Aidid ketawa
terbahak-bahak sambil memandu. Dia merasa
lucu mendengar cerita Samirah tentang pertemuan kali keduanya dengan Irsyad
Rifqi. “Kesian kau, dah terbayang-bayang
nasi Arab, dapat tosei Mamak. Aku rasa
dia sengaja menguji engkau.”
“Baguslah,
sebab aku pun menguji dia. Aku rasa dia
mesti menganggap aku ni dikawal ketat oleh papa.”
“Pandai
pula engkau buat-buat telefon papa, lepas tu dapat extension setengah jam. Yang
tu aku tak boleh tahan.”
Aidid
sambung ketawa. Senyuman terukir di
bibir Samirah. Wajah Irsyad Rifqi
terbayang di mata. Sebenarnya jauh di
sudut hati dia seronok melihat reaksi Irsyad Rifqi ketika dia memberitahu harus
balik sebelum pukul 9 dan lebih seronok lagi melihat riak kelegaan di wajah
jejaka itu ketika diberitahu papa membenarkannya balik lewat setengah jam.
Samirah
sambung bercerita, kali ini perbualan ketika dia dan Irsyad berdiri di hadapan
stesen minyak pula diceritakan kepada Aidid.
Bagusnya mempunyai abang yang satu kepala, dia tidak segan berkongsi
cerita.
“So, kau suka dia tak?”
“Entahlah Did. Baru sangat kenal manalah aku tau aku boleh click dengan dia ke tidak. Tapi dia sempoi, aku rasa selesa. Kita dah diajar jangan memilih kawan so kalau
setakat nak berkawan aku tak ada masalah.
Kan papa dah didik kita dari kecil, tengok rupa dalaman seseorang, bukan
rupa luarannya. Papa juga ajar kita
jangan pandang harta seseorang, tapi pandang peribadinya.” Samirah menjawab soalan Aidid dengan panjang
lebar.
“Papa
ajar kita jangan tengok pendidikan seseorang, tapi tengok akhlaknya. Jangan cepat mengadili orang sebelum tahu
perkara sebenar.” Aidid pula menyambung.
“Aidid
di mana mama sekarang?”
Aidid
terus memandu dengan senyap, seolah-olah dia tidak mendengar soalan Samirah.
“Aidid.”
Bahu Aidid disentuh. Namun Aidid tetap
mendiamkan diri.
“Did…
aku nak jumpa mama. Kau dengar tak?”
“Tak
payahlah Ira.” Aidid menjawab. Matanya masih fokus kepada jalanraya di
depan. “Aku takut kau akan lebih sedih kalau jumpa
mama. Atau kau mungkin bencikan mama.”
Menyirap
darah Samirah bila mendengar ayat itu.
“Aidid, apa yang kau merepek ni?
Dia mama kita. Baik ke, buruk ke,
jahat ke, dia yang lahirkan kita. Mana
boleh kita benci mama! Jangan cakap kau
dah benci mama!” kata Samirah dengan suara yang keras, bagaikan memberi amaran
kepada Aidid.
“Aku
tak benci mama, tapi aku malu. Ada
kawan-kawan aku yang nampak mama. Aku
tak tau apa nak cakap kat dia orang.”
“Aku
nak jumpa mama,” tutur Samirah perlahan tetapi tegas. Aidid diam.
“Alhamdulillah,
mudah-mudahan ada rezeki.” Samirah
bercakap kepada dirinya sendiri usai menamatkan perbualan dengan Cheryl dari
Duta Holidays yang menelefon untuk memanggil Samirah menghadiri satu temuduga
bagi jawatan management trainee. Samirah tidak ingat bila dia memohon untuk
bekerja di Duta Holidays. Tapi itu tidak
penting. Yang penting selepas sebulan pulang
ke tanah air dia tidak betah duduk diam saja di rumah. Dia mahu bekerja. Kalau tinggal di rumah saja, fikirannya
sentiasa berpusat pada kisah perceraian ibu bapanya.
Samirah
sudah penat menangis. Keluar airmata
darah sekalipun tidak boleh mengubah apa-apa.
Dia mahu mencari mama, namun Aidid tidak menggalakkan. Niat ini harus disuarakan kepada papa,
mungkin papa lebih memahami. Namun
sementara dapat berjumpa dengan mama, dia harus keluar bekerja, untuk menimba
pengalaman dan untuk mengalihkan perhatiannya dari terlalu memikirkan tentang mama.
Keesokan harinya Aidid menghantar
Samirah ke pejabat urusan Duta Holidays. Abangnya dilambai sebelum Samirah
memasuki bangunan. Pantas langkahnya
dihayun menghala ke lobi dan bila lif sampai dia naik ke tingkat 21. Keluar dari lif matanya melilau mencari pejabat
Duta Holidays.
Samirah
dibawa masuk ke dalam sebuah bilik kecil dan diminta mengisi borang
permohonan. Lima belas minit kemudian
dia dibawa ke sebuah bilik yang lebih besar.
Wanita bernama Cheryl yang menelefonnya memperkenalkannya kepada
Pengurus Bahagian Sumber Manusia bernama Mariam yang akan menjalankan temuduga.
Temuduga
berjalan lancar. Puan Mariam kelihatan
berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Samirah. Namun katanya Samirah perlu menjalani satu
lagi temuduga dengan Ketua Pegawai Eksekutif.
Samirah disuruh pergi ke tingkat 22.
Dia terpesona sebaik sahaja matanya menangkap hiasan dalaman pejabat Ketua
Pegawai Eksekutif. Sungguh mewah gaya
hiasan dalaman pejabat tuan Ketua Pegawai Eksekutif.
Seorang
wanita dalam usia tiga puluhan tersenyum kepadanya. Agaknya ini secretary Ketua Pegawai Eksekutif, bisik hati Samirah. Jantungnya berdegup laju tanpa difahami
sebabnya. Ish Ira, chill. This is just an interview.
Habis teruk pun aku tak dapat kerja ni, itu saja. Bukannya dia orang nak makan aku. Samirah cuba melegakan rasa berdebar yang
melanda diri.
Samirah
disuruh masuk ke dalam pejabat Ketua Pegawai Eksekutif. Entah kenapa tangannya menggigil saat tombol
pintu digenggam. Sebaik sahaja pintu
dibuka, dagu Samirah jatuh.
Di
hadapannya, segak bergaya si tuan Ketua Pegawai Eksekutif dalam baju kemeja
biru gelap yang dipandankan dengan tali leher biru muda berjalur senget
berwarna krim. Rambutnya tersisir rapi
di kiri dan kanan, tapi sebelah atas tetap terpacak. Sebelah tangan di dalam kocek, sebelah lagi
memegang sebatang pen.
“Irsyad!” Spontan melantun keluar dari bibir Samirah.
“Di
pejabat ini orang panggil saya Encik Rifqi.
Masuklah. Saya tak biasa interview orang dekat muka pintu.”
Samirah
menapak perlahan menghampiri meja Irsyad Rifqi.
Mukanya yang cerah sudah berubah menjadi merah. Merah bukan kerana malu, tapi kerana marah. Irsyad pula
masih menayangkan senyuman manis yang mampu mencairkan mana-mana
gadis.
Tanpa
berkata apa-apa lagi, Irsyad menundukkan wajahnya. Kertas putih di hadapan mata dibaca, diselak
ke halaman berikutnya, dibaca hingga ke halaman terakhir. Sekali sekala dia mengetuk-ngetuk
jari-jarinya di atas meja. Sekali sekala
dia senyum. Sekali sekala dia baca
semula halaman terdahulu yang sudah dibaca.
Kenapa
lama sangat dia baca resume aku? Tanya
hati Samirah. Jantungnya masih berdegup
laju. Dalam dada bercampur baur
perasaan. Rasa nervous sementara dipanggil masuk ke bilik Ketua Pegawai Eksekutif
sudah hilang. Tapi rasa bengang belum
hilang. Rasanya tidak akan hilang selagi
dia tidak mendapat penjelasan Irsyad Rifqi.
“Awak
baca resume ke baca thesis?”
Tidak boleh tahan lagi, dikeluarkan soalan itu bila rasanya lama sangat
Irsyad Rifqi membaca. Terus Irsyad
angkat muka. Ceria wajahnya mendengar
soalan Samirah.
“How are you?”
“Fine, thank you.” Samirah menjawab selamba.
Irsyad
menunduk. Gambar Samirah bersaiz pasport
yang melekat di halaman pertama direnung sekali lagi. Kemudiannya wajahnya diangkat dan senyuman
diberikan kepada Samirah. Ditunjukkan
gambar itu kepada Samirah.
“You are prettier in
person.”
“I know.”
Jawapan
sepatah perkataan Samirah membuatkan Irsyad tersenyum lagi. Kali ini lebih lebar senyumannya. She’s
confident. I like it. Salah satu ciri utama untuk jadi teman hidup
sepanjang hayat, bisik hatinya.
“Sudi
tak awak bekerja dengan syarikat saya?”
Irsyad
Rifqi juga cuba berlagak profesional.
Dalam hatinya dia merasa seronok dapat melihat Samirah. Selepas pertemuan minggu lepas, dua kali dia
mengajak Samirah keluar tetapi gadis itu enggan dan memberikan macam-macam
alasan.
“Kenapa
tak bagi tau dari awal awak nak panggil saya datang interview?” Samirah
bercakap dengan nada bengang.
Irsyad
Rifqi tersenyum lagi. Baru setengah hari bekerja sudah banyak senyumannya
keluar. Biasanya jarang dia dapat senyum
banyak-banyak ketika di pejabat. Ada
saja perkara yang memeningkan kepala. Matanya
memandang tepat ke wajah Samirah.
Semakin lama direnung, semakin manis.
I need her. In my office… in my life.
Samirah
pula semakin lama direnung, semakin dia rasa rimas. Asyik senyum saja, bila nak habis interview. Kata sibuk tapi macam tak sibuk saja. Hati Samirah berbicara lagi.
“Saya
ajak awak keluar sebab hendak beri tau saya nak panggil awak untuk interview di sini. Tapi awak tak sudi keluar dengan saya.”
“Awak
boleh telefon saya untuk bagi tahu.” Suara
Samirah sudah naik sedikit. Tak sukalah
Irsyad ni, terus terang sajalah dari awal kalau nak suruh aku datang temuduga,
desis hatinya.
“I want to tell you in
person.”
“Apa
bezanya? Dalam telefon pun boleh bagi
tau kan?”
“Tapi
saya tak dapat tengok senyuman awak dalam telefon.”
Jeda. Samirah terkedu. Bila Irsyad mengayat Samirah tidak tahu hendak
jawab apa. Tangannya naik ke atas,
membetulkan tudung. Irsyad tersenyum,
suka melihat Samirah yang kelihatan gugup tiba-tiba.
“Samira.” Dengan lembut Irsyad memanggil. Samirah panggung kepala.
“Kerja
dengan saya ya.” Ada nada memujuk dalam
suara Irsyad. Dan ada juga nada
menggoda. Haish, apahal pulak dia nak
goda aku. Ish Ira, jangan perasan. Hati Samirah berbisik.
“Kenapa
awak nak ambil saya bekerja?”
“Awak
ada kelulusan dan sikap yang saya perlukan.”
“Sikap
apa?”
Dari
bersandar Irsyad Rifqi membawa badannya ke depan. Kedua belah tangannya direhatkan di atas
meja. “Awak muda, bijak, berani… lain.”
“Lain?” Dahi Samirah berkerut.
“Yes, you are different
from other girls that I have met.”
“How different am I
from all those girls?”
Soalan
itu tidak terus dijawab. Sebaliknya
Irsyad Rifqi sekadar merenung Samirah.
Wajah mulus tanpa solekan, sekadar calitan celak di mata dan gincu di
bibir. Auratnya tertutup rapi di sebalik
balutan selendang berwarna kuning cair.
Mata Irsyad Rifqi melurut ke bawah, tertancap pula pada jari-jari halus
Samirah yang terletak di atas meja.
Cincin!
Irsyad
Rifqi menelan liur. Berkerut sedikit
dahinya. Bukankah di dalam penerbangan
dia berkata dia tidak ada kekasih, mahu pun kawan lelaki yang rapat? Minggu lepas, ketika mereka makan bersama di
gerai mamak, tidak pula Irsyad Rifqi perasan ada cincin di jari Samirah. Cincin itukah penyebab Samirah enggan keluar
dengannya lagi?
“Encik
Rifqi, awak belum jawab soalan saya.”
Irsyad
Rifqi mengangkat matanya. Aduhai,
kenapalah hati ini mudah lebur dengan renunganmu, hatinya berbisik.
“You… you cause a stir in my heart.”
Kali
ini Samirah pula yang terdiam.
Lama. Matanya perlahan-lahan
melurut ke bawah, tidak sanggup melawan renungan Irsyad Rifqi. Dia terasa macam ada irama k-pop yang rancak
dalam dadanya.
No comments:
Post a Comment