DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 8



Ikan koi yang riang berenang dipandang kosong.  Dedak di tangan sepatutnya untuk dimakan ikan, tetapi Samirah leka melayan perasaan sehingga terlupa membaling dedak ke dalam kolam.  Dan dia juga tak sedar sebiji-sebiji dedak melurut dari tapak tangannya.  Kesian ikan koi dalam kolam, berekor-ekor merebut dedak yang jatuhnya sebiji-sebiji, bukan segenggam-seggenggam.  Perbualan di antara dirinya dan Irsyad Rifqi menerpa semula ke mindanya, melarikan ingatannya dari mama.

“Awak kata kita boleh berkawan, tapi kenapa tak mau keluar dengan saya?”

Samirah diam.  Sengaja dia tidak mahu keluar dengan Irsyad Rifqi.  Biarkan si jejaka resah.  Baru dia tahu sama ada Irsyad Rifqi serius atau main-main.

“Samira… masa dalam penerbangan kita berbual panjang.  Saya seronok.  Rasa macam dah lama kenal awak.”

Hai, ini bukan sesi temuduga.  Ini sesi meluahkan perasaan, bisik Samirah di dalam hati.  Irsyad Rifqi di depannya memandangnya tanpa berkelip. 

“Awak ingat tak masa dalam flight, saya ada kata kalau awak nak kerja, boleh kerja di pejabat saya?”

Samirah mengangguk.

“Jadi tak salah kan saya panggil awak temuduga hari ini?”

“Irsyad… urrp… sorry  Encik Rifqi…”

“It’s okey.  I love the way you call me Irsyad. No other girl has called me Irsyad, the way you do.”

Dada Samirah dilanda taufan lagi.  Berdegup-degup jantungnya.  Ish, kenapa ni Ira?  Takkan kau dah tersyok kat mamat rambut pacak ni?  Kan papa kata jangan mudah terpedaya dengan kata manis lelaki.  Samirah berbicara sendiri.

“Saya nak awak ambil saya bekerja kerana bakat dan kebolehan saya, bukan…”  Samirah menelan liur.  Betulkah apa yang aku akan cakap ni?  Hatinya bertanya.  “Bukan kerana perasaan awak terhadap saya.”

Irsyad Rifqi tersenyum.  She’s very confident… and straight to the point, kata hatinya. 

“Bila pula saya ada perasaan terhadap awak?  Kan kita kawan biasa saja?”

Wajah diangkat.  Muka Samirah yang cerah sudah bertukar merah.  Pipinya terasa membahang.  Alamak!  Mesti dia ingat aku perasan.  Hatinya berbicara, sambil matanya dialihkan dari wajah Irsyad Rifqi.  Hilang rasa malu, timbul rasa bengang.

“Baguslah kalau awak anggap saya sebagai kawan biasa saja.  Saya pun anggap awak macam tu.  Orang macam saya, tentu tak layak jadi kawan istimewa awak… kan?”

Irsyad Rifqi menggeleng.  “Gadis istimewa seperti awak, selayaknya mendapat tempat yang lebih istimewa dalam hidup saya.  Bukan sekadar kawan istimewa, tapi…”

Sengaja tidak dihabiskan ayat itu.  Wajah Samirah direnung, menanti saat mata Samirah naik.  Lima saat berlalu.  Samirah sudah tidak tentu hala, dadanya diulit irama k-pop rancak yang berdentam dentum.  Akhirnya wajah Irsyad ditenung.  Dua pasang mata berpaut pandangan. 

“Irsyad, I have to go.”  Tanpa menanti ayat itu dihabiskan Samirah bangun dan cepat-cepat menuju ke pintu.  Debaran yang melanda dadanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.  Pantas kakinya melangkah, bukan menuju ke lif sebaliknya pergi ke arah bilik air.  Masuk ke dalam bilik air, tubuhnya disandarkan ke dinding.  Tangannya memegang dahi yang basah kerana peluh yang keluar mengiringi debaran di dadanya. 

Oh my, oh my.  This is crazy.  Irsyad Rifqi, you are driving me crazy,” Samirah mengeluh.

 

 “Ira.”

Samirah berpaling ke arah datangnya suara.  Fikiran yang tadi menerawang di sekitar Irsyad Rifqi kembali ke realiti. Baharin mara merapati anak gadisnya.  

“Bila papa balik?”

Baharin tersenyum.  “Baru tadi.  Apa yang dimenungkan sampai tak sedar papa dah balik?”

Samirah sekadar tersenyum.  Dedak di tangan dicampakkan ke dalam kolam.  Pantas ikan koi datang, berebut dedak yang baru jatuh.   Baharin melabuhkan punggung di sisi Samirah. 

“Macam mana interview tadi?”

“Okey.”  Sepatah jawapan Samirah. 

“Rasa-rasanya boleh dapat tak kerja tu?”

“Kalau ada rezeki Ira, dapatlah.”  Jawapan selamat diberikan kepada soalan papa.  Walhal bila-bila masa dia mahu, dia boleh mula bekerja dengan Irsyad Rifqi.  Samirah memandang wajah papanya.  Menular rasa simpati terhadap papa.  Bagaimanalah papa menghadapi saat getir kehilangan mama.  Papa tidak pernah menyuarakannya, tetapi Samirah tahu Papa masih menyayangi mama.

“Papa, boleh kan kalau Ira nak jumpa mama?”

Baharin mengambil nafas panjang-panjang.  Matanya dipejamkan seketika sebelum dibuka dan singgah di wajah anak gadisnya.

“Kalau Papa larang pun… Ira akan cari mama juga kan?”

Samirah mengangguk. 

“Aidid macam tak suka bila Ira bagi tau Ira nak cari mama.”

“Ira harus faham, hatinya masih terluka.  Beri dia masa, lambat laun hatinya akan sejuk.   Nanti papa pujuk Aidid supaya beri tau Ira di mana mama tinggal sekarang.” 

“Terima kasih papa.”  Kepalanya disandarkan di bahu papanya.  Baharin memaut bahu anaknya.  Sabarlah hati dengan dugaan ini, bisik Baharin kepada dirinya sendiri.




Pulau Pinang?  Kenapa sampai ke situ mama pergi?  Siapa yang ada di Pulau Pinang?  Mama orang Selangor dan rasa-rasanya mama tidak ada saudara mara di Pulau Pinang.  Kalau aku ke Pulau Pinang, di mana nak ku cari mama?  Aidid kata kali terakhir dia berhubung dengan mama, mama sekadar memberitahu dia sudah berpindah ke Pulau Pinang.   Tiada alamat khusus diberikan.  Nombor telefon mama pula sudah tidak boleh dihubungi.

Sesuatu harus dilakukan agar misi mencari mama dapat dijalankan dengan berkesan.  Takkan pula aku berulang-alik ke Penang?  Aku mesti dapatkan alamat mama di Penang.  Kalau tak dapat alamat rumahnya, cuba dapatkan alamat tempat kerjanya.  Eh, mama kerja apa di Penang? 

Itulah yang berlegar di minda Samirah.  Semakin lama difikir, semakin kusut fikirannya.  Telefon bimbit dicapai untuk melihat jam.  Sudah pukul 2 pagi, namun matanya tidak mahu pejam.  Samirah turun dari katil dan menuju ke bilik air.  Usai berwudhu’ dia bersolat.

Dalam doanya, Samirah memohon agar dia, papanya dan abangnya diberi kekuatan untuk menempuhi hari-hari yang mendatang tanpa mamanya di sisi.  Dia juga mendoakan kesejahteraan untuk mamanya.  Semoga mamanya dilindungi dari perkara-perkara yang bercanggah dengan norma agama dan masyarakat.  Usai bertahajjud, solat hajat pula dilaksanakan.  Dalam sujudnya yang panjang, Samirah meminta agar hajatnya untuk bertemu dengan mamanya diperkenankan Allah. 

Setiap malam Samirah bertahajjud dan bersolat hajat.  Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan memenuhi permintaan hambanya.  Selepas lima hari hati Aidid terbuka untuk membantu adiknya.

“Aku ada kawan di Penang.  Dia sedang carikan kerja untuk kau.  InsyaAllah dapat kerja nanti kau menetap di sana dan cari mama.”

Samirah tidak jadi menyuap nasi lemak ke mulut.  Sudu di tangan hampir terjatuh.  Baharin juga bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru keluar dari mulut Aidid.  Dalam hatinya dia bersyukur kerana kata nasihat yang diberikan kepada Aidid hampir setiap hari akhirnya berjaya melembutkan hati keras Aidid.

“Betul ke ni Did?”

“Kau nak sangat cari mama kan, aku tolonglah.”

Samirah tersenyum.  Dalam hatinya dia bersyukur kerana Allah telah melembutkan hati Aidid.

“Bila boleh tahu?”  Samirah sudah teruja.

“Secepat mungkin.  Tapi kau jangan memilih.  Apa-apa kerja yang dapat, kau ambil saja.”

Samirah mengangguk sambil mengunyah nasi lemak dengan laju.  Tiba-tiba seleranya datang. 

“Kita kena cari tempat tinggal juga untuk Ira.”  Aidid bersuara.

“Yang itu tak apa, papa uruskan.”  Akhirnya Baharin bersuara.  Wajah Khalilah, sepupu yang merupakan anak angkat Pak Ngahnya terpampang di ruang mata.  Baharin yakin Khalilah dan suaminya Samsudin tidak kisah menumpangkan Samirah di rumah mereka sementara dia mendapat rumah sewa.

“Terima kasih papa… tapi kerjanya kan belum dapat lagi. Ira tak mau tinggal di Penang tanpa bekerja.  Ira tak mau susahkan Papa.”

“Jangan risau, kawan aku pasti akan dapatkan kerja untuk kau.  Tapi macam aku kata tadi, jangan memilih.  Kerja kilang ke, kerja pejabat ke, aku tak pasti lagi.  Dapat saja kerja tu kau terus terima.  Faham?” Aidid bersuara.

Samirah mengangguk sambil tersenyum.  Sungguh dia tidak kisah apa jawatan yang diberikan kepadanya, asalkan sumber rezekinya halal.

“Terima kasih Aidid.  You are the best brother in the world.”

Bahu Aidid dipaut, kepalanya dilentokkan manja ke bahu Aidid.  Aidid menjuihkan bibir.  Nak bodek akulah tu, bisik hati Aidid.









No comments:

Post a Comment