“Tak boleh laju
lagi Abang Di?”
“Nak
laju macam mana Qi, jalan tengah sesak ni?”
Irsyad
Rifqi mengeluh. Jam di pergelangan
tangan diintai. Sepatutnya pukul 5.45
petang tadi dia sudah meninggalkan pejabatnya, namun dek kesibukan dia terbabas
sehingga pukul 6. Sekarang sudah pukul
6.30. Dengan keadaan jalan raya yang
sesak sekarang, jangan-jangan pukul 7 baru dia sampai ke Restoran Al Rawsha.
“Lain
macam sesaknya hari ini. Mungkin ada accident atau kereta rosak.”
Ayat
Rafidi itu sedikit pun tidak membantu melegakan Irsyad Rifqi yang sedang gundah
gulana. Dia resah kerana pada pertemuan
pertama dia terlewat 20 minit. Hari ini
mungkin dia bakal terlewat 1 jam.
Harap-harap Samirah tidak marah. Tadi dia sudah menghantar pesanan
bahawa dia akan lewat. Sangkaannya dia
boleh sampai ke restoran dalam masa setengah jam ternyata meleset.
Sampai
sahaja di hadapan restoran sepuluh minit kemudian, Irsyad Rifqi berlari masuk
ke dalam. Matanya melilau mencari wajah
Samirah sambil berdoa gadis itu masih berada di dalam restoran. Huh, leganya hati bila dia nampak di satu
sudut seorang gadis bertudung kelabu sedang duduk dengan wajah muram.
Samirah
menguap lagi. Rasanya sudah lebih
daripada 10 kali dia menguap. Hatinya
dari sejuk menjadi suam, dari suam menjadi panas, dari panas sudah menjadi apa
entah. Tidak dapat digambarkan
perasaanya. Kalau bab mengeluh pula,
sudah berbakul-bakul keluhan yang keluar. Terlintas juga di fikiran kenapa
harus dituruti permintaan Irsyad Rifqi untuk berjumpa petang ini juga? Macamlah esok-esok tidak boleh jumpa. Tapi entahlah… di kala hati sedang lara,
panggilan telefon dari Irsyad Rifqi berjaya mengalihkan sebentar fikirannya
dari memikirkan soal mama.
Hai
mamat ni, nama saja orang korporat tetapi tidak reti menepati waktu, keluh
Samirah di dalam hati. Hari tu lambat dua puluh minit, hari ni… Samirah
mengintai jam tangannya. Hah! Sudah jam 6.40! Maknanya Irsyad Rifqi sudah lewat empat puluh
minit dari waktu yang dijanjikan. Angkat
kaki sajalah, buang masa menunggu orang yang tidak tahu menepati masa.
Beg
tangan yang diletakkan di atas kerusi di sebelah ditarik dan talinya
disangkutkan di atas bahu. Hatinya sudah
ditetapkan. Empat puluh minit ialah
tempoh menunggu maksimanya. Dia tidak
mahu menunggu lebih lama. Samirah
berdiri. Dan sebaik sahaja dia
berpaling, Irsyad Rifqi sedang berjalan laju ke arahnya.
“I am sorry.
I am very, very sorry,” melantun keluar permohonan maaf dari bibir
Irsyad Rifqi sebaik sahaja dia berdiri tidak jauh dari tempat Samirah
berdiri. Ada riak kesalan di
wajahnya.
“Awak
nak pergi mana?” Irsyad Rifqi bertanya.
Soalan
itu dijawab oleh Samirah dengan renungan tajam, wajah masam dan bibir yang
sedikit dicebikkan. “Balik. Takkan nak menunggu kat sini sampai malam?”
“Please don’t be angry, ada hal di
pejabat dan by the time I could leave, it
was already six. Office saya sebenarnya tak jauh dari
sini, kalau tak sesak dalam masa sepuluh minit dah boleh sampai sini, tapi hari
ni jam teruk. Maafkan saya.
Saya janji lepas ni saya tak akan lambat lagi.”
“Awak
fikir… lepas ni… saya nak jumpa awak lagi?”
Irsyad
Rifqi menggelengkan kepalanya. Dia tidak
yakin Samirah akan mahu keluar dengannya lagi.
Tapi untuk hari ini, dia mahu dimaafkan agar pertemuan kedua ini akan
membuatkan dia merindui Samirah.
“Apa
boleh buat… kalau lepas ni awak tak mau jumpa saya lagi, terpaksalah saya
terima keputusan awak. Tapi sekarang ni…
tolong maafkan saya. Please Samira.” Sekali lagi dia memohon maaf, kali ini dengan
suara yang bernada sayu. Renungan tajam
Samirah sudah kendur, tapi muram di wajah belum pergi.
“Well… if this is our last date, then please…
forgive me. Kalau lepas ni awak tak
mau jumpa saya lagi, saya dah tak ada peluang untuk minta maaf.” Akhirnya ayat itu berjaya mencairkan hati Samirah.
Seperti
kelmarin, hari ini Samirah diberi kejutan yang sama. Restoran Al Rawsha yang menghidangkan makanan
Arab bukanlah destinasi makan mereka.
Sebaliknya mereka menaiki kereta Irsyad Rifqi yang menunggu di luar
restoran. Sepanjang perjalanan mereka
tidak bercakap sepatah pun. Yang
kedengaran hanyalah suara Irsyad Rifqi memberi arahan kepada Rafidi.
Tidak
sampai sepuluh minit kemudian BMW X5 berwarna perak itu berhenti di hadapan
sebuah warung. Irsyad Rifqi segera
keluar dan berlari anak ke sebelah kereta dan membukakan pintu untuk
Samirah. Samirah terkedu. Dia tidak menyangka seorang Irsyad Rifqi
tidak kisah makan di warung mamak sebegitu.
“Jom,”
Irsyad Rifqi mempelawa. Samirah masih
terpacak di sisi kereta. “You will get to eat the best tandoori in
town here,” katanya. Samirah
memandang Irsyad Rifqi dengan rasa kagum sebelum menghayun kakinya ke arah
warung.
“Bos, ada baik?” Dengan ramah si pelayan menegur. Irsyad Rifqi mengangkat tangan ke arah si
pelayan sambil tersenyum.
“Wah…
ada adik manis aaaah? Mari-mari saya
tunjuk meja.”
Dengan
pantas si pelayan melangkah ke hadapan dan membawa mereka ke sebuah meja yang
agak terkedalam letaknya. Samirah dan
Irsyad Rifqi mengambil tempat duduk masing-masing.
“Biasakah
bos?” Tanya si pelayan.
“Untuk
saya biasa.”
“Awak
nak makan apa?” Soal Irsyad Rifqi sambil
matanya memandang tepat ke wajah Samirah yang masih muram. Samirah pula
memandang tepat ke arah si pelayan.
“Nan
ada?” tanya Samirah. Irsyad Rifqi
tersenyum, teringat perbualan di dalam kapal terbang. Dari cheese
nan, garlic nan, butter nan, almond nan semuanya kata Samirah ingin dimakan
bila sampai KL nanti.
“Ada. Semua jenis nan ada. Adik mau apa nan?” Si pelayan ramah menjawab.
“Tosei
ada?”
“Ada. Semua jenis tosei ada. Adik mau apa tosei?”
“Capati
ada?”
“Itu
pun adaaa.”
“Roti
ca…?”
“Roti
canai pun ada. Sekarang apa mau makan…
nan ka, tosei ka, capati ka, roti canai ka?”
Si pelayan sudah mula rimas.
Samirah merendahkan wajahnya.
Kepalanya ligat berfikir yang mana hendak dipesan. Tadi sudah terbayangkan nasi mandy,
rupa-rupanya ke warung mamak dia dibawa.
Irsyad
Rifqi memandang Samirah dengan penuh minat.
Seperti si pelayan, dia juga ternanti-nanti jawapan dari Samirah. Dia meneka Samirah akan memesan nan, tandoori
dan teh tarik, berdasarkan perbualan mereka di dalam kapal terbang.
“Errmm…
toseilah. Tosei rava. Limau ais kurang manis satu.”
Irsyad
Rifqi tersenyum. Unpredictable, bisiknya dalam hati.
An unpredictable girl can be
challenging to manage, bisiknya lagi.
Samirah
memandang Irsyad Rifqi sekilas. Dia
perasan senyuman yang tergaris di bibir Irsyad Rifqi. Apahal mamat ni, suka sangat senyum-senyum
bila pandang aku, hatinya bertanya.
“Tak
apakan kita makan di sini?” Soalan
Irsyad Rifqi memecahkan kebisuan di antara mereka. Samirah membalas dengan anggukan saja. Sebenarnya dia agak bengang. Aku
dah duduk, dah order makanan, baru
dia tanya okey tak makan di sini!
Sengal! Kata Samirah di dalam
hati.
I think she’s still
angry.
Kena cari topik yang menarik untuk dibualkan. Selain daripada suka makan, apa lagi yang dia
suka, hati Irsyad Rifqi berbicara sambil memandang Samirah yang juga sedang
merenung tepat ke arahnya. Mata mereka
bertembung. Ada debaran dalam dada
Irsyad Rifqi. Samirah pula tidak rasa
apa-apa, kemarahannya masih bersisa.
“Cantik
tudung awak. Sesuai dengan warna kulit
awak.”
“Terima
kasih.”
Aik,
terima kasih saja. Kalau gadis lain bila
dipuji pakaiannya, terus keluar segala cerita tentang pakaian. Di mana dibeli, jenamanya, bila dibeli,
berapa harga dan macam-macam lagilah.
Sama ada dia tidak berminat bercerita tentang pakaiannya… atau dia tidak
berminat bercakap dengan aku. Fikir
Irsyad Rifqi.
Cantik
ke? Tudung bawal biasa je. Issh… mana tosei ni. Tak sabar aku nak makan. Dah lama tak makan tosei rava. Fikir Samirah.
“Tandoori
siap, cheese nan siap.”
Si
pelayan yang peramah tadi meletakkan pinggan berisi cheese nan dan tandoori di
hadapan Irsyad Rifqi dan pantas menghilang.
Aroma cheese nan segera masuk
ke rongga hidung Samirah. Perutnya yang
sudah mula berkeroncong semakin lapar bila melihat nan dan tandoori di hadapan.
“Adik
manis… tosei rava siap.”
Sekeping
tosei rava di atas dulang besi diletakkan di hadapan Samirah, siap dengan kari,
dhal dan chutney. Samirah menelan
liur. Bulat matanya memandang tosei rava
itu. Di mata Irsyad Rifqi, gelagat
Samirah menghiburkan. Dengan berselera
dan segera Samirah menyerang tosei rava di hadapannya. Habis licin dimakan, sementelah dia memang
sangat lapar kerana tidak makan tengahari tadi.
“Nak? Rasalah.
The best in town.” Irsyad Rifqi mempelawa sambil piring berisi
tandoori ayam ditolak sedikit ke arah Samirah.
Samirah mengangkat mukanya, senyum dan ayam tandoori dicubit sebelum
disuapkan ke mulut.
“Hmmm,
sedap,” kata Samirah sambil mulutnya masih mengunyah.
Irsyad
Rifqi tersenyum lebar. Sudah lama dia
tidak keluar makan dengan gadis yang selamba seperti Samirah.
“Makanlah
lagi.”
“Dah
kenyang.”
“Nak
cuba teh tarik? Orderlah.”
“Lain
kalilah. Saya dah kenyang.”
Irsyad
Rifqi tersenyum. Dia kata lain kali,
maknanya ada peluang nak jumpa dia lagi, fikir Irsyad Rifqi. Samirah pula memandang Irsyad Rifqi dengan
kehairanan. Apahal dia ni asyik
tersenyum saja? Tapi bila dia senyum…
wow boleh gugur jantung aku, fikir Samirah.
“Selalu
ke awak datang sini?”
“Tak. Kalau ada geng baru saya datang.”
“Tak
sangka… orang kaya macam awak tak kisah makan di tempat macam ni.” Dengan selamba Samirah berkata. Dia berkata apa yang ada dalam fikirannya.
“Kenapa
awak fikir orang kaya tak makan di tempat macam ni?”
“Biasanya…
orang banyak duit macam awak… tentulah suka makan di restoran yang eksklusif.”
“Saya
makan di tempat yang makanannya sedap dan bersih. Tak semestinya restoran mewah dan eksklusif.”
Saya
pun, kata Samirah tetapi hanya di dalam hati.
Limau aisnya dihirup sampai habis.
Jam di tangan dikerling.
MasyaAllah, Maghrib sudah lama masuk.
“Irsyad…
ada surau tak dekat-dekat sini? Saya nak
solat Maghrib.”
Irsyad
Rifqi terpempan. Inilah kali pertama
gadis yang keluar dengannya mahu bersolat.
Yang lain-lain, dulu-dulu, tidak pernah. Lebih teruk lagi, walaupun dia selalu datang
ke sini untuk makan, dia tidak pernah ambil kisah di mana letaknya surau atau
masjid terdekat.
“Sekejap
ya, saya pergi bayar.”
Irsyad
Rifqi cepat-cepat bangun. Di kaunter dia
bukan setakat membayar, tetapi bertanyakan tentang kedudukan surau terdekat
daripada si penjaga kaunter. Kemudian
telefon dikeluarkan dan dia segera memanggil Rafidi. Lima minit kemudian Rafidi sampai dan
menghantar Irsyad Rifqi dan Samirah ke surau berdekatan. Irsyad Rifqi turut keluar dari kereta dan
melangkah memasuki surau. Bertahun-tahun
dia makan di warung mamak itu, inilah kali pertama dia ke surau ini yang hanya
lima minit perjalanan dari warung.
Irsyad
Rifqi sudah menunggu di sisi keretanya ketika Samirah selesai bersolat.
“Saya
nak balik,” kata Samirah sebaik sahaja dia sampai ke kereta yang diparkir di
hadapan surau.
Balik? Baru pukul lapan, bisik Irsyad Rifqi di dalam
hati. “Awal lagi.” Kata Irsyad.
“Papa
benarkan saya keluar dengan syarat saya mesti balik sebelum pukul sembilan.”
Kolotnya
bapa dia, bisik hari Irsyad Rifqi lagi.
“Okey
jom. Saya hantar awak balik.”
Samirah
pantas berfikir, alasan apa yang hendak diberikan untuk menolak pelawaan Irsyad
Rifqi.
“Irsyad,
awak tahukan… kita baru kenal… saya tak biasalah orang lelaki hantar saya
balik.”
Irsyad
Rifqi memandang Samirah dengan riak kurang senang di wajahnya. Tak biasa keluar malam dengan lelaki, tak
biasa orang lelaki hantar balik… lepas ni entah berapa banyak lagi ‘tak biasa’
yang akan keluar, fikirnya. Tapi
sikapnya menyenangkan hati, senyumannya mendamaikan dan tutur katanya
menghiburkan.
Wajah
Samirah direnungnya dalam-dalam. Dalam
kesamaran malam yang hanya diterangi oleh lampu jalan dan lampu di atas pagar
surau, kecantikan Samirah terserlah.
Wajah putih bersih yang tidak disolek langsung adalah satu kelainan
kerana lazimnya Irsyad Rifqi ditemani gadis-gadis yang suka bersolek
tebal. Bersolat di surau malam ini juga
adalah kelainan kerana lazimnya apabila dia keluar dengan perempuan, bersolat
tidak pernah masuk dalam agendanya.
Makan di warung mamak dengan seorang gadis juga adalah satu kelainan
kerana gadis-gadis yang pernah keluar dengannya sebelum ini hanya mahu makan di
restoran dan kelab ekslusif. Kelainan-kelainan
inilah yang menyebabkan Irsyad Rifqi ingin mengenali Samirah dengan lebih
lanjut.
“Saya
belum puas berbual dengan awak, awak dah nak balik. Kalau saya hantar awak, kita boleh berborak
dalam kereta.”
Terbit
rasa kasihan dalam hati Samirah apabila melihat wajah Irsyad Rifqi yang
bersungguh-sungguh mengharapkan. “Sekejap
ya,” kata Samirah dan dia berlalu menjarakkan dirinya dari Irsyad Rifqi. Telefon dikeluarkan dan dia menghubungi
seseorang. Tidak sampai lima minit dia
datang semula kepada Irsyad Rifqi.
“Papa
lanjutkan waktu keluar saya selama setengah jam… tapi awak tetap tak boleh
hantar saya balik.”
Irsyad
Rifqi tersenyum. Good enough, bisik hatinya.
Pintu kereta dibuka untuk Samirah.
Destinasinya belum ditetapkan.
Sepuluh minit kemudian Samirah minta diturunkan di sebuah stesen minyak.
“Perbualan
kita semasa dalam penerbangan was the
most exciting conversation I ever had with a girl.” Kata Irsyad Rifqi. Wajah Samirah yang berdiri di sebelah
direnung. Samirah pula menundukkan
wajahnya, melihat kaki sendiri sambil bersandar di kereta. Rafidi entah ke mana, meninggalkan bosnya
untuk berbual dengan gadis bertudung kelabu yang cantik manis. Rafidi pun turut merasa hairan kenapa mereka
hanya berdiri di hadapan stesen minyak untuk berbual-bual.
“Samira.”
Samirah
menoleh ke arah Irsyad Rifqi.
“Boleh
saya jadi kawan awak?”
Tiada
jawapan, hanya renungan mata yang tidak dapat difahami oleh Irsyad Rifqi. Renungan itu memberi satu debaran dalam
dadanya. Debaran yang tidak pernah
dicetuskan oleh mana-mana gadis sebelum ini.
“Kawan
macam mana?” Akhirnya Samirah bersuara.
“Kawan…
macam…” Macam mana ya, Irsyad menggaru
kepalanya. Bagi tau sajalah aku nak dia
jadi girlfriend aku. Tapi belum pernah aku terus nak jadikan
seorang gadis girlfriend, Irsyad
Rifqi berfikir. Ada yang dah dua tiga
kali keluar pun aku tak teringin jadikan girlfriend,
bisik hatinya lagi.
“Awak
nak kita berkawan… atau kita couple?”
Irsyad
Rifqi terkedu. Beraninya dia bertanya
soalan itu. Sungguh berterus terang,
tiada ada selindung-selindung langsung.
“Saya
baru habis belajar. Fokus saya sekarang
ialah mencari kerja. Saya tak minat
bercinta. Kalau sekadar berkawan, tak
ada masalah.” Samirah menyuarakan apa
yang tersimpan dalam hati. Memang dia
tidak mahu bercinta. Meminati seseorang
pun dia tidak mahu. Keutamaannya sekarang
ialah berjumpa dengan mama dan mendengar sendiri dari mulut mama kenapa mama
mahukan perceraian. Dan dia juga mahu memujuk
mama agar kembali ke pangkuan keluarga.
Dia takut usaha ini terganggu sekiranya dia sibuk bercinta.
Sebuah
kereta MyVi berhenti di hadapan mereka. Samirah
mengucapkan terima kasih dan masuk ke dalam kereta. Irsyad Rifqi memandang ke arah kereta MyVi
sehingga kereta itu hilang dari pandangannya.
Jam di tangan dikerling. Baru
pukul 9.00 malam. Masih terlalu awal
untuk pulang ke rumah di malam Sabtu.
Tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar.
This is my shortest
date on a Friday night, desis hatinya.
No comments:
Post a Comment