DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 17 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 16

SATU KELUHAN terluah daripada bibir Azeeza. Dia memicit kepalanya yang terasa pening. Badannya juga terasa lenguh-lenguh penangan bekerja siang dan malam. Semua ini dilakukan demi menampung hidup bersama adiknya.
Semalam Fatma meminta baki duit yuran PIBG yang masih belum dijelaskan lagi. Walaupun amaunnya hanya tinggal separuh, tetapi Azeeza belum dapat menyelesaikannya disebabkan dia terpaksa menggunakan untuk belanja harian mereka berdua.
Tiap-tiap pagi dia dan Fatma akan turun ke tingkat bawah untuk menjual nasi lemak, selepas Fatma pergi ke sekolah, dia pula yang akan bertungkus lumus memasak makan tengah hari untuk Fatma sebelum dia ke kolej. Sebelah petangnya pula, dia akan ke kedai kek milik Kak Laila untuk bekerja sehingga lewat malam. Begitulah rutin hariannya.
Azeeza menekup wajahnya di meja makan. Penat, memang itulah yang dirasakan saat ini. Seluruh jiwanya terasa lemah. Teringat wajah ibunya yang tersenyum manis. Tanpa sedar, ada air mata yang mula bergenang di kelopak matanya.
“Mak, Eza rindukan mak. Eza perlukan mak. Eza tak kuat, mak.” Luah Azeeza. Dia cuba menahan air mata daripada menitis.
Entah mengapa hatinya sudah tidak mampu menahan beban yang diletakkan atas pundaknya. Terasa ingin menjerit namun suaranya tidak terkeluar cuma air mata yang mengalir tanpa dia sedari.
“Hoi, kalau nak tidur, bukan kat sini tempatnya!” sergah satu suara.
Azeeza tersentak. Lantas, dia menyeka air matanya dengan telapak tangan sebelum dia mendongak. Kelihatan Yasmin berdiri di hadapannya bersama dengan Zafuan dan Rizwan. Azeeza merengus.
“Aku tak kacau hidup kau, jadi kau jangan kacau hidup aku!” tingkah Azeeza tegas. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain. Bosan melihat wajah mereka bertiga.
Yasmin tersenyum sinis. Dia memandang Zafuan dan Rizwan yang tersenyum sumbing.
“Oh, sombong. Budak selekeh dah pandai menjawab sekarang. Maklumlah, dah dapat perhatian daripada Qaiser. Mulalah besar kepala!” ujar Yasmin sambil berpeluk tubuh.
Azeeza menggelengkan kepala. Dia malas melayan kerenah mereka yang entah apa-apa, lantas dia bingkas berdiri. Namun, dengan pantas Yasmin menolak bahu Azeeza supaya duduk kembali di atas bangku.
“Kau nak apa sebenarnya ni, hah? Aku tak ada masa nak layan orang yang otak mereng macam kau orang bertiga. Kalau kau rasa nak sangat perhatian daripada Qaiser, kau pergi mintak dengan dia, bukan dengan aku!” tegas Azeeza.
Suaranya kedengaran tenggelam timbul akibat menahan rasa sakit di kepala. Wajahnya turut kelihatan pucat. Badannya terasa panas berbahang. Dia terbatuk kecil.
Yasmin ketawa. Ketawa yang dibuat-buat. Melotot dia memandang wajah Azeeza yang kelihatan selamba tanpa sedikit pun riak takut terpamer di wajahnya.
“Sebabkan kau, Qaiser tak pedulikan aku. Hari ni, kau tahulah nasib kau!” ujar Yasmin penuh dendam.
Azeeza menghela nafas. Dia cuba untuk beredar namun Zafuan dan Rizwan bertindak menghalang jalannya.
“Tepi! Aku tak ada kena mengena dengan kau!” tempik Azeeza.
“Tapi kami perlu selesaikan urusan yang Qaiser belum selesaikan dengan kau. Dendam perlu dibalas!” ujar Rizwan sambil menyerengai.
Azeeza kaget. Senyuman Rizwan dan Zafuan menakutkan dirinya. Dia memandang keliling, suasana sunyi sepi kerana tempat yang didudukinya sekarang agak jauh ke belakang. Jauh dari kawasan utama kolej. Dia menelan air liur.
“Pergi mampuslah dengan dendam kau!” jerit Azeeza.
Dia cuba merempuh tubuh Rizwan dan Zafuan namun tidak berjaya malah kedua belah lengannya dipegang kejap oleh mereka berdua. Azeeza meronta. Dia cuba menjerit tetapi Yasmin bertindak dengan lebih pantas menyumbat sapu tangan ke dalam mulut Azeeza.
Mereka bertiga ketawa kemenangan melihat Azeeza yang berhempas pulas ingin menyelamatkan diri.
“Kau orang heret perempuan selekeh ni ke belakang, nanti aku panggilkan geng kita yang lain. Boleh buat ‘kenduri’ ni!” ujar Yasmin dengan girang. Sedikit pun dia tidak menaruh simpati pada Azeeza yang meronta-ronta.
Azeeza mencuba sedaya upaya untuk melepaskan diri tetapi dia tidak berjaya. Kudratnya tidak mampu melawan kekuatan lelaki Rizwan dan Zafuan. Dia cuba mengeraskan badan apabila tubuhnya diheret tetapi mereka berdua bertindak lebih ganas dengan mengheret tubuhnya di atas tanah.
Hati Azeeza menjerit namun tiada siapa yang mendengar. Dia menangis tapi tiada siapa yang melihat. Tubuhnya semakin lemah. Kali ini dia tidak mampu melawan. Dia pasrah segalanya pada Allah apabila tubuhnya diikat pada sebatang pokok oleh Zafuan dan Rizwan. Mulutnya yang disumbat dengan sapu tangan menyukarkan dia untuk bersuara. Malah, setiap kali dia meronta, wajahnya ditampar oleh Yasmin. Perit hanya Allah yang tahu.
Dalam samar-samar, Azeeza melihat beberapa batang tubuh manusia mula mengeruminya. Kepalanya semakin berdenyut. Peluh sudah membasahi tudung dan pakaiannya. Namun, bunyi ketawa orang sekeliling semakin membingitkan telinganya. Dia tahu, dia menjadi bahan mainan bagi mereka yang berhati busuk.
“Apa tunggu lagi? Jom kenduriii!” jerit Yasmin.
Serentak dengan itu, tubuh kecil Azeeza dihujani dengan pelbagai jenis lontaran. Ada yang melontar telur ayam, tepung dan tak kurang juga ada yang melontar batu-batu kecil ke arah Azeeza yang terikat kemas di batang pokok.
Batu-batu kecil itu tepat mengenai kepala, wajah dan tubuh Azeeza membuatkan Azeeza semakin tidak berdaya. Dia cuba memerah kudrat untuk melawan namun semakin dia melawan, semakin banyak lontaran diterima. Hati Azeeza menangis semahunya. Dia tidak diberikan peluang untuk merayu apatah lagi membela diri.
‘Ya Allah, selamatkan aku. Selamatkan aku dari mereka yang bersifat binatang!’ rintih hati kecil Azeeza yang tidak mampu didengari oleh sesiapa pun.

QAI, KAU buat apa kat sini. Kau tak join ‘kenduri’ ke kat blok belakang kolej kita?” soal Taufik pada Qaiser yang baharu saja ingin melangkah menaiki motor berkuasa tinggi miliknya.
“Aku nak baliklah. Kelas dah habis. Dah pukul enam dah ni. Kenduri apa pulak belakang kolej?” soal Qaiser pelik. Dia memandang Taufik yang kelihatan ralit memandang skrin telefon bimbitnya.
“Ala, takkan kau tak tahu. Yasmin, Riz dan Zaf tengah kendurikan musuh kau. Ni hah, ada budak hantar MMS kat aku.” Ujar Taufik tanpa riak bersalah.
“Musuh aku?” Qaiser masih lagi kebingungan. Dengan pantas dia merampas telefon bimbit dari tangan Taufik. Gambar yang ditunjukkan oleh Taufik direnung lama.
Buntang matanya apabila melihat wajah mangsa buli dalam gambar itu berdarah. Dia kenal dengan gadis itu. Ya Allah, apa yang dah jadi ni! Jerit hati Qaiser.
“Kat mana dia orang sekarang? Fik, lebih baik kau cakap sebelum aku pecahkan muka kau!” tempik Qaiser. Darahnya mula menggelegak.
Dia turun dari motosikalnya lantas kolar baju Taufik dicekak dengan penuh perasaan. Tangannya sudah sedia diangkat untuk menumbuk muka Taufik.
Taufik kaget. Kemarahan Qaiser di luar jangkaan. Dia tidak tahu menahu tentang ‘kenduri’ yang dikatakan tetapi kini dia dijadikan mangsa oleh Qaiser.
“Aku tak tahu, aku pun dapat mesej dari orang lain. Semua budak kelas kita dah dapat gambar ni. Mungkin dia orang ada dekat belakang blok kolej kita. Tempat kau selalu melepak dengan kawan-kawan kau yang lain.” Jawab Taufik terketar-ketar.
Argghhh!” Qaiser menjerit lalu melepaskan tubuh Taufik dengan pantas.
Dia harus cepat. Mungkin gadis itu dalam bahaya. Baru saja dia ingin melangkah, kedengaran namanya dipanggil. Dia berpaling.
“Qai, Azeeza…Azeeza…” Firman tercungap-cungap mendapatkan Qaiser.
Qaiser menganggukkan kepala. Dia mengerti apa yang ingin disampaikan oleh Firman.
“Kita kena cepat, Fir. Yasmin dah melampau!” ujarnya lantas mengambil langkah seribu menuju ke blok belakang.
Firman mengikuti dari belakang. Sungguh dia risaukan nasib Azeeza saat ini. Kenapa gadis itu selalu bernasib malang? Detik hatinya.



No comments:

Post a Comment