DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 8 April 2016

BUNGA-BUNGA BAHAGIA - BAB 9

SELEPAS dua hari berada di kampung, Nuha
Qalisya pulang ke ibu kota. Dia kembali kepada rutin hariannya.
Seawal jam tujuh pagi, dia sudah keluar dari rumah sewa dan
menuju ke pejabatnya di Menara Gemilang di Jalan Ampang.
Jam menunjukkan jam tujuh tiga puluh minit pagi sebaik saja
Honda City tiba di pekarangan Menara Gemilang. Masih terlalu
awal.
Nuha Qalisya ingat mahu ke kafeteria untuk bersarapan.
Pagi tadi, Maryam membuat nasi goreng tetapi dia tak sempat
makan kerana bimbang akan lewat tiba di pejabat. Tidak sangka
pula hari ini jalan tidak sesak. Tidak sampai setengah jam dia
sudah sampai di Menara Gemilang.
Disebabkan masih awal, tempat ruang parkir juga
masih banyak yang kosong. Selepas memarkirkan Honda City
di ruang khas yang disediakan untuk kakitangan, dia bergegas
masuk ke lobi. Kelihatan Adira, penyambut tetamu Gemilang
Holdings melambai-lambaikan tangan kepadanya. Pantas
kakinya bergerak ke meja gadis itu.
“Pagi, Kak Nuha… Cepat sampai hari ni.” Adira berkata
sebaik saja Nuha Qalisya menghampirinya. Tangannya sibuk
menukar bunga baru di atas mejanya. Dia tahu Adira memang
gilakan bunga terutama bunga ros. Jadi, tak hairanlah setiap
hari bunga di atas meja Adira sering bertukar.
“Pagi juga Dira… Tu la... Kakak pun terperanjat sebab
jadi orang pertama tiba kat ofis pagi ni. Akak naik dulu. Nanti
apa-apa, Dira call akak. Kejap lagi kita turun bersarapan, ek?
Akak nak punch card dulu,” katanya sambil melangkah laju
meninggalkan Adira.
Gadis itu hanya mengangguk. Tangannya masih lincah
menggubah bunga ros hidup. Kali ini bukan untuk diletakkan
di atas mejanya tetapi akan diberikan kepada Kak Kamariah,
setiausaha Datuk Adi Malik, Pengerusi Gemilang Holdings
untuk dijadikan hiasan di atas meja.
Dalam keasyikannya menggubah bunga, dia dikejutkan
dengan deringan telefon. Pantas dicapai lalu diletakkan kembali
panggilan selepas mengambil beberapa pesanan. Semua
pesanan itu untuk Datuk Adi Malik. Ditulis pada kertas supaya
dia tidak mudah lupa.
Dia tahu, Kak Kamariah belum tiba di ofis. Sebab itu
semua panggilan untuk Datuk Adi Malik sampai ke mejanya.
Dia meneruskan kerja yang terganggu sekejap tadi sehinggalah
matanya melihat kelibat Kak Kamariah yang berlari bagaikan
mengejar sesuatu. Dipandang jam Bonia di pergelangan tangan.
Patutlah Kak Kamariah berlari bagaikan tidak cukup tanah,
rupa-rupanya lima minit lagi jam sembilan pagi.
Adira tidak sempat memanggil Kak Kamariah kerana
wanita itu terus saja menuju ke lif dan akhirnya menghilang.
Dia mengeluh. Nanti tengah hari dia naik ke atas untuk
menghantar gubahan bunga hidup itu. Pantas dia menyambung
kerjanya. Kemudian telefon berdering-dering minta diangkat.
Dia benar-benar sibuk waktu ini.
“CALL UNTUK kau.” Tiba-tiba Akidah yang duduk bersebelahan
mejanya menghulurkan gagang telefon kepadanya. Ketika
itu, Nuha Qalisya baru saja mahu memulakan kerja selepas
bersarapan dengan Adila di kafeteria. Pagi-pagi buta sudah
ada panggilan. Dikerling ke arah Akidah yang masih setia
memegang gagang telefon.
“Kau buat muka blur ni kenapa? Kau ingat cantik
sangat bila buat muka gitu? Aku nampak dah sebiji macam
muka tapai masam.”
Nuha Qalisya sudah tergelak besar. Akidah, anak
kelahiran Sarawak itu sudah hampir tiga tahun menetap di ibu
negara. Perkenalan antara mereka bermula sebaik saja dia mula
bekerja di Gemilang Holdings. Sikap Akidah yang peramah,
periang membuatkan mereka menjadi ngam.
“Weh, kau nak tak nak ni? Dah lenguh aku pegang
benda alah ni. Sejak tadi telefon ni berdering-dering, tapi kau
buat-buat tak dengar.” Akidah bersungut. Sakit hatinya melihat
temannya macam patung cendana, langsung tidak hirau
panggilannya.
“Yalah... Yalah... Banyak songehlah kau ni.” Pantas
gagang telefon itu dilekap pada telinganya.
“Helo…” Kedengaran suara lelaki dalam talian. Suara
itu begitu asing pada pendengarannya. Dia kenal suara adik
lelakinya, dia juga kenal suara Zariff Adam, tetapi suara ini
bukan milik mereka.
“Helo, Nuha ke ni?” Sekali lagi orang di sana bersuara.
“Betul, encik... Boleh saya tahu siapa di sana?” katanya.
Masih banyak kerja yang perlu dibuat dan bercakap dalam
telefon dengan orang yang tidak dikenali dalam keadaan yang
begitu sibuk begini, bukan sesuatu yang baik kepadanya.
“Saya ni. Takkan awak dah tak kenal saya?”
Kemudian Nuha Qalisya terdengar suara gelak di
hujung talian. Ya Allah... Dia rasa nak hantuk kepala di dinding
mendengar kata-kata lelaki itu. Dengan kerja bertimbun, fail
berselerak di atas meja, hari ini dia memang tiada hati untuk
bergurau senda.
“Sorry awak... Sekarang ni bukan masa yang sesuai
untuk saya meneka siapa awak. Sekarang ni saya busy sangatsangat.
Jadi, kalau awak nak bergurau, saya harap awak cari
masa yang lebih sesuai sikit,” katanya. Pantas gagang telefon
diletak. Malas dia nak melayan. Dia kembali menumpukan
perhatian pada kerja di depannya.
Marahnya kepada lelaki misteri itu turut dilampias
kepada ketua bahagiannya, Encik Badar yang selang setengah
jam datang ke mejanya untuk memastikan kertas kerja dapat
disiapkan atau tidak.
Di hujung talian, lelaki asing itu turut meletakkan
panggilan. Dia tersengih mendengar kata-kata Nuha
Qalisya sebentar tadi. Salah dia juga kerana sejak awal tidak
memperkenalkan diri kepada gadis itu. Dia mengeluh, mungkin
lain kali dia boleh menghubungi gadis itu. Tekadnya.
TEPAT JAM sepuluh malam, Honda City Nuha Qalisya masuk
ke pekarangan rumah banglo setingkat yang dibelinya itu.
Walaupun rumah itu kecil, tetapi amat bermakna kerana ia
dibeli dengan hasil titik peluhnya sendiri. Selepas mengambil
beberapa fail penting di dalam bonet kereta, dia bergerak masuk
ke dalam rumah.
Sebaik pintu dibuka, dia lihat Maryam asyik menonton
rancangan CSI Miami di rangkaian ASTRO 701. Dia merebahkan
badan di atas sofa. Hajat mahu berehat seketika sebelum masuk
bilik untuk membersihkan diri.
“Lambat kau balik hari ni?” Matanya tidak lepas melihat
aksi Horatio di kaca TV. Di sisinya ada sepiring kek coklat. Nuha
Qalisya akui Maryam memang pakar dalam membuat pelbagai
jenis kek dan ada saja resipi baru dipraktikkan. Untungnya
adalah dia, Afifa dan Adora yang dapat makan percuma. Sekeping
kek selamat masuk ke mulutnya. Mmm… Seperti yang diduga,
rasanya begitu enak.
“Resipi terbaru aku. Hari tu aku belek-belek majalah
Keluarga, ada pula resipi kek coklat bersalut badam. Bahan dia
pun tak susah, kat pasar raya banyak dijual. Sedap tak?” soal
Maryam.
“Gila kau sedap… Sedappp hingga menjilat jari. Kalau
kau ada masa, buat lagi sebiji untuk aku. Nanti aku boleh bawa
ke ofis, jamu member-member. Nanti kau cakap saja bahan apa
yang perlu aku beli. Balik dari ofis esok, aku singgah di pasar
raya.” Nuha Qalisya melemparkan senyuman manis. Mogamoga
Maryam bersetuju.
“Mmm... Tengoklah nanti bagaimana tahap
kerajinan aku esok.” Gulp! Punah sudah harapan dia. Maryam
menyembunyikan senyumannya. Kasihan pula lihat wajah
kelat teman sepermainannya apabila permintaannya tidak
dipedulikan.
“Mmm… Penat sangat…” kata Nuha Qalisya
sambil mengurut bahagian lehernya. Kaki diluruskan untuk
menghilangkan ketegangan. Penat usah dikata. Disebabkan
mahu menyiapkan kertas kerja, dia terpaksa melakukan kerja
lebih masa. Nasib baik Adira sanggup menemaninya sepanjang
tempoh itu.
“Aku masuk dulu, nak mandi.”
Maryam hanya mengangguk. Matanya tidak lepas
memandang ke arah skrin TV. Maryam kalau dengan Horatio
memang tidak boleh bergerak langsung. Takut benar akan
ketinggalan bab-bab penting dalam drama berkenaan.
“Nanti aku buatkan untuk kau!” laung Maryam.
Nuha Qalisya tersengih. Dia tahu Maryam tidak akan sanggup
menghampakan permintaannya.
Selepas menunaikan solat Isyak, dia merebahkan
badannya. Matanya tidak mampu dibuka lagi. Badannya terasa
penat. Terasa longgar seluruh urat dan sendi badannya.
Pintu biliknya dibuka dari luar. Terjongol wajah
Maryam yang tersengih bagaikan kerang busuk. Kemudian dia
melabuh punggungnya di sisi Nuha Qalisya. Serta-merta mata
gadis itu terbuka. Diengsot sedikit tubuhnya untuk memberi
laluan kepada Maryam duduk dengan selesa.
“Ada sesiapa telefon kau pagi tadi?” Maryam bertanya.
Nuha Qalisya bingkas bangun. Matanya sudah terbuka luas.
“Ada kut... Tapi aku tak layan. Masa tu aku tengah busy
gila, lepas tu ada pula sorang mamat ni nak bergurau senda
dengan aku. Tak tunggu lamalah, terus saja aku letak telefon.
Padan muka dia.” Nuha Qalisya tergelak.
Maryam turut gelak. Dia geli hati apabila lelaki misteri
itu tiba-tiba menelefonnya petang tadi untuk mengadu tentang
untung nasibnya ditolak sebelum bermula sesi perkenalan.
“Kau tahu siapa mamat tu? Kasihan tau dia kata kau
tak layan dia.” Nuha Qalisya menggeleng.
“Aku tengah busy la waktu tu. Siapa suruh dia tak
perkenalkan diri? Nasib badanlah,” ucap Nuha Qalisya. Namun
dia juga tertanya-tanya siapa lelaki berkenaan. Mungkin kenalan
mereka semasa di universiti atau rakan sekampung yang tibatiba
berhajat nak bergurau senda dengannya.
“Siapa mamat misteri tu?” soal Nuha Qalisya.
Maryam tersenyum lebar. Gembira hatinya apabila
Nuha Qalisya menunjukkan minat untuk mengetahui tentang
lelaki tersebut.
“Akif Irham...” Pendek saja kata-kata Maryam. Mulutnya
membentuk huruf O... Akif? Akif Irham ke? Biar betul? Sudah
dua minggu pertemuan mereka berakhir, tidak sekali pun lelaki
itu menelefonnya. Dia sendiri sudah tidak ingat kepada Akif
Irham jika tidak disebut oleh Maryam sebentar tadi.
“Akif?” ulangnya sekali lagi untuk kepastian. Sekali
lagi Maryam mengangguk. Apa kena temannya itu? Bagaikan
tak percaya Akif Irham yang dia dipanggil mamat misteri itu
menelefonnya siang tadi.
“Padan muka dia. Kenapa dia tak beritahu nama dia?
Dia call aku cakap, awak saya ni… Dia ingat aku boleh kenal la
dia kalau macam tu?” Nuha Qalisya mengajuk percakapan Akif
Irham petang tadi. Mesti lelaki itu ingat dia sombong. Tak pun
berlagak apabila tiba-tiba dia meletakkan panggilan telefon.
“Dia ajak kita dinner esok, tapi aku dah cakap yes.
Maknanya kita bersetuju nak keluar makan dengan dia nanti.”
Maryam senyum. Itulah Siti Nur Maryam binti Shariff. Suka
sangat buat keputusan sendiri sedangkan keputusan itu akan
turut membabitkan orang lain.
“Malam esok?” tanya Nuha Qalisya. Dia mencongak
di dalam kepalanya. Mmm... Tiada kerja urgent yang perlu
dia siapkan malam esok. Jadi, tidak salah menerima pelawaan
seorang rakan.
“Dinner maknanya makan malam… Bila dah makan
malam maknanya tentulah pada waktu malam. Kalau siang, dia
panggil lunch. Waktu makan adalah tengah hari, sayang oiii.”
Maryam sudah bertukar menjadi Hulk Hogan. Dia juga telah
bertukar menjadi raksasa. Ketawa Nuha Qalisya tercetus juga.
“Tapi kan, aku tak rasa kau gembira ni disebabkan Akif
Irham. Kenapa aku rasa kegembiraan kau ni lebih kepada Zakry
Adlan? Mmm... Mamat tu ada sekali ke masa dinner esok?” soal
Nuha Qalisya. Maryam tersengih lagi. Huh, memang betullah
sangkaannya sebentar tadi. Zakry Adlan pun turut serta. Jadi,
tak salah tekaan dia tadi.
“Kalau aku tak nak pergi?” Nuha Qalisya bermain tarik
tali. Dia mahu tengok sejauh mana berjayanya kuasa memujuk
Maryam. Gadis itu sudah menarik muka empat belas. Dalam
hati Nuha Qalisya, dia sudah menjerit gembira.
Suka benar dia melihat perubahan wajah temannya
daripada ceria sebentar tadi, kini bertukar mendung. Lambatlambat
Maryam angkat kaki untuk keluar dari biliknya.
Merajuk. Buruk benar orang tua kalau merajuk. Sebelum
Maryam melangkah keluar, tangan gadis itu ditarik.
“Buruk kalau orang tua merajuk.” Makin panjang
muncung Maryam mendengar usikan Nuha Qalisya. Dia duduk
kembali. Akhbar Berita Harian ditatap tetapi fikirannya jauh
melayang.
“Mmm... Kau nak pergi ke tak ni?” tanya Nuha Qalisya.
Bersinar mata Maryam sebaik saja mendengarnya. Helaian
akhbar tidak jadi diselak. Pantas bahu temannya dirangkul erat.
“Errr… Naklah… Kau ni buat malu aku saja.”
Wajahnya sudah terasa panas. Malu apabila temannya dapat
membaca pemikirannya.
“Okey, kita pergi. Aku tak boleh hampakan kawan yang
banyak berjasa kepada aku selama ini. Setakat dinner bukan
satu masalah pun pada aku. Lagipun makan free, siapa yang
sanggup menolaknya. Sambil tu boleh cuci-cuci mata.” Nuha
Qalisya ketawa. Geli hati melihat sikap Maryam.
“Kau rasa apa kaitan Akif Irham dengan Zakry Adlan,
ek?” Tiba-tiba soalan itu ditanya oleh Maryam. Dia hairan,
setiap kali berbual dengan Zakry Adlan, nama Akif Irham kerap
meniti bibir teman lelakinya. Akif itu… Akif ini... Akif baik...
Akif hebat… kerap disogok kepadanya. Nuha Qalisya tidak
menjawab kerana dia sendiri tiada jawapan untuk soalan itu.
“Tapi kan, kau perasan tak muka dia orang tu ada irasiras?
Mungkin mereka ada pertalian persaudaraan kut. Rapat
dia orang ni macam rapat saudara-mara aje.” Maryam memberi
pendapat. Nak ditanya kepada Zakry Adlan, dia bimbang juga.
Nanti dikata belum apa-apa lagi semua nak tahu. Tak ke naya
apabila sudah dicap begitu?
“Dah... Dah… Baik kau keluar sekarang. Aku
mengantuk ni. Jangan banyak fikir pasal benda tiada kaitan
dengan kau. Esok bila kau jumpa buah hati pengarang jantung
kau tu, pasang badan cantik-cantik. Biar terbeliak biji mata
Zakry nanti. Biar dia tak boleh lupakan kau lepas ni,” usik Nuha
Qalisya lagi. Sekali lagi pipi Maryam bertukar warna. Pantas dia
menutup pintu bilik temannya.
Nuha Qalisya terpaksa menahan kesejukan. Badannya
sudah dibungkus dengan comforter hingga ke kepala. Suhu
pendingin hawa sudah dinaikkan tetapi masih lagi terasa sejuk
hingga menggigil dibuatnya. Dia bukannya penggemar pendingin
hawa tetapi disebabkan cuaca yang agak panas kebelakangan
ini, mahu tidak mahu dia terpaksa juga memasang pendingin
hawa. Kipas di dalam biliknya tidak mampu menampung suhu
membahang itu. Beberapa minit kemudian, matanya mulai
memberat dan akhirnya dia terlena hingga laungan azan Subuh
kedengaran dari masjid berhampiran perumahan mereka.

No comments:

Post a Comment