DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 9




“Kenapa ibu pandai-pandai bagi gambar Wani pada orang yang ibu sendiri tak kenal?  Ibu tahu tak yang ibu dah memalukan Wani?”, soalku agak marah sebaik sahaja ibu menjawab panggilan telefon dariku.
“Hah?  Bila pulak ibu bagi gambar kamu pada orang?”, soal ibu pura-pura tidak tahu.
“Kalau ibu tak bagi, masakan gambar Wani ada pada tangan Tuan Megat tu?”, soalku lagi hampir menangis.  Aku memang betul-betul bengang dengan tindakan ibu.  Mujurlah yang membuat onar ini ibuku sendiri.  Kalau ianya dilakukan oleh rakan-rakanku atau adik-beradikku, memang sudah lama kena cantas dengan aku.
“Tuan Megat mana pulak ni?”
“Dia tu pegawai polis trafik yang pernah saman Wani dulu….dia kata dia dah lama dapat gambar Wani.  Katanya ibu yang bagi pada ibu dia….dan ibu dia tulah kawan ibu.  Takkkanlah ibu dah lupa kot?”
Ibuku diam tidak menjawab seolah-seolah sedang berfikir.  Mungkin dia sendiri sudah lupa dengan apa yang telah dilakukannya kerana menurut Tuan Megat semalam, memang dia sudah lama memperolehi gambarku itu, tetapi hanya diperapkan sahaja kerana tidak berminat untuk dijodoh-jodohkan.
“Kawan ibu yang mana pulak ya?”, soal ibuku pula.
“Eh, manalah Wani tahu!  Dah berapa banyak gambar Wani yang ibu dah taburkan pada kawan-kawan ibu tu?”
“Seingat-ingat ibu cuma dua orang aje….satu pada ustazah Fauziah….itu pun dah dipulangkan balik pada ibu bila Wani tolak anak bujangnya dulu…err…sorang lagi siapa ye?  Oh ye, Puan Maznah…maknanya anak bujang Puan Maznah dah hubungi Wanilah ye?”, soal ibu riang langsung tiada rasa bersalah akan tindakannya itu.
Aku hanya mampu beristighfar panjang.  Aku langsung tidak menyangka, hingga ke peringkat itu sekali ibu bertindak.  Tindakan ibu itu memang benar-benar mencalar maruahku.  Selama ini, aku sangkakan ibu hanya bercakap sahaja, tetapi aku langsung tidak menyangka ibuku akan bertindak begini!
“Ibu….ibu tahu tak yang tindakan ibu tu bahaya?  Ibu seolah-olah menyerahkan diri Wani bulat-bulat pada orang yang tak dikenali.  Ibu tak pernah terfikir ke jika orang tu buat sesuatu pada gambar Wani?  Ibu lupa ke, dengan gambar saja, macam-macam orang boleh buat..kalau dibomohkan atau disihirkan Wani macam mana?”, soalku marah.
“Hishh!!  Apa yang kamu fikir sampai ke situ pulak?  Ibu kenallah siapa kawan-kawan ibu tu…..takkanlah ibu nak kenalkan anak gadis ibu pada orang sembarangan…..ibu tak fikir mereka sejahat itu….kamu tu aje yang suka fikir yang bukan-bukan!  Macam manalah nak dapat pasangan hidup kalau asyik berfikiran negatif?”, balas ibu cuba menyanggah kata-kataku.
“Inilah masalah ibu….terlalu percayakan sangat dengan orang lain.  Mungkin kawan ibu tu memang baik…tapi ibu tahu ke?  Ibu kenal ke hati budi anak bujangnya?”, soalku lagi masih cuba untuk menyedarkan ibuku.
“Memanglah ibu tak kenal anak bujangnya….tapi kata orang, kalau ibu bapanya orang baik-baik, insya Allah, anaknya juga pasti jadi orang yang baik-baik….”, begitu yakin ibu berfalsafah.  Aku mengeluh perlahan.  Nampaknya ibu tetap merasakan tindakannya itu wajar.
“Ibu….tolonglah….Wani minta tolong sangat ni…ibu janganlah buat macam ni lagi.  Ibu tak payahlah susah payah nak cari jodoh untuk Wani….insya Allah, bila ada jodoh nanti, pasti harinya akan tiba juga untuk Wani bersuami.  Wani betul-betul tak suka dengan apa yang ibu buat ni!”
“Ah!  Kalau harapkan kamu tu Wani, sampai kerepot pun kamu tu takkan kahwin-kahwin lagi.  Macam mana nak bersuami, kalau hati tu tak reti nak dibuka untuk orang lain.  Tak habis-habis nak hidup dengan kenangan semalam….apa yang susah sangat kamu nak lupakan jantan tak guna tu?  Berbaloi ke kamu dok asyik terus kenangkan dia lepas apa yang dibuat pada kamu dan pada kita semua?  Nama aje belajar tinggi, tapi otak tu tak reti nak berfikir mana yang baik untuk diri sendiri….”, leter ibu panjang lebar.
 Nampaknya sekarang keadaan sudah terbalik.  Sepatutnya aku yang marah, tapi sekarang ibu pula yang bahasakan aku.  Aku memang paling tidak suka bila hal ini diungkit-ungkit lagi oleh ibu.  Ibu memang tidak faham apa yang aku rasakan sekarang kerana ibu sering menganggap tugas untuk melupakan peristiwa hitam yang lalu sebagai terlalu senang.  Seboleh-bolehnya memang aku tidak mahu kenang lagi, tetapi aku tidak mampu mengelak bila hati dan fikiranku ingin terus mengingati detik hitam itu dan ibu juga tidak tahu bahawa detik hitam itu yang telah menyebabkan aku lebih berhati-hati untuk masa-masa akan datang.  Aku tak mahu pisang berbuah dua kali!
Aku bukan sengaja hendak menjadi seorang yang anti pada lelaki.  Aku juga manusia biasa.  Ada hati dan perasaan.  Adakala, aku juga sunyi.  Aku perlukan seorang teman untuk berkongsi suka duka.  Aku perlukan seseorang untuk aku luahkan perasaan.  Masalahnya sekarang bukan tiada lelaki yang sudi padaku, tetapi hatiku sendiri.  Aku sendiri tidak tahu kenapa.  Setiap kali aku cuba mengenali hati budi seseorang, tiba ke satu peringkat, secara tidak sengaja aku akan cuba membandingkan insan yang baru ku kenali itu dengan lelaki durjana itu dan apa yang berlaku setiap kali aku membuat perbandingan itu, aku akan merasakan insan yang baru ku kenali itu memang tidak standing lelaki durjana itu.  Walaupun sepatutnya tiada apa lagi perkara yang baik mengenainya yang harus aku kenangkan, tetapi aku tetap gagal melawan hati dan perasaanku sendiri.  Aku sendiri lemas dengan apa yang ku alami, tetapi seperti yang aku katakan, aku memang tidak mampu melawannya dan disebabkan itu, hingga kini aku masih terus sendiri.
Untuk mengelakkan perasaan sunyiku itu, aku lebih gemar menghabiskan masaku dengan membaca novel-novel cinta dan menonton drama-drama Korea kerana padaku, di situlah aku dapat merasai kebahagiaan.  Membaca kisah cinta dari novel, menonton kisah cinta drama-drama Korea, aku jadi terbuai sama dengan kisah-kisah cinta itu dan padaku ia sudah memadai kerana jika aku mempunyai seseorang yang istimewa dalam hidupku, aku rasa belum tentu akan merasai perasaan yang sama seperti mana aku perolehi semasa membaca dan menonton dan kerana itu, hingga sekarang ini aku lebih senang menyendiri.  Aku tahu, selama mana aku harus bersikap bodoh begitu kerana aku harus berhadapan dengan realiti dan bukannya hidup dengan angan-angan dan fantasi, namun bagiku selagi aku gembira dengan apa yang aku lakukan, aku tak perlu kisah apa pandangan dan tanggapan orang padaku.

SEWAKTU aku melangkah keluar ke ruang tamu setelah sekian lama terperap di bilik, aku dapati teman serumahku, Izyan sedang leka menonton drama.  Kadang-kadang aku rasa cukup irihati dengan teman serumahku itu.  Apataknya, walaupun dia long distance wife, tapi aku lihat dia sentiasa bahagia dengan rumahtangganya.  Semenjak mendirikan rumahtangga setahun yang lalu, dia terpaksa berjauhan dengan suaminya yang tinggal dan bekerja di Trengganu.  Walaupun sudah beberapa kali dia memohon untuk bertukar mengikut suaminya, tetapi nampaknya rezeki belum lagi berpihak kepadanya.
Aku sering bertanya kepadanya, tidak sunyikah dia apabila terpaksa berjauhan dengan suaminya.  Hanya boleh berjumpa dua minggu atau pun sebulan sekali.  Namun, Izyan memang seorang yang cukup positif, dengan selamba dia berkata bila berjauhan begini, setiap kali berjumpa dengan suaminya, hari-hari adalah hari untuk honeymoon dan sentiasa menjadi pengantin baru.  Aku sendiri tidak tahu sama ada kata-kata itu hanya sekadar ingin mengusikku, atau pun memang benar itu yang berlaku.
“Apahal monyok aje ni?”, soal Izyan tiba-tiba setelah melihat wajah muramku.
Takde apa-apalah….”, jawabku malas.  Memang aku malas hendak berkongsi apa yang aku rasa sekarang ini dengan teman serumahku itu kerana padaku ianya bukan mengurangkan masalah, sebaliknya semakin menambahkan rasa bengangku apabila mendengar kata-kata darinya nanti.
“Kalau takde apa-apa, takkanlah muka tu dah macam cekodok benyek aje aku tengok…”, usik Izyan masih cuba mengorek rahsiaku.
“Aku tengah bengang ni….”, balasku acuh tidak acuh.
“Bengang dengan sape pulak?”
“Dengan ibu aku tulah….”
“Aikk??  Apa kes bengang dengan ibu sendiri ni?  Tak baik tau!  Berdosa….”
“Alah….kau senanglah cakap sebab tak kena kat batang hidung kau tu….”
Meh habaq kat ceq apa yang kau bengangkan sangat tu?”, loghat Kedah Izyan dah mula keluar.
“Ada ke patut ibu aku senang-senang bagi gambar aku pada kawan-kawan dia?”
“Kenapa pulak ibu kau buat macam tu?”
“Nak sangat aku kahwin….tu yang sibuk nak rekomenkan aku pada anak-anak bujang kawan-kawan dia tu….”
“Hah….oklah tu.  Kau patut berterima kasih pada ibu kau sebab tolong carikan jodoh kau…..kalau harapkan kau….hmmm….sampai tua ganyutlah kau masih pegang status andartu kau tu…..”, Izyan sudah mula mengeluarkan kata-kata yang bakal membuatkan aku bertambah bengang.  Memang aku sudah jangkakan reaksi Izyan sebaik mendengar masalahku ini.
“Ah!  Ini yang aku malas nak cerita kat kau….kau pun 2x5 dengan ibu aku….”
“Hei! Wani….kau ingat umur kau tu makin muda ke?  Apa lagi yang kau nak tunggu…aku sendiri pun dah penat tengok kau membujang lama-lama ni….”
“Apahal pulak kau yang penat?  Oklah tu aku masih solo….kalau aku dah kahwin, terpaksalah kau tinggal sorang-sorang kat sini….yelah, laki kau tu kan jauh….”
“Alah!  Apa hal sangatlah kalau terpaksa duduk sorang-sorang…lagi bagus.   Kalau laki aku sesekali datang, tak payahlah aku susah payah nak cari hotel…”
“Dah..dah…aku malas nak dengar kau membebel ni…sebiji macam ibu aku….”
Suasana sepi seketika.  Izyan, aku lihat juga malas hendak melayanku yang sedang angin.
“Macam mana ceramah yang kau handle hari tu?  Aku dengar pegawai polis yang bagi ceramah tu bukan main handsome.  Sampai ternganga mulut semua student kau tu…”, Izyan cuba menukar topik setelah melihat aku tidak berminat bercakap mengenai ibuku.
“Hmmm…ok…”, balasku pendek kerana jika panjang lebar jawapanku, aku bimbang aku tersebut pula kisah Tuan Megat.
“Ok aje?  Aku dengar kau bukan main mesra dengan pegawai polis tu….siap minum berdua-duaan pulak!”
“Amboi!  Banyaknya yang kau dengar?  Apa lagi yang kau dengar?  Aku tak nampak pun bayang kau hari tu, tapi ramai pulak informer yang nak sampaikan maklumat pada kau ye?”, soalku mula bengang.
Izyan hanya tersengih menunjukkan barisan giginya yang teratur cantik dan putih melepak.
“Alah…sekolah kita bukan besar mana pun!”
“Apa lagi yang kau dengar?”
Takde apa-apa lagi.  Tu je yang aku sempat dengar….oh ye, ada lagi satu benda yang aku dengar…”
“Dengar apa pulak?”
“Makcik kantin tu kata, kau macam bertengkar dengan pegawai polis tu…kenapa Wani?”
“Hmmm….ada pulak spy yang dok mengintip…”
“Mengintip apanya?  Dah tentulah makcik kantin tu terpaksa tunggu kau berdua sampai selesai minum petang….habis tu siapa yang nak mengemas pinggan cawan tu semua….”
“Yelah tu!”
“Hah!  Kenapa pulak kau bertengkar dengan penceramah yang kau undang sendiri.  Kau ni biar betul Wani….makin lama aku tengok perangai kau makin pelik pulak!”
“Aduh!  Dah dia tak habis-habis nak provoke aku…”, akhirnya aku tercerita juga kisah yang aku cuba rahsiakan dari Izyan selama ini.
“Kenapa pulak dia nak provoke kau?”
“Kau ni banyak songehlah Yan….aku nak tidurlah.  Malas nak layan kau!”, balasku marah seraya bangun meninggalkan Izyan.
“Yelah….siapalah aku ni kan?  Cuma penyibuk aje…”, Izyan merajuk.
Aku yang baru saja ingin melangkah meninggalkannya, kembali duduk semula.  Tidak sampai hati pula melihat rajuknya itu.  Aku menarik nafas panjang dan melepaskan sebuah keluhan dengan harapan masalah yang semakin memberat di kepalaku itu akan turut keluar bersama keluhanku tadi.
“Kau jangan nak mengada-ngadalah nak merajuk bagai…..aku ni bukan pandai nak pujuk-pujuk orang…..makin aku tambah rajuk kau tu adalah….”, aku cuba menjernihkan suasana setelah melihat air muka Izyan yang kulihat memang rupa orang yang sedang merajuk.
“Aku takde masalah nak merajuk-rajuk ni….lagi pun buang masa aje merajuk dengan kau ni….”, balas Izyan masih bernada jauh hati.
“Oklah….aku cerita dengan kau…tapi kau kena janji kau kena dengar sampai habis aku cerita….jangan sesekali menyampuk atau mengeluarkan statement yang bakal buat aku bengang…..ada faham??”, ugutku dalam seribu keterpaksaan untuk menceritakan apa yang telah berlaku pada teman serumahku itu.
Izyan terus tersenyum sebaik mendengar kata-kataku.  Hmmm….memang nampak sangat pura-pura merajuk!
Yes sir!!”, laung Izyan lengkap dengan tabik hormatnya.












No comments:

Post a Comment