HARI ni Suriya cuti. Bukan cuti hujung minggu
tapi cuti yang sengaja dia minta. Sistem untuk sebuah syarikat
penerbitan buku sudah dia bereskan. Sebelum memulakan
kerja baru, dia mahu berehat barang sehari dua. Sedang molek,
dia minta cuti hari ni, bersambung terus dengan cuti hujung
minggu esok dan lusa.
Matahari sudah meninggi di luar sana. Namun
Suriya masih belum punya tanda-tanda mahu bangun dari
pembaringan. Selimut masih utuh membalut tubuhnya.
Suhu penghawa dingin pula memang sengaja direndahkan
sejak semalam. Makanya, makin selesa dia berlingkar di dalam
selimut.
Breep… Breep…
Bunyi penggera telefon bimbit mengejutkan Suriya.
Dengan mata terpejam, tangannya meraba-raba ruang sebelah.
Mencari di mana letaknya telefon bimbitnya itu. Sejurus jumpa,
pantas diamatikan bunyi penggera yang telah mengganggu
lenanya. Lantas dia menggeliat.
“Huwargh!” Teruk benor bunyinya!
Lalu dia berlalu ke bilik air selepas mengambil tuala
dari rak. Selesai mandi dan lengkap berpakaian, Suriya turun
ke bawah. Perut yang berkeroncong membawanya ke dapur.
Semasa melintasi meja makan, matanya seakan menangkap
objek berbentuk sekeping kertas. Kakinya terhenti melangkah.
Assalamualaikum dik. Ketika adik baca kertas
ini, along dah tak ada kat rumah. Mungkin
sudah sampai di Terengganu. Along balik ke
rumah mama untuk beberapa hari. Adik tak
nak ikut, terpaksalah along balik sorang diri.
Jaga diri elok-elok sepanjang along tak ada kat
rumah. Wassalam.
Suriya panggung kepala. Matanya tertancap pada
ruang tamu. Sungguh lesu suasana dalam rumah itu. Dia
kembali mendaki tangga, berlalu ke bilik. Perut yang tadinya
tersangat lapar menjadi kenyang secara tiba-tiba. Kenyang
selepas membaca nota pesanan Rozairul. Telefon bimbit dia
ambil dari atas katil. Jarinya ligat mencari sebaris nama.
“Ni, kau sibuk tak?” Tanpa salam, Suriya terus menyoal
Nini di hujung talian.
“Sibuk jugak, kenapa?” Nini yang sedang menyiapkan
kerjanya menyoal sambil jongket kening. Hati Nini tertanyatanya
dengan kemunculan mendadak temannya.
“Taklah. Aku boring. Kau keluar lunch tak hari ni?”
“Keluar kut,” hati Nini berbelah-bahagi sebenarnya.
Dia tak pasti sama ada nak keluar makan tengah hari atau pun
tidak. Kalau ikut kerjanya yang menimbun ni, malas pula dia
nak keluar. Memanglah waktu rehat tengah hari untuk hari
jumaat sedikit panjang dari hari biasa kerana memberi laluan
kepada kaum lelaki mengerjakan solat jumaat.
“Ala… Tak payahlah kot-kot. Jom keluar,” Suriya
merengek di hujung talian.
“Oit, kau sanggup datang dari Shah Alam ke Kajang
ni semata-mata nak lunch dengan aku? Kau sihat ke tak ni?”
Serius! Nini rasa cadangan Suriya sangat luar alam!
“Apa pulak tak sihatnya. Aku cutilah. Jom la…”
“Yalah, yalah. Tunggu aku kat Plaza Metro.” Akur juga
Nini.
“Orait. Aku tunggu kau kat tempat biasa. Sayang kau,
muah muah!” Girang suara Suriya.
Talian ditamatkan dan Suriya terus bersiap-siap untuk
berjumpa dengan Nini. Dah lama tak keluar berdua dengan
Nini.
“OIT! KAU apasal ni? Sejak aku sampai tadi, muka kau asyik
monyok aje memanjang.” Nini menegur sambil mencuit lengan
Suriya. Mereka sedang lepak-lepak di bangku yang disediakan
di sekitar pusat membeli-belah itu. Makan tengah hari sudah.
Waktu rehat Nini masih berbaki kira-kira sejam lagi.
“Hah?” Suriya terpinga-pinga.
“Kau ni kenapa? Asyik termenung aje. Dah setengah
jam aku tengok kau macam ni. Naik sakit mata aku tengok.”
Nini merungut.
“Huh!” Suriya mengeluh. “Susah aku nak cakap
dengan kau.”
“Apa yang susahnya? Cerita ajelah.”
“Aku gaduh dengan along aku.” Lambat-lambat Suriya
memberitahu.
“Gaduh lagi? Apa kes pulak kali ni?” Haih, dua beradik
ni. Tak habis-habis dengan gaduh.
“Along aku ajak aku balik kampung, tapi aku tak nak
balik. Along aku marah.”
“Kau pun satu. Kenapa kau tak nak balik? Hari ni
kau cuti, kan sia-sia aje buang cuti macam tu aje,” bebel Nini.
Dan tak pasal-pasal kau heret aku sama dalam masalah kau.
Sambung Nini di dalam hati.
“Kau kan tahu aku ada masalah dengan mak angkat
aku. Aku memang tak boleh la... Kalau balik, mesti aku rasa
sakit kat dalam ni,” Suriya menunjukkan dadanya. Tempat yang
dia rasakan sakit selama ini.
“Su, lagikan nabi ampunkan umat…” Belum sempat
Nini habis memberikan nasihat, Suriya lebih dulu memotong.
“Itu nabi. Aku bukan nabi! Aku hanya manusia biasa.
Yang akan rasa sakit apabila orang buat begitu!” Bangkang
Suriya beremosi.
“Itu aku tau. Tapi takkan dalam hati kau tak ada
langsung rasa bersalah?”
“Bersalah? Kenapa aku nak kena rasa bersalah?”
“Hei, memanglah kau bersalah. Kau buat mama kau
macam tu. Kau tau tak hati orang tua ni lembut. Mudah terasa.
Kau buat macam ni, maknanya kau bencikan mama kau. Kau
tak maafkan mama kau. Niat dia baik, Su. Dia nak kau dengan
ibu kau berbaik balik. Takkan kau tak terasa nak bermesra
dengan ibu kau macam mana hubungan anak dan ibu yang lain?
Pasal dosa dia, itu antara dia dengan Allah. Kau sebagai anak
tak ada hak nak hukum dia, nak benci dia sungguh-sungguh
macam sekarang!” Ha… Tu dia! Terkeluar sudah aura Nini tika
membebel.
“Kau sama aje dengan along aku. Cakap senanglah.
Yang tanggungnya aku. Cuba kau yang berdepan dengan semua
ni. Huh!” Balas Suriya, tak nak kalah.
“Ya, aku tak pernah rasa apa yang kau alami. Tapi aku
tahu apa yang kau rasa. Kalau aku jadi kau pun, aku takkan
buat ibu aku macam ni. Bagi aku, perkara lepas, biarlah
lepas. Bukannya kita boleh putar balik masa supaya dia boleh
perbetulkan salahnya. Memang tak boleh! Aku nak tanya kau,
takkan dalam hati kau tak ada langsung sekelumit rasa sayang
kat ibu kau?” Kata-kata Nini diakhiri dengan soalan pedas.
Suriya diam. Dia kehabisan modal. Tak tahu nak jawab
apa untuk soalan Nini itu. Hati Suriya jadi keras kini. Nasihat
yang Rozairul hulurkan langsung tak jalan. Nasihat Nini
lagilah. Bukan Nini tak kenal Suriya. Orangnya memang begini.
Nampak lembut luarannya tapi hati di dalam, keras sekali.
“Eh, aku balik ofis dululah. Lunch hour dah nak habis
ni.” Nini pandang jam seraya bersuara.
Menunggu Suriya terus diam begitu sangat
membazirkan masa. Selepas bersalaman dan melaga pipi, Nini
berlalu meninggalkan Suriya di bangku itu. Biarlah Suriya fikir
semasak-masaknya.
PAGI ISNIN itu, Suriya masuk ke pejabat macam pagi-pagi
Isnin yang lepas. Baginya tak ada yang istimewa pun. Cuma
terasa malas nak bangun awal pagi. Selepas tiga hari bercuti
dan selama tiga hari itu dia asyik berlingkar di atas katil, tiba
pagi ini memang terasalah tersangat malas. Mata pun susah nak
celik.
Lengkap berpakaian, Suriya turun ke ruang dapur. Tak
berniat pun nak buat sarapan sebab masa yang semakin suntuk.
Bangun lewat, inilah padahnya. Saat melintasi peti sejuk,
matanya terpandangkan sekeping kertas memo yang dilekatkan
di situ. Ni mesti kerja along. Biasanya kalau nak pesan apa-apa,
along akan buat macam ni. Bisik hati Suriya.
Selamat pagi dik. Along tak sempat nak inform
kat adik. Malam semalam along sampai dari
Terengganu. Tapi along terpaksa terus ke airport.
Emergency. Along terpaksa ganti kawan along.
Sorry okey. Nanti dah sampai Mumbai, along
call adik ya. Bye, take care. Salam.
Haih. Susahnya kerja macam Rozairul. Sentiasa tak
lekat di rumah. Waktu kerjanya sentiasa standby. Tunggu
orang panggil aje. Telinga Suriya menangkap bunyi hon kereta.
Mesti teksi Pak Mail tu. Bergegas Suriya keluar dari rumah
mendapatkan Pak Mail.
“Haip, awal cik adik. Hari ni datang dengan cik abang
ke?” Masuk saja dalam pejabat, Noraini terus mengusik dia.
“Cik abang? Siapa?” Cik abang mana pulak ni? Kepala
Suriya tak sempat nak tangkap maksud soalan Noraini itu.
Sampai di meja, dia letak beg kerja yang sangat memberatkan
bahu.
“Alah, buat-buat tanya pulak. Su ni suka tau buat
akak cakap kuat-kuat. Dari orang tak tahu, jadi tahu.” Rungut
Noraini.
“Su datang dengan pakcik yang duduk dalam bilik tu
ke?” Noraini berbisik selepas matanya melilau pandang kiri dan
kanan. Dia memang, kalau nak bercakap pasal Suriya dan Iddin,
mesti mata tu sibuk bekerja jugak.
“Eh, taklah. Kenapa pulak saya kena datang dengan
dia?”
Oh, itu rupanya maksud soalan Kak Ani tadi. Haih,
kenapa aku mesti datang dengan dia? Lagi pun sejak kes dia
tengking aku hari tu, kami tak pernah bertegur sapa. Iddin tak
tegur Suriya, Suriya lagilah malas nak tegur Iddin.
“Manalah tahu... kan,” sahut Noraini.
“Tak ada maknanya Kak Ani oi.” Suriya segera berlalu
ke pantri. Malas dia nak tahan telinga dengar kata-kata Noraini.
Nanti apa pulak yang direpekkan lagi, tak tahulah. Lebih baik
isi perut yang sedang bergendang ni dulu. Semasa nak keluar
rumah tadi, dia tak sempat nak bersarapan.
IDDIN MASUK ke pejabat sedikit lewat. Dia sudah maklumkan
kepada Badrul. Alasannya, cuma ada urusan peribadi. Awalawal
pagi lagi kakinya sudah menapak ke deretan kedai-kedai
hadiah di sini. Dia masih mempertimbangkan cadangan Mak
Yam sebenarnya. Nak bagi bunga ke? Atau bagi hadiah? Tapi,
boleh jalan ke cara tu?
Kalau bagi bunga, mesti Suriya cakap Iddin dah tak
betul. Mana nak betulnya kalau tiba-tiba aje bagi bunga. Macam
orang bercinta pula. Bagi hadiah? Tapi apa? Sambil menyoal diri
sendiri, sambil itu kaki Iddin melangkah masuk ke dalam kedai
yang menyediakan perkhidmatan penghantaran hadiah untuk
yang tersayang.
“Err… Ada apa-apa yang boleh saya tolong encik?”
Suara teguran itu mengejutkan Iddin. Habis terbang semua
yang dilamunkan. Wajah seorang pekerja kedai menyapa
pandangan matanya.
“Sebenarnya saya sedang mencari hadiah untuk
seseorang sebagai tanda minta maaf. Err… Awak boleh
suggestkan tak?”
“Oh. Untuk kekasih ke?” Pekerja itu senyum mesra.
Kekasih? Hati Iddin menyoal.
“Taklah. Untuk kawan perempuan aje,” gugup Iddin
menjawab.
“Hmm… Kami ada bermacam hadiah untuk perempuan.
Ada minyak wangi, purse, handbag dan bermacam lagi. Seperti
yang encik lihat sekarang ini, ada bermacam pilihan di dalam
kedai kami. Atau jika encik mahukan kelainan, saya cadangkan
ini.” Pekerja itu menunjukkan sebuah album gambar yang
penuh dengan gambar-gambar reka bentuk coklat.
“Ini adalah sample coklat handmade. Encik kena
tempah dahulu kerana kami hanya buat apabila menerima
tempahan. Jika encik tak berminat dengan design yang sedia ada
dalam album ni, encik boleh kemukakan design encik sendiri
dan Insya-Allah pihak kami akan sediakan.” Terang pekerja itu
panjang lebar.
Terlopong mulut Iddin mendengarkan penerangan
pekerja tersebut seraya tangan membelek album gambar di
tangan. Cantik-cantik semuanya.
“Saya nak yang ni. Tapi awak tukar tulisannya kepada
‘I’M SORRY’. Awak decoratekan cantik-cantik tau. Agak-agak
sempat tak siap hari ni?” Iddin cepat-cepat membuat keputusan
sebelum dia rambang mata.
“Hadiah ni akan dihantar ke mana, encik?” Dalam
masa yang sama pekerja itu memandang jam di dinding kedai.
“Area Shah Alam ni jugak.”
“Hmm… Rasanya sempat siap. Dalam 12.00 tengah
hari kami akan hantar. Encik ke kaunter dahulu, encik perlu
isi borang untuk tujuan penghantaran. Encik nak selit kad
ucapan?”
“Boleh jugak.”
Iddin mengikut langkah pekerja kedai itu berlalu
ke kaunter pembayaran. Di sana dia perlu mengisi borang
maklumat penghantaran hadiah sebelum melakukan
pembayaran. Ini adalah prosedur biasa kedai tersebut.
No comments:
Post a Comment