DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 4

SUDAH masuk semester kedua rupanya. Pejam
celik pejam celik, cepat saja masa berlalu. Semua pelajar
senior tidak mendapat tempat lagi di hostel untuk semester
kedua ini. Jadi penyelesaiannya, kenalah cari rumah sewa di
luar kampus yang berdekatan. Acam pun termasuk dalam
senarai. Bersama beberapa orang rakan, Acam akhirnya
menyewa di sebuah rumah teres di Taman Cempaka.
Itupun jenuh juga mencari rumah yang boleh disewa.
Maklum sahajalah, bukan sedikit yang mencari. Memang di
Taman Cempaka tu banyak rumah yang disewakan kepada
pelajar, tetapi kalau boleh hendak mencari yang mampu
dengan bajet bulanan mereka.
Kali ini Ros tidak ikut serta tinggal bersama Acam
walaupun dia juga terpaksa tinggal di luar hostel. Ros telah
berbincang lebih awal dengan Acam, risau juga sahabatnya
itu berkecil hati. Ganas itu ganas juga, tapi hati kecil
saja. Mudah sangat retaknya. Ros menyewa bersama rakanrakan
sekuliah yang juga sekelas dengannya. Lebih mudah
bagi Ros untuk berulang-alik jika tinggal bersama rakan
sekuliah. Nak pula kursus Ros memerlukan dia melakukan
kerja luar yang kerap. Lagipun rumah Ros tidaklah jauh
sangat dari rumah Acam. Bagi Acam pula, dia tidak kisah
pun bercampur dengan budak-budak dari Kursus Elektronik
Awam dan Penyaman Udara. Yang penting bagi Acam, boleh
masuk satu kepala. Kalau perangai tidak boleh blah, susah
juga nanti.
Semenjak tinggal di luar ni, Acam mula mencari
hobi baru. Nak kata hobi pun boleh juga, tapi lebih kepada
keterpaksaanlah. Nak ke kampus agak jauh jarak dari
rumah sewanya, maka Acam mula menceburi bidang
berbasikal. Peduli apa orang hendak kata, yang penting
dia bukan minah rempit. Ada ke rempit dengan basikal?
Lagipun, berbasikal ini salah satu daripada senaman. Otototot
menjadi sihat dan pejal, malah berat badan pun boleh
maintain saja.
“Acam, oii... ada orang nak jumpa kaulah,” laung si
Yani dari luar.
Terkejut Acam daripada lena apabila namanya
dilaungkan. Minah ini tidak payah pakai speaker pun tak
apa. Suara mengalahkan halilintar. Boleh main jerit-jerit
saja dari depan sampai ke belakang bergema. Siapa pula
sibuk hendak jumpa dia, hendak ternak badan sekejap pun
susah. Ada saja kaki sibuk yang mahu kacau line.
Setahu Acam tidak pernah ada orang yang datang
untuk berjumpa dengannya. Kalau member satu kuliah,
mesti awal-awal dia orang bagi tahu. Lagipun kalau ada
kerja kursus saja baru dia orang tu nak tunjuk muka, kalau
tak ada, hampeh. Mahu tunjuk bayang pun tidak ada. Tapi
dia okey juga tidak ada orang datang, tiadalah orang hendak
ganggu masa rehatnya. Kalau hendak kata mak dan abah
kat kampung, mustahillah sangat. Tidak ada ribut, tidak ada
angin, hendak datang saja-saja memang buang tabiat.
Saudara-mara lagilah tidak ada walaupun ada saja saudara
sebelah ibu di negeri itu.
“Hmm... siapalah cari aku, malaslah aku nak
keluar,” jawab Acam di muka pintu bilik.
“Alah, kau pergi ajelah Acam. Ada orang nak jumpa
kau tu,” balas Yani. Yani ni budak kursus Awam. Memaksa
pun ada cara minah ni menyuruh Acam keluar. Itu mesti
malas hendak melayan.
“Cakaplah aku tak ada ke?”
“Alah, kau pergilah kejap. Bisinglah kat luar tu.”
“Isy... aku nak layan tidur pun tak senanglah, adaada
aje,” bebel Acam lalu menapak ke luar rumah perlahan.
Mulutnya masih membebel tapi entah apa pun tidak tahu
butirnya.
Longlai sahaja langkah Acam menuju ke pintu
besar. Wajah baru bangun tidurnya dibiarkan begitu
sahaja. Malas hendak berlawa-lawa. Tudung bawal yang
disarungkan di kepalanya tadi dibetulkan sedikit. Acam
menggosok-gosok matanya apabila melihat kelibat orang
yang ingin menemuinya itu. Lah, mimpi ke apa aku ni, getus
Acam. Matanya digosok lagi. Sebenarnya, pelupuk mata rasa
berat untuk diangkat.
“Hai awak, tengah buat apa? Buat taik mata eh?”
tegur mamat berbaju putih dan topi hitam itu sambil
tersengih-sengih di atas basikal. Tidak ada kerja asyik
memaut pagar di tengah panas ini. Roboh dawai kawat tu,
sah-sah aku suruh dia ganti, kutuk Acam sendiri.
“Eii... awak nak apa datang sini ni? Cari siapa? Suka
hati oranglah nak buat taik mata ke, taik telinga ke. Apasal
awak kisah? Ingat awak ni salah rumahlah. Kat sini tak ada
budak lelaki duduk, semua muslimah aje kat dalam ni,”
hambur Acam sambil bercekak pinggang. Garanglah sangat.
Siapa tidak kenal Acam, ganas!
“Alolo, marah. Janganlah marah. Tapi kalau awak
marahkan, lagi saya suka. Comellah muka awak.”
Suka benar jejaka itu melihat muka cemberut
Acam. Lagi suka dia dapat melihat wajah Acam baru bangun
tidur. Orang kata kalau hendak tengok wajah sebenar orang,
tengoklah wajah orang tu ketika baru bangun tidur. Hmm...
dalam kes Acam ni, serabut sikit tapi masih comel.
“Eiii.. bencilah. Janganlah main-main. Awak nak
apa ni? Nak kata awak ada hal dengan saya, tak ada pulak
saya tahu ada kena-mengena dengan awak. Awak cari siapa
ni?” bengis suara Acam. Malas betul gadis itu hendak
melayan perangai tiga suku lelaki di hadapannya.
“Nak cari Yani.” Erk... bantai ajelah.
“Aiyark... tadi bukan Yani ke, yang panggil orang
ni buat apa, lecehlah lu bro,” ucap Acam separuh menjerit.
Tidak pasal-pasal sudah mengganggu terapi mindanya.
Sudahlah kepala serabut dengan assignment yang
berlambak-lambak.
“Hehe... dah jumpa pun. Saja nak jumpa awak.”
Selamba Dzil menayangkan barisan giginya yang putih
teratur tu.
Acam sudah macam gunung berapi bakal
hendak meletus. Geram hatinya tidak tertahan. Lagi-lagi
teringat insiden-insiden lepas antara dia dengan lelaki yang
menempel di tepi pagar tu.
“Hah, dah jumpa tak reti-reti lagi nak blah. Baliklah,”
bentak Acam lalu meninggalkan Dzil yang masih lagi
terpacak di situ.
Terkekeh-kekeh Dzil melihat Acam yang menapak
masuk ke dalam rumah dengan wajah yang sudah dua kali
ganda mencukanya. Dalam hati, bukan main seronok dapat
berjumpa gadis idaman hati. Tidak kisahlah jiran-jiran di
sebelah yang nampak sangat sedang mengintai. Alahai mak
cik-mak cik, kita orang bagi mak cik semua tengok drama
free. Lagi best daripada drama Korea tahu.
Selepas insiden di pagar itu, hampir setiap
petang Dzil akan terpacak di hadapan pagar rumah Acam.
Alasan hendak berjumpa Yani tapi dalam hati sebenarnya
hendak berjumpa Acam. Acam pula macam biasalah, kalau
ternampak muka Dzil bergayut saja di pagar rumahnya,
pasti akan dihalau. Mamat muka tempel katanya. Sakit hati
Acam apabila melihat sengihan Dzil yang tidak reti-reti
hendak mengalah tu.
“Acam, kalau aku tanya kau, kau jangan marah
boleh,” kata Yani satu hari semasa mereka sedang berehat
di halaman rumah. Acam yang sedang membelek novel di
tangannya mengangkat muka memandang Yani.
“Err... kau jangan marah aku ya. Kau minat ke kat
Dzil tu? Hari-hari aku tengok dia asyik datang sini aje. Nak
kata cari aku tak juga. Kau orang bercinta eh?” Soalan cepu
emas dari mulut Yani hampir membuatkan Acam terloncat.
“Hish, selisih... mana ada. Mamat tu kaki
sibuklah... hari-hari nak menempel kat sini, kacau orang aje
tau kerjanya.”
Muncung mulut dia kalah muncung wall hanger.
Err, wall hanger ada muncung ke? Alah, penyangkut dia itu
kira muncunglah juga, kan. Hendak tergelak pun ada Yani
melihatnya. Tapi control perasaanlah, takut juga dengan
Acam.
“Kalau betul pun apa salahnya.” Yani cuba meneka.
“Eii... mintak ampun. Bukan dia menempel harihari
kat pagar tu nak jumpa kau ke?” soal Acam kembali.
“Hah... taklah. Mana ada! Nak buat apa jumpa
aku. Bila nampak aku dia suruh panggil kau. Alah
Acam, baik budak Dzil tu. Dalam kelas suka tolong orang,
lagipun hari-hari dia tanya aku pasal kau,” sambung
Yani tapi penuh berhati-hati dalam mengeluarkan kata.
Masak kalau disembur oleh budak Acam ini. Badan saja
perempuan, tapi perangai dan baran, budak lelaki
pun kalah.
“Hish, tak naklah. Aku tak nak fikir lagilah pasal
layan jiwa-jiwa ni. Kalau dia sanggup tunggu aku, dia
tunggulah. Tengok sejauh mana dia boleh sabar dengan
aku,” balas Acam masih cuba menyembunyikan rasa hati.
Dalam hati sudah terasa sesuatu tapi dipadamkan segera
rasa yang mula hendak berputik itu.
“Kau jangan, Acam. Dzil tu boleh tahan juga. Kat
kelas tu ramai juga yang minat gila dengan mamat tu. Nanti
kau melepas,” ucap Yani mula berani mengatur ayat.
“Aku tak kisahlah, Yani. Kalau dah jodoh aku
memang ditakdirkan dengan dia, adalah. Kalau bukan jodoh,
kejar macam mana pun tak mungkin dapat bersama. Aku
serah bulat-bulat pada jodoh.” Wah, Acam sendiri terpukau
dengan jawapan muslimahnya. Betul ke ini aku, bisik Acam
sendiri. Rasa macam mahu tampar-tampar saja pipi sendiri
tapi malu pula dengan Yani yang duduk bersamanya.
Kalau Acam boleh terpukau dengan jawapannya
sendiri, Yani apatah lagi. Tanpa disangka gadis yang
nampak ganas, nampak control maco di hadapannya ini
rupa-rupanya berjiwa lembut. Lain daripada perwatakan
sebenar. Yani mula memahami diri Acam sedikit demi sedikit.
Betullah kata Ros, Acam ini lain daripada yang lain. Ada
kelembutan dalam kekasaran, ada keindahan dalam
kesamaran.
“Eii... kau takkan menyesal?” ulang Yani lagi.
“Aku nak tengok jejaka mana yang sanggup
berkorban untuk aku, yang sanggup menempuh apa sahaja
dugaan untuk dapatkan sekeping hati aku ni.” Ceh, ayat-ayat
novel tersusun cantik dari bibir Acam! Dia sendiri pun geli
hati mendengarnya.
Yani tersenyum lalu menepuk bahu Acam. Dia rasa,
hari ini dia telah mula mengenali siapa rakan serumahnya
itu. Dulu pandangannya lain terhadap Acam, kini
penilaiannya itu jauh berubah. Mungkin mengenali Acam
secara luaran sahaja tidak cukup untuk menilai gadis itu.
Apabila tinggal serumah dan mengenalinya secara total,
barulah dia sedar, di sebalik kasar gadis bernama Acam
itu, sebenarnya ada kelembutan hati dan tingkah yang
amat dibanggakan.
SETIAP hari Acam akan mengayuh basikal merahnya
sambil mengambil angin segar perlahan-lahan
menyusuri laluan Masjid Sultan Azlan Shah menuju
ke kampus. Namun ketenangannya akan terhenti
apabila memasuki kawasan kampus. Apa tidaknya,
melewati sahaja kawasan kursus Kejuruteraan Awam,
hatinya akan segera berbuku. Hendak bernanah telinganya
mendengar siulan halus dari jauh. Namanya juga
akan dilaung-laungkan sesuka hati. Bila sampai di situ
sahaja, kayuhannya mengalahkan kayuhan Mariana
Mohammed, pelumba basikal Malaysia itu. Kalau ada
trek di situ, mahu dia dapat johan. Nampaknya kena
masukkan nama dalam senarai peserta Lumba Basikal
Politeknik Ungku Omar macam ini. Ada juga faedahnya
kayuh laju-laju. Kalau tidak dapat pingat, dapat makan
free pun okey juga. Menyampah betul dengan
perangai tidak cukup akal budak-budak Kejuruteraan
Awam itu.
Pelik juga Acam. Kalau hendak kata dia ini ayuayu
gadis melayu terakhir, okeylah juga untuk disiulsiulkan.
Muka yang garang semacam ini pun mahu
dikacau lagi. Melampaulah macam itu!
Petang itu, Acam pulang agak lewat dari
kampus. Tapi hari itu, hatinya sedikit tenang apabila
melalui kawasan kampus. Ungka-ungka yang suka hendak
berbunyi nampaknya sudah balik semuanya. Kayuhannya
diperlahankan, cuba menikmati keindahan kampus. Tibatiba
matanya tertangkap kelibat sepasang pelajar yang
sedang berjalan bersama. Matanya amat kenal dengan si
jejaka manakala gadis yang berbaju biru laut itu tidak
berapa jelas. Hatinya berdetik, rasa sesuatu yang tidak
pernah dirasakan.
Sengaja kayuhannya diperlahankan lagi. Pasangan
itu tampak begitu mesra, bertepuk tampar. Tiba-tiba ada rasa
sakit yang amat menjalar di segenap sudut hatinya. Pedih,
ngilu. Perasaan yang tidak pernah dia rasakan selama ini.
Dahi Acam berpeluh-peluh dan tidak tergambar perasaannya
ketika itu. Terasa saat yang berlalu begitu lambat.
Kayuhannya dipercepatkan namun masih terasa amat
perlahan. Apabila melewati pasangan itu, hatinya sudah
tidak keruan.
Sakit telinganya mendengar gelak manja si
gadis yang berjalan di sebelah si jejaka. Rasa pilu tiba-tiba
menampar hatinya, menampar jiwanya. Tidak pernah dia
merasa sebegitu sedih dalam hidupnya. Jiwanya terasa
kosong, terasa dikhianati dan saat itu Acam hanya ingin
berada jauh daripada semua yang dilihatnya.
Sampai sahaja di rumah, Acam mencampakkan
beg ke lantai. Hati yang sebal tidak terkata. Terus dia
melemparkan diri ke atas katil. Air mata pertama kalinya
menitis kerana seorang jejaka. Hairan. Selama ini dia tidak
pernah merasakan sesuatu untuk jejaka itu. Namun hari ini,
peristiwa yang terhidang di hadapan matanya membuatkan
dia rasa sakit yang amat. Adakah dia telah jatuh... Argh...
Acam menjerit kuat! Tak mungkin...

No comments:

Post a Comment