Tum Paas Aaye,
Yoon Muskuraaye…
Tumne Na Jane Kya Sapne Dikaaye…
Abh To Mera Dil Jage Na Sota Hai…
Kya Karon Hai Kuch Kuch Hota Hai…
Kya Karon Hai, Kuch Kuch Hota Hai…
GEDEBUK!!!
“Adoi!!!” Zara menggosok-gosok kepalanya yang
terhantuk di atas lantai. Sakit giler!!! Sampai terbangun dia
dibuatnya. Entah-entah sudah ada benjolan pada kepalanya
ketika ini.
Ini semua gara-gara mimpi seram yang dialaminya
itu. Tak pepasal dia terjatuh dari katil dengan gaya yang paling
dahsyat. Selama ini pernah juga dia bermimpi perkara-perkara
seram seperti dikejar Dinosaur, Pontianak, dan dilamar Pak Cik
Os. Huh… mimpi yang tu muncul sejurus selepas dia tahu pak
cik tak sedar diri tu sukakan dia. Tapi takdelah sampai jatuh
dari katil pula.
Namun hari ini dalam sejarah, mimpi seram yang
dialaminya ini mampu membuatkan dia jatuh terlentang
begini. Memang seram bangat, dong!
“Huh… apasal pulak mamat poyo tu boleh tersesat
masuk ke dalam mimpi aku ni. Aku takde pulak teringatkan
dia, tetiba pulak dia muncul dalam mimpi aku. Kalau jadi watak
penjahat tu takpelah jugak. Ini watak hero. Eiii… tak rela aku
nak jadi heroin dia! Tak rela!!!” Gumam Zara tidak suka.
Awal pagi lagi dia sudah bengang dengan mimpinya
sendiri. Adakah patut mimpi macam tu pulak??? Macam dah
takde hero lain lagi nak diketengahkan dalam mimpi dia.
Carilah hero yang buat dia tersenyum bila terbangun daripada
tidur. Ini tidak… si mamat poyo itu pula yang menjadi heronya.
Memang menyakitkan hatilah jawabnya.
Semalam, sebelum masuk tidur dia berdoa semoga
diberi mimpi yang indah. Termimpi pulak yang dia menyanyi
dan menari bersama Shah Rukh Khan memandangkan semalam
dia sempat melayan filem hindi yang cukup hit era 90-an,
Kuch Kuch Hota Hai. Mahu menjadi heroin filem hindustan.
Entah di mana silapnya, watak hero itu diganti pula dengan si
mamat poyo yang cukup dibencinya itu. Dah tu… mereka siap
berkejar-kejaran lagi di persisiran pantai sambil bergolek-golek.
Main sorok-sorok di taman bunga dan berguling-guling di atas
rumput yang menghijau.
Betul-betul Kuch Kuch Hota Hai bila dalam mimpi
tersebut dia siap bersari dan pakai gelang tangan dan kaki
‘kerincing-kerincing’ segala. Hindustan sangat! Dalam
keseronokan bermiming, akhirnya dia tergolek jatuh ke lantai
dan kepalanya terhantuk. Adoi!!!
Sesungguhnya… mimpinya kali ini merupakan mimpi
yang paling seram pernah dialami. Tak ada mimpi yang seram
selain daripada mimpi malam tadi. Mimpi kena kejar dengan
kuntilanak pun takdelah sampai dia jatuh tergolek dari katil.
Mimpi kali ini benar-benar mengerikan dalam hidupnya.
Zara pantas bangun. Tidak mahu terlampau
memikirkan mimpi seram yang dialaminya. Nanti merosakkan
mood dia saja. Pantas dia mencapai tuala dan segera masuk ke
kamar mandi. Hari ini dia mandi dalam keadaan senyap. Tiada
mood mahu menyanyi-nyanyi. Bukan macam selalu, jika mandi
saja pasti lagu-lagunya pun berkumandang. Macam-macam
jenis lagu akan dia nyanyikan. Dari berentak pop rock hinggalah
ke rentak syair.
Usai mandi, dia terus menyarung pakaian kerja yang
sejak malam lagi sudah siap digosok. Memandangkan semalam
dia bermimpi ngeri, dia bangun lebih awal hari ini. Tidak perlu
khidmat umi atau ‘Cik Jam’ untuk membuatkan dia terjaga.
Rambutnya yang panjang itu sudah diikat tinggi
seperti ekor kuda. Dia memang suka ikat rambut ekor kuda
ini. Ringkas dan kemas. Wajah dikenakan solekan tipis. Cukup
hanya dengan bedak, eye liner dan lipstik warna lembut. Tak
perlu nak tebal-tebal. Dia memang tak gemar bersolek tebal.
Sampaikan penampilannya yang simple ini pernah mendapat
kritikan daripada along dan Wanie. Kata mereka, dia ni cantik
tapi pakai asal tangkap muat sahaja.
Ahhh… lantaklah mereka nak cakap apa! Yang penting,
Zara selesa dengan apa yang dipakainya. Semburan minyak
wangi disembur ke badan. Cukup untuk memberikan haruman
yang menyegarkan pagi-pagi begini.
Selesai semuanya, dia segera turun ke bawah. Ketika
kaki berada di anak tangga, aroma nasi lemak air tangan umi
sudah menyapa rongga hidung membuatkan perutnya mula
berdondang sayang. Laparlah pula. Pantas dia mengatur
langkah menuju ke ruang dapur.
“Assalamualaikum umi…” Sapa Zara manja. Pinggang
uminya dipeluk dari belakang hingga membuatkan wanita
anggun berbaju kurung itu terkejut kecil.
“Waalaikumusalam. Hesy… budak bertuah ni.
Terkejut umi. Nasib baik umi takde sakit jantung tau.” Balas
Puan Inara. Geram benar dengan sikap anaknya yang seorang
itu. Suka sangat buat dia terkejut.
Zara sekadar tayang sengih. Dia melepaskan
pelukannya dan beralih ke sebelah kanan umi. Wangi sambal
bilis tumis berlada itu cukup membangkitkan seleranya. Umi
memang pakar memasak.
“Awal bangun? Selalunya bukan main liat lagi anak
dara umi ni nak bangun pagi. Kalau mulut umi tak membebel
awal pagi, mesti Zara tak akan bangun sendiri.” Tegur Puan
Inara sedikit pelik. Selalunya dialah yang jadi tukang kejut
kepada anak daranya yang seorang itu. Tapi hari ini tahu pula si
anak bangun sendiri.
“Hmmm… Zara mimpi seramlah umi. Tu yang
terbangun lebih awal daripada biasa.” Balas Zara sambil buat
mimik muda sedih. Malang betul dia kerana mimpinya itu,
benjol pula kepalanya.
“Ya ke? Mimpi seram apa yang anak dara umi ni mimpi?
Kena kejar dengan hantu ke?”
Puan Inara melayan cerita anaknya itu. Sedari dulu,
dia memang gemar melayan cerita anak-anaknya yang hanya
seramai tiga orang itu. Ini akan mengeratkan lagi hubungannya
bersama anak-anak. Dia tahu suaminya agak sibuk dengan
urusan kerja, jadi sebagai seorang ibu dan suri rumah tangga
dia kenalah rapat dengan anak-anak. Dia tidak mahu anakanaknya
kurang kasih sayang.
“Hesy… ini lagi seram daripada tu…”
“Apa yang seram sangat?”
“Tak boleh nak sharelah umi. Mimpi tu seram sangat.
Zara tak nak ingat. Meremang bulu roma sangat kalau ingat
mimpi tu.”
“Ker… anak abah ni takut kalau mimpi tu jadi
kenyataan.”
Suara Cikgu Muhammad Zainal yang tiba-tiba
kedengaran dari arah belakang itu membuatkan dua wanita
tersebut berpaling serentak. Sejak pencen ini, Cikgu Muhammad
Zainal rajin membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah.
Ini pun dia baru sahaja selesai menyiram pokok-pokok bunga
kesayangan Puan Inara yang terletak di halaman rumah.
“Tu pun salah satu daripadanya jugaklah, abah. Kan
arwah opah pernah cakap, mimpi jangan cerita. Nanti jadi
kenyataan. Zara tak naklah mimpi semalam tu jadi kenyataan
pulak.” Balas Zara. Pesanan arwah opah yang satu itu masih
tersimpan kemas dalam kotak fikirannya.
“Umi pergilah duduk. Biar Zara pindahkan sambal bilis
ni ke dalam mangkuk.”
Puan Inara mengangguk. Dia bergerak ke meja makan
dan melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan
dengan suaminya. Matanya masih lagi memandang tingkah
anak daranya yang seorang itu. Satu-satunya anak dara yang
masih tinggal bersama mereka suami isteri.
Setelah dua anaknya mendirikan rumah tangga, kini
hanya tinggal Zara seorang sahaja lagi yang menjadi penyeri
dalam rumah ini. Celoteh anaknya yang seorang itu saja sudah
cukup menceriakan dia dan suaminya. Zara memang anak yang
manja dengan keletahnya yang agak nakal. Tak padan dengan
statusnya seorang perempuan, nakal Zara mengalahkan anak
lelaki. Waktu kecilnya pun, anak gadis ini berperwatakan
agak kelakian. Cuma sejak dia naik ke tingkatan satu, barulah
terserlah sifat-sifat feminin anaknya itu. Namun itu pun masih
ada lagi sikap kasarnya itu.
Zara mencapai pinggan di atas meja. Kemudian dia
menyenduk nasi lemak ke dalam pinggan sederhana besar
jenama Arcopal kesayangan uminya. Sambal bilis dibubuh
bersama telur rebus dan timun yang telah dihiris bulat. Pinggan
yang sudah diisi itu dihulurkan kepada abahnya.
“Terima kasih.” Ucap Cikgu Muhammad Zainal setelah
mencapai pinggan itu. Lapar perutnya melihat dan menghidu
haruman nasi lemak air tangan isteri tercinta.
Zara sekadar tersenyum. Kemudian dia mengulangi
perbuatan yang sama dan kali ini pinggan diberikan pula kepada
uminya yang duduk bertentangan dengannya. Selesai, barulah
Zara mengambil nasi lemak untuk dirinya pula. Nasi sikit, tapi
sambal bilis dengan telur rebus kena banyak. Heheheee…
Usai membaca doa makan, dia pun menyuap nasi
lemak masuk ke dalam mulut. Fuh… sedap hingga menjilat
sudu. Licin. Zara mendongak. Rasa ada yang memandangnya
tanpa kerdip.
“Abah… umi… kenapa ni? Kenapa pandang Zara
macam tu?” Tanya Zara sedikit pelik dengan cara abah dan
uminya memandang.
Cikgu Muhammad Zainal dan Puan Inara saling
berpandangan. Kemudian mereka sama-sama ketawa kecil.
Tak sangka mereka berdua begitu asyik melihat tingkah anak
kesayangan itu sehinggakan nasi lemak dalam pinggan tidak
terusik. Seronok pula mereka melihat tingkah Zara yang kian
dewasa. Seperti anak itu masih lagi anak kecil kesayangan
ramai.
Semakin berkerut dahi Zara bila abah dan uminya
ketawa.
“Kenapa ni? Ada yang tak kena ke dekat muka Zara
ke, sampai umi dengan abah pakat sama-sama gelakkan Zara?”
Zara meraba-raba wajahnya. Manalah tahu ada sesuatu pada
wajahnya ini sehingga mencuit hati abah dan uminya.
“Takde apa-apalah, sayang. Muka anak abah ni dah
cantik. Dah comel.” Ujar Cikgu Muhammad Zainal sambil
dipersetujui oleh isterinya dengan anggukan kepala.
Zara Dania Binti Muhammad Zainal itu memang
anak gadis yang cantik dan comel. Buah hati pasangan Cikgu
Muhammad Zainal bersama Puan Inara. Bila melihat Zara, hati
tua Cikgu Muhammad Zainal terusik. Cepatnya masa berlalu.
Anak-anak gadisnya kini sudah meningkat dewasa. Dia jadi
rindu pada keletah anak-anaknya waktu kecil dahulu. Terutama
pada Zara Dania yang bertubuh tembam dan bulat. Anak itu
kini sudah menjadi anak dara sunti yang manis orangnya.
“Habis tu kenapa abah dengan umi ketawa pulak?”
“Abah ketawa sebab abah seronok tengok tingkah Zara.
Tak sedar cepat benar masa berlalu. Dulu Zara kecik aje, tapi
sekarang ni dah besar. Dah boleh tolong umi buat kerja dapur.”
Puji Cikgu Muhammad Zainal kepada anak manjanya itu.
“Kalau macam tu bang, tentu tak lama lagi ada orang
datang meminang, kan? Maklum… bunga dalam taman jagaan
kita ni nampaknya semakin hari semakin berkembang. Harum
pula baunya tu. Tentu ada kumbang yang tersangkut.” Puan
Inara sekadar mengusik. Mahu melihat reaksi Zara.
Jika suatu hari nanti muncul seorang pemuda
menyunting anak manjanya ini untuk dibawa pergi, adakah
hatinya tegar melepaskan Zara Dania? Sedangkan dulu sewaktu
dua puterinya dipinang, hatinya menjadi gusar. Dia bukan
sahaja gusar kerana gundah anaknya dipinang, namun dia juga
risau andai pemuda yang meminang anak-anaknya itu tidak
mampu menjaga puteri-puterinya sebaik mungkin. Dia begitu
sayangkan anak-anaknya.
Namun, dia panjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi.
Menantu sulungnya iaitu Raja Rezza seorang lelaki yang baik
dan bertanggungjawab. Bersama lelaki itu anaknya Fara Deeba
hidup bahagia dan memiliki dua orang cahaya mata yang comel
dan keletah. Puteri keduanya Sara Diana juga sedang meniti
bahagia bersama lelaki pilihannya Yusri Haji Yusof. Ternyata,
Yusri seorang lelaki yang boleh disandarkan harapan untuk
menjaga anak keduanya itu. Dia berharap agar bahagia itu akan
terus menjadi milik anak-anaknya ini. Semoga anak bongsunya
Zara Dania juga akan menemui kebahagiaan sama seperti
kakak-kakaknya.
Panjang pula muncung Zara bila diusik sedemikian
rupa. Awal pagi lagi abah dengan uminya sudah mahu menyakat.
Dia baru aje dapat melupakan Ajib dan mahu memulakan hidup
baru tanpa memikirkan soal lelaki, abah dan umi pula sudah
membangkitkan isu itu awal-awal pagi begini. Siapalah yang tak
tarik muncung?
“Apalah umi ni… awal pagi dah cakap pasal isu pinang
meminang. Kalau betullah ada orang nak pinang Zara, orang
tu kenalah hensem macam Aaron Aziz dan kaya raya macam
Putera William. Baru Zara terima! Kalau kurang, boleh byebye.”
“Amboi… demandnya anak kita ni bang. Tinggi sangat
permintaannya.”
“Mestilah. Anak umi dengan abah ni kan cantik plus
comel. Kenalah cari yang setaraf sikit.” Balas Zara sambil buat
muka comel dengan mata yang dikerdip-kerdipkan.
Serentak itu juga, mereka bertiga ketawa riang. Ruang
makan itu kedengaran riuh dengan celoteh-celoteh Zara yang
seterusnya. Celoteh yang sering memeriahkan suasana mereka
tiga beranak. Usai sahaja menghabiskan sarapan paginya, Zara
mengangkat pinggan kosong ke singki. Kemudian dibasuh.
Jarum jam tangannya masih awal namun dia perlu ke tempat
kerja sekarang. Bukankah dia sekarang ini sudah menjadi
pembersih pejabat Hakimie? Setiap pagi dan petang dia terpaksa
membersihkan bilik lelaki itu. Memang menyusahkan!
“Orang pergi dulu abah, umi.” Pinta Zara kemudian dia
menyalami tangan abah dan uminya.
“Yalah. Bawak kereta tu hati-hati. Jangan nak bawak
laju sangat.” Sahut Puan Inara sambil memberikan pesanan
penaja buat anaknya itu.
“Okey. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Serentak Cikgu Muhammad
Zainal dan Puan Inara menjawab salam.
Setelah menyarung kasut tumit tingginya, Zara segera
menuju ke kenderaannya. Ketika itu juga, dia terlihat kelibat Dr.
Haji Helmie sedang melambai-lambai tangan kepada seseorang
yang berada di dalam sebuah kereta. Tidak pula dia pasti sangat
warna dan nombor kenderaan tersebut kerana cuaca agak gelap
menandakan hujan akan turun.
‘Mungkin anak Pak Cik Doktor tak?’ Fikir Zara sendiri.
Dia memang tahu Pak Cik Doktor yang duduk di sebelah
rumahnya itu ada seorang anak. Namun dia tidak tahu pula
siapa gerangan anak Pak Cik Doktor itu. Dia tak pernah jumpa
atau ternampak pun kelibat anak Pak Cik Doktor. Cuma umi dan
abahnya sahaja yang pernah terserempak. Kata umi, orangnya
hensem dan bergaya.
Hmmm… hensem pun buat apa kalau sanggup
tinggalkan ayah tinggal sendirian tanpa teman. Kejam! Dalam
diam Zara sempat mengutuk anak Pak Cik Doktor yang tinggal
berhadapan dengan rumah mereka itu.
‘Sudah Zara! Jangan nak menyibuk hal orang. Baik
kau cepat sebelum mamat poyo tu kenakan kau lagi.’ Datang
satu suara berbisik. Meminta dia supaya datang cepat ke pejabat
sebelum mamat poyo yang paling dibencinya itu datang.
Tanpa berlengah, Zara terus masuk ke dalam perut
keretanya. Dia tidak mahu terlewat. Dia rimas bila membuat
kerja dan mata tajam Hakimie asyik memerhatikan setiap
gerak-gerinya. Tak tenang jiwanya hendak menjalankan tugas
kemas-mengemasnya, tugas tambahannya kini. Huhuhuuu…
DIA MASIH lagi duduk sambil menongkat dagu. Pensil
yang dipegang langsung tidak bergerak pun sejak dari tadi.
Fikirannya jauh sangat melayang. Mimpi malam semalam
masih menganggunya. Masih berlegar-legar dalam benaknya.
Harapannya semoga mimpi seram itu tidak akan menganggu
tidurnya untuk malam ini.
Oh… tidak! Dia tidak mahu mimpi itu menganggunya
sekali lagi. Cukuplah hanya sekali itu sahaja mimpi itu datang
bertandang. Kalau nak mimpi untuk berjumpa dengan mamat
poyo itu lagi, dia berharap dia akan membunuh lelaki itu dalam
mimpinya kali ini. Tak nak cinta-cinta lagi. Eiii… geli buah
pinggangnya mengingatkan babak-babak romantik mereka
semalam yang siap main kejar-kejar dan sorok-menyorok segala.
“Hoi… mak cik! Jauh termenung. Dah pergi ke
benua mana tu?” Kejut Wanie sambil menampar bahu sahabat
baiknya yang sedari tadi asyik mengelamun. Entah apalah yang
dimenungkan sahabatnya yang seorang itu. Mimik wajahnya
berubah-ubah. Macam memikirkan masalah negara pulak.
Zara terkejut beruk. Pensil yang berada dalam
pegangannya terlepas dan jatuh menyembah meja.
‘Bertuah punya Wanie! Boleh pulak dia main sergahsergah
badak sumbu waktu-waktu macam ni. Nasib baiklah roh
aku tak melayang keluar meninggalkan tuannya. Jika tidak…
alamat aku dah jalan terus meninggalkan dunia yang fana ini.’
Zara berpaling. Tajam pandangan matanya menikam
wajah Wanie yang tersengih-sengih bagaikan kera betina.
Langsung takde rasa bersalah dengan apa yang dia lakukan
sebentar tadi. Selamba saja dia menarik kerusi kosong di
hadapan Zara lalu melabuhkan punggungnya di situ.
“Kau ni dah takde kerja lain lagi ke hah? Asyik nak
sergah-sergah aje. Mujurlah aku tak mampus tau!” Marah
Zara. Geram sungguh dia dengan sikap tidak bermoral Wanie.
Sudahlah dia tengah bad mood sekarang ni. Wanie pula sengaja
nak cari pasal. Spontan dia menolak kepala Wanie dengan
perasaan geram.
“Woi… ni apa hal tolak-tolak kepala aku pulak. Kepala
aku ni bayar zakat tau!” Giliran Wanie naik marah bila kepalanya
ditolak dengan kasar oleh si kawan.
“Tau pun marah! Yang kau buat aku terkejut sampai
nak meninggal tu takpe pulak. Boleh pulak ye?” Gumam Zara.
Kak Uda yang duduk di tempatnya sudah menggelenggelengkan
kepala. Zara dengan Wanie ni tak ubah bagaikan
anjing dengan kucing. Asal berjumpa saja pasti nak bercakaran.
Tak pernah nak aman damai.
“Eiii… korang berdua ni macam anjing dengan
kucinglah. Tak boleh nak berjumpa langsung.” Akhirnya Kak
Uda bersuara juga. Elok-elok suasana di bahagian mereka itu
tenang, tiba-tiba jadi kecoh pula disebabkan suara dua minah
kelibang-kelibut ini. Macam kanak-kanak.
“Saya kucing. Wanie anjing.” Laju Zara menjawab.
“Eh… apasal aku pulak yang kena jadi anjing. Aku tak
nak! Aku nak kucing. Kau tu la yang anjing.” Balas Wanie tidak
mahu mengalah.
“Takde! Takde! Aku dah cup awal jadi kucing.” Zara
macam biasalah, mana mahu beralah dengan Wanie. Nak
menang aje.
“Hesy… macam budak-budak!” Sungut Kak Uda.
Wanie pandang Zara. Kemudian Zara dengan laju
menjelirkan lidahnya kepada Wanie. Melihatkan tingkah
spontan Zara itu, Wanie tergelak kecil. Dengan Zara marahnya
mana boleh lama-lama. Cukuplah sekadar marah-marah sayang
gitu.
“Alaaa… itu pun nak sentap. Aku sergah sikit ajelah.
Kau ni beb… sejak-sejak bergelar janda ni bukan main garang
lagi aku tengok. Pantang diusik, laju aje nak marah-marah.”
Dalam hendak memujuk hati kawannya itu, Wanie masih lagi
main ayat-ayat mengusik.
Zara menarik muka. Wanie ini kalau bercakap bukan
nak fikir perasaan dia. Sesuka hati nak panggil dia janda.
Sudahlah dia memang pantang Hang Jebat benar dengar
gelaran tersebut. Wanie pula nak sebut-sebut. Aduh… memang
perlu dilesinglah Cik Nur Hawanie ini.
‘Bertenang Zara! Bertenang! Tarik nafas dan hembus.
Jangan nak marah-marah. Kau bukannya tak faham dengan
perangai si mangkuk ayun ini. Tenang! Tenang!’ Zara cuba
untuk menenangkan dirinya sendiri. Bertekak dengan Wanie
bukanlah tindakan yang bijak.
Kak Uda sudah malas hendak menghiraukan perbualan
dua sahabat baik itu. Buat penat mulut dan buang air liur saja
mendamaikan mereka berdua. Bukannya nak dengar pun.
Namun gaduh mereka bukan panjang. Tak sampai lima minit,
sekejap lagi dengarlah tu mereka ketawa-ketawa.
Zara pula jika sudah bertemu dengan Wanie memang
begitulah sikapnya. Bertekak tak sudah-sudah. Dahlah tu…
dua-dua nak jadi pemenang. Habis tu… siapa yang harus kalah?
“Yang kau duk termenung ni apa hal? Masih ingatkan
Ajib lagi ke?” Tanya Wanie bertalu.
Pelik benar jika BFFnya itu belum dapat melupakan
Ajib sedangkan sudah masuk dua bulan hubungan antara Zara
dan Ajib terputus. Takkan kuat sangat mandrem Ajib kat Zara?
Sehingga terlalu sukar untuk sahabatnya itu melupakan lelaki
kurus cekeding itu.
Zara menjeling geram. Wanie ni kan… suka cakap tak
bertapis.
“Aku bukan fikir pasal si kurus kering itulah! Kau
boleh tak jangan sebut nama dia tu lagi depan aku. Sakit tau
telinga aku dengar nama dia.” Bidas Zara. Dia sudah tidak mahu
lagi mendengar nama Ajib. Dia bencikan lelaki itu. Nama Ajib
si kurus kering itu sudah lama dipadamkan dalam fikirannya.
Bibir Wanie mengukir senyuman lebar. Tangannya
ditadah sebagai tanda berdoa. Pandai Zara upgradekan gelaran
untuk Ajib. Jika sebelum ini Ajib terkenal dengan gelaran kurus
cekeding, namun sekarang Zara dah beri gelaran baru pula.
Kurus kering! Kahkahkah…
“Alhamdulillah… sedar juga kawan aku ni rupanya.
Terima kasih Ya Allah.”
Zara mencebik. Overlah Wanie ni.
“Habis tu… yang kau termenung panjang dengan
muka yang bagaikan orang tak siap tu apa hal? Cuba kongsi
dekat aku ni hah? Mana tahu aku dapat tolong. Aku ni... kan
pembantu peribadi kau.” Wanie memeluk bahu Zara. Senang
hatinya bila Zara sudah berjaya melupakan Ajib. Itulah yang
dimahukan olehnya. Zara dengan Ajib memang tak padan
langsung. Sedar juga akhirnya Zara akan kenyataan itu.
Sekali lagi Zara mencebik. Pembantu peribadi konon!
Ceh… memang Wanie ni jenis perempuan over acting.
Sepatutnya dia ambil seni lakon bukannya undang-undang.
Namun pertanyaan Wanie itu tetap dibalasnya.
“Aku mimpi ngerilah malam semalam, beb.”
“Mimpi ngeri? Hesy… dah tua-tua ni pun masih
mimpi ngeri jugak ke?” Di hujung kata-katanya, Wanie sudah
menghamburkan ketawa. Kelakar bila mendapat tahu Zara
bermenung disebabkan mimpi ngeri. Tak pernah-pernah
sahabatnya begitu. Menganggap mimpi itu sesuatu yang serius.
Mimpi ngeri apakah itu? Dikejar hantu kuntilanak atau dibaham
dengan raksasa? Heheheee… Wanie jadi penasaran ingin tahu.
Satu jelingan maut ditujukan kepada Wanie yang galak
ketawa. Wanie ingat dia main-main ke? Mimpinya itu memang
ngeri. Dia tak pernah didatangi mimpi sengeri mimpi semalam.
“Ini yang aku malas nak beritahu kau ni.” Tukas Zara
sebal.
Itu baru intro. Kalau dia dah buka isi cerita mesti lagi
galak Wanie akan ketawa. Wanie ni kalau otak sewelnya itu
datang menyerang, memang parah juga jadinya. Ketawa tak
pandang keliling. Main bantai aje.
“Okey. Okey. Aku mintak maaf. Kau mimpi ngeri apa
sampai terbawa-bawa dalam fikiran ni, beb? Mimpi kena kejar
dengan hantu Kak Limah Balik Rumah ke?”
“Ini bukan hantu Kak Limah, tapi ini lagi seram
daripada hantu Kak Limah.”
“Ye ke? Seram macam Sundal Bolong?” Tanya Wanie.
Teringat Wanie cerita hantu Sundal Bolong zaman dia
kanak-kanak dulu. Cukup menyeramkan. Tak sampai sekerat
jalan, dia sudah surrender tak nak tengok cerita hantu itu lagi.
Sundal Bolong cukup menyeramkan sehingga terbawa-bawa ke
alam mimpi. Sumpah! Sampai sekarang ini pun dia tak tahu
apa penghujung cerita Sundal Bolong tu. Dia memang tak
suka menonton cerita seram! Dia... kan jenis penakut tahap
melampau. Mahu histeria dia jika menonton cerita-cerita seram
ini.
“Lagi seram daripada Sundal Bolong!”
“Hantu apalagi yang seram daripada Sundal Bolong?”
“Hantu mamat poyo!”
Mendengar nama hantu yang keluar dari bibir comel
Zara itu membuatkan Wanie ketawa besar. Terbahak-bahak
dia ketawa. Langsung tidak mempedulikan mata-mata yang
memandang. Dia bagaikan sudah terlupa bahawa kini dia berada
di pejabat dan bukannya di rumah. Mentang-mentang bos tiada
di ofis, bukan main kuat lagi dia tergelak. Nama hantu yang
baru diberitahu oleh Zara itu cukup mengelikan ulu hatinya.
“Ada ke nama hantu macam tu?” Kak Uda yang duduk
hanya bersebelahan dengan pembahagi meja kerja Zara sudah
mengerutkan dahi mendengar nama hantu yang disebut Zara.
Hantu apa tu? Tak pernah dengar pun. Hantu versi
moden ke? Atau dia ini yang terlambat pick-up info filemfilem
terkini. Setahunya, memang dia tak pernah dengar nama
hantu tu. Siapa pulak pengarah yang mengarahkan filem Hantu
mamat poyo ini? Ahmad Idham ke?
Serentak itu juga Zara ketawa berdekah-dekah. Geli
hati melihat ekspresi wajah Kak Uda. Kesian kakak seorang
itu, berkerut-kerut dahinya cuba mengingati mana-mana filem
hantu dengan tajuk hantu mamat poyo. Heheheee…
“Mana ada hantu mamat poyo! Zara ni aje yang pandaipandai
bagi nama. Setahu Kak Uda, belum ada pun filem dengan
tajuk macam tu dekat pasaran perfileman kita mahupun luar
negara.” Ujar Kak Uda lagi penuh semangat waja.
Zara tarik sengih. Ngeee…
“Memanglah Kak Uda tak pernah tengok cerita hantu
atau jumpa hantu tu. Cuma Zara dengan Wanie aje yang pernah
jumpa dan lihat secara live.”
Berlipat-lipat dahi Kak Uda mendengar tawa dua orang
gadis muda itu. Tahulah dia yang Zara dan Wanie sebenarnya
sudah mengenakan dirinya. Hampeh!
Malas hendak melayan perangai gila-gila dua gadis itu,
Kak Uda meneruskan kerjanya. Lebih baik dia menumpukan
perhatian pada kerja di hadapannya itu daripada bersembang
dengan Zara dan Wanie.
“Okey beb… sekarang teruskan cerita pasal mimpi
seram kau dengan hantu mamat poyo tu. Aku dah tak sabar nak
dengar ni. Manalah tahu boleh buat novel cerita cinta seram.”
“Amboi… kau nak ambik kesempatan ye atas mimpi
aku.”
Wanie tersengih. Apa salahnya jadikan mimpi Zara itu
sebagai novel. Dapat juga mengaut keuntungan yang berlipatlipat
kali ganda. Lagipun dia memang minat juga menulis cuma
belum ada rezeki untuk dia mencuba dalam bidang penulisan.
“Pasal terlampau bencikan mamat poyo tu… tak
pepasal semalam aku termimpikan pasal dia. Yang buat aku
bengang tu… boleh pulak dia masuk dalam mimpi aku jadi
watak hero menggantikan tempat Shah Rukh Khan dalam
filem Kuch Kuch Hota Hai. Siap menyanyi dan kejar-kejar
bagai. Eiii… mimpi tu benar-benar buat aku bad mood. Buat
aku hilang selera nak makan dan buat kerja. Malang betul sebab
dia muncul dalam mimpi aku.” Bersungguh-sungguh Zara
menceritakan mimpi seramnya itu sambil badannya digerakgerakkan.
Cukuplah sekali dia mengalami mimpi tersebut.
Jangan malam nanti dia mengalami mimpi yang sama juga. Dia
tak sanggup.
Sekali lagi Wanie ketawa besar. Sejak kebelakangan ini
dia selalu mendengar keluhan Zara mengenai Hakimie. Zara
memang bengang giler dengan Hakimie. Tak boleh dengar
nama Hakimie disebut, mulalah Zara tarik muka. Apatah lagi
bila sudah bertentang mata. Mulalah masing-masing nak
berlawan ayat pedas.
Hairan juga Wanie dengan ketuanya itu. Dalam ramairamai
pekerja di department ni, hanya Zara seorang yang
menjadi mangsa buli Hakimie. Pantang dia terserempak dengan
Zara, mulalah dia nak suruh Zara buat itu dan ini. Kadangkadang
tu kerja yang disuruh memang tak masuk dek akal.
Takde kena-mengena pun dengan kerja Zara sebagai seorang
arkitek.
“Macam manalah kau boleh termimpikan dia? Dah
tu… siap masuk watak dalam cerita Kuch Kuch Hota Hai
pulak. Ini sah kau dah terjatuh hati dekat dia tu sampaikan
kau termimpikan dia. Nampaknya tak lama lagi lupuslah status
janda berhias kau tu.”
Pappp! Tidak menunggu lama, laju Zara menampar
lengan putih gebu Wanie
“Auch! Apa ni beb? Kenapa main pukul-pukul ni?”
Wanie mengumam sambil menggosok lengannya yang terasa
pijar ditampar Zara. Sakit tu!
“Kau tu la. Mulut takde insurans. Sesuka hati cakap
macam tu. Ingat aku ni dah kemaruk sangat ke dengan mamat
poyo tu? Biar aku menjanda lama-lama. Nama nak jatuh hati
kat mamat poyo tu… jangan harap. Tak akan! Never!!!”
“Tak baik kau cakap macam tu beb. Manalah tahu
suatu masa nanti Allah terbalikkan perasaan kau kepada Encik
Hakimie. Dari benci bertukar sayang. Baru padan dengan muka
kau. Menjilat ludah sendiri.”
“Huh… nauzubillah. Aku sentiasa berdoa semoga pintu
hati aku ni tertutup rapat-rapat buat dia. Aku tak nak menjadi
mangsa pembulian dia seumur hidup.” Dengan lagaknya Zara
membidas kata.
Wanie sudah malas hendak bertekak. Bertekak sampai
setahun pun, Zara tetap membenci Hakimie. Kak Uda yang
hanya memasang telinga mendengar perdebatan dua sahabat
itu hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Malas dia hendak
masuk campur. Barulah dia tahu rupanya hantu mamat poyo
yang Zara katakan tadi adalah Encik Hakimie.
Zara! Zara! Memang suka bagi gelaran manja-manja
kepada semua orang.
Di dalam biliknya, Hakimie duduk termenung
memikirkan mimpinya malam semalam. Bagaimana minah
kelibang-kelibut itu boleh tersesat masuk ke dalam mimpinya?
Pelik, namun itulah hakikatnya bila gadis bernama Zara
Dania itu muncul sebagai heroin dalam mimpinya semalam.
Sudahlah tu, siap menari dan menyanyi lagu Hindustan lagi
mereka berdua. Sedangkan, hakikatnya dia ini bukanlah jenis
yang gemar menonton cerita Hindustan. Tapi semalam, tak
pasal-pasal dia mimpi jadi watak hero Kuch Kuch Hota Hai
pula. Cukup menghairankan.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan pada permukaan pintu membuatkan lamunan
Hakimie berterbangan. Pantas dia membetulkan kedudukan
tubuhnya sebelum membenarkan si pengetuk masuk ke dalam.
“Morning boss…” Bersama senyuman lebar, Kareena
menegur. Dia masuk ke dalam bersama sebiji mug di tangan.
“Morning Kareena.”
“Ini saya ada bancuhkan air nescafe untuk bos.”
Tanpa disuruh, Kareena meletakkan air nescafe
berasap nipis di depan meja kerja ketuanya. Selama ini kerja
membancuh air telah ditugaskan kepada Zara. Sampaikan dia
tiada peluang langsung hendak membuat air minuman untuk
lelaki pujaannya itu. Namun hari ini dia mengeraskan hati
untuk membancuh air minuman untuk Hakimie. Dia mahu
lelaki itu rasa air tangannya yang manis lemak berkrim.
Berkerut dahi Hakimie memandang mug berisi air
nescafe yang Kareena letak di atas mejanya. Setahunya dia tidak
meminta pun setiausahanya itu membuatkan air untuknya.
Baik pula hati Kareena membuat air minuman untuk dia pagi
ini. Lagipun, tugas membancuh air minumannya ini sudah
diserahkan kepada Zara.
“Mana Zara? Bukan ke semua ni kerja dia? Kenapa
pulak awak yang buat?”
Berubah air muka Kareena. Kecil hatinya. Bersusah
payah dia membancuh air untuk Hakimie, namun nama si
Zara juga yang meniti pada bibir lelaki itu. Entah-entah Zara
sudah mandremkan Hakimie agaknya melalui air minuman
yang selalu dibancuhnya itu. Disebabkan itulah Hakimie sikitsikit
asyik nak sebut nama Zara saja. Sampaikan dia yang cantik
menawan ini langsung tak dipandang.
“Alaaa… Encik Hakimie. Apa salahnya saya bancuhkan
air minuman untuk Encik Hakimie. Lagipun, ini memang kerja
saya sebagai setiausaha Encik Hakimie. Kebetulan saya buat air,
jadi saya pun bancuhlah untuk Encik Hakimie sekali.” Kareena
merengek-rengek manja. Cuba menarik perhatian Hakimie di
hadapannya.
Hakimie menghela nafas. Air muka Kareena yang
sudah berubah keruh itu membuatkan dia malas hendak
memberi respons yang lebih-lebih.
“Okeylah. Thanks.” Ucap Hakimie bersahaja.
Baik juga Kareena membuatkan air untuknya hari ini.
Jadi dia tak perlulah nak menghadap muka Zara awal-awal pagi
ni. Lagipun bayangan mimpi semalam masih kuat mengganggu
akal fikirannya, membuatkan dia jadi kurang selesa mahu
berdepan dengan minah kelibang-kelibut itu.
Lebar senyuman Kareena mendengar ucapan yang
terlahir pada bibir Hakimie. Suka benar hatinya bila Hakimie
sudah menjamah air bancuhannya yang penuh dengan rasa
kasih dan sayang itu. Air mukanya yang keruh sebentar tadi
sudah kembali ceria dengan bibir seksinya mengukir senyuman
menggoda.
Ya! Dia memang hendak menggoda Hakimie. Namun
bosnya itu nampak liat sangat untuk menerima godaannya yang
maha hebat ini. Opsss… hebat ke? Kalau hebat takdelah dia jadi
penasaran seperti ini. Huhuhuuu…
“Encik Hakimie hendak apa-apa lagi ke?” Soalnya
bersama wajah ceria.
“It’s okay Kareena. Takde apa-apa lagi yang saya
perlukan. Kalau ada yang saya mahu, nanti saya interkom
awak.”
“Kalau macam itu, saya keluar dulu ya.”
Hakimie sekadar mengangguk. Matanya sudah
tertumpu pada skrin komputer. Ada kerja yang perlu dibereskan.
Rupa-rupanyanya, dua insan ini mengalami mimpi
yang serupa.
No comments:
Post a Comment