Dhamira rasa ingin
meraung. Dia panik. Gugup. Gelisah. Takut. Sesak nafas. Dan kalau boleh dia
ingin cabut lari...
“Boy...”
serunya dengan suara yang tertahan.
Danial
berpaling. Wajah Dhamira yang pucat lesu memulas tangkai hatinya. Mata kakaknya
bulat menyerlahkan rasa takut yang tentunya bukan sedikit.
“Akak rasa
akak tak boleh... akak nak balik...” putus Dhamira dengan suara yang terketar.
Danial menelan
liur. Rasa mahu memeluk Dhamira yang nyata dilanda gugup pentas. Namun
terlampau ramai manusia di ruangan menunggu ini.
“You can do this, Kak Yang... akak
bayangkan kita semua kat basement Jo
tengah jamming, okey? Sama macam
semalam. Jangan fikir benda lain...” pinta Danial. Bahu Dhamira dicengkam
lembut.
“Kak Yang yang
Boy kenal kuat orangnya. Kuatkan semangat, kak. Suara akak paling merdu yang
Boy pernah dengar. You should have been a
recording artist a long time ago...”
Dhamira
mengambil nafas dan melepaskannya kembali. Beberapa kali. Sehingga rasa lega
mula menyapa. Wajah penuh mengharap adiknya menjadi pemangkin untuknya
menghilangkan rasa gugup di hati. Dia cuba senyum. Tetap manis di mata Danial
walaupun sedikit goyah.
“Kak Yang
nampak cantik sangat,” bisik Danial. “Lup lap lup lap baju kebaya akak ni. Matching pulak dengan baju Melayu Boy.
Tak sabar nak berduet dengan akak lagu Hail Amir dengan Uji Rashid nanti...”
Danial mengamati Dhamira dari sanggul yang diikat tinggi, baju kebaya berwarna
merah hati yang dipadankan dengan kain batik Jawa lepas, sehingga ke ankle straps empat inci jenama Louboutin
di kaki. Perfecto! Walaupun dengan
tumit empat inci, Dhamira hanya mampu berdiri separas dagunya. Kak Yangnya
memang kemetot. Tidak seperti kakak mereka, Damia dan dirinya sendiri yang
mengikut baka arwah papa mereka.
“Guys, we’re on...” suara Joseph yang
tiba-tiba hadir membuatkan Danial dan Dhamira sama-sama menoleh. Danial kembali
berpaling dan menghadap kakaknya. “Jom, Yang! Let’s kill them!”
Sekali lagi
Dhamira mengambil nafas panjang. Dengan suatu anggukan, dia membuntuti langkah
Danial serta Joseph.
Masuk ke dalam
dewan utama, Dhamira mendengar nama kumpulan D’Jammerz diumumkan. Cepat-cepat
Dhamira melafazkan doa di dalam hati agar dia diberikan ketenangan. Tidak mahu
menghampakan adiknya dan terutama sekali, dia tidak mahu kumpulan D’Jammerz mendapat
malu. Melihat langkahnya yang penuh keyakinan ketika mengambil tempat, tiada
seorang pun yang dapat meneka perasaan sebenarnya.
Sementara
menunggu Danial, Joseph, Togel dan Shark mengambil tempat dan bersedia dengan
alat muzik masing-masing, Dhamira melontarkan pandangan ke seluruh ruangan dewan
yang penuh dengan tetamu jemputan. Seperti yang diperkatakan Joseph semalam,
memang para tetamu rata-ratanya sibuk memulakan upacara santapan. Dia
melepaskan nafas lega. Mungkin tiada siapa yang akan pedulikan kehadirannya di
atas pentas ini.
Alunan muzik
mula kedengaran. Danial sebagai pemain gitar utama, Togel pemain gitar bass, Joseph pemain dram dan Shark
pemain keyboard. Persembahan dimulakan dengan lagu Selamat Pengantin Baru
dendangan biduanita Saloma. Dhamira mula menyanyi. Wajah riang dengan senyuman
manis dilayangkan. Tubuh turut dilenggokkan mengikut irama.
Danial
mengerling ke arah Dhamira. Dia tersenyum bangga. Dhamira sebenarnya seorang
penyanyi yang sangat natural. Rasa panik dan gugup tu memang biasa. Takkan ada
seorang penyanyi, walaupun penyanyi profesional, yang tidak akan berasa gugup
ketika naik ke pentas. Namun, pegang saja mikrofon, dengar sahaja muzik, buka
sahaja mulut, rasa gugup tu terbang entah ke mana. Alunan muzik mula menakluki
jiwa dan minda. ‘I knew you could do it,
sis!’ fikir Danial. Sejak zaman remaja mereka lagi, Dhamira memang suka
membuat persembahan seperti ini. Pantang ada apa-apa acara di sekolah mahupun
di kolej, Dhamira dan Danial pasti akan terlibat. Semuanya berubah dua tahun yang
lalu... selepas episod itu...
Di meja yang
betul-betul berhadapan dengan pentas, Dato’ Syed Mahmood berhenti berkata-kata.
Dibiarkan sahaja ayatnya tergantung. Berkerut dahi Rafique melihat Dato’ Syed
Mahmood tercengang dengan mata terarah ke hadapan. Dia masih menunggu Dato’
Syed Mahmood menghabiskan kata-katanya tadi. Namun melihat Dato’ Syed Mahmood
yang masih pegun tidak bergerak, dia turut mengalihkan pandangan ke arah yang
sama dengan panahan mata Dato’ Syed Mahmood.
‘Sedapnya
suara dia...’ bisik Rafique di dalam hati. Matanya turut terpaku. Lama.
“Raf...” bisik
Dato’ Syed Mahmood setelah beberapa ketika tanpa mengalihkan pandangannya. Sudu
dan garpu di tangan masih kekal statik.
Rafique
berpaling bagi menyahut seruan kawan baik abinya ini.
“Uncle ingatkan tadi Uji Rashid yang
menyanyi. Penyanyi favourite uncle tu... terkejut uncle...”
Amboi! Minat
Uji Rashid rupa-rupanya. Padanlah mata langsung tak berkelip!
“Cantiknya
dia... classic Malay beauty. Reminds me of perempuan dulu-dulu macam
pelakon Roseyatimah dan Saadiah...”
Rafique
kembali menuntaskan pandangan ke arah gadis yang kini sedang menyanyikan lagu
Anita Sarawak. Dalam hati mengakui kebenaran kata-kata Dato’ Syed Mahmood. Solekan
yang ringkas yang dikenakan gadis itu menyerlahkan keunikan wajah si penyanyi. Classic Malay beauty? Hmmm...
Sesaat mata
dilarikan ke atas pinggan, namun lekas-lekas mata dipanggung semula untuk
menikmati pemandangan yang lebih enak daripada menu nasi minyak yang terhidang.
Lenggokan tubuh gadis itu terasa amat menggiurkan. Membuat jantung Rafique
bergendang lebih laju dan lebih kuat daripada ketukan si pemain dram. Satu lagu
demi satu lagu gadis itu bernyanyi. Semuanya dihayati Rafique dengan tekun. Dia
mengilas pandang ke meja-meja berdekatan. Nyata sekali bukan dia dan Dato’ Syed
Mahmood sahaja yang terpesona. Berpasang-pasang mata daripada kaum sejenisnya
turut asyik menikmati pemandangan yang sama. ‘Gatalnya diaorang ni semua! Padahal masing-masing bawak bini! Huh!’ dengusnya
geram.
“Oh, uncle suka lagu ni...” bisik Dato’ Syed
Mahmood dengan senyuman yang cukup lebar. “Lagu Hail Amir dan Uji Rashid...”
Tajam renungan
Rafique melihat kemesraan yang dipamerkan gadis itu bersama pasangan duetnya, pemain
gitar yang memakai baju Melayu yang sedondon dengan gadis itu. Bernyanyi sambil
tersengih lebar. Bersama lirikan mata penuh dengan usikan manja. Ada suatu
ketika si gadis menepuk bahu si pemain gitar. Hesy! Tahulah lagu usik-mengusik
tapi perlu ke aksi over begini?
Rafique meletakkan
sudu dan garpu ke atas pinggan. Entah mengapa dia sudah terasa kenyang walaupun
nasinya masih berbaki separuh. Air sirap diteguk rakus. Namun matanya tetap
tidak berkalih.
Tatkala muzik
tidak lagi kedengaran, semua mata kembali bertumpu ke arah pengerusi majlis.
Dan mata Rafique masih ke hadapan. Melihat si pemain gitar berbisik rapat ke
telinga si gadis. Si gadis hanya mengangguk. Pandangan penuh kasih dilayangkan
ke arah si pemain gitar. Hmmph!
Mata si gadis
terpejam. Ada riak sedih terbias di wajahnya sebelum pantas ditelan bersama
sekuntum senyuman sebelum mata dilarikan ke arah pentas utama. Setelah dijemput
pengerusi majlis, pasangan pengantin bangun dari meja santapan bagi memulakan
upacara memotong kek. Gemuruh tepukan para jemputan tatkala mendengar permulaan
lagu Sedetik Lebih yang mengiringi langkah pengantin ke pentas utama. Perlahan
langkah mereka. Seiring irama lagu yang dimainkan.
Sekiranya tadi
Dhamira hilang dalam keasyikan lagu-lagu rancak yang dimainkan, kini dia hilang
dalam keremukan jiwa yang menyesakkan. Menyanyikan lagu yang suatu waktu dulu
begitu bermakna dalam hidupnya. Lagu yang pernah dinyanyikan khas buat si dia.
Dengan dada yang penuh rasa cinta yang membara...
Sekali lagi
dahi Rafique berkerut melihat riak si gadis yang menyanyi dengan penuh penghayatan.
Tapi bukan dengan perasaan gembira seperti tadi, tapi dengan perasaan yang...
perasaan yang... entahlah... Macam sedih semacam je... mendayu-dayu...
Dari jarak
yang tidak begitu jauh ini, Rafique berani bersumpah yang mata gadis itu
berkaca sebaik sahaja lagu Anuar Zain tadi selesai didendangkan. Sekali lagi si
pemain gitar berbisik ke telinga si gadis. Dan kali ini bahu gadis itu ditarik
rapat ke dadanya. Si pemain gitar menanggalkan gitarnya sebelum menggenggam tangan
si gadis lalu dipimpin keluar dari dewan. Tertoleh kepala Rafique yang
mengiringi langkah mereka sehingga hilang daripada pandangan. Dia melepaskan
keluhan kecil.
“Sekejap
sangat diaorang menyanyi. Tak puas uncle...” ngomel Dato’ Syed Mahmood.
Rafique diam tidak membalas. “Uncle
nak ambik contact number band ni la.
Senang nak panggil masa annual dinner
syarikat nanti... Uncle suka. Very soothing. Tak bingit dan takde nak melalak-lalak...”
Rafique hanya
mengangguk sebagai tanda hormat. Tidak tahu balasan yang patut dilafazkan.
Sementara
menunggu majlis tamat, Dato’ Syed Mahmood kembali berbincang mengenai urusan
perniagaan dengan Rafique. Topik kegemaran mereka berdua. Sekali-sekala, kepala
Rafique berpaling ke arah pintu yang digunakan ahli kumpulan muzik tadi. Mengharapkan
encore ke?
Begitu ralit
mereka berbincang sehinggakan keadaan dewan yang semakin lengang tidak
disedari. Ketika melihat para petugas daripada pihak katerer mula mengemas meja
mereka, barulah mereka bangun untuk meninggalkan dewan. “Jom, Raf. Jangan lupa tips uncle bagi tadi. Tanah tu prime land sebab ada perancangan untuk
buat highway kat kawasan tu. Kerajaan
nak jadikan kawasan tu kawasan perindustrian dalam dua-tiga tahun lagi. Pegang
beberapa tahun, lepas tu flip. Uncle jamin untungnya berlipat ganda.”
“Thanks, uncle. Nanti saya buat feasibility study.”
Dato’ Syed
Mahmood mengangguk. Bahu Rafique ditepuk. Bangga dengan pencapaian anak teman
baiknya ini. Tidak mengharapkan ihsan ibu bapanya untuk berjaya. Cukup dengan
usahanya sendiri.
Di bahagian
luar dewan, mereka bersalaman dengan pasangan pengantin serta keluarga mereka
bersama ucapan selamat dan tahniah. “Hai, Raf. Sorang je?” tegur Yusri bersama senyuman mengusik. “Aku dah selamat dah
ni... kau bila lagi?” kerling Yusri ke arah isterinya.
Rafique
tersenyum tawar mendengar usikan teman seuniversitinya itu. “No rush, Yus...” Ringkas. Tidak perlu
alasan yang berjela. “Congrats, ya!”
“Terima kasih
kerana sudi datang ke majlis aku ni. Aku tahu kau sibuk...” ucap Yusri lagi.
“Small matter, Yus. Takkan aku nak miss kenduri kahwin Naib Presiden kelab
sukan kita pulak, kan?”
Berderai tawa
Yusri. Bahu Rafique ditepuk perlahan. “Yalah, Tuan Presiden. Aku berterima
kasih sangat-sangat...”
Kali ini
senyuman di wajah Rafique ikhlas. Senyuman yang jarang-jarang sekali
dipamerkan, kecuali keadaan yang mewajarkan dia mengukirkan senyuman. Bahagia
melihat temannya itu selamat mendirikan rumah tangga. Pada usia mereka kini,
memang seorang demi seorang rakan mereka mendirikan rumah tangga. Tahun ini
sahaja sudah tiga kenduri kahwin yang dihadirinya, termasuk kenduri Yusri. Dan
yang tidak dapat dihadirinya sahaja ada dua. Dia sahaja yang masih terkecuali.
“Aku balik
dulu, Yus. Jumpa lagi..” Rafique mengangguk ke arah isteri Yusri sebagai tanda
hormat sebelum berlalu.
Dia menoleh ke
kiri dan ke kanan. Cuba mencari Dato’ Syed Mahmood. ‘Cepatnya hilang...’
Di suatu kawasan
yang agak terselindung di ruang legar yang cukup luas ini, matanya tertancap ke
arah seorang gadis yang elok melabuhkan punggung di atas amplifier. Kakinya
bersilang. Sebelah kasutnya sudah ditanggalkan dan tubuhnya terbongkok sedikit
sambil tangannya memicit tumit dan tapak kaki dengan perlahan.
‘Huh! Typical female! Dah tahu tak tahan sakit
pakai kasut tinggi, nak pakai jugak...’
dengus Rafique.
Tanpa sedar,
kaki Rafique diayun perlahan ke arah gadis itu. Namun langkahnya terhenti
tatkala melihat ahli kumpulan muzik yang lain mula menghampiri si gadis.
“Mira... you did great!! Aku bangga gila dengan
kau!” ujar Joseph. Pujian yang dibuat entah kali yang ke berapa.
‘Oh... nama
dia Mira...’ bisik Rafique.
Manis senyuman
yang dihulurkan Dhamira. Rafique terpanar. Bergetar jantungnya buat seketika.
Pantas kerutan muncul di dahi Rafique menyedari reaksi tubuhnya. What the heck?
Tiba-tiba si
pemain gitar utama tadi berdiri dekat di sebelah gadis bernama Mira itu.
“Yang... sakit sangat ke? Meh Boy tolong picit...”
‘Yang? Boy? What the heck? Endearments jenis apa ni? Macam ni ke cara orang bercinta zaman sekarang?
Eeei! Meluatnya!’
Danial tunduk.
Kaki Dhamira yang tersilang ditarik ke bawah. Untuk menstabilkan dirinya,
Dhamira memaut bahu Danial agar tidak jatuh. “Takpe Boy. Sikit je...”
“Yang balik
dulu, okey? Boy nak tolong diaorang
ni kemaskan barang masuk van...” ujar Danial. Dia bertinggung pula. Kasut yang
ditanggalkan Dhamira tadi dicapai lalu disarungkan kembali ke kaki kakaknya.
Tali pengikat diikat sedikit longgar di buku lali.
“Thanks, Boy...” ucap Dhamira. Adiknya
ini memang terlebih hormon kasih sayang malam ini. Mungkin ingin membodek dirinya
kerana bersetuju menggantikan tempat Anis.
“Eh, Raf. Tak
balik lagi? Uncle ingatkan dah
balik...” tegur Dato’ Syed Mahmood dari arah belakang Rafique.
Rafique
berpaling. “Belum. Errr... uncle pergi mana tadi?”
“Uncle pergi toilet. Baguslah Raf tak balik lagi. Jom kita jumpa ahli band tadi?” ajak Dato’ Syed Mahmood.
Tanpa menunggu balasan Rafique, Dato’ Syed Mahmood melangkah menghampiri ahli
kumpulan D’Jammerz. Rafique mengikut lambat-lambat.
Salam diberi.
Hanya si pemain dram sahaja yang tidak membalas.
“Uncle enjoy
sangat dengan persembahan you all
tadi... Kena dengan cita rasa uncle.
Ada call card? Manalah tahu ada
peluang kita bekerjasama?” Ramah Dato’ Syed Mahmood menyapa mereka. Ramah dan
cukup sopan.
Terbit senyuman bangga di bibir anak-anak muda di hadapan
mereka berdua. “Terima kasih, uncle...”
jawab si pemain dram bagi pihak yang lain.
Joseph
menyeluk poket lalu mengeluarkan dompet. “Uncle,
nama saya Joseph. Panggil Jo pun boleh. Ni kawan-kawan saya. Danial, Togel dan
Shark,” Joseph memperkenalkan ahli kumpulan D’Jammerz kepada Dato’ Syed
Mahmood. “Dan penyanyi kita ni, nama dia Mira. Ni kad saya. Uncle boleh call saya bila-bila masa je...”
Kad berpindah tangan. Tekun Dato’ Syed Mahmood mengamati tulisan yang tertera
di kad tadi. Sekeping kad turut dihulurkan kepada Rafique. Bersambut.
Pada masa yang
sama, si Dhamira sudah tidak senang duduk. Berhadapan dengan lelaki yang galak
merenungnya sepanjang malam, kadang-kadang dengan pandangan yang cukup lunak, dan
kadang-kadang dengan begitu tajam, buat dia gelisah. Sekarang ni pun, mata si
jejaka ni tidak lari dari wajahnya. ‘Apahal
mamat ni? Ada masalah dengan aku ke?’
Tanpa sedar,
Dhamira mengambil langkah mendekati Danial. Rapat. Lengan kiri Danial dipaut. Tindakan
refleks. Tindakan yang sering diambil sebagai langkah berlindung dengan seorang
yang begitu melindungi.
Danial tunduk
untuk melihat wajah kakaknya. Dahinya berkerut. Wajah dipanggung. Renungan
lelaki yang berdiri di sebelah pak cik tadi ditangkap. Pantas Danial melepaskan
pautan Dhamira di lengannya namun lekas-lekas tangannya memaut bahu Dhamira.
Perlakuan yang tidak lepas daripada perhatian Rafique. Mata Rafique berkalih ke
wajah Danial. Memahami isyarat berbaur amaran yang dikeluarkan oleh si pemain
gitar yang diperkenalkan sebagai Danial tadi. ‘Cheh! Nak tunjuk possessive
konon! Macam aku nak sangat dengan kekasih dia tu... Huh!’
“Laaa... uncle ingat Jo ni Melayu tadi. Dahlah pakai baju Melayu complete dengan songkok. Rupa pun macam
Melayu, cakap dah tentulah fasih macam orang Melayu...” Dato’ Syed Mahmood
bersuara.
Joseph ketawa
kecil. Songkok di atas kepala dibetulkan letak duduknya. Sudah agak biasa
dengan salah sangka daripada orang luar.
“Nama uncle, Syed Mahmood. Yang sebelah uncle ni, Rafique Azwar...” Rafique
menghulurkan tangan kepada semua kecuali Dhamira. Tiada senyuman berbalas
ketika tangan Danial dijabat. Hanya sorotan mata yang tajam disahut.
“Ada kedai
muzik dan studio? Hmmm... Boleh
tahan... Okey. Nanti apa-apa uncle call...”
Kad yang dihulurkan Joseph tadi disimpan ke dalam kocek baju Melayu.
“Young lady...” panggil Dato’ Syed
Mahmood. Dhamira memanggung mata. “Uncle
bangga anak muda zaman sekarang masih boleh menyanyikan lagu-lagu lama
sedangkan uncle tahu zaman tu, you were not even born yet. Lagu-lagu evergreen yang Mira nyanyikan tadi, takde cacat cela langsung... sejuk
telinga uncle dengar tadi...” puji
Dato’ Syed Mahmood ikhlas.
“Terima kasih,
uncle” balas Dhamira dengan nada
segan. Pipinya terasa sedikit pijar.
“Okey, uncle balik dulu. Well done, once again!”
ucap Dato’ Syed Mahmood sebelum berlalu. Rafique mengangguk kecil seraya membuntuti
langkah Dato’ Syed Mahmood. Sempat Dhamira dikerlingnya.
“Apa hal mamat tu?” soal Danial tidak puas hati
setelah kelibat Rafique hilang daripada pandangan. Tangannya yang masih di bahu
Dhamira dilepaskan. “Kerek semacam je aku tengok...” Sudahlah sepanjang
malam mata lelaki itu tidak lepas daripada mengamati Dhamira. Terdetik di hati
suatu pertanyaan – adakah lelaki ini yang dicarinya selama ini?
“Entah... aku
pun pelik. Tengok Mira macam nak
telan!” tambah Shark. “Apa-apa pun, uncle
Syed tadi baik ek? Aku harap ada la job untuk kita nanti...”
“Amin...”
balas Togel dan Danial hampir serentak.
“Eh, jomlah...
dah lewat dah ni...” ajak Joseph. Rasa puas dengan perjalanan majlis malam ini
serta persembahan mereka secara keseluruhannya. Bukan sahaja pak cik tadi yang
memuji, malah ibu dan bapa pengantin tadi pun bukan main puas hati lagi. Hai...
Kalaulah Dhamira merupakan penyanyi tetap dalam kumpulan mereka, mesti best... Tapi nak buat macam mana? Tuan
punya badan sudah tidak mahu terlibat. Dia tidak boleh paksa. Sayang... Dhamira
memang berbakat...
No comments:
Post a Comment