“CIK Nuha... Boleh kita berbual kejap?” Tibatiba
satu suara menegurnya. Seorang lelaki usia lewat dua
puluhan muncul dari arah belakangnya. Ketika itu, dia baru
saja mahu melangkah masuk ke lobi Menara Gemilang selepas
melawat tapak pembinaan. Di bahu kanan lelaki itu disandang
beg kamera. Melihat gaya lelaki itu menyarung vest berpoket
yang sinonim dengan jurugambar, dia pasti lelaki itu seorang
jurugambar profesional, duganya.
“Kita berbual di sana,” katanya sambil menunjuk ke
arah Restoran Keluarga Kita di hujung jalan. Nuha Qalisya akur
kerana panas yang begitu terik tidak memungkinkan untuk
dia terus berlama di situ. Pantas kakinya mengekori. Mungkin
juga perasaan ingin tahu membuatkan dia tidak teragak-agak
mengikut lelaki berkenaan.
“Sorry ek, saya kenal saudara ke?” soal Nuha Qalisya
sebaik saja melabuhkan punggung di atas kerusi. Diseka peluh
di dahinya dengan tisu. Lelaki itu mengeluh seketika. Mungkin
tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara.
“Cik Nuha... Kita oder dulu. Nak minum atau makan?”
soalnya. Tangannya pantas menggamit pekerja restoran.
“Errr… Bagi saya ice lemon tea. Itu saja.”
“Makan?” tanyanya. Pekerja restoran masih sedia
berdiri di sisinya sambil menunggu arahan seterusnya.
“No... Thanks,” kata Nuha Qalisya seraya menggeleng.
Perutnya masih lagi kenyang dengan sarapan pagi tadi.
Kebetulan sarapannya agak berat. Nasi lemak sambal sotong
membuatkan dia terasa kenyang hingga ke tengah hari.
“Boleh encik perkenalkan diri? Rasanya tak seronok kita
berbual tetapi tidak saling mengenali.” Nuha Qalisya bersuara.
Sungguh! Sudah puas dia mengingat kembali memorinya tetapi
dia masih buntu. Dia pasti lelaki ini tidak pernah muncul sama
ada dalam mimpi atau realitinya selama ini.
“Mungkin cik tidak mengenali saya tetapi Cik Nuha
bukan asing pada saya.” Bulat mata Nuha Qalisya mendengarnya.
Aku tidak mengenalinya tetapi dia mengenali aku. Takjubnya!
Dia sememangnya tidak asing dalam hidup lelaki ini. Kebetulan
atau ada sesuatu yang tidak kena?
“Saya Raziq.” Dia mula memperkenalkan diri. Nuha
Qalisya mengangguk kepala. Sah! Dia tidak mengenali siapa
lelaki itu. Tiada langsung kawan-kawannya berpangkalkan
nama Raziq. Dia yakin itu.
“Awak kenal Zariff?” Lelaki itu bermukadimah. Wajah
gadis yang berada di depannya itu direnung. “Maksud saya,
Zariff Adam Tan Sri Kamarul...” sambung lelaki itu. Tidak susah
untuk Nuha Qalisya mencerna dalam fikirannya sekarang. Pasti
lelaki ini ada kaitan dengan Zariff Adam.
“Kenal… Dia dari masa lalu saya,” kata Nuha Qalisya
sedikit tegas. Dia sendiri tidak tahu dari mana dia mendapat
kekuatan itu, tetapi apa yang pasti, saat ini dia mahu tunjukkan
kepada lelaki yang berada di depannya ini, dia seorang yang
tabah. Lelaki itu hanya mengangguk tanda memahami.
“Actually, saya cousin Zariff dan saya juga yang
menjadi jurugambar ketika majlis perkahwinan mereka dua
bulan lalu.” Nasib baik air yang diminum oleh Nuha Qalisya
tidak tersembur.
“Jadi, awak jugalah yang menghantar gambar-gambar
tu semua kepada saya? Apa tujuan sebenar awak, Encik Raziq?”
Entah mengapa, Nuha Qalisya yakin bahawa lelaki di depannya
ini yang menghantar foto-foto perkahwinan Zariff Adam. Untuk
apa sebenarnya lelaki itu melakukan perkara itu?
“Jangan berprasangka. Tujuan saya murni. Saya tidak
mahu orang sebaik awak menjadi mangsa manusia seperti
sepupu saya tu.” Raziq seolah-olah dapat membaca apa yang
berlegar dalam fikiran Nuha Qalisya. Bukan dia tak tahu
akibat yang bakal berlaku sekiranya Zariff Adam mengetahui
perbuatannya itu.
“So... Apa maksud Encik Raziq? Kalau sekadar mahu
melihat reaksi saya berhubung perkahwinan mereka, itu tiada
kaitan dengan saya sebenarnya,” beritahunya. Malas mahu
memikirkan perkara itu. Dia sudah reda dengan apa yang
berlaku.
“Saya tahu awak terluka melihat gambar perkahwinan
mereka tetapi percayalah, suatu hari nanti awak akan berterima
kasih atas tindakan saya ini.” Pantas dia membuka beg
sandangnya. Dikeluarkan satu album yang mengandungi foto
perkahwinan Zariff Adam dan Dania dalam pelbagai aksi.
Nuha Qalisya mengurut dadanya. Sakit dan perit.
Itulah yang dirasakannya saat ini. Kemudian dia mengeluh.
Dia tidak sangka kebenaran sudah terhidang di depan matanya
dalam tempoh begitu singkat. Dia sudah berjumpa dari mana
sumber gambar itu.
“Dia tidak tahu saya mengenali awak. Jadi, saya
poskan semua gambar perkahwinan mereka agar awak tidak
terus menjadi mangsa penipuannya. Sebenarnya, mereka tidak
pernah putus tunang, hubungan mereka selama ini berjalan
lancar. Dania tahu Zariff mempunyai hubungan dengan awak
tetapi dia tidak pernah peduli. Dania ni jenis wanita yang gemar
bersosial, bershopping. Dia akan senyap dan menurut apabila
Zariff menabur wang ringgit kepadanya. Sebab itulah dia hanya
pejamkan mata walaupun dia tahu awak dan tunangnya ada
hubungan istimewa.” Beberapa kali Nuha Qalisya menelan air
liurnya.
Perit menerima kenyataan itu. Mahu menjerit sekuat
hati tetapi mustahil kerana mereka sekarang berada di tempat
awam. Tiba-tiba hatinya kosong. Dia mengeluh. Rupa-rupanya
perjalanan cintanya bersama Zariff Adam sudah tiba ke noktah.
Raziq meneruskan lagi. Pada awalnya, dia begitu
bimbang penerimaan gadis itu tetapi sekarang dia tahu, Nuha
Qalisya mempunyai ketabahan luar biasa. Dia meneruskan
kata-kata yang terhenti sebentar tadi.
“Saya tiada masalah dengan Zariff. Malah dia antara
sepupu saya yang paling rapat. Kami membesar bersama-sama
kerana mama dan papa Zariff kerap berulang-alik ke luar negara
untuk menguruskan perniagaan keluarga di sana. Dan Zariff
ditinggalkan di sini bersama keluarga saya.” Raziq berterus
terang. Wajah gadis itu dipandang sekilas. Nampak ketara ada
sendu di mata redupnya.
“Saya harap awak jangan salah faham... Saya tidak
pernah cemburukan dia jauh sekali mahu menganiaya dia,
tetapi saya sekadar mahu mengajar dia erti kasih sayang yang
tiada nilainya. Kalau saya tak sedarkan dia, siapa lagi?” Raziq
berterus terang. Nuha Qalisya terdiam.
Selama perhubungannya, dia tidak pernah mengetahui
sejarah keluarga Zariff Adam. Siapa orang tuanya, siapa
sanak saudaranya, jauh sekali rakan-rakannya. Licik betul
lelaki itu. Menggunakan beberapa akaun Facebook untuk
menutup kegiatannya. Mengapa waktu itu dia langsung tidak
mempertikaikan kedudukan dirinya? Itulah kebodohan yang
paling ketara dalam hidupnya. Mempercayai setiap kata-kata
lelaki itu tanpa pernah dia mempertikaikannya. Dia meraup
mukanya. Keluhan dilepaskan. Terasa begitu berat menanggung
perasaan saat ini.
“Saya tahu awak kuat, awak tabah. Awak gadis baik,
Nuha. Tetapi awak tidak bernasib baik kerana mengenali orang
seperti Zariff.” Raziq memandang Nuha Qalisya. Riak sedih
jelas tergambar di wajahnya. Dia tidak menyangka sejauh itu
permainan sepupunya.
Nuha Qalisya termenung mendengar kata-kata itu.
Dia tidak pernah berfikir pembongkaran ini akan melumatkan
terus hatinya. Dia menarik nafas kemudian dihembus perlahan.
Terasa ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya.
“Dia beritahu saya ada orang aniaya dia dengan
menggunakan teknik superimpose dan Photoshop. Orang
tersebut meletakkan wajahnya pada gambar perkahwinan itu.
Kalau orang mahu menganiaya dia, tidak mungkin wujud
berpuluh-puluh gambar dengan pelbagai aksi. Dari situ saya
tahu, saya ditipu tetapi saya tiada bukti.” Nuha Qalisya cuba
menahan sendu yang semakin membuak-buak di dadanya.
“Syukur… Kali ini saya benar-benar gembira. Doa saya
akhirnya Allah dengar. Saya sudah tahu kebenaran itu. Mungkin
saya terluka dengan semua ini tetapi seperti awak kata tadi, saya
gadis tabah dan insya-Allah, saya mampu mengharunginya.”
Nuha Qalisya mengesat air mata yang sudah mula menitis di
pipinya. Hidungnya mulai merah. Kemudian kotak tisu dicapai.
“Saya tak faham mengapa dia sanggup lakukan ini
semua. Kalau sudah berkahwin, mengapa perlu menidakkan
kenyataan ini? Perkahwinan bukan satu games, ada pemenang
dan ada yang kalah. Dia juga sanggup bersumpah.” Matanya
kembali berkaca-kaca dan bila-bila masa empangan akan pecah.
Ya Allah, berat sungguh ujian-Mu kepada hamba yang lemah
ini. Sesungguhnya kalau ini ketentuan Kau, hamba-Mu ini akan
menerimanya dengan reda.
“Saya boleh bantu awak untuk berdepan dengan Zariff.
Bila-bila masa saja. Saya tahu Zariff masih lagi memburu awak
sebab dia yakin awak tidak akan menemui kebenaran itu. Tapi
Allah bukakan pintu hati saya melakukan semua ini. Bukan
kerana saya bencikan Zariff, dia sepupu saya paling rapat tetapi
saya lebih kasihan kepada awak. Saya tak sanggup awak terus
dianiaya,” katanya perlahan. Nuha Qalisya mengeluh lagi. Kali
ini makin keras. Dadanya kian sebak.
“Ini kad saya… Kalau awak sudah bersedia untuk
berjumpa Zariff, awak call saya. Kita bersemuka dengan dia.
Biar dia tahu tembelangnya selama ini sudah pecah. Kalau
awak pergi seorang diri, saya tahu dia masih boleh berdolakdalik
tetapi dia tidak mampu untuk terus berbohong jika
melihat kehadiran saya nanti.” Raziq menghulurkan sekeping
kad perniagaan.
Nuha Qalisya diam. Kad perniagaan di tangannya
dipandang tanpa perasaan. Seketika kemudian, dia memasukkan
kad tersebut ke dalam beg tangannya. Wajah Raziq dipandang.
Memang benar, wajah itu ada iras-iras Zariff Adam.
“Saya minta diri dulu. Kita tengok sejauh mana
dia mahu menipu. Kedua-duanya perlu diajar supaya lebih
menghormati perasaan orang sekeliling,” kata Raziq kemudian
meminta diri. Pantas dia ke kaunter pembayaran. Sebelum
berlalu, lelaki itu mengangkat tangan kepadanya.
Nuha Qalisya masih tidak bergerak. Hatinya
bersimpang-siur antara sedih, geram, marah, berkumpul
menjadi satu. Zariff Adam satu-satunya lelaki yang berjaya
meleburkan ego dalam hatinya dan menerima dia seadanya.
Namun rupa-rupanya lelaki itu juga memusnahkan segala
impian yang diciptanya.
Air di dalam gelas sudah dihabiskan. Dia berkira-kira
mahu bergerak meninggalkan restoran itu. Pelanggan masih
tidak surut dan meja masih tiada yang kosong. Ramai yang
tertinjau-tinjau mencari meja kosong walaupun waktu itu jam
sudah mencecah angka dua petang. Waktu rehatnya sudah
tamat. Nampaknya dia sudah terlambat untuk masuk ke ofis.
Dia melemparkan senyuman kepada pasangan yang
bertanyakan meja yang didudukinya. Dia faham dalam waktu
begini, pasti susah mahu mencari meja yang masih kosong.
Selepas pasangan muda itu mengucapkan terima kasih, dia
bangun meninggalkan restoran menuju ke ofisnya di Menara Gemilang.
No comments:
Post a Comment