DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 15 March 2016

ITALIAN BOY - BAB 1


HAI, nama aku Oddie. Aku seorang yang agak
lasak. Aku suka sangat pada aktiviti mencabar dan juga tempat
tinggi. Lagi tinggi, lagi bagus. Gayat? Uh-uh... Tidak ada
istilah gayat dalam kamus hidup aku. Tapi ada pengecualian.
Nanti aku cerita pasal gayat yang terkecuali itu.
Aku ada butik pakaian perempuan yang diberi nama
Oddie’s Paradise. Mula-mula butik ini aku buka secara online
saja. Dan aku sebagai ejen dropship sebab waktu belajar
dulu aku perlukan duit lebih. Aku anak yang baik, tidak
mahu menyusahkan hidup mama dan papa aku. Tiba-tiba
terkencang pula bisnes aku ini. Dari ejen dropship, kini aku
menjadi tauke. Macam-macam yang aku hendak ceritakan
tapi sorry... sampai sini dulu. Muka mama dah terjengul
depan pintu.
“Tak mandi lagi?” tegurnya.
Aku sengih. Angguk dan menggeliat. Comforter aku
tarik menutupi muka sebelum merebahkan badan semula ke
atas katil.
“Ya Allah Oddie... bangunlah!” suruh mama.
Aku menyelak comforter yang menutupi muka.
Sengihan paling lebar aku sedekahkan buat mama. Aku
memang dah bangun tapi sengaja aku bermalasan kat atas
katil ni. Inilah my hardest goodbye! Katil kesayanganku.
Mama menghampiri lantas melabuhkan punggung
di sisi aku. Wajah inilah yang sentiasa menyejukkan hati aku.
Walaupun dah tua, tapi mama masih nampak muda tidak
kiralah dari segi penampilan mahupun sikap. Rambutku yang
runyai menutupi muka, mama alih dan selit ke belakang
telinga. Selepas itu, kepalaku mama usap dan tersenyum
manis. Keningku bertaut, mula memandang mama dengan
pandangan curiga.
“Hmmm, semacam aje mama. Kenapa eh?” soalku
terus. Tahu, mama buat begitu sebab ada agenda. Kalau tak
nak minta tolong aku, tentu mama ada benda yang nak suruh
aku turut cakapnya.
“Minggu ni duduk rumah ya?” pujuk mama. Aku
dah agak, mesti ada sesuatu punya. Aku gosok mata yang rasa
berhabuk.
“Kan duduk rumah dah ni?” giatku. Ya, aku masih
tinggal dengan ibu bapaku.
“Maksud mama, Sabtu dan Ahad.” Mama tersenyum
manis. Hmm, mama yang aku kenal, kalau senyum melebihi
telinga ni, pasti dia dah ada perancangan yang pelik-pelik
yang dia nak aku join.
“Tak bolehlah, ma. Oddie nak…” Belum sempat aku
sambung ayat, dia dah mencelah dulu.
“Panjat gunung lagi?” sinis soalan mama.
Alah... mama bukan tidak tahu hobi aku ini lain
daripada yang lain. Aku tak suka buat aktiviti perempuan yang
lain. Contohnya memasak, shopping, selfie dan sebagainya.
Aku suka duduk di atas bukit, tengok keindahan alam.
“Bukan gunung, ma. Bukit aje.” Aku sengih. Bila
sebut bukit, mama tahulah ke mana aku nak pergi. Mama
julingkan matanya ke atas. Dia dah tahu sangat ke bukit
mana yang aku akan tuju.
“Bukit Broga tu dah banyak kali Oddie panjat.
Tiap-tiap minggu. Tak bosan ke? Minggu-minggu depanlah
pulak. Tak larinya bukit tu.” Pujuk mama. Suaranya masih
lembut. Macam suara nurse di hospital swasta.
“Alah ma…” Baru nak ber‘alah’ sikit, mama dah
buat muka sepuluh sen. Ni yang aku tak sampai hati ni nak
menolak ni.
“Tolonglah, Oddie.” Mama guna suara dengan tone
paling rendah dan beralun merdu memujuk aku.
“Mama janganlah buat muka seposen macam tu, ma.
Sayu hati ni. Mama nak Oddie duduk rumah buat apa?” Aku
menyoal mama.
Mama ketap bibir, tahan senyum. Rasa-rasanya
rancangan mama ini agak nakal. Sebab mama pernah
senyum macam itu sekali aje iaitu sewaktu dia ajak aku jadi
spy papa. Takut papa curang di belakangnya. Dah lama mama
tidak buat muka macam ni. Takkan nak suruh aku jadi spy
lagi sekali, kut? Papa sekarang dah banyak duduk kat rumah,
kalau tak silap akulah…
“Benji balik minggu ni.” Mendengar satu nama itu,
jantungku seolah-olah berhenti berdegup.
“Huh...” Terduduk terus aku mendengarnya.
Okey, scene ni berhenti seketika. Mari aku ceritakan
serba sedikit tentang Benji.
Benji seorang lelaki berdarah kacukan Itali. Ayah
kandungnya merupakan orang Itali. Yeap, Itali pure. Mamanya
merupakan kawan baik mama aku. Mereka berkawan semenjak
di bangku sekolah lagi. Tapi kebelakangan ini hubungan
mereka memang rapat lain macam aje. Dah macam kembar
pula. Selalu menghabiskan masa bersama-sama.
Nak dijadikan cerita, dulu... bapa Benji ni jatuh
hati dekat Aunty Marlynn sewaktu Aunty Marlynn belajar
di Itali. So, mereka pun berkahwin. Tapi… seribu kali tapi...
bapa Benji tak mahu kekal lama dalam Islam. Sebaliknya, dia
berbalik semula ke agama asalnya dan menceraikan Aunty
Marlynn sebab dia jumpa perempuan lain.
Waktu tu Benji baru berusia setahun. Simpati aku
dengan nasib dia. Selepas itu Aunty Marlynn pulang ke
Malaysia dan tidak lama kemudian, menikah dengan orang
Malaysia. Tan tan!!! Sebab itulah muka Benji dan Uncle
Rahmad tu lain benar. Sebab dia hanya anak tiri Uncle
Rahmad.
Walaupun anak tiri, Uncle Rahmad menatang Benji
bagai minyak yang penuh. Mengalahkan anaknya sendiri.
Mungkin sebab dia kesian dengan nasib Benji yang tidak
mendapat kasih sayang seorang bapa kandung agaknya. Atau
mungkin juga sebab dia memang hendak sangat anak lelaki.
Tak tahulah?
Benji, orangnya memang sebiji muka orang Italilah.
Tapi sayang seribu kali sayang, dia tak pandai cakap Itali. Dia
tak nak belajar langsung. Katanya, malu dia berasal dari situ.
Tapi, aku rasa dia terlalu marahkan bapa kandungnya.
Amm, aku tak pernah berbual langsung dengan dia.
Cerita itu pun aku dengar dari mulut Aunty Marlynn. Selalu
juga aku bertandang ke rumah dia, waktu remaja dulu. Yalah,
waktu tu tak tahu malu lagi. Sibuk nak tengok muka crush
kononnya.
Tapi… tidak dapat tengok pun! Dia tu asyik
berkurung aje dalam bilik. Dia tidak bergaul dengan orang.
Sama juga macam aku. Boleh kira dengan jari saja berapa
orang kawan aku. Tapi aku dengar, dia tak bergaul dengan
orang sebab orang mempertikaikan muka dia dengan Uncle
Rahmad lain. Dia rasa rendah diri. Kesian dia.
Aku suka dia sebab dia payah senyum, kut? Dia
pendiam sangat. Gaya dia misteri. Aku rasa dia seorang
yang cool. Kemudian, dia belajar di USA. Ambil course apa
entahlah, aku tak tahu. Oh Tuhan! Aku rindu nak tengok
dia. Enam bulan lepas dia ada pulang ke Malaysia. Sempatlah
selisih bahu dengan dia dan dia tidak buka mulut pun apabila
dengan aku. Pandang pun tidak. Dengan mama adalah dia
bercakap sepatah dua.
Dan... dialah gayat aku yang terkecuali itu. Setiap
kali berada dekat dengan dia, mesti aku rasa gayat yang
melampau. Tidak tahu kenapa? Itu pun belum lagi dia buka
mulut seksi dia tu. Kalau dia buka mulut dia, entah apalah
akan jadi pada aku agaknya.
Mungkin sekarang dia dah habis belajar agaknya.
Rasanya dah terlalu lama dia berulang-alik dari USA ke
Malaysia. Atau... aku aje ke yang rasa macam tu?
“Ehem.” Dehaman mama mematikan ingatanku
kepada Benji, si kacak itu.
“Mesti teringatkan dia.” Mama jongket-jongketkan
kening.
Aku mencemik.
“Kenapa dengan dia? Apa kena-mengena antara
Benji dengan Oddie?” Aku menyoal mama.
“Mama nak suruh Oddie jemput dia kat airport.
Bawak dia pergi berjalan-jalan ke apa.” Mendayu-dayu suara
mama. Eh? Aku ni ada rupa macam pemandu pelancong ke?
“Pelik ni. Kenapa mesti Oddie?” Aku memandang
mama penuh dengan rasa curiga. Aku rasa tentu ada sesuatu
yang mama rahsiakan daripada aku. Maksud aku, rahsia besar.
Macam Aunty Marlynn tidak boleh ambil anak dia
sendiri. Kalau tidak Aunty Marlynn, hmmm... orang lain pun
ada. Contohnya, Uncle Rahmad, adik-adik Benji atau paling
koman pun, teksi! Benji tu dah besarlah! Lelaki pulak tu.
Kalau dekat USA dia boleh hidup, takkan kat negara kecil
macam Malaysia ini pun nak kena berjemput?
“Hmm. Nak mama jujur ke?” Muka mama nampak
lain macam. Berseri-seri.
“Okay... it’s gonna hurt, right?” Aku yakin mama ada
agenda lain.
“Depends pada penerimaan Oddie.” Senyuman mama
melebar. Hati aku semakin tak tenteram melihat senyuman
mama. “Apa dia?”
“Oddie tahukan Aunty Marlynn suka sangat dengan
anak mama ni, kan?”
Aku dah agak! Memang yang inilah yang mama akan
cakap. Blah blah blah, jodoh. Dengan Benji? Ampun! Tidak
sepadanlah. Aku pun sedar diri, kut? Ya, aku sedar aku dah
tua. Aku cukup faham tu. Tapi... come on, ma! 27 is not that
old. Yes, aku sedar yang aku ni agak antisosial, tidak ramai
kawan, jarang bergaul, payah nak keluar dengan rakan-rakan
sebaya, tapi aku suka kehidupan aku sekarang.
“Yeah… so?” Aku buat-buat tak faham.
“Yeah. Dia kalau boleh nak jadikan Oddie menantu
dia.”
Hmm... dah dapat agak pun. Aku menjulingkan mata
ke atas. Kesian kat Benji tu. Mesti dia tidak tahu apa-apa.
“Hesy mama ni! Orang tu entah-entah ada minah
salih kat sana.” Yalah... muka standard mamat Itali, takkanlah
tak tersangkut langsung minah salih, kan? Menipulah! Kalau
aku ni, percayalah juga.
“Aunty Marlynn dah check. Clear, sayang. Tak ada.
Sebab itulah Aunty Marlynn nak jodohkan dia dengan Oddie.
Sebab…” Mama sengaja meleretkan ayatnya. Nak buat aku
tertanya-tanya la tu!
“Sebab apa?”
“Benji dah lama simpan perasaan dekat Oddie.”
Okey, ini kelakar. Benji pandang aku pun asyik
menjeling. Takkan simpan perasaan pulak? Jangan-jangan
simpan perasaan benci tak? Aku tergelak dengan tanggapan
sendiri.
“Kenapa gelak?”
“Lucu.” Gelakku bertambah kuat. Muka mama dah
macam cemberut.
“Apa yang lucu?”
“Mama kalau nak tipu pun, tengoklah pada logik tak
logiknya. Anak mama ni dahlah kulit hitam. Lawa pun tak.
Dia duk sana hari-hari tau menghadap perempuan mata biru.
Sekali kena jodohkan dengan perempuan yang bukan setakat
anak mata aje hitam, tapi dengan muka-muka ni sekali.
Alahai, kesianlah dekat dia mama.” Aku memangkas.
“Alah, trylah dulu. Hitam boleh pakai collogen. Qu
Puteh ada, Terlajak Laris pun ada. Oddie dulu tak hitam pun,
tapi sibuk dengan hiking segala. Tu yang jadi hitam tu!”
mama membebel. Pipiku dicubitnya.
“Mama…”
“Mama tahu Oddie dah lama sukakan dia. Inilah
masanya, Oddie.” Mama tiba-tiba menjadi seorang pakar
psikologi. Bahaya ni!
“Excuse me, mama?” Aku kecilkan mata kepada
mama.
“Jangan nak excuse me sangatlah. Macamlah Oddie
bukan lahir dari perut mama. Mama tahu macam mana anak
mama punya expression, impression, dan segala sion.” Mama
berkata yakin.
Aku angkat kening sebelah. Macam mana mama
tahu rahsia hati aku?
“Apa mama merepek ni?” Aku merungut.
“Setiap kali kita ke rumah Aunty Marlynn, Oddie
akan tenung gambar Benji dekat dinding lebih dari lima
minit.” Mama bersorak tiba-tiba sebaik saja usai berkata-kata.
Macam bangga sangat bila berjaya buktikan tanggapannya
betul.
“Mama!” Aku tidak sangka mama akan perhatikan
aku. Kalau aku tahu, memang aku takkan tenung gambar itu.
Gambar Benji sewaktu remaja. Memang dia handsome dari
kecil.
“Apa? Lepas tu Oddie tercari-cari kelibat Benji setiap
kali kita ke rumah dia dulu.” Mama senyum lagi. Yang tu
betul sangat.
“Mama ni…” Aku mula rasa malu sebab dah
tertangkap.
“Kalau nak harapkan Oddie pendam perasaan tu,
memang akan jadi kulat, tahu? Baik mama ambik pendekatan
macam ni.” Amboi, semakin bahagia wajah mama.
“Oddie tak nak Aunty Marlynn tahu.”
“Aunty memang dah tahu.”
“Hah???” Aduh, rasa maluku berganda-ganda jadinya.
“Dialah yang perasan Oddie tenung gambar anak
bujang dia. Tapi jangan risau, Benji tak tahu pasal ni.” Mama
mengilai. Amboi, seronoknya mama!
“Aduh malunya kalau Benji tahu…” rungutku
perlahan. Berdoa sajalah yang Benji tidak akan pernah tahu
tentang ini.
“SO, YOU ambik I?” soalnya.
Aku angguk lambat-lambat sambil memeluk
kertas kadbod yang tertulis namanya. Nama penuh dia, Mr.
Airiel Benjamin. Aku sedang gayat sebab dia betul-betul di
hadapanku. Dan... inilah kali pertama dia bercakap secara
terus ke depan muka aku ni. Okey, reaksi yang macam mana
aku nak buat ni? Menjerit ke? Peluk dia ke? Menyorok bawah
kain mak cik kat hujung sana ke?
‘No! Cool, Oddie. Cool… ingat, dia tak tahu tentang
perasaan kau, so you don’t have to worry much.’
“Yeap.”
Aku perasan banyak mata memandang ke arah
kami. Mesti diaorang kata kami langsung tidak sepadan.
Ramai sangat perempuan pandang dia. Itu yang buat aku
semakin rendah diri. Tahulah dia kacak, aku tidak cantik. Tak
payahlah pandang aku atas bawah begitu. Terhina sungguh
rasanya! Atau... orang pandang dia sebab dia pernah famous
di USA sana? Yalah... model, kan? Banyak kali juga aku dengar
yang dia jadi model tambahan untuk model-model terkenal
di sana.
“Mama I mana?” Dia tercari-cari kelibat mamanya.
Aku angkat bahu menandakan tiada. Helo, dia
nampak aku dengan orang lain ke tercegat dekat sini?
Wajahnya masih serius, tiada menunjukkan riak
hendak senyum. Beg kulit yang berwarna coklat di bahunya
dijatuhkan lantas dia menyangkutkan ke bahu aku. Okey...
Not cool, man. So not cool! Semakin teruk rasa gayat aku
apabila tangannya singgah ke bahuku, membetulkan tali beg
dia yang hampir menggeleber ke bawah.
“I nak pergi makan.” Ujarnya. Cermin mata hitamnya
langsung tidak dijatuhkan. Memang trendy cermin matanya.
Nampak sesuai dengan muka dia yang mampu melelehkan
liur sesiapa yang memandang. Terutamanya aku!
“Sure.” Aku berpusing secepat mungkin. Boleh
mencair muka aku kalau kena tatap muka kacak dia
lama-lama. Rambutnya memang rambut orang Italilah. Yang
kerinting ala macho tu. Lepas tu hidung usah kata, boleh buat
sangkut baju dah. Mancung sungguh! Bibir pulak, pergh...
sesiapa saja boleh tahu dia tu model hanya dengan melihat
bibirnya saja. Sungguh!
“So, how long are you planning to stay?” Aku cuba
beramah apabila dia berjalan di sisiku. Gayat! Gayat! Gayat!
Mama suruh aku beramah dengan dia. Kalau ikutkan, aku ni
bukannya jenis yang suka bercakap melainkan dengan Ikram,
kawan baikku.
‘Cool, Oddie. Anggap ajelah kau dengan Benji tu dah
lama berkawan. Anggap ajelah dia tu sama macam Ikram.’
“As long as…”
‘You love me?’ sambungku dalam hati. Gatalnya aku
ni! Eh? Kenapa dia berhenti macam itu aje? Teringat pada
lagu Justin Bieber itu ke?
“As long as I want.” Jawabnya kerek. Kaca mata
akhirnya dilipat dan disangkutkan ke baju putih plain yang
dipakainya.
Wargh... sangat tidak adil! Dia buat gayat aku tidak
hilang. Renungan mata dia… gila!
“So ammm… awak nak makan kat mana?” Aku
masih tidak selesa. Mungkin sampai bila-bila aku akan rasa
macam ni. So many butterflies in my stomach.
“Dekat mana you rasa?” Lebih kerek dari tadi.
Hesy! Macam ini rupa-rupanya perangai dia. Dekat
mulutlah!

No comments:

Post a Comment