DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 14



BALKISH masih duduk sambil menongkat dagu. Masuk malam semalam sahaja, sudah tiga malam berturut-turut dia mengalami mimpi yang sama. Mimpi bernikah dengan Harriz Tan Sri Hamdan. Naik berpeluh dahinya disebabkan mimpi ngeri itu. Yang peliknya setiap kali habis bersolat istikharah di tengah malam, dia pasti didatangi mimpi tersebut. Takkanlah ini membawa makna Harriz merupakan jodoh yang telah Allah tetapkan untuknya.
Oh tidak! Tak mungkin Harriz itu jodoh aku. Aku tak nak jadi isteri dia. Tidak! Tidak! Tidak! Berkali-kali Balkish menggelengkan kepala. Menghalau bayangan dia dan Harriz yang sedang bersanding di atas pelamin.
Balkish bukannya apa. Dia memang kurang selesa dengan Harriz. Sudahlah Harriz tu kaki perempuan. Dia tak berani nak ambil risiko untuk memberi peluang kepada Harriz untuk mendekatinya. Dia takut hatinya akan jatuh sayang dan lelaki itu pula akan tinggalkan dia suatu hari nanti setelah mendapat apa yang diingininya. Pengalaman lalu mengajar dia untuk lebih berhati-hati tentang cinta. Dia tak boleh membiarkan hatinya terluka lagi. Namun ini bukanlah bermakna dia langsung tak akan membuka pintu hatinya kepada mana-mana lelaki. Cuma biarlah lelaki itu yang betul-betul setia dan tak akan meninggalkan dia suatu hari nanti.
Impiannya, biarlah dia mendapat teman hidup seperti Imam Muda Asyraf. Yang boleh membimbingnya. Mengimamkan dia waktu solat berjemaah. Beruntung wanita yang bernama Nurhusna Yusof kerana mendapat seorang suami seperti itu.
Harriz? Entahlah… Balkish tak berani nak bagi peluang kepada Harriz. Selama ni pun bila Harriz menegurnya, tak pernah dia dengar lelaki itu memberi salam. Asyik ter’hai-hai’ je. Macam tak tahu nak bagi salam. Bukanlah Balkish kata Harriz tak ada pengetahuan agama, cuma… entahlah, dia tak begitu yakin dengan Harriz.
Itu satu. Kedua pula Harriz itukan playboy nombor satu di KL ni. Aweks keliling pinggang. Kalau dia beri juga peluang kepada Harriz, katakanlah dia TERJATUH cinta pada lelaki itu dan lelaki itu tinggalkan dia kemudian hari, macam mana? Kan hidup dia juga yang haru.
Tapi… masalahnya sekarang lelaki itulah yang hadir dalam mimpinya setiap kali dia meminta petunjuk Allah. Nak kata itu cuma mainan tidurnya sahaja, tak logik juga. Takkan mainan tidur sampai tiga malam berturut-turut. Dah tu mimpi yang sama pula setiap kali.
Arghhh… Balkish menggaru kepala. Lagaknya menggaru bagaikan atas kepala tu ada berkilo-kilo kelemumur yang sudah sebulan tak berbasuh. Tak pun ada beribu-ribu kutu yang sedang membiak. Bukan main laju lagi tangannya menggaru kepala yang langsung tak terasa gatal. Beginilah Balkish kalau fikiran tengah serabut. Suka garu-garu kepala. Kekadang tu dia akan patah-patahkan jari-jemarinya. Entahlah… mungkin dengan cara itu sahaja dia dapat menenangkan jiwa yang kacau bilau bila kepala digaru selaju-lajunya. Sekurang-kurangnya dapat juga meringankan beban yang berat dalam kepala otaknya ketika ini.
Aleya dan Ella saling berpandangan. Hairan binti pelik dengan perilaku Balkish itu. Mata sahaja tertumpuh pada drama korea yang sedang ditayangkan di saluran NTV7, sedangkan fikiran dan jiwa sahabat itu sudah hilang entah ke mana. Daripada cara Balkish menggaru kepalanya itu, nampaknya macam berat saja masalah yang dihadapi. Inilah masa yang sesuai untuk pakar jiwa seperti Aleya dan Ella menampilkan diri menawar khidmat bantuan kecemasan.
“Apa kena dengan kau ni, Kish? Macam orang ada masalah negara aje,” soal Aleya memulakan sesi khidmat bantuan kecemasan yang akan diberikan sebentar sahaja lagi.
“Entah! Dah serupa orang berkutu menggaru macam tu,” balas Ella pula. Keropok Double Decker perisa udang disumbat ke dalam mulut. Waktu santai macam ini keropok udang Double Decker wajib menjadi hidangan sampingan.
Balkish menghela nafas. Dia memusingkan badan mengadap Aleya dan Ella. Wajahnya kelihatan sugul. Namun dalam sugul-sugul itu pun matanya sempat juga melirik ke arah keropok udang Double Decker yang Ella makan. Amboi… amboi… Ella ni kan. Memang tau! Suka sangat rampas keropok udang Double Decker aku. Bukan main sedap lagi dia mengunyah keropok tu. Macam buat hak sendiri aje. Hisy… nasib baik aku ada masalah besar. Kalau tak… dah memang aku sound awal-awal minah tingtong ni. Sempat Balkish mengomel dalam hati.
“Aku memang ada masalah negara sekarang ni. Aku tak tau apa nak buat. Korangkorang tolonglah aku. Aku betul-betul buntu ni. Dalam dilema sangat-sangat!” luah Balkish dengan mimik muka minta simpati.
Berkerut-kerut dahi Aleya dan Ella. Mereka saling berpandangan.
Korang janganlah buat muka pelik macam nenek kebayan tu. Aku betul-betul dalam dilema ni. Korang tolonglah aku…” rayu Balkish lagi. Suaranya sudah macam orang nak menangis aje.
Iye la… iye la… kami akan tolong kalau termampu. Tapi sebelum tu kau ceritalah kat kitaorang apa halnya sampai kau buat muka begini?” ujar Aleya selaku ketua kumpulan penyelesai masalah. Heheheee…
Balkish menghela nafas sekali lagi. Dia perlu menceritakan semuanya kepada Aleya dan Ella malam ini juga. Tidak lupa dia juga perlu menceritakan pasal mimpinya selama tiga malam berturut-turut itu kepada sahabat-sahabatnya itu. Dia mahukan pendapat Aleya dan Ella. Lagipun, selama ini memang tiada sebarang rahsia antara mereka bertiga. Suka duka dikongsi bersama. Di sini, Aleya dengan Ella la keluarga yang dia ada. Apa salahnya jika berkongsi masalah. Dapat juga dia melegakan kekusutan yang sedang melanda.
Tekun Aleya dan Ella mendengar cerita Balkish. Drama Korea yang sememangnya menjadi kegilaan mereka bertiga sudah tidak dihiraukan lagi. Cerita Balkish lagi menarik hati daripada drama Korea berkisar komedi romantik itu. Sesekali ada jugalah Aleya dan Ella menyampuk cerita Balkish. Tapi takdelah banyak sangat. Dalam 20% aje macam tu. Lagi 80% memang Balkish seorang aje yang bercakap.
“Itu yang buat aku tak senang duduk tu,” ujar Balkish bila ceritanya sudah habis diluahkan. Barulah lapang sikit rasa dalam dada ni bila dah meluahkan apa yang dipendam.
Korang tolonglah aku. Aku bingung sekarang ni. Tak tahu nak buat apa,” sambung Balkish lagi. Kepalanya digaru-garu. Ini kalau ada kelemumur memang dah penuh bahu baju tidur Balkish dek kelemumur yang memutih.
“Tak tahu kenapa pulak? Kau dah dapat jawapanlah, Kish. Takkan itu pun kau tak sedar jugak? Dah terang-terang lepas kau bersolat istikharah yang muncul dalam mimpi kau Harriz. Itu maknanya Harriz la jodoh kau,” balas Ella. Aduh… Kish… kenapalah kau ni bodoh sangat? Takkan tak dapat-dapat jawapan lagi. Dah terang lagi bersuluh, itu pun tak boleh nak fikir. Buat apa nak peningkan kepala?
Balkish mengeluh. Bukannya dia tak nampak. Cuma dia tak berapa nak boleh terima dengan apa yang dia mimpikan selama tiga malam ini. Takkan dengan Harriz???
“Kish… apa yang Allah beri dalam mimpi kau tulah jawapan yang kau cari. Kau pun tahukan makna solat istikharah? Allah dah bagi petunjuk tu,” ujar Aleya pula. Lembut sahaja nadanya. Dah persis jelmaan Mak Aminah pula Aleya bila beraksi sebegitu.
“Tapi…”
“Kish… bagilah Harriz tu peluang. Aku dengan Ella tau kau tak sukakan Harriz sebab dia tu playboy nombor satu kat KL ni. Tapi tak salahkan kalau kau bagi dia peluang untuk korang saling mengenali hati budi masing-masing. Mana tahu dia betul-betul serius sukakan kau. Lagipun Kish, tak semestinya dia yang suka bertukar pasangan itu jahat. Tak semestinya orang yang nampak alim dan setia itu baik. Kau kena buka sikit pintu hati kau untuk mengenali Harriz. Jangan nak fikir yang negatif aje pada dia,” ujar Aleya lagi.
“Tak semua lelaki tu sama Kish. Macam Eidham. Dia nampak baik, penyayang dan setia. Tapi tengok apa yang dia buat dekat kau. Dia lupakan kau ketika dia berada jauh dari kau. Lepas tu… apa dia lakukan sekarang? Dia nak pujuk kau kembali ke pangkuan dia sedangkan dia dah ada Kak Risya. Sedangkan pada zahirnya Eidham tu nampak macam lelaki budiman je kan. So… macam orang putih kata, Don't judge a book by it’s cover… it means not to judge people or things by what you look like from the outside, dear,” sambung Aleya panjang lebar. Siap speking London lagi.
Melopong mulut Ella mendengar kata-kata Aleya yang siap speking London itu. Tak berkedip matanya. Wow… hebat jugak budak chubby ni bagi nasihat. Boleh jadi pakar motivasi si Aleya ni.
Balkish menghela nafas. Betul juga apa yang Aleya katakan itu. Eidham! Lelaki itu nampak sahaja pada luarannya seorang lelaki yang penyayang dan budiman. Namun dalam diam lelaki itu juga hampir sama dengan sesetengah lelaki yang suka mempermainkan cinta.
“Ada sebab kenapa Allah tentukan Harriz untuk kau, Kish. Mungkin hanya kau seorang saja yang mampu membimbing Harriz untuk menjadi pencinta terbaik. Tak semestinya dia akan terus memegang title Mr. Alligator seperti yang selalu kau katakan tu. Buka sikit mata dan hati kau. Jangan sebab Eidham, kau anggap semua lelaki tu sama,” tutur Aleya lagi.
Aleya ni sesekali bercakap memang boleh tahan juga nasihatnya. Boleh masuk hingga ke tulang sum-sum.
Ella yang duduk di sebelah Balkish itu juga sudah kagum dengan kata-kata Aleya. Tak disangkanya Aleya boleh jadi secerdik ini bila beri nasihat. Ingatkan Aleya ni gila-gila aje. Rupanya Aleya juga seorang yang bijak. So… Don't judge a book by it’s cover! Heheheee…

***************************************************************************

AKU memang pencinta wanita… namun ku bukan buaya… yang setia pada seribu gadis… ku hanya menyintai dia… aku memang pencinta wanita… aku memang pencinta wanita yang lembut seperti dia… ini saat ku akhiri semua… pencarian dalam hidup… cintaku ternyata aku mau hanya dia”
Bukan main gembira lagi Harriz mengalunkan lagu popular Irwan Shah itu. Siap mengoyang-goyangkan badannya lagi. Gembira tahap blue hyppo dia sebaik sahaja menerima panggilan telefon sebentar tadi. Umpama mimpi dalam mimpi bila gadis pujaan hatinya itu tiba-tiba aje menelefon untuk mengajak dia berjumpa esok.
Aduh… cepatlah siang. Tak sabar rasanya hendak berjumpa dengan Balkish. Melepaskan rindu dalam hati. Heheheee… Harriz sudah tersengih miang.
Punggung dilabuhkan pada kerusi rotan yang mengadap kolam renang. Kepala diletakkan atas tangan yang sudah disilangkan pada bahu kerusi. Kaki pula disilang sambil digoyang-goyang dengan gembiranya. Sejak dia dah tak mengular malam-malam begini, dia memang suka habiskan masa duduk di kerusi rotan itu sambil merenung kolam renang yang terbentang luas. Dapat mendongak ke langit melihat bintang-bintang yang cantik menghiasi malam.
Hai… kenapalah dulu dia tak perasan yang duduk mengadap langit malam ni lagi bagus dari melayan muzik-muzik dan kerlipan lampu-lampu di kelab malam tu? Kalau tahu macam ini punya seronok duduk lepak dekat rumah, tentu dia tak akan keluar malam. Bertambah seronok bila duduk sambil ingatan diarahkan kepada Balkish si gadis idaman. Heheheee…
Kalau dah bosan sangat, dia akan berenang untuk menyegarkan diri. Berenang waktu malam lagi bagus daripada waktu siang. Takdelah rasa panas. Kulit pun tak akan menjadi gelap.
Happy nampak. Siap nyanyi-nyanyi lagi. Ini mesti ada berita gembira,” tegur Hanni yang baru sampai. Abangnya itu, sejak diserang penyakit angau ini memang lain benar tingkah lakunya. Kejap senyum sorang diri, kejap lagi duduk termenung dan kejap lagi menyanyi-nyanyi macam nak ikut pertandingan AF. Aduh… mujur AF sudah tamat. Jika tidak, sah Abang Harriz akan menjadi salah seorang finalis AF yang digilai ramai. Silap-silap boleh dapat jadi johan walaupun suara Abang Harriz menyanyi takdelah sesedap mana langsung. Harap muka aje yang bagi kredit lebih. Macam Mawi dululah. Ikutkan betul, suara Amylia lagi sedap dari Mawi. Tapi sebab Mawi ada aura yang tersendiri, terus jadi juara AF musim ketiga. Malah Hanni sendiri tak terkecuali ada mengundi Mawi waktu itu.
Hanni melabuhkan punggung di atas kerusi sebelah Harriz. Wajah abangnya yang kelihatan begitu berseri-seri ditatap. Sejak Abang Harriz membuat pengakuan yang dia sudah ada teman wanita dekat mama, hubungan Abang Harriz dengan mama kelihatan agak dingin. Mama layan Abang Harriz acuh tak acuh sahaja. Bukan mama aje yang sedingin salju, anak kesayangan mama Kak Hanna juga macam tu. Muncung aje mulut Kak Hanna setiap kali bertembung dengan Abang Harriz. Biasalah Kak Hanna… kan ke Syarifah Ezora tu geng Kak Hanna sejak dari sekolah rendah lagi. Memanglah Kak Hanna ikut sakit hati bila Abang Harriz tak sudi nak jadikan Kak Hanna tu sebagai isteri.
Tapi Hanni… dia memang seronok bila Abang Harriznya tak jadi nak kahwin dengan Syarifah Ezora. Dia pun ikut meluat dengan perangai gediks Syarifah Ezora itu. Tak berkenan langsung dia nak berkakak iparkan Syarifah Ezora yang terlebih gediknya. Kak Hanis? Macam Hanni jugalah. Ikut sama menyebelahi pilihan hati Harriz. Papa pula, nampak aje tak sebelahkan mana-mana pihak. Namun Hanni yakin papanya itu pasti menyebelahi Abang Harriz. Daripada cara papa tu Hanni sudah dapat melihat, papa pun kurang berkenan dengan Syarifah Ezora biarpun Syarifah Ezora tu anak kawan baik papa.
Harriz mengurut dada. Kursss semangat! Terbang sebentar semangatnya dek teguran Hanni yang mengejut itu. budak kecik ni memang suka sangat bagi dia terkena penyakit jantung. Macam tak boleh nak bagi salam. Tiba-tiba aje tegur macam tu.
“Hanni ni tak boleh nak bagi hint-hint sikit ke sebelum tegur abang? Main sergah macam tu aje. Mujur abang tak gol tau,” rungut Harriz. Seingatnya Hanni pergi rumah Nirmala untuk buat study group. Ni tiba-tiba pula tercegat sebelah dia sambil tayang senyuman yang paling kiut-miut tu.
“Bukan Hanni pergi rumah Nirmala ke buat study group?” soal Harriz.
“Hmmm… orang baru balik dari rumah Mala la ni. Nampak Abang Riz dok melangut dekat sini, jadi Hanni pun datanglah nak join sekali,” beritahu Hanni.
“Hah… apa yang Abang Riz happy sangat ni? Bukan main lagi Hanni dengar Abang Riz menyanyi. Kalah Irwan Shah.”
Harriz sudah tayang senyuman lebar.
“Adalah. Mana boleh cakap,” kerek Harriz menjawab.
Hanni mencebik. Huk ekeleh… kereklah Abang Riz ni!
Iye la tu. Tak payah nak bagitau pun Hanni tau kenapa Abang Riz happy bagai tak ingat dunia,” perli Hanni.
Harriz tersenyum lagi. Keningnya diangkat-angkat nakal. Cuba mendera hati Hanni yang suka sangat menyibuk urusan orang tua itu.
“Eleh… nak sembunyi-sembunyi konon. Kalau ada masalah, Hanni juga yang Abang Riz cari,” Hanni sudah menarik muncung. Sakit pula hatinya bila Harriz mempermainkan dia seperti itu. Pantas dia bangun dari duduknya. Masuk dalam layan cerita menarik dalam tv lagi best dari layan Abang Harriz yang kerek itu.
“Hanni… Hanni. Alaaa… janganlah macam ni. Sikit-sikit nak merajuk. Abang Riz main-main ajelah,” panggil Harriz bila melihat Hanni sudah mahu meninggalkan dirinya.
“Okey… okey… Abang Riz bagitau. Hanni duk la sini dengar cerita Abang Riz ni,” ujar Harriz.
Hanni mencebik. Tengok tu… kan dah kata. Abang Harriz ni mesti nak cerita pada dia juga. Pantas Hanni melabuhkan semula punggungnya di atas kerusi sebelah Harriz. Wajah Harriz yang terlebih ceria itu dipandang.
“Hah… cakaplah. Kenapa Abang Riz happy sangat ni?” tanya Hanni tak sabar nak tahu.
Harriz tersenyum. Kemudian dia pun mulalah menceritakan apa yang buat dia gembira bukan main malam ini. Rasa tak sabar nak tunggu hari esok.
Puan Sri Hanum mengerling kelibat Harriz yang tersenyum gembira selepas menjawab panggilan telefon daripada seseorang. Bukan main lebar lagi senyuman anak bujangnya itu. Dah mengalahkan senyuman Joker musuh ketat Batman. Beberapa hari ini muka anak itu kelihatan muram aje, tetiba pula lepas menerima panggilan telefon sebentar tadi wajah itu berubah ceria. Siap bersiul-siul lagi.
Sejak Harriz membuat pengakuan dia sudah ada teman wanita, Puan Sri Hanum sudah malas hendak melayan Harriz lagi. Bercakap pun hanya hal-hal penting sahaja. Jika nak bersembang kosong, jangan harap. Dia memang tak sudi. Hatinya masih lagi sakit dengan pengakuan Harriz itu. Beria-ia dia mahu menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora, anak itu pula menolak. Itu yang buat dia bengang. Entah apalah yang istimewa sangat dengan teman wanita Harriz itu sampaikan Harriz tergamak menolak Syarifah Ezora.
Namun dalam diam dia sebenarnya masih lagi berhajat mahu menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora. Cuma buat masa sekarang hatinya masih lagi diulit rasa geram. Tunggu keadaan tenang dulu, barulah dia menjalankan semula rancangannya. Dia nekad mahu menjadikan Syarifah Ezora sebagai menantu. Hanya Syarifah Ezora yang layak untuk Harriz. Tak mungkin ada perempuan lain yang lagi layak daripada anak sahabat baiknya itu.
“Itu mesti baru lepas bercakap dengan perempuan tu. Pasal tu gembira bukan main lagi malam ni,” sindir Hanna yang turut mengerling melihat gelak tawa Harriz dan Hanni di luar sana. Bukan main rancak lagi abang dan adiknya itu bersembang. Siap bergelak ketawa lagi.
Puan Sri Hanum mengetap bibir. Geramnya bertandang lagi.
“Mama kena bertindak cepat, ma. Jangan sampai Abang Riz kahwin dengan perempuan yang kita tak tahu asal usulnya. Mama bukan tak tahu perangai teman-teman wanita Abang Riz tu. Semua gila harta. Biarpun bertudung, tapi tak semestinya hati pun baik. Ramai orang bertudung sekarang ni jauh lagi jahat dari yang tak bertudung,” Hanna sudah mula menghasut. Dia memang tak berkenan dengan perempuan bernama Balkish itu. Biarpun dia tak kenal Balkish dengan lebih dekat, namun entah kenapa dia rasa tak sukakan Balkish. Macam ada sesuatu yang tak kena sahaja. Lebih-lebih lagi Zack pernah memberitahunya yang Balkish tu pisau cukur. Dari mana Zack kenal Balkish? Zack kata Balkish tu teman sekelasnya ketika menuntut di sekolah menengah dulu. Pasal itu Zack kenal Balkish. Cuma buat masa sekarang Hanna belum lagi mahu bagitau mama perilaku Balkish yang sebenar seperti yang diceritakan oleh buah hatinya, Zack.
“Hanna ada rancangan ke?” tanya Puan Sri Hanum kepada Hanna. Hanna menggeleng. Dia belum punya rancangan yang bagus buat masa ini.
“Ma… mama kan boleh aje paksa Abang Riz supaya kahwin dengan Ezora. Buat apa nak mintak persetujuan Abang Riz lagi. Abang Riz tak akan dapat buat apa-apa kalau mama paksa dia bersungguh-sungguh. Hanna yakin Abang Riz pasti akan tunduk jugak dengan arahan mama,” ujar Hanna.
“Tapi tak guna juga Abang Riz kahwin dengan Kak Ezora kalau perkahwinan diorang nanti tak bahagia. Mama nak ke lihat rumah tangga Abang Riz dengan Kak Ezora berantakan. Lepas tu cerai-berai. Lagi malu kan kalau kahwin sebulan dua lepas tu bercerai?” sampuk Hanni yang baru muncul di ruang tamu.
Segera Hanna dan mama berpaling. Mencerlung mata mereka memandang budak kecik yang menyampuk itu. Tak padan dengan usia, Hanni begitu petah berbicara.
“Hanni tau apa? Jangan menyampuk orang tua bercakap boleh tak? Hanni tu baru enam belas tahun tau,” bentak Hanna. Kurang senang dengan Hanni yang suka sangat membangkang kata-katanya. Mentang-mentang Hanni ni geng dengan Abang Harriz. Selalu sangat nak menangkan abang kesayangannya itu!
Hanni mengerling tajam ke arah Hanna. Kakaknya yang seorang itu memang tak pernah nak sebulu dengannya.
“Biarpun Hanni ni baru enam belas tahun, tapi Hanni tak nak tengok rumah tangga abang Hanni tak bahagia. Kak Hanna ni, kenapa? Suka sangat masuk campur urusan peribadi Abang Riz. Apa salahnya kalau Abang Riz berkahwin dengan perempuan yang dia suka. Apa kena mengena dengan Kak Hanna pulak? Bukannya Kak Hanna yang nak kahwin!”
“Kau jaga sikit mulut kau tu Hanni. Aku ni kakak kau. Aku tak nak mama dengan papa malu buat kali yang kedua pergi meminang orang yang tak cintakan Abang Riz. Lepas tu pinangan mentah-mentah kena tolak. Aku tak nak jadi macam kes Dhia dulu,” tekan Hanna geram. Kalau mama tak ada di situ, mahu dicili-cilinya mulut celupar Hanni. Biar tahu hormat orang yang lebih tua daripadanya.
“Kalau Kak Hanna mahu orang hormatkan akak, Kak Hanna tu kena belajar orang-orang sekeliling Kak Hanna dulu. Jangan nak mendongak langit sangat. Lagipun, Kak Hanna tak boleh nak samakan Kak Balkish dengan Kak Dhia. Itu tak adil,” balas Hanni. Semakin geram pula dia dengan perangai kakaknya yang seorang itu. Mentang-mentang anak kesayangan mama, Hanna rasa cukup megah berlagak sombong.
Puan Sri Hanum sudah sakit kepala dengan pertelingkahan dua anak daranya itu.
“Eiii… sudahlah! Diam-diam! Sakit kepala mama dengan korang berdua ni. Dahlah… mama taulah apa yang patut mama buat. Tak payah korang nak masuk campur. Hah… Hanni tu, jangan nak ikut campur sangat urusan orang dewasa. Fikir dulu pasal pelajaran. Next year dah nak ambil SPM. Dah, naik atas ulang kaji pelajaran. Mama tak nak Hanni malukan mama dapat keputusan yang sekadar cukup-cukup makan,” ujar mama tegas. Dengan muka masam mama melangkah naik ke atas. Meninggalkan dua anak daranya yang masih lagi menjeling-jeling antara satu sama lain.
Hanni ketap bibir. Tengok mama tu. Nama Hanni sorang aje yang disebutnya. Sedangkan Kak Hanna langsung tak ditegur. Bertambah lemak berkrimlah perangai sombong Kak Hanna tu dimanjakan sedemikian rupa. Huh! Nasib baiklah papa tak berapa nak manjakan Kak Hanna. Kalau tidak… tak tahulah macam mana teruknya perangai Kak Hanna jadinya.











No comments:

Post a Comment