SEPATUTNYA Acam rasa seronok dapat
berkumpul semula bersama keluarganya. Makan minum
berhidang bersama-sama. Mendengar seloroh dan gurau
adik-adik yang memang suka menyakatnya setiap kali
bertemu. Tapi, hati Acam masih kosong. Dia sendiri
tidak mengerti mengapa perasaan itu harus hadir dalam
hatinya. Puas dibelek, diredah, ditilik, namun tidak juga
terjumpa jawapannya.
Cuti semesternya masih berbaki tiga hari. Tidak
tahu apa yang hendak dilakukan melainkan makan,
minum, tidur dan melayan televisyen. Malamnya pula
lebih kerap dihabiskan dengan membaca novel-novel
yang dikhatam hampir dua tiga kali. Laman-laman
blog penulis juga sudah kehabisan entri cerita yang
baharu.
Acam bukan tidak mempunyai sahabat di
kampungnya, tetapi kebanyakan sahabat Acam yang rapat
telah meninggalkan kampung melanjutkan pelajaran sama
sepertinya. Kadang-kadang ketika cuti semester, secara
kebetulan dapatlah mereka bertemu. Kadang-kadang keluar
beramai-ramai ke pekan Batu Pahat, berboling beramairamai.
Rindunya Acam hendak main boling tapi mana
ada geng. Adik-adik jangan haraplah. Saat-saat begitu dia
menjadi rindu pada teman-teman di PUO.
Acam mengeluarkan komputer ribanya lalu
menekan butang on. Sebaik loading selesai segera dia
membuka diari mayanya. Kebosanannya diluahkan di
situ. Kerinduannya yang tidak bertepi juga terluah di
alam maya itu. Setelah puas meluah perasaan, Acam
menerawang ke laman sesawang mencari maklumat
tentang novel-novel terbaru dan membaca blog
rakan-rakan.
Selalunya dia akan singgah ke laman sesawang
penerbit-penerbit, membaca sinopsis novel-novel yang
dijual dan dari situlah dia akan memilih untuk
membeli novel yang diminatinya. Malah Youtube pun
menjadi kegilaannya kini apatah lagi sejak kemunculan
Ustaz Azhar Idrus yang banyak video ceramahnya di situ.
Ada juga faedah, bermesra dengan alam maya sambil
mencari ilmu di dada. Tanpa sedar, dia terlena di sisi
komputer riba yang masih bernyala.
Penat menternak mata, Acam turun ke tingkat
bawah mencari sesuatu yang boleh dilakukan. Kebetulan
hari itu, ibu Acam, Puan Radziah bertugas syif petang.
Puan Radziah bertugas sebagai jururawat senior di
Hospital Batu Pahat. Kalau ada ibu boleh juga duduk
berborak dengan ibu. Adik-adik pun sudah lesap entah
ke mana. Petang-petang ini memang tidak lekat di
rumahlah, bermain dengan rakan-rakan.
Seronoknya jadi kanak-kanak, tidak perlu fikir
macam-macam. Ayah Acam sudah tentunya sibuk di
dewan. Encik Daud seorang yang aktif dalam politik,
hal-hal kebajikan penduduk kampung memang menjadi
keutamaanya. Kalau tiba musim pilihanraya, memang
sukarlah hendak bertemu muka dengan Encik Daud di
rumah.
Kakak dan abang Acam masing-masing sudah
mendirikan rumah tangga dan jarang sangat balik ke
rumah. Ayah dan ibu sangat memahami keadaan mereka.
Yalah, sudah berkeluarga tentulah perlu bekerja lebih kuat
untuk mengukuhkan ekonomi keluarga apatah lagi anakanak
juga semakin membesar. Namun mereka tetap akan
pulang sesekali menjenguk ibu dan ayah. Ketika itu
memang akan bergegarlah rumah dibuatnya dek keriuhan
anak-anak buah Acam yang tidak kurang ramainya itu.
Jam di dinding dijeling sekilas. Hampir jam
6.00 petang dan Acam tersandar kepenatan di atas
sofa. Mana tidaknya, seluruh rumah telah siap disapu dan
dimop. Tingkap rumah juga telah berkilat
dibersihkan. Sarung kusyen semua telah ditukar baru,
tinggal bahagian dapur sahaja lagi belum berusik.
Acam memerhatikan setiap sudut dengan perasaan
puas hati. Bukan selalu pun dapat mengemas rumah
sebegitu. Kalau balik semasa cuti semester, selalunya kalau
tidak makan, tidur mesti keluar merayap ke pekan Batu
Pahat mengikut ayahnya yang memang selalu ke sana.
Setelah melepaskan lelah seketika, Acam bergerak
ke dapur. Ikan yang direndam untuk dinyahbeku
dikeluarkan dari besen lalu disiang. Terkial-kial juga
tangannya menyiang ikan selar yang agak besar itu.
Setelah dibersihkan, garam dan kunyit dilumur. Ikan
yang telah dipotong di bahagian perut disumbat dengan
campuran cili kering dan bawang yang telah dikisar.
Kemudian ikan-ikan tersebut dibalut dengan daun pisang
yang telah diambil di belakang rumah.
Nasiblah pokok pisang ayah, sudah tobek
daunnya. Sedap juga malam itu makan nasi berlaukkan
ikan selar bakar dicicah dengan air asam. Tambah pula
tadi sayur pucuk paku merah masak lemak masih berbaki.
Membiarkan ikan-ikannya di atas pemanggang
dengan api yang kecil, Acam berlalu ke bilik untuk
membersihkan diri. Solat asar masih belum dilakukan.
Kalau ada Puan Radziah sudah tentu bernanah telinga
dileteri akibat melewat-lewatkan solat. Bukan setakat
itu sahaja, bebelan ibu juga akan melarat kepada bacaan
dan rukun solat. Yalah, kalau dah lewat mendirikan
solat, tentu pula akan tergopoh-gapah dan hendak cepat
sahaja. Takut nanti rukun solat tidak lengkap dan
bacaan pun tidak betul. Sudah lain cerita.
Ibu selalu berpesan, diriwayatkan oleh Ahmad,
Thabrani dan Ibn Khuzaimah bahawa Rasulullah pernah
bersabda; “Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang
mencuri dari solat mereka.” Maka sahabat pun
bertanya: “Wahai Rasulullah bagaimana mereka mencuri
dari solat mereka?” Maka Rasulullah menjawab: “Mereka
yang tidak sempurna ruku` dan sujud mereka (iaitu
mengerjakan solat mereka dengan pantas).”
No comments:
Post a Comment