DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 4



BMW bewarna hitam pekat berkilat yang dipandu Harriz meluncur laju membelah kedinginan malam yang disinari cahaya rembulan yang begitu indah sekali. Dia sedikit pun tidak menghiraukan rengekan manja Amylia tadi ketika dia menolak ajakan gadis itu untuk keluar berhibur malam ini. Sedangkan selama ini dia langsung tidak pernah menolak ajakan Amylia mahupun teman-teman wanitanya yang lain untuk keluar bersama-sama. Jika ada yang mengajak, dengan berbesar hati dia akan mengikut. Dia pasti tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk bersama-sama dengan teman-teman wanitanya. Malah memang itulah saat yang selalu dinantikan olehnya.
Namun malam ini, buat pertama kali dia telah menolak ajakan Amylia untuk keluar bersuka ria ke kelab malam. Dia tak ada mood hendak keluar bersama Amylia malam ini. Bukan sahaja Amylia, malah ajakan beberapa orang gadis juga sudah ditolaknya untuk malam ini. Dia langsung tak ambil kisah bila Amylia atau gadis-gadis itu buat-buat merajuk kala ajakan mereka ditolak tadi. Lantaklah kalau diorang nak merajuk sekalipun, Harriz sudah malas hendak memujuk rajuk mereka. Kalau Amylia atau gadis-gadis itu nak merajuk seumur hidup pun Harriz sudah tak ambil kisah lagi.
Ingatannya saat ini hanya pada Balkish sehingga memaksa dia untuk pergi ke rumah sewa gadis itu yang terletak di Taman Sungai Wang. Tak kisahlah apa pun tanggapan Balkish terhadapnya asalkan dia dapat melepaskan kerinduan terhadap Balkish. Itu sudah cukup memadai. Manalah tahu malam ini nasib bertuah menyebelahinya. Dapat juga dia keluar dating dengan Balkish walaupun dia cukup tahu itu tak mungkin akan terjadi.
Bibir Harriz tersungging senyuman manis. Bayangan wajah Balkish menari-nari di layar mata. Tak sabar benar dia hendak bertemu dengan gadis manis bertudung litup itu. Belum pernah selama ini dia sukakan seorang wanita yang bertudung. Selama ini teman-teman wanitanya pasti dalam edisi khas seksi belaka. Buat dia naik geram bila melihat peha putih gebu yang terhidang di depan matanya. Mujurlah dia masih mampu mengawal gelora nafsunya. Belum tergamak merosakkan anak dara orang. Kalau setakat belai-belai manja dan ringan-ringan itu, rasanya itu tidak menjadi masalah padanya. Tapi lebih daripada itu, memang dia tak pernah lagi melakukannya. Air muka papa dan mama kena dijaga.
Namun Balkish lain. Gadis itu terlalu sukar untuk didekati. Bagaikan sang burung merpati. Nampak jika tetapi bila didekati ia terbang membawa diri. Namun itu tidak sedikit pun mematahkan semangat Harriz. Dia berazam, hati Balkish pasti akan ditawan. Tak kiralah betapa susah sekali pun!
Hanya Balkish yang diingini. Bukan setakat suka-suka, tetapi dia cukup yakin hatinya sudah jatuh cinta pada gadis itu. Dia mahu Balkish menjadi miliknya yang mutlak. Miliknya yang sah!
Harriz memberhentikan BMW hitamnya di hadapan pintu pagar rumah sewa Balkish dan kawan-kawan. Nampaknya rumah sewa gadis itu masih terang-benderang. Kereta Kancil milik Balkish juga ada ditempatnya. Tentu Balkish dan teman-temannya ada di rumah dan masih belum tidur lagi. Senyuman pada bibir Harriz kian melebar. Dia kemudian menekan hon beberapa kali sehinggalah ada seseorang menjenguk dari dalam rumah. Itu adalah salah seorang daripada kawan-kawan Balkish. Dia lupa nama gadis tinggi lampai itu. Yang pasti gadis itu juga memiliki wajah dan boleh tahan cantik.
Setelah enjin kereta dimatikan, Harriz keluar dari BMW hitamnya. Dia berdiri tegak di hadapan pintu pagar yang masih bertutup rapat. Bibirnya tersungging senyuman manis ketika melihat kawan Balkish yang tinggi lampai itu sudah tercegat di depan pintu pagar dengan senyuman yang lebar di bibir. Kemudian si gadis tinggi lampai yang berambut panjang itu segera membuka pintu pagar.
“Hai… Balkish ada, tak?” tanya Harriz. Amboi Harriz ni! Ingat ini kat negara orang putih ke nak ber’hai-hai’. Tak tahu nak bagi salam. Cubalah bagi salam sikit. Kan bagus. Barulah masuk ke dalam senarai lelaki soleh pilihan Balkish. Ini tidak… ‘hai-hai’ pulak. Hmmm… macam mana nak tambat hati gadis bertudung kalau perkara sekecil ini pun Harriz tak boleh nak buat?
“Ada… Encik...?” Ella pura-pura tak tahu nama lelaki itu. Sedangkan awal-awal lagi dia sudah tahu nama Harriz melalui Balkish. Sengaja buat-buat tak tahu. Biasalah Ella… pelakon wanita paling popular dekat Sungai Wang ini. Siapa yang tak kenal.
“Harriz,” Harriz menyebut nama yang selama ini menjadi kebanggaannya itu.
Ella mengangguk-angguk. Bibir pula masih lagi tersengih-sengih dengan senyuman yang konon paling manis dalam dunia.
“Ella,” Ella pula memperkenalkan diri. Alahai… tak malu betullah. Harriz tak tanya pun nama Ella tapi dengan sukacitanya Ella memberitahu namanya kepada Harriz.
“Hmmm… nice name. Macam nama penyanyi rock tanah air,” puji Harriz. Memang Harriz ni tak pernah lokek dengan pujian. Disebabkan itulah teman-teman wanitanya sentiasa kembang hati bila Harriz kerap memuji.
Ella ketawa kecil. Kembang hatinya bila Harriz puji macam itu. Iye la… siapalah yang tak kembang hati bila dipuji oleh seorang lelaki kacak seperti Harriz ini? Tersenyum lebar dia bila dipuji sedemikian.
Thanks Encik Harriz,” ucap Ella tersipu-sipu. Alahai… penyakit miang si Ella dah mula dah!
Don’t call me Encik Harriz. Panggil Harriz aje. Lebih mesra kan?” Harriz sudah memulakan peranannya. Dia ni kalau dengan perempuan memang pandai betul berkata-kata. Macam manalah tak ramai wanita yang jatuh cinta dengannya? Hurmmm… dasar buaya betul Harriz Tan Sri Hamdan ini! Entah-entah perangai Tan Sri Hamdan masa muda-muda dulu pun macam Harriz jugak kut.
Laju betul Ella mengangguk-angguk. Dah macam versi burung belatuk betina. Rasanya semakin lama dia tengok Harriz yang hensem itu, semakin menjadi-jadi gila bayangnya itu. Biasalah Ella, kalau nampak lelaki hensem aje mesti cair hatinya. Heheheee…
“Errr… Balkish ada tak?” Harriz kembali kepada soalan pertamanya. Inilah tujuan dia ke sini. Hendak bertemu dengan gadis manis bermata bulat bernama Balkish yang sering membuatkan malamnya termimpi-mimpi.
“Ada! Dia tengah menonton tv kat dalam. You nak jumpa dia ke?” tanya Ella. Dia sudah mula menggunakan bahasa ‘I’ dan ‘you’ dengan Harriz.
Harriz sekadar mengangguk. Jawapan Ella itu sudah cukup membuatkan dia tersenyum lebar. Dia cuma tanya Balkish ada di rumah atau tidak, Ella pula bagi jawapan penuh dengan mengatakan Balkish sedang menonton tv. Nampak gayanya Balkish belum tidur lagi. Tak sabar benar Harriz hendak bertemu dengan Balkish. Hari ini dia sibuk benar dengan urusan syarikat. Sehinggakan dia tidak ada masa hendak ke F&F Holdings untuk menjenguk Balkish. Sebab itu rindunya membuak-buak terhadap gadis manis itu. Rasa macam dah setahun tak bertemu. Heheheee…
Aduh… gatal betul si Harriz ini!
“Kalau macam tu you tunggu kejap, ye? I masuk dalam panggilkan Kish. Sorrylah… tak dapat nak ajak you masuk dalam rumah. Maklumlah… rumah anak dara. Jadi you kenalah tunggu di luar aje,” amboi… bukan main mesra lagi si Ella guna kata ganti diri ‘I’ dengan ‘you’ itu. Dah tu tubuhnya yang langsing itu sudah terliuk-lentuk macam api lilin yang ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Hisy!
It’s okey… I understand. Thanks my beautiful lady,” ucap Harriz. Siap panggil ‘my beautiful lady’ lagi untuk si Ella. Bukan setakat itu, Harriz juga sempat mengenyit mata nakal ke arah Ella yang sudah mahu melangkah itu. Pandai betul Harriz ambil hati orang perempuan. Padanlah dia ni ramai teman wanita. Rupa-rupanya butir bicaranya seperti madu yang kedengaran begitu manis sekali.
Ella sudah tersenyum lebar. Kembang semangkuk hidungnya bila Harriz memanggil dia ‘my beautiful lady’. Alahai… mamat hensem ni romantik betullah! Kan bagus kalau dia datang sini nak jumpa aku. Tentu dunia ni terasa bagai aku yang punya. Khakhakhaaa…
Suara ketawa Ella yang tiba-tiba itu membuatkan Balkish dan Aleya tersentak. Masing-masing sudah memusingkan kepala menghadap Ella yang siap ketawa sambil bercekak pinggang itu. Dah serupa lagak Shin Chan pula Ella buat gaya macam tu. Hisy… apa kena dengan si Ella ratu dangdut ini? Tetiba aja ketawa macam Shin Chan. Dah sewel agaknya minah tingtong ni!
“Hah… yang korang macam nak terkeluar bijik mata tengok aku tu kenapa? Aku tahulah aku ni beautiful lady, tapi tak payahlah nak tunjuk muka excited korang tu dekat aku.” selamba biawak betina Ella mengaku dirinya beautiful lady seperti yang Harriz katakan tadi.
Balkish mencebik bibir. Jari telunjuk dibawa dekat ke mulut lalu isyarat hendak termuntah dibuat. Uwek!
Aleya pula sudah menepuk dahi. Perasan betul!
“Hoi… Cik Ella penyanyi dangdut, orang hodoh pun tak mengaku hodoh tau. Apa lagi orang cantik yang mengaku cantik. Kau ni dah tahap orang perasan gila cantik,” tungkas Aleya geram. Ella ni memang kuat sangat perasan. Suka sangat cakap diri dia tu cantik. Hisy!!!
Ella mencebik. “Jealous la tu,” si hensem kat luar tu pun panggil aku beautiful lady tau. Sambungnya dalam hati.
Takde maknanya aku nak jealous. Macamlah kau tu cantik sangat macam Puteri Diana!” sampuk Aleya. Semakin dilayan perasaan gila cantik si Ella ni, semakin menjadi-jadi gila perasannya itu.
“Hah… Kish, tu kat luar tu si hensem nak jumpa kau,” Ella memalingkan pandangannya ke arah Balkish yang sedang menonton Buletin Utama di TV3. Bukan main khusyuk lagi Balkish tengok berita terkini yang disiarkan. Berita hari-hari berkisar pasal politik. Kadang-kadang bosan jugak dengar.
Dahi Balkish berkerut. Si hensem mana pulak maksud Ella ni?
“Dah… dah… tak payah nak tayang muka confuse kau tu. Harriz ada kat luar tengah tunggu kau,” beritahu Ella.
Serta-merta mata Balkish membulat. Sudahlah matanya memang bulat. Bila dia membulatkan lagi matanya, rasa macam nak terkeluar saja bijik mata Balkish yang bewarna dark brown itu. Bebola mata yang diwarisi daripada arwah mama yang tak pernah dikenalinya. Hanya melihatnya melalui sekeping gambar yang Pak Salleh berikan pada dia.
Harriz?! Hisy… apa pulak yang Mr. Alligator tu mahukan malam-malam begini? Aduh… stress…stress aku macam ni! Mr. Alligator tu betul-betul menganggu hidup aku. Ini yang aku malas kalau dia dah tahu alamat rumah sewa aku. Boleh dikatakan tiap-tiap hari dia ganggu hidup aku sejak dah tahu rumah ni. Arghhh… stressnya!!! Balkish menjerit dalam hati.
Dengar sahaja nama Harriz yang meluncur keluar dari mulut Ella, dengan sepantas kilat Aleya menjenguk ke luar rumah melalui jendela.
“Alahai… hensemnya dia, Kish. Bergaya betul!” puji Aleya spontan. Bibirnya pula sudah mekar dengan senyuman. Sambil itu jemarinya melambai-lambai ke arah Harriz di luar sana yang sudah mengangkat tangan kepadanya. Kenangan berbual dengan Harriz pagi kelmarin mula terimbau kembali. Kan bagus kalau dapat bersembang lagi dengan Harriz yang peramah itu. Harriz ni memang hensem. Pakai t-shirt dengan seluar jeans pun masih terserlah kehensemannya itu. Apa lagi kalau dia pakai baju kemeja dengan tali leher dan berseluar slack, lagi bertambah kehensemannya. Bisa membuatkan Aleya menjadi angau.
Balkish sudah mencebik. Aleya ni pun dua kali lima saja dengan Ella. Pantang betul nampak lelaki hensem. Huh… hensem sangat ke Harrriz tu? Sampai Aleya, Ella dan ramai gadis boleh tergila-gila sukakan Harriz. Takat muka macam Dennis Oh, alaaa… tak hensem mana pun. Lainlah kalau muka macam Tom Cruise masa muda-muda dulu. Memang hensem giler-giler! Yang itu Balkish pun mahu.
“Hah, yang kau tercegat kat situ buat apa, Kish? Kesian si hensem tu tunggu kau kat luar. Tak baik buat orang tunggu lama-lama,” Ella membesarkan volume suaranya. Mengejutkan Balkish dari lamunan sesaat. Hisy… Balkish ni! Boleh pulak dia sedap-sedap duduk dekat situ termenung, sedangkan ada makhluk Allah yang hensem sedang menantinya di luar. Tak patut sungguh!
“Aku tak naklah! Kau pergilah bagitau dia aku dah tidur. Tak pun kau cakap aje aku takde di rumah. Atau susah-susah kau ajelah layan Mr. Alligator tu bersembang,” Balkish memberi cadangan. Malas betul dia hendak keluar berjumpa dengan Harriz.
Ella menggigit bibir. Matanya dijegilkan. Balkish ni degil betul. Dia mahu aku guna kekerasan ke seret dia ke luar berjumpa dengan Harriz. Amboi… Ella, dah lagak mak tiri pulak nak main seret-seret. Inilah padahnya kalau terlampau banyak sangat menonton sinetron. Sampai terbawa-bawa watak orang jahat.
“Kalau si hensem tu datang sini nak jumpa aku, tak payah kau syorkan untuk aku layan dia. Memang aku akan beri layanan baik punya untuk si hensem tu. Malangnya si hensem tu datang bukan nak jumpa aku, tapi kau. Lagipun aku memang dah bagitau dia yang kau ada kat rumah tengah menonton tv. Dah… dah… kau pergilah jumpa dia kejap. Kesian Harriz datang dari jauh semata-mata nak jumpa kau tapi kau pulak tak nak jumpa dia. Pergilah Kish. Tak baik buat orang tertunggu-tunggu,” pujuk Ella. Wajah Balkish yang masam itu langsung tidak dihiraukan.
Balkish mendengus. Geram betul dia dengan Ella. Suka betul memaksa. Apalah salahnya kalau Ella bagi alasan yang dia dah tidur ke… dia takde di rumah ke… kan senang. Takdelah dia nak bersusah-payah macam pergi jumpa buaya jadian itu. Huh! Ella ni memang sengaja betul!
“Macam mana kau tahu dia datang dari jauh?” soal Balkish geram. Muncungnya sudah tajam macam Daisy Duck.
“Amboi… bukan main mesra lagi Kak Liza tu bersembang dengan Harriz. Siap tergelak-gelak lagi. Jealous pula aku tengok kemesraan diaorang berdua. Ini laki Kak Liza tu tak cemburu ke tengok bini dia bersembang dengan lelaki yang lebih hensem dari dia ar? Kalau akulah… sah aku jealous punya,” tutur Aleya sendirian.
Cemburu pula dia tengok Kak Liza jiran sebelah rumah yang sedang berbual-bual dengan Harriz. Bukan main mesra pulak tu. Ini kalau husband Kak Liza nampak sah kena sound terang-terang. Mujur husband dia tak nampak. Mana tidaknya, boleh pulak Kak Liza layan lelaki muda yang lebih hensem bersembang sambil tergelak mesra. Husband mana yang tak cemburu? Huh!!!
Ella memanjangkan sedikit lehernya ke muka pintu yang terbuka luas. Memang benar kata Aleya. Nampaknya Kak Liza sedang memotong jalan dengan bersembang mesra dengan Harriz di luar sana. Amboi Kak Liza ni… tak nak ketinggalan kalau nampak lelaki hensem. Ini yang buat aku terancam ni.
Balkish sudah mengetap bibir. Nampaknya Kak Liza pun sudah terkena aura si Harriz buaya jadian itu. Tak boleh jadi macam ni. Dia kena cepat jumpa Harriz sebelum perbualan Kak Liza dengan buaya jadian itu menjadi panjang lebar. Nanti tak pasal-pasal ada cerita lain pulak yang timbul. Pantas dia bangun dari duduknya. Langkah dibawa menuju ke arah biliknya yang terletak di bahagian tengah antara bilik Aleya dengan Ella.
“Hah… kau nak ke mana pulak tu? Arah luar kat sini, bukan sana,” bulat mata Ella bila melihat langkah Balkish yang sudah dibawa ke dalam bilik. Orang tunggu kat luar tu boleh pulak dia nak masuk ke dalam bilik. Kesian Harriz tunggu lama-lama.
Balkish mendengus. Geram betul dia dengan perangai tak sabar Ella. Ada jugak dia hempuk si Ella ni karang! Terus hilang ingatan tak ingat apa-apa. Tak boleh nak bersabar sikitkah? Ikutkan rasa hati ni… dia memang tak nak jumpa Harriz. Biar lelaki itu berkulat tunggu di situ. Tapi memandangkan Kak Liza dah mula beramah mesra dengan Harriz kat luar, kenalah dia keluar juga. Nanti tak pepasal Harriz buat cerita pula pasal diaorang. Mulalah timbul gosip terhangat kat kawasan perumahan ni. Tak sanggup Balkish hendak menjadi heroin cinta kat kawasan ni.
“Taulah! Aku nak pergi pakai tudung dulu. Takkan nak tayang rambut jumpa buaya jadian tu. Rambut aku ni khas untuk suami aku aje tau. Bukannya untuk ditayang kepada tontonan umum,” gumam Balkish sambil menghadiahkan sebuah jelingan ala Pontianak Harum Sundal Malam kepada Ella. Aku cekik-cekik juga leher si Ella ni nanti. Macam tak tahu yang rambut itu aurat. Tak boleh nak sesuka hati tayang kat lelaki bukan mahram. Lebih-lebih lagi dekat lelaki yang berstatus buaya darat macam Harriz Tan Sri Hamdan.
Sebaik sahaja Balkish menghilang ke dalam biliknya, Ella dan Aleya saling berpandangan. Kemudian keduanya ketawa kecil. Kelakar betul tengok Balkish yang keras kepala tapi berhati lembut itu. Heheheee…
Tapi Balkish dengan Harriz memang padan sangat! Bagai pinang dibelah dua. Bagai bulan dengan bintang. Bagai Prince Charming dengan Cinderella.

***************************************************************************

BALKISH masih cuba memaniskan wajahnya walaupun dalam hati dia sudah menjerit geram dengan kedatangan tak diundang Harriz itu. Ikut rasa hati, mahu dicekik-cekiknya leher Harriz. Biar tak bernafas lagi dekat muka bumi Allah ini. Tapi… dia tak sanggup pulak menjadi seorang penjenayah gara-gara buaya jadian itu. Mahu tak mahu kenalah dia berpura-pura tersenyum menyambut kedatangan Harriz. Konon-konon dia gembira sangat dengan kedatangan Harriz yang tak diundang itu.
“Apa yang Encik Harriz nak datang malam-malam ni?” tanya Balkish sambil tayang senyuman manis. Eh, bukan manis la… tapi masam. Tak sudi Balkish nak tersenyum manis pada Mr. Alligator di depannya itu. Menyesakkan fikiran saja.
Harriz yang masih lagi berdiri di tepi pintu pagar rumah sewa Balkish sudah mengukir senyuman manis. Wajah gadis inilah yang dirinduinya. Begitu asyik dia memandang wajah Balkish sehinggakan pertanyaan gadis itu dibiarkan sepi tanpa sebarang jawapan. Balkish ni tak pakai make-up pun tetap kelihatan cantik. Inilah yang dikatakan dengan kecantikan asli. Kalau berhari-hari menatap wajah Balkish pun dia tak akan bosan.
Balkish mengetap bibir. Geram betul dengan Harriz. Boleh pula lelaki itu tenung wajahnya sebegitu. Sedangkan pertanyaannya tidak dijawab langsung. ‘Huh! Ada jugak yang kena sepak ni karang!!’ omel Balkish dalam hati.
Sikap lelaki itu yang semakin hari semakin merimaskan cukup-cukup mencabar tahap kesabaran Balkish. Sabar hati! Sabar… Balkish menenangkan gelodak yang semakin membara dalam hati. Kan sabar itu separuh daripada iman.
“Encik Harriz!” Balkish menguatkan volume suaranya. Manalah tahu lelaki di depannya itu sudah pekak. Sebab itu tak dengar apa yang dia tanyakan. Tangannya sudah disilangkan ke dada. Bosan betul dia dengan Harriz yang tak pernah mahu faham bahasa itu.
Entah sampai bilalah penderitaan aku diganggu oleh Mr. Alligator ini akan berakhir. Huhuhuuu…
“Hah? Opsss… sorry. I asyik sangat tengok wajah you sampaikan tak dengar apa yang you tanya. Eiii… you tanya apa tadi?” Harriz tersenyum manis sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Eiii… ini yang aku geram sangat ni! Boleh pulak si Mr. Alligator ni tenung muka aku dan tak dengar apa yang aku cakap. Aduh… kenapalah aku kena berdepan dengan mamat ni malam-malam macam ni?! Menyakitkan hati sungguh.’ dalam geram Balkish tetap juga cuba memaniskan wajahnya. Sedangkan hati sudah marak menyala dengan sikap sambil lewa Harriz itu.
‘Kalau ada hal penting, cakap sajalah. Tak payah nak tenung-tenung muka aku. Ingat muka aku ni dibuat barang pameran ke nak tenung-tenung?!’ gumam Balkish dalam hati. Geram! Geram! Geram!
“Saya tanya… Encik Harriz nak apa datang malam-malam begini?” soal Balkish dalam nada geram. Geram-geram pun dalam keterpaksaan wajahnya masih cuba dimaniskan.
“Tak ada apa… I saja datang nak jumpa you. Lagipun siang tadi I tak sempat nak jenguk you di F&F Holdings,” tutur Harriz. Bibirnya mekar dengan senyuman kumbang jantan tengah mengayat bunga di taman.
Tak payah jenguk pun takpe! Menyusahkan saja. Lagi senang hidup aku kalau kau tak datang sampai bila-bila. Desis hati Balkish geram.
You free tak? Jom kita keluar makan. Kebetulan I belum makan lagi ni,” ajak Harriz. Manalah tahu Balkish sudi menerima pelawaannya itu.
‘Ya Allah Ya Tuhanku… sabarkanlah hatiku dengan perangai lelaki ini. Aku tak sanggup menjadi hamba-Mu yang melakukan jenayah gara-gara seorang lelaki yang cukup merimaskan ini. Amin…’ doa Balkish dalam hati. Rasanya kalau dia tak bersabar, sudah lama Mr. Alligator itu ditembak dengan senapang gajah. Lepas tu kulit buaya itu disiat-siat untuk dibuat beg tangan cap Harriz Hamdan.
Mintak maaflah banyak-banyak Encik Harriz. Saya baru aje lepas makan dengan kawan-kawan saya. Kenyang lagi ni. Tak larat nak makan lagi,” beritahu Balkish. Senyuman manis masih lagi terukir di bibir walaupun hati tengah geram sesangat!
“Kalau macam tu apa kata kita keluar bersiar-siar?” Harriz masih tidak mahu mengalah. Masih lagi mencuba. Kali ini dia mengajak Balkish keluar bersiar-siar pulak.
Aduh… Harriz, kalau dah keluar makan pun Balkish tak mahu, apatah lagi nak keluar bersiar-siar? Hmmm… kempunan ajelah.
Balkish mengerutkan dahinya mendengar pelawaan lelaki itu. ‘Biar benar Mr. Alligator ini? Dia ajak aku keluar bersiar-siar? Hisy… sah si buaya jadian ni dah sewel. Tak pun mesti dia tengah mengigau.’
“Bersiar-siar malam-malam begini? Eh… tak naklah Encik Harriz. Dah malam ni. Nak ke mana pula malam-malam macam ni? Lagipun saya tak biasa keluar malam-malam. Tak manis dipandang dek jiran tetangga orang perempuan macam saya keluar malam-malam dengan sorang lelaki. Nanti tak pasal-pasal menimbulkan fitnah pulak. Saya tak nak jadi bahan fitnah jiran tetangga.”
“Kalau you takut keluar berdua dengan I… apa kata you ajak Aleya dengan Ella sekali. Tak akan timbul fitnah kalau kita keluar berempat,” Harriz masih lagi mencuba.
Balkish tayang sengihan. Lelaki ni betul-betul tak faham bahasa. Aku cakap dalam bahasa Melayu aje, tapi masih jugak dia tak faham. Dia mahu aku cakap dalam bahasa Hindi kut, baru nak mengerti.
Takpelah Encik Harriz. Saya dah mengantuk ni. Esok nak pergi kerja lagi. Encik Harriz baliklah. Tak manis jiran-jiran saya tengok Encik Harriz tercegat depan rumah orang perempuan malam-malam begini. Nanti ada pulak yang buat gosip. Encik Harriz juga yang susah kalau ada gosip sampai ke telinga teman-teman wanita Encik Harriz tu,” sengaja ayat ‘teman-teman wanita’ itu ditekannya.
“Errr… tapi…”
“Selamat malam Encik Harriz. Assalammualaikum,” Balkish lebih pantas bersuara. Langsung tak bagi chance untuk Harriz memberi sebarang alasan. Jika tidak, mahu migrain dia malam ini dibuatnya.
Harriz mengeluh. Mahu tak mahu dia terpaksa juga berlalu jika Balkish sudah berkata sedemikian. Lagipun dengan pantas Balkish sudah menutup semula pintu pagar rumah sewanya. Nampak sangat dia sudah dihalau. Huhuhuuu… sampai betul hati Balkish.
“Waalaikumusalam. Okeylah… I balik dulu. Good night, sweet princess,” ucap Harriz sebelum dia berganjak ke BMW miliknya. Tidak sampai seminit, BMW Harriz pun menghilang meninggalkan blok rumah sewa Balkish. Memang Harriz kecewa kerana tidak berjaya mengajak gadis itu keluar dengannya. Namun dalam kecewa Harriz tetap tenang kerana dia akan pastikan hati Balkish pasti akan menjadi miliknya juga suatu hari nanti.
Melihat BMW hitam yang sudah menghilang itu, Balkish ketawa kecil. Seronok rasanya dapat kelentong Harriz yang cukup merimaskan itu.
‘Hahahaaa… padan muka dia! Mengigau nak ajak aku keluar. Hisy… jangan harap aku nak keluar dengan Mr. Alligator tu!’
“Amboi… happy betul Kish akak tengok. Maklumlah… dapat jumpa buah hati, kan?” teguran Kak Liza tiba-tiba mengejutkan Balkish yang sudah mahu melangkah masuk ke dalam rumah.
“Eh… Kak Liza. Mana ada. Tu kawan Kish ajelah,” tepis Balkish. Tak kepingin dia nak jadikan Harriz sebagai buah hati. Nanti tak pepasal dia makan hati pulak. Perangai kaki perempuan macam tu memang selalu sangat buat orang makan hati. Dahlah dia memang alergik sangat makan-makan hati ni. Hati ayam… hati lembu… hati kerbau… huh, semua tu dia tak pandai nak makan. Apa lagi hati manusia.
Kak Liza tersenyum nakal. Tadi sebelum Balkish keluar berjumpa dengan Harriz dia sempat bersembang dengan lelaki itu. Melalui Harriz dia mendapat tahu hubungan Balkish dengan jejaka hensem itu. Lagi Balkish tak nak mengaku. Malulah tu!
Iye la tu. Akak tahu Kish malu nak mengaku. Tapi si Harriz tu kata Kish ni kekasih dia. Alaaa… Kish, akak tengok Kish dengan Harriz tu memang padan pun. Bagai pinang dibelah dua. Kalau naik pelamin memang cukup padan. Akak harap korang berdua cepat-cepat kahwin. Tak sabar nak tengok Kish dengan Harriz naik pelamin. Nanti kalau dah bercadang nak mendirikan rumah tangga, jangan lupa tau jemput akak. Akak pun nak jugak merasa nasi minyak Kish,” ujar Kak Liza. Bukan main lagi dia. Siap nak merasa nasi minyak Balkish dengan Harriz pula!
Balkish sudah tersengih-sengih. Dalam hati dia sudah mengumam marahkan Harriz. Pandai-pandai saja lelaki itu bagitahu Kak Liza yang mereka  pasangan kekasih. Macamlah betul apa yang dikatakannya itu. Huh… tak kepingin Balkish nak berkasih sayang dengan Harriz yang gatal bin miang itu. Mintak dijauhkan!
Yang Kak Liza ni pun satu, pergi percaya aje bulat-bulat apa yang si buaya jadian tu kata. Dah tu mulalah pepandai nak syorkan dia kahwin cepat-cepat dengan si buaya jadian itu. Eiii… tak nak aku kahwin dengan Mr. Alligator tu! Tak pepasal anak-anak aku terikut pulak perangai buaya jadian tu yang suka bertukar-tukar pasangan. Menyakitkan kepala.
“Heee… takpelah Kak Liza. Kish masuk dalam dulu ye. Assalamualaikum…” Balkish cepat mengelak. Malas hendak berlama-lama. Nanti panjang pula cerita Kak Liza pasal Harriz yang baru dikenali itu. Tak kuasa Balkish nak melayan.
Iye la… Waalaikumusalam…” jawab Kak Liza sambil tersenyum lebar. Niatnya yang tadi hendak menutup pintu pagar rumahnya diteruskan bila Balkish sudah berlalu masuk ke dalam.


No comments:

Post a Comment