DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 10

Naim Zakaria

Comel. Itulah perkara pertama yang terlintas di fikiranku bila menyedari gadis yang
melanggar aku ialah Izureen. Rambut senget bengetnya telah dipotong pendek, di bawah
paras telinga. Kelihatan sedikit kelelakian tetapi, oh dia sungguh comel dalam gaya rambut
begitu.
“Sorry”, tuturnya dan serentak itu jari-jarinya mendarat di rahang sebelah kiriku.
Berderau darahku dengan sentuhannya. Satu rasa yang tidak ku fahami menyelinap masuk ke
pinggir hati.
“Sakit?” Matanya yang cantik merenung aku sekejap, kemudian beralih ke arah dagu.
Jari-jarinya masih di situ. Masih terpempan, aku hanya mampu mengangguk. Tapi
sebenarnya tidaklah sakit sangat. Memandang ke dahinya, terasa ingin menyentuh dahi yang
bertembung dengan daguku, namun aku hanya berdiri kaku. Tidak mungkin aku melakukan
itu, zaman bebas bersentuhan dengan wanita yang bukan muhrim telah lama aku tinggalkan.
“Excuse me”, kata seorang pelanggan yang hendak mara ke kaunter menyedarkan aku
bahawa kami sedang menghalang laluan. Aku terus keluar dari kedai, dia mengikuti dari
belakang. Rupa-rupanya tiga pasang mata di luar kedai memerhatikan perlakuan kami
dengan penuh minat.
Dalam perjalanan pulang, aku memandang ke cermin belakang. Nampak jelas
wajahnya. Dia duduk di tengah, di antara mak dan Fina. Mata seakan tidak mahu lekang dari
wajahnya, namun perhatian harus diberikan kepada jalan di hadapan.
“Reen, ni untuk kamu. Pakai ya” kedengaran suara emak memecah kebisuan. Abah
di sebelahku sudah lelap. Fina, serupa dengan abah. Pantang duduk dalam kenderaan, berat
saja kelopak matanya.
“Apa ni Mak Jah?” suara kehairanan meletus dari bibirnya.
“Telekung. Kan kamu kata kamu tak ada telekung. Mak segan, kamu pakai telekung
lama Mak yang dah lusuh tu”.
Jeda. Lama. Aku menjeling ke cermin. Nampak wajahnya keruh.
“Bukaklah” emak menyuruh. Kedengaran bunyi plastik dibuka.
“Cantik. Berapa harganya?”
“Ini Mak hadiahkan kepada kamu”.
“Eh, susah-susah je Mak Jah ni. Saya bayar balik ya”. Dia membuka dompet.
Kebetulan lampu isyarat merah, dapat aku menyaksikan segalanya.
“Jangan, Mak ikhlas ni. Mudah-mudahan setiap kali kamu bersolat pakai telekung ni,
ada pahala untuk Mak”.
Ada air bergenang di tubir mata Izureen. Bunyi hon menyedarkan aku, cepat-cepat
aku masukkan gear dan van Abah bergerak semula.
“Terima kasih”. Aku jeling lagi. Nampak mak senyum sambil menggenggam tangan
Izureen.
Perbualan telefon dengan Haziq malam tadi masih berlegar di minda ini. Punggungku
labuhkan di atas bangku. Mata tertancap pada anak sungai di bawah, namun fikiran jauh
menerawang. Kata Haziq, Ratna datang berjumpanya. Kata Haziq, Ratna bertanyakan di
mana aku tinggal sekarang. Mujur Haziq tidak memaklumkan bahawa aku kini sudah
bermastautin di kampung halamanku.
Apa yang dia mahukan dari aku? Apa pun yang telah terjadi, hidup mesti diteruskan
dan aku mahu hidup ini diteruskan tanpa dihimpit kenangan silam. Setelah tiga tahun,
kenapa dia mencari aku? Adakah kerana status solonya? Atau mungkin dia sekadar mahu
menjalin semula persahabatan denganku? Aku tidak mahu lagi terlibat dengan perkaraperkara
yang membabitkan naluri cinta. Kini fokusku hanyalah kepada perniagaanku. Aku
bahagia dengan kehidupan sekarang. Walaupun sibuk mengendalikan tiga perniagaan dalam
satu masa, aku lebih tenang. Aku miliki kelapangan masa untuk beribadat. Tidak lagi
terkejar-kejar dari satu temujanji ke temujanji yang lain. Tiada lagi makan malam, karaoke
dan acara yang perlu dihadiri. Kini setiap malam aku berjemaah di surau untuk Magrib dan
Isyak. Tidak lagi terbabas Subuh, malahan sentiasa bersama abah berjemaah di surau.
Sekali sekala, bila diminta, aku hulurkan bantuan kepada Haziq. Kini dia yang
menguruskan sepenuhnya syarikat hiasan dalaman kami. 10 peratus dari saham yang aku
miliki telah aku jual kepadanya, menjadikan pegangan saham 60 peratus milik Haziq dan
bakinya milikku. Alhamdulilah, Haziq bukan sekadar rakan kongsi. Dia juga sahabat karib
yang mengetahui segala suka dukaku. Persahabatan yang kami jalin sejak dari sekolah
menengah masih kukuh hingga kini. Kebetulan kami meminati aliran yang sama. Selepas
tiga tahun makan gaji, kami bergabung untuk menubuhkan Hazack Interior.
Bunyi derapan kaki disulami gelak tawa mematikan lamunanku. Fina dan Izureen
datang menghampiriku.
“Oh kat sini Along menyorok ya” Fina bercekak pinggang di hadapanku.
“Kenapa? Kan biasa Along lepak kat sini lepas jogging”.
“Mak suruh cari, lama sangat joggingnya. Tak nak sarapan ke? Ni menung-menung
kat sini kenapa, cari ilham apa ni?” Fina dah mula berleter. Izureen sekadar tersenyum.
“Yalah, tengah cari ilham. Baru nak dapat, kamu datang, terus hilang ilham tu,” tibatiba
timbul idea nak menyakat Fina.
“Ilham apa Along?” nada suaranya menjadi serius, sudah termakan dengan ceritaku.
“Ilham tentang kamu dengan Pejal lah” aku sengeh kepada adik bongsuku yang naïf
ini.
“Apahal orang dengan Pejal?” Fina membulatkan matanya.
“Yalah, nak cari ilham bila masa yang sesuai untuk kahwinkan kamu dengan Pejal”.
“Arrggghh!!! Along ni jahatlah. Kenakan orang ya!!!” kali ini dia mencubit
lenganku.
“Adoi sakitlah!” aku menjerit sambil bangun, hendak melarikan diri dari Fina
sebelum cubitannya beranak pinak di badanku. Sambil berlari aku ketawa sekuat hati.
Seronok dapat menyakat Fina. Entah kenapa, dia amat tidak sukakan Pejal sedangkan Pejal
tu baik orangnya. Fina mengejar aku dan akhirnya bila gagal menangkap aku, dia berhenti
dengan nafasnya tercungap-cungap.
“Aik, baru lari sikit dah semput. Tulah, orang ajak jogging tak nak. Asyik buat taik
mata je. Macam ni punya malas pun si Pejal tu boleh minat” aku menggiat Fina lagi.
“Eee, Along ni” Fina kelihatan sudah bengang. Kedua belah tangannya diletakkan di
atas kepala.
“Orang nak baliklah! Ni, ambil ilham ni, orang tinggalkan untuk Along” dan dia
berlalu sambil menunding jarinya ke arah Izureen yang turut ketawa melihat gelagat kami.
Tawa kami berhenti serentak dan pandangan kami bertaut.
“Duduklah”, aku suakan tangan ke arah bangku.
Tanpa sebarang kata dia menurut. Aku berkalih dari situ, membesarkan jarak antara
kami. Duduk di atas akar pokok yang jaraknya lebih kurang 3 meter dari bangku.
“Fina tu manja ya” katanya sebaik duduk.
“Anak bongsu, biasalah”.
“Dan awak, abang yang nakal ya?”
“Taklah. Saya baik. Tak percaya, tanya mak saya”.
“Tau. Mak awak dah cerita”. Jawapannya mengundang tanda tanya di mindaku.
“Apa yang mak ceritakan?” aku mara setapak menghampirinya dengan rasa ingin tahu
yang menebal.
“Macam-macam tentang awak. Mak awak kata awak nak sulong yang sangat
bertanggungjawab. Mak awak kata awak rajin, kuat bekerja, cekal, dan penyayang”.
“Itu aje?”
“Ada lagi. Mak awak kata pada umur enam tahun awak dah khatam Quran. Masa di
sekolah menengah awak pernah jadi ketua pengawas. Masa di universiti awak dapat
anugerah dekan 3 kali”
“Awak dah banyak tau tentang saya tapi saya tak tau tentang awak”.
Riak wajahnya kembali tenang. Dia senyum. Aduh, comelnya bila senyum.
“Ask me,” katanya, masih senyum.
“Boleh ke?”
Dia mengangguk.
“Tapi ada syarat!” pantas dia bersuara sebelum aku mengeluarkan soalan.
“Setiap soalan yang awak tanyakan, awak juga harus menjawabnya”.
“OK. Umur?” aku keluarkan soalan pertamaku.
“26”
“31”
“Asal?” soalan kedua pula.
“KL”
“Sini”
“Qualification?” soalan ku yang ketiga
“Eh, macam interview kerja pulak” katanya. Aku senyum.
“Perakaunan”
“Oh, sama dengan Fina. Saya interior designing,”
“Hobi?” soalan keempat. Dia diam, agak lama.
“Buat kek”
“Banyak. Membaca, melukis, panjat bukit, main bola”
“Favourite food?” soalan kelima. Aku sendiri pun nak tergelak dengan soalan ni.
“Western food dan Japanese food”. Typical city girl, bisikku di dalam hati, jarang
yang suka makanan kampung. Tapi aku tengok berselera sahaja dia makan hidangan yang
mak sediakan.
“Awak?” baru tersedar aku belum menjawab soalan itu.
“Laksa, especially laksa Kuala Kangsar”.
“Music?” soalan keenam. Agak-agaknya dia faham ke soalan dengan sepatah
perkataan sahaja?
“Christina Peri, Yuna, Anuar Zain”. Hmm, belum pernah aku jumpa perempuan yang
tidak suka Azuar Zain.
“M Nasir, Search, Wings, Michael Bolton, Celine Dion, Jason Mraz, Sheila Majid,
Sami Yusuf” habis aku senaraikan penyanyi yang aku suka.
“Orang yang paling dirindui?” soalan ketujuh.
“Papa” ringkas jawapannya.
“No one at the moment”, jawapanku. Betul, aku tidak merindui sesiapa pun.
“Orang yang paling rapat dengan awak? soalan kelapan. Jeda. Lama dia diam. Aku
biarkan sahaja, sambil mataku merayap ke seluruh wajahnya. Cuba mentafsir riak wajahnya.
“Muaz,” akhirnya dia bersuara. Aku dapat mengesan nada sedih dalam suaranya.
Siapa Muaz? Diakah penyebab kedukaannya, yang membawa lara hati ke tempat ini? Rasa
ingin tahu bersarang di dalam hatiku. Namun ku tahankan, belum masanya.
“Mak, abah, Haziq, Fina” aku pula bersuara.
Aku diam, berfikir. Apa lagi yang hendak ditanya, sudah lapan soalan tapi belum
dapat memberi petunjuk akan kehadirannya di sini.
“Papa awak kerja apa?” akhirnya soalan kesembilan keluar.
“Dah meninggal.”
“Sorry” aku menghulurkan kata simpati.
“Its OK. Dah lama dah, masa saya berumur 16 tahun.”
“Abah saya kerja kampung saja. Petani” Dia senyum.
“Mama awak?” soalan kesepuluh
“Business woman. Mama ambil alih bisnes setelah papa meninggal”
“Oh, besar lagi pangkat mak saya. Dia pegang banyak jawatan. Minister of Home
Affairs, Menteri Kewangan, General Manager, Guru KAFA, chef dan lain-lain.”
Meledak ketawanya sebaik mendengar jawapanku. Riak sedih di wajahnya
menghilang.
“Boleh tak kalau saya pulak tanya soalan?” soalnya bila ketawanya habis.
“Silakan. Tapi syaratnya sama. Setiap soalan awak juga mesti beri jawapan”.
“Kenapa awak belum berkahwin?” terkedu aku mendengar soalan yang tidak
dijangka.
“Belum ada jodoh”, jawapan klise yang paling selamat.
“Tapi mak awak kata awak ada ramai girlfriend”.
“Itu dulu. Sekarang tak ada seorang pun.”
“Dalam ramai-ramai tu, takkan tak ada seorang pun yang sesuai?”
Bukankah aku yang mahu mengorek rahsianya, tapi sekarang dia pula yang mengorek
rahsiaku. Tidak mengapa, aku ikutkan saja. Let’s see how far this will take us.
“Bukan semua girlfriend sesuai menjadi isteri. Bila saya dah jumpa yang sesuai, saya
akan kahwin. Walaupun dia bukan girlfriend saya, kalau dah jodoh dia akan menjadi isteri
saya. Bercinta bertahun-tahun, kalau bukan itu yang Allah takdirkan, tetap tak akan menjadi
isteri.”
Kami sama-sama diam. “Pernah atau sedang bercinta?” bila diam tidak berkutik, aku
ajukan soalan itu.
Dia memandang tepat ke mataku, dan seketika kemudian mengalih pandangannya.
Melihat ke arah sungai di bawah. Dan kemudian, dengan suara yang perlahan, dia berkata
“pernah dan masih mencintai, tetapi tidak dicintai”. Bunyinya seperti orang yang cintanya
tidak berbalas.
“Your turn”, dan dia berpaling ke arahku.
“Cinta saya telah dikhianati” akhirnya aku luahkan.
“Berapa lama awak bersedih?” dia menyoal. Mata kami bertaut lagi. Sekejap,
sebelum aku pandang semula ke arah sungai.
“Lama. Sampai sekarang bila teringat kecurangannya, hati saya sakit. Tapi hidup
mesti diteruskan. Saya tidak boleh kalah dengan kekecewaan. Tiada siapa yang boleh
meragut kebahagiaan saya, melainkan Allah.”
Senyap. Kami sama-sama melayan perasaan. Terasa ringan di dada sebaik aku
luahkan ayat tadi.
“Saya fikir dia cintakan saya, rupa-rupanya dia sekadar menganggap saya sebagai
seorang kawan. Tak lebih daripada itu”.
Bingo! Rasa-rasanya aku sudah mendapat jawapan kenapa dia berada di sini.
“Kenapa tidak diluahkan perasaan kepadanya?” aku mengumpan, dengan harapan
mendapat lebih banyak maklumat.
“Dah terlewat. Dia sudah menjadi tunangan orang”.
Ya, betul tekaanku. Dia ke sini kerana masalah percintaan.
“Sabarlah. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Bukan semua yang kita hendak, kita
akan dapat. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kalau kita tak dapat apa
yang kita suka, kita belajarlah menyukai apa yang kita dapat”, nasihat yang pernah Abah
berikan kepadaku dahulu, kini aku sampaikan kepadanya.
Dia memandangku lagi. Mata kami bertaut. Ada getaran yang aneh di dalam hatiku.
Aku ubah pandangan, tidak mahu larut dalam renungannya. Terdetik di hati kenapa pula
perbualan yang bermula dengan ceria, harus bertukar moodnya menjadi sayu.
“Next question?”
Dia menggelengkan kepala. Nampak masih sayu. Aku mula berfikir, mahu
menjernihkan suasana.
“OK, next question. Apa ciri-ciri lelaki idaman awak?” entah dari mana aku
mendapat idea untuk bertanyakan soalan ini.
“Susahlah soalan ni. Kalau tak nak jawab, boleh tak?”
“Tak susahlah. Jawapannya tentu ada dalam hati awak. Takkan awak tak tahu orang
macam mana yang awak suka? Kalau tak nak jawab, tak apalah. Tapi kalau tak jawab, awak
tak akan tahu ciri-ciri wanita idaman saya,” aku cuba mengumpan.
“Ok, saya suka lelaki yang bertanggungjawab. Tegas. Protective, but not over
protective. Jujur. Sopan. Rajin bekerja. Hormat kepada semua orang.. Tidak merokok.
Lebih tinggi daripada saya…. dan….. tidak terlalu cerah. Boleh membimbing saya”.
Banyaknya kriteria, bisikku dalam hati.
“Your turn” dia mengingatkan.
“Wanita idaman saya ialah…. wanita yang cintanya seperti mak saya”
“Hah? Macam mana tu?” dia kelihatan naïf dan comel ketika menanyakan soalan itu.
“Cinta mak pada abah, sangat ikhlas. Mak sanggup bersusah payah dengan abah.
Mak tak pernah merungut. Terima abah seadanya. Pendamping abah yang setia. Pernah
sekali abah tanya apa hadiah yang mak mahukan untuk hari lahirnya. Mak jawab, dia
hanyakan mahukan cinta abah. Kerana bagi mak, cinta abah adalah segala-galanya dan cinta
abah adalah hadiah terbaik untuknya”.
Kami sama-sama terdiam selepas itu. Lama. Kemesraan abah dan emak terbayang
dimata. Kasih sayang yang masih utuh di antara mereka menjadi inspirasi kepadaku dalam
mencari kebahagiaanku sendiri. Mampukah aku mengecapi bahagia, seperti kedua orang
tuaku?
“InsyaAllah, satu hari nanti awak akan dapat cinta sejati awak,” akhirnya dia
bersuara, memecahkan kebisuan di antara kami. Izureen berdiri dan mahu melangkah pergi.
“Izureen,” panggilku, mematikan langkahnya. Aku mendekatinya.
“Ya?”
“Fesyen rambut ni sesuai dengan awak. You look very cute.”
Izureen senyum. Manis! Dan berlalu pergi. Satu perasaan aneh menyelinap di
tangkai hati. Perasaan yang sudah lama tidak aku rasakan.

No comments:

Post a Comment