LANGKAH
DIPERCEPATKAN menuju ke tingkat dua. Sesekali mata
bundarnya melirik jam yang kemas melingkari pergelangan tangannya. Dia
menggigit bibir. Lewat! Hatinya menjerit. Ini bukan kali pertama dia terlewat
ke kelas malah berhari-hari. Sudah tebal mukanya menghadap pensyarah.
Langkahnya terhenti di R1, bilik kuliah pagi ini.
Dia mengetuk pintu dengan penuh tertib. Tudungnya dibetulkan beberapa kali.
“Assalamualaikum,” salam diberikan dengan wajah yang
cuak.
“Waalaikummusalam, masuklah.” Encik Fazli meletakkan
marker pen di atas meja sambil matanya tidak lepas memandang gadis yang berada
di muka pintu.
Azeeza melangkah masuk dengan perlahan. Kepalanya
ditundukkan.
“Dah pukul berapa sekarang?” soal Encik Fazli dengan
suara yang mendatar.
Azeeza menelan liur. Habis aku kali ini!
“Saya tanya pukul berapa sekarang?” ulang Encik
Fazli lagi.
Azeeza mengerling jam di tangan.
“Dah pukul sebelas, encik.” Jawab Azeeza perlahan.
Encik Fazli menganggukkan kepala. Dia duduk di atas
meja sambil menyilangkan tangannya.
“Kelas mula pukul berapa?” soalnya lagi.
“Pukul sembilan, encik.” Balas Azeeza.
“Oh, pukul sembilan. Kelas habis pukul berapa?”
Encik Fazli masih meneruskan soalan.
Azeeza mula keresahan. Jelas wajah Encik Fazli
merah. Mungkin menahan marah barangkali.
“Pukul sebelas, encik.” Jawab Azeeza tergagap-gagap.
“Habis tu kalau tahu kelas habis pukul sebelas, buat
apa datang?!” tengking Encik Fazli membuatkan Azeeza tersentak.
Wajah ditundukkan. Sedaya upaya dia menahan air mata
daripada tumpah.
“Saa..saya..saya mintak maaf…” ucap Azeeza perlahan.
“Maaf? Ini bukan pertama kali awak lewat Azeeza.
Hampir setiap kali kelas saya, awak lewat. Apa nak jadi dengan awak ni? Awak
nak belajar ke tak nak belajar? Kalau awak rasa nak main-main, lebih baik awak
berhenti. Pergi kahwin!” bentak Encik Fazli.
Kedengaran pelajar-pelajar lain berbisik sesama
sendiri. Tidak kurang juga ada yang tersenyum sinis. Malu hanya Allah saja yang
tahu.
“Yang lain,
boleh keluar. Kelas dah habis…” ujar Encik Fazli. Matanya kembali tertancap
pada wajah Azeeza yang masih menundukkan wajah. Satu keluhan dilepaskan.
“Apa kena dengan awak ni, Azeeza? Cuba awak
ceritakan saya masalah awak. Mungkin saya boleh bantu…” suara Encik Fazli
kembali mengendur.
Azeeza memberanikan diri untuk mengangkat wajahnya.
Kelihatan wajah Encik Fazli sudah kembali tenang.
“Saya tak ada apa-apa, encik. Semua okey. Saya
mintak maaf sebab selalu datang lewat tapi percayalah saya akan berubah. Saya
akan siapkan assignment encik
secepatnya.” Balas Azeeza dengan penuh yakin.
“Sampai bila awak nak simpan masalah awak, Azeeza.
Awak budak pandai. Kalau tidak, takkan awak dapat biasiswa penuh tapi kalau
perangai awak berterusan macam ni saya tak jamin kolej akan taja biasiswa awak
lagi. Awak kena ubah perangai awak, Azeeza. Walau apa pun masalah awak, tolong
jangan campur adukkan dengan pelajaran. Nanti akan bagi kesan buruk pada
prestasi awak,” nasihat Encik Fazli lagi.
Azeeza hanya mampu menganggukkan kepala. Tiada
sesiapa tahu apa yang berlaku dalam hidupnya. Tiada sesiapa tahu keperitan yang
dialami. Jadi biarlah dia simpan segala keperitan dan kepedihan itu jauh dalam
lubuk hatinya.
“ZEEZA!”
laung satu suara mengejutkan Azeeza yang sedang mengelamun. Pantas, dia
memusingkan kepala ke belakang. Dia tersenyum tipis melihat tubuh gempal milik
Liyana menghampirinya.
“Hah, ada apa, Ana?” soal Azeeza sambil meneruskan
perjalanan.
“Kenapa kau lambat hari ni? Kesian aku tengok kau
kena marah dengan Encik Faz tadi,” ujar Liyana sambil menatap wajah Azeeza yang
kelihatan pucat.
“Aku bangun lambat.” Jawab Azeeza dengan senyuman
hambar.
“Kau kerja sampai malam ke?” soal Liyana lagi.
Azeeza tidak menjawab sebaliknya dia menganggukkan
kepala. Memang itulah rutinnya. Balik dari kelas dia akan segera ke Restoran
Makmur untuk bekerja. Bekerja sebagai pelayan separuh masa memang memenatkan
tetapi itulah kehidupan Azeeza. Semua kerja separuh masa dilakukan semata-mata
untuk menyara adiknya yang masih bersekolah.
“Nak buat macam mana, Ana. Dah tanggungjawab aku.
Kalau aku tak kerja, macam mana adik aku nak sekolah. Dahlah sekolah sekarang
ni banyak nak pakai duit. Aku tak nak adik aku rasa kekurangan waktu dia
bersekolah ni. Biarlah aku penat kerja asalkan dia dapat yang terbaik,” ujar
Azeeza dengan senyuman tipis terukir di bibirnya.
Liyana tersentuh mendengar kata-kata Azeeza. Betapa
besar pengorbanan Azeeza semata-mata untuk melihat adiknya berjaya.
“Tapi kalau kau kerja kuat sangat nanti pelajaran
kau terjejas. Final exam lagi dua
bulan. Bila masa kau nak belajar? Bila masa kau nak kerja pulak?” tambah
Liyana.
Azeeza menundukkan kepala. Bibirnya diketap.
“Siang aku belajar, malam aku kerja. Allah bagi kita
masa 24 jam, insya-Allah cukup untuk aku belajar dan kerja. Lagipun kalau nak
harapkan duit biasiswa je mana cukup untuk aku. Nak makan lagi, nak bayar duit
sewa rumah lagi. Kau lainlah, Ana.”
“Apa yang lainnya? Aku sama je macam kau…” balas
Liyana.
“Kau tu kaya tapi buat-buat susah pulak,” balas
Azeeza sambil berpaling memandang wajah temannya.
Liyana mencebik.
“Yang kaya tu mak ayah aku. Aku tak kaya lagi,”
jawab Liyana tidak mahu mengalah.
Azeeza ketawa kecil.
“Eh, Ana. Kalau kau ada tahu mana-mana tempat yang
perlukan part timer macam aku ni, kau
bagitahu tau. Aku nak tambah duitlah. Nak beli pakaian seragam untuk adik aku,”
ujar Azeeza.
Liyana melepaskan keluhan. Dia memeluk bahu Azeeza.
Wajah Azeeza yang manis bertudung ditenung lama.
“Berapa yang kau perlukan? Aku boleh bagi pinjam.”
Pantas Azeeza menggelengkan kepala.
“Kau tahu kan prinsip aku, aku takkan pinjam duit
dengan orang lain selagi aku mampu untuk cari duit tu. Aku tak nak berhutang
dan aku tak nak orang kasihankan aku,” balas Azeeza.
“Tapi aku kawan kau…” ujar Liyana.
Azeeza tersenyum. Dia menghentikan langkah dan
berdiri berhadapan dengan Liyana. Kedua belah bahu sahabatnya itu dipegang
kejap. Satu senyuman dihadiahkan.
“Aku tahu. Sebab kau kawan aku, aku nak kau tolong
carikan kerja untuk aku dan bukan biarkan aku ambil kesempatan terhadap
kebaikan kau ni. Faham?” soal Azeeza.
Liyana mencebik lagi. Ada saja alasan yang diberikan
oleh Azeeza jika dia ingin menolong.
“Yelah,”
“Zeeza, Ana, cepat Izz kena kacau!”
Panggilan daripada Nurul mengejutkan Azeeza dan
Liyana. Lantas, kepala mereka berputar mencari raut Nurul yang berada di
belakang mereka. Kelihatan Nurul terkocoh-kocoh berlari mendapatkan mereka
berdua.
“Izz kena kacau? Siapa yang kacau dia?” soal Azeeza
turut panik.
Nurul menghentikan langkah. Dia cuba mengambil nafas
kerana penat berlari. Wajahnya berkerut menahan letih.
“Takkan kau tak tahu, mamat tulah. Mamat yang selalu
buli orang tu. Tadi aku nampak dia buli Izz. Macam nak menangis si Izz tu.
Cepatlah, Zeeza, Ana. Kita kena selamatkan Izz,” ujar Nurul lagi.
Azeeza dan Liyana berpandangan, akhirnya mereka
menganggukkan kepala. Jelas terbayang di mata Azeeza wajah Izz yang lembut.
Bukan saja wajah malah perwatakan lelaki itu juga lembut.
“Baiklah, kat mana kau nampak Izz tu?” soal Azeeza.
“Korang ikut aku,”
IZZ
CUBA
menepis tangan Zafuan yang cuba menyentuh dadanya. Dia cuba melarikan diri
tetapi dia dikepung. Air liur ditelan terasa tersekat di kerongkong. Satu
persatu wajah yang berada di hadapannya dipandang.
“Kau orang nak apa dengan aku? Aku tak kacau kau
orang, kau orang janganlah kacau aku,” ujar Izz dengan suara yang lembut. Dia
hampir menangis.
Zafuan menyerengai. Dia memberi isyarat mata pada
Rizwan yang sudah tersengih.
“Kami ni memang suka kacau mat kepit macam kau ni.
Tuhan bagi kau jadi lelaki, kau sibuk nak jadi perempuan. Tak takut mati ke?”
soal Rizwan sambil memandang Izz dari atas hingga ke bawah.
“Suka hati akulah nak jadi apa pun. Aku tak susahkan
kau!” balas Izz berani.
“Memanglah kau tak susahkan kami, tapi mata aku ni
serabut tengok spesis kau kat kolej ni!” sampuk Zafuan.
Izz lemas. Anak matanya mengekori setiap pergerakan
Zafuan dan Rizwan. Dia bimbang dua lelaki itu akan bertindak ganas. Jauh dalam
hatinya dia berdoa agar ada orang yang datang menyelamatkannya.
“Alah, takkan itu pun nak marah kut. Kita orang nak
main-main je,” sampuk satu suara dari arah belakang membuatkan Izz berpaling.
Senyuman sinis terukir di bibir lelaki itu. Di sisi
kanan, kelihatan seorang wanita yang agak cantik berdiri dengan wajah bangga
manakala di sisi kiri lelaki itu kelihatan seorang lelaki bercermin mata sedang
memandang ke tempat lain. Seolah-olah tidak sanggup melihat Izz dibuli.
“Banyak benda yang kau orang boleh main. Jangan
kacau akulah!” bentak Izz sambil menghentak kakinya.
Kedengaran ketawa tiga lelaki itu bergema melihat
wajah Izz yang merah. Seronok betul melihat wajah mangsanya hampir menangis.
“Kau ni lelaki ke perempuan, hah? Baru gertak sikit
dah menangis,” usik Qaiser lalu menghampiri Izz.
Dia berdiri betul-betul berhadapan dengan Izz. Wajah
Izz yang cuak ditenung lama bersama senyuman sinis.
Izz hanya mampu mendiamkan diri. Saat ini dia
benar-benar takut. Bukan dia tidak kenal dengan Qaiser Hafiy, pembuli nombor satu kolej mereka dan sekarang dia
tidak sangka, dia akan menjadi mangsa buli lelaki itu.
“Geng, aku rasa lebih baik kita check sama ada dia ni lelaki ke perempuan. Apa kata kau orang?”
soal Qaiser sambil memandang Zafuan dan Rizwan yang berada di belakang Izz.
“Aku setuju!” jerit mereka berdua termasuk perempuan
yang berada di belakang Qaiser.
“Qai, janganlah buat aku macam ni. Aku tak kacau kau
pun. Kau nak apa sebenarnya ni?!” soal Izz terketar-ketar.
“Aku tak nak apa-apa. Aku bosan jadi aku nak cari
hiburan sikit. Alah, aku cuma nak pastikan jantina kau je. Takkan itu tak
boleh?” soal Qaiser bersama tawa yang cukup menyakitkan hati.
“Janganlahh…” rayu Izz. Air mata sudah pun merembes
keluar.
Namun, Qaiser tetap memberi isyarat mata pada Zafuan
dan Rizwan. Lalu kedua lelaki itu memegang lengan Izz. Sementara Qaiser
berjalan menghampiri Izz. Dia tersenyum jahat sambil tangannya menyentuh baju
Izz.
Izz meronta-ronta untuk melepaskan diri. Dia takut.
Jantungnya juga berdegup pantas.
“Qai, sudahlah tu,” tegur Firman. Sakit pula matanya
melihat kelakuan Qaiser yang agak keterlaluan.
Namun Qaiser tidak mengendahkan arahan Firman.
Sebaliknya dia semakin seronok melihat Izz yang sudah menangis. Terasa dirinya
berkuasa. Perlahan-lahan, dia cuba membuka tali pinggang yang melingkari tubuh
Izz, dia ketawa apabila Izz meronta. Saat dia cuba menarik tali pinggang
tersebut tiba-tiba…
Bukkk!!
Satu tumbukan hinggap tepat di wajahnya membuatkan
Qaiser terdorong ke belakang. Dia menjerit kesakitan. Pipinya terasa pijar
malah ada darah yang keluar daripada celah bibirnya. Siapa pula yang nak cari
pasal dengan aku ni?! Bentak hatinya. Lantas, kepala didongakkan.
“Kau tak apa-apa, Izz?” soal Liyana sambil
mendapatkan Izz yang sudah menangis.
“Qai, kau okey ke?” soal Zafuan dan Rizwan lantas
terus medapatkan Qaiser yang hampir tersungkur akibat ditumbuk oleh seseorang.
Qaiser berdiri tegak. Terasa hatinya panas
tiba-tiba. Dia meludah sisa-sisa darah yang memenuhi ruang mulutnya.
Pandangannya tuntas pada sebujur wajah yang kelihatan garang. Dia tersenyum
sinis. Perempuan?
“Kau yang tumbuk aku?” soal Qaiser.
Azeeza berpeluk tubuh. Keningnya dijongketkan.
“Kau rasa?” soalan dibalas soalan.
Qaiser mengetap bibir. Dia memandang wajah Azeeza
dengan tajam. Kecil saja Azeeza di matanya saat ini.
“Kau memang sengaja cari pasal dengan aku, kan? Kau
tak kenal aku siapa,” balas Qaiser sambil menahan sabar.
“Cari pasal? Aku tak cari pasal dengan kau. Aku cari
Izz. Memandangkan aku ternampak kau buli Izz jadi aku dengan tak sengaja tumbuk
kau. Alah, apalah sangat tumbukkan seorang perempuan macam aku ni. Takkan sakit
kut. Malulah jadi lelaki kalau sakit,” tempelak Azeeza dengan senyuman sinis.
“Zeeza, sudahlah tu. Izz pun dah selamat. Jom kita
blah dari sini,” Ajak Liyana sambil berbisik.
Azeeza mengangkat tangannya meminta supaya Liyana
diam. Liyana, Izz dan Nurul hanya mendiamkan diri memerhati pertembungan antara
Azeeza dan Qaiser.
“Oh, nak tunjuk lagak pulak. Eh, perempuan. Kau
dengar sini. Aku tak suka cari masalah dengan perempuan tetapi memandangkan kau
yang mulakan dulu jadi kau tunggulah balasan daripada aku. Aku akan pastikan
kau takkan tenang dalam kolej ni,” ujar Qaiser sarat dengan dendam.
Azeeza ketawa kecil. Dia menggelengkan kepala
beberapa kali.
“Kau ni Tuhan ke? Tak pun malaikat maut? Sesuka hati
nak bagi balasan kat aku. Yang kau buli Izz tu, kau tak takut balasan Allah.
Kau ingat kau bagus sangat? Kalau perangai macam kau ni, lebih baik tak payah
masuk kolej, menyusahkan pensyarah je nak mengajar orang macam kau. Dasar budak
tak matang!” tempelak Azeeza lagi.
Qaiser terpempang. Zafuan dan Rizwan tercengang.
Hanya Firman saja yang tersenyum nipis. Buku dah bertemu dengan ruas!
Dada Qaiser berombak kencang. Terasa kesabarannya
dicabar oleh gadis bertudung di hadapannya ini. Siapa dia ni? Soal hati Qaiser.
“Kau…”
“Argh, dahlah. Buang masa aku menghadap muka kau ni.
Kalau handsome tak apalah juga. Ni
menyerabutkan je. Lebih baik aku blah…” ujar Azeeza selamba. Dia berpaling pada
Izz, Liyana dan Nurul yang kelihatan terpaku.
Namun, langkahnya terhenti. Dia seperti memikirkan
sesuatu. Lantas, dia menghampiri Izz.
“Kau ada duit tak? Sepuluh ringgit ke? Bagi aku…”
pinta Azeeza sambil menghulurkan tangannya.
Izz menganggukkan kepala. Lantas, mengeluarkan not
sepuluh ringgit daripada dompetnya dan menyerahkan pada Azeeza.
“Kau nak buat apa duit ni, Zeeza?” soal Izz pelik.
Dahinya berkerut.
Azeeza hanya tersenyum penuh makna dan mengenyitkan
mata pada Izz sebelum dia berpaling dan menghampiri Qaiser.
“Maaflah pasal tadi. Kesian, berdarah mulut kau.
Itulah bak kata orang, kerana mulut badan binasa. Nah, kau ambil duit ni, kau
beli ubat. Ini bukan duit aku tapi duit Izz, duit mat kepit yang kau buli tu.
Dalam hidup kita ni kan, jangan rasa kita paling kuat sebab ada lagi yang lebih
kuat dan berkuasa dari kita. Okey, please
take note ya. Bye!” ujar Azeeza
bersahaja.
Dengan selamba dia mencampakkan duit tersebut ke
wajah Qaiser yang kelihatan tergamam sebelum berlalu meninggalkan lelaki itu.
“Siapa perempuan tu?” soalan daripada Zafuan
mengejutkan Qaiser ke dunia realiti. Jantungnya bagaikan ingin pecah menahan
sabar. Penumbuk dikepalkan.
“Tak guna! Siapa perempuan tu?!” bentak Qaiser
geram.
“Dia Fahima Azeeza, budak Business Management. Dean
list student untuk setiap semester.” Suara Firman mencelah. Ada senyuman
menghiasi bibir lelaki itu.
Qaiser terdiam. Nafasnya turun naik menahan sabar.
“Aku tak kisah dia budak dean list ke budak apa ke, aku nak kau bereskan dia. Aku nak tengok
sejauh mana dia boleh bertahan. Dia dah cabar aku dan aku akan pastikan dia
takkan tenang hidup dalam kampus ni!” tekad Qaiser.
Zafuan dan Rizwan hanya menganggukkan kepala
sedangkan Firman hanya mampu menjongketkan bahu.
No comments:
Post a Comment