SUDAH seminggu kejadian itu berlaku, bermakna
sudah seminggu juga Nuha Qalisya mogok di dalam biliknya.
Moodnya kerap bertukar dan tidak menentu. Nasib baik dia
masih bercuti. Kalau tidak, dia tidak tahu bagaimana mahu
bekerja dalam keadaan dirinya yang tidak stabil begini.
Kerjanya sebagai jurutera di Gemilang Holdings
memerlukan dia memberikan komitmen sepenuhnya kepada
skop kerjanya. Namun dalam situasinya sebegitu, dia tidak
yakin dapat memberikan komitmen pada projek yang sedang
dikendalikannya. Silap hari bulan, dia boleh membuatkan
majikannya kerugian berjuta-juta ringgit.
Nuha Qalisya membuka pintu gelangsar biliknya.
Sesekali angin segar menyapa mukanya. Dia menggigil
kesejukan. Mungkin juga disebabkan hujan baru saja berhenti
setengah jam yang lalu menyebabkan udara malam begitu
sejuk.
Dia memandang ke arah langit. Sebutir bintang pun
tidak kelihatan. Tiba-tiba pintu biliknya dibuka, terjongol wajah
Maryam yang berbedak sejuk dan berbaju kelawar. Uniform
rasmi gadis itu setiap malam.
“Apa kau fikirkan?” Maryam menghampiri Nuha
Qalisya. Seperti temannya, dia turut memandang ke arah
langit tetapi tiada objek yang menarik perhatiannya. Dia bukan
pemuja bulan seperti temannya.
“Aku suka tengok langit… tengok bulan, tengok
bintang. Bagi aku cantik sangat. Bersinar dan berkelip-kelip.
Hati aku terasa begitu tenang dan damai. Tapi malam ni
nampaknya mereka malu nak tunjukkan diri.” Nuha Qalisya
bersuara lemah.
Pintu gelangsar biliknya ditutup semula. Pantas dia
bergerak ke katil. Novel di atas meja dicapai. Satu persatu
muka surat dibelek walaupun dia langsung tiada mood untuk
membaca. Maryam turut merebahkan badan di atas katil. Bantal
Tweety dipeluk erat.
“Kau masih terkenangkan mamat tu? Tak boleh ke
kau lupakan dia?” Maryam yang bergolek-golek di atas katilnya
tiba-tiba bersuara. Nuha Qalisya diam. Malas mahu menjawab
kerana dia sendiri tidak pasti sama ada sudah dapat melupakan
Zariff Adam atau tidak.
“Kau masih sayangkan mamat tak empuk tu?” Sekali
lagi Maryam menyoalnya. Bulat mata Nuha Qalisya mendengar
kata-kata Maryam. Tak empuk dipanggilnya Zariff Adam? Sakit
perutnya menahan gelak.
“Tak empuk?”
“Yalah, tak empuk. Kau ingat mamat tu empuk sangat
ke? Rebus lama mana pun aku tak rasa boleh empuk. Dah liat
tu.” Maryam bersuara kembali. Bagi dia, lelaki macam Zariff
Adam itu bersepah-sepah di atas muka bumi ni dan tak wajar
bagi Nuha Qalisya menangisi lelaki seperti itu.
“Sudah-sudahlah tu. Aku tahu kau kuat. Zariff bukan
jodoh kau. Aku tahu jodoh kau lebih baik daripada Zariff.” Bahu
Nuha Qalisya ditepuk lembut. Sedih benar dia melihat keadaan
temannya itu. Penangan putus cinta rupa-rupanya begitu teruk.
Berbeza dengan Nuha Qalisya dulu. Dia pernah terfikir sekiranya
temannya putus cinta, bagaimanakah keadaannya? Hari ini dia
sudah mendapat jawapan. Sikap cool dan tenang bagaikan tidak
pernah langsung melekat pada Nuha Qalisya sebelum ini.
Sudah jenuh Maryam cuba menggembirakan hati
Nuha Qalisya, namun semuanya tidak berhasil. Nuha Qalisya
seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Dua puluh empat
jam termenung. Entah apa yang difikirkan, dia sendiri tidak
tahu.
“Tak perlulah kau fikirkan lagi, buat sakit hati saja.
Daripada kau duduk termenung macam orang mati laki ni, baik
kau buat sesuatu yang berfaedah. Tak payahlah kau renung ke
langit tu. Malam ni langit gelap, beb. Baru lepas hujan,” ujar
Maryam.
Nuha Qalisya menayang wajah sedih. Bibirnya dijuih ke
depan. Maryam sudah tergelak-gelak. Novel yang dipegang tadi
ditutup kembali. Mood membaca sudah ke laut. Kain baju yang
bertimbun di atas katilnya dicapai lalu dia mula menjalankan
operasi melipat.
“Wah, cantik muka kau tu. Aku nampak dah sebiji
macam muka Mak Limah Lenggang hujung kampung kita
tu.” Nuha Qalisya terasa nak hantuk kepalanya ke dinding
apabila mendengar kata-kata Maryam. Akhirnya, kedua-duanya
tergelak sakan. Maryam tarik nafas lega. Sekurang-kurangnya
rakan baiknya itu dah mula bergelak ketawa. Tiba-tiba timbul
idea untuk pergi bercuti.
“Nuha… jom kita pergi Mersing. Ada satu tempat
tu nama dia Tanjung Leman… Kata member aku, tempat tu
cantik, nyaman. Kalau nak tenangkan fikiran, aku rasa sesuai
sangatlah. Lagipun, bila aku tengok keadaan kau yang tak
serupa orang ni, memang wajiblah kita pergi sana. Rasanya
orang mati laki pun tak macam ni.”
Bukkk… Sebiji bantal terkena kepalanya. Bantal itu
ditilik. Memang sahlah kerja Nuha Qalisya. Siapa lagi yang
ada kat bilik ni selain dia dan temannya itu? Patung Tweety ni
pula memang hak milik Nuha Qalisya yang dihadiahkan oleh
Zariff Adam sempena hari lahir temannya itu dua bulan lalu.
Nuha Qalisya buat-buat tak tahu. Tangannya berpura-pura ligat
melipat kain yang bertimbun di atas katilnya.
“Macamlah aku tak tahu kau yang lempar patung
Tweety, kan? Kau ni, mentang-mentanglah tuannya kau dah tak
sayang, bantal tu pun kau jadikan tempat melepaskan geram.
Bantal tu tak salah, kawan… Tuan ban…” Belum sempat dia
habiskan ayatnya, sebiji lagi bantal Tweety melayang ke arahnya
tetapi kali ini dia sempat mengelak. Bantal yang dilemparkan
oleh Nuha Qalisya sebentar tadi kini diletakkan di kepalanya.
“Betul, Nuha... Pantai kat sana cantik, bersih. Resort
dia pun cantik. Member aku kata, tak mahal pun dalam RM290
semalam. Kira okeylah tu beb.” Maryam kembali memberi
fokus kepada perbincangan utama mereka tadi. Daripada
menelentang sebentar tadi, dia meniarap pula. Dua-dua belah
kakinya diangkat ke atas. Sekejap itu juga betisnya terasa perit
apabila dicubit.
“Weh, apa ni? Sakit tau.” Dia menggosok betisnya. Dia
sudah duduk bersila di atas katil Nuha Qalisya.
“Tak elok meniarap dengan kaki dua-dua naik ke atas.
Buruk benar aku tengok. Dah tak serupa perempuan!” marah
Nuha Qalisya. Maryam tersengih.
“Kita pergi, ek...” Nuha Qalisya menepuk dahinya.
Maryam masih tidak lupa mengenai Tanjung Leman. Wajah
Maryam dipandangnya. Kalau boleh, dia tidak mahu ke manamana.
Langsung tiada hati untuk pergi bercuti atau berhibur
dalam situasi hidupnya yang agak haru-biru ini. Dia lebih gemar
menghabiskan masa duduk termenung di dalam bilik tidurnya.
“Kau tahu, Nuha... Tanjung Leman tu famous tau.
Tempat pengantin ambil gambar outdoor. Kita bolehlah tengok
nanti. Mana la tahu kut-kut dapat ilham untuk buka perniagaan
butik pengantin pula. Mesti kau…”
Bulat mata Nuha Qalisya memandang Maryam. Maryam
tak sempat menghabiskan kata-katanya. Tersalah cakap lagi ke
apa ni? Wajah masam Nuha Qalisya dipandang.
“Aku silap cakap, ek? Sorry… Sorry... Mulut aku ni
dah lama tak diinsuranskan. Tak sempat, beb. Busy gila ni. Bos
aku kau tahu sajalah. Ala... Kau ni pun, dah tempat tu tempat
popular untuk pengantin ambil gambar kahwin dia orang, aku
cakaplah,” balas Maryam sambil tergelak.
Agak seronok menyakat temannya itu seminggu dua
ni. Kalau dulu, gadis itu begitu cool, tidak mudah naik angin
tetapi sejak berpisah kasih dengan Zariff Adam, perangai Nuha
Qalisya seratus peratus berubah.
“Sat lagi aku book resort tu. Kita ajaklah Dora dan
Ifa sama. Ramai-ramai pergi barulah best. Happening. Nanti
tak adalah aku tengok muka kau, kau tengok muka aku. Kira
pelbagai muka juga la kita boleh tengok. Kau setuju tak ni?”
Maryam bercakap tak henti-henti. Sebiji macam murai tercabut
ekor.
Aik? Bila masa dia bersetuju untuk ke Tanjung Leman?
desis hati Nuha Qalisya. Maryam menayang muka kasihan. Moga
Nuha Qalisya terpengaruh apabila melihat wajah kasihannya.
Sudah lama dia teringin nak ke sana dan keinginan itu makin
kuat apabila mendengar kata-kata rakan di pejabatnya mengenai
tempat itu. Tambahan pula, ayah rakannya mempunyai resort
di Tanjung Leman.
“Kalau tak pergi tak boleh ke? Aku nak balik
kampunglah. Tiba-tiba aku teringatkan umi aku. Dah lama
sangat aku tak balik... Kan, kan, kan? Last hari tu dah dekat
sebulan.” Tiba-tiba idea balik kampung tercetus. Nuha Qalisya
berharap dia mampu menukar fikiran temannya.
“Oh no... no… no… Cantik muka kau nak pesongkan
fikiran aku. Usaha kau tu aku puji tapi belum mampu nak ubah
keputusan aku ni. Biasanya bukan main liat lagi kau nak balik
kampung. Macam-macam alasan kau bagi bila aku ajak kau
pulang. Tapi hari ini tiba-tiba aje kau ingat kampung, rindu
umi kau. Kau ni kan Nuha Qalisya, hebat betul berdrama.” Jari
telunjuk Maryam digoyang-goyangkan di depan muka Nuha
Qalisya sekali gus membuktikan usahanya memujuk Maryam
gagal.
“Aku malaslah nak drive. Bukannya dekat. Dalam lima
enam jam juga baru sampai. Itu kalau aku yang pandu. Kalau
kau yang pandu aku rasa lapan jam baru sampai. Lagipun Mar,
bukannya cantik sangat pun tempat tu. Aku dengar tempat
tu sekarang dah kurang cantiknya.” Dia masih memancing
simpati temannya itu. Maryam mendengus. Banyak pula alasan
yang diberikan oleh Nuha Qalisya.
“Nak kata orang drive macam kura-kura la tu. Aku
bukannya apa, Nuha... Aku ni pemandu berhemah, bersopan
santun. Kau ingat senang nak cari pemandu macam aku
kat Malaysia sekarang ni? Tak ada, Nuha... Tak ada. Spesies
macam aku ni sekarang dah banyak pupus…” Nuha Qalisya
sudah hampir terguling-guling mendengar kata-kata Maryam
sebentar tadi. Ketawanya makin kuat apabila melihat wajah
Maryam yang sudah bertukar warna.
“Aku tak kira, sat lagi aku book resort tu. Suka tak
suka, kau kena suka juga. Kita gerak pagi-pagi esok. Jangan nak
mengada-ada.” Maryam sudah menggunakan kuasa vetonya.
“Tolong ambil handphone aku tu. Aku nak call Ifa dan
Dora kejap. Manalah tahu dia orang nak ikut kita.” Suara Maryam
memecah lamunannya. Pantas Nuha Qalisya menghulurkan
Note II kepada Maryam. Harap-harap mereka bersetuju, doanya.
Lebih ramai yang ikut lebih meriah percutian mereka.
Tetapi memikirkan kesukaran temannya itu setiap kali
memohon cuti, dia rasa harapan Maryam tidak akan kesampaian.
Dia mahupun Maryam sememangnya mengetahui sikap puting
beliung ketua jabatan Afifa, Encik Badrul, lelaki berusia tiga
puluh lima tahun tetapi sehingga kini masih membujang.
Perangai sama turut dipamerkan oleh Helmy, pegawai atasan
Edora. Masing-masing mempunyai angin sukar diramal.
Seperti yang dijangka, kedua-dua temannya tidak dapat
turut serta mengikuti percutian yang dirancang oleh Maryam.
Jelas tergambar kehampaan di wajah Maryam. Namun Nuha
Qalisya akur mengenai masalah yang dihadapi kedua-duanya.
“Nampaknya kita berdua ajelah. Dia orang kerja, susah
nak dapat cuti sebab planning kita ni pun mengejut.” Maryam
menyembunyikan rasa kecewa kerana rancangan yang diatur
tidak berjalan lancar. Agak terencat sedikit kegembiraannya
untuk ke Mersing memandangkan dua rakan karib mereka
tidak turut serta.
“Tahu pun kau susah nak dapat cuti. Dah tahu mereka
susah nak dapatkan cuti, kau buat juga planning emergency
gini. Kalau mereka tak boleh pergi, kita tundalah dulu.
Bukannya urgent sangat kita nak pergi sana. Bila-bila boleh.
Lainlah mereka tu kerja kat syarikat ayah kau. Bolehlah bilabila
masa dia orang dapat bercuti.” Nuha Qalisya memulangkan
paku buah keras. Dia melihat temannya terkedu seketika.
“Hahaha… Lawaklah kau ni... Jika Haji Shariff, ayah
aku tu ada syarikat, tak perlulah aku sakit jiwa mendapat bos
seperti Mr. Kumar tu. Tidak pun, aku offer dia orang bekerja
dengan ayah aku. Masa tu senang la kita nak pergi bercuti ke
mana-mana. Taklah sakit jiwa macam ni.” Maryam beranganangan.
Dia membayangkan Haji Shariff mempunyai syarikat
sendiri dan dia pasti ayahnya akan menjadi seorang ketua yang
baik dan disegani kakitangan bawahan.
Tetapi, ayahnya bukanlah orang kaya. Dia hanyalah
seorang petani. Namun ayahnya kaya dengan sikap penyayang,
pemurah, rajin bekerja mencari rezeki untuk isteri dan
anak-anak. Sebagai seorang anak, dia bangga mempunyai
seorang ayah sebegitu yang tidak pernah berkata tidak kepada
permintaan anak-anaknya walaupun keluarga mereka tidaklah
semewah mana.
“Weh, kenapa kejap tersengih, kejap tersenyum ni?
Siapa yang geletek hati kau tu?” Hairan dia melihat kelakuan
Maryam. Pantas bahu temannya itu ditepuk, sekali gus
menerbangkan angan-angan yang dipasang oleh Maryam
sebentar tadi.
Tanpa menjawab pertanyaan Nuha Qalisya, dia
mencapai telefon bimbit di atas meja. Kemudian nombor
telefon Zakry Adlan ditekan. Rakan seuniversitinya yang
ditemui semula selepas beberapa tahun menamatkan pengajian
di universiti. Bercakap hampir setengah jam, akhirnya dia
meletakkan kembali telefon bimbit di tempat asal. Kali ini
wajah Maryam begitu ceria.
Dia mengukir senyuman tanda kelegaan. Bilik kosong
masih ada. Kata Zakry Adlan, memang rezeki mereka berdua
kerana ada pengunjung yang membatalkan tempahan saat
akhir. Lebih bagus lagi, Zakry Adlan bermurah hati memberi
diskaun sehingga lima puluh peratus untuk mereka menginap
di resort milik ayahnya itu. Nuha Qalisya hanya memerhati
telatah teman rapatnya. Maryam berpaling ke arahnya selepas
selesai berbual di telefon.
“Cepat pack barang kau. Esok pagi-pagi kita gerak
ke Mersing. Aku nak bila aku masuk bilik kau nanti, kau dah
siap pack baju. Kalau tak, tahulah apa aku nak buat.” Kakinya
melangkah keluar dari bilik Nuha Qalisya. Dia juga mahu
mengemas pakaian untuk dibawa ke Mersing esok.
Nuha Qalisya termenung lagi. Pintu jendela ditutup
apabila melihat hujan mulai turun. Pada awalnya, dia hanya
membiarkan mukanya dibasahi titisan air hujan. Terasa
nyaman dan segar. Hujan yang pada mulanya hanya gerimis,
kini semakin lebat. Akhirnya dia menutup kembali jendela.
Dia merebahkan badannya di atas katil. Satu persatu
kenangannya bersama Zariff Adam mula terbayang. Dari awal
perkenalan hingga ke akhir perhubungan. Tanpa disedari, air
matanya menitis di pipi. Begitu sukar untuk dia lupus kenangan
itu.
Pantas selimutnya ditarik ke dada. Matanya cuba
dilelapkan kerana esok dia perlu berjalan jauh. Jika diikutkan,
dia malas nak bergerak ke mana-mana tetapi memikirkan
Maryam yang sudah bersusah payah merancang percutian
untuknya, akhirnya dia mengalah. Dia tahu, temannya itu
hanya mahu menggembirakan hatinya. Maryam tidak mahu dia
terlalu memikirkan masalah putus cintanya.
Nuha Qalisya bingkas bangun lalu mencari beg
sandangnya. Pantas dia memasukkan beberapa helai T-shirt,
jean dan tudung lalu dimasukkan ke dalam beg sandangnya.
Tidak dilupakan juga tuala kerana dia tidak begitu selesa
menggunakan tuala hotel yang tidak diketahui tahap
kebersihannya. Jadi setiap kali pergi bercuti atau outstation, dia
akan membawa tuala sendiri biarpun tempat penginapannya itu
adalah hotel mewah.
Selepas siap berkemas, dia melangkah ke katil. Butang
On Samsung Note II miliknya ditekan. Sudah seminggu dia
menutup telefon bimbitnya gara-gara tidak mahu diganggu.
Seperti dijangka, begitu banyak SMS dan missed call. Satu per
satu SMS dibaca dan semuanya dari nombor yang sama. Milik
Zariff Adam.
Nuha sayang… Please, jangan off
handphone.Tolong jangan buat saya
begini… I love you, sayang.’
Nuha Qalisya melihat tarikh mesej itu… Hmmm...
Mesejnya diterima sebaik selesai perjumpaannya dengan lelaki
itu. Dia masih ingat, selepas keluar dari Restoran Mahbob, dia
terus menutup telefon bimbit sehinggalah dibuka tadi.
Nuha Qalisya membaca mesej lain yang diterima.
Sayang… Saya bukan orang dalam gambar
tu… Please... awak tahu kan Dania hanya
masa lalu saya? Dia bukan siapa-siapa lagi
pada saya sebaik saja kami putus tunang
dulu.
Nuha Qalisya mengeluh. Hampir tiga puluh SMS
daripada Zariff Adam diterimanya. Panggilan telefon apatah
lagi. Tidak kurang daripada lima puluh missed call daripada
lelaki itu sejak dia menutup telefon bimbitnya.
Lagu Awan Nano nyanyian Hafiz AF yang dijadikan
nada dering telefon bimbitnya berbunyi. Zariff Adam! Panggilan
itu terus dimatikannya. Malas dia mahu berbicara dengan lelaki
itu pada masa ini. Dia belum bersedia untuk bercakap dengan
sesiapa.
Sekali lagi lagu Awan Nano kedengaran. Dia mengeluh
lagi. Tidak jemukah lelaki itu menghubunginya walaupun
tahu dia tidak akan mengangkat panggilan itu? Beberapa saat
kemudian, lagu Awan Nano berhenti berbunyi. Bermakna
si pemanggil sudah meletakkan telefon. Mungkin itu tanda
berputus asa apabila panggilannya tidak diangkat. Dia menarik
nafas lega.
Dia kembali merebahkan badannya. Selimut ditarik
semula menutup badannya. Matanya dipejam. Dia mahu
merehatkan minda. Dia tidak mahu terlalu memikirkan masalah
yang dihadapinya. Sedar tak sedar, dia terlelap hingga pagi.
No comments:
Post a Comment