“PERTANDINGAN
MEMASAK bermula sekarang. Ingat, ini Islamic
Survival, tidak ada satu kumpulan pun dibenarkan menggunakan alatan moden.
Soal rasa letak nombor dua, saya nak tengok bagaimana kebijaksanaan awak semua
memasak jika berada di dalam hutan tanpa ada kuali dan periuk.” Suara Ustaz
Mustakim memecah kesunyian.
Semua peserta hanya menganggukkan kepala
tanda faham. Tidak kurang juga ada yang memikir cara untuk memasak tanpa
mengunakan kuali dan periuk.
“Okey, kamu semua boleh memasak
sekarang! Hanya dua jam masa diberi!” laung Ustaz Mustakim lagi.
Lantas, semua pelajar bertungkus-lumus
menyiapkan peralatan untuk memasak. Azeeza hanya memandang barang-barang di
hadapannya. Aku nak masak apa ni? Soal hati Azeeza sambil menggarukan kepala.
“Kita nak masak apa ni, Zeeza?” soal
Mimie yang duduk di sebelahnya.
“Saya pun tak tahu. Barang-barang yang
ada dengan kita cuma serbuk kunyit, serbuk lada hitam, minyak, garam, gula,
kentang, ayam dan cili kering.” Ujar Azeeza.
“Kita bakar ayam ajelah, Zeeza. Kentang
tu pun kita boleh bakar.” Cadang Amy.
Azeeza tersenyum. Dia menganggukkan
kepala.
“Betul tu. Kita boleh perap ayam gunakan
serbuk kunyit. Alliminium foil pun
ada ni. Kita boleh gunakan juga untuk bakar kentang. Cuma masalah sekarang,
macam mana nak masak? Siapa nak hidupkan api?” soal Azeeza lagi.
Dia memandang rakan sekumpulannya yang
lain. Wajah Qaiser tidak kelihatan.
“Budak lelaki takkan tak boleh hidupkan
api kut?” Soal Amy.
“Boleh tu memang boleh tapi nak hidupkan
api guna apa? Bukannya ada lighter.”
Jawab Razlan.
Mereka mengeluh hampa. Hafiz dan Firdaus
cuba menghidupkan menggunakan batu tetapi semuanya tidak menjadi kerana semua
batu basah disebabkan hujan malam semalam.
“Gunalah benda ni.” Sampuk satu suara
membuatkan mereka berpaling.
Qaiser mencampakkan pemetik api di
tengah-tengah kumpulan mereka. Azeeza tersentak. Pantas saja pandangannya
tertuju pada Qaiser.
“Kau merokok ke?” soalnya spontan. Tajam
matanya memandang Qaiser.
Qaiser tersenyum sinis. Dia mendekati
Razlan yang sudah bersedia untuk menghidupkan api.
“Bukan urusan kau!” balas Qaiser dingin.
Azeeza mencebik. Dia menjeling sebelum
memulakan proses untuk memerap ayam. Dibiarkan saja pelajar-pelajar lelaki
menghidupkan api sedangkan pelajar perempuan menyediakan bahan untuk memasak.
“Awak pandai memasak, Zeeza?” soal Mimie
sambil membantu Azeeza memerap ayam di dalam aluminium foil.
Azeeza hanya mampu tersenyum manis.
“Pandai tu taklah sangat tapi tahulah
sikit-sikit sebab kat rumah memang saya yang memasak.” Jawab Azeeza jujur.
Semenjak ditinggalkan oleh ibu dan
ayahnya, Azeeza terpaksa belajar untuk hidup berdikari tanpa mengharapkan
bantuan sesiapa. Dia tidak memerlukan simpati sesiapa pun kerana bagi Azeeza
simpati akan melemahkannya sedangkan dia masih tegar untuk menghadapi ujian
yang diberikan.
“Auwww!”
Azeeza terjerit kecil apabila jarinya tertusuk tulang ayam yang tajam. Berkerut
dahinya menahan pedih.
“Kenapa dengan awak, Zeeza?” soal Mimie
pelik.
Azeeza merenjis-renjis tangannya.
Kelihatan darah mula keluar dari celah kukunya yang tertusuk tulang ayam. Dia
meniup kukunya yang terasa pedih.
“Kuku saya tertusuk tulang ayam. Awak
tolong perapkan boleh? Saya nak pergi cuci luka dulu.” Ujar Azeeza kemudian
bangun apabila melihat anggukan daripada Mimie.
Dia menuju ke paip yang telah tersedia
yang agak jauh dari kumpulannya. Paip air dibuka dan dia mencuci tangannya
perlahan-lahan. Rasa pedih ditahan sekuat hati. Apalah sangat rasa pedih luka
kecil ini jika dibandingkan kepedihan dan keperitan hidup yang dilaluinya
selama ini.
“Alamak, lupa nak bawak kain!” keluh
Azeeza apabila menyedari tiada kain bersih yang boleh digunakan untuk mengelap
tangannya.
Bukk!
Terasa mukanya dicampakkan sesuatu.
Terdorong tubuh Azeeza ke belakang akibat terkejut. Dia menyentuh benda kesat
yang melekat di wajahnya. Sehelai tuala kecil jatuh terlurut di tangannya.
Pantas, Azeeza mengangkat muka. Terkebil-kebil matanya apabila kelihatan
sepasang mata sedang merenung ke arahnya.
“Kau nak curi tulang, ya?” soal Qaiser
sambil tangannya kemas berada di dalam poket seluar sukan yang dipakainya.
“Curi tulang apanya? Aku nak cuci luka
jari aku ni, hah.” Ucap Azeeza sambil menunjuk jarinya yang terluka.
Qaiser mencebik. Namun, matanya
mengerling ke arah tangan Azeeza. Apabila Azeeza mengangkat muka, cepat-cepat
pandangannya dialihkan ke tempat lain.
“Alah, sikit aje. Manja je lebih kau ni.
Cakaplah kau ni pemalas. Semua kerja nak suruh orang lain buat.” Sindir Qaiser
lagi.
Azeeza memandang Qaiser dengan tajam.
Sakit betul hatinya dengan kata-kata Qaiser. Siapa yang pemalas sekarang ni?
Aku atau dia? Bentak hati Azeeza. Kalau diikutkan hati aku, memang aku panggang
mamat ni. Detik hati Azeeza lagi.
“Kalau kau ni rajin sangat, kenapa kau
ada dekat sini? Kenapa tak jaga kumpulan kita tu?” soal Azeeza dengan hati yang
membengkak.
Qaiser terdiam seketika. Dia menelan air
liur. Anak matanya meliar memandang sekeliling. Dia menjilat bibir yang terasa
kering.
“Aku cuma nak pastikan yang kau tu tak
curi tulang!” jawab Qaiser penuh yakin. Intonasi suaranya sengaja ditinggikan.
Azeeza mencebik.
“Ke kau takut aku hilang lagi?” soal
Azeeza sambil tersenyum sumbing. Anak matanya tepat memanah anak mata Qaiser.
Qaiser mula tidak senang duduk. Soalan
Azeeza seolah-olah mencekik lehernya sendiri. Dahinya sudah berpeluh malah
jantungnya sudah berdetak tidak menentu. Dia sendiri tidak tahu mengapa begini
reaksi tubuhnya jika berhadapan dengan Azeeza.
“Aku takut? Huh! Aku lagi bersyukur kalau
kau hilang!” balas Qaiser.
“Kalau macam tu, kenapa cari aku
semalam?” soal Azeeza lagi.
Qaiser terus kehilangan kata. Pandangan
anak mata hitam itu menikam terus ke hatinya. Apa aku nak jawab ni? Soal
hatinya. Gugup.
“Aku tahu kau cari aku sebab kau takut
ustaz marah kan? Kalau diberi pilihan mesti kau nak tengok aku mati kan? Tapi
apa-apa pun aku tetap nak ucapkan terima kasih pada kau sebab dah selamatkan
aku walaupun aku tahu kau terpaksa. Sebagai balasan budi kau, aku janji aku
takkan ganggu lagi hidup kau selepas ni.” sambungAzeeza sepenuh hati.
Qaiser terpanar seketika. Dia berdiri
sambil berpeluk tubuh. Wajah Azeeza dipandang lama. Gadis itu memang tidak
cantik, kulit pun hanya sawo matang tetapi wajah itu cukup manis untuk
dipandang.
“Huh, itu hanya janji kau. Tapi aku tak
boleh berjanji untuk tak ganggu hidup kau. Lagipun kenapa kau tak bagitahu
ustaz perkara yang sebenar? Takkan kau tak nak tahu siapa yang kenakan kau
semalam?” soal Qaiser. Perkara itulah yang kerap bermain dalam fikirannya.
Azeeza tersenyum nipis.
“Untuk apa aku adukan perkara ni pada
ustaz? Aku tak ada bukti. Aku tak ada saksi. Aku orang miskin Qai sedangkan kau
orang ada harta, ada duit. Kau orang boleh beli segalanya. Aku? Aku tak ada
apa-apa, Qai. Cukuplah nyawa aku selamat sebab hanya itu yang aku perlukan
untuk meneruskan kehidupan aku. Nyawa amat berharga bagi aku bukan untuk aku
tapi untuk adik aku. Kalau aku tak boleh hidup senang, biarlah adik aku tak
rasa kesusahan yang aku alami. Tapi kau orang kaya, kau tak tahu semua tu. Jadi
tak perlulah kau besarkan hal semalam. Itu harga yang perlu aku bayar untuk
hidup dalam kalangan orang kaya seperti kau.” Ucap Azeeza dengan suara yang
lirih. Dadanya dirundung sebak secara tiba-tiba.
Tiba-tiba dia teringat akan Fatma. Wajah
lembut adiknya itulah yang menguatkan semangat Azeeza untuk meneruskan
kehidupan. Lalu, Azeeza berpaling. Jari runcingnya menyeka air yang mula
bergenang di kelopak mata.
Qaiser terkelu mendengar kata-kata
Azeeza. Kata-kata yang cukup menyentuh hati lelakinya. Dia mengetap bibir.
Bukan dia tidak tahu kesusahan yang dialami oleh Azeeza malah dulu dia salah
seorang penyebab kesusahan Azeeza. Kini, dia mengerti akan kesusahan yang
dikatakan oleh Azeeza. Terpaksa belajar dan bekerja demi menyara keluarganya. Masih
adakah gadis sekarang yang sanggup berkorban sejauh itu? Fikir Qaiser.
‘Jangan pernah putus asa dengan hidup,
Azeeza.’ Ucap Qaiser cuma dalam hati.
Langkah Azeeza terhenti seketika.
Terdengar satu bisikan halus yang menghembus di telinganya. Pantas, Azeeza
menoleh. Kelihatan Qaiser masih lagi memandang ke arahnya. Spontan, bibirnya
mengukir senyuman manis. Tindakan tanpa sedarnya.
Terkebil-kebil Qaiser melihat senyuman
Azeeza yang manis. Hatinya mula berdenyut. Hah, parah dah aku ni! Detik
hatinya.
“KALAU
KAMU semua tersesat dalam hutan, bagaimana kamu nak tentukan arah kiblat?”
soalan daripada Ustaz Mustakim membuatkan para pelajar terdiam.
Ustaz Mustakim memandang pelajar-
pelajarnya yang terlibat dalam kem ibadah itu satu persatu. Kesemuanya hanya mendiamkan
diri. Dia tersenyum. Sesi tazkirah petang ini kelihatan tenang ditambah dengan
bayu yang lembut meniup diri mereka.
“Ada sesiapa nak jawab tak?” soal Ustaz
Mustakim lagi.
“Dengan melihat matahari terbenam, boleh
juga kan ustaz?” kedengaran suara Azeeza memecah kesunyian.
Pandangan Ustaz Mustakim beralih pada
Azeeza. Dia tersenyum nipis.
“Boleh diterima. Kita boleh memerhatikan
arah matahari terbit dan terbenam. Arah terbit ialah sebelah timur dan arah
terbenam pada sebelah barat. Sebelah barat adalah arah kedudukan Mekah secara
rawak dan ia boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat. Kalau waktu
malam pula, kita boleh gunakan bintang sebagai penunjuk arah…” terang Ustaz
Mustakim.
“Macam mana bintang boleh tunjukkan
arah, Ustaz? Kat atas langit tu ada berjuta bintang.” Sahut Izz yang duduk di
bahagian hadapan.
“Kamu perhatikan berjuta bintang kat
angkasa tu dan cari bintang yang tiga sederet dalam bentuk buruj belatik. Tapi
kaedah ni memerlukan awak semua belajar tentang ilmu bintang.” Jawab Ustaz
Mustakim lagi.
“Tak ada cara yang lebih senang lagi ke
ustaz? Mana tahu kut-kut tersesat masa cari kayu api. Tak ke susah tu nak cari
jalan balik.” Sampuk Qaiser seakan memerli. Dia menjeling pada Azeeza yang
duduk di bahagian perempuan.
Ustaz Mustakim hanya tersenyum mendengar
kata-kata sindiran dari Qaiser. Bukan dia tidak tahu niat Qaiser semata-mata
untuk mengusik Azeeza yang sudah merenung tajam wajah Qaiser.
“Kalau dah tersesat, kena tunggu bantuan
ajelah sampai. Mana tahu ada hero yang datang selamat. Tak gitu, Qaiser?” gurau
Ustaz Mustakim
Qaiser hanya tersengih malu. Dia
menggosok hidungnya bagi menutup rasa malunya.
“Okey berbalik pada soalan asal. Kalau
kita memang tak ada langsung ilmu untuk tentukan arah kiblat andai kata kita tersesat dalam hutan, kita boleh
hadapkan di mana-mana tempat pun sebagai penentu arah kiblat. Apa yang penting
adalah hati. Kita perlu yakin dan bertawakal pada Allah agar solat kita
diterima oleh-Nya.” Ucap Ustaz Mustakim mengakhiri topiknya.
Semua pelajar hanya menganggukkan kepala
tanda faham. Ada yang tidak melepaskan peluang untuk mencatit segala ilmu yang
disampaikan oleh Ustaz Mustakim. Mungkin boleh digunakan suatu hari nanti. Cuma
Qaiser yang beriak selamba. Matanya seolah-olah tidak lepas dari memandang seraut
wajah tenang yang sedang sibuk mencatat sesuatu di buku notanya.
Tanpa Qaiser sedar, perbuatannya itu
disedari oleh Yasmin. Dari jauh Yasmin memerhatikan tingkah laku Qaiser dengan
hati yang membengkak. Rasa sakit hatinya masih terbalas walaupun dia berjaya
mengenakan Azeeza semalam tetapi tindakan Qaiser menyelamatkan Azeeza memang
tidak dapat diterima oleh akal Yasmin. Dia akan lakukan apa saja asalkan Qaiser
menjauh dari Azeeza. Dia tidak sukakan persaingan apatah lagi saingannya itu
tidak standing dirinya yang jauh lebih hebat.
No comments:
Post a Comment