DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 9



Irsyad Rifqi membaca pesanan ringkas dari Samirah sebanyak tiga kali.  Masih dia tidak percaya dengan apa yang tertera di skrin telefon.  Sejak mereka berkenalan, hanya Irsyad Rifqi yang rajin menghantar pesanan.  Samirah sekadar membalas pesanannya.  Tetapi di pagi Sabtu ini buat pertama kalinya Samirah menghantar pesanan kepadanya.  Dan lebih menggembirakan dalam pesanan ringkasnya Samirah memberitahu dia ingin bertemu dengan Irsyad Rifqi.

 “Senyum sendiri selepas baca mesej, bermakna yang menghantar mesej itu seorang gadis.”  Dato’ Ibrahim mengusik selepas memerhatikan gelagat anak kesayangannya.  Irsyad Rifqi berpaling ke arah ayahnya.

“Daddy ni tau-tau saja.”

“So, is this the girl that you met in the airplane?”Soal Dato’ Ibrahim.  Bola golf di hujung kaki dipukul.  Melantun jauh bola itu, jatuh hinggap di atas rumput jauh dari lubang, tidak mencapai sasaran.

Soalan itu dibiarkan tidak berjawab.  Irsyad Rifqi mengambil posisi.  Giliran dia pula memukul bola golfnya.  Cantik pukulannya, bola elok masuk ke dalam lubang.

“Yes.”  Buku limanya digenggam dan tangannya ditarik ke bawah dengan keriangan.  

Dato’ Ibrahim memandang anaknya sambil tersenyum.  Dia rasa dia bakal mendapat menantu keduanya tidak lama lagi.




Tepat jam 11 pagi SUV BMW X5 berwarna perak itu berhenti di hadapan KL Sentral.  Samirah segera menghampiri kereta tersebut.  Irsyad Rifqi sudah berada di sisi pintu penumpang bahagian hadapan, sedia membukakan pintu untuk Samirah.

Samirah tersenyum.  Wajah kacak Irsyad Rifqi yang berpakaian kasual hari ini ditenungnya.  Sudah seminggu mereka tidak bertemu, sejak peristiwa temuduga di pejabat Irsyad Rifqi, mereka hanya berhubungan melalui telefon. Itu pun sekadar berwhatsapp.  Irsyad Rifqi menyuakan tangan ke arah pintu kereta, mempersilakan Samirah masuk.

 “Kita nak pergi mana?”  Samirah menyoal selepas Irsyad Rifqi memandu keretanya keluar dari kawasan KL Sentral.

“Kita pergi makan, lepas tu kita tengok wayang.  Saya nak bawa awak makan ayam kampung, okey tak?”

“Irsyad, maaf.  Saya tak biasa tengok wayang dengan lelaki.”

“Hah?” Spontan meletus dari bibir Irsyad Rifqi.  Kepada Samirah diberikan satu pandangan dengan dahi berkerut.

“Saya tau… awak akan anggap saya pelik.  Terpulanglah kalau awak menganggap saya begitu.  Tapi memang… saya tak biasa keluar tengok wayang dengan lelaki... papa… tak benarkan. ”

Jeda.  Irsyad Rifqi berfikir, dia ni memang pelik.  Dah besar panjang macam ni pun masih dikawal ayahnya.   Macam mana ayahnya boleh lepaskan dia belajar sampai ke Amerika, tapi masih dikongkong ketat?  Irsyad Rifqi mengerling ke arah Samirah. 

“Beginilah… memandangkan awak ni banyak sangat pantang larang, apa kata awak bagi cadangan kita nak ke mana dan buat apa?”

Samirah menjeling Irsyad Rifqi, berkerut sedikit dahinya.  Suka-suka hati saja sebut aku ni banyak pantang larang, desis hati Samirah.

“Saya nak pergi ke tempat di mana saya boleh berbual dengan awak tanpa gangguan.”

Irsyad Rifqi tersenyum.  My bedroom, katanya dalam hati.  Tapi itu hanya jenaka nakal yang tiba-tiba menjengah fikiran.  Dia bukan jenis lelaki yang begitu.  Dia masih tahu batasan yang harus dipelihara.

“Dan tempat itu mesti ada ramai orang, ada tempat untuk saya bersolat dan kita boleh pergi dan balik pada hari yang sama.”

“Dan mesti ada makanan yang sedap sebab awak suka makan.”  Irsyad Rifqi menambah. 

Otaknya mula ligat berfikir.  Tempat yang ada ramai orang, ada tempat solat dan ada tempat makan… hmm… shopping complex.  Tapi bosanlah pergi ke pusat membeli belah.  Apa kata aku bawa dia keluar dari ibu kota, fikir Irsyad Rifqi.  Keretanya dipandu menghala ke lebuhraya.  Tidak sampai satu jam kemudian kereta diberhentikan di tepi jalan. 

“Mi udang di sini sangat sedap.  Jom.”

Matahari sedang tegak di atas kepala ketika Samirah keluar dari kereta.  Di hadapannya sebuah warung yang menjual mi udang kelihatan penuh dengan pelanggan.  Mereka duduk.  Semangkuk mi udang dan segelas teh o ais limau menjadi hidangan tengahari Samirah.

“Sedap kan?”

Samirah mengangguk sambil tersenyum.

“Awak ni tahu saja di mana ada makanan sedap.”

Irsyad Rifqi pula tersenyum.  Sesudu kuah mi udang disuap ke dalam mulut. 

“Kita nak ke mana sebenarnya Irsyad?”

Irsyad Rifqi mengangkat mukanya.  Matanya tertancap pada wajah Samirah yang sedang tunduk menghirup kuah mi udang.  Apabila Samirah mengangkat muka, Irsyad Rifqi tersenyum lebar.

“Awak lapar sangat ya… sampai dagu pun nak makan?”  Irsyad Rifqi bertanya.

“Hah?”  Samirah termangu.  Irsyad Rifqi mengangkat tangannya, membawa tangannya ke dagu Samirah dan mengesatkan kuah mi yang terkena dagu Samirah dengan sehelai tisu.  Terkebil-kebil mata Samirah memandang Irsyad Rifqi.  Hatinya bergetar.  Ish dia ni, suka-suka je sentuh dagu aku.  Yang aku pulak, kenapa dagu yang disentuh, hati yang bergetar? 




Angin petang berhembus lembut membuai tudung berwarna krim yang dipadankan oleh Samirah dengan kemeja labuh berwarna merah.  Langit cerah disinari cahaya mentari.  Walaupun cuaca panas, pokok-pokok besar di atas puncak Bukit Melawati di Kuala Selangor memberikan teduhan kepada orang ramai yang mengunjungi bukit tersebut.

Monyet-monyet jinak berkeliaran, dari tempat tram berhenti menurunkan penumpang sehingga ke atas puncak bukit.  Samirah terhibur melihat gelagat monyet-monyet tersebut yang langsung tidak takut kepada manusia yang ramai bilangannya pada petang Ahad itu.

“Awak pernah datang sini?”  Irsyad Rifqi bertanya sambil menghulurkan kacang kepada seekor monyet.  Beberapa ekor monyet berkejaran datang mendekati mereka.  Irsyad Rifqi menghulurkan sedikit kacang kepada Samirah.  Samirah membaling kacang tersebut kepada sekumpulan monyet. 

“Pernah, tapi dah lama dulu.  Masa tu saya masih di sekolah rendah.  Saya pun tak ingat masa tu ada banyak monyet ke tidak.”

“Kita duduk di situ.”  Kata Irsyad Rifqi sambil menunjuk ke arah sebuah bangku panjang. 

“I hope this place is okey with you.  Di sini bukan saja ramai orang, monyet pun ramai.  Jadi awak tak perlu risau.”  Kata-kata Irsyad itu membuatkan Samirah tersenyum. 

“Awak kata ada perkara yang awak nak beritau saya.”  Kata Irsyad Rifqi.  Dia berdiri sambil merenung wajah Samirah.  Aku tak akan jemu menatap wajahmu, bisik hati Irsyad.

“Terima kasih sebab tawarkan saya bekerja.  Saya minta maaf… saya tak boleh terima tawaran tu.”

“Awak tak sudi bekerja dengan saya?”

“Bukan tak sudi… tapi...”

“Saya boleh bayar gaji tinggi.”  Irsyad Rifqi bertegas.  Dia duduk di sebelah Samirah.

“Bukan sebab gaji Irsyad tapi sebab saya nak bekerja di tempat lain, di luar KL.”

 “Awak nak bekerja di mana?”  Kening Irsyad Rifqi hampir bercantum.  Dia tidak suka dengan apa yang baru didengarinya.

“Penang. Saya nak cari mama saya. Kata Aidid mama tinggal di Penang sekarang.”

Kening Irsyad Rifqi hampir bercantum.  Wajah Samirah direnung.  Pandangan matanya mengisyaratkan dia mahu penjelasan.  Samirah menghela nafas panjang.  Hari ini dia akan mendedahkan kisah keluarganya kepada Irsyad Rifqi. 

“Papa dan mama dah bercerai.  Saya hanya tahu selepas balik sini.  Mereka rahsiakan dari saya kerana tak mahu saya bersedih.  Sudah sebulan saya balik, saya masih belum jumpa mama.  Telefon pun tak dapat, mama dah tukar nombor handphone.”

 “Saya simpati.  Tentu sukar bagi awak menghadapi situasi ini.”

Samirah sekadar menganggukkan kepala, mengiyakan apa yang dilafazkan oleh Irsyad Rifqi.  Irsyad pula tidak berkalih matanya dari wajah manis yang sedang berduka.  Betapa dia ingin sekali merangkul bahu Samirah dan menariknya ke dalam dakapan dan membisikkan di telinga Samirah bahawa dia mahu berkongsi kesedihan dengan Samirah.

“Kalau awak perlukan bantuan, jangan segan beritau saya.  Kalau awak perlukan bahu untuk menangis, telinga untuk mendengar, kawan untuk bercerita… carilah saya.”

Perasaan simpati menular dalam hati Irsyad Rifqi.  Di sebalik wajah manisnya Irsyad yakin Samirah adalah gadis yang cekal.  Dia juga dapat merasakan Samirah penyayang dan mementingkan kekeluargaan.  Sangat cocok dijadikan isteri, bisik hati Irsyad Rifqi.

Matanya melurut ke bawah, dan pantas menangkap cincin di jari Samirah yang membuahkan tanda tanya.

“Samira… saya nak tanya tentang cincin itu.”

Samirah mengangkat jarinya.  Cincin itu direnung seketika sebelum dia berkata “ini cincin perkahwinan mama.  Mama sudah tak mau cincin ini, jadi dia minta Aidid berikan kepada saya.”

Sekali lagi Samirah sebak.  Menyelinap rasa bersalah di dalam hati Irsyad Rifqi kerana membuat Samirah sedih sekali lagi.  Namun di sebalik rasa bersalah itu, ada kelegaan yang amat besar dalam hatinya. 

“Errm… saya tak sepatutnya tanya.  Maafkan saya kalau soalan bodoh saya tu buat awak sedih.”

It’s okey Irsyad.  Kalau awak tak tanya pun, setiap kali saya pandang cincin ini… saya terkilan, sedih, kecewa.  Tapi saya tak boleh selamanya bersedih… takdir tak boleh diubah… hidup mesti diteruskan.”

Irsyad mengangguk, sambil matanya tetap tertancap di wajah Samirah.  Setiap inci wajah yang sedang memandang ke hadapan itu ditelitinya.  She’s pretty even when she’s sad, hati Irsyad Rifqi berbisik.  Perlahan-lahan senyuman terukir di bibir Irsyad.  Jawapan Samirah tentang cincin di jari itu sungguh menggembirakan hatinya.

Bolehkah diluahkan kata-kata cinta terhadap Samirah sekarang?  Sabar Qi… sabar.  Tunggu masa yang sesuai.  Kena guna ayat power yang boleh bikin dia gembira, teruja dan menyentuh hatinya.  Nampak gayanya dia ni walaupun yakin dan berani, sensitif juga orangnya, bisik hati Irsyad lagi.

“Samira… I have a confession to make,” suara Irsyad Rifqi kedengaran bagai berbisik di telinga Samirah.  Kepalanya ditolehkan ke arah Irsyad.

“Saya… saya lega bila dapat tau… cincin di jari awak itu bukan pemberian dari seorang lelaki.  Saya harap… satu hari nanti bila awak terima cincin daripada seorang lelaki, lelaki itu ialah saya.”

Samirah terkedu.  Benaknya mula mencerna lafaz dari Irsyad Rifqi tadi, memikirkan maksud di sebalik kata-kata Irsyad Rifqi.  Apabila seseorang lelaki memberikan cincin kepada seorang perempuan, apakah itu bermaksud dia melamar perempuan itu?  Apakah Irsyad Rifqi berharap untuk melamar aku satu hari nanti?  Ish, bukankah masih terlalu awal untuk memikirkan hal itu, kan baru sahaja berkawan.  Ish tak mungkinlah.  Jangan perasan Samirah, kata akalnya.



No comments:

Post a Comment