“KAU masih ingatkan mamat tu lagi ke?” Tibatiba
dia rasakan bahunya ditepuk kuat. Lenyap terus menungan
Nuha Qalisya sebentar tadi. Maryam mengambil tempat di
sisinya. Perbualan itu berlangsung selepas mereka baru selesai
menikmati hidangan tengah hari. Atas permintaan Maryam
malam semalam, awal pagi tadi dia ke pasar dan membeli ikan
siakap untuk dijadikan menu tengah hari mereka.
Permintaan Maryam supaya dia menyediakan masakan
ikan siakap tiga rasa tidaklah sesukar mana tetapi untuk
mencuri masa itu yang sukar sebenarnya. Jika diikutkan,
sejak minggu lalu Maryam menyatakan keinginannya untuk
menikmati hidangan siakap tiga rasa. Tetapi hanya hujung
minggu begini barulah dia berpeluang menunjukkan bakat
memasaknya. Kalau hari biasa, masing-masing sibuk dengan
tugas seharian.
“Kau ingat Zariff lagi ke?” Maryam mengulangi
pertanyaannya. Dia sendawa kekenyangan selepas berjaya
memujuk Nuha Qalisya menyediakan masakan untuknya tengah
hari tadi. Nuha Qalisya tidak menjawab sebalik tangannya
lincah meneliti gambar di dalam album. Satu persatu halaman
album itu dibeleknya.
“Kau tengok ni gambar aku dengan Zariff. Handsome
kan dia?” Maryam meneliti gambar yang dikatakan oleh Nuha
Qalisya.
“Mmm... Memang handsome. Plus kacak lagi. Tapi
buat apa kalau kacak saja jika tidak disertakan kejujuran dan
keikhlasan,” balas Maryam. Kepala Nuha Qalisya teranggukangguk.
Mengakui kebenaran kata-kata Maryam. Album yang
dilihat tadi ditutup lalu diletakkan ke dalam almari di sudut
biliknya.
“Kau belum jawab lagi pertanyaan aku tadi. Kau masih
rindukan mangkuk ayun yang bajet bagus dan perasan tu ke?”
soalnya. Nuha Qalisya mengeluh.
Sukar untuk dikatakan perasaannya kini. Masih adakah
lagi rasa rindu itu atau sudah hilang selepas mendapat tahu
kebenaran yang disembunyikan oleh lelaki itu selama ini?
“Emmm... Kau dengar tak?” ulang Maryam lagi apabila
dia melihat Nuha Qalisya seolah-olah berada di dalam dunianya
tersendiri.
“Mmm... Aku dengarlah. Belum pekak lagi. Yang kau
menjerit kat telinga aku ni dah kenapa?” marahnya. Bingit
telinganya sebentar tadi apabila suara Maryam sedikit kuat di
telinganya.
“Kalau kau dengar, kenapa kau tak jawab soalan aku?”
“Mmm... Aku tak tahu nak jawab apa. Aku diamlah.”
Nuha Qalisya bergurau.
“Okey… Okey... Kau nak tahu perasaan aku, kan?
Mmm... Aku dah tak ada perasaan sekarang. Aku cintakan Zariff
tapi dia kecewakan aku. Dia curang dengan aku. Kadangkala
aku rindu sangat dekat dia. Aku rindu saat-saat manis kami
dulu. Tetapi apabila teringat perbuatannya itu, aku jadi benci
sebencinya.” Jujur dia berterus terang.
Itulah yang dirasakan sekarang. Zariff Adam tetap ada
di sudut hatinya walaupun dia cuba untuk menidakkannya.
Lelaki itu yang pertama mengetuk pintu hatinya. Mengajar dia
erti cinta, rindu dan kebahagiaan tetapi nampaknya lelaki itu
juga yang memusnahkan impiannya.
“Aku cuba untuk melupakannya tetapi semakin
aku cuba untuk melupakannya, semakin kuat ingatan aku
kepadanya. Aku tahu dia milik Dania dan Dania milik Zariff
tetapi mengapa sampai sekarang aku masih sukar untuk
mengikis perasaan sayang aku terhadapnya?” Nuha Qalisya
membuka isi hatinya.
Biarlah Maryam tahu dia sebenarnya tidak setabah
mana. Di luaran saja dia nampak kuat. Hakikatnya, dalaman
dia amat rapuh dan tidak berdaya. Dia tidak kuat untuk terus
menempuh dugaan ini.
“Aku faham, Nuha... Aku harap jodoh kau dengan
Akif, bukan dengan Zariff. Cukuplah sekali kau menderita. Aku
berharap sebelum hujung tahun ni kau melangkah ke fasa baru.
Fasa pertunangan dan perkahwinan,” katanya. Kedua-dua belah
tangannya diangkat tanda berdoa.
“Aminnn...” Nuha Qalisya tolong mengaminkan doa
itu.
“Tapi kan… Aku rasa Akif itulah jodoh yang Allah
hantar untuk kau. Jodoh daripada Dia. Daripada Allah untuk
kau. Siapa tahu kan... Semua itu kuasa Allah. Buka pintu hati
kau tu, beri peluang kepada orang lain untuk menghuninya,”
nasihat Maryam.
Gila. Kenal tak sampai dua tiga hari sudah dikatakan
itu jodoh yang Allah hantarkan untuknya. Maryam ni kalau nak
legakan hatinya sekalipun, tak perlulah sampai berfikir di luar
kotak fikiran.
“Jauh sangat kau berangan-angan tu, kawan. Member
tu tak ada apa-apa, kau pula yang sibuk nak kenen-kenen kami
berdua,” perlinya.
Nuha Qalisya diam. Malas mahu berbalas pendapat
dengan temannya itu. Jodoh daripada Dia? Mmm... Maryam
memang rakan yang baik. Bukan dia saja, Afifa dan Edora juga
ialah rakan terbaik yang pernah dia ada.
Mereka tidak pernah lupa memberi semangat
kepadanya dalam saat-saat dia menghadapi kesulitan seperti
ini. Bertuahnya dia kerana dikelilingi teman-teman rapat yang
tidak pernah lokek dengan nasihat.
Maryam diam. Dia tak kesah dengan perlian temannya
itu. Dia hanya mahu semangat temannya itu kembali pulih.
Selepas perpisahan antara Nuha Qalisya dan Zariff Adam, dia
seperti tidak lagi mengenali diri Nuha Qalisya.
Temannya itu sudah banyak berubah. Pendiam. Kerap
termenung. Sesungguhnya dia rindukan keceriaan ketika
bersama Nuha Qalisya dulu.
“Aku mahu kau lupakan Zariff. Itu saja.”
“Aku faham, Mar… Insya-Allah, aku cuba untuk
melupakan semua yang terjadi. Kau doakan aku kuat dan tabah
menghadapi kesukaran ini. Aku akur jodoh aku bukan dengan
Zariff. Jadi, aku perlu kuat untuk berdepan dengan realiti ini.”
Maryam angguk. Dia sanggup untuk membantu Nuha
Qalisya sekiranya temannya itu memerlukan bantuannya.
“Aku sentiasa doakan untuk kau. Aku sentiasa ada
sekiranya kau perlukan bantuan aku. Bukan aku saja tetapi Ifa
dan Dora pun aku rasa sependapat dengan aku. Kami bila-bila
masa bersedia sekiranya kau perlukan kami.” Dia memeluk
bahu Nuha Qalisya. Wajah temannya itu dipandang. Masih ada
sendu di raut wajah gadis itu.
“Terima kasih, Mar…” Nuha Qalisya mula mengelap
tubir matanya. Entah bila empangan matanya pecah, dia sendiri
tidak pasti. Maryam juga dilihat mengesat tubir matanya.
“Kau menangis...” Nuha Qalisya sudah tergelak-gelak.
Dia mengesat air mata yang mengalir di pipi Maryam.
“Kaulah yang buat aku menangis.” Maryam turut
tergelak. Bahu Nuha Qalisya ditepuk lembut. Pantas juga jarijemarinya
menyapu air mata yang masih menitis dan akhirnya
kedengaran ilai tawa daripada mereka berdua memenuhi ruang
bilik tidur Nuha Qalisya.
No comments:
Post a Comment