DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 9

KALAU tidak disebabkan dia dilantik sebagai
pembantu kepada Qaid, sudah tentu dia tidak akan
keluar ke mana-mana dengan jejaka itu. Bukan tidak
suka kepada Qaid, tapi Acam tidak mahu memberikan
sebarang harapan kepada lelaki itu. Bukan dia tidak
tahu, sudah banyak bunga-bunga bahasa yang Qaid
tunjukkan. Kadang-kadang, dalam selamba dia ucapkan
kata hati. Dalam bergurau Qaid selitkan perasaannya.
Kali ini Acam mahu tidak mahu memang tidak
dapat untuk mengelak lagi. Mereka ditugaskan
bersama dalam menjayakan program syarikat. Esok dia
dan Qaid ditugaskan untuk mencari barang-barang
keperluan hari keluarga yang akan diadakan pada
hujung minggu nanti. Tugas utama mereka menyediakan
hadiah untuk aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan.
Jenuh Acam memerah otak mencari akal, hadiah apa
yang sesuai untuk semua aktiviti itu.
Kalau harapkan Qaid, memang tidak ada makna
punyalah. Bulat-bulat si Qaid tu serahkan segala kerja
kepadanya. Nasiblah Acam ni selain daripada ganas, otak
cair juga. Akhirnya, idea-idea Acam mendapat kelulusan
dan pujian pihak pentadbiran. Kembang jugalah hati
Acam apabila dipuji. Tapi kembang semangkuk sahaja,
kerana hatinya masih galau apabila memikiran akan
keluar berdua dengan Qaid. Hendak diajak Juliana, gadis
itu pun banyak tugasnya.
Selepas waktu kerja petang itu, Acam telah
memaklumkan Puan Radziah yang dia akan pulang agak
lewat atas urusan kerja. Qaid pula bermurah hati
telah berjanji untuk menghantarnya pulang setelah
selesai mencari barang-barang keperluan yang telah
dicatit siap-siap di atas kertas. Cepat mendapatkan
semuanya, cepatlah mereka pulang.
“Acam, nak beli kat mana ni?” tanya Qaid.
Dalam hati biarlah jauh sedikit, barulah seronok dapat
menghabiskan masa dengan Acam. Peluang dah datang
bergolek, gunakanlah sepenuhnya.
“Ingat nak cari kat Wiracourt ajelah. Kat situ
pun banyak kedai-kedai yang jual barang-barang ni.”
“Hmm... okeylah. Kita ke Wiracourt ajelah.”
Perlahan Qaid mengiakan usul Acam. Nak dibantah, risau
juga takut Acam berubah fikiran.
Kereta yang dipandu Qaid diparkir di ruang
parkir yang terletak di tingkat bawah. Setelah itu, Acam
dan Qaid menyusuri kedai-kedai yang terdapat di
dalam Kompleks Membeli-belah Wiracourt yang
merupakan satu-satunya kompleks membeli-belah
terbesar di Batu Pahat. Kalau hendak mencari yang lebih
besar, terpaksa pula mereka ke Johor Bahru.
Walaupun sikap Acam nampak ganas dan
selamba, bab membeli-belah dia memang teliti. Setiap
barang yang dijamah dek tangannya akan diperhatikan
sebaik mungkin. Supaya tidak mahu ada cacat cela.
Lagipun bagi dirinya, ia melambangkan sikapnya dan
persepsi majikan terhadapnya. Jika sambil lewa, maka
tentulah akan mendapat persepsi corot daripada
majikannya. Nama dan pandangan majikan terhadapnya
perlu dijaga walaupun dia hanya budak praktikal.
Tidak kisahlah hendak lama manapun, asalkan
dia puas hati. Wajah Qaid sesekali dikerling juga namun
mamat seorang tu macam tidak kisah sahaja.
Qaid pula, lagilah gembira di hati. Lebih cerewet
sikap Acam, lebih lama dia dapat peluang bersama gadis itu.
Diperhatikan sahaja tingkah Acam yang leka membelek
barang-barang di hadapannya. Mulut gadis itu ada sahaja
celotehnya. Komen itu, komen ini namun semua yang
keluar dari mulut Acam terdengar manis sahaja di
telinganya. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia menyuruh
emaknya pergi meminang budak Acam ni. Tapi, akal kena
mendahului hati. Si Acam ini bukan boleh main redahredah
saja, kena pandai memikat hati yang keras itu. Dalam
asyik sibuk memerhatikan gelagat Acam, terdengar laungan
azan dari corong radio yang dipasang oleh pasaraya itu.
“Acam, dah maghriblah. Aku nak ke surau kejap,”
pamit Qaid menghentikan langkah Acam.
Acam menganggukkan kepala. Dia yang sedang
bercuti, yalah cuti Allah bagi, segera mengambil bungkusan
yang dihulur oleh Qaid dan berlalu menuju ke deretan
kedai pakaian yang menggamit matanya. Cantik pula
melihat gayutan baju-baju di kedai itu.
Lama juga mamat ni solat, panjang zikir kut,
bisik Acam. Dia tersenyum sendirian. Entahlah kan,
hendak kata tidak suka kepada Qaid, dia macam suka
saja. Tapi sebagai kawan sahajalah. Kalau nak dikira, tidak
ada kurangnya si Qaid itu, handsome pun ya, macho pun
bolehlah dikira, kedudukan eksekutif pulak tu, mahu
apa lagi. Kereta ada, rumah pun sudah siap-siap beli, bak
kata orang, basuh kaki saja sesiapa yang jadi isteri si Qaid.
Tapi semuanya tidak berjaya menerobos ruang
di hati Acam. Atau mungkinkah aku yang selama ini tak
pernah hendak beri hati aku peluang untuk mengenali
orang lain, soal Acam sendirian. Yang ada pun belum tentu
lagi dapat bertakhta di hati.
“Wah, jauh mengelamun. Takkan aku tinggal
sekejap dah rindu kut,” sergah Qaid.
Nasib baik tidak melompat Acam dengan
sergahannya itu. Walaupun perlahan tapi sudah cukup
boleh membuatkan pesakit jantung pengsan diserang sakit
jantung. Kalau ada sawan, pasti kena hantar ke hospital.
Sebenarnya telah lama dia berdiri di tepi kedai
memerhatikan Acam yang duduk melepas lelah di bangku
itu. Wajah polos gadis itu diperhatikan. Semakin hari
semakin berkenan pula melihat gadis itu. Mungkin di mata
orang lain Acam kelihatan kasar dan boyish, tapi di mata
Qaid terdapat kelembutan dan keayuan semula jadi pada
gadis itu. Alah hati, kenapalah yang susah nak pikat tu juga
yang kau nak, gumam Qaid sendiri.
“Banyaklah kau punya rindu. Kau doakan aku
sama tak?” balas Acam. Terseringai sengihan di mulut kecil
gadis itu.
“Ada, aku doakan kau cepat kahwin.” Kahwin
dengan aku, sambung Qaid lagi tapi dalam hati saja yang
mampu terluah.
“Apa punya kawan daa.. doakan aku cepat kahwin
pula. Doakanlah bos murah hati bayar elaun praktikal aku
ke, aku dapat gred dengan cemerlang ke, ni suruh aku
cepat kahwin. Apalah...” Bising mulut Acam mengomel.
Yalah, aku doa kau cepat kahwin dengan
akulah, babe. Cuma Qaid seorang saja yang dapat
mendengar kata-katanya itu.
“Alah, takat elaun tu Acam oii, kalau bos tak bayar
kat kau aku pun boleh bayar. Lagipun kau kan kerja untuk
aku. Kalau kau nak, tiap-tiap bulan pun aku boleh bagi kau
elaun, tapi ada syaratlah.”
“Wah, baik hati kau nak bagi aku elaun, ni aku
sayang lebih-lebih ni,” ujar Acam membodek. Tersenyum
mendengar kata-kata Qaid.
“Kau jangan sayang aku lebih-lebih Acam, nanti
aku berdesup pergi meminang kau nanti,” ugut Qaid.
Hati kembang kempis mendengar kata-kata sayang dari
mulut Acam. Susah hendak dengar budak perempuan ini
keluarkan perkataan sayang itu.
“Beranilah kau, bertelur dahi tu nanti,” balas Acam
selamba. Minah ni kalau bercakap, tak ingat.
Kata-kata Acam bersambut dengan tawa panjang
oleh Qaid. Lucu juga melihat garis cemas yang bertandang
di wajah polos gadis itu. Comel! Sahlah, makin teruk
angau si Qaid ini. Qaid teringat kata-kata mamanya,
kalau berjumpa dengan seseorang yang sentiasa lekat di
ingatannya, yang siang malam asyik datang bertamu di
hatinya, itu tanda dah cukup haul itu. Sudah wajib kena
kahwin. Alahai mama, Angah dah memang nak kahwin
sangat ni, tapi budak Acam ni macam tak ada perasaan,
jerit hati Qaid.
“Banyak lagi tak?” tanya Qaid sambil tangan ligat
membelek-belek beg yang diambil dari tangan Acam.
“Dah settle, bro. Aku dah cari semua tadi.”
“Wah, ini yang buat aku lagi bertambah sayang
dekat kau ni, Acam. Kau tak payah balik kampuslah, terus
aje kerja kat sini.”
“Habis tu, kau nak bagi aku diploma?” balas Acam.
Geram melihat Qaid yang asyik nak melawak tu.
“Err, aku bagi sijil yang lagi tinggi, Sijil Suri
Rumah. Ada berani?” Juling mata Acam menjeling muka
Qaid yang selamba badak berjalan di sebelahnya. Kalau layan
mamat ini tujuh hari tujuh malam pun tidak habis. Baik
buat bodoh saja.
“Laparlah, kalau kau sayang aku belanja aku
makan eh?” Lembut Acam mengampu.
Sememangnya perutnya sedari tadi telah mengadu
kelaparan. Akibat terlalu sibuk menyenaraikan semua
barangan yang hendak dibeli, Acam tidak keluar makan
tengah hari. Ajakan Juliana tadi ditolak dan terlupa pula
hendak berkirim bekalan dengan mereka.
“Wahai Puteri Darlina, tak payah tunggu aku
sayang kat kau, hari-hari pun aku boleh belanja kau
makanlah wei, kau aje yang jual mahal.” Bulat mata Acam
mendengar nama penuhnya ditutur dek bibir lelaki itu.
Isy...mamat ni. Tapi best juga, lembut aje bunyi tu.
Segera tangan Acam ditarik menuju ke foodcourt
yang terletak di tingkat tiga bangunan itu. Selamba pula
si Qaid menarik tangan anak dara orang. Cepat-cepat
tangan yang diraih dileraikan oleh Acam. Suka-suka nak
pegang tangan orang, ingat suami aku ke, gerutu Acam.
Namun, ketika itu ada satu perasaan lain yang cuba
bertandang. Acam cepat-cepat membuang jauh perasaan itu.
Tak mungkin dibenarkan perasaan itu bertamu terlalu cepat.
Acam dan Qaid melabuhkan diri di ruang makan
yang agak lengang. Mungkin hari bekerja, tidak ramai
pelanggan di situ. Makanan yang berada di atas meja
membuatkan perut Acam bernyanyi-nyanyi. Tanpa
berlengah, laju sahaja tangan menyuap mi jawa yang
bagaikan menggamitnya di dalam mangkuk itu. Murah hati
betul Qaid, belanja dia makan malam itu. Saiz XXL lagi
mangkuk mi jawanya. Jus tembikai disedut apabila tekak
terasa pedas. Terkekeh-kekeh Qaid melihat merah wajah
Acam.
“Manjalah kau ni. Pedas sikit pun tak tahan,”
usik Qaid. Kuetiau kung funya sudah tinggal separuh. Laju
gila mamat ni makan.
“Huh, ni bukan pedas sikit. Ni dah macam lori cili
api tumpah. Ke kau saja nak kenakan aku ya,” tempelak
Acam geram. Rasa macam berasap saja hidung dan
telinganya menahan pedas.
“Eh, mana pula. Aku oder aje ikut kau suruh.
Agaknya mak cik tu ada kebun cili api kut,” bela Qaid.
Seronok bukan kepalang hatinya malam itu dapat melayan
Acam. Menyakat Acam tanpa ada gangguan, memang boleh
simpan jadi memori indah ni.
“Esok kalau aku tak datang, kau jawab dengan bos
tau.”
“Alah, aku ingat kau ganas. Makan cili sikit dah tak
datang kerja.”
“Yang ganas muka aku, bukan perut aku.”
Terlerai tawa daripada mereka. Berpasang mata
yang berada di sekeliling turut terarah kepada mereka.
Pelik agaknya, melihat mereka yang ketawa bagai nak rak.
Jangan-jangan dikata orang skru longgar. Lantaklah!
Dalam asyik melayan mi jawanya dan mengelap
lelehan di hidung, Acam tertangkap satu wajah yang sedang
memerhatikannya. Wajah yang memang kerap dirinduinya
akhir-akhir ini. Wajah yang sering mengganggu lena
malamnya. Puas diusir wajah itu, puas dihalau kerinduan itu
namun tetap juga ia datang bertamu. Lama matanya terpaku
pada wajah itu sehingga terhenti kunyahannya.
Di benak Acam bermain-main pelbagai persoalan.
Adakah lelaki itu sedang berdating dengan kekasih
hati? Hatinya menjadi tidak keruan tiba-tiba. Seleranya
mati di situ. Hati bagai dirobek dengan segala prasangka
yang hadir. Tiba-tiba hati dipalu dengan rasa sayu yang
teramat. Kolam rasa juga sudah dijentik rasa yang ingin
berhamburan keluar. Sabar hati, sabarlah. Jangan gugur di
sini. Acam berperang dengan hatinya sendiri.
Cemburukah aku dengan perempuan berbaju biru
itu? Tapi kenapa aku harus cemburu, sedangkan aku
tidak mempunyai apa-apa ikatan hati pun dengan lelaki
itu. Sukar sangatkah kau nak akui Acam, yang lelaki itu
telah mendapat tempat di hati engkau, walaupun kecil tapi
namanya telah mula terpahat di situ. Acam masih berbalah
dengan kata hati.
Cepat-cepat matanya dialihkan daripada
bertembung lebih lama dengan lelaki itu. Tidak
sanggup melihat mata lelaki itu yang jelas menghantar
isyarat tanda tanya. Dan tidak sanggup juga untuk melihat
pasangan lelaki itu yang bakal keluar dari kedai di
hadapannya bila-bila masa. Sedangkan melihat mereka
duduk berdua di kampus dulu pun hatinya sudah bagaikan
dihiris-hiris, inikan pula jika ternampak mesranya mereka
berdua-duaan berpeleseran di situ.
Di sudut itu pula, Dzil yang tercegat memerhatikan
Acam sudah mula gelisah. Gelisah melihat gadis itu berduaduaan
dengan lelaki yang tidak kurang hebatnya.
Berkemeja jalur-jalur hitam putih dan berseluar
hitam. Memang jelas, lelaki itu sudah berkerjaya.
Tengok daripada lagaknya, bukan calang-calang
orang. Rasa diri terlalu kecil saat itu. Adakah Acam sudah
menyerahkanhatinya kepada jejaka itu? Tak mungkin terlalu
cepat jejaka itu dapat menakluki hati Acam yang keras bagai
kerikil tu, bisik kata hati Dzil. Lebih kepada menenangkan
perasaan sendiri.
Tidak mampu bertahan lebih lama memerhatikan
mereka, Dzil terus berlalu pergi. Sakit mata melihat gadis
yang selalu dirindunya sedang menjamu selera dengan lelaki
lain. Hati rasa bagai hendak menjerit. Kau milik aku Acam.
Hanya milik aku. Tapi jeritan itu hanya berlagu dalam hati
Dzil. Tidak mampu diluahkan.
“Eh, kau kenapa Acam?” tegur Qaid yang
terperasan perubahan wajah Acam yang kelat tiba-tiba.
“Err... tak ada apa-apalah. Cepat sikit boleh tak,
aku nak baliklah, dah lambat ni. Nanti bising ibu aku,” balas
Acam tidak berperasaan.
“Mi jawa kau ni tak habis lagi. Tadi kata lapar.”
“Hmm... pedas sangatlah. Tak tahan,” tutur
Acam sengaja mencari alasan.
“Okeylah, jom aku hantar kau balik,” lembut suara
Qaid memujuk.
Memang mamat ini tidak pernah bertindak kasar
pun dengan Acam. Cuma Acam saja yang kadang-kadang
terlebih sikit kalau bercakap. Main lepas saja. Alah, nama
pun Acam, main redah saja.
Mereka tiba di hadapan pagar rumah Acam tepat
jam 9.30 malam. Setelah mengucapkan terima kasih, Acam
berlalu meninggalkan Qaid tanpa banyak bicara. Hati Acam
masih sebal dengan pertemuan tadi.

No comments:

Post a Comment