DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 8 April 2016

BUNGA-BUNGA BAHAGIA - BAB 5

MARYAM cuba menyaingi langkah temannya itu.
Tadi, sebaik saja keluar dari lif, Blackberrynya berbunyi nyaring.
Mahu tak mahu, dia meminta Nuha Qalisya bergerak dulu ke
restoran yang terletak di tingkat bawah resort apabila melihat
nama yang tertera pada skrin telefon bimbitnya.
“Siapa call?” tanya Nuha Qalisya sebaik saja melihat
Maryam menghampiri tempatnya berdiri. Dia dapat melihat
perasaan serba salah temannya itu. Blackberry dihulurkan
kepada Nuha Qalisya. Bulat matanya melihat nombor yang
tertera.
Tiba-tiba dadanya menjadi semput. Dia langsung tidak
menyangka Zariff Adam akan bertindak menelefon Maryam
hanya kerana dia tidak mengangkat panggilan telefon lelaki itu.
“Apa yang dia nak?” Matanya melirik ke arah Maryam.
Kasihan temannya itu kerana secara tidak langsung terbabit
dalam kemelut yang melanda dirinya dan juga Zariff Adam.
“Dia tanya kau kat mana.” Maryam berterus terang.
Memang dia marahkan Zariff Adam kerana sanggup melukakan
hati temannya itu, tetapi apabila mendengar keluhan lelaki itu
sebentar tadi, dia rasa Nuha Qalisya terlalu cepat menghukum
Zariff Adam.
“Dia cakap kau tak pernah beri dia kesempatan untuk
membela diri. Dia cakap kau terus jatuhkan hukuman tanpa
menjalankan siasatan. Nuha… Aku tidak menyebelahi manamana
pihak. Baik kau atau Zariff, dua-dua kawan aku tetapi aku
mahu kau selesaikan masalah ini secara baik.
“Kau jumpa dia, bincang elok-elok. Selagi kau diamkan
diri begini, masalah ini tidak akan selesai.” Nuha Qalisya
mencebik. Dia tahu temannya itu sudah termakan dengan katakata
Zariff Adam. Dulu tu, Maryam juga yang marahkan dia
kerana tidak mampu melupakan Zariff Adam sehingga sanggup
membawanya bercuti sampai ke sini.
“Jadi, dia tahu aku ada kat sini?” Maryam menggeleng.
Fuh! Lega. Kadangkala tindakan temannya itu tidak boleh
diguna pakai juga. Tetapi kelegaannya hanya seketika apabila
mendengar kata-kata seterusnya dari Maryam.
“Aku cuma beritahu aku ada kat Tanjung Leman,
sedang bercuti.” Bulat mata Nuha Qalisya mendengarnya.
Maryam… Maryam… Nak kata bodoh, kau ni bijak... Nak kata
bijak, kenapa benda remeh macam ni pun kau tak boleh nak
berfikir? Dia mengurut dada perlahan.
Kenapalah aku ada kawan sengal macam kau ni? Nuha
Qalisya sudah tarik muncung. Benci dan geram dengan sikap
Maryam yang dirasakan tidak sensitif dengan keadaan dirinya.
Hesy, dia nampak temannya itu kecil besar saja. Kalau ikut
marahnya, ada yang makan bubur nasi lepas ni.
“Apa yang kau dah buat ini?!” marah Nuha Qalisya.
Bahu temannya ditepuk kuat. Geram kepada temannya itu usah
dikata.
“Mar… Kau ni betul bendul ke apa? Kau ingat Zariff tu
bodoh ke? Tak boleh berfikir? Dia otak ligatlah, Mar. Kalau tak,
mana mungkin dia boleh menipu aku macam tu. Walaupun kau
tak beritahu dia kau dengan siapa, tetapi dia boleh agaklah, Cik
Siti Nur Maryam binti Shariff!” marah Nuha Qalisya.
Maryam tersengih mendengar bebelan Nuha Qalisya.
Dia langsung tidak terfikir apa yang dikatakan oleh Nuha
Qalisya tadi.
“Aku harap dia bodoh dan tak boleh nak agak kau ada
kat mana.” Maryam ketawa terkekek-kekek. Dia tahu Nuha
Qalisya marahkan dirinya tetapi dia lagi kasihan mendengar
rayuan Zariff Adam sebentar tadi.
Nuha Qalisya menarik muka. Dia tahu paling lambat,
esok pasti Zariff Adam akan muncul tercongok di depannya. Dia
kenal sangat sikap lelaki itu. Bukan setahun dua dia mengenali
Zariff Adam tetapi sudah masuk tiga tahun. Lelaki itu tidak
akan berdiam diri.
Maryam tidak menghiraukan Nuha Qalisya yang masih
tidak berpuas hati. Dia tahu marah temannya itu tidak ke mana.
Dua atau tiga jam lagi Nuha Qalisya akan bergelak tawa kembali.
Fikiran Nuha Qalisya menerawang entah ke mana memikirkan
Zariff Adam. Maryam pula asyik membelek majalah Business
Times tetapi tiada satu pun yang menarik minatnya.
Majalah itu diletakkan di tempat asal. Dia pandang ke
kiri dan ke kanan. Pengunjung masih tidak surut sejak awal
pagi tadi. Ada saja yang datang untuk daftar masuk di resort itu.
Suasana hening sehingga tiba kehadiran orang yang ditunggu.
Zakry Adlan menghampiri mereka berdua. Di
belakangnya kelihatan Akif Irham yang berpakaian santai
memakai T-shirt dan jean lusuh. Walaupun begitu, jejaka itu
tetap kelihatan kacak.
“Macam mana dengan bilik? Semua okey ke?” Soalan
pertama Zakry Adlan apabila melihat kelibat dua gadis di depan
matanya. Kedua-duanya mengangguk serentak. Tiada apa yang
perlu dikompelin mengenai bilik. Semua tip-top. Daripada
layanan hingga peralatan di dalam bilik. Semuanya canggih.
Langsung tidak padan dengan harga yang diberikan kepada
mereka.
“Mewah sangatlah awak. Kalau tanpa diskaun rasanya
kami tak mampu untuk menginap di situ. Mahunya tiga atau
empat ratus ringgit harganya untuk satu malam. Mesti rugi Tan
Sri Zain Azran nanti.”
Dia memang berkenan sungguh dengan susun atur
dan kelengkapan bilik berkenaan. Nampak begitu elegan dan
mewah. Namun, terselit perasaan bimbang apabila melihat bilik
yang diberikan oleh Zakry Adlan kepada mereka semalam.
“Bapak dia bos kat sini, apa nak hairan setakat bagi
diskaun untuk satu bilik. Tak gitu, Zack?” balas Maryam. Zakry
Adlan hanya tersengih mendengar kata-kata itu.
“Setakat satu bilik untuk dua atau tiga malam, tak ada
rugi mana pun papa saya. Ini pun dikira promosi juga. Harap
nanti bila you all balik ke Kuala Lumpur, bolehlah rekomenkan
kepada member lain.” Zakry Adlan bersuara. Baginya, promosi
penting untuk memajukan sesuatu perniagaan. Itulah yang
diajar oleh papa kepada dia dan abangnya.
“Kan aku dah kata… ni pun dikira promosi juga.
Bestnya jadi anak ayah kau. Rasa-rasanya, kami boleh isi jawatan
untuk jadi anak Tan Sri Zain Azran tak?” gurau Maryam. Tinggi
benar cita-cita si Maryam ni, desis Nuha Qalisya.
“Jawatan untuk jadi anak Tan Sri Zain Azran dah
ditutup, tapi kalau untuk jawatan menantu, masih lagi dibuka.
Ada tiga kosong untuk jadi menantu perempuan. Yang dua tu
kira dah boleh diisi tetapi yang satu tu masih belum matang
lagi. Mungkin tunggu dua tiga tahun lagi barulah berisi.” Tidak
kurang hebat juga Zakry Adlan membalasnya. Lebih kepada
bergurau sebenarnya. Matanya sejak tadi asyik melirik ke arah
Maryam.
“Eh, awak… Lupa nak perkenalkan si kacak kat sebelah
saya ini.” Matanya melirik ke arah Akif Irham yang sejak tadi
berdiri di sebelahnya. Asyik bersembang, sampai dia lupa untuk
memperkenalkan orang penting di Sun Beach Resort.
“Mar, Nuha, kenalkan ni Akif. Lelaki paling macho
kat Mersing ni.” Zakry Adlan sudah tergelak-gelak. Lucu dia
melihat wajah abangnya sudah berkerut-kerut. Cover malu di
depan Nuha Qalisya.
“Maryam dan Nuha ni kawan aku. Aku kenal Mar ni
masa kat universiti tapi kami terputus hubungan. Baru-baru
ni kami jumpa balik. Nuha pula aku kenal melalui Maryam.
Kami satu kepala sebab tu senang saja nak ngam. Dia orang ni
gila-gila macam aku juga.” Zakry Adlan bercerita mengenai dua
gadis di depannya. Akif Irham hanya mengangguk.
“Mmm... Si Mar ni perunding kewangan dan Nuha pula
jurutera. Kalau kau nak buat projek juta-juta, bolehlah cari dia
orang ni,” tambahnya lagi. Nuha Qalisya tersipu-sipu. Tinggi
sangat pujian yang diberikan oleh Zakry Adlan kepadanya.
“Tinggi sangat pujian awak tu, Zack. Aku pun baru aje
bertatih-tatih. Belum pun buat projek juta-juta,” beritahu Nuha
Qalisya. Membetulkan sedikit fakta yang dia rasakan tidak tepat.
Akif Irham hanya tersenyum. Gadis itu begitu merendah diri.
“Dah kenal pun. Nak tunggu kau perkenalkan lambat
sangat. Dah dua hari member kita ni kat Sun Beach Resort,
hari ini baru nampak batang hidung kau. Nice to meet you.”
Tangan bersambut. Masing-masing tersenyum. Nuha Qalisya
mengangguk sedikit kepalanya.
“Mmm... Kebetulan ada rombongan Puteri Umno buat
team building. Jadi, agak kelam-kabut sikitlah. Tapi Mar, Nuha,
aku rasa tentu kau tak kesahkan aku tak ada sebab hero macho
satu Malaya ni ada menemani kau orang berdua.” Nuha Qalisya
diam. Dalam lembut, Zakry Adlan cuba untuk merapatkan Nuha
Qalisya dengan abangnya.
Nuha Qalisya asyik memerhati wajah Zakry Adlan.
Dia ada nampak iras-iras wajah Akif Irham terutama di mata
dan hidung. Adakah mereka ini mempunyai hubungan
persaudaraan? Keinginannya mahu tahu menggebu, tetapi
mustahil untuk dia bertanya kepada Zakry Adlan kerana dia
kenal mulut kepoh mamat di depannya itu. Sejak mengenali
Zakry Adlan, lelaki itu tidak habis-habis nak memasangkan dia
dengan beberapa kenalan lelakinya.
“Jomlah kita bersarapan. Duduk kat lobi lama-lama
pun tak ada gunanya. Perut ni dah berdendang sayang.” Akif
Irham bergurau. Dia beriringan dengan Nuha Qalisya menuju
ke restoran.
Namun langkah lelaki itu terhenti apabila dia
ternampak kelibat wanita berskirt pendek dan berambut perang
menuju ke arahnya. Bukan dia saja terkejut, Zakry Adlan yang
berada di sebelahnya turut terperanjat melihat kemunculan
gadis itu.
“Bro, bila minah tu balik Malaysia?” bisik Zakry Adlan.
Mulutnya dijuih ke arah wanita yang dipanggil minah sebentar
tadi. Gadis yang bernama Amylia Datuk Rahman atau lebih
tepat lagi anak kenalan mamanya melenggang ke arah mereka.
Akif Irham menggeleng kepala.
Sungguh, dia tidak menyangka gadis itu kini berada di
depan matanya. Sebulan lepas, Amylia ada menghubungi dia,
beritahu mahu tinggal lebih lama di UK. Waktu itu dia menarik
nafas lega. Bebas daripada cengkaman wanita itu. Namun
selepas ini, dia tahu hidupnya bakal kembali huru-hara dan
mungkin lebih teruk lagi.
“Aku tak ada idea. Tak apa, kau masuk dulu, ajak
Maryam dan Nuha sekali.” Akif Irham bersuara. Matanya tidak
lepas memandang Nuha Qalisya. Harap-haraplah gadis itu
tidak memikirkan perkara yang bukan-bukan apabila melihat
kemunculan Amylia sebentar nanti.
“Nak ke mana awal-awal ni?” Zakry Adlan menegur
Amylia sebaik gadis itu menghampiri abangnya. Pantas
pinggang Akif Irham dirangkul kemas. Kepalanya dilentokkan
ke bahu lelaki itu. Akif Irham berusaha merungkai pelukan
Amylia. Dia tidak selesa diperlakukan sebegitu.
“Aku balik semalam… Masih penat lagi tetapi demi cik
abang tersayang ni, aku gagahkan juga datang ke sini. Well...
Siapa dia orang ni?” Muncungnya dihala ke arah Maryam dan
Nuha Qalisya. Nampak jelas sikap mengada-ada yang dimiliki
Amylia.
Kegedikan gadis itu memang ketara. Bukan itu saja,
Amylia turut dilengkapi dengan sikap berlagak. Zakry Adlan
tergelak. Masak kau, along… Masak!
“Jangan kata dua gadis ni sedang memburu cik abang
sayang saya ni. Yalah, sayang kan handsome, kaya, pasti ramai
yang terhegeh-hegeh dengan sayang, kan?” Amylia pandang
tepat ke arah Nuha Qalisya. Entah mengapa, dia merasakan
gadis itu bakal bersaing dengannya untuk merebut hati Akif
Irham.
Wajah Nuha Qalisya membahang. Dia buat-buat tak
faham apa yang dikatakan oleh Amylia sebentar tadi. Nampak
sangat gadis itu tidak matang. Bercakap tanpa berfikir. Wajah
gadis itu direnung. Kalau tak sabar, percuma saja gadis gedik
itu mendapat penamparnya. Buat malu kaum wanita saja.
“Darling, kenapa diam saja ni? You tak suka ke sayang
dah balik Malaysia?” Tubuhnya masih lagi kemas memeluk
Akif Irham. Langsung tiada tanda-tanda tubuh lelaki itu mahu
dilepaskan daripada dakapannya.
Sesekali matanya melirik ke arah kedua-dua gadis
yang berada di depannya. Huh...Tak lawa mana pun. Aku lebih
sepuluh kali cantik dan jelita daripada mereka berdua. Amylia
mencemuh dalam hati. Langsung dia tidak menghiraukan
wajah tegang Akif Irham.
Nuha Qalisya malas mahu melayan sikap tak matang
Amylia. Ini semua kes cemburu! Nuha Qalisya berkata tetapi
sekadar dalam hati saja. Maryam di sebelahnya memandang
Akif Irham yang terkaku mendengar kata-kata Amylia sebentar
tadi. Mungkin lelaki itu tidak menyangka Amylia sanggup
mengeluarkan kata-kata itu.
“Saya Maryam, ni rakan saya, Qalisya... Kami ni kenalan
Zakry, bukan kenalan encik sayang you tu. Sorry ek, kami
bergerak dulu.” Maryam bersuara sebelum sempat Zakry Adlan
memperkenalkan mereka berdua. Pantas tangan temannya itu
ditarik.
Bimbang hati Nuha Qalisya semakin terbakar. Tidak
sanggup dia berlama di situ. Nuha Qalisya juga begitu, tidak
betah dia mendengar rengekan manja Amylia. Meremang bulu
romanya mendengarnya.
“Sorry, bro... Aku gerak dulu. Ingat jangan buat yang
bukan-bukan, nanti sampai ke pengetahuan mama. Tapi aku
nak kau tahu, aku sokong apa saja keputusan kau nanti. Aku
tahu kau faham apa yang aku katakan ini. Good luck, bro,” bisik
Zakry Adlan di telinga abangnya sebelum bergegas mengekori
dua orang gadis itu masuk ke kafeteria resort.
AKIF IRHAM memandang Amylia, dia mencari apa kurangnya
gadis itu sehingga dia tidak mampu menerima Amylia dalam
hidupnya. Bukan sebulan dua dia mencuba untuk menerima
gadis itu dalam hidupnya, tetapi sejak kecil dia mengenali
gadis itu. Mereka membesar bersama-sama. Namun demi
mama, dia cuba juga tetapi kini hatinya tidak mampu untuk
meneruskannya apatah lagi kini dia sudah menemui pemilik
kunci hatinya.
“Ada apa datang sini?” Dingin saja suara Akif Irham
pada pendengaran Amylia. Gadis itu agak kaget mendengarnya.
Jarang lelaki itu berperangai begitu. Selama ini pun, kalau tidak
suka kehadirannya, lelaki itu hanya mendiamkan diri tetapi kali
ini dia terasa tercabar.
Akif Irham terang-terangan menunjukkan rasa tidak
senangnya. Dalam fikirannya, tergambar wajah gadis yang
diperkenalkan dengan nama Qalisya tadi. Dia bukan bodoh
tidak memahami lirikan mata Akif Irham terhadap gadis itu.
Matanya begitu bersinar, sarat dengan rasa cinta. Tiba-tiba
dia merasakan gadis bernama Qalisya itu pesaingnya dalam
merebut hati Akif Irham.
“You ni… Benci tau. Kalau dengan I, tak pernah you
nak cakap elok-elok. Buruk sangat ke I ni?” Amylia membuat
suara gedik. Kakinya dihentak ke lantai beberapa kali. Langsung
tiada perasaan malu apabila ada beberapa tetamu yang berpaling
ke arahnya.
Akif Irham terpaksa menarik Amylia berlalu dari situ.
Mukanya tebal berinci-inci dengan kelakuan Amylia tadi. Mahu
tak mahu, Amylia terpaksa mengikut namun tangannya tak
lepas bergayut di bahu Akif Irham membuatkan lelaki itu rimas.
Dia cuba merungkai namun pegangan Amylia semakin kuat.
“Sayang… Sebulan I kat UK, takkan sayang tak
rindukan I langsung? I punyalah rindu kat sayang. Hari-hari
tau I ingatkan sayang. Jadi, I ambil keputusan untuk batalkan
projek model I di sana dan balik ke Malaysia.” Akif Irham
keluar ke pekarangan Sun Beach Resort menuju ke kerusi
batu yang agak tersorok dari pandangan orang ramai. Dia
tidak mahu pertemuan itu menjadi tontonan tetamu di resort
itu memandangkan dia cukup dikenali dan disegani di resort
berkenaan.
Kata-kata Amylia tidak disambutnya. Apa yang Akif
Irham rasakan kini, bala sudah kembali dalam hidupnya.
Wajah mamanya terbayang di ruang mata. Dia perlu menemui
mama secepat mungkin untuk menjelaskan tentang hati dan
perasaannya. Kalau tidak, dia sendiri yang parah.
“Sayang…” Rengekan Amylia membuatkan bulu
romanya tegak berdiri. Huh, kalau imannya tidak kuat, rasanya
sudah diheret gadis itu masuk ke bilik resortnya. Setan sudah
mula menghasutnya. Cepat-cepat dia beristighfar dalam
hatinya. Minta Allah menetapkan imannya.
“I tak ada apa nak cakap dengan you sekarang ni. Jadi,
I minta diri dulu. Dia orang sudah lama menunggu I di sana.
Lagipun tak manis biarkan rakan-rakan I menunggu lama.”
Akif Irham mahu berlalu dari situ. Tiada apa yang perlu dia
bicarakan lagi dengan gadis itu. Namun, pantas saja tangannya
digenggam membuatkan langkahnya terhenti.
“Sayang… I want you… Please... I want you, baby.”
Bibirnya yang merah menyala itu cuba memagut bibir Akif
Irham membuatkan lelaki itu terperanjat dengan tindakan
berani Amylia. Gadis itu nampak jauh berubah. Dia tahu dari
dulu lagi Amylia memang berani dalam bab-bab begini dan
bersikap lepas bebas tetapi dia tidak menyangka gadis itu
seberani sekarang yang sanggup melakukan apa saja untuk
memikat hatinya.
Tetapi dia tidak berasa hairan. Manusia memang
cepat berubah dan buktinya, Amylia yang tinggal tidak sampai
beberapa bulan di UK turut terkena angin perubahan negara
barat itu. Pantas saja dia berundur. Gadis itu ternyata begitu
berani. Tiba-tiba dia rasa tidak selamat untuk terus berada di
sisi Amylia.
Wanita itu sanggup melakukan apa saja untuk
memilikinya. Pantas dia berlalu meninggalkan Amylia terkulatkulat.
Dia hanya mendengar kasut bertumit dua inci berjenama
Christian Louboutin itu dihentak beberapa kali menandakan
pemiliknya tidak berpuas hati.
Lima minit kemudian, Akif Irham sudah berada
bersama-sama Nuha Qalisya, Maryam dan Zakry Adlan untuk
menikmati sarapan pagi. Menu pagi itu memang menyelerakan.
Nasi lemak, lontong, mi kari serta kuih-muih tempatan.
Maryam memilih nasi lemak kerana sudah lama dia
tidak nikmatinya manakala Nuha Qalisya hanya mengambil
roti bakar dan teh tarik. Sememangnya sejak kebelakangan ini,
seleranya agak merudum. Sedang mereka menikmati hidangan,
tiba-tiba Akif Irham mengaduh kesakitan. Digosok kakinya bagi
menghilangkan rasa sengal. Mulutnya tidak henti mengutuk
perbuatan Zakry Adlan yang menyepak kakinya. Puncanya, dia
begitu asyik menatap wajah comel Nuha Qalisya menyebabkan
wajah gadis itu bertukar warna.
“Bro, janganlah ketara sangat tengok tu... Cover-cover
la. Malulah Cik Nuha kita ni.” Zakry Adlan berbisik. Ditepuktepuk
belakang badan abang sulungnya. Langsung tiada sivik,
getusnya. Kasihan dia melihat keadaan Nuha Qalisya yang serba
tidak kena. Akif Irham terbatuk-batuk. Cepat saja dia mencapai
gelas yang berada di depannya. Huh! Kulit mukanya terasa pijar
kerana Zakry Adlan dapat menangkap perbuatannya yang asyik
memandang Nuha Qalisya sebentar tadi.
Maryam di sebelah terkekek ketawa. Dia turut geli
hati melihat sikap Akif Irham setiap kali berdepan dengan
temannya itu. Mata lelaki itu langsung tidak boleh dikawal. Dia
tahu dalam hati Akif Irham sudah terpahat nama Nuha Qalisya,
cuma temannya yang buat-buat tidak faham. Dia berdoa agar
pintu hati temannya itu terbuka untuk menerima Akif Irham.
Walaupun dia baru saja mengenali lelaki itu, tetapi tidak salah
meletakkan harapan tinggi kerana dia tahu Akif Irham boleh
menjadi pelindung untuk Nuha Qalisya.

No comments:

Post a Comment