“INI barulah anak ibu. Cantik dan manis
orangnya,” puji Puan Hasmah, lega kerana Diya akhirnya
menukar juga pakaiannya. Anaknya itu turun semula dengan
mengenakan sepasang baju kurung warna biru.
“Kawan along tu datang cuma nak tengok muka Diya
aje, bukannya datang dengan membawa rombongan merisik.
Tak perlulah nak bersopan sangat, hipokrit namanya tu.” Ujar
Diya.
“Diya… kita ni orang Melayu. Kena beradab sopan
dan menghormati tetamu. Itu kan tuntutan agama. Satu
lagi, bila Diya nak pakai tudung ni? Mazni yang lebih muda
daripada Diya pun tahu tutup aurat,” komen Puan Hasmah.
Diya memandang sekilas wajah Mazni yang sedang
menyusun gelas di dalam dulang. Anak gadis berusia 15
tahun itu hanya diam. Tak berani nak membuka mulut. Dia
sedar yang dirinya hanya menumpang dalam keluarga itu,
jadi dia mesti pandai membawa diri.
“Yalah… Diya tahu tu semua. Apa-apa pun yang kita
nak buat mestilah ikhlas dari hati, betul tak ibu?” balas Diya.
Puan Hasmah menggeleng kepala. Dia terus ke
dapur dan menyiapkan hidangan yang hampir siap. Nasib
baik Yanti, pembantu rumah mereka seorang yang boleh
diharapkan. Ringanlah sikit kerja rumah. Mazni pun banyak
membantu dia di dapur. Nak harapkan Diya, hanya anganangan
sahajalah. Itu yang dia hairan apabila Diya memohon
kerja di hotel sebagai tukang bersih bilik. Macam mimpi.
Tapi apabila mengenangkan kerajinan Diya yang turut
membantunya di dapur sehari dua ni, dia gembira. Mungkin
ada kebaikan dan hikmahnya juga Diya bekerja di situ.
“Sudahlah… mari tolong ibu ni, bawa hidangan ni.
Kemudian letak atas meja di ruang makan tu. Lambat siap,
lambat pula kita makan. Kejap lagi ayah balik,” arah Puan
Hasmah.
“Ibu… tembikai ni Maz potong ya.” Mazni
mengangkat buah tembikai dan meletakkannya di atas meja.
“Tak payahlah. Maz tolong bawa hidangan ni kat
ruang makan, susun dengan elok. Diya… tolong potong buah
tembikai ni, jangan bagi hancur pulak.” Pinta Puan Hasmah
sambil memandang wajah Diya yang baru muncul di ruang
dapur selepas membawa dua pinggan lauk ke ruang makan
tadi.
“Yalah, macamlah Diya tak pernah buat.”
Diya mengherotkan mulutnya. Ibunya suka sangat
memperlekehkan dia.
Mazni hanya mengukir senyum memandang wajah
Diya yang masam mencuka. Puan Hasmah pula hanya
tersenyum. Dari ekor matanya, dia melihat Diya mencapai
pisau dan memotong buah tembikai. Dalam diam, dia sengaja
mahu mendidik anaknya itu supaya bijak menguruskan
urusan di dapur. Perempuan, walaupun sebijak mana pun
tahap pengajiannya, takkan lari daripada menguruskan
kerja dapur. Takkanlah nak mengharapkan pembantu rumah
semata-mata. Bak kata orang, air tangan seorang isteri
dan ibu itu amat berharga demi menjaga kerukunan dan
keharmonian rumah tangga.
Tidak berapa lama kemudian, Encik Jamaluddin
pulang dan dia terus menyertai Amin di ruang rehat. Puan
Hasmah mengangguk perlahan, lega kerana semua hidangan
siap dan tersedia di atas meja. Kejap lagi bolehlah mereka
makan bersama.
“Kak Diya, kawan Abang Amin tu handsomelah.
Maz rasa, tentu Kak Diya akan terpikat nanti,” bisik Mazni
perlahan di telinga Diya.
“Kalau Maz berkenan, Maz aje yang pikat dia.”
Balas Diya separuh berbisik. Mereka berdua berbisik ketika
menuangkan air ke dalam gelas. Malas Diya nak mengintai
kawan abangnya itu. Nanti dikatakan dia yang melebih pulak.
“Alah Kak Diya ni, Maz ni masih sekolah lagi, baru
15 tahun. Tak naklah terlibat dengan cinta. Maz nak belajar
bersungguh-sungguh. Kalau boleh, Maz nak balas jasa ibu
dan ayah dulu sebelum fikirkan soal cinta. Lainlah dengan
Kak Diya, dah habis belajar. Eloklah fikirkan pasal jodoh.
Lagipun sekarang ni, jodoh dah ada depan mata, tunggu nak
terima aje.” Kata Mazni sambil tersenyum.
Diya memandang wajah Mazni dengan dahi berkerut.
Boleh tahan juga celoteh si Maz ni, mengalahkan Si Jemy.
“Kak Diya belum pun tengok orangnya. Jadi, Kak
Diya tak naklah buat keputusan terburu-buru. Kalau ya pun
setakat tengok aje, tak ada maknanya kalau kita tak kenal
hati budi. Kata orang, apabila kita cintakan seseorang…
tak semestinya kita mengenali dia seratus peratus. Dalam
cinta, banyak kebohongannya. Dan apabila kita dah memiliki
dan hidup bersamanya pun, jangan menaruh sepenuh
kepercayaan kita kepadanya kerana tak mungkin manusia itu
akan jujur seratus peratus.” Diya memberi pendapat sambil
menyusun buah tembikai di dalam bekas.
“Ya, Maz percaya tapi setidak-tidaknya Kak Diya kena
bagi peluang untuk diri Kak Diya mengenalinya. Manalah
tahu, dia tu sebenarnya pilihan untuk Kak Diya. Mungkin
juga, kawan Abang Amin yang kat luar tu sebenarnya Mr.
Perfect yang Kak Diya tunggu selama ni?”
Terbeliak mata Diya mendengar kata-kata Mazni itu.
“Eh! Macam mana boleh timbul perkataan Mr.
Perfect ni?” Diya merenung wajah Mazni dengan hairan
sambil mengherotkan mulutnya.
“Telinga Maz ni masih berfungsi dengan baik. Maz
dah selalu sangat dengar Kak Diya sebut perkataan tu. Kak
Diya sedang tunggu lelaki yang akan hadir dalam hidup Kak
Diya, kan!” Mazni tergelak kecil.
“Bijak juga adik Kak Diya ni. Sebab tu Kak Diya
sayangkan Maz.” Akhirnya Diya turut tergelak sambil
menggelengkan kepalanya. Dia memeluk erat tubuh Mazni
sambil mengukir senyum.
“Maz pun sayangkan Kak Diya.” Ucap Mazni sambil
membalas pelukan Diya.
Sebelum kedatangan Mazni dan Fauzan, Diya cuma
ada alongnya. Kehadiran Mazni dan Fauzan menceriakan
keluarga Diya. Sikap mereka yang pandai membawa diri itu
membuatkan Diya menjadi matang dan bersikap lebih dewasa.
Sebelum ini dia merupakan anak yang manja dan nakal.
“Diya, apa lagi yang dibualkan ni? Dari tadi tak habishabis
lagi potong buah tembikai tu?” Puan Hasmah tibatiba
muncul mengejutkan Diya dan Mazni. Segera pelukan
dilepaskan. Seketika, mereka saling berbalas pandang.
“Dah siaplah ibu… dari tadi lagi,” balas Diya sambil
memandang hidangan yang sudah siap di depan mata. Mazni
turut mengangguk perlahan tanda mengiakan kata-kata Diya.
“Pergi panggil ayah, along dan kawannya kat depan.
Jangan asyik berborak aje kat sini sampai sejuk hidangan atas
meja,” arah Puan Hasmah.
“Baik. Arahan diterima dan akan disampaikan,” kata
Diya sambil meletakkan tangan di sisi kepala sebagai tanda
bersiap untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.
Puan Hasmah hanya menggelengkan kepala.
DIYA YANG baru muncul di ruang tamu itu segera
melemparkan senyuman kepada tetamu yang sejak dari
tadi terus terpaku menatap wajahnya sebaik sahaja dia
menjejakkan kaki ke ruang tamu itu.
“Ayah, along… jemput makan,” pelawa Diya sambil
melemparkan senyuman.
“Aik, ajak kami berdua aje. Tetamu kita ni macam
mana? Tak pelawa makan sekali ke?” Amin bersuara sambil
melirik kepada temannya yang diam membisu. Hanya
senyuman menghiasi wajah tampannya. Ah! Satu senyuman
yang cukup menawan.
“Yalah, termasuk tetamu sekali la tu. Apalah along
ni, buat malu orang je!” Diya menjeling tajam. Along ni
memang, sengaja nak mengenakannya.
“Kawan along ni punya nama. Md. Aniq Hilmi
bin Datuk Mukhlis.” Amin menghampiri kawannya, bahu
kawannya itu ditepuk perlahan.
“Yalah… jemput makan Encik Md. Aniq Hilmi bin
Datuk Mukhlis,” pelawa Diya dengan ramah. Siap sebut nama
bapa sekali. Mata Amin sudah membulat. Dia tahu yang Diya
sengaja nak mengenakannya semula.
“Tak payahlah berencik-encik, panggil Abang Aniq
pun dah cukup,” dengan senyuman yang menarik menghiasi
bibirnya, lelaki itu bersuara.
‘Alahai, suara... machonya! Tertawan saya. Hesy,
apasal tetiba aje aku jadi perempuan gatal ni?’ Diya mengutuk
diri sendiri.
“Silakan… nanti sejuk pulak hidangan kita nanti,”
ajak Encik Jamaludin mendahului Amin dan temannya.
“Jomlah… makan sekali,” ajak Aniq apabila melihat
Diya masih kaku di situ.
“Er… ya… ya…” tergagap-gagap Diya membalas
membuatkan Amin tergelak kecil. Pantas tangan Diya
mencubit lengan alongnya itu.
“Aduh, sakitlah!” jerit Amin perlahan sambil
menggosok-gosok lengannya.
“Sukalah tu, dapat malukan Diya depan kawan along
ya.” Diya mengacip gigi sambil berbisik perlahan di sebelah
alongnya.
“Jom, Niq. Usah pedulikan budak ni. Dia memang
macam tu,” kata Amin sambil meninggalkan Diya di belakang.
“Diya… jom,” ajak Aniq apabila melihat wajah Diya
yang masam mencuka, mungkin juga geram diusik alongnya.
“Erm… yalah.” Diya menggaru-garu lehernya sambil
menghadiahkan senyuman.
Akhirnya Diya mengatur langkah mengikut jejak
mereka ke ruang makan. Di meja makan, Diya tak banyak
bersuara. Tangannya asyik menggaul nasi di dalam pinggan,
mengunyah pun antara nak dan tak nak aje. Dia tahu mereka
yang ada di situ sedang memerhatikannya. Biarlah!
“Aik, Diya. Dari tadi tak luak pun nasi dalam pinggan.
Kenapa, tak sedap ke masakan ibu?” tegur Puan Hasmah. Dia
sedar, sejak dari tadi anak perempuannya agak gelisah dan
sesekali merenung wajah jejaka yang ada di hadapannya itu.
“Sedap.” Diya segera bersuara dengan wajah
terkulat-kulat apabila semua orang yang berada di meja itu
sedang memandangnya.
“Segan ya! Apalagi bila makan berhadapan dengan
kawan along yang handsome ni, kan.” Amin mencelah
membuatkan Diya tersentak. Hampir tak tertelan air liurnya.
Aniq yang berada di hadapannya segera
menghadiahkan senyuman membuatkan hati Diya benarbenar
panasaran. Diya tersenyum sendiri. Tapi cepat-cepat dia
mengawalnya. Bimbang dia akan diketawakan oleh mereka
yang ada di meja makan itu, terutama alongnya.
“Diya ke dapur dulu, dah kenyang!”
Diya segera membawa pinggan yang masih
banyak bersisa ke ruang dapur. Dari dapur dia sudah dapat
mendengar ilai tawa di ruang makan. Mesti tak lain tak
bukan, menggelakkannya. Dan pasti… mastermindnya ialah
Amin. Jaga kau! Diya mengetap bibir sambil menonyohnonyoh
pinggan dengan span pencuci.
DIYA DUDUK bersantai di ruang rehat sambil menonton TV.
Sejak dari tadi Mazni asyik berkurung di bilik, katanya nak
buat ulang kaji. Lagipun, Diya dalam zon ABC. Allah bagi cuti.
Pembantu rumahnya, Yanti sibuk di dapur membersihkan
periuk yang kotor.
Diya mengeluh perlahan. Novel yang berada di
sisinya dicapai dan dibelek-belek seketika. Tak ada mood nak
membaca pula. Matanya terpejam seketika. Wajah Aniq mula
terbayang di mata.
“Isy… apasal aku teringatkan dia ya?” Matanya
dibuka kembali dan dia menepuk dahinya sambil tergelak
kecil.
“Jangan tenung lama-lama… nanti terpikat, susah!”
bisik Amin perlahan di telinganya semasa dia berada di muka
pintu tadi, menghantar ibu, ayah, Amin dan Aniq keluar
untuk ke masjid. Ada majlis dan jamuan di sana. Teringin
juga dia nak pergi, tapi sekarang ni dia ‘sedang bercuti’. Aniq
nampak segak dan kacak mengenakan baju Melayu warna
biru dan kain pelikat milik alongnya.
“Kalau terpikat, salah ke?” saja Diya nak berbalas
kata.
“Nope… itulah tujuan sebenar Aniq datang sini. Nak
pikat adik along ni,” balas Amin dengan muka selambanya.
“Dahlah, pergi masjid sekarang. Tok Imam dah lama
tunggu along!” Diya menolak tubuh alongnya membuatkan
tubuh Amin terdorong ke depan.
“Er… Diya tak ikut sekali ke?” tiba-tiba Aniq
bersuara.
“T… tak, saya…” serba salah pula dia nak berterus
terang.
“Dia tengah angkat bendera merah,” selamba aje
Amin menjawab bagi pihaknya. Binawe punya along. Bikin
malu dia betul!
“Apalah dia ni?” rungut Diya. Aniq tergelak kecil.
Diya rasa mukanya dah panas. Lantas dia terus masuk ke
dalam rumah.
Diya kembali memandang skrin TV, cuba membuang
ingatannya daripada terus mengingati wajah Aniq.
“Assalamualaikum!” suara memberi salam di muka
pintu mengejutkan Diya yang sedang bersantai di depan TV.
Dia menoleh. Wajah orang tuanya, Fauzan, Amin dan Aniq
terlayar di mata.
“Baru balik?” tegur Diya sambil melangkah ke arah
mereka.
“Aha… ralit berbual dengan jemaah, tak sedar
sampai jam 10.00 malam. Mana Mazni?’ Encik Jamaludin
bersuara.
“Kat dalam bilik. Ulang kaji!” balas Diya ringkas.
Puan Hasmah terus berlalu ke tangga untuk
ke biliknya. Fauzan juga laju melangkah ke bilik sambil
menguap. Mengantuk betul nampaknya.
“Ayah nak minum, Diya buatkan air.” Diya
menawarkan diri.
“Tak payahlah. Ayah nak masuk tidur. Penat sangat
hari ni. Aniq, uncle masuk bilik dulu ya. Buatlah macam
rumah sendiri, jangan segan-segan,” suara Encik Jamaluddin
sebelum berlalu pergi.
“Er… Diya pun masuk bilik dulu ya,” kata Diya.
“Tak nak temankan kami berborak ke?” tegur Amin
sambil melabuhkan punggung di sofa.
Aniq pula masih tegak berdiri berdekatan dengan
Diya. Macam nak cakap sesuatu tapi macam ditahan aje.
“Malaslah… men talk! Tidur lebih baik,” balas Diya
sambil melangkah pergi.
Aniq hanya memandang tanpa bersuara.
“Biarkan aje si Diya tu. Dia memang macam tu kalau
musim angkat bendera merah.” Amin mencelah.
Diya mencebik. Amin memang selalu sangat
menyakatnya. Ah! Pedulikan. Baik dia landing atas katil. Lagi
best.
Aniq melabuhkan punggungnya di sebelah Amin.
TV yang dipasang dipandang sekilas. Amin nampak santai
menyandar di sofa sambil memeluk bantal kecil.
“Min, kau rasa adik kau tu suka tak kat aku?” tibatiba
Aniq bertanya. Amin memandang wajah Aniq dengan
dahi berkerut.
“Entah…” selamba saja Amin menjawab, kemudian
pandangannya dihalakan ke arah TV.
Aniq mengeluh perlahan.
“Chill la kawan. Adik aku tu belum ada pakwe lagi.
Aku rasa kau ada peluang untuk dekati dia. Tadi pun aku
tengok dia asyik pandang kau aje masa kau borak dengan
ayah aku. Biasalah perempuan, takkanlah nak tunjuk yang dia
beria-ria sukakan seseorang… dah tu first time jumpa, kan.
Gelojoh namanya,” kata Amin cuba menenangkan perasaan
temannya.
“Ya ke?” Aniq bersuara perlahan. Hati kecilnya mula
berbunga riang.
“Kau ni sebenarnya sukakan adik aku atau sekadar
nak main-mainkan dia? Mana tahu kau saja nak test market
kau. Yalah, selama ni bukan main ramai lagi perempuan
datang mengendeng dekat kau,” kata Amin sambil
memandang sekilas wajah Aniq yang agak tergamam dengan
kenyataan itu.
“Eh! Aku betul-betul sukakan dia la. Kalau tak suka,
tak adanya aku datang ke sini semata-mata nak jumpa dan
nak kenal dengan dia,” sangkal Aniq dengan wajah serius.
“Yalah tu. Kau kena ingat, aku tak suka kalau kau nak
main-mainkan adik aku tu. Diya tu satu-satunya adik yang
aku ada. Dan aku tak akan biarkan mana-mana lelaki sakiti
hati dia. Kalau ada… nahas aku kerjakan!” Amin bersuara
tegas sambil memberi peringatan. Tajam matanya merenung
wajah Aniq yang agak terkesima. Terkejut mendengar amaran
itu mungkin.
“Aku seriuslah. Sejak pertama kali aku jumpa dia
tahun lepas, aku dah terpikat habis kat dia. Serius ni, bro…
aku janji yang aku akan cuba bahagiakan dia kalau dia terima
aku,” janji Aniq.
“Hmm… we’ll see!” Amin menumbuk bahu Aniq
menyebabkan lelaki itu mengaduh kesakitan sebelum keduaduanya
melepaskan tawa.
“Eh, kau dengan Misha macam mana? Bila nak on?”
perbualan mereka mula bertukar topik.
“Lepas raya ni kami bercadang nak bertunang, orang
tua kami pun tak ada halangan,” kata Amin sambil mengukir
senyum. Di matanya sudah terbayang wajah gadis manis
berlesung pipit sebelah kanan itu.
“Tahniah! Jangan lupa jemput aku masa tunang kau
nanti. Aku nak tengok juga majlis bertunang bakal abang ipar
aku ni, kan.” Kata Aniq berlawak.
“No problem. Lagipun kau kan kawan baik aku.
Mestilah kau dijemput sama.” Amin memeluk leher Aniq.
“Aku nak masuk tidurlah. Kau tahu kan yang mana
satu bilik kau. Jangan tersalah masuk bilik Diya, niaya aku
belasah nanti!” Amin bangun sambil menutup mulut yang
menguap.
“Kalau ya pun… agak-agaklah. Ingat aku ni gelojoh
sangat ke?” Aniq membaling bantal kecil yang dipeluk Amin
tadi.
“Manalah tahu. Kalau-kalau kau terdesak sangat,”
Amin ketawa.
“Gila kau!” marah Aniq sambil menggeleng kepala.
“Okey, bro. Aku masuk dulu!” Amin terus berlalu
meninggalkan Aniq keseorangan di ruang rehat itu.
Aniq menutup TV yang terpasang. Dia menuju ke
tangga dan terus memanjat setiap anak tangga untuk menuju
ke bilik tetamu. Tiba-tiba langkahnya terhenti saat matanya
bertembung dengan Diya yang baru keluar dari biliknya.
“Er… nak pergi mana ni?” tegur Aniq sedikit kaku
melihat wajah Diya yang turut terkejut.
“Nak pergi dapur, minum air.” Balas Diya.
Aniq meneliti penampilan Diya ketika itu. Nampak
comel mengenakan baju tidur lengan pendek dan seluar
separas betis yang ada gambar kartun. Diya yang menyedari
dirinya sedang diperhatikan mula menelan liur. Sungguh,
dia tak selesa apabila dipandang begitu. Bagaimanalah dia
boleh terlupa yang rumahnya sekarang dikunjungi tetamu.
Sepatutnya dia berpakaian lebih sopan.
“Kenapa pandang Diya macam tu?” Akhirnya Diya
memberanikan diri bertanya.
“Kenapa, tak boleh?” tanya Aniq tanpa menjawab
soalan Diya.
“Seganlah Diya.” Kata Diya menutup rasa malunya.
“Abang suka tengok Diya begini, comel.” Terluah
ayat itu dari mulut Aniq membuatkan Diya tergamam.
“Er…” Diya mula rasa serba salah. Mana tidaknya,
lelaki itu nampak sopan berbaju Melayu, berkain pelikat dan
bersongkok tapi dia… malunya!
“Diya pergi dulu!” Diya segera berlalu, tak tahan
untuk terus berada di situ lebih lama membuatkan malu dan
segannya kepada lelaki itu berguni-guni.
Aniq tersenyum melihat Diya melangkah laju
menuruni tangga untuk ke ruang dapur. Dia mula menyanyinyanyi
kecil sebaik saja kakinya melangkah masuk ke bilik
tamu. Ah! Satu hari yang cukup indah dan bermakna. Diya...
No comments:
Post a Comment