pulangkan kereta ni kepada Aidid.  Pukul tiga dia nak guna kereta.”  Tanpa berselindung Samirah memberitahu.  Sekarang sudah pukul 2.30.  Kalau dia lambat, Aidid juga bakal lambat ke mesyuarat dengan bakal pelanggan.

Office Aidid di mana?”

“Sentul.”

Irsyad Rifqi menoleh ke arah Rafidi.  Arahan diberikan kepada Rafidi dan kemudian dia berjalan ke arah MyVi.  Pintu pemandu dibuka.

“Jom, saya hantar awak.”

Samirah terkesima.  Biar betul, dia nak pandu kereta MyVi ni?  Dalam keterkesimaannya, kaki dihayun juga dan Samirah masuk ke dalam kereta. 

“Irsyad, betul ke ni awak nak bawa kereta ni?”

Irsyad Rifqi tersenyum.  Senyuman yang mampu mencairkan hati memang sangat-sangat Samirah perlukan saat ini.  Ketika dalam dada bercampur baur segala macam perasaan.  Ada rasa marah dan geram kepada si gadis berambut perang tadi yang entah bila masanya beredar dari tempat mereka berhenti.  Ada rasa takut, kalau-kalau Aidid memarahinya nanti kerana memandu dengan cuai.  Ada juga rasa terkedu kerana tanpa diduga, CEO muda yang tampan muncul menjadi penyelamat.  Kalau Irsyad Rifqi tidak datang, mungkin sekarang dia sedang menarik rambut gadis sombong itu atau pun menumbuk pipinya yang bercalit pemerah pipi tebal.

Wajah Irsyad Rifqi ditatap.  Tampannya dia.   Rasa nak pegang pipi dia dan ucapkan terima kasih banyak-banyak kali.  Astaghfirullahal adzim, berdosalah Ira! 

“Awak dari mana?”  Irsyad Rifqi menyoal.

“Tadi saya pergi interview di Subang.”

“Kata nak kerja di Penang?”  Wajah Samirah dikerling.  Dalam hati berharap rancangan bekerja di Pulau Pinang sudah terbatal.

“Kolej tu ada kampus di Penang.  Interviewnya saja di sini.”

Harapan Irsyad Rifqi yang rupa-rupanya terbatal.  Ah, baru interview.  Belum tentu dia dapat kerja tu.  Hati sendiri dipujuk. 

“Lama kita tak jumpa kan?”  Pantas Irsyad Rifqi berkata.  I am very busy lately.  Tapi sesibuk macam mana pun, awak tetap teratas dalam hati saya.”  CEO muda mula mengayat.  Wajah Samirah dikerling.  Bibirnya menguntum senyuman bila melihat pipi Samirah sudah bertukar merah.

Samirah terkedu.  Pipinya terasa panas.  Bukan dia tidak biasa diberikan kata-kata manis tapi Irsyad Rifqilah lelaki Melayu pertama yang mengocak hatinya dengan kata-kata manis. 

“Belok kanan.  Lepas traffic light depan tu, masuk simpang kiri yang pertama,” akhirnya Samirah bersuara, memberi tunjuk arah kepada Irsyad Rifqi. 

Samirah mengerling jam tangan.  Lagi 5 minit pukul 3.  Harap-harap aku tak lewat. Dia bukannya risau Aidid akan memarahinya.  Sebaliknya dia tidak mahu Aidid lambat sampai ke tempat mesyuaratnya.  Dalam kerisauan, sempat lagi dikerling CEO muda yang selamba saja memandu kereta MyVi.  Tidak kelihatan langsung dia kekok memandu kereta kecil, sedangkan Samirah yakin dari kecil tentu Irsyad Rifqi sudah biasa ke hulu ke hilir menaiki kereta mewah.

“Depan bangunan biru tu awak berhenti.”

Kereta diberhentikan di hadapan bangunan rumah kedai, betul-betul di hadapan pejabat yang bercat biru.  Aidid sudah menunggu di luar pintu.  Sambil tersengeh-sengeh dia mara mendekati keretanya. Irsyad Rifqi keluar dan bersalaman dengan Aidid.  Riak kehairanan terpamer di wajah Aidid. 

Sorry Did, aku lambat sikit.  Ada accident tadi.  Aku langgar kereta orang.”  Samirah yang sudah berdiri di sebelah Irsyad Rifqi menerangkan. 

Tanpa berkata apa-apa, Aidid melangkah ke hadapan kereta.  Seluruh bahagian hadapan kereta ditelitinya.

“Tak apalah, sikit aje ni.”  Betul tekaan Samirah, Aidid tidak marah.  “Macam mana pula…”  Ayatnya tak habis.  Jarinya ditunding kepada Irsyad Rifqi dan kemudian menunding kepada Samirah. 

“Kebetulan saya lalu di tempat Samira melanggar kereta tu, jadi saya berhenti dan offer untuk hantar dia ke sini.”  Irsyad memberi penjelasan.

“Oh.  Terima kasih banyak-banyak sebab hantarkan Ira ke sini.”

Aidid pandang Samirah.  Senyuman tergaris di bibirnya.  Senyuman ada makna tu, bisik hati Samirah.

“Saya terpaksa pergi.  Boleh saya minta tolong?”

Irsyad Rifqi memandang Aidid dengan penuh minat.

“Papa baru telefon.  Meeting dia lambat habis.  Boleh tolong hantarkan Ira balik?”  Mata Aidid cepat berkalih ke Samirah sebaik soalan cepu emas diberikan kepada Irsyad.  Keningnya diangkat.

Samirah menjegilkan matanya ke arah Aidid.  Tangannya digoyang-goyangkan.  Mulutnya membulat membentuk perkataan ‘no’.  Langsung tak dipedulikan oleh Aidid gelagat adiknya.  Aidid nampak, tapi buat-buat tak nampak.  Aidiiiiid!  Samirah menjerit, tapi cuma dalam hati.

“Boleh.  Boleh sangat-sangat.”  Irsyad Rifqi senyum.  Pucuk dicita, ulam mendatang.  Kecil kereta BMWku, bas persiaran aku tadahkan.

Thanks.  I got to go,” Aidid membuka pintu kereta.  Samirah memandang abangnya dengan dahi berkerut.  Bengang betul dia dengan Aidid.  Sengaja nak kenakan aku ya. Belum sempat Aidid menutup pintu, Irsyad Rifqi melaung.

“Saya nak belanja Samira makan malam, boleh kan?”

Sure.  Tapi jangan balik lambat.”  Matanya dikenyitkan pada sang adik yang menengoknya dengan pandangan seperti seekor singa hendak menyerang mangsanya.  Pintu kereta ditarik.  Aidid pergi.  Samirah sakit hati.

Irsyad Rifqi tersenyum lebar, macam hendak koyak mulutnya. Telefon bimbit dikeluarkan dari saku.  Dua puluh minit kemudian SUV BMW berwarna perak muncul, diikuti oleh seorang penunggang motorsikal.  Rafidi keluar dari kereta, bercakap tidak sampai seminit dengan bosnya dan pergi menaiki motorsikal.



No comments:

Post a Comment