PANDANGAN
matanya masih terlekat kemas pada wajah kacak di hadapannya itu. Tak banyak
yang berubah pada diri Harriz. Masih seperti Harriz yang dulu. Cuma kini rambut
lelaki itu sahaja yang sudah agak panjang. Membuatkan wajahnya agak nakal
sedikit. Mungkin benarlah apa yang dibacanya dari beberapa majalah sebelum ini.
Harriz Tan Sri Hamdan merupakan playboy
nombor satu di KL.
Pelayan lelaki yang mengambil order sebentar tadi datang semula bersama-sama pesanan yang
diminta. Sempat dia mengerling wajah pasangan yang sedari tadi hanya mendiamkan
diri. Biasanya kalau lelaki yang biasa dipanggil Encik Harriz itu datang
bersama-sama pasangannya ke sini, pasti suasana di antara keduanya meriah
dengan gelak tawa dan usikan-usikan manja daripada Encik Harriz. Tapi hari ini
setelah sekian lama dia tak lihat kelibat Encik Harriz datang ke Melting Pot
Café, Concorde Hotel, lelaki itu bersama pasangannya kelihatan begitu beku
sekali. Tiada gelak tawa dan usikan-usikan manja.
Setelah pelayan lelaki itu beredar dari meja mereka,
Harriz mula menyedut watermelon juice
yang dipesan tadi. Kehadiran Dhia di pejabatnya awal pagi tadi memang sesuatu
yang mengejutkannya. Sangkanya dia tak akan ketemu lagi dengan wanita itu. Tak
sangka kala ini pula Dhia hadir setelah sekian lama menghilang.
“You apa khabar?” tanya Dhia. Memulakan mukadimah di
antara mereka berdua tengah hari itu. Dia berasa sedikit janggal bila keadaan
antaranya dengan Harriz menjadi begitu sepi.
“Baik,” selamba dan cukup ringkas Harriz menjawab.
Dhia dapat rasakan kedinginan Harriz melayannya
ketika ini. Langsung tiada kemesraan seperti dulu. Namun dipaksa juga bibirnya
agar mengukir sebuah senyuman mendengar jawapan Harriz itu.
“Dah lama kita tak duduk semeja macam ini, kan?”
Dhia sudah memulakan bunga-bunga ayatnya.
“Dulu… you selalu temankan I keluar lunch sama-sama. You yang selalu pesan
makan kesukaan I. You akan marah bila I kata tak nak makan sebab diet. You kata
tak perlu nak diet… kalau I gemuk sekalipun, you tetap sayang I. I masih ingat
semua tu, Riz. Masih ingat setiap butir bicara you,” sambung Dhia lagi.
Mengenang memori indah antara dia dengan Harriz. Memang kenangan itu sesuatu
yang indah.
Harriz menghela nafas. Rasa bosan pula dia bila Dhia
sengaja mahu mengungkit kisah lama mereka. Baginya itu kenangan dulu. Yang
telah lama dia kubur dalam diari kehidupannya. Kini… masa depannya akan bermula
bersama Balkish. Dia tak mahu menoleh ke belakang lagi.
“I pun masih ingat makanan kesukakan you, Riz. You
tak berapa suka makan yang pedas-pedas. You suka makan butter prawn. Sepinggan pun you
boleh habiskan sorang,” kenang Dhia mengenai
makanan kesukaan lelaki itu. Harriz memang hantu udang. Entah-entah sekilo
udang yang dimasak butter prawn pun
dia boleh habiskan sehingga licin pinggan.
“Boleh tak kita tak perlu sembang pasal semua tu?
Apa tujuan you nak jumpa I sebenarnya?” soal Harriz yang sudah mulai bosan
dengan adegan-adegan kenang terindah yang Dhia bicarakan.
Tersentak Dhia mendengar intonasi suara Harriz yang
sedikit keras. Ketara sangat Harriz masih menyimpan dendam terhadapnya. Dhia
ketap bibir. Air mata rasa ingin mengalir namun ditahan sekuat hati. Dia tidak
mahu menangis di depan Harriz.
“I datang… sebab I nak mintak maaf dengan you. I tahu I bersalah. I tak patut percayakan
kata-kata Justin dan tinggalkan you. I menyesal Riz. Menyesal sangat!” ada
getar pada suara Dhia ketika ini. Sedaya upaya dia menahan rasa hatinya yang
kian dihambat kesayuan.
Harriz menyandar pada bahu kerusi. Kalaulah
perkataan itu Dhia ucapkan tiga tahun lalu, tentu dia sudi menerima gadis itu
semula. Namun kini, perasaan sayangnya pada Dhia sudah tiada lagi. Cuma seorang
sahaja wanita yang bertakhta di dalam hatinya.
“I dah lama maafkan you, Dhia. Sejak I rela hubungan
antara kita sudah tak ada apa-apa makna lagi. Sejak I dah boleh teruskan
kehidupan I tanpa you,” ujar Harriz. Memang dia sudah maafkan Dhia. Tapi untuk
menerima Dhia semula dalam hidupnya, sesuatu yang terlalu mustahil.
Dhia tunduk memandang lantai. Apple juice yang dipesannya langsung tidak terusik.
“I tahu you masih berdendam dengan apa yang I buat
tiga tahun lepas, Riz. Tapi I benar-benar dah menyesal. Kalau boleh… I mahu
kembali semula ke pangkuan you. I mahu buat you gembira macam dulu semula. I
rindukan you, Riz. Rindu sangat pada hubungan kita dulu.”
Harriz menggeleng-geleng. Rasa mahu sahaja dia
ketawa besar waktu itu. Senang sungguh Dhia mahu kembali ke pangkuannya setelah
begitu mudah Dhia melupakan dia dulu. Masih terasa kepedihan itu bila Dhia
melontarkan kata-kata hinaan buatnya bila dia menghalang Dhia dari mengikut
Justin ke luar negara. Masih terngiang-ngiang kemarahan mama bila Dhia menolak
pinangan yang dihantarnya. Seolah dia tiada maruah ketika itu. Begitu tegar
Dhia memperlekehkan maruah lelakinya.
Dan kini… Dhia ingin menyambung semula kisah cinta
mereka yang telah dia buang jauh-jauh suatu ketika dulu. Huh! Mustahil untuk
dia kembali kepada Dhia. Wanita yang telah membuatkan dia berubah menjadi
seorang yang berperwatakan playboy.
Mempermainkan perasaan ramai wanita di luar sana.
“Sorry
Dhia. Mungkin dulu I pernah terfikir mahu you kembali semula ke dalam hidup I. Tapi
sekarang ni I dah tak ada apa-apa perasaan untuk you lagi. Mustahil untuk kita
bersama semula.”
“Tapi I sayangkan you, Riz. I mahu memperbaiki
kesilapan yang I buat dan kembali pada you. Berilah I peluang sekali lagi Riz.
I akan buktikan yang I serius dengan kata-kata I.”
“Nope! I
rasa kita memang bukan ditakdirkan untuk bersama, Dhia. I bukan untuk you. Dan
you juga bukan untuk I,” tegas Harriz bila Dhia seolah-olah mahu berkeras
dengan keinginannya.
Dhia tidak berani mengangkat wajahnya. Dia tunduk sambil
cuba mengesat airmata yang sudah membasahi pipi. Dia sudah tidak ada kekuatan
mahu menyembunyikan tangisannya daripada pandangan Harriz. Biarlah dia
menangis. Mana tahu dengan tangisan itu hati jantan Harriz akan lembut
menerimanya semula.
Harriz menghela nafas. Jika dulu, dialah orang yang
paling susah hati bila Dhia menangis. Dia hanya mahu melihat senyuman pada
wajah cantik itu. Tiada sebarang kesedihan.
“I mintak
maaf, Dhia. I benar-benar tak boleh nak sambung semula kisah cinta kita. Hati I
sekarang sudah dimiliki. Dan untuk pengetahuan you, I akan berkahwin tak lama
lagi. I tak nak lukakan hati bakal isteri I. Dia begitu bermakna buat I, Dhia.
Tak ada wanita lain lagi dalam hidup I selain dia,” terang Harriz.
Dhia terkedu. Air matanya semakin deras mengalir.
Pantas dia mengeluarkan cermin mata hitam dari tas tangan lalu disarung ke
wajah untuk menutupi matanya yang sudah lencun dengan air mata. Dia tidak mahu
ada pengunjung yang perasan akan tangisannya itu. Setelah itu barulah dia
mengangkat semula wajahnya. Memandang wajah Harriz yang kelihatan begitu
tenang. Seolah tiada perasaan melihat tangisannya.
“I tak berdendam pada you. I dah maafkan apa yang
you lakukan dulu. Sekarang ni kita punya jalan hidup masing-masing, Dhia. I
bahagia dengan wanita pilihan I dan I juga mahu you terus mencari kebahagian
you sendiri. Antara kita tak mungkin akan bersama semula.”
Dhia hanya mengangguk lemah. Tiada guna untuk dia
memaksa cinta Harriz lagi andai itulah yang dikatakan oleh lelaki itu. Untuk
apa dia menagih cinta Harriz lagi andai kata Harriz sudah tidak cinta padanya.
Dia kena merelakan kebahagian Harriz seperti mana Harriz pernah melepaskan dia
pergi dulu. Dia tidak patut mementingkan diri sendiri. Dalam keterpaksaan, Dhia
cuba untuk mengukir senyuman pada bibirnya.
“Maafkan I, Riz. I tak patut cakap begitu pada you.
I tak patut kembali semula ke sini semata-mata mahu memburu kembali cinta you.
Maafkan I, Riz. Maafkan I,” pinta Dhia berulang-kali.
“Sudahlah Dhia. Biarpun kita tak boleh nak
menyambung semula cinta kita, tapi kita masih boleh jadi kawan. I tak pernah
nak anggap you sebagai musuh I.”
Dhia cuba mengukir senyuman. Walaupun senyuman itu
terasa pahit, namun sedaya upaya cuba dimaniskan.
“Terima kasih Riz. Sebab you masih sudi terima I
sebagai kawan you.”
Harriz mengangguk-angguk. Dalam hati, dia sentiasa
mendoakan agar Dhia bahagia dengan lelaki lain.
***************************************************************************
TOK! TOK! TOK!
Bertalu-talu Azura mengetuk pintu bilik Dhia. Tadi sekembali sahaja dari
bertemu dengan Harriz, Dhia terus mengunci diri. Langsung tak keluar-keluar
hingga ke malam ini. Bimbang juga hati Azura dibuatnya.
“Dhia… bukalah pintu ni,” lembut Azura memanggil.
Tidak sampai seminit, akhirnya pintu yang dikunci
dari dalam dibuka luas.
Azura menjengukkan kepala ke dalam. Kelihatan Dhia
sedang berdiri tegak mengadap ke tingkap yang dibuka luas. Khusyuk sungguh
wanita itu merenung ke luar.
“Dhia…” panggil Azura.
“Aku tak patut jumpa Harriz, Zura. Sepatutnya aku
pendam aje apa yang aku rasa ni. Tak
patut aku luahkan pada dia,” ujar Dhia sambil terus merenung bulan yang indah
di luar sana.
Dahi Azura berkerut seribu. Tidak faham dengan bait
kata-kata Dhia yang secara tiba-tiba itu.
“Sepatutnya aku tak perlu balik semula ke sini.
Sepatutnya aku perlu terus tinggal di luar negara. Bukankah sebelum ini memang
itu yang aku inginkan? Aku mahu hidup bebas di negara yang bersalji. Tak
sepatutnya aku kembali. Tapi…” nafas dihela sebelum kata-katanya disambung
semula.
“Aku begitu rindukan Harriz. Aku ingin sangat
berjumpa dengan Harriz. Aku mahu menyambung semula cinta kami yang aku sendiri
putuskan suatu ketika dulu,” tanpa dapat ditahan, air mata Dhia mengalir
membasahi pipi. Bila terkenangkan kata-kata Harriz siang tadi, bahawa lelaki
itu bakal melangsungkan majlis pernikahannya tak lama lagi, hati Dhia bagaikan
dihiris dengan sembilu. Sakitnya teramat sangat. Dia hendak memberontak marah.
Namun bila mengenangkan siapalah dirinya kini, dia rasa terlalu kerdil untuk
berasa marah dengan keputusan Harriz itu. Dia bukanlah siapa-siapa pada Harriz
lagi.
Tangisan Dhia yang mula kedengaran itu membuatkan
hati Azura dipalu rasa hiba. Pantas dia merapati sahabatnya itu lalu tubuh Dhia
diraih ke dalam pelukannya. Sebagai sahabat, dia rasa dia perlu ada di sisi
Dhia ketika sahabatnya itu berada dalam keadaan duka. Lagipun, sebelum ini Dhia
sudah terlalu banyak membantunya hingga dia berada di tahap sekarang. Jika
bukan kerana Dhia yang sudi memberikan dia modal untuk membuka kedai keknya
itu, tentu dia tak akan berjaya sebagai seorang peniaga muda yang berjaya kini.
“Harriz dah buang aku dalam hidup dia, Zura. Harriz
dah ada wanita lain yang lebih penting dari aku,” tangis Dhia. Hatinya
benar-benar terluka kini.
Azura tidak terkejut dengan kenyataan Dhia itu.
Sejak Dhia tinggalkan Harriz tiga tahun lalu, lelaki itu sudah jauh berubah.
Sering kali juga Azura terserempak dengan Harriz dengan berlainan teman wanita.
Malah Harriz sudah cukup terkenal dengan gelaran playboynya.
“Harriz akan berkahwin tak lama lagi, Zura,” beritahu
Dhia lagi. Esakannya semakin memecah kesunyian malam.
Azura mengangguk-angguk.
“Syhhh…
dahlah tu Dhia. Jangan menangis lagi. Relakan aje pernikahan Harriz. Mungkin di luar sana masih ada lelaki yang
lebih baik dari Harriz telah Allah ciptakan untuk kau. Kau kena terima semua ni
dengan hati yang reda,” pujuk Azura yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
Hanya mendengar luahan hati Dhia.
Dhia menangis lagi. Relakah hatinya dengan
kehilangan ini? Sedangkan kepulangannya di bumi Malaysia ini semata-mata mahu
menyambung semula hubungan cintanya dengan Harriz. Dia mahu memperbaiki
hubungan mereka.
Dhia teresak. Sukar baginya hendak melepaskan
Harriz. Biarpun dulu dia pernah melukakan hati lelaki itu, tapi kini hatinya
kembali merindui Harriz. Sayang! Dia terlambat untuk kembali. Harriz bukan lagi
untuknya. Cinta lelaki itu bukan lagi buat dia. Dia menyesal kerana melepaskan
lelaki sebaik Harriz suatu ketika dulu. Andai masa dapat diputar semula, akan
Dhia putar masa itu ketika cinta antara dia dengan Harriz masih utuh. Akan Dhia
kembali di saat-saat Harriz ingin menjadikan dia sebagai ratu dalam hidupnya.
Tapi Dhia benar-benar sudah terlewat. Masa itu tak
mungkin dapat dikembalikan semula kepada suatu ketika dulu. Seperti kata Azura,
Dhia perlu reda walaupun hatinya terluka. Kerana inilah balasan yang perlu
diterimanya atas dosa-dosa silamnya.
No comments:
Post a Comment