DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 10 April 2016

MAWAR-MAWAR CINTA - BAB 8

“KIMIE? Hakimie, kan?” Yusri bertanya untuk
memastikan lelaki yang berdiri di hadapannya ini adalah
Hakimie, bekas teman sekolah menengahnya dulu.
Suatu ketika dulu, dia dengan Hakimie pernah samasama
belajar di sekolah menengah Sultan Aminuddin. Mereka
bersahabat. Bukan itu sahaja, mereka berdua juga cukup
terkenal dengan kenakalan masing-masing. Suka membuli
pelajar-pelajar junior. Tapi mereka ini tak adalah mengamalkan
sikap buli yang keterlaluan seperti remaja zaman sekarang. Buli
mereka dulu pun setakat buli-buli mengusik sajalah.
Hakimie mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia
masih kenal Yusri. Lelaki itu dari zaman sekolah sehingga ke
saat ini tidak banyak berubah. Cuma tubuh Yusri yang dulu
gemuk gedempol itu sudah bertukar tegap.
“Ya Allah Kimie… tak sangka boleh jumpa dengan kau.
Dah lebih lima belas tahun kita tak jumpa.” Gembira sungguh
Yusri dengan pertemuan itu. Lantas dia dengan Hakimie saling
berbalas pelukan. Maklumlah… kawan lama katakan.
“Aku pun tak sangka dapat jumpa kau. Aku waswas
juga nak tegur kau tadi. Takut tersalah orang. Tapi tanda jahitan
atas kepala kau tu aku dah cam sangat. Yakin tak salah orang
dah...” Ujar Hakimie setelah mereka melepaskan pelukan. Jari
telunjuknya tegak menghala ke arah bekas jahitan pada dahi
Yusri.
Dia masih ingat lagi, bekas jahitan itu melekat pada
dahi Yusri akibat kenakalan mereka berdua. Gara-gara hendak
mengenakan Cikgu Rosnah yang garang gila itu dengan seekor
katak, Yusri terjatuh lalu dahinya terhantuk pada longkang
belakang makmal. Cuak dia bila Yusri pengsan tak sedarkan
diri. Mahu seminggu jugalah Yusri berada di hospital gara-gara
dahinya yang berbalut.
Yusri sudah ketawa mengekek. Dia turut sama
terkenangkan kenangan silam kenakalan mereka berdua.
“Kau menghilang ke mana selama ni? Lepas je SPM,
aku langsung tak dengar khabar kau lagi.” Tanya Yusri.
“Aku ada. Cuma lepas aje SPM aku agak lama kat
Singapura ikut papa aku. Bila dapat tawaran melanjutkan
pengajian ke UM, aku memang nak cari kau. Tapi aku takde
nombor telefon kau.” Beritahu Hakimie. Memang dia pernah
hendak mencari Yusri namun ketiadaan alamat sahabatnya itu
membuatkan mereka terputus hubungan.
“Takpelah. Sekarang kita dah jumpa, bolehlah
berhubungan macam dulu lagi.” Balas Yusri gembira.
“Asyik sangat bersembang, takkan kau tak nak
kenalkan aku dengan orang sebelah kau tu?” Sambung Hakimie
yang sudah tersenyum memandang wanita cantik di sebelah
sahabatnya itu.
Wajahnya persis si minah kelibang-kelibut tu, namun
wanita ini bertudung dan nampak manis orangnya. Bukan
macam minah kelibang-kelibut yang manis tapi ganas. Yang ini
nampak lebih lembut.
Yusri menepuk dahi. Akibat terlalu gembira dapat
bertemu dengan teman lamanya itu, sampaikan dia terlupa
pada isteri kesayangannya yang begitu setia berada di sisinya
sedari tadi. Lantas tangannya naik memeluk bahu sang isteri.
“Kenalkan, ini isteri aku Sara Diana. Honey, kenalkan
ini kawan lama bie yang sudah lama menghilang, Muhammad
Hakimie.” Yusri memperkenalkan.
Hakimie dan Sara hanya saling berbalas senyuman dan
menganggukkan kepala. Dah macam orang Jepun pula.
“Wah… kahwin tak jemput aku pun.” Giat Hakimie
kepada Yusri.
“Macam mana nak jemput kau? Alamat pun aku tak
tahu. Maklumlah… kau kan dah buang aku dapat friend list
kau.”
Hakimie ketawa. Hesy… buruk benar nampaknya bila
orang lelaki hendak tunjuk muka merajuk.
“Kau ni ada je la Ery. Kau tetap sahabat aku dunia
akhirat...”
Yusri tersenyum.
“Aku tahulah... Saja sakat kau je. Aduh… Kimie!
Banyak sangat nak cerita dekat kau ni. Tapi tu la… masa tak
cukup. Orang rumah aku ni ha… dah tak sabar-sabar nak pergi
shopping handbag. Takut sangat handbag dekat Sogo ni habis
kena jual.” Bersama ketawa, Yusri menutur kata mengusik
isterinya yang sudah menghadiahkan dia sebuah cubitan manja.
Malulah dikata begitu depan orang yang baru dikenalinya.
Hakimie sudah ketawa mendengar kata-kata Yusri.
“Bagi aku nombor phone kau. Nanti senang nak
berhubung. Nanti kami buat kenduri cukur jambul anak, boleh
jugak jemput kau datang rumah.” Pinta Yusri.
“Hai… dah ada ke? Tahniah!” Tanya Hakimie sambil
mengeluarkan telefon bimbitnya lalu memberikan nombor
kepada Yusri.
Yusri tidak menjawab. Hanya tersengih sahaja sambil
jari-jemarinya terus menekan-nekan nombor pada telefon
Hakimie.
“Okeylah Kimie. Kami pergi dulu. Nanti-nanti aku call
kau. Boleh lepak dekat gerai mamak berbual panjang lagi.”
Sebelum berlalu, Hakimie dan Yusri kembali
berpelukan dan bersalaman. Lama mereka tidak bersembang
menyebabkan masing-masing tidak sabar hendak berjumpa
lagi.
“Tu kawan bie ke?” Tanya Sara ketika dia dan suaminya
sudah meneruskan langkah menyusuri lantai pusat membelibelah
Sogo. Orang ramai sudah mula membanjiri pusat
membeli-belah itu memandangkan Sogo melancarkan jualan
murah sepanjang bulan ini.
“Ha’ah. Kawan lama. Dia kawan satu sekolah
menengah dengan bie.” Terang Yusri. Jemarinya bertaut erat
dengan jemari Sara.
“Owh… padanlah tak pernah nampak dia.”
“Hmmm…”
“Dia dah kahwin?” Sara bertanya lagi.
Kali ini pertanyaan itu mampu menghentikan
langkah suaminya. Tunak Yusri memandang wajah isteri
tersayang. Tergugat seketika hatinya dek soalan itu. Tercuit
api cemburunya. Yalah… siapa tak cemburu bila isteri yang
disayangi boleh bertanyakan peribadi lelaki lain di depan dia?
Sudah semestinya cemburunya tercuit juga.
“Kenapa tanya ni?”
Sara ketawa kecil. Wajah suaminya yang sudah berubah
sedikit itu mencuit hatinya. ‘Cemburu jugak rupanya suami
aku ni.’ Hatinya berkata.
“Tanya ajelah bie. Bie janganlah fikir lain. Dalam hati
honey, hanya ada bie seorang. Sampai ke mati pun, honey tetap
sayang bie.” Sara cuba menenangkan jiwa Yusri yang sudah
diusik perasaan cemburu. Dia tidak mahu perasaan cemburu
itu terus menguasai jiwa suaminya. Takut nanti merebak pula.
Mendengarkan itu, tiba-tiba hati Yusri menjadi
sayu. Serba salah bila sang isteri mula menyejukkan hatinya
dengan kata-kata sebegitu. Dia paling tak suka perkataan mati
terucap dari mulut Sara. Baginya, hidupnya tidak akan berseri
tanpa kehadiran Sara di sisi. Wanita itu amat istimewa dalam
hidupnya.
“Dah! Jangan cakap pasal mati depan bie. Honey kan
tahu bie tak suka dengar honey cakap macam tu. Bie bukannya
nak curiga, cuma… cemburu sikit. Cemburu tu kan tanda
sayang.” Ujar Yusri mengakui perasaan cemburunya itu.
Sara tersenyum. Lantas dia merapatkan dirinya kepada
Yusri. Lengan suaminya dipeluk kejap.
“Jangan risau. Honey tetap sayang bie seorang.” Penuh
yakin Sara meluahkan perasaannya kepada sang suami.
“Tau.” Penuh bangga Yusri berkata. Sara tersenyum
senang. Hati suaminya itu senang dipujuk.
“Honey tanya Hakimie dah kahwin ke belum, kenapa?”
Sambil kembali jalan berpimpinan tangan, Yusri bertanya.
“Takdelah. Mana tahu boleh honey pasangkan dia
dengan Zara. Kan adik ipar bie sekarang tu tengah single and
available. Mana tahu kawan bie tu boleh jadi pasangan dia
pulak.” Ujar Sara tanpa berselindung.
Melihat Hakimie, membuatkan ingatannya laju kepada
Zara. Kalau alongnya sibuk mencarikan pakwe baru untuk Zara,
dia pun hendak jugalah. Mana tahu calonnya mendapat tempat
di hati Zara. Siapa tahu, kan?
Yusri ketawa. Kepala otak isterinya itu lebih kurang
sama saja dengan kakak iparnya. Ingatkan kakak iparnya saja
yang sibuk-sibuk hendak mencari calon suami untuk Zara,
rupanya isterinya ini pun dua kali lima saja. Ini kalau Zara tahu,
sah panjang sedepa muncung adik iparnya itu.
“Hesy… bie ni. Ketawa pulak!”
“Macam mana bie tak ketawa. Honey tu pandai aje
mengata along. Tup-tup… honey pun dua kali lima jugak
dengan along. Sibuk carikan pasangan untuk adik. Kelakar.
Mengata dulang paku serpih, mengata along, honey pula yang
lebih.” Yusri mengiat dengan berpantun.
Sara tersengih. Langsung tidak marah pada sindiran
suaminya.
“Alaaa… bukannya apa. Tengok kawan bie tu nampak
macam sepadan pula kalau digandingkan dengan adik. Tu yang
cuba nak risik-risik. Manalah tahu kan… boleh nak pasangkan
adik dengan kawan bie tu.”
Yusri tersenyum lagi. Dia tahu betapa sayangnya Sara
kepada Zara.
“Entahlah honey. Bie pun tak pasti sangat Kimie tu
dah kahwin ke belum. Nantilah bila ada masa berjumpa dan
sembang dengan Kimie, bie cuba risikkan okey?”
Sara mengangguk. Dalam hati dia jadi teruja hendak
tahu status Hakimie. Jika benarlah lelaki itu masih solo dan
tak punya teman wanita, dia mahu memperkenalkan Hakimie
kepada Zara. Siapa tahu kan… ada jodoh antara mereka?
“HUK! HUK! HUK!” Zara tersedak. Baru saja dia menyuap
karipap panas yang digoreng umi ke dalam mulut, tak semenamena
dia boleh pula tersedak sampai berair mata. Mujurlah
awal-awal lagi dia sudah menyediakan segelas air kosong di atas
meja makan. Antara air kosong dengan air manis, Zara lebih
gemarkan air kosong. Dia memang jarang minum air manismanis.
‘Haish! Ini kerja siapa pulak yang menyebut nama aku
ni? Sah tengah mengumpat akulah tu.’ Hatinya menggumam.
Air di dalam gelas diteguk dengan rakus sekali.
“Hah… tu mesti makan tak baca bismillah.” Tegur
Puan Inara yang sibuk menyiang ikan di atas singki. Dia dengan
suaminya sudah pun minum petang bersama dan lebihan
karipap ditinggalkan sedikit untuk Zara. Anaknya itu kalau cuti
begini memang gemar tidur pada waktu tengah hari. Lepas
makan aje, mulalah nak membuta.
“Eh… mana ada umi. Orang ada baca bismillah la.
Ni tentu ada orang yang mengumpat pasal orang ni. Tu yang
sampai orang tersedak.” Tukas Zara menidakkan tuduhan
uminya. Berdosa tau tuduh dia tak baca bismillah sebelum
makan sedangkan dia tak pernah lupa baca bismillah setiap kali
memulakan kerja.
Puan Inara tidak membalas. Tangannya masih sibuk
menyiang ikan yang baru dibeli awal pagi tadi. Malam ini rasanya
dia hendak memasak asam pedas ikan tenggiri. Keluarganya ini,
daripada bapa sampailah kepada anak-anak, semuanya sukakan
masakan bertemakan asam pedas. Tambah-tambah lagi si Fara
dan suaminya Raja Rezza itu. Memang bertambah nasi jika
berlaukkan asam pedas.
“Umi masak apa malam ni?” Tanya Zara kepada uminya.
Dari dia turun tadi, uminya kelihatan begitu sibuk menyediakan
bermacam-macam ramuan di atas meja.
“Umi nak masak asam pedas ikan tenggiri.”
“Wah… sedap tu.” Komen Zara. Kecur air liurnya
mendengar menu makan malam ini. Bagaikan sudah tidak
sabar dia hendak makan asam pedas ikan tenggiri air tangan
uminya.
“Hmmm… Zara tu tahu macam tu ajelah. Sedap,
sedap. Tapi bila umi suruh belajar memasak, bukannya nak.
Banyak sangat alasannya.” Kali ini Puan Inara lebih kepada
menggumam.
Tahulah Zara itu anak bongsu, tetapi sikap pemalas
Zara yang satu itu memang dia tak berkenan. Naik berbuih
mulutnya menasihati anak gadisnya itu supaya belajar memasak
dan membuat kerja rumah, namun anaknya itu pandai sangat
mengelak. Macam-macam alasan yang dia beri.
“Bukan banyak alasanlah umi. Orang sibuk. Lagipun
buat apa nak belajar masak awal-awal. Orang bukannya nak
kahwin sekarang pun. Nanti dekat nak kahwin, barulah orang
belajar memasak.”
“Amboi… jawapan. Bukan main lagi. Habis tu kalau
dah nak kahwin, barulah belajar memasak ye?” Bertekak dengan
Zara, memang tak akan ada penghujungnya.
“Yalah... Sekarang ni… orang sibuk.”
“Hmmm… orang pemalas, memang macam itulah
jawapan yang dia bagi. Esok lusa, bila dah ada teman lelaki,
lepas tu bakal mak mentua suruh masak, terus mati kutu. Tak
tahu nak buat apa. Goreng telur pun hangus.” Tiba-tiba ada satu
suara menyampuk perbualan kosong antara Puan Inara dan
Zara. Serentak dua beranak itu berpaling.
Senyuman di bibir Puan Inara sudah melebar melihat
kelibat anak sulungnya yang masuk ke ruangan dapur. Cepatcepat
dia membasuh tangan untuk menyambut kepulangan
anaknya itu. Rindu dia kepada anaknya yang seorang itu
biarpun baru minggu lepas Fara bersama suami dan anakanaknya
datang ke rumah ini.
Zara pula sudah mencebik bibir memandang alongnya
yang berlenggang-lenggok menghampiri umi mereka. Suka
sangat jadi batu api antara dia dengan umi. Tanpa mengendahkan
Zara, Fara menyalami penuh hormat uminya lalu dia memeluk
erat tubuh umi yang berisi bagi melepaskan rindu dalam hati.
“Datang dengan siapa? Mana Rezza dan anak-anak?”
Bertalu Puan Inara bertanyakan perihal menantu sulung dan
cucu-cucunya. Terjenguk-jenguk dia.
“Datang dengan Abang Rezza dan anak-anaklah umi...
Diaorang ada kat depan tu. Tengah bersembang dengan abah
dan jiran baru depan rumah tu ha.” Beritahu Fara. Dia sudah
bergerak ke meja makan lalu menarik kerusi dan melabuhkan
punggung berhadapan dengan Zara.
“Adik ni makan aje kerjanya. Kenapa tak tolong umi
kupas kulit bawang tu?” Tegur Fara kepada Zara yang sibuk
mengunyah karipap. Bawang merah dan putih di dalam
mangkuk langsung tidak dikupasnya.
“Alaaa… orang tengah makan la. Nanti dah habis
makan, orang kupaslah.” Jawab Zara sambil mencapai lagi sebiji
karipap lalu disumbatkan ke dalam mulut. Geram dengan sikap
alongnya. Along sesekali pulang ke rumah ini pun, suka sangat
nak cari salah dia.
“Alasan. Dah! Bak sini mangkuk tu. Biar along yang
buat.” Minta Fara.
Zara tidak banyak bunyi. Laju dia menghulurkan
mangkuk berisi bawang merah dan putih kepada alongnya. Ini
jugalah yang dia suka bila along balik ke rumah ini. Alongnya
itu dalam kuat membebel seperti nenek-nenek, dia merupakan
seorang yang ringan tulang. Kalau ada dekat rumah ni,
memang semua kerja akan jadi senang kerana along memang
rajin membantu. Itu yang Zara paling suka pada alongnya.
Usai menyudahkan minum petangnya itu, dia terus
bangun dari duduknya. Bersahaja lagaknya.
“Eh, eh… tu nak ke mana pulak tu?” Tegur Fara bila
adiknya itu sudah bergerak ke muka pintu menuju ke ruang
makan.
“Orang nak jumpa Ayit dan Anna.”
“Jangan nak mengada. Tolong along potong sayur
kacang tu.” Becok mulut Fara memberi arahan.
“Alaaa… alongkan ada. Alonglah yang buat. Lagipun
bukan hari-hari along dapat tolong umi buat kerja dapur.”
Petah juga Zara memberi alasan. Terjegil mata Fara mendengar
jawapan adiknya yang pemalas itu.
“Achu! Achu! Jom kita pergi taman.” Suara Ayit
bergema memanggil achunya.
Zara pun apa lagi. Laju dia menjawab.
“Jom!”
“Zara!!!” Suara Fara sudah meninggi memanggil
adiknya itu.
Namun bagaikan angin lalu, Zara langsung tidak
menghiraukan panggilan alongnya. Bersama tawa dia berlalu
bersama si Ayit kesayangan. Ayit pula sempat bertanya kepada
Zara.
“Kenapa mummy terjerit-jerit tu achu?”
“Mummy Ayit tengah testing vokal nak jadi tarzan
perempuan.” Selamba saja Zara menjawab pertanyaan daripada
anak saudaranya yang petah itu.
Disebabkan jawapan daripada achunya itu kedengaran
lucu menerpa halwa telinganya, Ayit ketawa mengekek. Tak
sangka mummy ada cita-cita nak jadi tarzan. Kelakar pula
bila dia sudah membayangkan mummynya bergayut dari satu
dahan ke satu dahan yang lain dengan pakaian orang rimba.
Kah kah kah!
USAI MAKAN malam yang cukup meriah bagi keluarga Cikgu
Muhammad Zainal, masing-masing berkumpul di depan
televisyen. Esok Ahad, jadi malam ini bolehlah semuanya tidur
lewat. Fara, suami dan anak-anak pun bercadang untuk pulang
lambat sikit malam ini. Begitu juga dengan Sara dan suaminya.
Sesekali berkumpul bersama keluarga, rasa malas hendak balik
ke rumah masing-masing.
Zara yang sedang asyik membaca novel terbaru yang
dibelinya sempat juga menjeling pada rumah sebelah yang
kelihatan sunyi sepi itu. Ke mana agaknya pak cik yang duduk
di rumah itu? Sunyi aje keadaan rumahnya. Zara senang dengan
Pak Cik Doktor, lelaki sebaya usia abah yang cukup mesra dan
peramah orangnya. Tapi kasihan, Pak Cik Doktor ini tinggal
sendirian. Tak punya isteri dan anak.
“Adik… along tanya sikit boleh?” Fara menyiku Zara
yang sedang asyik membaca novel di buaian rotan di luar
rumah.
Zara malas nak bagi respons. Hanya menanti alongnya
meneruskan pertanyaan. Di luar itu hanya ada mereka tiga
beradik. Abah dan umi tengah sibuk melayan kerenah Ayit dan
Anna. Manakala Abang Rezza sedang rancak berbual dengan
Abang Yusri. Itu tak lain tak bukan mesti cakap pasal bola. Huh!
“Adik dengar tak along cakap ni? Along nak tanya adik
ni… boleh ke tak?” Kali ini Fara sudah meninggikan sedikit
intonasi suaranya. Geram bila pertanyaannya tidak mendapat
balasan daripada si adik. Boleh pula buat muka toya macam tu
depan dia. Muka takde perasaan langsung.
“Tak payahlah nak mintak kebenaran, along. Cakap
ajelah.” Malas-malasan Zara membalas.
Fara sudah tersenyum mendengarkan kata adiknya itu.
Pantas dia menarik kerusi rotan yang diduduki supaya dekat
sedikit dengan buaian rotan tempat Zara berbuai.
“Adik dah ada pengganti sang cicak kobeng tu tak?”
Soal Fara.
Berkerut dahi Zara mendengar pertanyaan alongnya
itu. Sara yang lebih banyak berdiam juga sudah mula tertarik
hati dengan soalan alongnya. Along kalau nak bertanya,
memang tak pernah nak pusing-pusing. Terus kepada usulnya
sahaja.
“Apa along ni? Kenapa nak tanya pasal tu pulak?”
Kurang senang Zara mendengar soalan alongnya itu.
“Alaaa… takdelah. Along nak tanya aje. Manalah tahu
kot-kot adik dah ada pengganti. Adik kan playgirl paling popular
dekat Shah Alam ni. Lepas satu pakwe adik cabut lari, satu lagi
adik sambar. Cepat aje cari pengganti.”
Zara ketap bibir. Sesuka hati alongnya kata dia playgirl.
Tak patut! Dia bukan playgirl. Dia hanya pencinta lelaki. Tetapi
lelaki yang dicintainya itu pun mestilah kena melepasi piawaian
yang dia tetapkan. Bukan main belasah aje.
“Kalau adik masih belum ada pengganti, along rasa nak
kenalkan adik kat seorang lelaki ni. Dia bekas kawan sekolah
along.” Ujar Fara bersungguh. Dia teringatkan Kamal Ariffin
yang ditemuinya baru-baru ini. Bekas teman sekolahnya itu
masih solo orangnya.
“Eh… tak naklah! Kalau bekas kawan sekolah along,
mesti orangnya sudah tua.”
Sepantas itu juga cubitan Fara mengena pada lengan
gebu Zara. Mengaduh si adik dibuatnya. Sakit tu.
“Mulut tu… sesuka hati saja kata along dah tua. Along
belum tua lagilah! Baru tiga puluh tahun.” Gumam Fara.
Sara yang mendengar sudah ketawa. Dia bukannya tak
tahu pantang alongnya itu dalam bab-bab umur ini. Sampaikan
dulu, waktu alongnya hendak genap tiga puluh tahun, alongnya
sudah mundar-mandir ke sana ke mari. Ingatkan apa, rupanya
along risau kerana dia bakal mencecah usia ke angka 30-an.
Huhuhuuu…
‘Huh! Umur dah tua pun masih tak mengaku lagi.’
Dalam hati Zara mengata. Kalau diluahkan, takut cubitan
ketam alongnya hinggap lagi ke lengan.
“Orang tak naklah along. Orang tak nak dikenenkenenkan.
Tak suka tau.” Ujar Zara menjawab pada soalan
alongnya tadi.
“Kenal dululah. Mana tahu berkenan.” Fara cuba
memujuk.
“Tak naklah.” Laju Zara membalas. Dia benar-benar
memaksudkannya. Dia tak nak berkenalan dengan lelaki pilihan
alongnya itu.
“Kalau macam tu… apa kata adik berkenalan dengan
kawan lama Abang Ery. Hensem orangnya. Amacam?” Sara
yang sedari tadi lebih banyak mendiamkan diri sudah mula
mencelah. Dia pun nak juga mencuba nasib dalam proses
mencari calon untuk adiknya itu. Mana aci along seorang saja
yang nak carikan calon untuk si adik.
Terkejut Zara dan Fara mendengar ayat Sara. Mereka
saling berpandangan.
“Angah demam ke ni?” Laju Fara meletakkan belakang
tangannya ke dahi si angah. Belum pernah angah bersikap
begini, tup-tup malam ni boleh pula nak kenalkan adik mereka
kepada kawan suaminya. Memang sesuatu yang pelik bin ajaib.
Sara menepis tangan along yang melekat pada dahinya.
“Hesy… orang sihatlah along.” Dia menggumam.
‘Orang elok-elok sihat dikatakan demam pulak.’ Dalam hati dia
menyambung bebelan.
“Laaa… ingatkan demam tadi. Mana taknya... tetiba
aje boleh pulak kata nak carikan calon untuk adik. Biasanya
angah mana ambil peduli pasal nak mencari pasangan untuk
adik kita ni. Angah kata biar adik yang cari sendiri. Tiba-tiba
malam ni boleh pula nak kenalkan adik dengan kawan si Ery.
Tu yang along sangka angah demam tadi. Pelik!” Panjang lebar
Fara berkata.
“Angah bukannya apa. Selama ni angah tak nak sangat
masuk campur urusan lelaki pilihan adik. Kebetulan siang tadi
waktu angah dengan Ery keluar shopping, kami terserempak
dengan kawan lama Ery. Hensem orangnya. Daripada gayanya,
angah rasa cukup sesuai dengan adik.” Si angah membentangkan
hujahnya.
“Ye ke? Hmmm… kalau lelaki yang hensem-hensem
ni, mesti playboy.” Tebak Fara.
“Along ni… macam tahu-tahu aje kawan si Ery tu
playboy. Tak baik menuduh tanpa usul periksa, along. Lagipun
bukan semua lelaki hensem tu playboy. Tengok macam Ajib tu…
muka macam orang tak siap aje tapi playboynya nauzubillah!”
Sara kurang senang dengan tuduhan alongnya. Biarpun tidak
kenal dengan kawan suaminya itu, namun daripada perjumpaan
pertama itu dia dapat rasakan teman suaminya itu seorang
lelaki yang baik.
“Along bukan menuduh. Cuma itulah faktanya.
Lelaki ni kalau sudah ada muka yang terletak, memang ramai
perempuan keliling pinggang.”
Sara mencebik.
“Eleh… Abang Rezza tu pun hensem jugak. Ery pun
hensem. Takde pun dia orang kaki perempuan. Abah… abah
pun hensem tapi masih setia dengan umi sampai ke saat ni.
Along tu saja yang suka fikir yang buruk-buruk.”
“Mana ada! Dah! Dah! Along dah buat keputusan nak
kenalkan adik dengan Kamal Ariffin. Kamal Ariffin tu biarpun
takdelah sehensem mana, tapi dia baik dan seorang yang berjaya
dalam hidup. Along yakin adik pasti bahagia dengan Kamal
Ariffin.” Fara tetap berkeras hendak memasangkan adiknya
dengan Kamal Ariffin, bekas teman sekolahnya itu.
Zara yang hanya menjadi pendengar pada bicara dua
orang kakaknya itu sudah naik pusing kepala.
‘Ini apa kes kakak-kakak aku bergaduh nak carikan
pasangan untuk aku pulak ni? Macamlah aku ni dah terdesak
sangat nak berteman sampai mereka bertekak nak carikan
untuk aku pulak. Haish! Tak faham betul aku dengan diaorang
ni.’
“Dah! Dah! Jangan bertekak lagi!” Suara Zara meninggi.
Fara dan Sara berhenti bertekak. Tumpuan diberikan
kepada si adik yang duduk di tengah-tengah antara mereka
berdua.
“Along dengan angah tak payah nak gaduh-gaduh
carikan pasangan untuk adik. Adik tak nak. Buat masa sekarang
ni… adik belum bersedia nak bercinta-cinta.” Tegas Zara
dengan kata-katanya.
“Tapi…” Serentak pula Fara dan Sara menyebut ayat
itu tapi berhenti setakat di situ sahaja bila Zara terlebih dahulu
memotong.
“Takde tapi-tapi. Keputusan orang muktamad!”
Tegasnya.
Fara dan Sara akhirnya mendiamkan diri. Takut jika
terlebih cakap nanti adik mereka akan memboikot pula. Namun
dalam hati masing-masing sudah memasang azam akan
mencarikan calon pasangan yang terbaik buat adik kesayangan
mereka itu.

No comments:

Post a Comment