DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 6

“HOI, kau main takraw ke, kau intai awek?”
jerkah Mior ketika bola takraw yang dihantar kepada Dzil
tidak bersambut. Mana hendak bersambut, mata mamat
seorang itu asyik mengerling ke tingkat tiga asrama
puteri itu saja.
Dzil yang tersedar dirinya diperhatikan hanya
mampu tersengih mempamerkan barisan giginya. Setiap
petang memang menjadi kemestian Dzil menyertai rakanrakannya
bermain takraw di court yang terletak
berhadapan dengan asrama Blok F itu. Selalunya, dia akan
menjadi killer apabila mood rajinnya sampai, dan kerap juga
hanya sebagai pemain simpanan kalau mood mengintai
lebih daripada bermain.
Hari itu matanya lebih kerap memerhatikan
wajah gadis yang sedang tekun mengulangkaji di tepi
tingkap yang terbuka luas. Sesekali gadis itu akan
membuang pandang ke luar. Namun pandangannya
tertarik dengan gadis itu kerana setiap kali mereka
bermain takraw di situ, gadis itu tidak seperti pelajarpelajar
perempuan lain di blok tersebut yang
kebanyakannya sibuk berebut-rebut mencuri intai di
balik cermin tingkap bilik masing-masing. Bukan
mereka tidak perasan.
Berlainan benar dengan gadis yang sering
mengelamun di balik cermin jendela tingkat tiga itu.
Jangankan hendak mengintai, membuang pandang sekali
pun tidak pernah terhadap riuh mereka di situ. Dzil
berkira-kira, apakah agaknya yang sedang bermain di fikiran
gadis itu. Memikirkan tentang seseorangkah?
Gadis itu pula tidak pernah terperasan yang
dirinya telah mencuri perhatian seorang jejaka.
Gelagatnya di balik jendela kaca itu direnung oleh
sepasang mata nakal sang jejaka yang sudah mula
tertarik kepadanya. Dia tidak pernah membuang senyum
merata, tidak pernah menegur entah sesiapa tapi di
sebalik wajah garang dan ganas gadis bertudung itu,
bertamu keayuan dan kelembutan yang hanya boleh
dilihat oleh mata hati. Betullah kata pepatah
Inggeris, beauty lies in the eyes of the beholder.
“Wei, kau biar betul. Awek tomboi budak elektrik
tu ke yang kau berkenan sangat. Punya ramai awek yang
cun depan mata, dia juga yang kau pilih,” tegur Mior
suatu hari ketika pulang dari pasar malam.
Di pasar malam itulah dia bertemu dengan Acam
dan Ros. Di situ juga sengaja dia menegur Acam. Suka
melihat cemberut di wajah Acam apabila disakatnya.
Muncung 14 inci Acam yang boleh disangkut hanger tu
kadang-kadang cantik juga. Dia mula membayangkan
sesuatu yang lebih indah. Astaghfirullah… boleh melalut
pula fikiran ke lain.
“Tomboi bukan sebarang tomboi tu. Kau jangan
pandang dengan mata kasar. Cuba kau tenung betulbetul.
Ada ke tomboi nak bertudung litup macam tu?”
balas Dzil memanggil minda Mior untuk berfikir.
“Betul juga kata kau ya. Tapi minah tu tak boleh
blahlah. Asyik nak bertekak aje. Kau tengoklah, ganas
semacam.”
“Ganas luaran aje tu. Untuk kita-kita yang tak
kenal dia memang nampak ganas. Aku tak rasa dia 100%
macam tu. Aku rasa dia nak cover aje tu,” Dzil mula
membuat andaiannya sendiri.
“Habis tu aku tengok, dia macam tak ada feeling aje
dengan kau.”
“Alah, sekarang memanglah tak ada lagi. Dia kan
pandai cover line. Nanti kau tengoklah, dia mesti tak boleh
berpisah langsung dengan aku.” Confident sahaja Dzil
menjawab soalan Mior.
“Kau dah betul-betul nak pikat dia ni?” tanya Mior
minta kepastian.
“Eh, memanglah confirm. Sekali aku dah suka,
susah aku nak lepaskan.”
Kalau tidak berfikir atau berbual mengenai
Acam satu hari memang tidak tenang hidupnya. Miorlah
tempat dia sering mengadu domba. Walaupun Mior tidak
nampak apa kriteria yang dipunyai oleh Acam yang mampu
menawan Dzil, namun dia tidak lokek memberi semangat
kepada sahabat baiknya itu untuk terus mencuba. Kalau
nak diikutkan, si Dzil ini bukan calang-calang orang, kaki
buli. Berkawan pula dengan senior saja, kalau junior-junior
ni kurang sikit tapi kalau ada pergeseran antara junior dan
senior Dzil tetap akan back up group junior. Kalau di kelas
pula, bukan sedikit pelajar perempuan yang terpikat
dengannya.
Malah, kalau hendak diikutkan, ada juga seorang
dua yang sering bertanya kepada Mior tentang Dzil.
Bak kata orang, petik jari sepuluh yang datang. Tapi yang
peliknya, gadis bernama Acam juga yang dikejarnya.
Acam, Acam, Acam. Tiada nama lain meniti di bibir
sahabatnya itu. Itu Acam, ini Acam.
Dentuman kilat di langit mematikan lamunan
Dzil. Alahai, kacau betullah! Baru saja aku hendak
terkenang-kenangkan si Acam ni, dah kantoi, gerutu Dzil.
Subhanallah. Mana boleh marah pada guruh di langit.
Itukan ciptaan Allah. Teringat pula kejadian blok
asramanya yang dipanah petir suatu ketika dulu dan
ingatan kepada Acam kembali menjelma. Hish, mulut
mak cik tu.
Cuti semester yang datang memisahkan dia
dengan Acam. Semester depan pula, Acam tidak akan
berada di kampus kerana mengikuti latihan industrinya.
Dengarnya, dia memilih syarikat yang berdekatan
dengan rumah kedua ibu bapanya. Anak maklah katakan.
Hmm… nampak gayanya semester depan akan semakin
keraplah dia pulang ke Batu Pahat. Pulang menjenguk
keluarga sendiri dan bolehlah intai-intai Acam sekali.
Orang kata, sambil menyelam minum air.
Kenapa aku suka sangat kat kau ya, Acam, bisik
hati Dzil. Majalah Ujang yang ada di tangan dibelek-belek.
Mulutnya melakar senyum membaca kisah Aku, Dia &
Volkswagen dan Blues Untuk Aku. Kisah-kisah itu menjadi
kewajipannya untuk dibaca. Watak gadis bertudung yang ada
di dalam majalah itu direnungnya lama. Cantik. Seketika
dia teringatkan Acam. Sekali lagi matanya beralih ke arah
kartun itu. Betullah, macam Acam! Eh, dah angau apa
aku ni, semua pun nampak macam Acam, getus hati Dzil.
Mulutnya tersenyum lagi. Indah sungguh rasanya perasaan
yang hadir dalam hatinya itu.
Dentuman kilat masih lagi kedengaran. Hendak
keluar berjumpa rakan-rakan lama di hujung kampung
dah tergendala kerana cuaca yang tidak baik. Dzil yang
kebosanan masih lagi berbaring di atas katilnya sambil
membelek majalah yang masih di tangan. Penat
membaca, dia meniarap di atas katil bujangnya lalu
mencapai sebatang pensel dan sketchbook. Tangannya
pantas melakar kartun-kartun kecil meniru watakwatak
kartun di dalam Majalah Ujang yang dibacanya.
Memang Dzil mempunyai bakat dalam melukis cuma
sayang bakatnya itu tidak diketengahkan.
“Hmm, badan… rindu kat orang yang tak
rindukan kita. Nasib kaulah, badan,” keluh Dzil sendiri.
Sudahnya, dia tersengih-sengih sendirian mendengar
kata-katanya itu. Hai, mengeluh kau Dzil. Tidak
mengapa, jangan patah semangat.
Pensel di tangan diselitkan di celah telinga.
Lama dia tersenyum menyulam lamunan yang tadinya
terhenti. Dzil masih ingat saat mendapat tugasan subjek
Inggeris yang sama untuk semua kursus. Dengan yakin dan
bersemangat waja dia berjumpa dengan Ros.
“Ros, kau boleh tolong aku tak.”
“Kau nak aku tolong apa? Kalau aku boleh tolong,
aku tolonglah. Kalau tak mampu, aku reject awal-awal,”
balas Ros.
Memang baik budak Ros ni, lembut saja bicara dia.
Berlainan sekali dengan Acam, tapi itulah istimewanya
Acam. Lembut dalam kasar.
“Kau tolong aku bagi buku tugasan aku ni
kat Acam. Kata kat dia aku minta tolong dia buatkan
assignment aku ni.”
“Hish, gila kau. Berani-berani aje kau nak suruh
Acam buat. Aku takut dia buat belacan aje buku kau ni
nanti,” jawab Ros dengan mimik muka tidak percaya.
“Kau cubalah dulu, kalau dia buat belacan aku
bakarlah belacan tu. Buat sambal belacan pun sedap.”
Ros menggeleng kepala mendengar lawak tidak berapa
menjadi daripada Dzil itu.
“Elok sangatlah kau orang berdua ni. Loyar
buruk. Kalau kau orang ada jodoh, kahwin.. anak kau
orang esok harap-harap bolehlah jadi lawyer, kalau tak
jadi loyar buruk pun okey juga,” kutuk Ros pula selamba.
Wah, sudah pandai kutuk orang rupanya minah ini.
Tak sangka, buah cempedak sudah jadi nangka. Banyak
improvement nampaknya.
“Amin… moga termakbullah doa kau, Ros. Aku
sayang kau Ros, tolong aku ya,” pujuk Dzil. Ros sudah
menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat Dzil.
“Okeylah, aku cuba. Kalau dia koyakkan ke, dia buat
belacan ke, buat roket ke, kau jangan salahkan aku ya.”
Kadang-kadang Ros pun pelik dengan sikap Dzil.
Tidak henti-henti cuba menyakat Acam. Tapi dalam diam,
dia dapat menebak apa yang tersirat di hati lelaki itu. Ros
sebenarnya suka dengan apa yang tersirat. Dia rasakan
mereka berdua tu serasi berdansa… eh, silap... serasi
bersama. Kadang-kadang dia pun marah apabila Dzil terlalu
rapat dengan gadis berbaju biru yang diceritakan oleh Acam
tu.
Keesokannya, buku tugasan Dzil dipulangkan
semula. Kelat wajah Dzil melihat isinya. Bukan terdapat
tulisan cantik yang memenuhi tiap helaian tetapi dipenuhi
dengan contengan-contengan pen yang berwarna warni. Eh,
kreatif sungguhlah minah ni. Dzil tergelak sendirian. Tahu
sangatlah tu tanda Acam mengamuk sakan dengan
permintaannya. Alah, baru minta buatkan tugasan dah
mengamuk macam ni. Belum lagi minta tolong basuhkan
baju ke, gosokkan baju ke, lagi-lagi kalau minta jadi isteri
ke, sah-sah siap bersilat budak Acam tu. Kelakarlah minah
ni, bisik Dzil.
Matanya terpaku pada nota kecil yang terdapat
dalam buku itu. Segera didekatkan mata membaca setiap
bait yang ditulis.
Lain kali tugasan buat sendiri.. jangan
nak memandai suruh orang buatkan..
PEMALAS!!! :P
Hah, padan muka kau dapat pemalas sekali. Siap dengan
emoticon jelir lidah pula tu. Hati Dzil bagaikan digeletek.
Hendak ketawa risau pula orang kata tidak
siuman sebab ketawa seorang-seorang. Tapi hati memang
tidak boleh blah dengan nota minah ini. Pandai buat
lawaklah. Kelakar gila nota minah ini.
“Oh... pandai awak tulis nota kat saya ya. Lepas
ni saya hantar nota banyak-banyak kat awak pula.
Tengoklah.”
Dalam kepala dah banyak pelan yang beratur.
Mesti ada strategi untuk pikat gadis idaman hati. Strategi
pula bukan sebarang-sebarang, mesti yang ada kelas gitu.
Pelan Dzil seterusnya, mengirimkan salam
setiap kali habis kuliah melalui Ros. Kasihan juga
kepada Ros yang tidak habis-habis berleter kepadanya.
Katanya setiap kali dia menyampaikan salam,
mesti kena tuba dengan Acam. Kadang-kadang tu Ros ada
juga menggiatnya agar dikeratkan saja tangan itu, boleh
terus Ros bagi kepada Acam. Tidak perlu untuk
berkirim salam lagi. Lawak memang tidak ingat.
Langkah seterusnya, peluang yang hadir ketika
menyambut hari Valentine. Semua pasangan sibuk
mencari sesuatu untuk dihadiahkan kepada pasangan
masing-masing. Saat itu juga, Dzil tidak ketinggalan. Idea
paling bernas yang dia dapat semenjak mengenali Acam. Dia
akan mengambil peluang ini. Belum cuba belum tahu.
Suasana kampus sudah bertukar seperti kebun
bunga. Ke mana-mana sahaja ada saja bunga-bungaan.
Pusing kiri bunga, pusing kanan bunga, depan bunga,
belakang pun bunga. Senyuman, jangan cakaplah. Memang
ramailah yang tersenyum sampai ke mata.
Mengambil peluang yang ada, Dzil mendapatkan
seorang pelajar senior yang diberitahu oleh Meor,
menguruskan penjualan bunga di kampus itu. Kak Aishah
namanya. Susah juga hendak berjumpa dengan Kak Aishah
ni, maklumlah hot person untuk hari tu. Merata sahaja
jalannya. Selain menjual bunga, Kak Aishah juga
menyediakan khidmat penghantaran.
“Kak, nak pesan bunga satu.” Malu juga tapi
kenalah control macho.
“Hah, satu aje? Kedekutlah kau, kalau nak bagi
kat awek bagilah sejambak, tak pun paling sikit tiga
kuntum. Lagi nak nampak gentleman bagi satu lori.”
Dzil mempamer senyum, boleh tahan juga loyar
buruk Kak Aishah ni. Yalah, aku juga yang salah, pergi minta
satu memanglah kena tuba.
“Err, tak adalah satu kak, nak sejambaklah.”
“Kau nak bunga apa?” tanya Kak Aishah dengan
wajah manis. Manalah tak manisnya, customer babe!
Masyuk.
“Hmm... nak ros merahlah, kak.”
“Berapa kuntum kau nak?”
“Err.. kuntum-kuntum ni ada makna ke kak?”
“Adalah. Kalau tiga kuntum ros merah maksudnya
I love you... Eh... bukan akak love kat kau, nanti kau perasan
pula, makna dia aje tu,” balas Kak Aishah. Tersengihsengih
Dzil dibuatnya. Pandai sungguh Kak Aishah ni
buat lawak.
“Oh.. kalau banyak ros, maksudnya I love you
morelah ya, kak.” Kak Aishah menjungkit bahu. Ingatkan
aku yang loyar buruk, rupanya mamat ni lagi buruknya.
“Yalah kut. Hah, kau nak berapa kuntum?” soal Kak
Aishah lagi. Penat melayan budak Dzil ini.
“Hehe... tiga kuntum dahlah, kak.”
“Dah tu, macam mana dengan teori I love you more
kau tu. Tak nak dipraktikkan ke?”
“Err... kalau dia simpan tak apalah kak, kalau dia
buang, sayang kak,” balas Dzil.
“Isy... yang kau nak bagi ni kat siapa? Bukan awek
kau ke? Kalau awek kenapa pula nak dibuangnya. Kalau akak
terlompat-lompat macam kera dapat bunga. Kera pun tak
terlompat-lompat macam akak.”
“Err... future girlfriendlah, kak,” balas Dzil lagi.
Hanya ketawa Kak Aishah menyambut kata-kata Dzil.
“Okey, siapa nama budak ni? Course apa nanti
senang akak nak hantar.” Kak Aishah mencatit sesuatu di
diari kecilnya.
“Nama budak ni Acam, budak Kejuruteraan
Elektrik semester satu, kak. Hostel kat Blok F,” terang Dzil.
“Wah, bagus kau ya. Siap tahu hostel mana. Bilik
dia kau tahu juga ke?”
“Err... tingkat tiga, kak,” balas Dzil lurus. Pecah
berderai ketawa Kak Aishah lagi. Merah padam wajah Dzil
digelakkan oleh Kak Aishah namun masih kena control
macho.
Dzil mengeluarkan kad kecil yang telah dibelinya
siap-siap. Lalu mencoretkan sesuatu.
Nice to know you ---DZ’77
Kad kecil itu diserahkan kepada Kak Aishah untuk
diletakkan bersama kuntuman bunga ros merah yang
telah dihias cantik. Kak Aishah tersenyum melihat apa yang
tercoret di atas kad itu.
“Lah... ini aje. Akak ingatkan adalah ayat-ayat
cinta menyentuh jiwa raga, mencair hati segala tadi.
Kata nak mengayat awek,” seloroh Kak Aishah. Sekali
lagi Dzil hanya terkedu tak mampu menjawab apa-apa.
Hish, apa-apalah kak oii, nak tulis ini pun dah kira
nasib baik sangat kalau dia baca.
Sehingga lewat petang, jambangan ros Dzil
masih tidak dapat diserahkan. Beberapa kali juga
Kak Aishah menemui Dzil untuk memberitahunya status
mengenai penyerahan itu.
“Wei Dzil, kau ni biar betul. Wujud ke budak Acam
ni. Puas dah akak mencari merata-rata tempat. Di bilik
kuliah kosong, tak ada orang,” bebel Kak Aishah. Susah betul
hendak mencari budak bernama Acam ni. Dahlah namanya
tu unik sangat.
“Er.. kalau tak ada, akak hantar kat bilik dialah,”
cadang Dzil.
“Bernas juga idea kau ni ya, kenapa akak tak
terfikir tadi.”
Dzil mengekori langkah Kak Aishah menuju ke
hostel. Bukanlah ke Blok F, tapi laluan yang sama saja.
Tiba-tiba mata Dzil tertangkap wajah yang dinantinantikannya.
Segera dia menunjukkan sesusuk tubuh itu
kepada Kak Aishah. Dengan pantas, Kak Aishah
menjejaki gadis yang ditunjukkan kepadanya tadi. Cepatlah
selesai kerja-kerja penghantaran ni, dah jenuh mencari.
Pelanggan lain senang saja nak cari, tapi yang ini, aduhai...
kalau tidak jumpa mahu makan hari.
“Adik... adik... tunggu kejap.”
Terdengar laungan Kak Aishah berkumandang.
Kuat jugalah, kalau berada 200 meter pun masih boleh
dengar kut. Apatah lagi memang sehabis suara Kak
Aishah melaung. Dzil masih berlindung di sebalik dinding
bangunan. Tidak mahu dirinya dilihat. Acam yang sedang
berjalan terus berhenti apabila menyedari namanya
dipanggil. Dia berpaling. Dahinya berkerut seribu,
hairan kerana tidak pernah bertemu dengan senior yang
menyerunya tadi.
“Adik ni nama Acam ya?”
“Ha’ah. Kenapa, kak?” Soalan berbalas soalan.
“Lah... susahnya nak mencari adik ini. Meratarata
akak pergi. Asyik ulang-alik ke bahagian
kejuruteraan elektrik tapi semua orang tak nampak Acam,”
ujar Kak Aishah masih tercungap-cungap.
“Oh kuliah banyak batal hari ni, kak. Saya lepak
di perpustakaan aje tadi. Kenapa akak cari saya, ya?” Acam
bertanya lembut. Isy… minah ni kalau bercakap dengan
orang lain boleh pula lembut-lembut, kalau dengan
aku macam guruh, bebel Dzil sendiri.
“Nah, ini untuk adik,” kata Kak Aishah lalu
menghulurkan jambangan bunga ros yang dipegangnya.
“Hah... apa ni, kak? Akak salah orang tak?”
“Isy... mana ada salah. Betullah nama adik
Acam, kan. Hah, kat kad tu pun ada tulis. Okey, dah
settle semua. Adik ni yang last,” kata Kak Aishah lalu
melangkah pergi meninggalkan Acam yang masih
terpinga-pinga di tengah jalan.
Dari jauh Dzil dapat memerhatikan Kak
Aishah berlalu sambil mengangkat ibu jarinya kepada Dzil
yang masih bersembunyi di situ. Dzil masih tetap berdiri di
sebalik dinding itu. Dia ingin melihat apa reaksi Acam. Dari
tempat dia berdiri, kelihatan Acam sedikit terpinga-pinga
melihat bunga ros merah yang berada di tangannya. Kad
kecil itu dibaca.
Ada senyuman tergaris di bibir gadis itu. Hati
Dzil berbunga riang. Langkah Acam disoroti dengan
renungan gembira seorang jejaka. Gembira kerana
pemberian kecilnya itu dapat mencuri hati si perawan. Ini
baru permulaan, tunggu selepas ini akan menyusul yang
lebih indah.
Cahaya terang kilat yang terbias di jendela bilik
mematikan lamunan Dzil sekali lagi. Alahai, kacau
daun betullah kilat dan guruh ni. Hendak terkenangkan
makwe yang jauh pun tidak dapat.
Nampaknya, sepanjang semester ketiga ni, Dzil
akan lebih banyak rindu-rinduan sahajalah. Mana tidaknya,
Acam tidak akan berada di kampus. Hendak bertemu,
bermain mata dan menyakat Acam sudah pasti hanya dalam
mimpi sahaja.
Hmm... moga-moga kau tidak lokek untuk
bertandang dalam mimpi aku malam-malam ya Acam, bisik
Dzil. Hati lelakinya sudah mula asyik mengulit nama itu.
Puteri Darlina ke, Acam ke tak penting.Yang penting gadis
itu akan dipastikan menjadi miliknya. Hanya miliknya!

No comments:

Post a Comment