LANGKAH Dzil terhenti. Matanya terpaku
melihat gelagat gadis bertudung hitam itu yang sedang
ligat tangannya terawang ke sana ke mari. Sebelah lagi
tangan gadis itu memegang telefon bimbit yang dirapatkan
ke telinganya. Hatinya tertanya-tanya. Sejak bila minah
bertudung hitam ni mula ada telefon bimbit. Tidak pula
dia mengetahuinya. Amboi, bukan reti pun nak bagi kat
aku nombor dia ya, marah Dzil sendiri. Langkah yang
terhenti diatur kembali mendekati pagar rumah yang
dahulunya sering menjadi tempat dia bertenggek.
Lama diperhatikan gadis itu bercakap sendirian.
Wah, bukan main khusyuk lagi bercakap, sehinggakan
dia yang berdiri di tepi pagar itu pun tidak disedari.
Membiarkan sahaja gadis itu, Dzil mengambil peluang
memerhatikan Acam sepenuhnya. Wajah polos gadis itu
ditenung lama melepaskan rasa rindu di hati. Wajah yang
semakin cerah dan bersih itu merona-rona merah disimbah
cahaya mentari.
Teringat pula kata-kata Mior, sahabatnya dulu.
Kenapalah gadis kasar yang tiada pun ciri-ciri gadis melayu
terakhir itu yang menjadi pilihannya? Hanya Dzil yang tahu
jawapannya.
Dzil yang dibesarkan dalam dunia semua lelaki
ketika zaman persekolahannya telah terbiasa dengan
kekasaran dan keganasan. Hidup Dzil dikelilingi oleh lelaki
setiap hari. Dari kecil hinggalah ke sekolah menengah, dia
hanya bergaul dengan pelajar-pelajar lelaki yang rataratanya
mana ada bersikap lembut. Bertambahlah pula
jika belajar di sekolah berasrama yang kesemuanya pelajar
lelaki. Hidup dengan dunia gangsterisme, pergaduhan
malah persahabatan sejati sudah sebati dengan dirinya.
Dia bukanlah pelajar nakal jauh sekali pelajar
bermasalah. Dia merupakan pelajar cemerlang dalam
akademik mahupun sukan di sekolahnya dahulu. Menjadi
kebanggaan guru-guru dan keluarga. Menggalas harapan
yang tinggi untuk menjadi seorang pelajar cemerlang.
Namun, takdir yang meletakkan dia hanya mampu melakar
cemerlang di PUO, walaupun destinasi sebenar Dzil
adalah di puncak menara gading. Dia mempunyai cerita
yang tersendiri di sebalik lipatan sejarah hidupnya.
Demi menggalas harapan yang dibebankan
di bahunya, dia sanggup berkorban mengetepikan segalanya.
Hidupnya belajar dan belajar. Setiap hari Dzil dan rakanrakan
akan mengadakan belajar berkumpulan di tepi tasik
yang berhampiran. Sehinggalah hari peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia pun, mereka masih tidak meninggalkan
rutin itu. Oleh kerana terlalu asyik hinggakan mereka
agak lewat menyedari waktu peperiksaan hampir tiba.
Biasalah, dengan keadaan gopoh-gapah dan hati
yang sudah bercelaru serta perasaan yang berperang sendiri,
motor yang ditunggang dipecut laju. Akhirnya, insiden
kemalangan di selekoh berhampiran sekolah itulah
menjadi penyebab keputusan peperiksaan Dzil kurang
memberangsangkan. Dzil menduduki peperiksaan dengan
luka-luka di tangan, kaki dan badan. Walau apapun yang
terjadi, peperiksaan harus didahulukan.
Pengawas yang bertugas juga masing-masing risau
melihat keadaan Dzil. Betullah, kalau dah degil tu, tetap
degil. Mana mahu mendengar kata orang. Hanya selepas
menduduki peperiksaan, barulah Dzil mendapatkan
bantuan rawatan di klinik berhampiran. Itupun puas dipaksa
oleh guru mereka.
Mungkin ada hikmah di sebalik semua yang
terjadi. Andai keputusan SPMnya cemerlang, mana
mungkin dia akan berada di PUO ini. Mana mungkin dia
akan dapat peluang mengenali gadis bertudung hitam
itu. Mana mungkin dia akan merasakan debar merindu
gadis itu saban hari dan mana mungkin dia sanggup
tercegat di tepi pagar itu hanya untuk berbalas gaduh
dengan gadis idamannya.
“Acam, tu bukan Dzil ke yang bersidai kat pagar
tu?” laung Yani.
Lamunan Dzil terhenti dek laungan Yani yang
bagai guruh di langit tu. Minah bertubuh kecil itu nampak
sahaja ala-ala ayu, tapi sekali menjerit, kalah mak tiri. Acam
yang baru sahaja selesai berbual-bual di telefon bimbit
terus berpusing 180 darjah melihat ke arah Dzil yang
tersengih bersidai pada pagar seperti dahulu. Rindu juga
dia sebenarnya dengan situasi itu. Senyuman dilemparkan
kepada Dzil. Wah, hati Dzil yang rindu dendam terusterusan
dijentik rasa bahagia melihat senyuman yang
terukir di wajah Acam. Ingat senangkah hendak dapat
senyuman itu. Kena tunggu hampir tiga semester tahu
baru dapat, kalau tidak muka ketat dan kelat saja
dipamerkan olehgadis bertudung hitam ini.
“Ei, awak buat apa tercegat kat tepi pagar ni?
Sambung hobi lama ya,” soal Acam dengan muka tak
bersalahnya. Mulut memang tak ada alas minah seorang ni.
“Assalamualaikum, awak,” balas Dzil.
Kali ini Acam bukan sahaja tersenyum malah sudah
menyeringai sengih di mulutnya. Dzil yang pertama kali
melihatnya seakan-akan terpaku. Apakah benar Acam
di depan matanya? Sudah semakin mesrakah mereka
sehinggakan Acam sudah tidak kedekut lagi menyerahkan
senyuman dan sengihan kepadanya. Hish, hilanglah nama
‘cik kede’ itu.
“Waalaikumussalam... ermm... tak boleh nak jawab
panjang-panjang sebab awak dah bagi sepanjangpanjangnya,
kan.” Lancar sahaja mulut Acam berbicara.
Entah kenapa, saat itu dia rasakan seperti sudah
mula boleh menerima Dzil. Namun, masih ada ruang
kosong yang menidakkan kehadiran Dzil sepenuhnya.
Biarlah masa yang menentukan, bisik Acam.
“Hah, ada apa awak datang ni? Nak jumpa Yani
ke?” sambung Acam kembali. Sengaja ingin bertanya
walaupun sebenarnya dia tahu selama ini pun kedatangan
Dzil ke situ adalah semata-mata untuk berjumpa dengannya.
“Hmm... tak adalah. Saja singgah nak tengok awak.
Rindu pula kat awak.” Tu dia, statement lentok Dzil yang
menjemput rona-rona merah menyimbah ke wajah Acam.
Selamba gila saja mamat ini bercakap, tidak berlapik
langsung.
“Kalau tak ada apa-apa saya nak masuklah,” ujar
Acam. Kekok sebenarnya bertemu muka dengan Dzil
walaupun ini bukan pertama kali mereka bertemu.
Setiap kali wajah jejaka itu ditatapnya, setiap kali
itu jugalah jantungnya bagaikan hendak terkeluar daripada
badan. Hish, jenuh nak kutip kalau melompat sungguhsungguh.
“Dah siap berkemas ke? Nak saya tolong?”
Sengaja Dzil menawarkan diri sedangkan dia sedar,
3000 tahun pun tidak tentu lagi si Acam yang berada di
depan mata itu hendak izinkan dia menolongnya mengemas
di rumah itu. Maklumlah, rumah pelajar perempuan pula,
mana boleh senang-senang untuk masuk.
Juling 270 darjah mata-mata jiran keliling nanti.
Sedangkan kedatangan Dzil yang gemar bersidai di
pagar itu pun dah menjemput muncung dua tiga ela jiran
tetangga. Ada juga mak cik-mak cik yang sibuk bergosip
tentang pelajar-pelajar yang menyewa di kawasan kejiranan
mereka termasuklah penghuni rumah Acam. Biasalah,
mesyuarat tingkap mak cik-mak cik mestilah kena
masukkan topik-topik hangat tu. Kalau tidak, mana hendak
datang meriahnya.
“Erm... tak banyak pun yang nak dikemas. Kain
baju aje pun, bukan susah sangat,” balas Acam. Hati sedikit
tersentuh dengan keprihatinan Dzil. Saat itu, dia disapa rasa
rindu pada wajah tampan lelaki itu. Teringat hampir setiap
malam suara lelaki itu menemaninya sebelum tidur.
“Jom, makan malam dengan saya nak? Saya
belanja,” pelawa Dzil.
“Err... err... tak apalah awak, saya tak laparlah,”
balas Acam teragak-agak. Hendak terima ke tidak,
perasaannya berbelah bagi.
“Oh, kalau saya ajak awak tak nak, kalau kawan
lelaki awak yang kat sana tu ajak, bukan main lagi.
Laju aje awak, kan. Yalah, nak banding saya dengan dia,
siapalah saya ni. Dia tu ada kerjaya, handsome, ada kereta,
saya ni apalah yang ada, harapkan handsome lebih
sikit aje daripada dia,” ujar Dzil sengaja bernada rajuk. Biar
rasa minah kat depan ni bila dia sekali-sekali merajuk.
Wajah Acam bertukar putih seketika. Alahai,
merajuk ke mamat ni. Bunyi macam jealous pun ada juga.
Tapi yang tak menahan tu, tang mengaku diri tu lebih
handsome. Aduh... dalam merajuk sempat lagi promote
diri sendiri. Acam menekup mulut menahan tawa.
Bimbang juga jika terhambur tawa di situ, kecil pula hati
Dzil.
“Okeylah, tapi tak naklah lewat sangat. Kita makan
kat gerai hujung simpang tu ajelah ya. Awak tunggu saya
kat sini lepas maghrib. Jalan aje tau, tak nak saya jadi minah
rempit.”
“Eleh, kata brutal. Rempitlah sekali-sekala,” usik
Dzil. Suka melihat muncung Acam yang kini jarang
kelihatan.
“Eii... nanti saya tak nak keluar dengan awak
nanti,” ugut Acam. Mencerlung matanya memandang
wajah Dzil yang masih tersengih bagai kerang busuk
tu. Kerang busuk pun tak ada tersengih-sengih macam
mamat ni.
“Okey, saya tunggu kat sini. Chow dulu, dah lama
kat sini nanti juling mata mak cik-mak cik jiran awak tu
yang asyik terhendap-hendap dari tadi.” Sengaja suaranya
dikuatkan.
Acam masih lagi tersenyum walaupun deruman
motor Dzil sudah jauh meninggalkannya. Memerhatikan
keadaan sekeliling yang semakin menggelap, cepat-cepat
Acam kembali melangkah ke dalam rumah. Pandai buat
janji, kenalah kotakan. Tidak terima ajakan Dzil, bimbang
kecil hati pula. Yalah, sudah berkait-kait pula dengan kisah
dia dan Qaid, tidak seronok juga. Lagipun, hati kecil Acam
rasa pilu bila melihat wajah suram mamat itu ketika
ajakannya ditolak tadi.
TEPAT jam 8.00 malam, Dzil sudah terpacak di hadapan
pintu pagar rumah sewa Acam. Senyuman tersimpul di
bibir Dzil apabila melihat Acam yang baru sahaja keluar
dari pintu rumah. Matanya terpaku pada penampilan Acam
yang nampak comel pula malam itu. Selalunya Acam yang
sering mengenakan baju-T dan jean, berlainan pula malam
itu. Gadis itu nampak comel dengan blaus bunga-bunga
halus, dipadankan pula dengan long pants hitam lembut
yang beralun-alun apabila dia melangkah. Nampak lebih
keperempuanan ditambah pula dengan selendang bawal
yang dipin kemas di kepalanya. Berlainan sungguh.
Memang sangat berlainan dengan penampilannya ketika
mula berkenalan.
Teringat ketika dia mula-mula terserempak dengan
Acam bersama teman sepejabatnya di Wiracourt tempoh
hari. Beginilah juga penampilan Acam. Manalah hati
lelakinya tidak tercuit melihat mata teman sepejabat
Acam yang tidak lepas-lepas terpaku kepada gadis
idamannya itu. Kalau Acam itu milik dia, mahu sahaja
dikorek-korek mata mamat tu. Suka-suka aje nak merenung
Acam. Hish, melalut ke laut dah kau ni Dzil oii, orang dah
ada depan mata, kau asyik teringat-ingat, desis hati kecil
Dzil.
Pintu pagar yang tidak berkunci dikuak lebar.
Tersungging senyuman di bibir Acam apabila melihat Dzil
yang sungguh menepati masa.
“Sorry ya awak, lambat sikit. Tu mak cik-mak cik
dalam rumah tu kirim salam. Dia orang tanya, tak nak
belanja dia orang sekali ke?” ucap Acam menyampaikan
amanat teman-teman serumahnya. Cemburu sungguh
teman-teman serumahnya itu apabila mendengar Dzil
mengajak Acam keluar makan. Lebar sengihan Dzil
mendengarnya.
“Girls, kalau kat dalam tu ada lagi yang nama Acam
jomlah, aku belanja,” laung Dzil kuat.
Hish, mamat ni. Ada ke main laung-laung malammalam
begini. Nasib baik tidak ada jiran tetangga yang
menyahut. Buatnya dijerkah dek mereka, kan haru. Mahu
sahaja ditamparnya bahu mamat itu, tapi isy, sabar, bukan
muhrimlah untuk main tampar-tampar. Laungan Dzil
disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan serumah
Acam. Sah-sah satu rumah bergema dengan tawa mereka,
sampaikan kat luar pun boleh kedengaran.
Tanpa menghiraukan usikan rakan-rakan Acam
itu, mereka melangkah menyusuri malam yang disinari
lampu neon sepanjang jalan di taman itu ke arah gerai
makan di hujung simpang. Gerai makan Mak Tam Tom Yam
itu memang menjadi lokasi pelajar-pelajar duduk melepak
sehingga ke awal pagi. Tambahan pula ada skrin besar dan
siaran Astro. Kalau musim perlawanan bola sepak, riuh
rendahlah kawasan tu dengan sorak-sorai mereka. Jangan
terkejut kalau ada yang bersidai sampai subuh. Yang
ponteng kelas pun ramai juga. Bukan salah Mak Tam, salah
budak-budak itu sendiri. Kalau sudah layan bola, memang
tidak ingat.
Langkah diatur menuju ke arah meja yang sedikit
menjauh daripada meja yang lain. Dua tiga pasang mata
sempat juga mengerling ke arah mereka. Dzil hanya
membalas dengan senyuman dan lambaian tangan.
Mungkin rakan-rakan Dzil agaknya, desis hati Acam. Tapi
yang pasti bukan ungka-ungka yang selalu asyik bersiulsiul
kat dialah.
“Nak makan apa?”
Menu di tangan dihulurkan kepada Acam yang
masih lagi sedang menyelesakan diri dengan mata-mata
yang masih terarah kepadanya. Mata Acam menyorot satu
per satu menu yang tersenarai. Semuanya nampak
menyelerakan. Sudah lama tidak merasa masakan Mak Tam
semenjak mengikuti latihan praktikal. Kalau ikutkan hati
nak makan banyak-banyak tapi otak ligat memainkan
peranan. Control. Bukan apa, semenjak tinggal di rumah
sendiri dan makan air tangan ibu, badannya terasa seperti
sudah berisi sedikit walaupun dinafikan oleh rakan-rakan.
Dzil pula hanya membiarkan Acam membuat
pilihan. Terhibur melihat keletah gadis itu. Yalah, dia pun
perasan renungan sahabat-sahabatnya yang ada di gerai itu
ketika terlihat Acam. Macam tak pernah tengok perempuan.
Tapi ini bukan kes tak pernah tengok perempuan, tapi kes
tak pernah tengok Acam seayu malam itu. Bukanlah kata
Acam tak pernah berpakaian sebegitu, malah selalu sahaja
berbaju kurung kalau ke kuliah, tapi malam itu Acam
memang ketara berbeza. Puas juga Dzil memikirkan apakah
kelainan yang ada pada Acam malam itu, namun tidak dapat
ditelahnya.
“Dah tau nak makan apa? Kasihan abang ni tunggu
lama nak ambil oder,” usik Dzil.
“Hmm... bagi saya nasi goreng pattaya dan milo ais
ajelah, bang,” ujar Acam lalu menyerahkan menu kepada
Dzil yang sengaja duduk di hadapannya. Bukan apa, mudah
sikit untuk buat operasi tenung-menenung ini. Bukan selalu
dapat peluang macam ini pun, kan.
“Saya pun samalah, bang,” sambung Dzil pula.
Terjongket kening Acam mendengarnya. Mengada-ngada
betul. Sajalah tu malas nak pilih, nak ikut selera orang pula,
rungutnya di dalam hati.
Sementara menantikan makanan yang dipesan
tiba, masing-masing terdiam melayan fikiran sendiri.
Sesekali mata bersabung namun cepat-cepat pula Acam
melarikan pandangan matanya. Tidak sanggup direnung
oleh jejaka di hadapannya itu.
“Amboi, dah ada handphone, tak nak bagi nombor
kat saya ya,” tegur Dzil.
Sebenarnya sengaja dia menanti saat itu untuk
mengutarakan topik telefon yang dilihatnya petang tadi.
Bukan dia tidak boleh bertanya ketika bersidai di pagar
petang tadi, tapi sengaja tidak mahu menjadikan ia bahan
pergaduhan. Lagipun kalau tanya awal-awal, bimbang
peluangnya untuk makan malam bersama Acam tidak
kesampaian.
“Awak tak minta, saya tak kasilah,” selamba pula
bunyi jawapan Acam. Hish, minah ni ada aje jawabnya,
gerutu Dzil.
“Okey, bagi nombor sekarang.”
“O12-3435567.”
Segera papan kekunci di telefon bimbit Dzil
ditekan satu per satu dan ketika itu juga telefon bimbit
Acam berbunyi. Acam merenung nombor yang tertera di
skrin.
“Ah! Save nombor tu, tau!” pesan Dzil sambil
mengenyitkan mata.
Hish! Mamat ni, boleh buat gugur jantung aku
tau, rungut Acam sendiri. Dahlah muka tu handsome,
asyik main kenyit-kenyit mata pula. Nasib baiklah makanan
yang dipesan cepat saja sampai. Boleh jugalah habiskan
masa dengan melayan makanan yang sudah pun terhidang
di depan mata.
Sedang enak melayan nasi goreng pattaya, bahu
Dzil ditepuk daripada belakang.
“Woi, bro! Kau dating tak ajak aku pun,” sergah
Mior yang entah dari mana datangnya.
“Hui, sikit lagi aku nak tersedak, bro. Kalau tak,
sure aku kena tempah satu wad malam ni. Adalah kau,”
marah Dzil. Marah main-main aje pun.
“Wah... dating dengan awek tak cakap.
Ni awek mana?”
“Lah, ni Acamlah, bro. Takkan kau tak kenal,” ujar
Dzil. Acam mendongak memandang ke arah Mior yang
masih berdiri di tepi Dzil.
Bulat mata Mior memandang Acam. Matanya tidak
berkelip-kelip. Seakan-akan tidak percaya gadis bertudung
pic itu Acam. Acam, gadis brutal dan tomboi yang selalu
menjadi bahan usikan mereka dahulu. Acam yang digila-
gilakan sangat oleh Dzil dan kegilaan itulah juga yang
selalu menjadi bahan ketawa mereka.
Kerusi di sebelah Dzil ditarik, lalu Mior
melabuhkan diri di atasnya. Alahai, kenapa mata dah tidak
boleh pandang tempat lain. Mior diserang rasa kalut.
Kenapa comel sangat minah ni sekarang.
“Biar betul kau, Acam.” Mior masih tidak
mempercayai matanya.
“Wei bro, aku tau lah aku tak ada kat sini satu
semester, takkanlah satu semester aku dah jadi Angelina
Jolie,” lancar sahaja mulut Acam menyindir.
“Hah, yang ni confirm kau Acam. Mulut tak boleh
blah,” kata Mior sambil ketawa.
“Bro, dah-dahlah tu asyik usyar awek aku.
Cepat-cepatlah blah,” bisik Dzil. Tidak puas hati melihat
Acam menjadi tatapan mata si Mior. Wah, kacau daun pula
mamat ni.
“Wei, serius ni aku cakap. Kalau kau tak cakap
mati-mati aku ingat awek manalah. Hish, melepas aku bro.
Kalau tau, awal-awal aku dah tackle.” Serentak dengan itu,
terdengar jeritan kecil Mior.
Padan muka, ada hati nak mengurat gadis idaman
aku, getus Dzil. Puas hati dapat memijak kaki Mior tadi.
“Okeylah bro, aku chow dulu. Jumpa kat rumah
nanti.”
“Acam, lain kali jumpa aku tegur-tegurlah.
Comellah kau malam ni, nasib baik Dzil dah chop dulu,”
sambung Mior. Meletus tawa kecil dari mulutnya.
Terkedu Acam mendengar kata-kata yang terkeluar
dari mulut Mior. Dalam hati tertanya-tanya apalah yang
dibisikkan oleh mereka berdua sebelum Mior mengaduh
sakit sebentar tadi. Hish, lantaklah. Malas hendak
melayan kerenah dua orang lelaki yang tidak cukup
haul itu.
Waktu berlalu cukup pantas. Jam sudah
menunjukkan angka 10.00 malam. Selepas menghantar
Acam ke rumah, Dzil memohon diri pulang. Dia menunggu
seketika sehingga Acam masuk ke dalam rumah.
Bukan apa, ingin memastikan keselamatan Acam. Woi,
siapa yang tak sayang awek. Nak-nak pula awek yang susah
bukan main nak tackle. Eh... bila masa Acam setuju jadi
awek dia ya, Dzil tergelak sendirian. Boleh pula layan fikiran
sendiri sambil berlalu.
Mata Acam yang semakin kuyu terganggu dengan
bunyi beep telefon bimbitnya. Segera telefon bimbit dicapai
lalu mesej masuk dibaca.
Assalamualaikum awak,
Terima kasih ya sudi keluar makan dengan
saya. Harap ini bukan yang pertama dan
terakhir tau. Selamat malam, tidur lena-lena,
jemput saya sekali dalam mimpi awak.
Sweet dream my girl ~
Always yours, Dzil.
Senyum. Perasaan indah menjalar di segenap
ruang rasa. Tidurlah dengan senyuman itu, moga hari yang
indah bakal menyusul. Dia hanya mampu menyerahkan
segalanya kepada perancangan Yang Maha Esa. Namun
dia tahu, arah mana hatinya mula tujui. Semoga laluan
yang akan mereka susuri tidak diduga hebat dengan
onak dan duri.
No comments:
Post a Comment