DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 8

Naim Zakaria

Yang sudah berlalu, biarkan ia berlalu. Fail yang lepas sepatutnya ditutup dan disimpan.
Bukannya dibuka dan dipersoalkan. Redhalah dengan segala yang berlaku, insyaAllah
ketenangan milik kamu.
Entah di mana aku jumpa ayat-ayat itu. Yang pasti aku sukakannya kerana ia
memberi motivasi kepadaku untuk menghadapi apa jua dugaan yang Allah berikan. Ya, aku
redha dengan ketentuanMu. Luka di hati telah kering, tetapi parutnya masih ada.
Alhamdulillah, Allah memudahkan urusanku. Atas cadangan rakan kongsiku Haziq,
kami memulakan perniagaan chalet bulan madu ekslusif yang kami namakan Villa
Mahabbah. Aku serahkan urusan syarikat hiasan dalaman kepada Haziq dan tumpukan
perhatian kepada tempat ini. Tempat ini sangat unik kerana kami hanya menyediakan
percutian berbulan madu. Setelah dua tahun beroperasi, pentadbiran harian Villa Mahabbah
kami serahkan kepada Talib, pengurus yang telah aku latih dan sememangnya dia sangat
boleh diharapkan. Aku cuma datang dua minggu sekali untuk memeriksa dan menyemak apa
yang perlu.
Tetapi kali ini aku terpaksa berlama di sini untuk memantau persiapan dan
menyambut ketibaan sepasang pengantin yang akan berbulan madu di resort ini. Bukan
sebarang pengantin, si suaminya kerabat DiRaja daripada sebuah negeri di utara
Semenanjung. Seluruh resort kecilku yang hanya memuatkan empat chalet ekslusif dan satu
unit spa ditempah oleh kerabat diraja tersebut. Satu chalet akan didiami oleh pasangan
pengantin baru selama dua malam, dua lagi untuk didiami oleh pegawai pengiring dan
pembantu peribadi manakala satu lagi dibiarkan kosong, tidak dibenarkan sesiapa menyewa
kerana pasangan pengantin mahukan privacy.
Petang Jumaat rombongan pengantin tiba. Alhamdulillah, sang putera ringkas
orangnya. Merendah diri dan tidak banyak kerenah. Cuma beberapa permintaan yang
terpaksa disiapkan seperti pengawal keselamatan yang perlu ditambah bilangannya, menu
sarapan pagi, dan makan malam yang ditukar untuk memenuhi citarasa pasangan pengantin,
serta ramuan rawatan spa yang juga ditukar menurut permintaan mereka. Semua permintaan
ini telah disiapkan dan diperiksa oleh pembantu sebelum ketibaan mereka. Berbaloi
menyiapkan semua ini kerana bayaran yang diberikan sangat lumayan.
Seperti yang diminta, malam pertama pasangan pengantin diraja bersantap di pantai di
kelilingi limpahan cahaya lilin. Kami hias indah gazebo yang telah terbina menghadap ke
laut. Lilin dinyalakan di sekeliling gazebo. Penggesek biola yang aku bawa khas dari Kuala
Terengganu mengalunkan lagu-lagu cinta yang ditujukan khas oleh sang putera kepada
isterinya. Dari jauh aku melihat suasana indah penuh romantis itu. Terserlah kegembiraan di
wajah si isteri.
Untuk malam kedua, Tengku Asyraf mahukan sesuatu yang lebih santai. Maka kami
hamparkan sekeping permaidani berbulu tebal di atas pasir. Kami letakkan bantal-bantal kecil
di sekeliling permaidani. Sebuah meja kecil diletakkan di tengah-tengah permaidani dan di
atasnya terhidang makanan Arab yang diminati isteri Tengku. Pasangan pengantin
menikmati makan malam secara bersila ditemani bunyi ombak menghempas pantai dan
disaksikan bintang-bintang di langit yang cerah tidak berawan. Angin bertiup lembut,
membuai-buai cahaya dari pelita yang kami pasang di kiri dan kanan permaidani.
Aku bersyukur kerana segala yang kami sediakan memenuhi kehendak Tengku
Asyraf. Beliau dan isterinya sungguh gembira dan terpancar kegembiraan dan kebahagiaan
mereka ketika berbual ringkas denganku sebelum check-out. Mereka akan menyambung
bulan madu mereka di Pulau Redang.
“Thank you Zack, we had good time. My wife and I are very pleased with your
arrangement”.
“Terima kasih Tengku. I hope you share this experience with your friends”.
“ Of course, I akan cadangkan tempat ini kepada kawan-kawan. Thank you to all your
staff too for this special arrangement” katanya sambil menghulur tangan. Aku sambut
jabatnya dengan bisikan Alhamdulillah di dalam hati.
“Sampaikan salam saya kepada isteri awak” kata isterinya pula. Aku mengangguk
sambil tersenyum, rasanya tidak perlu memaklumkan bahawa aku sebenarnya masih solo.
Kemudian menghantar mereka hingga ke kereta.
Keletihan mula terasa sebaik sahaja badan ku rebahkan di atas sofa di dalam pejabat. Sudah
empat malam sofa itu menjadi alas tidurku. Aku bercadang melelapkan mata seketika
sebelum pulang. Talib dan pekerja yang lain meninggalkan aku untuk mengemas chalet yang
telah dikosongkan.
Entah berapa lama aku tidur. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh suara Talib. Katanya ada
orang ingin berjumpaku. Aku bangun menuju ke bilik air dan mencuci muka. Setelah muka
dikeringkan, aku keluar ke kaunter.
Satu wajah yang sangat aku kenali tersenyum kepadaku. Betulkah apa yang aku lihat?
Jika betul, mengapa dia berada di sini?
“Zack, how are you?”
Sepi. Aku masih ragu-ragu. Ku renung wajahnya. Masih sama. Senyumannya tetap
menawan. Badannya kekal langsing dan rambutnya menari-nari dihembus angin petang
yang bertiup manja.
“Zack, takkan dah tak kenal I kot” ujarnya sambil melentok manja. Gelagatnya masih
tidak berubah, tetap seperti dahulu.
Talib yang sedari tadi hanya memandang sepi akhirnya bersuara, menyuruh aku
membawa dia masuk ke pejabat. Namun aku keluar, tidak mahu bicara kami nanti didengari
oleh pekerjaku.
“You dah kurus sikit ya,” katanya sebaik sahaja kami duduk di atas lantai gazebo.
Aku pastikan jarak antara kami agak jauh, tidak mahu menimbulkan syak wasangka.
Ungkapannya tidak ku jawab. Sebetulnya aku tidak tahu apa yang hendak diucapkan.
Kehadirannya terlalu mendadak.
“I jumpa Fina di airport. Dia yang bagi tau tentang tempat ni. Kebetulan tadi I dari
rumah kawan, so I singgah. Tak sangka you ada di sini. Seronok dapat jumpa you.” Oh
begitu, hanya kebetulan. Satu perasaan lega menyelinap di hati.
“Bila you balik?”
“Baru sampai dua hari.”
“Husband you tak ikut?” aku tahu dia sudah bercerai, tetapi sengaja buat tidak tahu.
“We have separated” ringkas jawapannya. Wajahnya masih selamba, tiada riak
kesedihan langsung.
“I am sorry” aku menghulur simpati, namun hati masih tidak pasti apa sebenarnya
yang aku rasakan.
“It’s ok. I have no regrets. Buat apa kahwin kalau tak bahagia” mudah dia
meluahkan bicara. Tangannya menguis rambut yang menyapu pipinya. Seperti dulu, dia
sentiasa yakin. Dan kini kelihatan semakin matang.
“Berapa lama di sini?”
“Sekejap je. My cousin kahwin next week. Ingat tak cousin I, Syafwan? Dah nak
kahwin dah budak tu,” katanya sambil tergelak kecil. Entah apa yang melucukan baginya,
dan aku tidak ingat yang mana satu Safwan.
“I nak balik KL. Next week Khamis balik kampung and then Sabtu malam will fly
back to Perth.” Dia menerangkan tanpa aku meminta. Dari kejauhan aku melihat seorang
lelaki berjalan ke arah kami. Ratna juga melihat ke arah lelaki itu. Dia bingkas bangun.
“I pergi dulu Zack,” katanya sambil mengangkat tangan kepada lelaki tersebut.
Sepantas dia muncul, sepantas itu juga dia pergi. Aku hanya memandang dia pergi dengan
fikiran yang kosong.
“Wah, cun la makwe tu bos,” tegur Apit, pekerjaku yang berjawatan penyelia. Apit
baru habis memerika chalet yang telah dikemas.
“Budak tengah naik macam ni lah bos, pantang nampak awek cun” si Talib
menyampuk.
Aku senyum sumbing. Tak tau apa nak dikatakan. Tetapi memang betul, Ratna
masih jelita. Senyumannya tetap menawan dan lenggok tubuhnya tetap menggoda, masih
seperti dulu. Namun hati ini, parut yang masih tinggal belum kering sepenuhnya.
Aku jeling sekilas jam di tangan. Sudah jam enam petang. Aku belum bersolat asar.
Kalau mengikut rancangan awal, aku sepatutnya bertolak jam empat dan akan sampai ke
rumah jam sembilan malam.
“Balik esok ajelah bos, rehat kat sini dulu… boleh belanja kami makan malam ni”
Apit berkata, bagaikan dapat membaca fikiranku.

No comments:

Post a Comment