Minggu ini merupakan minggu persekolahan yang paling sibuk
bagiku. Apataknya, selain sibuk dengan
kelasku, aku juga sibuk menguruskan kelab dan persatuanku, iaitu Majlis
Perwakilan Pelajar Pra-Universiti (MPPPU).
Kalau difikirkan secara teliti, aku tidak nampak sebarang point yang
mengatakan tugas guru ini mudah. Mana
ada pekerjaan di dalam dunia ini yang rencam seperti tugas seorang guru. Bukan setakat tertakluk kepada tugas mengajar
dan mendidik di dalam bilik darjah, malah tugas guru boleh melangkaui tugas
hakiki itu. Seorang guru boleh jadi apa
saja. Boleh jadi kerani, boleh jadi
tukang kebun, boleh jadi penjaga kepada pelajarnya yang sakit menggantikan
tugas ibu bapa dan banyak lagi. Kalau
aku senaraikan semua, nanti mereka yang bukan dari kalangan guru mengatakan aku
mereka-reka cerita. Mereka yang sealiran
dengan tugasku sahaja yang akan memahami.
Walau apapun orang di luar sana kata mengenai kerjayaku ini, aku tetap
bangga berada di dalam profesion ini.
Malah aku sudah terlalu mencintai kerjayaku ini. Alhamdulillah….
Mengajar subjek Pengajian Am, membuatkan aku harus mengambil tahu
apa sahaja yang berlaku di dunia luar kerana aku tidak mahu menjadi seorang
pendidik yang setakat terikat kepada sukatan pelajaran yang harus
dihabiskan. Aku kerap berkongsi sesuatu
yang luar dari sukatan pelajaran dengan pelajar-pelajarku ketika mengajar, satu kepuasan buat diriku kerana aku mahu
mereka menjadi seorang pelajar yang boleh berfikir luar dari kotak pemikiran
yang biasa. Malah, aku terasa anak-anak
didikku ini seperti rakan-rakanku.
Mungkin disebabkan faktor umur kami yang tidak jauh berbeza. Apataknya, aku sudah diarahkan mengajar
subjek ini semenjak aku mula posting ke sekolah ini dan tahun ini adalah
tahun ke lima aku mengajar di sekolah ini.
Di awal-awal tahun pengajaranku dahulu, ada juga dalam kalangan
pelajar-pelajarku yang memanggil ku ‘kak Wani’ sahaja disebabkan faktor
perbezaan umur ini. Aku tidak kisah
kerana padaku, panggilan itu bukan bermakna mereka tidak menghormatiku, tetapi
aku rasa lebih mesra dengan mereka. Sesi
pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung dalam suasana santai dan mesra
lebih berkesan berbanding dalam situasi formal dan tertekan, dan itulah yang
aku aplikasikan setiap kali aku mengajar.
Syukur Alhamdulillah, hingga setakat ini keputusan peperiksaan pengajian
am dalam peperiksaan STPM tidak pernah mengecewakan.
Waktu aktiviti ko-kurikulum minggu ini, aku harus menguruskan satu
ceramah mengenai keselamatan jalan raya.
Tajuk ceramah ini dipilih kerana, ramai dalam kalangan pelajar-pelajar
tingkatan enam yang membawa kenderaan ke sekolah. Jadi, sudah semestinya aspek keselamatan
jalan raya harus dititikberatkan.
Sebagai ketua guru penasihat MPPPU, aku yang harus menguruskan segala
hal yang berkaitan dengan ceramah ini.
Pertama, aku harus mencari penceramah yang sesuai. Penceramah itu mestilah pakar dalam aspek
undang-undang jalan raya. Kedua,
penceramah itu mestilah berpersonaliti menarik kerana personaliti yang menarik
boleh menarik perhatian audien untuk terus mendengar dan yang ketiga penceramah
itu mestilah ada unsur-unsur kecindan.
Jadi, tidaklah pelajar-pelajarku seperti burung belatuk yang
terangguk-angguk mengiakan kata-kata penceramah tanpa mendengar
ceramahnya.
Aku menetapkan ketiga-tiga aspek ini berdasarkan diriku sendiri
yang menjadi penanda arasnya. Jika aku
boleh membuka mata dan fokus selama dua jam semasa mendengar ceramah, bermakna
penceramah itu pasti hebat dan kerana itu aku harus mencari seorang penceramah
dengan ciri-ciri yang ku sebutkan tadi.
Cuma persoalannya, di mana harusku cari penceramah sebegitu? Hendak memanggil pakar dalam undang-undang
jalan raya, aku tidak fikir kewangan persatuanku mampu untuk membayar harga
ceramahnya. Dengan bajet yang ciput, di
mana aku boleh dapatkan seorang penceramah yang super power?
Teringat pula kepada pegawai polis yang ditugaskan menjaga
sekolahku. Setiap sekolah akan dijaga
oleh seorang pegawai polis yang sekurang-kurangnya berpangkat inspektor yang
juga digelar sebagai pegawai perhubungan awam.
Mereka bertanggungjawab memantau tahap disiplin para pelajar di sekolah-sekolah. Jika ada berlaku sesuatu yang melibatkan
disiplin para pelajar, merekalah yang akan mengendalikannya dengan kerjasama
pihak sekolah tetapi setakat aku berada di sekolah ini, belum ada lagi kes-kes
disiplin yang serius hingga memerlukan campur tangan pihak polis. Setakat kes-kes disiplin yang kecil dan boleh
ditangani oleh guru disiplin di sekolahku sahaja.
Aku menghubungi pegawai perkhidmatan awam sekolahku, Tuan Sukhairi
untuk bertanyakan mengenai prosedur untuk mendapat penceramah mengenai
undang-undang jalan raya. Gembira tidak
terkata kerana tanpa perlu melalui banyak prosedur, aku hanya diarahkan untuk
pergi terus ke balai polis trafik Taman Ungku Tun Aminah dan menemui seorang
pegawai di sana. Aku tidak membuang masa
lagi, aku terus menuju ke balai polis berkenaan dalam perjalananku pulang ke
rumah sebaik sahaja tamat bertugas tadi.
Kebetulan balai polis itu terletak dalam arah yang sama perjalanan balik
ke rumah sewaku.
Aku membawa sama surat permohonan yang telah siap ditandatangani
oleh pengetuaku. Aku melangkah masuk ke
balai polis trafik yang agak sibuk itu.
Kelihatan beberapa anggota polis trafik yang sedang melayan orang awam
yang berhadapan dengan masalah trafik.
Aku memberanikan diri bertanya.
“Assalamualaikum cik…”, sapaku kepada seorang anggota polis wanita.
“Waalaikumsalama….ya cik…ada apa-apa yang boleh saya bantu?”,
soalnya sopan dengan senyuman yang menambahkan semangatku untuk berurusan
dengannya kerana kebiasaannya aku kerap dilayan oleh seorang anggota polis yang
aku boleh kategorikan agak kekwat!
“Err…boleh saya berjumpa dengan Tuan Megat?”
“Tuan Megat? Atas urusan apa
ye?”
“Saya ingin sampaikan surat permohonan dari sekolah saya….”
“Surat permohonan?
Permohonan untuk apa?”
Hishh!! Banyak pula soal
polis ni.
“Permohonan untuk mendapatkan seorang penceramah mengenai
keselamatan jalan raya…”, jawabku sambil menunjukkan surat permohonanku itu.
Dia menyambutnya dan mula membaca surat permohonanku. Dari raut wajahnya, dia seolah-olah pelik
apabila membaca kandungan suratku itu.
“Macam mana awak kenal dengan Tuan Megat?”, soalnya setelah habis
membaca suratku.
“Sebenarnya, pegawai perhubungan awam sekolah saya iaitu Tuan
Sukhairi dari balai polis central yang mencadangkan nama ini….”
“Oooo…..cik tunggu sekejap ye?”, dia mengangguk-anggukkan kepalanya
sebaik sahaja nama Tuan Sukhairi disebut.
Dia melangkah meninggalkan aku.
Aku sendiri tidak tahu ke mana dia pergi.
Aku duduk di kaunter sementara menunggu anggota polis itu
menguruskan surat permohonanku. Aku
sempat memerhatikan keadaan sekeliling yang agak sibuk itu. Mungkin banyak berlaku kes-kes kemalangan. Tidak kurang juga mereka yang berurusan
membayar saman. Menyebut mengenai saman,
tiba-tiba sahaja aku teringatkan insiden aku disaman lebih kurang dua mingu
yang lalu. Hingga kini, aku belum lagi menjelaskan
saman berkenaan. Nantilah, tunggu aku
gaji dulu atau tunggu pihak polis trafik buat promosi potongan harga saman!
Sedang aku melayan perasaanku, tiba-tiba aku terpandangkan polis
trafik boroi yang menyamanku dua minggu lepas melangkah masuk ke dalam balai
polis trafik itu. Encik Selamat! Aku cepat-cepat mengalihkan pandanganku dan
cuba menyembunyikan sedikit wajahku dari penglihatannya dengan harapan dia
tidak nampak aku dan tidak mengenaliku….tetapi aku tidak cukup bernasib baik
apabila tiba-tiba dia dengan ramahnya menegurku.
“Err…kalau tak silap kita pernah berjumpa…tapi di mana ya?”,
soalnya sinis dengan gaya watak Yassin dalam filem Senario The Movie.
Aku hanya mampu tersengih tidak sedap. Habislah aku!
Macam mana dia masih ingatkan aku? Aku mulalah nak cover line.
“Pernah jumpa? Err…Encik
Selamat silap orang kot?”, soalku cuba berdalih.
“Ye ke? Kita memang tak
pernah jumpa ya? Tapi macam mana awak
tahu nama saya?”, soalnya pula yang membuatkan aku terperangkap tapi macam
biasa aku mana pernah nak kalah.
“Tu…”, balasku pendek sambil memuncungkan ke arah tanda namanya.
Dia menunduk melihat tanda namanya dan kemudian menghadiahkan
senyuman sinisnya.
“Ye tak ye juga….ada kat sini nama saya. Tak apalah kalau awak tak kenal saya tapi mesti
awak kenal Tuan Irfan kan? So, buat
apa kat sini? Nak bayar saman ke?”,
soalnya sinis sambil berlalu meninggalkan aku yang termalu sendiri.
Bila Encik Selamat menyebut nama Tuan Irfan, aku mula
berdebar-debar. Jangan-jangan pegawai
itu juga bertugas di balai polis trafik yang sama. Aku sudah mula kecut perut bila mengingatkan
mesej-mesej balasan yang aku hantar kepada pegawai itu apabila tindakannya
untuk bercakap di telefon denganku gagal kerana aku tidak pernah menjawab
panggilannya sejak dari insiden aku disaman dua minggu lalu dan kerana itu dia
kerap menghantar mesej-mesej yang menggambarkan perasaan tidak puas hatinya
kepadaku.
Aduhai…apalah nasib. Lain
yang aku nak buat lain pula yang jadi.
Aku mula resah menunggu anggota polis wanita yang menguruskan surat
permohonanku itu. Kenapa lambat
sangat? Aku mula panas punggung bila
memikirkan kemungkinan terserempak dengan Tuan Irfan pula. Nampaknya, ini adalah kali pertama dan
terakhir aku pijakkan kaki ke balai polis trafik ini. Aku sanggup ke balai polis trafik yang lain
jika aku terpaksa berurusan lagi dengan pihak polis. Jauh pun takpe!
Lebih kurang sepuluh minit menunggu, anggota polis wanita itu
keluar semula dan menemuiku.
“Tuan Megat dah luluskan dan dia sudah bersetuju untuk memberi
ceramah berdasarkan tarikh, tempat dan waktu yang telah cik nyatakan dalam
surat permohonan tersebut…”, dia menghulurkan salinan surat permohonanku yang
telah diperakui terima oleh Tuan Megat.
“Macam tu aje? Saya tak
perlu berjumpa Tuan Megat sendiri?”, soalku pelik kerana merasakan prosedurnya
terlalu mudah tidak seperti kebiasaannya.
Anggota polis trafik wanita itu hanya tersenyum dan mengangguk.
“Ya…itu sahaja..”, balasnya mengiakan.
“Err…maknanya dah confirmlah ya yang Tuan Megat setuju untuk
bagi ceramah di sekolah saya hari rabu ini?”, soalku lagi untuk kepastian.
“Ya…confirm…”, balasnya lagi.
Aku meninggalkan balai polis trafik itu dengan hati yang
girang. Terlupa seketika insiden aku
ditegur Encik Selamat tadi. Tidakku
sangka begitu mudah urusanku kali ini.
Syukur Alhamdulillah kerana aku tidak terserempak dengan manusia yang
paling aku geruni walaupun wajah dan personalitinya tidak wajar ditakuti, malah
sepatutnya digilai….takpelah sebab aku pun belum gila lagi. Aku bersyukur sangat kerana tak perlu
bersusah payah untuk mencari penceramah yang lain.
No comments:
Post a Comment