HARI pertama melangkah masuk ke pejabat
semi kerajaan yang berhawa dingin itu membuatkan
hati Acam kecut sekecut-kecutnya. Sudah macam asam
kecut pun ada. Semua wajah yang ditemui begitu asing.
Nasib baik muka Acam yang memang sejak azali telah
diciptakan dengan riak selamba tidak menampakkan sangat
kecanggungannya.
Acam ditempatkan di Jabatan Operasi di bawah
seliaan pegawai muda yang tidak kurang juga kacaknya.
Orangnya kurus tinggi, berbadan agak tegap dan berkulit
sedikit gelap. Matanya yang kuyu dengan alis mata lebat
jika ditenung lama memang boleh meruntun jiwa. Ketika
diperkenalkan oleh Puan Amira, Pengurus HR kepada stafstaf
di Jabatan Operasi, hanya senyuman yang dapat Acam
berikan. Ikhlas tahu!
Suasana tempat praktikal setelah seminggu dia
memulakan kerjanya biasa-biasa sahaja. Sementelah Acam
itu budak praktikal, tidak banyak sangat yang hendak
dilakukan. Namun, Acam tetap disukai oleh rakan-rakan staf
di situ. Walaupun karektor agak ganas dan berani mencuba
namun dia disenangi. Lebih-lebih lagi oleh si Qaid Firdaus,
pegawai atasan Acam yang menyelia semua tugas yang
diberikan kepada gadis itu. Sudah lebih tiga tahun dia
berkhidmat di syarikat itu, tidak pernah seorang pun gadis
yang pernah mendapat perhatiannya. Namun berlainan
sekali dengan gadis ini.
Semenjak hari pertama Acam melapor diri
di syarikat itu, Qaid sudah mula menyukai Acam.
Wajah ganas dan tingkah laku yang kasar menjadi
trademark Acam namun ada garis lembut di
sebalik keganasan rupa gadis itu. Puas juga dia merisik-risik
mengenai Acam. Sering juga dia mengajak Acam keluar
makan bersamanya, namun Acam tetap Acam.
Bukan mudah hendak mendekati gadis itu.
Semua itu tidak pernah mematahkan semangat Qaid
untuk mendekati Acam. Kadang-kadang sengaja dia
mengarahkan tugasan yang bukan dalam bidang pelatih
kepada Acam. Suka sebenarnya jika Acam sering bertemu
dengannya bertanya itu ini. Peluang itu diambil untuk
mencuri-curi tenung wajah Acam yang sentiasa tenang
walaupun tugasan diberi luar mampunya.
Setiap tugasan yang diberikan memang dapat
diselesaikan dengan sebaiknya. Biasalah, pada peringkat
awal tentu sekali tugasan biasa-biasa sahaja, lama kelamaan
bolehlah diserahkan yang lebih rumit. Tapi berlainan dengan
Acam, banyak juga kerja-kerja Qaid diserahkan kepadanya.
Acam tidak pernah merungut, katanya bagus untuk
pengalaman dan pengetahuannya. Lagi banyak yang dia
tahu, lagi mahir dirinya nanti.
Andai Cintamu Aku Miliki
6600
SETELAH puas mencuba, mengayat bagai pun tidak
pernah dapat, akhirnya peluang yang datang tengah hari itu
diambil sepenuhnya oleh Qaid. Apabila terdengar sahaja
Acam bersetuju dengan ajakan Kak Haniza untuk makan
tengah hari di KFC yang terletak di bangunan pasaraya
berhadapan pejabat mereka, Qaid pun dengan muka tak
malu menyelit sahaja.
Kak Haniza yang perasan dengan tingkah laku
dan layanan Qaid terhadap Acam selama ini hanya
menggelengkan kepala. Memang tak tahu malulah
mamat seorang ni. Tidak ada orang ajak pun, sibuk
pula dia hendak mengikut. Kalau Acam tahu, mesti
bising mulut mak cik tu mengomel.
Hish, betullah, hidung tak mancung, pipi
tersorong-sorong. Tapi zaman teknologi serba canggih ni,
hidung yang tak mancung pun boleh jadi mancung. Teknik
make-up aje pun dah cukup. Hehe... getus Kak Haniza
sendiri.
Acam yang pada mulanya terkejut melihat
kehadiran Qaid, seekor kumbang di antara bunga-bungaan
itu, hanya mampu tersengih. Nak kata tak boleh,
dah pun duduk bersama. Siap dah ada makanan dok
terhidang lagi. Lagi best, dia pula yang sibuk nak belanja.
Orang mahu belanja, Acam belasah sahajalah. Boleh juga
jimat duit belanja.
Melayang juga berbelas ringgit untuk satu set
snack plate. Lagi pula ditambah dengan side dishes yang
berlambak di atas meja itu. Wah, ini betul-betul belanja
mamat ni. Balas dendam apa sebab pelawaannya selama ini
tak pernah diterima.
Sepanjang menikmati makanan, mulut mereka tak
henti-henti berceloteh. Acamlah yang kerap diajukan soalan.
Rajin sungguh rakan-rakannya itu bertanya mengenai
kehidupannya di kampus. Yalah, sambil bertanya dan
mendengar, boleh juga mereka melayan kenangan lalu
zaman belajar.
“Apa pasal nama kau Acam?” tanya Qaid tiba-tiba.
Wajahnya berseri-seri dapat mengeluarkan soalan yang
sungguh bernas itu.
Acam hanya tersengih mempamerkan barisan gigi
yang comel lagi putih itu tatkala mendengar soalan Qaid.
Soalan bernilai RM1 juta, Where the Money Drops, sudah
macam dalam rancangan yang dihoskan oleh AC Mizal
itu pula. Mulut penuh dengan Zinger Burger pun ada hati
hendak bercakap. Nasib baiklah tidak tersembur semua
makanan itu. Sebenarnya itu bukanlah pertama kali dia
diserang dengan soalan sebegitu. Kunyahannya berhenti
lalu minumannya dihirup. Lega tekak dibasahi dengan
minuman sejuk berkarbonat itu.
“Kenapa, tak best ke nama Acam tu?”
“Taklah, tapi nama kau ni pelik. Nama original kau
sikit punya best, siap puteri-puteri bagai. Kalau dengar nama
original kau tu, mak aku mesti cepat aje hantar rombongan
meminang nak buat menantu,” balas Qaid masih lagi
bersahaja seperti tak ada perasaan. Tapi sebenarnya, katakatanya
itu memang ada makna tersirat pun.
“Oh, jadi bila tengok aku kau tak jadilah nak masuk
meminang?” Matanya bulat memandang ke arah Qaid yang
masih tersengih-sengih.
Kak Haniza dan Juliana yang duduk bersama-sama
mereka turut tersengih mendengar soalan cepu emas
daripada Acam itu. Padan muka Qaid, kutuk mereka dalam
diam. Mana berani hendak kutuk depan-depan, nanti tidak
dapat makan belanja lagi. Lagilah si Qaid tu bukan staf
biasa, Pegawai Kanan Jabatan. Memanglah muda tapi
pendidikan bukan taraf mereka. Bertahun-tahun mencari
ilmu di negara orang.
“Err... tak adalah macam tu. Bukan maksud aku nak
mengata kau. Sekarang ni pun kalau Acam kata okey, aku
ready aje nak masuk meminang.”
Matanya sudah terpaku di wajah Acam yang
merah menyala akibat tersedak-sedak mendengar katakatanya.
Juliana yang berada di sebelah Acam menguruturut
lembut belakang Acam. Kasihan melihat sahabatnya
itu, sampai tersedak-sedak mendengar jawapan spontan dari
mulut Qaid. Itulah, siapa suruh tanya yang bukan-bukan.
Kak Haniza pula sudah membeliakkan mata.
Tak sangka hebat juga si Qaid membuat lawak. Kesian anak
gadis orang tersedak-sedak. Hish, tak cover langsung.
“Hish... kau ni Qaid. Kesian budak Acam ni, sampai
tersedak dia. Nasib baik tak pengsan anak dara orang ni,”
tegur Kak Haniza.
“Lah, aku jawab soalan aje,” balas Qaid.
Kasihan juga dia melihat keadaan Acam,
tapi lebih tertarik melihat wajah kemerahmerahan
gadis di hadapannya itu. Sangat cantik! Pipi
yang memerah menampakkan lagi keserian wajah
kegadisan gadis itu. Selama ini, wajahnya masam dan
serius, tapi hari ini wajah itu bertukar riak. Memang
menarik perhatian untuk didekati dan dikenali lebih rapat.
Persoalan Qaid hanya sampai di situ sahaja. Malah,
usikan-usikan itu juga tidak pernah diulanginya lagi. Acam
seperti biasa, memang tidak akan pernah memberi peluang
untuk sesiapa pun hadir mengetuk pintu hatinya. Hatinya
hanya milik seorang, dan seseorang itu pun belum pasti
kehadirannya.
HARI minggu merupakan hari cuti bagi Acam. Selama
menjalani praktikal ini, dia jarang sangat dapat
berhubungan semula dengan rakan-rakan sekuliahnya.
Bukan sombong atau sudah melupakan mereka, tapi jarak
antara mereka yang jauh menjadi batasnya.
Bosan duduk termenung di tepi birai tingkap, dia
berbaring di atas katil sambil melayan e-novel di blog-blog
penulis alam maya. Satu per satu blog diredahnya. Kadangkadang
tersenyum dan tertawa membaca nukilan para
penulis. Kadang-kadang rasa hendak terguling-guling
pun ada. Lawak sungguh mereka ni. Setiap karektor yang
digarap, memang menjadi. Adakala ada kisah yang mampu
mencuit hati kecilnya sehingga mengalir juga air mata
yang sangat mahal itu. Isy, Acam menangis. Apa, ingat Acam
ni tak ada perasaan ke? Tak boleh nak menangis? Luar aje
nampak ganas, dalam hati ada taman tahu!
Tiga jam duduk melayan e-novel, akhirnya Acam
keluar ke ruang tamu. Seketika dia terdengar perbualan
ibunya. Rasanya dah lama ibu berbual di telefon. Tadi
semasa hendak ke bilik air dah ternampak ibunya bergayut
di telefon. Amboi, takkanlah ibu bercinta kut? Orang
bercinta aje yang suka bergayut lama-lama ni, bisik hati
Acam. Nak kata berbual dengan ayah, tak pula. Lain benar
cara berbual tu. Mesra semacam pun ada. Acam berdehamdeham
beberapa kali ketika melintasi ibunya.
“Hah, tu pun dia. Ingatkan tidur tadi. Sekejap ya,
mak cik panggilkan dia.” Tertangkap suara ibunya ketika
Acam membuka pintu peti ais.
“Acam, ni ada telefon,” laung ibu Acam menyusul.
“Err... siapa yang telefon orang petang-petang
ni. Orang tak ada kawanlah ibu,” jawab Acam, turut juga
melaung dari dapur. Pelik!
“Hish, anak dara ni. Terjerit-jerit, macam anak
jantan. Tu ha, panggilan misteri,” jawab ibu Acam yang
sudah pun berada di belakangnya. Bahunya ditepuk kuat.
Aduh, dahlah buat orang suspen, ditepuk pula
kuat-kuat. Ingat ini bantal ke apa bahu aku ni, bebel Acam
dalam diam. Cepat-cepat pintu peti ais ditutup lalu dia
berjalan menghampiri meja telefon. Siapa pula yang misteri
sangat ni.
“Helo... Assalamualaikum,” tutur Acam sopan.
“Woit, buat apa tu? Buat taik mata ke? Dah mandi
ke belum?” Bagai hendak tercabut gegendang telinga Acam
mendengar soalan yang bertubi-tubi di hujung talian. Eh...
suara tu macam kenal aje, getus Acam.
“Helo saudara, kut ya pun rindu sangat kat saya ni,
jawablah salam dulu,” bebel Acam tidak beri peluang.
Padan muka!
“Err... waalaikumussalam, Cik Acam. Saudari di
sana baru bangun tidur ke? Saudari sudah mandi?”
Ceh, tak boleh blah langsung perangai mamat
sengal ni. Hendak ketawa pun tidak, hendak marah
pun tidak. Acam jadi serba tidak kena dengan perangai
tidak habis-habis mamat di hujung talian tu. Ada sahaja
pusingnya.
“Apasal awak telefon saya ni? Takkan telefon
saya nak tanya saya dah mandi ke belum. Kalau belum
awak nak tolong mandikan ke?” Ops... Acam menekup
mulutnya sendiri. Alahai, apa pasal mulut ni lancang
sangat, boleh terkeluar pula soalan yang boleh menjerut
leher sendiri, getus Acam.
“Hah, kalau sudi katakanlah, orang kat sini
sudi sahaja nak tolong mandikan.”
Bukan main riang lagi bunyi suara mamat tu.
Menyumpah-nyumpah Acam di dalam hatinya. Bagaimana
boleh terlepas mulut ni!
“Err... awak dapat kat mana nombor telefon rumah
saya ni. Suka-suka aje nak ganggu orang.”
“Alah, hendak seribu daya. Kat buku tahunan PUO
kan ada, cari ajelah,” balas Dzil mudah.
“Acam, awak tak ada kat sini sunyilah. Tak
ada siapa pun nak kawan dengan saya,” sambung Dzil
lagi. Mahu mengayatlah apa lagi. Terkesima juga Acam
mendengarnya walaupun dia tahu Dzil hanya berseloroh.
“Huh, boleh percaya sangatlah dengan buaya darat
macam awak ni. Yang berderet-deret tu siapa? Yang minah
baju biru tu dah tak layan awak ke?” Sengaja Acam
mengungkit kisah silam.
“Alah, awak ni. Kan saya dah cakap, saya tak
ada apa-apalah dengan budak tu. Tolong jaga aje.” Sayu
suara Dzil kedengaran.
“Jagalah sangat.”
“Sampai bila awak nak layan saya macam ni?” Ada
nada resah dalam suara Dzil. Sebenarnya, dia memang
menanggung rasa rindu yang menggunung pada pemilik
suara di hujung talian itu. Dapat dengar suara pun jadilah.
“Sampai bila-bila. Sampai hati saya terbuka
untuk layan awak baik-baik,” balas Acam acuh tidak
acuh. Memanglah, keras hati perempuan seorang ni, desis
Dzil.
“Jom kita jumpa nak, rindulah kat awak,” ajak Dzil
berani.
Acam terpanar mendengar perkataan rindu yang
diluahkan Dzil. Berani sungguh mamat ni bermain
kata-kata sekarang ni. Dalam diam, dia juga mempunyai
perasaan yang sama tapi dia seboleh-bolehnya ingin
mengusir perasaan itu jauh-jauh. Takut untuk bermain
dengan perasaan kerana bimbang dia tidak mampu
menghadapi kelukaan andai perasaan itu tidak dapat
bertahan.
“Err... tak bolehlah. Saya sibuk. Okeylah awak, saya
nak mandi. Nanti bau harum semerbak pula sampai kat
sana,” sindir Acam sebelum mematikan talian.
Hati Acam dibelit rasa yang bercampur-baur dan di
hujung sana, Dzil pula berbunga-bunga hatinya. Seronok
dapat mendengar suara Acam. Garang pun garanglah. Yang
penting, hati gadis itu akan ditambat sedikit demi sedikit.
MALAM itu seperti biasa, selepas makan malam, Acam
sekeluarga akan duduk berkumpul di ruang tamu sambil
menonton televisyen. Puan Radziah yang rajin akan
melayan mereka dengan menyediakan minuman panas
dan kadang-kadang ada sahaja kek atau kuih muih yang
dihidang.
Ibu Acam itu memang pandai memasak. Semenjak
ada Internet di rumah, lagilah bertambah rajin Puan
Radziah. Pelbagai resepi yang disalin dan dicubanya. Yang
menjadi mangsa, tentulah Encik Daud, suami tercinta.
Kadang-kadang berkerut-kerut wajah Encik Daud merasa
masakan isterinya, namun tetap dipujinya. Bukan apa,
bimbang nanti merajuk pula ibu Acam tu. Sudahlah penat
dia mencuba, kalau tak dihargai terasa hati pula. Lagi sadis
kalau terkecil hati wanita itu, pasti ada yang tidur di atas
sofa malam nanti. Acam pun sudah faham sangat perangai
kedua-dua ibu bapanya.
“Siapa yang telefon Acam tadi?” soal ayah memecah
kesunyian.
Semua mata yang tadinya leka menonton televisyen
kini mula terarah ke wajah Acam. Yalah, bukan senang si
Acam hendak melayan orang lelaki yang menelefonnya. Itu
pun tak pernah ada.
“Siapa?” balas Acam semula buat-buat tidak ingat.
“Oh, budak Dzil tu ke. Baik sungguh budaknya,
suka saya berborak dengan dia tadi, abang,” sampuk Puan
Radziah yang menatang dulang berisi minuman.
Acam hanya menjeling ke arah ibu. Eii... tak boleh
simpan rahsia langsung. Sah-sahlah jadi gosip hangat dalam
rumah ini nanti.
“Budak mana si Dzil tu Acam?” tanya Encik Daud
lagi. Seronok juga dapat menyakat anak daranya tu. Bukan
apa, susah nak keluar daripada mulut budak Acam ni pasal
budak lelaki. Dia pun dah lebih kurang budak lelaki lakunya.
“Err…err…”
“Budak Batu Pahat ni juga katanya. Satu
kampus dengan Acam ni tapi kursus lain-lain,” cerita
ibu Acam yang terlebih seronok.
“Hish awak ni. Yang telefon tu kawan Acam
ke kawan awak? Awak pula lebih kenal daripada
si Acam tu?” Teguran Encik Daud kepada isterinya
disambut dengan tawa halus Acam. Nah, ambil sebiji kan
sudah kena dengan ahli politik tu.
Perbualan ibu dan ayahnya dibiarkan begitu
sahaja. Cepat-cepat Acam melarikan diri. Kalau lamalama
di situ, pasti mukanya akan jadi merah bagaikan
dipanggang. Ayah dan ibunya, kalau dapat peluang,
bukan sahaja soalan cepumas, cepuberlian, cepudelima
semua akan keluar. Baik cari jalan selamatkan diri.
Tidak tahu apa yang hendak dilakukan, Acam
melangok di tepi jendela sambil melayan lagu-lagu lama
yang ke udara di corong radio. Tiba-tiba hatinya terpaku
dengan lagu yang didengarnya.
Kalau cinta katakanlah
Tidak aku terus gelisah
Kalau diam mana kutahu
Aku takut ku kan berlalu pergi darimu
Kalau benci lepaskanlah
Tidak aku tidak marah
Kalau diam siapa yang tahu
Kalau begitu tak mungkin aku terus menunggu
Tiada guna diam saja
Berterus teranglah segala
Kini masa dah tiba
Cinta tak perlu pura-pura
Kalau cinta katakanlah
Ku tak mau terus gelisah
Kalau diam tak ku tahu
Mungkin aku pergi berlalu
Lepaskanlah kalau kau benci
Tidak sekali ku marah pada mu
Ku tak marah
Lepaskanlah ku tak marah
Lepaskanlah ku tak kisah
Cinta tak perlu berpura-pura
Kau pun tahu
Tak perlu pura-pura
Aku tak mahu berpura-pura
Engkau pun tahu aku tak marah…
Tersenyum Acam mendengar bait-bait lagu
nyanyian Kumpulan Arrow itu. Wah, suara yang merdu,
lirik yang sungguh menyentuh kalbu. Hatinya tertanyatanya,
adalah Dzil sanggup menunggunya? Cukup
sabarkah Dzil dalam menanti kata pastinya? Acam
serahkan urusan jodoh pada takdir yang tertulis. Andai
jejaka itu pemilik rusuk kiri yang telah ditentukan, Acam
akan akur dengan aturan-Nya.
Andai jejaka yang bernama Irfan Fadzil itu bakal
menjadi pemimpinnya kelak, dia akan tunduk dengan
ketetapan Ilahi. Namun, jauh di sudut hati Acam
mengharapkan biarlah jodohnya kelak seorang lelaki
yang benar-benar tulus mencintainya, bukan sekadar
mencintainya di dunia tetapi sehingga ke jannah.
No comments:
Post a Comment