DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 12

Naim Zakaria

Mata, mengapa sukar untuk lelap? Dia, mengapa sering sahaja wajahnya terbayang di depan
mata? Aku, mengapa hatiku ini libang libu? Serba tak kena rasanya. Mengiring ke kiri
salah, mengiring ke kanan salah juga. Duduk salah, baring pun salah.
Mata mengerling jam di dinding, sudah pukul 3 pagi. Dari memikirkan perkaraperkara
yang tidak pasti, lebih baik membuat sesuatu yang berfaedah! Maka aku bangun,
berlalu ke bilik air lantas mengambil wudu’.
Aku bentang sejadah dan dengan lafaz bismillah, aku mulakan solat tahajjud. Habis
bertahajjud, aku sambung dengan solat taubat. Berjuraian airmataku tatkala lafaz kemaafan
aku panjangkan kepada Al Khaliq, Pencipta semua makhluk dan segala sesuatu. Yang
menciptakan setiap makhluk secara sempurna dan dalam bentuk yang sebaik-baiknya dengan
ukuran yang paling tepat. Terasa kerdil diri ini bila aku menyedari terlalu banyak dosaku
kepadaNya. Aku mohon ampun darimu Ya Allah, aku mohon keampunanMu Ya Allah,
terimalah taubatku, terimalah taubatku. Setelah habis berdoa, aku alunkan nasyid taubat
nasuha.
Astaghfirullah robbal barroya, Astaghfirullah minal khotoya
Astaghfirullah robbal barroya, Astaghfirullah minal khotoya
Rabbi zidni ‘ilman naafi’a, Wawa fiqni ‘amalan maqbula
Wawa habli rizqan waasi’a, Wa tub ‘alaiya taubatan nasuha
Wa tub ‘alaiya taubatan nasuha
Hati menjadi tenang. Benarlah, ketika hati gundah gulana, tiada yang mampu
memberi ketenangan melainkan dengan menyerahkan diri kepadaNya.
Aku bangun dan memulakan pula solat hajat. Dalam sujudku yang panjang, aku
mohon kepada Ya Rabbi akan kesihatan yang baik untuk kami sekeluarga, juga rezeki yang
luas dan diberkati. Aku juga memohon agar perniagaanku berjalan lancar dan berkembang.
Akhirnya aku memohon agar dipertemukan jodoh yang baik. Seorang isteri yang mampu
menjadi bidadari dunia dan akhiratku, yang cintanya akan membawa aku lebih mencintai Al
Khaliqku.
Aku berdiri lagi, kali ini mengangkat takbir ratul ihram untuk memulakan solat witir,
penutup solat malamku. Selesai semuanya, jam menunjukkan pukul empat pagi. Aku
kembali ke pembaringan dan akhirnya terlena. Syukur, mata yang amat sukar dilelapkan
berjaya dipejamkan dan fikiran yang berkeliaran ke sana ke mari akhirnya tenang. Pastinya
berkat bertahajjud.
Hujan semalam masih belum berhenti, membatalkan rancanganku untuk berjogging. Aku,
abah dan mak berjemaah Subuh di rumah sahaja. Selepas bersolat, aku buka laptop dan
memeriksa emel yang bertalu-talu masuk. Alhamdulillah, ada lima emel dari pelanggan yang
berminat menyewa chalet. Semuanya aku balas dengan segera. Ada juga satu emel dari
sebuah syarikat di Kuala Lumpur yang bertanyakan tentang Villa Mahabbah. Pelik, biasanya
tempahan dan pertanyaan tentang Villa Mahabbah datang dari butik-butik pengantin dan
mak-mak andam yang bekerjasama denganku. Bagi memelihara nilai eksklusif yang tinggi,
penginapan di resort akan dimasukkan di dalam pakej andaman dan setiap butik atau mak
andam yang berjaya mendapatkan pelanggan mereka berbulan madu di resortku akan
menerima komisyen. Ini adalah salah satu strategi pemasaran yang aku laksanakan untuk
mempromosikan Villa Mahabbah.
Inilah pertama kali aku mendapat pertanyaan secara langsung dari pelanggan. Emel
tersebut datangnya dari Pembantu Peribadi seorang Dato’. Katanya Dato’ tersebut ingin
mengetahui pakej yang ditawarkan dan berminat juga untuk melawat resort tersebut sebelum
membuat tempahan. Kata orang rezeki jangan ditolak, maka aku segera mencapai beberapa
helai kertas dan mula merangka pakej bulan madu yang tidak digabungkan dengan pakej
andaman, khas untuk Dato’ tersebut.
“Naim, mari sarapan”, laungan emak dari dapur menyedarkan aku bahawa sudah dua
jam aku membuat kerja tanpa henti. Aku simpan kertas-kertas yang penuh dengan berbagai
contengan. Komputer riba aku tutup. Kemudian aku pergi ke arah dapur dan mendekati
meja makan. Di atas meja sudah terhidang lempeng pisang dan sambal tumis ikan bilis.
Semerbak bau lempeng menerjah ke rongga hidung, membangkitkan seleraku.
“Mak, Izureen tu ada datang makan kat sini semalam?” soalku sebelum menghirup
kopi yang emak hidangkan.
“Ada, kenapa?”
“Malam tadi Naim temankan dia ke kedai, nampak macam tak sihat aje budak tu”.
“Eh, elok aje dia tengahari semalam”, jawap emak, tanpa prasangka. Aku diam,
membiarkan cerita itu mati begitu sahaja.
Malam tadi, ketika mata tidak mahu lelap, aku tidak putus-putus berfikir tentang dia.
Kenapa dia asyik muntah-muntah? Adakah dia telah terlanjur? Jika ya, angkara siapa?
Adakah dia sudah terlanjur atau terjadi tanpa kerelaan? Di mana sahabat karib yang katanya
dicintai dalam diam? Lelaki itukah yang bertanggungjawab menyebabkan dia mengandung?
Adakah keluarganya sudah mengetahui akan hal ini, lantas menyingkirnya dari rumah hingga
membawa dia ke sini?
Berbagai persoalan bermain di mindaku. Aku perlu mendapatkan kepastian darinya.
Jika benar dia mengandung, dia perlu dibantu dan aku bertekad membantunya.
“Apa yang kamu menungkan? Tak baik termenung sambil mengadap rezeki.”
Teguran emak membawa aku ke kembali ke realiti. Saat mataku menangkap mata emak aku
teringat emak bekas bidan kampung. Tentu emak boleh tahu kalau dia mengandung. Apa
pun aku perlu bertanyakan dahulu dengan Izureen. Terbit pula rasa simpati di hati bila
mengenangkan pasti sukar baginya menghadapi masalah ini berseorangan.
Menjelang Asar, baru aku nampak dia. Ketika itu aku diluar chalet nombor tiga. Pekerja
Kedai Perabot baru sahaja selesai meletakkan katil, kerusi, almari baju dan kabinet di dalam
chalet itu. InsyaAllah, bermula esok chalet itu sudah boleh disewakan. Ketika aku berpaling,
nampak dia sedang berdiri di gigi air, merenung jauh ke dalam sungai. Hanya memakai tshirt
longgar dan seluar bermuda separas lutut.
“Tak boleh ke pakai yang lebih sopan” omelku di dalam hati. Entah kenapa, mata
tidak berkenan dengan pakaian yang melekap di badannya. Dulu Ratna lebih daring
pakaiannya. Seluar pendek separas peha, t-shirt ketat dan senteng, kadang-kadang tidak
berlengan. Ada juga t-shirt yang dikenakan mempunyai bukaan leher yang luas,
menyerlahkan hampir kesemua bahagian dadanya. Tetapi tidak pernah aku menegur
pemakaiannya. Kenapa pula, budak ini, yang tiada apa-apa hubungan denganku, boleh
mencetuskan rasa tidak selesa.
Aku menapak ke arahnya, semakin hampir nampak jelas wajahnya yang agak pucat.
Tengahari tadi dia tidak datang makan di rumahku. Mak pergi membawakan makanan
untuknya. Bertuah dia, mak melayan dia dengan baik, seolah-olah dia sebahagian daripada
keluarga kami.
“Assalammualaikum” aku menyapa di kala langkah tinggal beberapa tapak lagi untuk
rapat dengannya.
“Walaikumussalam” dia menjawab salamku dengan lembut dan perlahan. Aku keliru
apakah nadanya lembut atau sebenarnya suaranya bernada lemah.
“Dah sihat?” soalku.
“Alhamdulillah, dah lega sikit” matanya berkalih ke hadapan, bagai tenggelam di
dasar sungai .
“Awak sakit apa sebenarnya?” soalan ini membuatkan dia berpaling memandangku.
“Sibuk aje nak tau” menjeling aku sekilas. Kenapa dia enggan memberitahu? Malu,
mungkin juga. Mana-mana gadis yang sudah terlanjur tentulah malu hendak membuka
pekung di dada.
“Apa salahnya. Mungkin saya boleh bantu”.
“Awak nak bantu macam mana?”
Aku diam. Ya tak ya jugak, bagaimana aku boleh membantunya? Jeda. Otak mula
berfikir sambil masih terus memandang dia, dan dia, matanya berkalih semula ke hadapan.
Terimbas peristiwa kami bertengkar kerana dia merasakan aku terlalu menyibuk dan dia
belum cukup kenal denganku untuk mempercayai aku. Tapi dia dah setuju berkawan
denganku jadi apa salahnya aku menghulurkan bantuan.
“Saya akan cuba setakat yang mampu. Dah berapa bulan?”
“Apa?” Izureen memalingkan wajahnya kepadaku, memandang dengan dahi
berkerut.
“Kandungan awak tu, dah berapa bulan?” Kali ini bukan sekadar wajahnya, seluruh
tubuhnya dipalingkan ke arahku. Matanya yang cantik itu, yang sangat suka aku tatapi, kini
membulat memandangku. Dahinya semakin berkerut, mulutnya menganga sedikit. Aku cuba
mentafsir maksud renungannya. Ada riak marah di mata itu. Mungkin dia tidak suka aku
bertanyakan hal ini.
“Dia tak mahu bertanggungjawab, kan?”
“Apa yang awak merepek ni?’ suaranya tinggi. Sekarang dia bercekak pinggang
pula. Mungkin dia malu hendak mengaku akan hal yang sebenar, jadi dia marah bila aku
bertanya dan cuba menafikan dengan mengatakan aku merepek.
“Awak mengandungkan? Dan dia tak mahu bertanggungjawab. Sebab itulah awak
datang sini, kan?”
Wajahnya terus berubah, makin nyata riak kemarahan di wajahnya. Dia menggetap
bibir bawahnya. Mungkin dia tak suka akan apa yang aku katakan, tetapi bagiku menjadi
tanggungjawab untuk menasihatinya.
“Jangan buat tindakan bodoh. Dah banyak sangat kes ibu yang mengandung hasil
dari hubungan luar nikah bertindak melulu, meninggalkan anak yang dilahirkan, campak
anak dari rumah flat, buang anak dalam mangkuk tandas. Berdosa besar. Jangan sesekali
awak buat begitu. Sudahlah berzina itu dosa besar, mengambil nyawa bayi yang tidak
berdosa itu juga satu dosa”.
Aku sekadar mahu mengingatkan, bukan mencampuri urusan peribadinya. Aku harap
dia mengambil iktibar dari kes-kes pembuangan dan pembunuhan bayi yang banyak
dilaporkan di media kebelakangan ini.
“Naim!” tinggi suaranya ketika menyebut namaku. “Awak ni sengallah!
tengkingnya, lantas berlalu meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga. Apa maksud
dia memanggil aku sengal? Aku bukannya mahir bahasa orang muda zaman sekarang.
“Izureen!” Laungan aku tidak dihiraukannya. Dia menghilang di sebalik pintu rumah
inap. Pintu rumah dihentam kuat. Marah sungguh dia. Tapi kenapa? Mengaku sajalah, aku
akan tolong setakat yang boleh. Kalau dia bersikap begini bagaimana dapat aku tolong dia?

No comments:

Post a Comment