DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 2

DIAM tidak diam hari ini sudah masuk hari
terakhir untuk minggu orientasi. Masing-masing sibuk
menyerahkan senarai nama yang telah dipenuhkan dengan
tandatangan para senior. Acam pun tidak terlepas. Nasib
baiklah ada juga insan yang bermurah hati membantunya.
Dapat juga dia memenuhkan ruangan tandatangan itu.
Kalau tidak, masaklah Acam dengan denda-denda iringan
yang telah disediakan oleh senior. Mahu suruh menyanyi,
alahai, takut jadi Ella menyanyi dangdut. Mahu berpuisi,
takut pula jadi Zaen Kasturi menyanyi lagu Isabela Search.
Tak pasal-pasal disuruh pula berlakon, harus jadi tukang
pegang tombak aje nanti. Itu pun kalau ada tombak, kalau
tak ada jadi minah pacak ajelah.
Dalam pada itu, Acam masih lagi tak dapat
menahan rasa hati yang bergelodak dengan mamat seorang
tu. Entah apa ke nama dia entah. Asyik nak potong stim
aje. Ingatkan sama-sama budak Johor naklah saling tolongmenolong.
Ini hampeh, saling menyakitkan hati adalah.
Si Dzil itu pula, selagi ada peluang, selagi itulah dia
menyakat si Acam. Maklumlah, seronok juga melihat
aura ganas si Acam itu apabila mencerlunkan matanya.
Mata yang kecil tu akan jadi besar dan berkilau.
Comellah pula.
Sesi terakhir minggu orientasi itu ditamatkan
dengan sedikit jamuan dan ucapan daripada fasilitator
dan pensyarah yang terlibat. Ada juga diselitkan
dengan beberapa persembahan daripada freshies.
Acam? Huh, tiada maknanya hendak turut serta
persembahan itu. Dapat habiskan senarai tandatangan
itu pun sudah cukup bagus. Dzil pula, jangan
katalah, bukan main lagi seronok dikelilingi freshiesfreshies
perempuan.
Maklumlah, muka pun boleh tahan, kan. Jejaka
Idaman Malaya. Uwek... rasa nak muntah hijau! Itulah
perasaan Acam kalau ada yang memuji Dzil di hadapannya.
“Assalamualaikum.” Terdengar suara memberi
salam. Lembut.
“Waalaikumussalam…” jawab Acam spontan
membalas salam.
Acam memanggung kepalanya sedikit. Masih lagi
berbaring di atas katil sambil melayan novel yang baru
dibelinya. Aku Bukan Mistress karya Acik Lana. Perghh..
best novel ni. Dari pagi hingga sekarang, dia masih
terlekat dengan novel tu hinggakan nak ke bilik air pun
ditahan-tahannya. Penangan buah tangan Acik Lana,
memang mengasyikkan. Itu baru novel pertama, belum
lagi novel kedua Maaf Jika Aku Tak Sempurna dan novel
ketiganya Kalau Memang Harus Begitu.
Kalau dah fanatik tu, tak boleh nak buat apa. Penat
menanti kemunculan semua hasil tangan penulis itu setelah
setiap malam menggodek blog beliau. Ketiga-tiga novel
telah selamat dalam koleksi Acam, cuma menanti untuk
dibaca sahaja. Jangan ada yang mengada-ngada nak pinjam
ya. Nak baca, boleh… tapi beli sendiri!
Gadis manis yang bertudung bawal diselimpangkan
ke bahu itu, ayu sahaja dengan kulit yang agak cerah
masuk ke dalam bilik dengan beg pakaiannya. Acam
melemparkan senyuman paling manis. Wah, dapat
room-mates baru aku hari ni, bisik hatinya. Manakan tidak,
selama ini dia hanya tinggal berseorangan. Kadang-kadang
adalah juga seorang dua teman sekuliah dan senior-senior
yang sekepala datang melepak di situ. Menghadap Maggie
beramai-ramai, sambil sok sek sok sek bergosip ceritacerita
hangat. Alah, biasalah kalau dah berkumpul tu.
Anyam ketupat apa lagi. Bukan tidak tahu halal haram, tapi
habit yang satu itu memang susah sikit hendak ditepis.
“Awak duduk di bilik ni?” tanya gadis itu malumalu.
Eleh, dah aku terbaring kat sini mestilah aku duduk
sini, getus Acam. Tapi tetap dianggukkan juga kepalanya
yang tidak bertudung tu. Alah, biasalahkan. Itu ayat
mukadimah yang biasa digunakan. Dia dulu pun macam tu
juga.
“Baru daftar ke? Second intake ya?” soal Acam pula.
“Ha’ah.. baru daftar. Saya Roshazilah, panggil
Ros dahlah. Awak?” Ros memperkenalkan diri sambil
menghulurkan tangan. Tangan Ros disambut oleh Acam
mesra.
“Aku... Puteri Darlina tapi panggil Acam aje.
Sempoi,” ucap Acam. Terkebil-kebil mata Ros mendengarnya.
Manakan tidak, jauh sangat, ke laut dua nama tu. Puteri
Darlina, Acam. Macam tak match aje. Apa-apa ajelah,
getus Ros.
“Acam asal mana?”
“Johor, Ros, pulak?”
“Kelantan,” balas Ros.
“Wah... kelas kau Ros, tak ada slang Kelantan pun,”
puji Acam ikhlas.
Tersenyum-senyum Ros menerima pujian. Acam
bingkas bangun dari katilnya lalu sama-sama menolong Ros
mengemas barang-barang yang dibawa. Banyak juga barang
cik kak ni, getus hatinya tapi tangan masih lincah mengatur
buku-buku teman barunya itu. Orang tua-tua pesan, jangan
berat tulang, nanti orang tak suka.
“Nampaknya, Ros ni boleh satu kepala dengan aku.
Heh, dah dapat geng okeylah ni,” bisik Acam sendiri lagi.
Tersungging senyuman di bibirnya yang comel tu.
Minggu ke minggu, kuliah ke kuliah, semuanya
dilalui dengan sabar. Semakin hari semakin banyak
tugasan dan kertas kerja yang perlu disiapkan. Tugas
seorang pelajar, belajar selagi mampu. Bawa pulang
kejayaan untuk dikongsi bersama ibu bapa dan keluarga.
Menjadi kebanggaan ibu dan bapa. Membalas jasa mereka
yang bertungkus-lumus membesar dan memberi didikan
yang sehabis sempurna. Semua itu menjadi satu kewajipan
kepada seorang yang bergelar anak.
Kadang-kadang kita selalu lalai, lupa bahawa
kegagalan yang dibawa pulang itu mengundang air mata
ibu dan ayah. Setitis air mata seorang ibu kerana kelalaian
dan kesilapan kita, menjadi satu dosa buat kita. Mungkin
nampak remeh, tapi sebenarnya harus disematkan di dada.
Itu azam Acam. Itu jugalah azam yang sepatutnya ada dalam
setiap diri para pelajar.
“Acam, jom pergi kantin. Aku laparlah,” ajak Ros
mencuit bahu Acam yang sedang khusyuk menelaah buku
rujukannya. Macam-macam assignment yang perlu
diselesaikan minggu ni.
Walaupun dulu Acam juga mengambil kursus
Elektronik di Sekolah Menengah Vokasional Kluang, tapi
rasanya subjek yang perlu dihadap di Politeknik Ungku
Omar ini lebih dahsyat. Assignment yang berterabur perlu
disiapkan sebelum datelinenya. Kalau tidak menjawablah.
Ros pun tidak kurangnya. Bertabur atas mejanya assignmentassigment
yang perlu diselesaikan. Kadang-kadang
diusungnya lukisan plan merata-rata. Ke hulu ke hilir
tidak tentu masa. Ros merupakan seorang pelajar jurusan
Kaji Air. Jurusan yang banyak latihan amali di luar. Acam
perasan juga semenjak dua menjak ini kulit cerah Ros
pun dah semakin gelap. Kesian Ros, tapi tak apalah, nanti
sudah graduate dan kerja lebat incomenya. Boleh beli losyen
pemutih banyak-banyak. Lagipun sekarang ni kat
pasaran dah banyak makanan tambahan untuk memutih
dan mengembalikan keremajaan kulit dijual. Aura
Whitelah, Fereenalah, macam-macam nama pun ada. Antara
mahu dengan tidak mahu saja.
“Jomlah... letih dah ni. Mengantuk pun ada tapi
perut ni dah buat konsert Goyang Inul ni,” balas Acam lalu
menutup buku yang dihadapnya.
Ros hanya tersengeh. Dia memang suka mendengar
ayat-ayat yang selalu keluar dari mulut Acam yang comel tu.
Acam kalau tidak keluar dengan ayat tak boleh blah dia itu,
bukan nama Acamlah.
Masing-masing mengenakan tudung bawal di
kepala. Baju-T yang dipakai tadi tidak disalin. Hanya
cover dengan cardigan sahaja. Itulah pun fungsi sebenar
cardigan. Memang sesuai sangat untuk pelajar-pelajar
yang malas hendak bergaya seperti mereka. Simple is
beautiful.
Kantin terletak bersebelahan dengan hostel
pelajar lelaki di Blok H. Nak tak nak memang kena juga
menggunakan laluan itu. Acam memang paling tidak
gemar menggunakan laluan berhantu tu. Bukan sebab
malu atau control ayu, tapi sebab tak tahan dengan
perangai pelajar-pelajar lelaki yang tak ubah seperti
ungka. Tersiul-siul, terjerit-jerit. Serupa macam yang
bergayut-gayut di zoo. Kalau hantar dia orang ini, silap hari
bulan yang bergayut di zoo itu pun pakat hendak lari.
Baru dua tiga langkah melalui Blok H, sudah
terdengar siulan-siulan nakal ungka-ungka di dalam blok
itu. Bingit telinga Acam dibuatnya. Hati sudah terbakar
apabila ada suara-suara sumbang yang mengada-ngada
memanggil-manggil namanya.
“Pheweitttt… pheweiiittt… Hai Acam, boleh ikut.”
Acam membiarkan sahaja.
“Alah, sombonglah Acam ni. Bolehlah.” Sekali lagi
namanya dipanggil. Hati yang membara sudah semakin
marak. Ada pula yang parah nanti.
Semakin galak pula pelajar-pelajar itu mengusiknya.
Tiba-tiba Acam mematikan langkahnya sambil mencekak
pinggang. Ros yang berada di sisi sudah mula memegang
tangan Acam. Bimbang dengan apa yang bakal Acam
lakukan. Acam ini bukan boleh kira, kalau sudah naik
angin nanti tidak pasal-pasal dibakarnya Blok H itu, risau
Ros. Tahu sangat akan fiil panas baran Acam yang memang
tidak suka dijentik itu. Terlebih berani perempuan yang
bernama Acam ni.
“Apa Acam-Acam...” sergah Acam dengan wajah
yang garang.
Mukanya sengaja didongakkan menghadap ke arah
tingkap yang terbuka itu. Secepat kilat tingkap paras dua
tertutup dengan kuat. Ros yang tadinya bukan main
risau melihat angin Acam sudah terhenjut-henjut
menahan tawa. Penakut jugak budak-budak ni ya, padan
muka. Acam hanya menahan tawa namun wajahnya
masih dibengiskan. Kalau ikutkan hatinya hendak
berguling-guling di situ juga. Apa kes guling-guling di situ,
hilanglah ganas Acam nanti.
Selalunya, dia memang tidak pernah
mempedulikan usikan pelajar-pelajar lelaki di Blok H
itu. Hendak mengangkat muka pun dia malas. Hari ini
terlebih geram kerana namanya yang disiulkan.
Kalau setakat hendak bersiul-siul macam itu pedulikanlah.
Ros yang tidak tahan hendak ketawa, segera menarik tangan
Acam menuju ke kantin. Pecah berderai tawa dari mulut dua
gadis itu selepas melepasi Blok H. Berani takut!
Di sebalik tingkap, terkekeh-kekeh dua tiga orang
pelajar lelaki yang disergah. Antara mereka siapa lagi
kalau bukan Dzil. Dialah yang menjerit-jerit nama Acam
sebentar tadi. Hish, itu pun susah betul hendak tahu nama
budak perempuan itu.
Acam, nama apa macam tu ya. Boleh tahan
garang minah ni, ucap Dzil sendirian. Kalau aku dapat
tackle minah ni... Wah, seribu tahun pun tidak habis
gembira. Yang susah hendak dapat tulah lebih bermakna
daripada yang jeling sekali sudah terus melekat.
Yang jenis macam itu ramai menempel, malas untuk tepis
pun ada.
“Wei Dzil, minah mana yang kau mengurat tu?”
usik rakan-rakan seangkatan yang sama-sama menyakat
Acam tadi.
“Budak Elektronik juga,” balas Dzil.
“Garang kau, macam singa betina. Kau tak takut
ke?” soal Kudin pula, teman sebilik Dzil.
“Itulah cabarannya. Kalau yang petik jari terus
datang tu tak feel,” jawab Dzil berlagak macho. Tapi
betullah kan kata-kata Dzil tu, semakin susah nak dapat
semakin kita hargainya.
“Tapi budak tu comel juga aku tengok, putih
melepak. Garang tu garanglah, tomboi sikit, tapi kalau
dah perempuan, perempuan juga,” celah Muzzafar yang
memang kerap melepak di bilik Dzil.
“Ha’ah... aku ada nampak satu kali tu, budak nama
Acam tulah, kat surau. Masa tu tak silap aku nak tunggu
azan asar. Aku terdengar orang mengaji, syahdu aje suara.
Aku intailah celah kain tu. Perghh, suci aje muka budak
perempuan tu masa aku intai tu. Kalau kau tak dapat, aku
masuk line,” kata Hazri yang hanya menjadi pendengar
perbualan mereka tiba-tiba.
Tanpa disangka budak yang sama rupanya garang
mengalahkah singa. Dzil mempamerkan wajah kelat
sambil mengacukan penumbuknya. Berani bro kacau line
aku. Itu makna sebenar di sebalik bahasa badannya.
“Isy, kau jangan nak potong line ya. Penat aku
usha budak tu dari minggu orientasi lagi,” pintas Dzil laju.
Kata-katanya Dzil disambut dengan deraian ketawa yang
memenuhi ruang bilik.
Semenjak insiden itu, setiap kali Acam melalui
Blok H untuk ke kantin, namanya akan kedengaran
dilaungkan. Kadang-kadang membuatkan Acam malas
hendak ke kantin, tapi kalau tidak jawabnya menjerut
perut sajalah. Mustahil hendak melayan Maggie harihari.
Esok-esok urat perut pun jadi macam Maggie
jugalah.
Ros pun tidak terkata hendak melayan keruh
wajah Acam setiap kali melalui laluan berhantu itu. Hendak
disergah berkali-kali takut dikata meroyan pula. Mungkin
sebab itulah Acam menggelarkan laluan itu laluan berhantu.
Hantu tidak sekolah, asyik terjerit-jerit.
Kalau setakat di situ sahaja tidak mengapalah juga.
Hati Acam menjadi semakin sebal. Setiap kali terserempak
dengan pelajar-pelajar lelaki yang tidak dikenalinya, ada
sahaja yang bersiul-siulkan namanya. Kadang-kadang dia
menjeling juga mencari siapa yang berbunyi tu, tapi pandai
pula bersembunyi. Ini kes lempar batu sembunyi tanganlah.
Ceh, tidak gentleman langsung.
Kalau betul-betul hendak mengurat, datanglah
depan-depan. Habis-habis pun kalau kena satu dua das
selipar jepun si Acam tu kira sudah okeylah. Mahu seribu
daya, tidak mahu seribu dalih.

No comments:

Post a Comment