SEMESTER akhir di PUO memang sangat
mencabar. Tugasan yang semakin banyak kadang-kadang
membuatkan pelajar-pelajar menghadapi tekanan perasaan
dan stres. Tapi walau apa pun, semua tu harus diharungi
demi segulung sijil dan diploma yang dapat membantu
mereka di luar sana kelak. Zaman kemajuan dunia
pendidikan yang semakin bertaraf tinggi, apalah sangat
pekerjaan yang dapat dilakukan jika tidak mempunyai
sekurang-kurangnya segulung sijil. Malah kadang-kala,
sijil pun masih tidak mencukupi. Di luar sana, ramai
siswazah lepasan universiti yang masih mencari pekerjaan.
Bukan masalah terlalu memilih, kadang-kadang majikan
juga tidak mahu mengambil mereka untuk jawatan yang
tidak setaraf dengan pendidikan mereka. Disebabkan itu
jugalah ramai lulusan universiti yang hanya menggunakan
sijil SPM atau STPM ketika memohon pekerjaan.
Acam dan Dzil juga tidak terkecuali dengan tempias
semester akhir ini. Masing-masing sibuk menyiapkan diri
untuk mengakhiri zaman pelajar namun perasaan dan hati
masih tetap sama. Bagi Acam, semester terakhir ini
merupakan semester yang sangat luar biasa. Apa tidaknya,
penampilan Acam yang sedikit berbeza membuatkan banyak
mata yang mula terbuka dengan kehadirannya. Kalau dulu,
sepuluh kali lalu di hadapan pelajar-pelajar lelaki pun tidak
tentu lagi ada seorang yang menoleh.
Tapi kali ini, walau hanya bebayang Acam melintas
pun sudah ramai yang tertunggu. Siulan masih lagi tidak
berhenti cuma cara dan bunyi siulan itu sudah berbeza. Dah
bukan bunyi ungka tapi bunyi siulan mamat gatal pula.
Selepas menjalani latihan praktikal, Acam
merasakan sudah masanya untuk dia mengubah sedikit
penampilannya. Bertukar daripada 100% tomboi kepada
sedikit kegadisan. Bukan bermakna selama ini dia tidak
pernah berbaju kurung dan bertudung, tapi selalunya
kalau dahulu, rentak jalan dan pembawaannya tu memang
kasar betul. Muka pun, tidak pernah ada secalit warna.
Kalau ada pun rona-rona merah ketika Acam naik
angin atau ketawa yang bertamu. Sementalah wajahnya
yang putih bersih itu memang cepat benar terlihat garisgaris
merah yang suka menumpang. Bukanlah macam Betty
la Fea, terus bertukar jadi cantik.
Kali ini, Acam sudah mulai pandai bergaya dalam
berpakaian. Masih berbaju kurung tapi dengan warna-warna
lembut yang lebih menampakkan kelembutan dirinya.
Digandingkan pula dengan kasut yang sedikit bertumit.
Malah, tudung pula sudah pandai memilih selendang
panjang dan pashmina. Gaya pun sudah ala-ala
Hana Tajima.
Namun, selalunya tudung ekspres fesyen terbaru
juga yang menjadi kegemarannya. Bukan apa, lebih mudah
dan cepat untuk bersiap. Cara berjalan juga sudah banyak
berubah. Sebenarnya sebelum ni bukan Acam tidak pandai
bergaya, cuma dia hanya menyimpan niat itu untuk satu
waktu yang sesuai. Juliana banyak membantu dalam
proses perubahan penampilan itu. Di samping gambargambar
pelakon Diana Amir yang telah berhijrah memakai
jilbab turut sama membantu. Dia suka dengan penampilan
pelakon itu. Manis dan ayu bertudung walaupun kadangkadang
berbagai fesyen tudung digayakan. Tetap kelihatan
manis dan sopan.
Rakan serumah mahupun sekuliah Acam masingmasing
tertanya-tanya apa penyebab Acam berubah.
Rakan-rakan pelajar perempuan yang sememangnya
bersahabat baik dengan Acam, menerima perubahan itu
dengan hati yang terbuka malah suka pun ada. Suka melihat
Acam tidak lagi sekasar dulu walaupun masih ada saki-baki
sikap kasarnya itu terselit dalam kelembutan yang baru
timbul.
Namun ada juga yang tidak senang dengan
perubahan Acam. Bukan apa, rasa diri mreka tergugat
sedikit. Risau bila mata boyfriend masing-masing mula
menjuling apabila terlihat Acam melintas di hadapan
mereka. Sedangkan, Acam sedikit pun tidak pernah
memberi perhatian kepada pelajar-pelajar lelaki di PUO tu.
Tak kuasa!
Perubahan Acam itu juga turut memberikan
tempias kepada Dzil. Sudah tentu Dzillah orang yang
paling gembira dengan perubahan Acam. Suka apabila
melihat gadis idaman semakin cantik, semakin manis,
semakin menawan hati dan sedikit demi sedikit menjadi
gadis melayu terakhir idaman Malaya. Tapi, dalam pada
itu, hatinya tetap juga dipukul badai. Dipukul dengan rasa
cemburu dan gusar.
Mana tidaknya, kalau dulu hanya dia seorang
sahaja yang memuja Acam, sekarang nama Acam telah
mula meniti dari mulut ke mulut pelajar-pelajar
lelaki di situ. Malah yang junior pun ramai yang
memasang niat nak cuba tackle Acam. Isy, Mior yang asyik
sibuk-sibuk mengutuk si Acam ini dahulu pun sudah mula
usyar Acam dari jauh. Ada juga yang mahu kena cepuk nanti.
Beranilah kacau daun, mahu bertelur dahi dua tiga biji. Mior
sudah sedia maklum akan ugutan Dzil itu namun apakan
daya, mata sudah berkenan hendak memandang setiap kali
kelibat Acam tersua di mata. Itulah orang kata, jangan nak
kutuk lebih-lebih, takut suatu hari nanti rahang pun boleh
terjatuh kepada orang yang sama. Macam ini ceritalah!
PETANG itu, Acam seperti biasa melangut di atas katilnya
sambil membelek beberapa buah novel terbaru yang baru
sahaja diserahkan oleh abang Poslaju. Tersenyum sahaja
wajah comelnya ketika menerima bungkusan itu.
Senyumannya makin lebar apabila teringatkan insiden dia
dan abang Poslaju pagi tadi.
“Puteri Darlina ya,” ujar abang Poslaju sambil
menyerahkan bungkusan serta kertas yang perlu
ditandatanganinya itu. Acam hanya menggangguk.
“Errm... dah lama abang tak hantar buku adik ni
kat sini. Rasanya abang selalu hantar barang untuk Puteri
Darlina ni, tapi macam lain pula orangnya,” kata abang
Poslaju lagi. Acam masih membuat wajah biasa, seperti tiada
apa yang berubah.
Yalah, selalunya kalau abang Poslaju itu datang, dia
hanya akan keluar dengan berbaju-T dan jean lusuh. Kepala
pula yang kadang-kadang hanya ditutupi dengan tuala
panjang sahaja. Tidak pernah hendak senyum pun. Ketat
saja muka.
“Sayalah tu, bang. Tak ada orang lain dah kat
sini nama Puteri Darlina tu,” balas Acam masih lagi
melemparkan senyuman ikhlas kepada abang Poslaju yang
banyak berjasa tu.
“Hmm, dulu si Puteri tu kasar sikit. Kalau ambil
barang, tak nak lama-lama bercakap dengan orang. Nak
cepat aje dia. Tapi adik ni lain pula. Tak macam dia pun.”
Tercuit juga Acam dengan kata-kata abang poslaju
yang cukup tulus mulus itu. Wajah abang Poslaju itu pun
beriak biasa sahaja, tidak sedikit pun ada rasa kesal dengan
pernyataan yang baru sahaja diluahkannya.
Alahai abang Poslaju, teruk sangat ke aku layan kau
dulu, bisik hati Acam.
“Erm... abang, minta maaflah ya kalau saya dulu
kasar dengan abang. Dulu saya jahiliah lagi, tapi sekarang
sudah insaf. Terima kasih ya, bang.” Abang Poslaju hanya
tersenyum lalu mengangguk sebelum beredar. Macam ini
pun ada?
Bungkusan yang diterima sebentar tadi dibawa ke
bilik. Balutan plastik bungkusan terus dibuka dan memang
benar telahannya, sudah tentu novel. Inilah hasil
tangkapannya sepanjang hari melayari blog-blog penerbitan
di alam maya. Bukan susah pun hendak beli novel-novel di
alam maya ni, yang penting kena rajin dan ada akaun bank.
Senang untuk berurusan dengan hanya menggunakan
khidmat transfer wang ke akaun bank syarikat penerbitan
yang hendak dibeli novelnya. Maybank2u ada, CIMB Clicks
pun ada. Tok nenek pun boleh dibeli kalau ada perkhidmatan
perbankan online ni.
Setelah membelek-belek kulit serta membaca
sinopsis novel-novel yang baru diterimanya, Acam
menyusun kesemuanya di atas rak berhampiran meja
belajar. Kena tunggu giliran, masih banyak yang berstatus
tergendala untuk dibaca. Hajat di hati malam nanti akan
dilakukan operasi membalut novel-novelnya itu.
Kertas kecil diambil lalu ditulis sesuatu di
atasnya. . Hmm... dia
tersenyum. Harus kena tulis nota kecil tu kalau tidak,
tidak sampai sehari memang lesaplah novel-novelnya itu.
Asal ada novel baru saja mesti ramai seperti semut datang
menghurung. Kalau semut-semut itu tahu meminjam dan
pulangkan semula tidak apa. Ini ramai yang jenis hendak
pergi minta barulah tahu untuk pulangkan. Lagi sakit hati
kalau novel-novel itu sudah jadi macam belacan ketika
dipulangkan semula. Langsung tidak serupa bentuk asal
ketika dipinjam. Siapa yang tidak sakit hati, merana jiwa
raga.
Tiba-tiba, hatinya teringatkan Ros. Wah, lama
sungguh tidak bertemu dengan Ros, sahabat lamanya yang
merupakan teman sebilik semasa di kolej dahulu. Demi
teringatkan Ros, Acam terus bangkit dari katilnya. Rambut
yang hitam dan panjang mengurai itu segera disanggulkan.
Baju-T putihnya diganti dengan baju-T Muslimah lengan
panjang Sumayya yang dihadiahkan oleh Kak Haniza. Cantik
baju-T itu, cukup syarat menutup aurat, tidak terlalu ketat
dan tidak pula terlalu longgar. Memakainya sahaja
sudah nampak ciri-ciri gadis melayu. Belum lagi dipadankan
dengan palazzo hitamnya serta tudung ala-ala Fareeda yang
kemas tergantung di dalam almari. Nak beli tudung Fareeda
original tak mampu weh, bukan main puluh-puluh ringgit
harganya, kalau tak ada seratus dua tak dapatlah nak
bergaya. Dapat yang imitation pun jadilah, apatah lagi
bergelar pelajar, itu pun dah lebih daripada cukup hebat.
SETELAH bersiap ala kadar dengan secalit lipstik merah
jambu yang nipis di bibirnya, Acam segera mencapai purse
serta kunci rumah. Yani yang terlihat Acam menuruni
tangga hanya tersenyum memandangnya. Memang cantik
gadis bernama Acam ni, patutlah si Dzil gila meroyan
sampai sanggup asyik bersidai kat tepi pagar rumah anak
dara orang. Nak-nak pula sekarang ni ramai yang asyik kirim
salam kepada Acam, lagilah meroyan pak cik Dzil tu, getus
Yani. Senyuman Yani dibalas dengan siapaan Acam.
“Aku keluar kejap eh.”
“Hmm.. datinglah tu. Amboi, orang dah ada
boyfriend ni,” usik Yani.
“Isy... kau ni. Siapa yang ada boyfriend, aku single
lagi ni. Still single and available,” balas Acam.
Meledak tawa Yani mendengarnya. Eleh mahu
sorok lagi, macamlah orang tidak nampak yang si Dzil tu
asyik menempek sahaja dengan dia. Asal petang saja, depan
pagar itulah jadi lokasi rasmi Dzil. Buat apa lagi, kalau tidak
bersiul-siul mencari Acam. Masih seperti dahulu, tidak
pernah hendak kalah si Acam ini.
“Tu si Dzil tu bukan boyfriend kau ke?” tebak Yani.
Kali ini dia ingin memancing hati Acam.
“Mana ada. Pernah ke dia cakap dia tu boyfriend
aku? Tak ada, kan. Kawan ajelah.” Wajah Acam
sudah kemerah-merahan menahan malu. Yani tergelak
mendengarnya.
Alahai Acam, memanglah kau kata kawan, tapi si
Dzil tu dah angau satu kampus ni tau dia tergila-gilakan
kau. Kalau tidak, mustahil dari semester pertama lagi sudah
sibuk minta tolong abang-abang senior korek biodata kau,
bisik Yani sendiri.
Sengaja tidak mahu diluahkan apa yang tersirat
di fikirannya ketika itu. Biarlah mereka berdua yang settle
sendiri. Lagipun hal hati masing-masing tak boleh masuk
campur. Dia suka aje kalau menjadi. Baik Acam mahu pun
Dzil, kedua-duanya dia suka. Cuma dia agak gusar dengan
seseorang saja. Risau juga kalau hubungan Acam dan Dzil
nanti akan terhalang disebabkan seseorang itu.
“Kau nak pergi mana lawa-lawa ni?” soal Yani.
“Lawa ke? Alahai, terima kasihlah puji aku. Aku nak
pergi rumah Ros kejap. Dah lama tak jumpa dia, rindu pula.”
“Okeylah, kirim salam kat Ros ya. Hati-hati kat
rumah dia orang tu. Nanti balik kau tolong belikan aku
Maggie Tom Yam satu peket,” pesan Yani. Hatinya tidak
berapa sedap apabila Acam menyatakan akan ke rumah Ros.
Dia tahu Ros itu sahabat Acam, tapi ada sesuatu yang tidak
kena di situ. Entahlah...
Setelah mengucapkan salam, Acam beredar. Dia
masih berfikir tentang kata-kata akhir Yani tadi yang
menyuruhnya berhati-hati di rumah orang itu. Puas
mentafsirkan apakah yang tersirat di sebalik kata-kata Yani
itu, namun akalnya masih tidak dapat menemui jawapan.
Langkah ke rumah Ros diatur perlahan. Sempat juga dia
singgah sebentar membeli goreng pisang panas di tepi jalan
menghala ke rumah Ros. Ros hanya tinggal di taman
bersebelahan dengan taman yang didiaminya.
Melintasi rumah yang disewa Dzil dan rakanrakannya,
hampir hendak pekak telinga Acam mendengar
namanya disiul-siulkan. Hati rasa panas juga tapi pelik
sungguh sekarang, cepat sahaja panas itu surut. Kalau dulu
mahu sahaja dijelingnya ungka-ungka yang rajin bersidai
dan bersiul-siul tu.
“Assalamualaikum Acam, nak ke mana tu?”
Satu suara menegurnya. Tentu sekalilah dari
rumah yang penuh dengan pelajar lelaki itu. Acam berpaling
ke arah pemilik suara yang menegurnya. Rasanya dia kenal
pemilik suara itu.
“Waalaikumussalam. Nak ke rumah Ros sekejap,”
balas Acam, lembut.
Mior, si empunya suara itu tersenyum lebar.
Bergetar hati lelakinya tatkala melihat gadis yang berdiri di
hadapannya itu. Satu transformasi yang sungguh luar biasa.
Wajah putih merah milik Acam itu ditenung lama sehingga
Acam merasa serba salah. Cepat-cepat Acam mengalihkan
pandangan apabila ditenung begitu. Huh, dulu kemain lagi
mengata aku, sekarang mulalah, sampai nak terjojol mata tu
tenung muka aku ni, getus hati Acam. Korek biji mata nanti,
jadi Kassim Selamat baru tahu.
“Okeylah, saya jalan dulu, nanti lewat petang pula.”
Acam bermohon diri lalu mengatur langkah laju. Tak manis
dilihat orang lama-lama di hadapan rumah yang didiami
oleh pelajar lelaki itu.
Tidak sampai sepuluh meter, tiba-tiba lagu Tercipta
Untukku nyanyian Pasha kumpulan Ungu yang popular itu
nyaring kedengaran. Lagu itu menjadi nada dering telefon
bimbit Acam. Itu kerja si Yanilah tu, pandai-pandai saja
tukar nada dering. Segera telefon dijawab.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam, awak kat mana?” Lembut
suara di hujung talian.
“Saya kat tengah jalanlah awak, nak ke rumah Ros,”
balas Acam. Hati berbunga riang mendengar suara itu.
“Dah jauh ke dari rumah saya? Tadi Mior bagitahu
awak lalu kat depan tu, tunggu kejap, saya temankan awak.”
“Eh, tak apalah. Saya boleh aje jalan sendiri, tak
payah susah-susahlah.”
“Mana ada susah, lagipun mana boleh biarkan
awak jalan seorang-seorang. Kat sini banyak buaya, nanti
dingapnya awak, haru saya,” tukas Dzil.
“Lah, kat atas darat ni mana ada buaya. Bagilah
alasan logik sikit encik Dzil, oiii” bebel Acam. Dah mulalah
tu nak mula bertekak.
“Buaya atas daratlah lagi bahaya. Kalau dia makan,
tiada ampun. Tak kira, awak tunggu aje kat depan tu.” Talian
dimatikan. Acam mengeluh mengenangkan sikap Dzil yang
tidak tahu kalah. Hish, mengalahkan pakwe pula dia ni.
Buayalah konon. Awak tu lagi dahsyat, naga terus.
Hendak tergelak pula Acam mengenangkan alasan Dzil
menemaninya sebentar tadi.
Acam masih mengatur langkah perlahan-lahan
ketika terdengar namanya diseru. Termengah-mengah Dzil
yang berhenti di belakangnya. Dia berpusing menghadap
mamat yang berbaju-T putih dan track bottom hitam itu.
Sempoi saja mamat ni, tapi memang handsome gila, detik
hatinya. Eh, apa pasal sekarang aku dah semakin nampak
tahap handsome mamat ni ya? Dulu tak pula nak perasan
sangat.
“Lah, kan dah penat. Susah-susah pula nak
temankan saya. Macamlah saya tak pernah jalan seorangseorang,”
bebel Acam.
“Tak adalah, saya baru balik joging tadi, bila Mior
bagi tau tu yang terus datang. Jom, nanti dah lewat pula,”
ucap Dzil.
Matanya sesekali mengerling ke arah Acam. Comel
sungguh, pujinya dalam diam. Walaupun penampilan Acam
sudah bertukar menjadi semakin lembut dan ayu namun
yang ketara, sifat kasarnya masih berbaki. Tidak pula Acam
bertukar menjadi ala-ala gedik seperti kebanyakan gadis
lain. Itu adalah penyebab kenapa Dzil meminati Acam.
“Lama ke awak kat rumah Ros nanti?” soal Dzil.
Langkah masih disusun beriringan, seronok pula
dapat bersama Acam berjalan santai. Walaupun dekat sahaja
rumah mereka, tapi Acam ni bukan suka sangat pun untuk
berjumpa. Setakat bersidai lima enam minit di pagar rumah
Acam tu sahajalah. Kalau hendak diajak keluar makan
memang susah, macam-macam alasan. Apatah lagi kalau
sebut dating. Harus ditolak mentah-mentah. Namun, semua
itu menjadikan Dzil lebih tertarik dengan gadis itu.
“Kenapa?” soalan Dzil dibalas soalan juga.
“Taklah, ingat nak ajak awak makan. Kita pergi
town nak?” pelawa Dzil.
“Makan? Town? Nak naik apa? Kalau rempit dengan
awak, isy.. tak ingin saya,” bebel Acam menjeling Dzil yang
tersengih.
“Eii.. saya tak pernah lagi bawa perempuan naik
motor saya tu tahu, kalau awak sanggup cemar duli, awak
seorang ajelah yang pecah rekod teruna motor saya tu,”
balas Dzil berseloroh. Muncung Acam sudah panjang 14
inci. Comelnya, getus Dzil.
Hish, nasib baik anak gadis orang, kalau sah isteri
dia, mahu sahaja digigit-gigit bibir mungil tu. Tak apa,
sabarlah hati, habis saja belajar nanti pasti rombongannya
akan sampai ke pintu rumah gadis di sebelahnya itu. Orang
kata, kalau jodoh tak ke mana. Save for the best!
“Tak mahulah,” ucap Acam dengan muka kelatnya.
“Okeylah, tak nak naik motor, kita makan kat sini
ajelah. Kat gerai hujung simpang tu ya,” pujuk Dzil lagi.
Mana boleh mengaku kalah cepat sangat.
“Hmm... kalau kat situ okeylah. Lepas maghriblah
saya balik dari rumah Ros.”
“Hmm, saya tunggu awak kat depan rumah Ros.
Nanti kirim salam rindu kat Ros juga ya,” seloroh Dzil.
Direnungnya wajah Acam yang kemerahan.
“Awak jealous ya,” tegur Dzil lalu terhambur tawa
di bibirnya. Acam hanya mendiamkan diri. Geram dengan
usikan Dzil.
“Tak ada maknanya nak jealous dengan awak,”
bantah Acam. Menyampah betul mamat ni. Eh, nampak
sangat ke aku jealous ya?
Tawa Dzil masih lagi kedengaran ketika lelaki itu
melangkah pergi berlari-lari anak meninggalkan Acam di
hadapan pintu pagar rumah Ros. Memastikan keselamatan
Acam menjadi matlamat sampingan Dzil sekarang. Kalau
boleh tidak mahu gadis itu tercuit dek sesuatu apa pun.
Dari jauh Dzil memerhatikan Acam melangkah
memasuki perkarangan rumah Ros sehingga ke pintu
rumah. Kelihatan dia berhenti bercakap sebentar dengan
rakan serumah Ros yang berada di luar rumah. Hatinya
senang, malam nanti hendak bertemu gadis idaman hatinya
itu lagi. Masa untuk pulang mensucikan diri dan
mengabdikan diri kepada Dia yang Maha Esa. Mentari pun
tidak lama lagi akan pohon diri untuk beradu.
No comments:
Post a Comment