DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 2



Aku pantas mencapai kunci keretaku.  Meloloskan diri ke dalam Suzuki Swift hitamku tanpa sempat memanaskan enjin kereta terlebih dahulu seperti yang biasa aku lakukan sebelum memulakan pemanduan.  Aku benar-benar sudah terlambat.  Jika diikutkan masa setengah jam yang diberikan Izyan, hanya berbaki lima belas minit lagi.  Dengan jarak rumah sewaku dan Kompleks Islam itu, aku tidak pasti sama ada aku sempat sampai atau tidak ke destinasiku itu.  Harap-harap jalan tidak jam seperti kebiasaannya.  Kalau jam juga, maka aku terpaksa bersila atas jalan sambil sapu jam atas rotilah jawabnya!
Aku terus memecut laju keretaku tetapi laju manalah aku boleh memandu di kawasan yang penuh dengan simpang dan lampu isyarat.  Aku terpaksa meredah tujuh lampu isyarat sebelum memasuki main road Skudai.  Mujurlah bertugas di hari sabtu.  Kalau hari-hari bekerja lain, jawabnya memang sejamlah baru boleh sampai ke destinasiku itu.
Tambah membuat hatiku panas apabila terpaksa bertunda dengan kereta yang pergerakannya selaju jentolak.  Malah, aku rasa jentolak pun lebih laju.  Aduhai…rasa macam aku nak pasang siren ambulan  saja.  Biar semua kenderaan ke tepi untuk beri laluan kepadaku.  Ikut kepala sengalku, mahu saja aku honkan kereta yang bergerak mengalahkan kura-kura itu, tapi mujur aku masih lagi beriman.  Yelah, sabar itu kan separuh dari iman!
Aku sampai ke lampu isyarat ke tujuh iaitu lampu isyarat yang terakhir sebelum aku mula memasuki main road Skudai.   Kalau boleh, aku rasa nak terbang saja dengan Suzuki Swift hitamku itu.  Tak perlulah aku nak kena beratur panjang macam ni.  Bila dah terlambat macam ini, aku rasa dengan lampu isyarat pun aku nak naik angin.  Apataknya, menunggu dari merah bertukar hijau sikit punya lama, tapi bila dah hijau, tidak sampai sepuluh biji kereta bergerak, sudah merah kembali.  Memang lampu isyarat ni pun pandai nak derhaka pada aku.
Elok saja lampu isyarat bertukar hijau, telefon bimbitku pun berbunyi.  Sedari tadi, sikitlah punya lama aku menunggu, langsung dia tak berbunyi, tapi elok saja aku hendak bergerak, mulalah dia nak berdering.  Dalam keadaan aku yang getir ini, ikutkan hati memang aku malas nak menjawab panggilan telefon bimbitku itu, tetapi aku tidak boleh berbuat begitu kerana pada ketika itu, aku rasa semua orang di sana sedang keresahan akibat aku yang masih tidak muncul-muncul lagi.
Aku jeling sekilas ke skrin.  Seperti yang kujangka, Izyan yang menelefonku.  Aku tahu, selain aku sendiri, dialah orang yang paling resah sekarang ini.  Selaku penyelaras bagi majlis ini, sudah sewajarnya dia berperasaan begitu.  Tidak sampai pula hatiku untuk membiarkan sahaja panggilan itu.  Aku menjawab panggilan itu.
“Hello….”
“Hello….Wani!  Kau kat mana ni?”, suara Izyan sudah mula memetir.
“Aku on the waylah ni….”, jawabku malas.
“Aku tahulah on the way…tapi kau dah sampai mana?”
“Taman Ungku Tun Aminah….”
“Baru sampai Taman Ungku Tun Aminah?  Ya Allah….kenapa lambat sangat?”, marah Izyan lagi.
“Ini dah habis cepatlah ni….kau tahulah kat area nikan sibuk…”
“Dah tahu sibuk, bangun lambat lagi!”
“Terbangun lambat ok…”
Aku tiba-tiba sahaja tidak dapat memberikan tumpuan kepada perbualan setelah melihat semua kenderaan mula bergerak perlahan.
“Apahal pulak ni?”, keluhku.
“Kenapa pulak?”, soal Izyan setelah mendengar keluhanku.
“Aku tengah drivelah.  Kau tunggu ajelah.  Insyallah aku boleh sampai sebelum setengah jam kau tu tamat…”, ujarku sambil terus mematikan talian.
Aku meninjau-ninjau ke hadapan untuk melihat apa yang berlaku.  Kenapa tiba-tiba pula boleh jam di kawasan ini.  Hatiku yang sudah sedia resah bertambah resah.  Kalau boleh aku hendak menjerit supaya semua kereta boleh bergerak lebih laju.
Sebaik sahaja aku pusing ke kanan, hatiku tiba-tiba berderau.  Jantung berdegup kencang.  Patutlah jam.  Ada road block polis trafik rupa-rupanya.  Aku tiba-tiba sahaja menggelabah setelah menyedari aku langsung tidak mengenakan tali pinggang keledar dan tambah merisaukan aku adalah, bertelefon ketika sedang memandu.  Habislah aku!  Spontan aku menarik dan memasang tali pinggang keledar. 
Ada lebih kurang lima buah kereta di hadapanku yang sedang beratur untuk menunggu giliran diperiksa.  Di hadapan sana pula kelihatan beberapa orang polis trafik yang dari jauh nampak sungguh segak dengan uniform mereka.  Kelihatan beberapa orang polis trafik sedang memeriksa setiap kenderaan yang lalu di situ.  Beberapa buah kereta yang kurang bernasib baik, kulihat telah diarah berhenti di tepi jalan.  Dari jauh aku dapat melihat dua orang anggota polis sedang menulis saman. 
Aku pun mulalah nak naik angin lagi.  Polis trafik ni pun satu hal juga.  Kenapalah time-time busy  waktu pagi macam ni nak buat road block  pulak!  Tak sesuai langsung.  Buatlah waktu malam ke atau pun waktu cuti.  Kenapa mesti nak buat waktu hari bekerja yang sudah sememangnya sedia sibuk.  Aku rasa bukan aku sahaja yang naik angin, malah pemandu-pemandu kenderaan lain pun pasti menyumpah seranah.
Semakin aku hampir dengan kawasan road block itu, hatiku semakin berdebar-debar.  Bimbang jika aku ditahan dan jika aku ditahan bermakna aku pasti semakin lewat untuk sampai ke destinasiku.  Dalam masa yang sama, aku cuba meyakinkan diriku sendiri.  Aku berharap polis-polis trafik itu tidak nampak aku menggunakan telefon bimbitku tadi dan aku sekarang sudah pun mengenakan tali pinggang keledar.  Jadi, tiada sebab untuk aku ditahan.
Perasaan takutku rupa-rupanya menjadi kenyataan apabila aku benar-benar ditahan salah seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas.  Dari jauh aku sudah nampak dia merenung semacam ke arah nombor keretaku dan sebaik sahaja aku melewatinya, dia melambai-lambaikan tangannya mengarahkan aku memberhentikan kereta di bahu jalan.
Aduh!  Habislah aku.  Aku memang sudah tidak boleh berbuat apa-apa.  Aku memejamkan mata seketika sementara menunggu polis trafik yang menahanku tadi sampai ke keretaku.  Jika benar aku akan disaman, aku harap biarlah polis trafik yang handsome yang menyaman aku.  Sehandsome Lee Min Ho.  Sekurang-kurangnya hatiku yang sakit akibat disaman, akan terubat dengan kekacakan wajah polis trafik yang akan meminta autografku sebentar lagi.
Tok! Tok!
Cermin keretaku diketuk beberapa kali.
Aku menurunkan cermin tingkapku.  Mataku yang kupejam seketika tadi, kubuka perlahan-lahan dengan harapan polis trafik yang tinggi lampai dan kacak seperti Lee Min Ho sedang berdiri di hadapanku.  Sebaik sahaja mataku buka, aku rasa seperti hendak pejamkan mataku semula.  Tidak sanggup rasanya hendak berhadapan dengan seorang polis trafik yang boroi dan berwajah garang.  Penampilannya memang sungguh jauh dari imaginasi dasyatku.
“Assalamualaikum cik…..”, polis trafik boroi itu memberi salam.
Amboi!  Sopannya.  Aku ingatkan dia nak sergah marahkan aku.  Di name tagnya tertulis nama Selamat.  Hmmm….memang selamatlah aku jawabnya!
“Wa…waalaikumsalam….”, tergagap pula aku akibat kegugupan.
“Tolong bagi ic dan lesen memandu cik…”, arah Encik Selamat lagi.
“Err…nak buat apa ye Encik Selamat?”, soalku buat-buat bodoh.  Nama selamat itu sengaja kutekan sedikit.  Dia memandangku agak pelik.  Mungkin pelik sebab aku menyebut rnamanya penuh.
“Cik didapati telah melanggar undang-undang….”
“Langgar undang-undang?  Apa yang saya dah buat?”, aku semakin berani untuk cuba memanipulasi polis trafik itu.
“Cik telah melakukan kesalahan.  Pertama, tidak memakai tali pinggang keledar dan kedua menggunakan telefon bimbit ketika sedang memandu….”, terangnya dengan nada masih terkawal.
Alamak!  Macam mana dia tahu aku bertelefon tadi.  Dia nampak ke?
“Encik Selamat….encik nampak tak saya dah pakai tali pinggang ni?”, soalku tidak mahu kalah.
“Biasalah….nampak polis baru tarik tali pinggang…..”, jawabnya selamba.
“Mana encik tahu?  Encik Selamat nampak ke saya tak pakai tali pinggang keledar ni tadi?  Lagi satu apa bukti encik mengatakan saya bertelefon ketika memandu.  Encik Selamat nampak ke?  Macam mana encik boleh nampak sedangkan encik cuma berdiri di sini saja.  Kat mana encik nampak saya bercakap di telefon?”, betahku.
Aku lihat wajah Encik Selamat sudah mula bertukar riak.  Kelihatan tegang dan tidak setenang tadi.  Mungkin dia bengang dengan soal jawab aku yang tidak berkesudahan sedangkan dari awal lagi dia meminta aku menyerahkan kad pengenalan dan lesen memanduku tetapi aku masih tidak menyerahkannya.  Wajahnya yang memang sedia garang, kulihat sudah berubah menjadi singa.  Misainya yang melintang itu pun sudah mula terjongket.  Tidak ubah seperti misai pelakon gerak khas, A. Galak.
“Baik…kalau cik nakkan bukti, sila serahkan telefon bimbit cik pada saya!”, arahnya tegas.
“Eh, kenapa pulak saya nak kena serahkan handfone saya?  Mana boleh?  Ini dah melanggar privacy saya!”, aku masih tidak mahu kalah.
“Cik…tolong beri kerjasama….kalau tak…”
“Kalau tak apa?”, potongku berani. 
Entah semangat apa yang telah menyerap ke dalam diriku pagi ini sehingga aku boleh seberani ini bersoal jawab dengan seorang anggota polis trafik yang sedang menahanku walaupun aku tahu memang aku telah melakukan kesalahan yang disebutkan itu dan aku juga sudah terlewat.  Mungkin semangat City Hunter Lee Min Ho yang ku tonton malam tadi telah menyerap ke dalam diriku.
“Cik boleh didakwa kerana cuba menghalang tugas polis!!”, jerkahnya dengan begitu kuat sehingga mataku hampir terpejam mendengar suara halilintarnya.
Dari cermin sisi dan cermin pandang belakang keretaku, aku dapat melihat semua anggota polis trafik yang sedang bertugas menoleh ke arah kami serentak.  Mungkin pelik bila terdengar jeritan rakan setugas mereka.  Beberapa orang pemandu kereta yang disaman juga menoleh ke arahku.  Dari jauh aku nampak seorang lagi anggota polis trafik datang menghampiriku.
Hah!  Yang ini baru kena dengan selera dan imaginasiku.  Cara dia melangkah cukup gagah.  Orangnya tinggi lampai setinggi Lee Min Ho.  Cuma badannya lebih tegap berbanding dengan susuk tubuh Lee Min Ho yang agak kering melidi dan melengkung itu.
“Apa hal ni?”, soalnya sambil silih berganti memandangku dan Encik Selamat.
Sebaik sahaja polis trafik itu menyoalku dan Encik Selamat, kudapati Encik Selamat memberi tabik hormat kepadanya.  Mungkin pangkatnya lebih tinggi dari Encik Selamat.  Dari gaya Encik Selamat memberi tabik hormat, aku dapat rasakan dia adalah seorang pegawai.  Aku?  Aku pulak dengan mata yang tidak berkelip merenung ke wajahnya yang kacak berkaca mata hitam.  Aku benar-benar terpegun hinggakan aku terlupa yang aku memang sudah kesuntukan masa.  Sempat pula aku melihat tanda namanya.  Irfan Wafiy.
Pheeewitttt!!…..sedapnya nama.  Sehandsome orangnya.
Aku tersedar dari lamunanku apabila terdengar Irfan Wafiy…err maksud aku Encik Irfan Wafiy bertanya kepadaku setelah mendengar penjelasan panjang lebar dari anggotanya tadi.
“Ya cik….apa masalah cik?”, soalnya tenang.  Nampaknya dia telah mengambilalih tugas anggota bawahannya tadi.
Kalau tadi mulutku bagaikan bertih jagung yang tidak berhenti bercakap dan bersoal jawab, tetapi entah kenapa aku telah bertukar menjadi seorang gadis ayu yang pendiam.  Melihat aku yang tiba-tiba menjadi bisu, dia terus bertanya lagi.
“Cik tahu tak kenapa cik ditahan?  Bila cik ditahan, bermakna memang cik ada melakukan kesalahan kerana polis trafik tidak akan sewenang-wenangnya menahan pemandu yang tidak bersalah.  Cik tanya tadi kan macam mana anggota saya tahu yang cik tidak memakai tali pinggang keledar dan bercakap menggunakan handphone semasa memandu?  Kami ada meletakkan seorang anggota polis trafik di bawah fly over tadi….dan cik mungkin tidak nampak kerana dia memang sengaja menyorokkan dirinya dari dilihat oleh pemandu-pemandu lain.  Itu caranya kami untuk mengesan pemandu-pemandu yang sengaja melanggar peraturan jalan raya.  Jadi, cik dah jelas sekarang kenapa cik ditahan?”, soalnya setelah menerangkan kepadaku panjang lebar.
Entah kenapa, aku rasa cukup seronok mendengar ceramahnya tadi.  Terasa seperti ingin terus mendengar ceramah percumanya itu.  Apa yang pelik, aku langsung tidak mampu untuk bersoal jawab seperti yang kulakukan tadi.
“Berikan saya ic, lesen memandu dan juga telefon bimbit cik….”, arahnya tegas,
Aku seperti dipukau, terus sahaja menyerahkan apa yang dipintanya tanpa banyak soal.
Dia mengambil kad pengenalan, lesen memandu dan telefon bimbit yang kuhulurkan.  Sebaik sahaja dia menyambutnya, dia tidak terus menulis saman seperti yang biasa dilakukan oleh polis-polis trafik lain apabila mereka hendak menyaman pemandu.  Sebaliknya, dia sibuk membelek telefon bimbitku.  Seketika, aku terdengar bunyi deringan telefon bimbitnya, tetapi hanya sekali berbunyi dan terus mati.  Kemudian dia menunjukkan kepadaku telefon bimbitku.
“Betul tak awak ada menerima panggilan dari cik Yam pukul 7.45 pagi tadi?”, soalnya sambil menyuakan telefon bimbitku ke arahku.  Dia menunjukkan senarai panggilan dari telefon bimbitku.
Tanpa sengaja, dengan spontan aku tergelak mendengar dia menyebut cik Yam kerana memang aku sengaja meletakkan nama rakanku, Izyan sebagai cik Yam kerana sikapnya yang ketika bercakap tidak ubah seperti meriam.  Cukup kuat hingga boleh memekakkan telinga.
“Kenapa awak ketawa?  Apa yang lucunya?  Awak masih tidak mahu mengaku menerima panggilan tadi?”, soalnya agak keras setelah melihat aku tergelak sebentar tadi.  Mungkin rasa tercabar dengan tindakanku yang seolah-olah ingin mempersendakan tugasnya.
“Err…tak ada apa-apa.  Oklah…saya dah lambat ni.  Mana surat samannya?”, soalku selamba setelah berjaya menahan gelakku.
Dia merenungku tajam.  Walaupun dia mengenakan cermin mata hitam, tapi aku masih dapat melihat anak matanya merenung tajam ke arahku.  Mungkin pelik dengan sikapku yang tidak banyak bersoal jawab seperti tadi, sebaliknya terus meminta surat saman pula.
“Cik tak nak minta kurang ke?  Sebabnya cik melakukan dua kesalahan yang kedua-duanya boleh didenda maksimum RM300 setiap satu?”, soalnya seolah ingin tawar menawar denganku.
“Alah….apalah sangat RM300 tu?”, jawabku selamba a.k.a berlagak.
Correction!  Bukan RM300 tapi RM600….”, jawabnya pula sambil menghadiahkan aku senyuman sinisnya.
Gulp!  RM600?  Matilah aku bulan ni!
“Tapi….oleh kerana mood saya sangat baik pagi ni, saya bagi diskaun 50%....so, saya bagi RM300 saja….”, tambahnya lagi yang masih dengan senyuman sinisnya itu.
Aku melihat dia menulis pada surat saman.  Seketika kemudian, dihulurkan kepadaku untuk aku tandatangani.  Selepas aku memberikan autograf yang lengkap dengan lukisan hati di sebelah tandatanganku, aku menyerahkan kepadanya semula. 
“Lain kali jangan cuba nak tunjuk keras kepala bila ditahan macam ni.  Kalau kena dengan caranya, mungkin cik boleh dimaafkan.  Baik-baik perlu bayar minimum saja, tapi disebabkan mulut cik yang terlebih peramah tadi, terpaksalah cik bayar yang maksimum…”, dia mengoyakkan surat saman itu dan menyerahkan kepadaku sambil menanggalkan cermin mata hitamnya dan mengenyitkan matanya kepadaku.  Dia terus melangkah gagah meninggalkan aku yang terkulat-kulat memandangnya.
Aku terkesima.  Telefon bimbit yang berbunyi kujawab sambil mataku masih tidak lepas memerhatikan gerak langkahnya meninggalkanku.
“Wani!!!!!”
Oh, mak kau!  Aku termelatah akibat terkejut dengar suara jeritan cik Yam.
Klik!  Aku matikan panggilan itu dan terus memecut laju meninggalkan kawasan yang juga telah menderhaka kepada aku.









No comments:

Post a Comment