DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 17 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 12

ZEEZA, NI ada orang kirim dekat awak,” tegur satu suara dari arah belakang mengejutkan Azeeza yang sedang mengikat tali untuk dijadikan ampaian kain. Dia berpaling ke belakang.
“Siapa yang bagi ni?” soal Azeeza sambil menyambut huluran kertas daripada tangan Aimy yang berdiri di belakangnya.
Aimy hanya menjongketkan bahu tanda tidak tahu. Dia hanya menjalankan tugas yang diamanahkan saja. Tanpa menunggu lama, dia berpaling dan berlalu meninggalkan Azeeza yang masih kebingungan.
Berkerut dahi Azeeza membaca tulisan yang terpapar di atas kertas bersaiz kecil itu.
Jumpa aku dekat pinggir hutan. Ada sesuatu yang aku nak bincang dengan kau. Penting!
“Siapa pulak yang nak main-main dengan aku ni? Tak boleh jumpa dekat tempat lain ke agaknya? Nak pergi ke tak ni?” Soal Azeeza sendirian sambil mengetuk dagunya.
Berulang kali dia membaca nota tanpa nama itu dengan rasa yang berbelah bahagi. Jika dia tidak pergi, pasti orang yang nak berjumpa dengannya itu sedang menunggu. Namun, jika dia pergi, entah-entah ada orang ingin mengenakannya.
Argh, pergi ajelah. Mana tahu betul-betul penting.” Putus Azeeza akhirnya. Dia berlalu dengan membawa nota itu bersama. Tiada seorang pun tahu ke mana dia melangkah.
Azeeza tiba di pinggir hutan yang agak jauh dari tapak perkhemahan. Kawasan itu kelihatan sunyi sepi malah kelihatan gelap kerana hari hampir senja.
Berpusing kepala Azeeza mencari kelibat orang yang ingin berjumpa dengannya. Tetapi tiada satu kelibat pun yang  kelihatan di situ. Hati Azeeza mula dipagut dengan rasa kurang enak.
“Ada sesiapa dekat sini tak?” soal Azeeza sambil memandang ke hadapan.
Senyap. Hanya bunyi burung berkicauan menyahut soalan Azeeza.
Azeeza mendengus geram. Terasa dirinya dipermainkan lantas dia mula mengundurkan langkah untuk meninggalkan tempat itu.
“Tak guna betul, siapa yang berani main-main dengan aku ni?” omel Azeeza sambil mengetap bibir tanda geram. Belum sempat dia memusingkan badannya ke belakang, tiba-tiba…
Bukkk!
Azeeza terasa seperti tengkuknya dihentak dengan benda yang keras. Tubuh Azeeza kaku seketika sebelum dia rebah di atas tanah. Matanya terpejam rapat.
Tanpa Azeeza sedar, dirinya diheret oleh sepasang tangan hingga jauh ke dalam hutan. Kemudian, dia ditinggalkan tanpa belas kasihan sedangkan langit sudah mula bertukar warna. Matahari telah melabuhkan tirainya. Gerimis mula menitis sedikit demi sedikit.

MATA QAISER melilau ke sana dan ke mari mencari kelibat yang tidak kelihatan sedari tadi. Waktu makan malam hampir ke penamatnya namun bayang gadis itu tidak kelihatan. Hatinya mula terasa sesuatu yang kurang enak. Memang dia akui, dia cukup membenci gadis itu tetapi sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang ketua untuk memastikan semua ahli kumpulannya bekerjasama dalam satu kumpulan.
“Hai sayang! You cari I ke? Dari tadi I tengok you macam tercari sesuatu je.” Tegur Yasmin sambil melabuhkan punggungnya di kerusi bersebelahan dengan Qaiser. Tanpa segan silu, dia memeluk mesra lengan Qaiser.
Qaiser merengus. Perempuan ni memang tak serik lagi ke kena marah? Serabut betul aku. Bentak Qaiser geram. Pantas saja dia merentap tangannya dari pelukan Yasmin.
“You kumpulan mana?” soal Qaiser sambil cuba menghimpun kesabaran. Pinggan kotor ditolak ke tepi.
Yasmin tersengih mempamerkan giginya yang tersusun rapi.
“Memanglah I bukan kumpulan you tapi I rindu sangat nak tengok muka you. Tengok muka sotong tu buat apa?” ujar Yasmin dengan lirikan manja. Tudung yang senget dibetulkan sedikit. Dia rimas apabila terpaksa bertudung seperti ini. Kalau tidak difikirkan tentang carry mark, sudah lama tudung yang tersarung di kepala dicampak ke dalam hutan. Serabut. Fikir Yasmin.
“You tahu kan sekarang ni kita dalam kem ibadah? Nanti ustaz nampak, I jugak yang susah. Boleh tak you buat sesuatu fikir dulu?” soal Qaiser lagi. Matanya masih mencari kelibat Azeeza yang tidak nampak di pandangannya.
“Kau dah cari Kak Azeeza? Aku tak nampak pun dia dekat surau tadi.”
Bunyi suara dari arah belakang membuatkan Qaiser terdiam. Dia meneguk air yang masih bersisa dalam gelasnya. Suara Yasmin yang becok bercerita langsung tidak dipedulikan oleh Qaiser.
“Aku pun tak nampak. Last aku tengok Kak Zeeza, petang tadi. Lepas tu aku tak nampak. Kalau malam ni kita tak jumpa juga Kak Zeeza, aku rasa lebih baik kita bagitahu ustaz.” Suara kawan wanita itu menjawab.
Qaiser menelan air liur. Azeeza hilang? Hatinya mula diserang tanda tanya.
“Kalau macam tu jom kita cari Kak Zeeza dekat khemah. Susah kumpulan kita kalau Kak Zeeza tak ada.” Ajak rakannya yang lain.
Qaiser berpaling ke belakang sejenak. Kelihatan tiga pelajar perempuan yang merupakan ahli kumpulannya mula mengorak langkah meninggalkan dewan makan. Qaiser turut ingin berdiri.
“You nak pergi mana, sayang?” rengek Yasmin sambil menarik lengan Qaiser supaya duduk kembali.
Qaiser mendengus. Buat kesekian kali dia merentap tangannya daripada pegangan Yasmin.
“I ada kerja. I nak jumpa ustaz,” jawab Qaiser berbohong.
Yasmin tersenyum sinis. Dia turut bangun berhadapan dengan Qaiser.
“You nak jumpa ustaz atau you nak cari minah selekeh tu?” soal Yasmin sambil tepat merenung anak mata Qaiser.
Qaiser tersentak. Dengan pantas anak matanya dilarikan ke tempat lain.
“Apa yang you merepek ni Yasmin? I nak cari siapa? Minah mana yang you maksudkan?” soal Qaiser berpura-pura pelik. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
“You tak payah nak berlakon depan I, Qai. Bukan I tak tahu perangai you mula berubah sejak you jumpa perempuan miskin tu. You jangan nak nafikan dengan I lagi.” Tambah Yasmin sambil berpeluk tubuh.
“Perangai I berubah? You tu yang buat lawak. Lagipun perangai I berubah atau tidak, tak ada kena mengena dengan you!” balas Qaiser tegas. Dia memang cukup pantang kalau ada yang cuba mengongkong hidupnya. Dia tidak suka setiap pergerakkannya dikawal ataupun diperhatikan. Dia inginkan kebebasan.
“Tapi I kekasih you, Qai. I tak suka you beri perhatian pada perempuan lain. Apa I tak cukup cantik ke pada you?” soal Yasmin lagi. Suaranya berubah perlahan.
Qaiser ketawa. Ketawanya kedengaran sinis di telinga Yasmin.
“Bila masa I jadi kekasih you ni, Yasmin? Pernah you dengar I lafaz apa-apa pada you ke? Tak pernah kan? You tahu kan, I ni cukup tak suka dengan komitmen. Jadi you jangan cuba nak kongkong I!” bentak Qaiser mula mengatur langkah untuk meninggalkan Yasmin. Dia berpaling.
Lagi lama dia menghadap muka Yasmin, makin terbakar hatinya. Wajah itu memang cantik tetapi kecantikan itu tidak mampu menyejukkan hatinya.
Yasmin menghentak kaki tanda geram.
“You milik I, Qai. Tak ada siapa yang boleh halang I dari miliki you termasuk perempuan selekeh tu. Mungkin sekarang dia tengah tidur dengan binatang-binatang dekat dalam hutan sana tu,” jawab Yasmin sambil ketawa lepas.
Dahi Qaiser berkerut. Langkahnya terhenti mendengar kata-kata Yasmin. Dia kembali berpaling pada Yasmin yang masih lagi ketawa.
“Apa maksud you, Min?” soal Qaiser ingin tahu.
Yasmin hanya menjongketkan bahu.
“I cuma balas dendam bagi pihak you. Seronok juga kenakan orang ni, ya? Mesti dia tak dapat cari jalan keluar. Alah, you jangan risau. Tak ada siapa yang tahu apa yang I buat. Dia pun tak tahu tau…” balas Yasmin dengan suara yang perlahan.
“You ni memang gila, Yasmin! Memang gila! Sejahat-jahat I, I tak pernah bermain dengan nyawa orang. Cepat cakap mana dia?” tempik Qaiser tiba-tiba.
Yasmin tersentak. Dia memandang ke kiri dan kanan. Beberapa pasang mata memandang ke arah mereka berdua. Nasib baik tidak ramai pelajar yang berada di dewan makan kerana semuanya sudah kembali ke khemah masing-masing.
“Kenapa you tiba-tiba nak naik angin ni? Patutnya you gembira I dah balas dendam bagi pihak you. Lagipun I puas, puas dapat jauhkan dia dari you.” Suara Yasmin masih lagi biasa. Langsung tidak gerun dengan kemarahan yang ditunjukkan oleh Qaiser.
“Dendam I pada dia tak ada kena mengena dengan you! You bukan sesiapa pun pada pada I!” balas Qaiser dengan suara yang meninggi.
“Lebih baik you cakap di mana you campak Azeeza sebelum I laporkan perbuatan you ni pada ustaz.” Suara Qaiser kembali perlahan. Dia cuba bersabar. Jika dia berkasar, dia bimbang Yasmin tidak akan memberitahu di mana Azeeza berada.
Yasmin menayang muka tidak bersalah. Dia hanya mencebik melihat Qaiser yang sedikit gelabah. Adakah telahan dia selama ini benar? Qaiser berubah disebabkan Azeeza?
“I nak balik khemah I. Buang masa I tunggu you dekat sini. You bukannya hargai apa yang I buat untuk you.” Ujar Yasmin lalu cuba untuk melangkah pergi. Namun, sepantas kilat pergelangan tangannya ditarik kasar oleh Qaiser sebelum tangannya dipulas ke belakang.
Yasmin mengaduh kesakitan.
“Diam! You pilih nak sakit ke atau nak bagitahu di mana Azeeza? I rasa you nak cukup kenal dengan I, kalau dengan perempuan lain pun I boleh buat sampai mereka menangis, apatah lagi you. Jangan sampai you pulak jadi musuh I.” ugut Qaiser sambil berbisik.
Yasmin menangis. Terasa pedih pergelangan tangannya akibat dipulas oleh Qaiser. Dia tidak menyangka Qaiser akan bertindak sejauh ini semata-mata demi Azeeza.
“Dii…dia…dekat…dalam hutan…” ujar Yasmin dengan suara tersekat-sekat.
Qaiser tersentak. Lantas dia melepaskan genggaman. Tubuh Yasmin ditolak supaya jauh darinya. Tanpa sebarang kata, dia meninggalkan Yasmin sendirian di dewan makan itu. Ada perkara yang lebih penting yang perlu diselesaikan selain memikirkan tentang tangisan Yasmin.
Yasmin hanya mampu memandang tubuh Qaiser yang menghilang. Air mata makin laju menuruni lekuk pipi. Sakit di tangan tidak mampu menandingi sakit yang telah Qaiser ciptakan di hatinya.
“Disebabkan perempuan tak guna tu kau sanggup sakiti aku, Qai. Aku akan pastikan perempuan tu akan terima balasan!” ucap Yasmin penuh dendam.



No comments:

Post a Comment