AZEEZA
MELEPASKAN dengusan yang kuat. Beg sandangnya dihempaskan di
atas meja berhadapan dengan Liyana dan Izz. Terpinga-pinga kedua sahabatnya itu
melihat reaksi Azeeza yang tidak tenang seperti kebiasaan.
“Kenapa dengan kau ni, Zeeza?” soal
Liyana sambil menutup buku yang berada di tangannya. Izz juga turut memberi
perhatian pada laman wajah Azeeza yang kelihatan cemberut.
“Aku benci mamat tu!” ujar Azeeza
tiba-tiba. Dia terasa ingin menjerit apabila teringatkan apa yang Qaiser telah
lakukan padanya.
“Mamat? Mamat mana?” soal Liyana
dan Izz hampir serentak.
“Qai tulah. Kalau membunuh tu bukan
satu dosa, dah lama aku langgar lari mamat tu!” marah Azeeza lagi penuh dengan
rasa benci yang menyala-nyala.
Izz dan Liyana menyembunyikan
senyumannya. Kata-kata Azeeza menggeletek hati mereka.
“Apa yang Qaiser dah buat pada kau
sampai kau marah sangat ni?” soal Liyana selepas dia melihat Azeeza sedikit
tenang.
Azeeza tidak membalas sebaliknya
hanya nafasnya saja yang turun naik. Terimbas kembali peristiwa tadi. Rasa
sakit hatinya masih bersisa.
“Qai, budak kampung tu lalulah…”
tegur Rizwan sambil menyiku Qaiser yang sedang berdiri di kaki lima di hadapan
kelas.
Sebaik saja mendengar nama Azeeza,
Qaiser terus menjarakkan tubuhnya daripada Yasmin. Dia menanti Azeeza yang
kelihatan kelam kabut sambil mata bundar milik gadis itu tidak lepas-lepas
mengerling jam di tangan. Pasti gadis itu lambat masuk ke kelas. Detik hati
Qaiser.
“Apa yang menarik sangat dengan
minah tu?” soal Yasmin sambil memuncungkan bibirnya.
Qaiser mengangkat tangan meminta
Yasmin diam. Apa yang menarik pada Azeeza hanya dia saja yang tahu. Dia
tersenyum penuh makna apabila melihat batang tubuh Azeeza yang menghampiri
kumpulan mereka.
Bagi Azeeza pula, dia sudah tidak
peduli dengan kehadiran Qaiser di situ. Dia sudah terlambat. Sudahlah hari ini
ada kuiz yang penting. Dia tidak mahu terlepas akibat daripada kelewatannya.
Berulang kali dia menyelak nota-nota yang telah ditulis bagi mengingati topik
yang dibaca untuk memudahkan dia menjawab soalan nanti.
Namun, saat kakinya melangkah di
hadapan Qaiser tiba-tiba…
Bukkk!
Azeeza jatuh di atas lantai. Nota
yang dipegang turut bertaburan di atas lantai. Berkerut dahi Azeeza menahan
rasa sakit di kaki. Rasa sakit di kaki terus bersabung ke hatinya. Pantas,
Azeeza berpaling.
‘Tak guna punya jantan!’ omel
Azeeza dalam hati.
Kelihatan Qaiser dan kumpulannya
sedang ketawa berdekah-dekah melihat Azeeza yang jatuh tersembam. Kesabaran
cuba dipertahankan oleh Azeeza. Dia cuba mengutip kembali nota yang jatuh
bertaburan tetapi ada kaki lain yang memijak nota-notanya. Azeeza mendongak.
“Kau nak apa dengan aku ni, hah?”
soal Azeeza garang. Dia bangun dan berhadapan dengan Qaiser.
“Nak apa? Nak buli kaulah. Tak
nampak ke apa yang aku tengah buat sekarang ni?” soal Qaiser sinis. Dia berdiri
sambil berpeluk tubuh.
“Qai, bagilah laluan. Kesian budak
dekan ni nak ambil test. Nanti gagal,
biasiswa kena tarik pulak. Merempat dia tepi jalan.” Sindir Rizwan sambil
ketawa.
Azeeza berpaling pada Rizwan. Tajam
anak matanya menikam wajah Rizwan sehinggakan tawa lelaki itu terhenti.
“Kau jangan cuba nak hina aku!
Sekurang-kurangnya aku tak bazirkan duit mak bapak aku. Datang kolej bukan nak
belajar tapi jadi mayat hidup!” hambur Azeeza garang.
“Memanglah kau tak bazirkan duit
mak bapak kau sebab mak bapak kau dah mati!” sampuk Yasmin sambil tersenyum
puas.
Qaiser berpaling pada Yasmin.
Kata-kata Yasmin memang agak keterlaluan.
“Min, Wan, kau orang jangan masuk
campur hal aku dengan minah ni. Mulai sekarang biar aku yang uruskan budak
mentah ni!” ujar Qaiser tiba-tiba.
Yasmin dan Rizwan tersentak. Apa
maksud Qaiser?
“Tapi Qai dia ni musuh kita semua…”
Yasmin tidak berpuas hati.
“Jangan cuba nak bantah kalau tak,
you yang akan jadi musuh I.” ucap Qaiser tanpa memandang wajah Yasmin. Anak
matanya tetap menentang bola mata Azeeza yang setia merenung wajahnya dengan
pandangan yang cukup tajam.
Yasmin terdiam. Dia memeluk tubuh
sambil memerhatikan gelagat Qaiser dan Azeeza yang beradu pandang. Timbul rasa
tidak selesa dalam hati Yasmin apabila melihat pandangan pada Qaiser yang agak
berbeza dari sebelum ini.
“Kau memang tak tenang kalau nampak
aku senang, kan? Agaknya kalau aku mati pun kau lebih gembira.” Ucap Azeeza
geram.
Qaiser tersenyum sinis.
“Terlalu awal untuk kau bercakap
soal mati. Aku takkan benarkan kau mati selagi hati aku tak puas melihat kau
terseksa.” Balas Qaiser.
Azeeza ketawa sinis. Terasa mahu
saja dia menumbuk wajah kacak Qaiser saat ini. Barulah hatinya puas. Namun,
Azeeza masih lagi waras. Bertindak ganas pada anak pemilik Yayasan Qarina
adalah satu kesalahan yang besar.
“Boleh tak kalau kau ke tepi? Aku
tak ada masa nak layan perangai buruk kau ni. Bagi balik nota aku!” pinta
Azeeza sambil cuba merampas kertas yang dipegang oleh Qaiser.
Qaiser ketawa sinis. Dia
menyembunyikan nota milik Azeeza di belakangnya. Wajah Azeeza ditenung dengan
senyuman bangga. Bangga kerana dapat mengenakan gadis itu.
“Aku akan bagi nota ni kalau kau
melutut di depan aku.” Balas Qaiser selamba.
Azeeza terpempan. Tajam anak
matanya menikam bola mata Qaiser. Mamat ni memang dah melampau! Jerit hatinya.
“Kau rasa kau Tuhan ke sampai aku
perlu melutut depan kau? Boleh jalanlah!” hambur Azeeza selamba.
Tanpa menghiraukan Qaiser, dia
meredah saja tubuh Qaiser yang menghalang jalannya. Namun, tidak sampai
beberapa langkah, beg galasnya ditarik dari belakang. Langkah Azeeza terhenti.
“Kau jangan fikir kau boleh
lepaskan diri macam tu aje. Selagi kau tak melutut depan aku, selagi itulah aku
takkan lepaskan kau!” balas Qaiser. Dia memegang kemas beg Azeeza.
Azeeza meronta untuk melepaskan
diri. Anak matanya melilau mencari seseorang yang boleh memberikan pertolongan
kepadanya namun semuanya hampa. Tiada sesiapa pun yang berani menonjolkan diri
untuk memberi pertolongan. Rata-rata pelajar di kolej itu takut pada Qaiser.
“Kau ni memang gila!” Azeeza
menghamburkan rasa marah yang terbuku dalam hatinya.
Tetapi Qaiser hanya menyambung
tawa. Dia menarik beg Azeeza membuatkan tubuh gadis itu terdorong sama. Anak
mata mereka bersabung pandang.
“Kau yang mulakan, jadi kau yang
harus tamatkan.” Ucap Qaiser dengan senyuman sinis.
“Aku tak pernah jumpa orang yang
pendendam macam kau ni. Kau nak aku melutut? Baik! Aku melutut sekarang.
Lepaskan aku dulu!” ujar Azeeza berpura-pura mengalah.
Qaiser termakan kata-kata Azeeza.
Pantas, dia menolak tubuh Azeeza di hadapannya. Beberapa pasang mata
memerhatikan mereka berdua. Yasmin dan Rizwan hanya tersenyum bangga. Akhirnya,
Azeeza tunduk juga di kaki Qaiser.
Tetapi tidak bagi Azeeza. Dia tidak
akan mengalah dengan begitu mudah. Anak matanya mencari ruang untuk melepaskan
diri. Dia terpandangkan ruang di belakang Qaiser yang kosong tetapi untuk
menyelamatkan diri, dia harus melepasi Qaiser terlebih dahulu. Azeeza menggigit
bibir. Apa aku nak buat ni? Soal hatinya resah.
“Kau tunggu apa lagi? Melututlah
sekarang!” jerkah Qaiser.
Azeeza menelan air liur. Dia
memandang ke bawah.
“Okey-okey!” balas Azeeza sambil
mengangkat kedua belah tangannya.
Perlahan-lahan, dia membongkokkan
badannya. Nafas ditarik dengan sedalam-dalamnya. Pelbagai sumpah seranah
dihamburkan dalam hatinya buat Qaiser.
Qaiser tersenyum lebar. Azeeza akan
melutut pada dia dan dia akan meraikan kemenangannya hari ini. Tetapi
sangkaannya meleset, wajahnya tiba-tiba bertukar menjadi merah padam apabila
terasa kakinya dipijak dengan kuat. Aduh, tak guna punya perempuan! Jerit hati Qaiser.
Azeeza memijak kaki Qaiser dengan
kuat malah, betis lelaki itu disepak sepuas hatinya sehinggakan Qaiser
terhincut-hincut menahan sakit. Tidak cukup dengan itu, Azeeza menghayunkan beg
galas tepat di belakang Qaiser membuatkan lelaki sombong itu rebah di atas
lantai.
Yasmin dan Rizwan terkejut. Buntang
mata mereka melihat Azeeza yang telah berjaya ‘menumbangkan’ pembuli nombor
satu kolej mereka. Dek kerana terkejut, mereka berdua hanya mampu memandang
Azeeza yang melarikan diri.
“Kau dengar sini, Qai. Aku takkan
mengalah pada kau walaupun nyawa aku di hujung tanduk!” jerit Azeeza dari jauh
kemudian berlari meninggalkan tempat itu.
Qaiser malu besar. Dia menepuk
lantai dengan kuat sambil dahinya berkerut menahan sakit di kaki. Azeeza
benar-benar mampu mencabar kesabarannya sebagai lelaki. Sakit hatinya bukan
kepalang tetapi disebalik hatinya yang sakit, bibirnya tiba-tiba mengukir
senyuman nipis. Azeeza bukan gadis sembarangan!
“KAU BELASAH mamat tu buat kali kedua, Zeeza?” soal Izz tidak
percaya.
Azeeza hanya menganggukkan kepala.
Dia menyedut minuman yang terhidang di hadapan mata. Rasa lega selepas
membasahkan tekak.
Besttt
ReplyDeleteNOVEL NI AKAN KELUAR MAC 2016..
Delete